Jumaat, 15 Oktober 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pembangkang Bertegas Bajet 2011 Bajet Pilihan Raya

Posted: 15 Oct 2010 06:50 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sungguhpun dinafikan oleh pemimpin kerajaan, namun pihak pembangkang tetap berpendirian bahawa Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat, adalah bajet pilihan raya.

Mereka mendakwa pelbagai insentif yang diumumkan termasuk tidak menaikkan kadar tol lebuh raya Utara Selatan (Plus) bagi tempoh lima tahun, pemberian bantuan kewangan khas kepada penjawat awam serta penetapan gaji minimum bertujuan memenangi hati rakyat.

Anggota Parlimen Bachok yang juga Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mendakwa apa yang dibentangkan itu secara jelas menjurus ke arah pilihan raya.

"Pembentangan bajet ini jelas bahawa ia untuk pilihan raya umum ke-13 akan datang. Jangkaan kami sebelum ini, meletakkan (pilihan raya) daripada bulan enam ke atas, tetapi dari apa yang dibentangkan ini, bagi saya mungkin lebih awal daripada bulan enam," katanya kepada pemberita.

Namun beliau menyambut baik peruntukan kepada sistem perbankan dan kewangan Islam yang disifatkannya mampu berkembang kukuh untuk tahun hadapan.

Sentimen sama turut disuarakan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa bajet yang dibentangkan Najib tidak menyeluruh dan tidak mencapai matlamatnya dalam membantu rakyat.

"Saya tengok ada kelemahan besar (dalam bajet ini) kerana masalah rasuah, penyelewengan dan pembaziran tidak disebut dan hanya disebut projek-projek mega yang seperti biasa akan memberi manfaat yang lebih besar berbilion kepada kroni dan keluarga, ratus ringgit kepada rakyat," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh mendakwa bajet kali ini tidak mempunyai hala tuju yang jelas sebaliknya hanya membentangkan projek-projek gergasi yang akan dilaksanakan dan memberi manfaat kepada golongan tertentu berbanding keperluan rakyat.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata beliau tertarik dengan peruntukkan yang diumumkan oleh kerajaan kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang boleh memperkasakan modal insan di negara ini.

"Cumanya saya tidak nampak macam mana peruntukkan ini digunakan dengan berkesan dan saya berharap kerajaan dapat melaksanakan dengan lebih berkesan strategi yang direncanakan menerusi peruntukan belanjawan hari ini," katanya yang juga Anggota Parlimen Kepong.

Anggota Bebas dari Pasir Mas, Ibrahim Ali mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk memberikan pinjaman 100 peratus kepada golongan eksekutif muda untuk memiliki rumah sendiri yang berharga bawah RM220,000. Walau bagaimanapun, beliau berharap kerajaan harus mengenakan syarat terhadap pihak pemaju dalam memastikan kuota pemilikan rumah diagih secara adil dan saksama bagi mengelakkan monopoli.

"Sekurang-kurangnya, kerajaan harus memastikan kuota pemilikan rumah dimiliki oleh Bumiputera sebanyak 30 hingga 50 peratus," katanya.

Sarawak Dapat Imbuhan Gula-Gula Pilihan Raya

Posted: 15 Oct 2010 06:49 AM PDT

Oleh Suara Keadilan

swakflag.svgKUALA LUMPUR- Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang bakal diadakan tidak lama lagi, Belanjawan 2011 yang dibentangkan di Parlimen petang tadi meperuntukkan RM1.2 bilion untuk menyediakan bekalan air dan elektrik luar.

Sabah memperolehi peruntukan RM1.5 sementara Semenanjung mendapat RM696 juta.

Belanjawan 2011 juga memperuntukkan RM2.1 bilion bagi membina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak serta RM696 juta bagi Semenanjung.

Umno-BN Dedahkan Lebih Banyak Wang KWSP Di Pelaburan Luar Negara

Posted: 15 Oct 2010 06:47 AM PDT

Oleh Dzulkarnain Taib
azan16KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail membayangkan tindakan kerajaan membenarkan lebih banyak penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk dilaburkan di luar negara akan mendedahkan tabung simpanan hari tua golongan pekerja di negara ini kepada risiko kerugian yang tidak dapatkan dibayangkan.

"Saya takut duit KWSP yang digunakan akan hangus begitu sahaja seperti juga pelaburan lain sebelum ini disebabkan turun naik nilai mata wang asing di mana pelaburan kita di buat.

"Umno-Barisan Nasional sebenarnya memperjudikan simpanan wang rakyat Malaysia dengan menggunakannya dalam akitiviti ekonomi yang berrisiko tinggi terutamanya dalam iklim ekonomi dunia yang lemnbab sekarang," kata Azan kepada Suara Keadilan ketika ditemui lobi Parlimen petang tadi selepas pembentangan Belanjawan 2011.

Dalam ucapannya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dibenar meningkatkan pelaburan di luar negara bagi menerokai peluang pulangan yang lebih baik.

KWSP katanya, yang mempunyai pelaburan antarabangsa sebanyak 7 peratus akan ditingkatkan sehingga 20 peratus daripada jumlah yang diuruskan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mengingatkan akan risiko besar apabila KWSP membuat pelaburan yang ada kaitan dengan pasaran matawang (forex).

"Mereka (KWSP) perlu berhati-hati kerana perubahan dalam kadar matawang kadangkala akan membawa kerugian kepada apa-apa pelaburan yang dilakukan," tegas Menteri Besar.

Belanjawan 2011 Gagal Tangani Masalah Defisit

Posted: 15 Oct 2010 06:42 AM PDT

Oleh Fazli Othman

AI39KUALA LUMPUR - Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menjurus kepada Pilihan Raya Umum dalam tempoh masa yang terdekat dan bukan sebenarnya untuk kesejahteraan rakyat.

Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata apa yang mengejutkan di dalam pembentangan Belanjawan 2011, Najib dilihat gagal menangani isu yang paling besar iaitu masalah defisit perbelanjaan kerajaan.

"Selalunya belanjawan itu adalah bagaimana menangani masalah ekonomi, menjana pertumbuhan serta menarik pelaburan.

"Masalah paling besar adalah masalah rasuah, penyelewengan dan pembaziran juga tidak disebut.

Apa yang disebut Najib kata beliau hanyalah projek mega yang berpuluh bilion ringgit yang memberikan manfaat kepada kroni dan keluarga manakala rakyat pula diberikan cuma ratusan ringgit.

"Najib tidak memberikan penyelesaian yang jelas, melemparkan beberapa projek-projek yang besar dan sedikit kemudahan kepada rakyat yang dianggap cukup.

"Tetapi, isu pokok mengenai isu ekonomi negara tidak ditangani," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika dikerumuni media di lobi Parlimen selepas ucapan belanjawan Perdana Menteri.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan bajet tersebut, Anwar berkata beliau akan menjawab soalan itu di Dewan Rakyat Isnin depan.

Ku Li tolak jadi calon Galas

Posted: 15 Oct 2010 06:41 AM PDT

Abdul Rahim Sabri

Tengku Razaleigh Hamzah menolak cadangan Umno bahagian Gua Musang - yang mengadakan mesyuarat khas petang semalam - supaya bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ghani dan disokong oleh ahli jawatankuasa bahagian yang menghadiri mesyuarat khas itu di pejabat Umno bahagian selama kira-kira dua jam mulai 5 petang.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mat Yusoff mengesahkan beliau membuat cadangan tersebut dan mendapat sokongan para AJK bahagian.

Bagaimanapun, katanya, Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang dan ketua bahagian berkenaan, meminta mereka memilih calon lain daripada beliau dan dua ADUN dalam Parlimen Gua Musang - Nenggiri dan Paloh.

Mat Yusoff berkata, mesyuarat khas itu turut meneliti senarai calon yang dicadangkan oleh kalangan AJK bahagian, yang turut mengandungi nama Tengku Razaleigh.

Katanya, turut dijemput menghadiri mesyuarat khas petang semalam termasuk di kalangan wakil kerajaan, pegawai lantikan politik, penggawa di bahagian berkenaan.

"Tengku Razaleigh telah memberi kebebasan kepada AJK bahagian untuk menentukan calon BN di Galas.

"Dan calon pilihan mereka itu akan diserahkan kepada pihak pusat untuk diputuskan.

"Beliau kata walaupun perdana menteri mahu beliau (Tengku Razaleigh) sendiri yang memilih calon, tetapi beliau mahu perdana menteri yang memutuskannya," katanya.

Menurut Mat Yusoff lagi, senarai calon tersebut turut diedarkan kepada mereka yang menghadiri mesyuarat khas semalam untuk mencadangkan calon yang sesuai.

"Dua tiga hari lagi kita tahulah keputusannya," tambah beliau.

Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Che Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646 undi.

Nazri: Umno mampu atasi pengaruh PERKASA

Posted: 15 Oct 2010 05:29 AM PDT

Salhan K Ahmad & Regina Lee

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz percaya Umno akan dapat bertahan dalam menghadapi kemaraan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwa semakin berpengaruh di kalangan anggota parti itu.

NONEKatanya, Umno pernah menghadapi ujian yang lebih getir ketika menghadapi pengaruh gerakan Islam dalam Umno yang membentuk PAS, Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah, malah daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentuk PKR.

"(Umno) telah diserang dari kiri dan kanan tapi kami masih di sini. Anda fikir PERKASA akan dapat buat lebih baik daripada Semangat 46, PKR atau PAS?" katanya ketika bercakap dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Nazri juga bertegas bahawa PERKASA merupakan satu gerakan ekstremis, namun tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menghalangnya.

Dalam kewajaran itu juga, anggota Umno bebas untuk menganggotai PERKASA, kata Nazri.

"Sebab itulah saya katakan, saya mahu PERKASA didaftarkan sebagai satu parti politik, kemudian barulah kita tahu sama ada anggota Umno benar-benar menyokong mereka," tambahnya.

perkasa first agm 270310 kerisJelasnya, apabila PERKASA menjadi parti politik, anggota Umno akan berada dalam kedudukan terpaksa untuk membuat pilihan.

"Biar saya bagi tahu, kalau mereka daftar (sebagai parti politik), itu akan menjadi petanda kemusnahan mereka," kata Nazri yang tidak begitu yakin dengan pengaruh PERKASA.

"Berapa ramai (presidennya Datuk Ibrahim Ali) dapat kumpul di Kelantan? Saya boleh kumpul lebih ramai lagi." katanya lagi.

PERKASA yang mendapat sokongan daripada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan persepsi berbeza terhadap kewibawaan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sekarang.

najib mahathir pak lah umno 2009 agm final day 280309 0Pandangan seolah-olah Dr Mahathir masih lagi berkuasa, dengan sokongan gerakan seperti PERKASA yang giat mengutarakan pandangan yang bertentangan dengan usaha liberalisasi Najib.

Ketika ditanya, Nazri sekadar menepis pandangan tersebut dengan berkata "ia satu persepsi semata-mata."

"Sebagai sebuah negara Timur, kita masih hormati bekas pemimpin yang telah berkorban untuk negara. Jadi saya rasa sokongan yang dilihat itu hanya disebabkan rasa hormat (terhadap Dr Mahathir)," katanya.

Dr Mahathir pada Mei 2008 lalu pernah mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu kerana tidak yakin dengan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

mahathir at umno assembly 280309 01Dr Mahathir turut mencadangkan ketua-ketua Umno cawangan dan bahagian keluar parti beramai-ramai sehinggalah memaksa Abdullah letak jawatan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengubah keputusannya kira-kira setahun kemudian selepas Najib secara rasminya menjadi perdana menteri.

"Itu menunjukkan (Umno) kuat, itu saja. Beliau tidak akan kembali jika kita tidak kuat," kata Nazri.

Tol empat lebuh raya PLUS tidak naik untuk 5 tahun

Posted: 15 Oct 2010 05:20 AM PDT

MALAYSIA KINI


Kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Ekspressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang, berkuatkuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat.

Beliau menegaskan demikian ketika membentang bajet 2011 di Dewan Rakyat petang ini.

Di samping itu, katanya kerajaan juga komited untuk memastikan akses kepada kesihatan berkualiti dapat dinikmati segenap lapisan rakyat.

Berikutan itu, tambahnya, kerajaan memperuntukkan RM15.2 bilion bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta mendapat bekalan ubata dan peralatan perubatan.

Di samping itu, kata perdana menteri, klinik 1Malaysia yang kini berjumlah 51 buah, akan ditambah sebanyak 25 buah lagi.

Najib: 'Kita bukan saudagar mimpi'

Posted: 15 Oct 2010 05:13 AM PDT

MALAYSIA KINI


Perdana menteri menegaskan bahawa BN adalah parti pembina harapan rakyat yang berpijak di bumi nyata, dan bukannya 'saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan'.

"Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja, ibarat bulan jatuh ke riba," katanya Datuk Seri Najib Razak mengakhiri pembentangan bajet 2011 di Dewan Rakyat petang tadi.

Sebaliknya, tegas perdana menteri, ia adalah hasil dari perancangan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorbanan yang tinggi.

"Percaya, bahawa kerajaan tidak akan mengambil jalan mudah dengan menggadaikan kepentingan negara jangka panjang demi untuk populariti jangka pendek.

"Yakinlah, bahawa kami tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi akan datang," tambahnya.

Lantaran itu, katanya, rakyat perlu insaf bahawa masa depan mereka dan anak-anak adalah terlalu bernilai dan mahal harganya untuk diserahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mahfuz: Ucapan bajet terakhir

"Sesungguhnya bajet kali ini merupakan bajet ke-53 pasca merdeka yang telah dibentangkan oleh kerajaan dari parti yang sama.

"Melalui 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang dan satu Misi Nasional, Bajet 2011 menjadi bingkisan penting serta langkah pertama dalam menempatkan Malaysia di ambang status negara maju berpendapatan tinggi.

"Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita dibesarkan, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kejayaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan, kita akan bersemadi.

"Kepada-Mu ya Allah, dipanjatkan doa dan dipohon kekuatan, mudah-mudahan segala usaha hamba-hamba-Mu ini beroleh keberkatan," tambahnya.

Setelah ucapan pembentangan bajet itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli parlimen pembangkang Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) bangkit dan berkata: "Terima kasih untuk ucapan bajet terakhir".

Alasan kementerian beli tren elektrik memalukan

Posted: 15 Oct 2010 05:11 AM PDT

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Alasan Kementerian Pengangkutan bahawa pembelian tren elektrik bernilai RM1.8 bilion dari China diteruskan kerana surat tawaran (LOA) telah dikeluarkan adalah memalukan, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan kementerian tersebut meneruskan pembelian tersebut walaupun kontraknya masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"LOA yang sudah dikeluarkan tidak seharusnya dijadikan alasan," katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau, Selasa lalu meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada akan meneruskan perolehan 38 unit Electric Multiple Unit (EMU) 6 koc untuk KTMB dari China, setelah pihak SPRM mengesahkan memulakan siasatan tentang dakwaan perbezaan harga yang melampau mengakibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM500 juta.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dalam jawapan bertulisnya menggesahkan bahawa pembelian tersebut akan tetap dibuat meskipun Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dalam mesyuarat Julai lalu memutuskan bahawa wujud alasan untuk disiasat wujudnya amalan rasuah dalam perjanjian tersebut.

PAC seterusnya telah meminta secara rasmi SPRM menjalankan siasatan rasuah ke atas pembelian tren elektrik tersebut.

Kong memberi alasan bahawa pembelian tersebut diteruskan memandangkan Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan LOA kepada syarikat dari Cina, Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd untuk membeli 38 unit enam koc Electric Multiple Unit (EMU) dengan harga RM48 juta sebuah.

Dzulkefly turut mengingatkan kerajaan mengenai satu insiden lain apabila kerajaan membatalkan pembelian lapan tren berenjin diesel dari Sepanyol untuk digunakan dalam perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) walaupun LOA mengenainya sudah dikeluarkan.

"Pembelian itu dibatalkan walaupun perjanjian sudah ditandatangani dan mantan Menteri Pengangkutan pada ketika itu juga mengalu-alukan tindakan PAC menjalankan siasatan terperinci mengenai pembatalan pembelian tersebut.

"Kita juga ingin mengingatkan projek dwi landasan elektrik Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Johor Bahru yang diluluskan oleh Tun Dr Mahathir tetapi dibatalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Konsert: Gamis bimbang masa depan rakyat

Posted: 15 Oct 2010 05:10 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyuarakan rasa penuh kebimbangan dengan masa depan Malaysia dan rakyatnya setelah diberi peluang menyaksikan sendiri konsert Adam Lambert di Stadium Putra Bukit Jalil, malam tadi.

Seramai lima orang wakil Gamis yang diketuai oleh Timbalan Presiden, Muhammad Zaki Sukery yang juga Presiden Ma'ruf Club UIAM diberi pas percuma oleh Puspal dalam respons kepada bantahan Gamis pada pertemuan empat mata sehari sebelumnya.

Mengambil masa lebih kurang sejam untuk merakam gambar dan video, beliau turut berkata masa depan remaja Malaysia yang dicanangkan sebagai pemimpin masa depan bakal berdepan konflik jika landskap masyarakat negara dibentuk oleh suasana semalam.

(Gambar: Aksi penari-penari Adam Lambert malam tadi.)

Sambil mempersoal kerajaan adakah ini salah satu formula yang sesuai bagi membendung peningkatan masalah sosial yang sedang berlaku di dalam negara, beliau turut menggesa semua pihak bagi menyelamatkan Malaysia daripada anasir luar yang seolah-olah mahu menjadikan negara ini sebagai the next Las Vegas.

Sambil menzahirkan rasa penuh kesal dengan penganjuran konsert berkenaan, ujarnya Gamis turut akan mempertimbang secara serius beberapa tindakan susulan selepas ini.

Antaranya, tambah beliau ialah Gamis akan mengumpul kesemua bukti bergambar dan bervideo dan akan melakukan kunjungan sekali lagi ke Puspal, Jakim, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Komunikasi serta berjumpa dengan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

"Hal ini bagi menyuarakan kebimbangan, memohon perhatian serius dan meminta penjelasan yang menyeluruh setelah menyaksikan sendiri apa yang berlaku malam tadi," ujarnya.

Seramai 300 orang ahli Gamis dari seluruh negara mula berkumpul di Stadium Putra mulai jam 6 petang,

Mereka turut menunaikan solat hajat bersama-sama kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat sebelum bergerak ke tempat konsert bagi menyebarkan risalah dan berucap sebelum kelima-lima orang wakil tersebut dibenarkan masuk ke dewan konsert.

PAS harap Bajet 2011 tidak rampas hak rakyat

Posted: 15 Oct 2010 05:09 AM PDT

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR: PAS berharap Bajet 2011 yang akan dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini di Dewan Rakyat tidak akan menambahkan lagi beban rakyat.

Naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian kerana usaha liberalisasi ekonomi yang dibuat Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I dalam Bajet 2010 pada Oktober tahun lalu telah pun merampas subsidi minyak daripada rakyat.

"Bajet 2011 ini, kita harap tidak ada lagi subsidi rakyat sama ada subsidi minyak (RON 95), diesel, gas masak, gula atau komoditi asasi lain dirampas daripada rakyat," ujarnya pagi tadi ketika menghubungi Harakahdaily.

Akibat dari itu, katanya kesan berantai seperti harga barang naik, inflasi dan kos sara hidup meningkat dialami oleh rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat berkata, Najib seharusnya tidak lagi mengetepi permohonan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Kakitangan Awam (Ceupacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC); iaitu memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.6 juta kakitangan awam dan pesara serta memperkenalkan polisi gaji minimum RM900 sebulan dalam semua sektor.

"Kerana nak tarik pelabur asing (FDI) dan beri jaminan untung kepada mereka di dalam negara, kerajaan sanggup tidak perkenalkan Akta Gaji Minimum, longgarkan akta berkaitan pekerja serta ambil buruh asing dengan gaji yang rendah.

"Akhirnya, kerajaan hanya umum pemberian RM500 bonus kepada kakitangan awam dan pesara ketika mengumumkan Bajet 2010," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mengharapkan Najib mengumumkan penyerahan semula wang royalti minyak Kelantan kepada kerajaan negeri.

"PAS harap bajet kali ini akan memulihkan konsep federalisme seperti serah kembali royalti minyak kepada akaun kerajaan negeri, bukannya pusat memberi wang ehsan," ujarnya.

Tambahnya lagi, Najib turut dijangka akan mencadangkan tarif air dan elektrik di peringkat kerajaan negeri dinaikkan selaras dengan cadangan tarif elektrik dan air yang dinasihatkan oleh Pusat.

Bernama semalam melaporkan, Najib dijangka meneruskan formula liberalisasi ekonomi di beberapa subsektor kerajaaan demi menggalakkan persaingan dalam pelaburan.

Subsektor yang dimaksudkan seperti borong dan runcit, telekomunikasi, perniagaan dan perkhidmatan kewangan.

Pun begitu, dikatakan Bajet kali ini akan memperlihatkan komitmen pentadbiran Najib dalam mengurangkan beban rakyat sebagaimana pengumuman kerajaan semalam, iaitu menangguhkan pelaksanaan polisi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada tahun depan.

Ini kerana, perbentangan Bajet 2011 dilihat untuk memujuk rakyat supaya tidak menolak Umno BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) yang dijangka berlangsung secara mengejut tidak lama lagi.

Bahang PRK Galas mulai terasa

Posted: 15 Oct 2010 05:08 AM PDT

Nazri Abdullah

GUA MUSANG: Kehangatan bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) N45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas sudah mula terasa biarpun hari penamaan calon akan berlangsung 11 hari lagi.

Tinjauan awal Harakahdaily mendapati, parti-parti bertanding khususnya PAS dan Umno mula tekun mempersiapkan segala kelengkapan menempuh fasa kempen tidak lama lagi.

Bagi PAS, pejabat parti di Gua Musang menjadi markas induknya yang kini siap diubah suai untuk melancarkan perjalanan kempen nanti.

Difahamkan petugas parti dari seluruh Kelantan sudah mula berkampung sejak pengumuman tarikh PRK itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu.

Mereka kini selesai menjalankan persiapan-persiapan awal termasuk persediaan untuk majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dun Galas pada 19 Oktober ini.

Pelancaran tersebut akan disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Manakala petugas dari luar dijangka tiba beberapa hari sebelum tarikh pengumuman calon PAS yang dijadual 22 Oktober ini.

Bagi Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang pula, mereka telahpun melancarkan program Perkampungan Futsal bermula 9 Oktober lalu dan akan berlangsung sehingga hari pengundian 4 November nanti.

Menurut ketuanya, Abdullah Hussin, inisiatif tersebut bagi mendekati golongan belia sekaligus memberi kesedaran politik kepada mereka.

"Ini salah satu cara kita nak mereka semua sentiasa dekat dengan kita sehingga hari mengundi.

"Di samping bersukan kita juga terapkan nilai agama pada mereka.

"Tidak pernah ada orang buat, sebelum bermain, kita solat hajat, solat Isyak dan tazkirah dalam gelanggang futsal," katanya.

Selain futsal, beberapa aktiviti sukan lain turut dipertandingkan sepanjang pilihan raya ini.

Lebih menarik, setiap pemain yang menyertai pertandingan perlu mendaftar sebagai pemilih.

Selain parti-parti yang bertanding, turut sibuk membuat persiapan termasuk kedai-kedai makan, rumah penginapan dan hotel.

Beberapa pengusaha homestay yang ditemui memberitahu, kos sewa untuk tiga minggu sepanjang pilihan raya mencecah RM12 ribu bagi teres dua tingkat berbanding hanya RM350 sebulan bagi kadar hari biasa.

Walaupun peningkatan ketara, kami difahamkan semua penginapan telah penuh ditempah jentera parti dan media khusunya dari luar Kelantan bermula 16 Oktober hingga 6 November nanti.

Dijangkakan, bandar Gua Musang akan mula sibuk menjelang hari penamaan 26 Oktober nanti.

Galas mempunyai 13 Unit Peti Undi (UPU) iaitu Bdr Baru Gua Musang, Bdr Lama Gua Musang, Bihau, Belatim, Balar, Sungai Ber, Lojing, Hau, Kampung Pulai, Lepan Tupai, Kampung Baru, Sungai Terah dan Kampung Batu Papan.

SPR sebelum ini menetapkan tarikh PRK Galas pada 4 November ini.

Muslimat PAS mahu Bajet 2011 mesra wanita

Posted: 15 Oct 2010 05:05 AM PDT

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mahu Bajet 2011 bersifat mesra wanita dengan memberikan peruntukan ke arah pembentukan modal insan dan kemahiran kepada wanita dalam semua sektor.

Timbalan ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, kerajaan tidak harus membelakangkan peruntukan untuk wanita kerana wanita merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan negara.

"Harapan kita kepada bajet yang akan dibentangkan petang ini ialah bajet mesra wanita dan mengambil kira kepentingan wanita di semua sektor sebab kita lihat sumbangan wanita kepada pembangunan negara cukup penting.

"Kita mahu wanita Malaysia juga dapat bersaing dalam memacu pembanguann negara jadi kita harap bajet ini memberikan penekanan yang khusus terutama dalam isu-isu melibatkan kemahiran wanita," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, bajet yang lepas bersifat kebajikan secara umum, tetapi tidak menjurus kepada kebajikan wanita.

"Kita tengok bajet lepas ia tidak menjurus kepada kepentingan wanita dari semua jurusan. Ia hanya dari sudut kebajikan, sedangkan bajet ke arah memperkasakan wanita tidak diutamakan," katanya lagi.

Menurutnya juga, kerajaan harus prihatin terhadap nasib wanita yang terpaksa berhadapan dengan masalah kemiskinan akibat mengambil alih tugas suami atau menjadi ibu tunggal.

"Kita mahu bajet ini menekankan modal insan wanita itu sendiri di samping kemahiran yang perlu digarap kepada wanita kerana kita tengok kemiskinan yang tinggi adalah di kalangan wanita.

"Terutamamya di kampung-kampung yang melibatkan ibu tunggal, atau wanita yang terpaksa membantu suami yang tidak dapat bekerja dan menanggung anak yang ramai," katanya.

Di samping itu, beliau turut berharap agar bajet kali ini memberikan kelebihan kepada semua pihak, tidak hanya menguntungkan kakitangan awam atau golongan korporat sahaja.

"Bajet kali ini diharapkan mengambil kira golongan marhain. Kita tidak mahu pelepasan cukai dan sebagainya hanya dapat dinikmati oleh golongan korporat atau bonus kepada kakitangan awam sahaja sedangkan golongan lain seperti petani terus dihimpit tekanan hidup," katanya.

Beliau juga menyeru rakyat khususnya wanita tidak terpengaruh dengan pengumuman seperti pemberian bonus kerana rakyat akan terus dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

"Saya menyeru wanita Malaysia jangan terbuai dengan mimpi indah ada bonus dua bulan gaji dan sebagainya. Sebenarnya walaupun kita dapat bonus dua bulan gaji tetapi kita akan berdepan dengan kenaikan harga barang yang tinggi dan kos lain yang semakin meningkat. Jadi tidak ada ertinya pemberian bonus dengan beban hidup yang semakin meningkat," katanya.

Bajet 2011 akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jam 4.00 petang ini.

Protokol JPM tak nasihat atau Rosmah degil?

Posted: 15 Oct 2010 05:02 AM PDT

Harakahdaily

TEMERLOH: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mempersoalkan sama ada penggunaan gelaran 'Wanita Pertama' oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang berakhir 13 Oktober yang lalu adalah akibat daripada kealpaan Bahagian Protokol Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menasihati beliau ataupun disebabkan kedegilan beliau sendiri.

"Rosmah sepatutnya malu untuk menggunakan gelaran 'First Lady', kerana umum mengetahui gelaran itu untuk Permaisuri Agong. Namun, walaupun isu ini telah dijelaskan oleh pelbagai pihak namun ianya berterusan berlaku, dan boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pimpinan asing," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau memberikan komen tersebut sebagai mengulas laporan portal Suara Keadilan yang memetik pakar perlembagaan negara, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mempersoalkan tugas Bahagian Protokol adalah di bawah JPM yang sepatutnya, pada pandangan beliau menasihatkan Rosmah mengenai penggunaan gelaran 'First Lady'.

"Sepatutnya bahagian ini menjalankan tanggungjawabnya dan memberi garis panduan kepada isteri Perdana Menteri mengenai isu ini.

"Perlembagaan amat jelas siapa sepatutnya menggunakan gelaran Wanita Pertama iaitu dalam perkara ini Raja Permaisuri Agong," tegas Dr Abdul Aziz yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dr Aziz Bari turut berkata Perkara 32(2) Perlembagaan Persekutuan dalam Bab 1 berkaitan jelas menyatakan hak gelaran Wanita Pertama Malaysia adalah kepunyaan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perkara 32(2) berbunyi, "Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong".

"Sehubungan itu pihak istana negara disaran mengeluarkan kenyataan rasmi agar kesilapan ini tidak berterusan dan gelaran 'First Lady' tidak digunakan sewenang-wenangnya," kata Tuan Ibrahim, sambil menambah bahawa tindakan Rosmah dilihat sebagai tidak memahami protokol rasmi dan juga konsep institusi Raja Berperlembagaan.

"Kalau ini berlaku dalam Pakatan Rakyat, kita yakin media perdana akan terus melabelkan kita dengan label pengkhianat," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Bantah keputusan MATC Kuala Selangor

Posted: 15 Oct 2010 04:59 AM PDT


IMG01205-20101013-1647 Oleh B Nantha Kumar

PETALING JAYA: Calon yang tewas, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah mendesak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) membatalkan pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Kuala Selangor kerana masalah pengawas dan jumlah kertas undi melebihi pengundi.

Dalam mesyuarat itu, yang berlangsung pada 3 Oktober lalu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya mempertahankan jawatan ketua cabang di kawasan itu.

"Keputusan mesyuarat itu perlu dibatalkan kerana terhadap beberapa unsur fitnah," kata Muhammad Kamil yang telah menyerahkan surat bantahan di Ibu Pejabat PKR di sini Rabu lalu.

Ketika dihubungi FMT hari ini, beliau berkata, antara faktor yang pertama beliau meminta keputusan cabang Kuala Selangor dibatalkan kerana masalah pengawas pemilihan.

Muhammad Kamil berkata bahawa pengawas pemilihan dicabang Kuala Selangor iaitu Sangeetha Jeyakumar ialah anak kepada Adun Seri Andalas Dr Xavier Jeyakumar, bekerja di pejabat kerajaan negeri, dibawah pentadbiran Khalid.

"Sementara Kalidass dan Nageswaran mempunyai rekod jenayah kerana terlibat dengan satu pergaduhan pada mesyuarat pemilihan cabang Kota Raja," katanya.

Pengundi hantu?

Kedua, jumlah kertas undi melebihi pengundi. Pada hari pemilihan sebelum proses pengiraan JPP berkata jumlah pengundi adalah 1,461 tetapi di akhir pengiraan jumlah kertas undi yang dikira adalah 1,520. Ini bermakna terdapat unsur 'undi hantu' di pemilihan
cabang Kuala Selangor.

Ujar beliau, "walaupun terdapat bantahan semasa pengiraan undi, JPP masih bertegas mengumumkan keputusan berpihak kepada Menteri Besar.

"Sedangkan JPP menangguh keputusan pemilihan cabang Hulu Selangor untuk perkara yang sama tetapi tidak pula di Kuala Selangor," tambahnya.

Katanya lagi, ini jelas menunjukkan Pusat parti dan JPP mengamalkan 'double standard' terhadap ahli biasa apabila bertanding menentang ahli berprofil tinggi", katanya.

Deepavali lebih awal

Ketiga katanya, pada September 25, Khalid dan Adun Bukit Melawati A Mutthiah mengadakan majlis makan malam Deepavali. Dalam majlis tersebut Mutthiah memberi hamper dan sagu hati kepada ahli parti dan berkempen bagi pihak Khalid.

"Saya sangat hairan kerana perayaan (Deepavali) jatuh pada bulan November depan tetapi majlis pula di raihkan sebelum dua bulan sebelum itu", ujar beliau.

Muhammad Kamil menjelaskan bahawa beliau mengambil masa yang lama untuk membuat bantahan kerana kelewatan mengumpul bukti. " Saya mengaku mengambil masa yang lama untuk mengumpul bukti untuk mengukuhkan lagi tuduhan saya".

Pemilihan cabang Kuala Selangor pada 3 Oktober lalu menyaksikan Khalid selaku mantan ketua cabang menghadapi saingan tiga penjuru. Khalid memperoleh 772 undi, mengatasi pencabarnya Muhammad Kamil (348 undi) dan Mazli Saring (122 undi).

Gaji Minima: Perlu Keazaman Politik dan Perubahan Menyeluruh

Posted: 15 Oct 2010 04:57 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

NikNazmi PETALING JAYA: Pelaksanaan gaji minima memerlukan keazaman politik dan perubahan menyeluruh, kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sudah sekian lama pekerja-pekerja terutamanya menerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah memperjuangkan dasar gaji minima bagi membela kebajikan pekerja.

Menurut beliau, PKR telah menjadikan gaji minima sebagai antara lima manifesto utama pada Pilihan Raya Umum 2008. Komitmen melaksanakan gaji minima juga telah dimeterai oleh Pakatan Rakyat menerusi Dasar Bersama yang diluluskan Konvensyen Pakatan Rakyat pertama pada tahun lepas.

Nik Nazmi menegaskan, "masalah kadar upah yang rendah adalah masalah utama yang membelenggu pekerja dan keluarga mereka.

Sudah begitu lama Malaysia bergantung kepada kadar upah rendah dengan
kebanjiran pekerja asing.

"Ekonomi negara tidak meningkat dalam rangkaian nilai dan rakyat Malaysia berhadapan kos sara hidup yang tinggi. Kesannya, semakin ramai pekerja dan keluarga mereka dibebani hutang di sekeliling pinggang," kata beliau yang juga Adun Seri Setia.

Katanya, beliau kesal dengan pandangan Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam yang seolah-olah berat hati untuk melaksanakan dasar gaji minima.

Namun beliau menyambut baik hasrat kabinet hendak membincangkan cadangan gaji minima untuk pekerja-pekerja di Malaysia.

BN gagal bela kaum pekerja

Ujarnya, "ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika kita memeriksa rekod Barisan Nasional yang gagal membela golongan pekerja selama lebih 50 tahun memegang kuasa.

"Pengalaman negara-negara luar membuktikan dasar ini boleh berjaya seiring pengenalan dasar-dasar lain yang memacu pertumbuhan ekonomi," tambahnya.

Isu meningkatkan pengangguran mahupun mengurangkan pelaburan asing tidak timbul jika kerajaan membina keyakinan untuk meningkatkan pelaburan asing dan swasta serta pada masa yang sama melabur dalam sektor pendidikan, latihan dan infrastruktur.

Nik Nazmi berkata, "ini sekaligus dapat meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja. Kerajaan juga mesti serius mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing.

Di samping itu katanya, keyakinan pelabur hanya dapat diperoleh dengan mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kerajaan berserta memerangi gejala rasuah.

"Isu-isu ini yang telah menjejaskan kebolehan Malaysia menarik pelaburan hari ini meskipun belum melaksanakan gaji minima," terang beliau.

Menurut beliau lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjanjikan pendapatan minimum isi rumah sebanyak RM4,000 menjelang lima tahun Pakatan Rakyat memegang tampuk Kerajaan Persekutuan ketika mengulas pencapaian separuh tahun ekonomi negara yang hambar Ogos lalu.

"Sasaran ini dapat dicapai dengan iltizam untuk memerangi ketirisan serta rasuah, melakukan reformasi terhadap sistem kehakiman serta institusi awam lainnya di samping mengembalikan kredibiliti, ketelusan dan pertanggungjawaban untuk menarik pelaburan asing secara langsung .

"PKR berpendapat gaji minima akan benar-benar bermakna hanya jika dilaksanakan bersama perubahan menyeluruh tersebut dengan keikhlasan membela hak pekerja dan rakyat Malaysia," katanya.

Belanjawan 2011, peruntukan kementerian dipotong separuh

Posted: 15 Oct 2010 04:56 AM PDT

Bajet 2011bm Oleh Syed Jaymal Zahiid

KUALA LUMPUR: Pentadbiran Perdana Menteri Najib Tun Razak memperuntukan lebih RM100 bilion untuk Belanjawan 2011 tetapi peruntukan untuk semua kementerian dipotong separuh.

Sumber-sumber kerajaan memberitahu FMT bahawa perbelanjaan dipotong untuk membiayai projek-projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dengan masing-masing mendapat peruntukan lebih RM17 bilion dan RM11 bilion.

Adalah difahamkan bahawa hanya kira-kira RM35 bilion, separuh dari peruntukan tahun lalu, diperuntukan untuk projek-projek baru kementerian.

INTIPATI BAJET 2011

Posted: 15 Oct 2010 04:52 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

  • Bajet bm new Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.
  • RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

  • Enrolmen prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.
  • RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.
  • RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.
  • Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf
    pendidikan Islam.
  • Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.
  • Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard
    sekolah rendah.
  • Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.
  • Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

Polis siasat mesej hina Sultan Johor dalam Facebook

Posted: 15 Oct 2010 04:49 AM PDT

BERNAMA

JOHOR BARU — Polis telah memulakan siasatan terhadap individu yang didakwa menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook berhubung pengurniaan kenderaan milik baginda kepada Polis Diraja Malaysia pada Isnin lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata siasatan dibuat selepas polis menerima satu laporan mengenai laman Facebook itu pada 4.33 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan.

"Kita beri jaminan akan siasat laman sosial ini yang dilaporkan mengandungi maklumat palsu. Jika ada unsur hasutan, siasatan akan dijalankan dan kita akan serahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, bagi mengelak pengendali laman itu daripada dikesan, individu berkenaan meletakkan gambar profil seorang wanita bagi mengelirukan pengguna Facebook dan pihak berkuasa.

Ditanya tentang kes seorang individu menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, juga menerusi Facebook, Mohd Mokhtar berkata kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya baru-baru ini.

Pilihan raya kecil Batu Sapi serentak DUN Galas

Posted: 15 Oct 2010 04:47 AM PDT

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November sebagai hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah manakala 26 Oktober sebagai hari penamaan calon.

Dengan keputusan itu, pilihan raya kecil kerusi DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah akan diadakan serentak sebagaimana diamalkan awal tahun lalu membabitkan tiga kawasan.

Pada minggu lalu, SPR menetapkan pilihan raya kecil kerusi Galas akan diadakan 4 November.

Tarikh pilihan raya kecil yang ke-13 ini diumumkan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mesyuarat khas hari ini.

Mengenai pilihan raya serentak, Aziz berkata keputusan itu berdasarkan faktor undang-undang tidak melarang berbuat demikian dan pengalaman SPR sebelum ini yang mengadakan pilihan raya kecil secara serentak di tiga tempat iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai tahun lalu.

Beliau berkata jika dijalankan serentak, tempoh untuk mengadakan pilihan raya kecil itu menjadi pendek berbanding secara berasingan, sekali gus menjimatkan masa, perbelanjaan SPR dan mengurangkan ketegangan.

Katanya selain itu, SPR melihat tarikh berkenaan sebagai yang terbaik memandangkan faktor ruang yang terhad berikutan banyak peristiwa berlaku menjelang hujung tahun seperti sambutan perayaan Deepavali, Hari Raya Aidiladha, sidang DUN Sabah, awal Muharram, peperiksaan SPM.

"Dan yang paling penting, Sabah telah menyatakan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya kecil," katanya selepas mengadakan mesyuarat khas berhubung pilihan raya kecil itu di sini.

Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.

Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Aziz berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil itu ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemas kini sehingga 9 Oktober lalu.

Katanya daftar pemilih tersebut mengandungi 25,582 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pemilih pos.

Beliau berkata dua DUN di kawasan Parlimen Batu Sapi iaitu masing-masing Sekong dan Karamunting, mempunyai 11,321 dan 14,261 pengundi.

Aziz berkata daripada segi kaum, di DUN Sekong, seramai 2,167 atau 19 peratus merupakan kaum Melayu, Cina - 2,366 (21 peratus), India - 37 (0.03 peratus), Bumiputera Sabah - 6,031 (53 peratus), Bumiputera Sarawak - 41 (0.36 peratus), Orang Asli - 3 (0.03 peratus), dan lain-lain - 676 (6 peratus).

Katanya bagi DUN Karamunting pula, seramai 5,000 atau 20 peratus ialah kaum Melayu, Cina - 9,546 (37 peratus), India - 92 (0.36 peratus), Bumiputera Sabah - 9,565 (37 peratus), Bumiputera Sarawak - 158 (0.62 peratus), Orang Asli - 8 (0.03 peratus), dan lain-lain - 1,213 (5 peratus).

Beliau berkata daripada segi bilangan umur, kedua-dua DUN tersebut membabitkan umur 21 hingga 90 tahun ke atas.

Katanya SPR melantik Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supain sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan empat orang penolong pegawai pengurus.

SPR akan menggunakan Dewan Masyarakat Sandakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi manakala 11 buah sekolah dan sebuah perpustakaan wilayah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 45 saluran tempat mengundi.

Aziz berkata SPR bersetuju untuk menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Katanya RM1.3 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil itu yang akan dikendalikan oleh 405 petugas.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan peratusan keluar mengundi akan meningkat kepada 80 peratus berbanding 63.1 peratus pada pilihan raya umum lalu.

SPR turut menjangkakan pengumuman keputusan akan dibuat serentak bagi kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan iaitu kira-kira pukul 8 malam.

Beliau berkata selepas 28 April tahun depan, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan berikutan hanya tinggal tempoh dua tahun sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

SAPP mungkin letak calon di Batu Sapi

Posted: 15 Oct 2010 04:11 AM PDT

BERNAMA

KOTA KINABALU– Parti Maju Sabah (SAPP) berkemungkinan meletakkan seorang calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi bulan depan, bakal menyediakan pentas bagi pertandingan tiga penjuru membabitkan SAPP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nasional (BN).

Sungguhpun pemimpin SAPP sehingga kini berdiam diri berhubung kemungkinan parti berkenaan menyertai saingan itu, namun tanda-tanda berhubung hasrat parti itu sudah pun ada.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Nov sebagai hari pengundian bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, jika ada pertandingan, manakala penamaan calon ditetapkan pada 26 Oktober.

Dalam apa yang dilihat sebagai petunjuk awal, Ketua Cabang PKR Batu Sapi Datuk Nahalan Damasal menggesa pembangkang supaya membenarkan SAPP bertanding menentang BN dalam pilihan raya kecil Batu Sapi itu.

Semasa membuat gesaan itu dalam sidang akhbar di Lido semalam, yang ironinya dihadiri oleh Ketua Penerangan SAPP Chong Pit Fah, Nahalan dipetik sebagai berkata beliau bersedia membantu calon SAPP dalam pilihan raya kecil itu.

Ditanya tentang perkara ini, Chong berkata setiap orang berhak membuat spekulasi namun parti berkenaan masih belum membuat keputusan mengenainya.

"Nahalan hanya menggesa SAPP supaya bertanding menentang BN tetapi ada juga orang yang menghubungi saya, meminta penjelasan kerana tidak bertanding di Batu Sapi.

"Ini adalah perkara yang perlu dianalisis atau diberi pertimbangan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Oleh itu, Chong berkata SAPP akan mengadakan mesyuarat khas majlis tertinggi di Luyang esok, untuk membincangkan pendirian parti itu dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

Penganalisis politik tempatan Clarence Sinsua berpendapat SAPP berkemungkinan bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

"Sejak meninggalkan gagasan BN selepas pilihan raya umum 2008, pemimpin parti lantang mengetengahkan pelbagai isu yang menjejaskan negeri ini... jadi, perkiraan saya ialah SAPP mungkin menggunakan pilihan raya kecil Batu Sapi untuk mengukur sokongan akar umbi sebelum pilihan raya umum akan datang, selain menguji kredibiliti parti berkenaan.

"Saya rasa parti SAPP tidak akan melepaskan peluang keemasan ini, begitu juga dengan Pakatan Rakyat, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jika kedua-dua parti itu tidak boleh berkompromi berhubung calon tunggal bagi pembangkang, kebarangkaliannya ialah SAPP, PKR dan BN akan terbabit dalam pertarungan sengit," katanya.

Bagaimanapun, Clarence percaya calon BN daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan memiliki kelebihan atau berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengekalkan kerusi berkenaan "apatah lagi, jika SAPP dan PKR menentang sesama sendiri dengan meletakkan calon masing-masing".

Beliau berkata BN negeri sudah tentu tidak mahu label "fixed deposit" bagi parti BN yang memerintah terjejas oleh pembangkang, lantas menjadikan pilihan raya kecil ini lebih menarik.

"Saya berpendapat bukan mudah bagi pembangkang merampas kerusi itu daripada BN atau membuat kejutan. Kerajaan sekarang, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di peringkat negeri, terbukti berupaya menunaikan janji, terutamanya menerusi konsep 1Malaysia.

"Pada pengetahuan saya, Batu Sapi menikmati pembangunan di bawah BN. Jadi, parti pembangkang seperti SAPP dan pakatan perlu benar-benar membangkitkan 'isu besar' untuk memenangi hati dan minda pengundi Batu Sapi," katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, BN memenangi 24 daripada 25 kerusi Parlimen yang dipertaruhkan di Sabah, kalah hanya kerusi Kota Kinabalu kepada DAP. Jumlah itu berkurangan kepada 22 kerusi selepas SAPP, yang mempunyai dua anggota Parlimen, keluar daripada BN.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian tragik penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam kemalangan jalan raya Sabtu lepas.

Dalam pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi setelah menewaskan calon bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Chong memperoleh 9,479 undi.

Terdahulu, pengarah pilihan raya PKR Fuziah Salleh berkata PKR akan bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi, dengan mengatakan kerusi itu kepunyaan PKR sungguhpun parti itu tidak meletakkan calon pada 2008.

Dua hari kemudian, anggota majlis tertinggi PKR dan Ketua Cabang PKR Tuaran Ansari Abdullah berkata perti itu akan mengadakan mesyuarat dengan SAPP tidak lama lagi bagi memastikan hanya seorang calon daripada pembangkang yang menentang BN.

Beliau berkata PKR sedang dalam proses memuktamadkan calon dengan memberi penekanan kepada dua kriteria – penerimaan rakyat dan kesediaan bakal calon untuk berkhidmat di kawasan berkenaan.

Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah, sehingga 1 Sept tahun ini, Batu Sapi mempunyai 25,720 pengundi dengan 56.01 peratus terdiri daripada Bumiputera Islam, Cina (40.22 peratus) dan lain-lain, tiga peratus.

Batu Sapi terdiri daripada dua kerusi DUN, iaitu Sekong dan Karamunting, dan kedua-duanya diwakili oleh BN di Dewan Undangan Negeri.

Bajet 2011: Intipati berkaitan perniagaan

Posted: 15 Oct 2010 04:10 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Berikut adalah intipati Bajet 2011 yang berkait dengan perniagaan.

* Kerajaan semak semula kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2010 kepada tujuh peratus berbanding enam peratus sebelumnya

* Pendapatan per kapita bertambah 6.1 peratus kepada RM28,000

* Pelaburan swasta berkembang 12.5 peratus kepada RM86 bilion

* Pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dijangka menjana pelaburan bernilai lebih RM1.3 trilion dalam pelaburan dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan

* Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebagai "tipping point" untuk membangunkan infrastruktur sokongan bagi membolehkan projek yang diterajui sektor swasta

* Beberapa projek perkongsian awam-swasta (PPP) di bawah RMK-10 akan dilaksanakan pada 2011 melalui pelaburan swasta sebanyak RM12.5 bilion

* Academic Medical Centre, usahasama antara Academic Medical Centre Sdn Bhd dan Johns Hopkins Medical International serta Royal College of Surgeons Ireland, merupakan sebuah lagi projek PPP yang dikenal pasti dengan pelaburan swasta sebanyak RM2 bilion

* Kerajaan bersedia menimbang pakej insentif yang menarik sebagai galakan untuk mereka yang melabur di Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD)

* Transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) akan mula dilaksanakan mulai 2011 dengan pelaburan swasta sebanyak RM40 bilion dan siap menjelang 2020

* Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh bercampur dengan anggaran kos sebanyak RM10 bilion, yang dijangka siap menjelang 2025.

SPRM rayu keputusan mahkamah bebaskan bekas KP Imigresen

Posted: 15 Oct 2010 04:08 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don atas tuduhan rasuah.

SPRM, melalui satu kenyataan di sini, berkata walaupun menghormati keputusan mahkamah tetapi SPRM yakin bahawa "kes itu adalah kes yang kukuh".

"SPRM akan meminta Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk memfailkan notis rayuan berhubung keputusan kes tersebut hari ini.

"Tiada sebarang alasan lisan atau alasan bertulis diberikan oleh Mahkamah Sesyen berhubung keputusan tersebut," menurut kenyataan itu.

Hakim Rosbiahanin Arifin membebaskan Wahid, 57, daripada tuduhan menerima rasuah berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Wahid didakwa menerima rasuah itu daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian, pada 10 Julai 2008 sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.

Ketua AMK: Saingan tiga penjuru, Shamsul tak tanding naib presiden

Posted: 15 Oct 2010 04:07 AM PDT



Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR — Pemilihan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) hampir pasti akan menyaksikan saingan tiga penjuru dengan penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd Akin dilihat akan mempertahankan kedudukan beliau.

The Malaysian Insider difahamkan Shamsul Iskandar telah mengambil keputusan akhir mahu mempertahankan jawatan semasa beliau dan ia akan diumumkan secara rasmi esok.

Difahamkan, beliau membuat keputusan itu dua minggu lalu dan akan membuat pengumuman final ketika menerima pencalonan secara rasmi esok.

Ketika dihubungi hari ini, Shamsul Iskandar berkata, "tunggu dulu, saya akan membuat keputusan apabila tiba masa yang sesuai."

"Ada orang mengatakan saya telah membuat pusingan 'U'... tetapi saya hendak jelaskan, apa yang saya sebutkan sebelum ini, cuma menawarkan diri untuk bertanding kerusi naib presiden.

"Sejak itu saya mendapat sokongan (pencalonan) yang baik, begitu juga agar saya bertanding mempertahankan jawatan saya di peringkat AMK. Pencalonan sungguh positif bagi kedua-dua jawatan.

"Bagi jawatan ketua AMK, saya juga menerima sokongan pencalonan baik... jadi, saya masih mempertimbangkan dengan mendalam, dan akan membuat keputusan terakhir apabila tiba masanya," kata beliau.

Dalam pada itu, Rafizi Ramli juga mengesahkan yang beliau bertanding jawatan ketua AMK.

"Ya, ya saya bertandng... pendirian saya yang diumumkan lebih sebulan yang lalu masih kekal dan tidak berubah," kata ketua PKR Kemaman.

"Saya tidak melihat kami ada mengalami perubahan, tiada yang berubah... semua sama. Yang berubah cuma seorang sahaja, seorang calon kerusi Exco memutuskan untuk menyertai pasukan lain iaitu ADUN Teja, yang menyertai kumpulan Chegubard, yang lain semua sama," katanya lagi.

Kelmarin, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin secara rasmi mengumumkan bertanding jawatan ketua AMK dengan gandingan ADUN Teja Chang Lih Kang sebagai calon timbalan ketua.

Semua mereka yang dicalonkan perlu memaklumkan penerimaan pencalonan mereka esok di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Sesi itu akan berlangsung mulai pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Mengenai peluang ekoran persaingan tiga penjuru, Rafizi berkata, mengambil kira sistem pemilihan langsung beliau yakin mempunyai peluang yang seimbang meskipun Shamsul Iskandar dan Badrul Hisham sudah terkenal di kalangan ahli-ahli parti.

"Memandangkan sokongan yang diperlihatkan oleh ahli-ahli parti terhadap gagasan pertandingan saya dan pasukan saya cukup baik, saya terpanggil untuk meneruskan pertarungan dalam pemilihan ketua AMK.

"Kita serahkan kepada ahli memandangkan parti menjalankan pemilihan satu ahli satu undi, lebih-lebih lagi ini melibatkan persaingan dalam keluarga parti" katanya lagi.

Kes Sosilawati: Dua tertuduh mohon maaf keluarga mangsa, rakyat

Posted: 15 Oct 2010 04:05 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

BANTING – Dua lelaki yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah berhubung tuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain memohon maaf kepada keluarga mangsa dan orang ramai.

Selepas Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman, K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh memberitahu mahkamah bahawa mereka memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat di atas perbuatan yang telah mereka lakukan dan telah insaf, dalam Bahasa Tamil dan telah diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah.

Sarawanan dan Suresh yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Hurman menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Sarawanan dan Suresh diwakili oleh peguam M. Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohd Yusoff dan dibantu oleh Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani.

Mereka merupakan antara lapan orang yang ditahan di antara 9 dan 12 September lepas bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lalu.

Kelmarin, peguam N. Patmanabhan, pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsudin, 44.

"Anak guam saya mohon diberikan peluang kedua dalam situasi ini," kata Mohd Naguib.

Roslie dan Mohd Naguib memohon supaya Sarawanan dan Suresh dikenakan hukuman penjara serentak bagi kesalahan mereka.

Bagaimanapun, Ishak berkata di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan mereka berdua boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan juga boleh didenda.

Beliau memohon kepada mahkamah supaya tidak memberikan sebarang diskaun hukuman kepada kedua-dua pesalah dan perlu dikenakan hukuman maksimum yang dijalankan secara berasingan bagi memberikan peringatan kepada yang lain daripada melakukan jenayah yang sama.

Perbuatan mereka menghapuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain serta kesan tindakan mereka terhadap mangsa dan keluarga mereka yang terbabit juga perlu diambil kira, katanya.

Hurman ketika menjatuhkan hukuman tersebut berkata beliau mengambil kira tindakan tertuduh memusnahkan bahan bukti kes perbicaraan pembunuhan, kesan tindakan mereka terhadap keluarga si mati dan kepada masyarakat selain daripada latar belakang tertuduh yang mempengaruhi mereka melakukan jenayah itu.

Tiada ulasan: