Jumaat, 15 Oktober 2010

Justice For All

Justice For All


Seorang Lagi Manga Pembunuhan Jalanraya Meninggal Dunia

Posted: 15 Oct 2010 07:26 PM PDT

Saman je pemandu Bas yang cuai. Jangan biarkan pengusaha Bas yang lebih pentingkan periuk nasi, daripada terus membunuh rakyat negara ini..

Seorang lagi penumpang bas Delima meninggal dunia

MELAKA 15 Okt. - Tempoh lima hari dilalui penuh tabah oleh seorang ibu Zaliha Zainordin, 48, sepanjang tempoh 24 jam mendoakan anaknya Sharifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 20, agar sembuh sejak dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sejak Ahad lalu.

Namun harapan Zaliha untuk melihat anak bongsunya daripada tiga beradik itu pulih tidak kesampaian apabila kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi, Sharifah Norasmirah menghembuskan nafas terakhir di wad berkenaan.

Tiada ungkapan yang mampu diluahkan oleh Zaliha melainkan menitis air mata apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa anak bongsunya telah meninggal dunia.

Sharifah Norasmirah, penuntut tahun keempat Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur adalah salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah di sini.

Kematian pelajar yang berasal dari Kampung Bukit Payung, Marang, Terengganu itu menjadikan dia adalah mangsa yang ke-13 terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua buah bas dan empat kenderaan lain yang berlaku kira-kira pukul 6.50 petang Ahad lalu.

Sharifah Norasmirah adalah penumpang bas ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan itu.

Zaliha ketika dihubungi hari ini berkata, dia reda dengan pemergian anak bongsunya.

"Apa yang makcik boleh katakan. Makcik reda menerima ketentuan Ilahi bahawa anak makcik dah tidak ada lagi.

"Sepanjang menjaga Sharifah Norasmirah di ICU, makcik memang tidak putus-putus berdoa semoga dia cepat sembuh tetapi akhirnya terpaksa menerima hakikat dia sudah meninggalkan makcik selama-lamanya," katanya sebak.

Dia reda dengan pemergian Sharifah Norasmirah setelah diberitahu oleh doktor bahawa anaknya mengalami kecederaan parah di kepala.

"Semalam, doktor berjumpa makcik memberitahu otak anak makcik sudah tidak berfungsi dan denyutan jantungnya pula semakin perlahan," ujarnya.

Katanya, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya kira-kira pukul 3 pagi.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Payung, Marang, Terengganu hari ini.

Ku Li Tolak Jadi Calon..Lebih Berkuasa Daripada Muhyiddin & Najib

Posted: 15 Oct 2010 04:27 PM PDT

Kah..kah...nampaknya Ku Li langsung tak minat nak jadi calon UMNO. Sebab dah tahu dah, UMNO akan kalah punya. Jika jadi Ketua Pengarah Pilihanraya UMNO, Ku Li boleh caturkan agenda politiknya. Pada masa yang sama nak tunjukkan kat rakyat Malaysia bahawa dia lebih berkuasa daripada Muhyiddin Yassin. Sebab sebelum ini dalam PRK melibatkan UMNO, si Muhyiddinlah yang jadi Ketua Pengarah. Najib je dua kali masa PRK Kuala Terengganu dan Permatang Pauh.

Ku Li Tolak Jadi Calon

Tengku Razaleigh Hamzah menolak cadangan Umno bahagian Gua Musang - yang mengadakan mesyuarat khas petang semalam - supaya bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ghani dan disokong oleh ahli jawatankuasa bahagian yang menghadiri mesyuarat khas itu di pejabat Umno bahagian selama kira-kira dua jam mulai 5 petang.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mat Yusoff mengesahkan beliau membuat cadangan tersebut dan mendapat sokongan para AJK bahagian.

Bagaimanapun, katanya, Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang dan ketua bahagian berkenaan, meminta mereka memilih calon lain daripada beliau dan dua ADUN dalam Parlimen Gua Musang - Nenggiri dan Paloh.

Mat Yusoff berkata, mesyuarat khas itu turut meneliti senarai calon yang dicadangkan oleh kalangan AJK bahagian, yang turut mengandungi nama Tengku Razaleigh.

Katanya, turut dijemput menghadiri mesyuarat khas petang semalam termasuk di kalangan wakil kerajaan, pegawai lantikan politik, penggawa di bahagian berkenaan.

"Tengku Razaleigh telah memberi kebebasan kepada AJK bahagian untuk menentukan calon BN di Galas.

"Dan calon pilihan mereka itu akan diserahkan kepada pihak pusat untuk diputuskan.

"Beliau kata walaupun perdana menteri mahu beliau (Tengku Razaleigh) sendiri yang memilih calon, tetapi beliau mahu perdana menteri yang memutuskannya," katanya.

Menurut Mat Yusoff lagi, senarai calon tersebut turut diedarkan kepada mereka yang menghadiri mesyuarat khas semalam untuk mencadangkan calon yang sesuai.

"Dua tiga hari lagi kita tahulah keputusannya," tambah beliau.

Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Che Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646 undi.

2 Suspek Mengaku Buang Abu Mayat, Kereta Dibawa Ke Mahkamah

Posted: 15 Oct 2010 03:27 PM PDT

Mengaku juga akhirnya. Dua orang suspek membunuh Sosilawati sudah dihukum. Yang lain-lain mungkin lepas ni kot. Siasat juga ADUN Sementa, Datuk Satim Diman. Mungkin dia pun salah seorang suspek..

Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk melupuskan bukti pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dekat Ladang Gadong telah dibawa ke Mahkamah Majestret Telok Datuk, Banting, hari ini.

Ketika prosiding itu, Majistret Hurman Hussain, pasukan pendakwaan dan pembelaan turut keluar sebentar daripada mahkamah untuk melihat salah satu eksibit yang dibawa oleh pihak polis iaitu sebuah kenderaan Isuzu D-Max berwarna kelabu yang digunakan mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa untuk dibuang ke dalam Sungai Panchau.

K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Majistret Hurman menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 9 September lalu.

Mereka adalah antara lapan orang yang ditahan di antara 9 dan 12 September lalu bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lalu.

Sarawanan dituduh menghilangkan bukti itu dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam

Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Bekas mekanik itu didakwa membakar mayat keempat-empat mangsa itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting pada 30 Ogos lepas antara 9.45 malam dan 12.00 tengah malam.

Suresh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lalu antara 8 pagi hingga 10 pagi.

Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan empat-empat tertuduh di dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain daripada tindakan undang-undang.

Rabu lalu, peguam N Patmanabhan, 41; pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20; dan R Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

Pada proseding mahkamah yang bermula pada 11.15 pagi tadi, Sarawanan dan Suresh diwakili oleh peguam M Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie, manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohd Yusoff dan dibantu oleh Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani.

Pertuduhan ke atas kedua-duanya dibacakan di dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa di dalam mahkamah yang dipenuhi wartawan dan orang ramai termasuk adik perempuan Suresh berusia 25 tahun.

Sementara itu, dalam rayuannya, Puravelan memohon mahkamah mengambil kira faktor latar belakang dan kebolehan tertuduh apabila menjatuhkan hukuman.

"Kedua-dua tertuduh memohon maaf di atas kesalahan yang mereka lakukan," katanya.

Roslie berkata, Sarawanan yang bekerja sebagai mekanik motosikal sebelum ini

adalah tempat keluarganya bergantung hidup dengan pendapatan RM800 sebulan bagi menyara bapanya yang mengidap sakit jantung dan ibunya seorang suri rumah.

"Tertuduh yang juga anak bongsu daripada empat beradik telah kematian abang dan dua lagi kakaknya sudah berkahwin dan kini menetap di Ipoh," kata Roslie.

Katanya, beliau percaya Sarawanan tidak mempunyai kesalahan lampau dan pengakuan tertuduh perlu diambil kira kerana menjimatkan masa dan kos perbicaraan serta perlu dipertimbangkan untuk hukuman yang lebih ringan.

Mohd Naguib pula berkata, anak guamnya, Suresh tidak mempunyai pekerjaan

tetap dan mempunyai pendapatan RM700 sebulan bagi menyara adiknya yang sudah bertunang dan ibunya pula bekerja sebagai seorang tukang cuci dengan pendapatan RM800 sebulan.

Bapanya sudah meninggal dunia dan ibunya memerlukan lebih RM300 bagi mendapatkan rawatan penyakit kencing manis, darah tinggi dan alahan kepada

ubat-ubatan, katanya.

"Anak guam saya mohon diberikan peluang kedua dalam situasi ini," kata Mohd

Naguib.

Roslie dan Mohd Naguib memohon supaya Sarawanan dan Suresh dikenakan hukuman penjara serentak bagi kesalahan mereka.

Bagaimanapun, Ishak berkata di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan mereka berdua boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan juga boleh didenda.

Beliau memohon kepada mahkamah supaya tidak memberikan sebarang diskaun hukuman kepada kedua-dua pesalah dan perlu dikenakan hukuman maksimum yang dijalankan secara berasingan bagi memberikan peringatan kepada yang lain daripada melakukan jenayah yang sama.

"Perbuatan mereka menghapuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain serta kesan tindakan mereka terhadap mangsa dan keluarga mereka yang terbabit juga perlu diambil kira," katanya.

Hurman ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, beliau mengambil kira tindakan tertuduh memusnahkan bahan bukti kes perbicaraan pembunuhan, kesan tindakan mereka terhadap keluarga simati dan kepada masyarakat selain daripada latar belakang tertuduh yang mempengaruhi mereka melakukan jenayah itu.

Selepas Hurman menjatuhkan hukuman, Sarawanan dan Suresh memberitahu mahkamah bahawa mereka memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat di atas perbuatan yang mereka lakukan dan telah insaf.

Kedua-dua tertuduh bercakap dalam Bahasa Tamil dan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah.

Tiada ulasan: