Khamis, 19 Januari 2017

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Hasil jualan tak sampai RM10

Posted: 19 Jan 2017 06:35 AM PST

Hasil jualan tak sampai RM10
Nur Akmal menunjukkan kiosk bersaiz besar yang berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat informasi pelancongan di Hentian R&R Perasing.
 


KEMAMAN - Kesemua peniaga kiosk di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) terpaksa menanggung kerugian saban hari ekoran hasil jualan yang diperoleh tidak sampai RM10 walaupun 24 jam berniaga.

Masalah berkenaan berlaku disebabkan tidak ramai pengguna lebuh raya itu singgah di hentian itu berikutan kawasan berkenaan terpalit dengan pelbagai cerita hantu yang ditularkan di media sosial.

Susulan itu, kesemua peniaga berkenaan tampil menafikan bahawa adanya gangguan mistik di kawasan berkenaan kerana sepanjang berniaga di hentian itu sejak Mei 2015 mereka masih belum berdepan dengan gangguan seperti yang didakwa.

Aliran trafik tinggi, tapi pengunjung kurang

Peniaga air minuman, Nurul Hafizah Abdul Karim, 24, berkata, Hentian R&R Perasing yang merupakan hentian terbesar di negara ini selamat untuk disinggahi walaupun pada waktu malam.

Menurutnya, hentian itu cantik, luas, moden dan lengkap dengan pelbagai kemudahan tetapi tidak dimajukan serta tidak menerima kunjungan ramai.

"Jadi kita mohon agar kerajaan negeri jadikan Hentian R&R Perasing ini sebagai duta kecil untuk mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2017 memandangkan kawasan ini adalah pintu masuk kepada negeri ini.

"Kita cadangkan diwujudkan satu pusat informasi pelancongan atau 'tourism centre' di hentian ini untuk kemudahan pelancong dan pada masa sama dapat rancakkan program di tempat ini yang dapat tarik kehadiran pengunjung sekaligus dapat meningkatkan pendapatan kami para peniaga," katanya.

Menurutnya, keadaan ketika ini sangat kritikal kepada peniaga kerana ada juga dalam kalangan mereka yang kadangkala tidak dapat memungut walaupun satu sen hasil jualan dalam tempoh sehari.

"Malah saya sendiri pernah peroleh RM2 saja sehari. Dengan wang jualan sikit sebegini nak bayar sewa pun tak lepas dan kebanyakan kami terpaksa guna wang dari sumber lain sebagai modal pusingan.

"Kalau keadaan ini berterusan, memang kami akan gulung tikar. Kami masih bertahan sampai sekarang sebab fikirkan modal melebihi RM20,000 yang telah dilabur untuk beli peralatan dan hias kiosk," katanya.

Peniaga kiosk Keropok Cap Mutiara, Nur Akmal Alias, 36, yang berniaga di hentian itu sejak lapan bulan lalu berkata, apa yang mereka alami sekarang adalah keadaan yang sangat dahsyat berikutan masalah kekurangan pengunjung yang ketara walaupun mereka difahamkan jumlah aliran trafik di LPT2 pada hari biasa adalah kira-kira 300,000 sebulan manakala pada musim perayaan dan hujung minggu lebih kurang 700,000 jumlah pengguna sebulan direkodkan.

"Saya kerap tidur kat kiosk ditemani suami dan anak-anak. Sepanjang tidur dan berniaga memang kami tak pernah jumpa makhluk halus. Jadi tiada apa yang patut digeruni oleh orang ramai untuk singgah di sini," katanya.

16 kiosk beroperasi

Hentian R&R Perasing memiliki sebanyak 32 buah kiosk makanan dan minuman yang memiliki 300 buah kerusi, dua kiosk dalam kaca bersaiz besar, 44  buah tandas dan kemudahan lain seperti surau yang besar serta taman permainan kanak-kanak.

Setakat ini hanya 16 kiosk minuman dan makanan yang beroperasi sementara bakinya masih kosong dan daripada jumlah kiosk beroperasi itu mereka menjual variasi makanan dan minuman termasuk yang beridentitikan Terengganu iaitu keropok lekor.

Dalam pada itu, peniaga kiosk produk bakeri pula, Mohsin Mokhtar, 37, berkata, dia amat gembira jika berjaya memperoleh hasil jualan RM100 sehari.

"Sekarang saya terpaksa guna duit dari perniagaan lain untuk terus berniaga di sini. Malahan dah empat kiosk ditutup di sini, kalau kesemua peniaga lari yang ruginya kerajaan negeri juga sebab bangunan ini mungkin terbiar begitu saja.

"Yang penting kerajaan juga perlu segerakan pembinaan jalan dari kawasan penempatan di Jabor dan Perasing Jaya ke sini untuk bolehkan penduduk sekitar ini datang makan dan minum di sini tanpa lalui lebuh raya," katanya.

Menurut seorang lagi peniaga air minuman dan snek, Napisah Mat Saman, 52, pendapatan dia dan suaminya, Syed Jafaar Yahya, 48, hanya bergantung pada kutipan hasil jualan kiosk mereka itu.

"Duit hasil jualan ni nak buat makan pun tak lepas. Inikan pula kalau nak buat bayar sewa RM530 sebulan. Patutnya sewa asal RM1,060  tapi pihak konsesi bagi diskaun separuh harga," katanya.

Jadikan meeting point

Mengulas mengenai masalah yang membelenggu peniaga itu, Exco Infastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman menzahirkan rasa simpati dengan nasib kesemua peniaga hentian tersebut.

Menurutnya, beliau akan mengatur perjumpaan dengan kesemua penjual tersebut dalam masa terdekat untuk membincangkan kaedah-kaedah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Buat masa ini saya dah berbincang dengan pihak pengurusan Plus Malaysia Bhd agar tidak menaikkan kadar sewaan dan caj-caj sehingga keadaan bertambah baik di pihak penjual.

"Antara langkah yang kita boleh ambil adalah menjadikan kawasan R&R Perasing ini sebagai 'meeting point' masyarakat di kawasan ini. Ini boleh terlaksana dengan pembinaan jalan yg menghubungkan R&R ini dengan kawasan sekitar seperti dalam perancangan asal. Kos pembangunan jalan perhubungan ini dianggarkan sebanyak RM20 juta," katanya

.

Rasuah: Lagi ‘Datuk’ ditahan SPRM

Posted: 19 Jan 2017 06:08 AM PST

Rasuah: Lagi 'Datuk' ditahan SPRM
SPRM tahan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif bergelar Datuk dan Pengurus Jualan Antarabangsa sebuah syarikat GLC kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif bergelar Datuk dan Pengurus Jualan Antarabangsa sebuah syarikat GLC kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam projek E-Pasport melibatkan kerajaan sebuah negara di Benua Afrika sejak 2013.

Kedua-dua suspek yang berusia 58 dan 36 tahun itu ditahan di kediaman masing-masing kira-kira jam 12 tengah hari menerusi Op Guinea yang dilancarkan SPRM hari ini.

Suspek bergelar Datuk itu ditahan di kediamannya di Tropicana Indah, Petaling Jaya manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di Taman Desa, Jalan Kelang Lama.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai telah melakukan kegiatan itu antara 2013 hingga 2015 dengan menyalahgunakan kedudukan mereka untuk meminta rasuah daripada pemilik sebuah syarikat swasta dari luar negara menerusi projek E-Pasport.

Jelas sumber, syarikat-syarikat GLC tersebut telah menandatangani satu perjanjian dengan kerajaan negara itu bagi tempoh 15 tahun untuk menyediakan permohonan E-passport.

Kos bagi setiap E- passport yang dihasilkan ialah USD$46 dan syarikat tersebut perlu membayar sebanyak USD$23 daripada jumlah tersebut kepada kerajaan negara terbabit.

Bagi memudahkan urusan, syarikat tersebut dikatakan telah melantik sebuah syarikat swasta di negara tersebut sebagai 'local partner' yang satu perjanjian telah ditandatangi yang mana USD$5 akan dibayar kepada syarikat 'local Partner' tersebut bagi setiap E-passport yag dihasilkan sebagai bayaran perkhidmatan.

Walau bagaimanapun, sebelum menandatangani perjanjian itu, Datuk tersebut telah berjumpa dengan pemilik syarikat 'local partner' itu dan memintanya untuk membayar USD$1 daripada USD$5 yang dibayar kepada syarikatnya dengan memberi alasan bagi menjaga nama baik syarikat swasta berkenaan termasuk menjamin kontrak perjanjian antara kedua-dua syarikat bagi Projek E-Pasport akan berterusan sehingga tamat tarikh konsesi tanpa disabotaj.

"Pemilik tersebut telah akur kepada permintaan tersebut kerana enggan melepaskan kontrak yang telah diberikan kepadanya oleh syarikat GLC terbabit," tambahnya.

Kata sumber, kedua-dua suspek itu akan meminta pemilik syarikat swasta itu menerima bayaran tersebut secara tunai dengan menandatangani surat pengesahan pembayaran, sedangkan wang tersebut tidak pernah diterima oleh pemilik syarikat tersebut.

Tambah sumber, hasil siasatan awal kedua-dua suspek yang telah berkhidmat di GLC tersebut hampir 7 tahun disyaki telah menerima wang rasuah kira-kira RM500,000 yang mana ia melibatkan mata wang Euro dan USD.

SPRM juga telah membekukan beberapa akaun milik Datuk, isteri dan anaknya yang mengandungi wang kira-kira RM1 juta.

Kedua-duanya ditahan bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Difahamkan, Felda Investment Corporation (FIC) Sdn. Bhd. juga memegang hampir 25% saham syarikat GLC tersebut yang mana ia melibatkan nilai kira-kira RM200 juta sejak tahun 2013.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, SPRM memandang serius perkara ini kerana syarikat GLC tersebut mempunyai akses kepada rahsia berhubung kait dengan negara ini.

Beliau berkata, perkara tersebut amat membimbangkan kerana suspek-suspek ini kemungkinan akan mendedahkan maklumat-maklumat tersebut semata-mata untuk mendapatkan ganjaran.

"SPRM meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung perbuatan kedua-dua suspek ini untuk tampil membantu siasatan," ujar beliau ketika dihubungi.

Kedua-dua suspek tersebut dijangka akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.


Tak pelik jika sistem pendidikan negara dipertikai

Posted: 19 Jan 2017 06:03 AM PST

Tak pelik jika sistem pendidikan negara dipertikai

SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa (AJK) Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Halimah Ali tidak hairan sekiranya ada yang berani tampil bersuara mempertikai sistem dan dasar pendidikan negara.

Menyifatkan memang ada yang 'tidak kena' dengan sistem pendidikan negara, Halimah berkata, kerajaan sepatutnya meneliti dan membuat analisis dasar pendidikan negara agar seiring dengan kemajuan pembangunan dan intelek masyarakat dunia pada hari ini.

"Saya akui sememangnya kualiti pendidikan di negara kita agak membimbangkan. Asal tujuan pendidikan tinggi sepatutnya dilengkapkan dengan ilmu kemahiran untuk berdikari dan menyara diri.

"Pendidikan tinggi juga bertujuan membina jati diri setiap individu di negara ni untuk menjadi penyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Haliman mengulas pandangan oleh seorang profesor dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat yang mendakwa kualiti lepasan ijazah di Malaysia dan Indonesia setaraf dengan pelajar sekolah menengah di Denmark.

Profesor Lant Pritchett seperti dilapor sebuah portal tempatan, sebelum ini melakukan kajian pendidikan di Indonesia dan mendapati terdapat persamaan kelemahan di kalangan graduan kedua-dua negara.

Difahamkan, kajian dilakukan ke atas graduan di Indonesia dari segi tahap celik, pemikiran kreatif dan aspek lain. Hasilnya sama dengan pelajar tercicir di peringkat sekolah menengah rendah di Denmark dan pelajar Malaysia.

Mengulas lanjut, Halimah yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Selangor berkata, dasar pendidikan negara perlu diubah secara total bagi memastikan masyarakat di masa hadapan tidak terlalu bergantung hidup dengan kerajaan.

"Bertahun-tahun belajar daripada sekolah tadika, kemudian sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu universiti dan kolej. Tetapi untuk apa?

"Mereka ini perlu kenal pasti dan diajar dengan ilmu kemahiran supaya tidak perlu terlalu bergantung dengan kerajaan," katanya lagi

NGO gesa tangkap Jho Low

Posted: 19 Jan 2017 05:36 AM PST

MALAYSIAKINI





NGO - Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mahu pihak berkuasa Malaysia untuk menangkap dan mendakwa jutawan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Ini susulan pendedahan fakta baru berkaitan peranan Low dalam aliran dana berkaitan 1MDB yang didakwa diselewengkan semasa perbicaraan pengurus cawangan Falcon Private Bank Jens Sturzenegger di mahkamah Singapura.

"Berdasarkan fakta-fakta ini, C4 menggesa Peguam Negara untuk menangkap dan mendakwa Jho Low.

"Ini berdasarkan pendedahan di mahkamah Singapura yang dimaklumkan bahawa beliau menggunakan nama proksi atau alias 'Eric Tan' untuk melindungi hakikat bahawa beliau adalah benefisiari ke atas penipuan besar-besaran dana negara ini," kata pengarah eksekutifnya, Cynthia Gabriel.
Sturzenegger mengaku bersalah terhadap enam tuduhan gagal memaklumkan mengenai aktiviti pengubahan wang haram dan berbohong kepada pihak berkuasa Singapura.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 28 minggu dan denda S$128,000.

Kes di Singapura itu mendedahkan bahawa Low menggunakan alias "Eric Tan" sebagai benefisiari syarikat yang memegang akaun bank di Falcon Private Bank termasuk Tanore Finance Corporation dan Granton Property Holdings.

Menurut saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, dana AS$835 juta 1MDB dilencongkan ke akaun Tanore Finance yang kemudiannya memindahkan AS$ 681 juta ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Pendedahan tentang identiti sebenar Eric Tan dan transaksi mencurigakan yang melibatkan sejumlah besar dana menunjukkan pakatan sulit antara Jho Low dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Najib sebelum ini mendakwa deposit besar yang diterimanya adalah sumbangan dari keluarga diraja Arab

Saudi dan menafikan mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Johor akan dipenuhi warga China?

Posted: 19 Jan 2017 05:29 AM PST

 


Sehingga 2008, Putrajaya dibangunkan dengan kos sekitar RM12 bilion. Kota pentadbiran baru kerajaan persekutuan itu pernah mendatangkan polemik politik pada 1998 yang dikatakan sebagai projek yang membazir.

Projek itu dikatakan membazir kerana dibangunkan ketika ekonomi Malaysia dalam keadaan tidak stabil dengan ringgit jatuh sehingga ke paras lebih RM3.50 berbanding AS$1 sehingga memaksa perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad menambat nilai ringgit.

Dr Mahathir akan dikenang sebagai perdana menteri yang membangunkan Putrajaya. Rumah rasmi perdana menteri yang kini didiami oleh Najib Razak dahulunya juga dituduh dibuat untuk memenuhi nafsu Dr Mahathir.

Rumah rasmi kerajaan itu khabarnya ada enam bilik. Ia pernah menimbulkan keraguan mengapa ada keperluan begitu sedangkan Dr Mahathir tidak memiliki sehingga enam orang anak.

Apabila melepaskan jawatannya kediaman itu digunakan oleh PM seterusnya.

Hari ini, kita saksikan sebuah projek yang berkali-kali ganda besarnya berbanding Putrajaya. Projek pembinaan empat pulau buatan manusia di Johor itu dinamakan Forest City.

Sebelum ini, rakyat Malaysia dan peminat bola sepak mungkin tersedar nama "Forest City" hanya pada jersi pasukan bolasepak JDT sahaja.

Projek berkenaan menjadi sebutan hangat kebelakangan ini apabila dikatakan akan menempatkan lebih 1.5 juta orang luar, khususnya dari China. Angka itu dipetik oleh Dr Mahathir sendiri, termasuk ketika melancarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Shah Alam tempoh hari.

Mungkin orang Johor sendiri belum begitu jelas, di manakah Forest City itu. Dua projek mega di Johor sebelum ini - Iskandar Malaysia dan projek Rapid di Pengerang - sudah berjalan dan sebahagiannya sudah siap.

Dengan dua projek itulah menjadikan Johor sebagai negeri tertinggi mendapat pelaburan asing di Malaysia.

Pasaran bukan untuk Melayu

Forest City bukanlah sebuah projek atas tanah negeri yang sedia ada. Bandar baru itu dibangunkan di kawasan laut wilayah Johor dengan empat pulau baru akan dibina hasil daripada tambakan laut.

Media luar melaporkan, projek berkenaan akan melibatkan kos sebanyak RM100 bilion, atau dengan mudah bolehlah dikira hampir 20 kali ganda daripada kos pembinaan Putrajaya.

Tentunya jumlah itu bukanlah kecil. Dalam pertumbuhan negara yang tidak begitu baik, hampir mustahil ada sebuah syarikat pembangun harta tanah mempunyai wang sebanyak itu untuk membangunkan projek yang 20 kali ganda berbanding pembinaan Putrajaya dahulu.

Oleh itu, projek berkenaan dilaporkan dibangunkan dengan wang dari luar, khususnya China. Di dalamnya juga dilaporkan akan dibina 700,000 kediaman yang harganya juga bukan kepalang tinggi dan mahal-mahal belaka.

Seperti persoalan yang dibangkitkan Dr Mahathir, siapakah antara rakyat Johor yang akan membeli unit-unit rumah di Forest City?

Nama Forest City itu saja sudah begitu "komersial" untuk pasaran luar, kerana ia tidak dinamakan dengan bahasa Melayu. Dari situ terhidu bahawa pasaran Forest City bukanlah untuk orang Melayu, dan bukan pula khususnya untuk orang Johor.

Populasi rakyat Johor hari ini adalah sekitar 3.5 juta orang, atau kira-kira 40 peratus lebih rendah daripada keseluruhan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur.

Mungkin munasabah untuk Dr Mahathir berasa bimbang mengenai siapa yang akan mengisi unit-unit kediaman yang akan dibangunkan di Forest City itu kelak, yang dilihat tidaklah seimbang dengan jumlah populasi rakyat Johor.

Inilah asas kebimbangan ke atas sebuah projek mega yang tidak pernah wujud bukan sahaja dalam sejarah Johor, tetapi juga dalam sejarah Malaysia.

Pada masa sama, projek tambakan laut dan pembinaan unit kediaman mewah bukan saja menimbulkan keresahan di negara kita, tetapi juga di beberapa kota dan negara lain di dunia.

Sebagai contoh, di Jakarta bantahan terhadap Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, bukan sahaja pada isu agama, tetapi kemasukan sejumlah besar orang China yang tidak terkawal dan membeli unit-unit kondominum mewah di kota raya itu.

Wajib jadi hebat semula

Kaum Tionghua Indonesia sendiri tidak begitu selesa dan tidak menyenangi orang Tionghua dari Tanah Besar China. Walaupun ciri-ciri kebudayaan mereka masih ada kesamaan, tetapi yang paling dibenci adalah aspek bahasa yang berbeza.

Masyarakat Cina Indonesia masih kental dengan semangat nasionalismenya dengan menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa harian, sedangkan orang Tionghua dari China tetap bercakap bahasa Cina sama ada di pusat beli-belah sehinggalah ketika menaiki teksi.

Apakah keadaan yang menimpa dan mulai mendatangkan masalah kepada warga Jakarta sekarang, akan berlaku pula di Johor?

Begitulah peringatan Dr Mahathir mengenai jumlah penduduk bukan pribumi yang ramai dan menguasai Singapura satu ketika dahulu akhirnya menjadi antara punca sebuah pulau milik Johor terlepas daripada kekuasaan penduduk asal, khususnya orang Melayu.

Semua itu berlaku apabila Temenggung menandatangani perjanjian dengan British. Keadaan bertambah parah dengan kelekaan penguasa Melayu yang mabuk dengan kemewahan sementara.

Bagaimana pesat, bersih dan hebatnya Singapura pada hari ini, pulau itu bukan lagi di bawah kuasa Melayu dan sudah pun terlepas daripada Malaysia. Pulau itu membentuk identitinya sendiri di tengah-tengah Nusantara yang dikuasa oleh pribumi sama ada di Malaysia mahupun Indonesia.

Menangis air mata darah pun, pulau atau wilayah yang sudah hilang akan tetap hilang. Persoalan hari ini adalah, apakah yang akan terjadi di sebuah lagi wilayah di dalam negara ini apabila begitu ramai pendatang dari luar - khususnya dari China - akan memilik unit kediaman di Johor?

Kesannya mungkin bukanlah dalam tempoh singkat, tetapi yang harus difikirkan untuk 20, 30, 50 atau 100 tahun akan datang.

Kita hanya tinggal kuasa yang akan menentukan bangsa, seperti lirik lagu Anak Kecil Main Api.

Mungkin benar, kuasa itu masih ada di tangan orang Melayu, iaitu kuasa mengundi untuk menggantikan sebuah kerajaan yang mengizinkan semua ini terjadi kepada kerajaan baru yang akan kembali membela nasib rakyat tempatan.

Selain diselamatkan, Malaysia wajib kembali menjadi hebat. Wajib!


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi


ANTARA NAJIB DAN DAP, SIAPA PATUT KITA TAKUTI?

Posted: 19 Jan 2017 02:57 AM PST

shahbudindotcom




Najib Razak adalah seorang Perdana Menteri. Lebih dari itu, berdasarkan pengakuannya sendiri mengenai kemasukan RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya, Najib juga adalah bilionaire.

Tetapi isi ucapannya mengenai DAP dua hari lalu hanya memperlihatkan beliau seperti seorang cybertrooper saja levelnya. 
"Selepas dicongak parti-parti di 'sebelah sana', macam mana pun DAP yang akan menguasai mereka.


"Tak mungkin PKR, AMANAH atau parti 'bunga' kerana kerusi mereka lebih sedikit berbanding DAP.
"Cuba bayangkan jika bumi Malaysia ini dikuasai DAP, apa implikasinya?
"Ingat boleh mengadu atau berteduh di bawah mereka? Di mana kita hendak meminta dan pada siapa hendak merayu?" kata Najib ketika berucap dalam satu majlis di Kuala Ketil, Kedah.


 Sebagai Perdana Menteri, Najib seharusnya bercakap dengan hujah yang lebih tinggi daripada itu untuk menyanggah DAP. Sebagai bilionaire pula, beliau sepatutnya mampu mengupah penasihat-penasihat yang baik untuk memberinya nasihat mengenai sesuatu isu yang hendak diperkatakannya, jika pun pemikirannya sendiri tidak mampu berbuat yang lebih baik.
Berucap dengan nada menakut-nakutkan rakyat mengenai DAP sudah tidak laku lagi di era telefon pintar ini. Jika cybertrooper upahan yang berhujah demikian, ia mungkin boleh diterima kerana memang level mereka membangkitkan sentimen-sentimen sempit seperti itu tanpa mengambil kira perubahan sekeliling.
Namun, bagi seorang Perdana Menteri yang merupakan pemimpin kepada seluruh rakyat dan semua kaum, bermain dengan sentimen kaum dan menakut-nakutkan seperti itu, jelas tidak boleh diterima dan masih terperangkap dalam dunia analog.
Apa yang membuatkan rakyat perlu takut dengan DAP?
Di Pulau Pinang, DAP menguasai kerajaan negeri dan di Selangor pula, Adun DAP juga paling ramai, pernahkah terdengar sesiapa yang tertindas, tidak boleh mengadu dan tiada tempat untuk berteduh?
Ada sesiapa yang mati atau merempat sejak dua negeri tersebut tidak ditadbir BN bermula 2008 yang lalu?
Dalam waktu yang sama, bayangan Najib bahawa DAP akan menang lebih banyak kerusi dan menguasai Pakatan Harapan tidak lebih hanyalah ketakutannya semata-mata. Ia tidak mungkin akan menjadi kenyataan.
Jika tsunami Cina yang sedia ada sekarang bercampur dengan tsunami Melayu yang bakal berlaku dalam PRU 14 akan datang, PKR, Bersatu dan Amanah sebenarnya mampu menampilkan lebih banyak wakil Melayu di Parlimen berbanding DAP.
DAP hanya akan bertanding 51 daripada 222 kerusi keseluruhannya. Untuk membentuk kerajaan, Pakatan Harapan memerlukan minima kemenangan 112 kerusi. 
Jika diandaikan DAP menang semua 51 kerusi yang ditandinginya sekali pun daripada 112 kerusi minima yang diperlukan untuk membentuk kerajaan, pihak yang lebih banyak kerusi tetap PKR, Bersatu dan Amanah. Ketiga-tiga parti ini adalah parti Melayu dan dikuasai Melayu.
Bagaimana pihak yang mungkin menang 51 daripada 112 kerusi boleh dianggap menguasai majoriti dan menjadi ketua?
Lagi pun, lawan DAP dalam piliharaya ialah MCA, MIC atau Gerakan. DAP tidak bertanding di kerusi Melayu atau berlawan dengan UMNO. Kalah atau menang DAP, kerusi-kerusi itu tetap diwakili oleh bukan Melayu dan ia adalah pembahagian komposisi berdasarkan kedudukan kaum di negara ini.
Di mana logiknya sesiapa harus bimbang atau takut dengan DAP?
Oleh itu, hanya seorang cybertrooper yang berlevel upahan saja sanggup bermain-main dengan sentimen menakut-nakutkan sebegitu tanpa mengambil kira dunia sebenarnya sudah banyak berubah. Seorang Perdana Menteri patut mampu menampilkan idea yang lebih baik daripada itu.
Menakut-nakutkan tentang DAP hanya umpana menakut-nakutkan orangramai tentang hantu. Hantu boleh diberi gambaran  yang bermacam-macam, tetapi wajahnya yang sebenar tetap misteri dan pelbagai.  Wajah hantu hanya muncul dalam filem atau khayalan semata-mata.
Hari ini, dengan peredaran masa, tidak ramai lagi yang takut dengan hantu, bahkan ramai yang mencari hantu dan berebut-rebut menonton filem hantu.
Begitu juga dengan DAP, ia tidak lagi ditakuti. Dengan peredaran masa di mana semakin ramai Melayu menyertai parti itu, DAP bahkan lebih disenangi berbanding dahulu.
Kalau mahu dibuat perbandingan, khususnya dari segi kepentingan dan masa depan negara, Najib sendirilah yang seharusnya rakyat lebih takuti. Sejak menjadi Perdana Menteri, melalui hubungan baiknya dengan Cina Jho Low@Eric Tan, mewujudkan 1MDB sehingga nama Malaysia masyhur di seluruh dunia dan kebelakangan ini menyerahkan pula banyak harta kepada negara China, tiada ketakutan yang lebih kita takut selain kekalnya Najib berkuasa lagi selepas PRU 14 nanti.
Tidak ada mana-mana pemimpin di dunia, hanya melalui hubungan dengan seorang individu bernama Jho Low@Eric Tan saja, seluruh dunia gempar dibuatnya.
Bukan DAP yang perlu kita takuti, tapi Najib yang sekian banyak onar, mungkin berganda lagi onarnya jika kekal berkuasa itulah yang perlu lebih menakutkan kita.


Felda Investment disusun semula, ahli lembaga pengarah letak jawatan

Posted: 19 Jan 2017 02:44 AM PST

Utusan Online ·


 

KUALA LUMPUR – Semua ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) diarah meletak jawatan dalam usaha untuk menyusun semula syarikat tersebut, menurut Pengerusi Felda yang baru dilantik, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

FIC merupakan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan.

"FIC penting kepada Felda. Saya sudah minta semua ahli lembaga FIC untuk letak jawatan," katanya dalam satu temu bual bersama Bernama.

Ini merupakan langkah pertama yang utama bagi Felda sejajar dengan pengumuman awal beliau mengenai rombakan pengurusan yang besar dalam Felda.

Perletakan jawatan oleh ahli lembaga pengarah FIC, katanya, akan membuka jalan untuk menyusun semula FIC.

"Kita kena ada pelaksanaan urus tadbir yang baik, jadi saya sudah minta (mereka) letak jawatan. (Saya akan susun semula dan) isi balik. Sekarang kita tak ada CEO pun," kata Shahrir.

FIC yang ditubuhkan pada 2 Julai, 2013 pada dasarnya terlibat dalam pembangunan hartanah, hospitaliti dan pelaburan strategik yang lain.

Objektif utama FIC ialah memberi tumpuan terhadap perniagaan strategik melalui pemerolehan atau kolaborasi yang mungkin memberi faedah kepada syarikat dan pihak berkepentingannya dalam jangka panjang.

Menurut laman web FIC, sepanjang penubuhannya, syarikat telah menandatangani beberapa perjanjian strategik termasuk pelaburan dalam IRIS Corporation Bhd, pengambilalihan syarikat pembangunan hartanah Encorp

Bhd dan pelaburan dalam Barakah Offshore Petroleum Bhd, yang menandakan penglibatan pertamanya dalam industri minyak dan gas.

Ada 'musuh dalam selimut' perjuangan Islam PPBM?

Posted: 19 Jan 2017 02:39 AM PST

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau telahpun menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya bahawa sekolah agama adalah ancaman pada perpaduan negara.
 
Bagaimanapun Biro Pendidikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu pihak polis meneruskan juga siasatan menurut Akta Hasutan, kerana 'ia telah mengguris perasaan masyarakat Islam di negara ini.' 
 
"Kenyataannya dilihat sengaja mewujudkan kebencian, menghasut dan menimbulkan perasaan yang tidak tenteram dalam kalangan masyarakat," kata pengerusi biro pendidikan PPBM, Mohd Rafiq Naiza Mohideen.
 
Perihal sensitifnya kenyataan seumpama ini memang sukar dinafikan. Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menganggap pemikiran Dr Dominic itu sebagai biadap dan tidak memahami sejarah pembinaan negara. 
 
"Jika atas alasan ada pelajar keluaran sekolah agama ekstremis maka kita boleh beri alasan pelajar sekolah vernakular, sekolah aliran Inggeris, aliran kebangsaan juga ada melahirkan ekstremis.
 
"Apakah kita mahu cadang supaya sekolah ini juga dihapuskan? Tentu tidak. Ini adalah kes yang terpencil," katanya dalam satu kenyataan media. 
 
Malah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati memberi pandangan terhadap sistem pendidikan terutama membabitkan sekolah aliran agama di negara ini. 
 
Katanya, jika ada pihak ingin mengaitkan sekolah agama sebagai ancaman perpaduan, mereka perlu terlebih dahulu memahami latar belakang pendidikan agama di negara ini yang tentunya sangat panjang.
 
"Tidak patut menuding jari mengatakan sekolah agama ada kaitan mana-mana pengganas kerana semuanya dipantau rapi kerajaan walaupun ia sekolah persendirian.
 
"Jika ada insiden yang berlaku, pihak yang mendakwa perlu spesifik dan tidak melabelkan sekolah agama secara keseluruhan," katanya.
 
Baik pemimpin PAS mahupun menteri Umno berkenaan memang wajar menegur kenyataan yang semberono sebegitu kerana tidak faham sejarah pembangunan pendidikan agama di Malaysia. 
 
Bagaimanapun bagi Biro Pendidikan PPBM untuk mengambil sikap yang kelihatan tegas begitu, ia seharusnya memahami sejarah perjuangan pemimpin-pemimpinnya terlebih dahulu.
 
Sebenarnya pemikiran yang agak tersasar daripada realiti sosio-politik Malaysia seperti yang disuarakan oleh Dr Dominic Lau bukanlah sesuatu yang baru.
 
Mungkin benar kata Naib Presiden PAS dan Menteri Pendidikan bahawa pandangan pemimpin Gerakan itu adalah kerana jahil soal sejarah pendidikan di negara ini. 
 
Bagaimanapun beliau segera menyedari keterlanjurannya dan memohon maaf tanda tidak mahu isu itu diperpanjangkan. 
 
Mahathir pernah 'setuju' sekolah pondok sarang ektremis
 
Bagaimanapun pada tahun 2001 seorang pemimpin negara yang mempunyai kuasa penuh bagaimana mahu menilai sistem pendidikan di Malaysia juga telah menghukum bahawa sekolah-sekolah agama adalah sarang ekstremisme.
 
Pemimpin berkenaan ialah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau akur dan tunduk pada pemikiran presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W Bush bahawa madrasah agama Islam ialah tapak penyemaian ideologi pengganas. 
 
Entah kerana takut ditekan oleh Amerika Syarikat secara politik atau ekonomi, Mahathir menarik balik semua bantuan pada Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) di Malaysia. 
 
Mungkinkah Dr Dominic Lau cukup bersetuju dengan pemikiran Mahathir itu sehingga gagal memahami sejarah dan realiti sosio-politik dan masih berpaut pada pemikiran Mahathir itu?
 
Anehnya, tidak seperti Dr Dominic, Dr Mahathir tidak pula menarik balik kenyataannya terhadap aktiviti sekolah-sekolah agama rakyat dan memohon maaf pada rakyat muslim di negara ini.
 
Namun syukurlah pengganti Mahathir sudahpun mengubah keputusan "kejamnya" terhadap SAR dan kini sistem integrasi pendidikan agama dan akademik sudah jauh berkembang. 
 
Sistem sekolah agama kerap membuktikan bahawa pelajar yang mengikuti silibusnya mampu menyesuaikan diri dengan tuntutan akademik sekolah arus perdana malah mencatat keputusan cemerlang. 
Dr Mahathir kerap juga menyuarakan rasa peliknya mengapa anak-anak Melayu profesional yang telah mendapat manfaat dari sistem pendidikan moden berlumba-lumba menghantar anak mereka belajar ke sekolah tahfiz dan agama.
 
Soalnya, bagaimana PPBM mahu menjadi juara mempertahankan sistem pendidikan agama Islam sedangkan pengerusinya sendiri tidak yakin dengan manfaat dan kebaikan sistem berkenaan? 
 
Amat malang bagi penyokong PPBM yang tidak memahami sejarah politik pemimpin mereka yang  sebenarnya tidak merestui dan tidak berkongsi sentimen dengan mereka. 
 
Bolehkah sikap, pemikiran yang negatif terhadap sistem pendidikan Islam ini dianggap sebagai satu unsur "musuh dalam selimut" dalam perjuangan PPBM mendaulatkan sistem pendidikan agama di Malaysia?
 
 

PAS tiada kata putus, PPBM teruskan hubungan dengan PH - Tun M

Posted: 19 Jan 2017 02:34 AM PST

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memujuk PAS agar menyertai Pakatan Harapan (PH) masih kabur meskipun sudah beberapa kali duduk sepentas.
 
Justeru, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, partinya perlu meneruskan kerjasama dengan PH sebagaimana perjanjian yang sudah dimeterai, 13 Disember lalu.   
 
"Kita akan putuskan dan kita beri masa yang panjang untuk PAS membuat keputusan dan kita telah berunding dengan mereka. Tapi sehingga sekarang mereka tidak beri kata putus.
 
"Jadi kita akan putuskan, sama ada mereka menyertai Pakatan (Harapan) atau tidak, kita akan teruskan rundingan dan kita akan sertai Pakatan Harapan secara satu daripada anggotanya," katanya kepada pemberita selepas hadir di program Warga Putrajaya bersama Tun M di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, malam tadi.
 
Beliau sebelum itu ditanya apakah tindakan PAS yang enggan menjalin hubungan bersama Amanah dan DAP bakal menjejaskan hasrat pembangkang menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Amanah dan DAP merupakan parti yang membentuk PH bersama PKR. 
 
PAS sebelum ini menegaskan tidak akan menjalin hubungan dengan kedua-dua parti yang dianggap mereka sebagai musuh dan pengkhianat.
 
Ketika menganjurkan ceramah mega tidak lama sebelum ini, PAS hanya menjemput PKR dan PPBM untuk sepentas dengan mereka.
 
Terbaru, PAS memutuskan tidak menghantar seorang pun wakil ke majlis perasmian PPBM, Sabtu lalu, kerana dua seterunya, Amanah dan DAP turut hadir pada majlis tersebut. 
 
Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad, PAS tidak mempunyai hubungan politik dengan kedua-dua parti tersebut menyebabkan pimpinan sebulat suara mengambil keputusan tidak hadir ke pelancaran PPBM.
 
Sekalipun Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi keperluan untuk pembangkang bersatu, namun kenyataan seorang lagi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang mengesahkan partinya masih tiada kata putus bersabit perkara itu, menyukarkan lagi hasrat berkenaan.
 
Sikap dolak dalik PAS itu menyebabkan Dr Mahathir menyifatkan PAS sebagai parti yang memecah-belahkan undi pembangkang dan membawa kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
 
 

Akhirnya Anina Saaduddin buka mulut isu gugur ‘Srikandi PPBM’

Posted: 19 Jan 2017 02:32 AM PST

Antarapos ·


 

SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin pada Selasa mempertikaikan alasan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan soal prestasi sebagai sebab penggugurannya daripada jawatan Ketua Srikandi parti.

Menerusi satu kenyataan media sebentar tadi, Anina berkata, sejak mengangkat sumpah jawatan pada November tahun lalu, beliau banyak menggerakkan sayap berkenaan tanpa sesen pun bantuan kewangan daripada parti.

"Saya telah mengangkat sumpah pada 2 November 2016 dan menyerahkan cadangan barisan kepimpinan Srikandi Pusat dan Negeri pada 17 November 2016 namun Presiden tidak membuat sebarang tindakan terhadap fail tersebut.

"Saya telah mengatur pertemuan dengan hampir kesemua Srikandi di negeri-negeri seluruh Semenanjung dan ianya dilakukan dalam tempoh 100 hari tanpa sesen pun peruntukan dari PPBM. Mungkin KPI nya dirahsiakan dari saya," tulis Anina.


Beliau dalam pada itu turut memberikan reaksi terhadap kenyataan yang dikeluarkan beberapa pimpinan PPBM bersabit spekulasi pengguguran jawatannya.

"Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan saya tidak disyorkan untuk menjadi Ketua Srikandi kerana isu peribadi yang menjejaskan imej parti.

"Jika benar ada bukti sahih dan kukuh serta dengannya telah mencemarkan imej parti, maka saya mengesyorkan supaya saya dipecat dari parti," katanya.

Anina juga menyangkal kenyataan Ketua Penerangan, Kamaruddin Md Noor yang menyatakan beliau sejak awal tidak pernah menjadi ketua Srikandi.

"Jika saya tidak pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi, adakah tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz telah melakukan kesilapan setiap kali menyebut nama saya sebagai Ketua Srikandi dalam ucapan serta ceramah di seluruh negara?

"Kamaruddin Mat Nor mungkin tidak sesuai memegang jawatan Ketua Penerangan jika gagal bercakap dengan tepat. Mungkin beliau tidak banyak tahu sejarah PPBM kerana baru muncul setelah ditawarkan jawatan tersebut," katanya.

Berhubung kenyataan Setiausaha Agung, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang menyatakan bahawa angkat sumpah jawatan Ketua Srikandi pada 2 November lalu adalah kesalahan teknikal, Anina mencadangkan Shahruddin menyemak kembali watikah asal.

"Di manakah kesilapan teknikal yang dimaksudkan oleh SUA? Jika ianya terletak pada watikah angkat sumpah jawatan pada 2 November 2016 yang lalu, mungkin SUA boleh menyemak kembali watikah 'original'. Beliau baru kembali dari Mekah, sudah pasti beliau akan bercakap benar," katanya.

Tambah Anina, beliau tampil membuka mulut bukan disebabkan jawatan, tetapi mahu memperjuangkan maruah.

"Jika ianya kerana jawatan dan wang, saya tidak akan berdiri di hadapan rakyat pada hari ini menentang manusia paling berkuasa di Malaysia. Tetapi saya merasakan bahawa parti telah melayan saya dengan kurang bijak," katanya.

Isu jawatan Anina hangat melatari PPBM selepas pemimpin wanita itu dikaitkan terlibat dalam satu skandal seks apabila 'screenshot' perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan, tersebar.

Anina bagaimanapun memilih untuk mendiamkan diri daripada melayan isu berkenaan ekoran tiada bukti sahih.

"Meskipun ada yang mempertikaikan pilihan saya untuk berdiam diri namun saya terangkan kepada Tun M semalam alasan saya. Biar ianya menjadi perkongsian hanya antara saya dan Tun M. Tidak perlu mengaibkan sesiapa dan tidak perlu merosakkan hidup sesiapa," ulas Anina.

Anina juga menafikan spekulasi beliau akan kembali kepada Umno ekoran kontroversi yang melanda dirinya itu.

Mengenai persoalan sama ada beliau akan terus bersama Majlis Pimpinan Tertinggi dan mengekalkan keahlian dalam PPBM, ujar Anina, ia akan dijawab selepas memikirkan sedalam-dalamnya nasihat yang diberikan Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika siri pertemuan hati ke hati baru-baru ini.

Dalam pada itu tambah Anina, beliau akan memberikan sokongan penuh kepada calon yang akan dilantik menggantikannya sebagai Ketua Srikandi kelak.

Status ahli Parlimen Khalid Samad jadi tanda tanya

Posted: 19 Jan 2017 02:24 AM PST

Oleh Haizal Yathiran
Post Pic


KLANG: Mahkamah Rendah Syariah hari ini mengenakan hukuman denda RM2,900 ke atas Khalid Abdul Samad selepas Ahli Parlimen Shah Alam itu disabit kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Hukuman itu menimbulkan tanda tanya mengenai status Khalid sebagai Ahli Parlimen Shah Alam.

Dibawah artikel 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen secara automatik dilucutkan daripada memegang jawatan itu sekiranya disabit kesalahan dan dihukum denda tidak kurang daripada Rm2000 atau penjara tidak kurang setahun.

Khalid bagaimanapun memebritahu keputusan tersebut masih bergantung pada rayuan yang akan dibuatnya Jumaat ini.

"Mungkin (hilang kelayakan MP) tapi bila kita dah buat rayuan maka keputusan berhubung hilang kedudukan saya sebagai anggota parlimen akan ditangguh sehingga keputusan rayuan itu sendiri," katanya kepada pemberita.

Pengarah Komunikasi parti Amanah itu akan membayar denda RM2,900 tetapi memberitahu wartawan beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Syariah itu.

"Pada hari ini kita akan membayar dulu denda RM2,900, selepas itu kita akan buat rayuan ke atas keputusan yang telah dibuat," katanya kepada pemberita.

Khalid pada 16 Ogos 2011 ditahan mengikut Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Selangor ketika sedang mengajar agama di Surau Taman Seri Sementa, Klang.

Berikutan itu, beliau mempertahankan tindakannya mengajar di surau berkenaan kerana mahu menceritakan pengalamannya ketika membantu rakyat Palestin di Gaza.

Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim ketika membaca penghakimannya memberitahu denda itu dijatuhkan sebagai teladan kepada umum agar tiada yang mengulanginya.


SPR umum PRK Tanjong Datu 18 Feb, penamaan calon 4 Feb

Posted: 19 Jan 2017 02:21 AM PST

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan DUN Tanjong Datu, Sarawak akan diadakan 18 Februari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.
 
Beliau berkata suruhanjaya itu dalam mesyuarat khas hari ini juga menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK itu pada 4 Februari, manakala pengundian awal pada 12 Februari.
 
PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Tan Sri Adenan Satem,akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lepas, di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.
 
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.
 
Jazolkipli hanya meraih 468 undi.
 
Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006.
 
 

.Amanah akan pastikan PAS tiada peranan di Selangor

Posted: 19 Jan 2017 02:18 AM PST

ANTARAPOS.COM

Post Pic
PETALING JAYA: Amanah berikrar PAS tidak akan ada peranan jika Pakatan Harapan (PH) menang lagi di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, parti itu akan mempastikan PAS tidak lagi menjadi sebahagian kerajaan negeri Selangor seperti sekarang.
"Selagi mana PAS tidak masuk dalam PH, kita tidak akan ambil kira mereka," katanya dipetik sebuah portal.
PH yang menyatukan PKR, DAP dan Amanah di samping kerjasama dengan PPBM, menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur ekoran perselisihan PAS dan DAP.
PAS kini mempunyai 13 kerusi daripada 56 kerusi negeri di Selangor, manakala 3 daripada exco negeri diwakili parti itu.
Negeri itu ditawan daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU 2008, dan sekali lagi dengan majoriti lebih besar pada 2013.
Salahuddin berkata, PAS kini bertahan di Selangor bukan demi akidah tetapi sebab kuasa.
"Mereka tersangkut di situ kerana kuasa, bukan demi akidah sangat. Yang lain mereka maki hamun, tetapi di Selangor tidak, ia kerana mereka ada kuasa," katanya.
Salahuddin berkata salah satu sebab utama Pakatan akan terus memerintah Selangor adalah disebabkan kurangnya pemimpin berkaliber BN, khususnya Umno.
"Jangankan di Selangor, jika kita lihat di peringkat persekutuan, selepas Datuk Seri Najib Razak, siapa penggantinya? Bariskan siapa yang layak mengambil alih.
"Mereka (Umno dan BN) tidak ada pemimpin yang menyakinkan. Jika di Selangor, Datuk Seri Jamal Yunos lebih popular daripada Tan Sri Noh Omar," katanya merujuk Jamal, ketua Umno Sungai Besar, dan Noh yang mengetuai Umno Selangor.
Salahuddin berkata apabila PAS tidak bersama PH, Amanah sebagai parti yang turut membawa ciri "Islamik" bertanggungjawab memenuhi kekosongan ditinggalkan PAS.

Polis: Adun BN Terengganu dibunuh pembunuh upahan licik

Posted: 19 Jan 2017 02:11 AM PST

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menemui petunjuk baharu berhubung kes pembunuhan bekas Adun Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, yang mati ditembak pada 9 Oktober 2015.
 
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, petunjuk baharu itu diperoleh susulan kejayaan pihaknya menyelesaikan beberapa kes jenayah menggunakan pistol di negeri itu, baru-baru ini.
 
"Apa yang boleh saya beritahu memang ada petunjuk baharu dan siasatan masih berjalan untuk memburu suspek dan siapakah dalang di sebalik pembunuh upahan itu.
 
"Memang siasatan ini mengambil masa agak lama berbanding kes pembunuhan lain kerana ia dilakukan kumpulan pembunuh upahan yang sangat licik.
 
"Namun, dengan kepakaran dan keupayaan kami serta kerjasama dengan sumber dari Bukit Aman, gerakan memburu suspek masih dijalankan dan kami sedang lakukan yang terbaik untuk selesai kes ini," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Terengganu hari ini.
 
Dalam kejadian 2 petang itu, Alias mati ditembak pada jarak dekat selepas didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal, di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.
 
Ditanya sama ada kematian mangsa mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan sepupunya, Mat Jusoh Ali, 56, juga dikenali Cikgu Zaki yang mati ditembak 2 bulan sebelum itu, Rosli berkata, pihaknya percaya pembunuhan itu dilakukan kumpulan pembunuh upahan sama dan didalangi orang sama.
 
"Kalau kita lihat arwah Alias dan arwah sepupunya, Cikgu Zaki itu terlibat dengan politik di kawasan sama (Marang), jadi kami percaya pembunuhan mereka berdua disebabkan motif sama.
 
"Kerana lepas pembunuhan Alias, tiada lagi kes pembunuhan baharu, cuma kami memang tolak motif politik dan siasatan lebih menjurus kepada kewangan dan perniagaan," katanya.
 
Cikgu Zaki yang juga bekas pesara guru itu pula maut dipercayai terkena tembakan jarak jauh di kawasan rumahnya, di Kampung Padang Midin, dekat sini, pada 9 Ogos 2015.
 
 

Jangan lagakan saya dengan menteri, kata Annuar

Posted: 19 Jan 2017 02:09 AM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan pihak luar agar tidak melaga-lagakan dirinya dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Yaakob.
 
Beliau merujuk mengenai isu yang membabitkan tajaan dua anak syarikat agensi persekutuan itu kepada pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).
 
"Jangan cuba nak laga-lagakan, saya bukan orang yang mudah untuk nak dilaga-lagakan begitu.
 
"Menteri cakap, menteri perlu tahu perinciannya, beliau sedang tunggu laporan, beliau belum tengok lagi bila dibayar, ditaja dan sebagainya, dan orang tanya adakah ini akan menjejaskan MARA? Dan menteri kata kerana itu anak syarikat MARA, kalau negatif, ia akan terjejas.
 
"Tetapi negatif atau positif beri peluang untuk menteri kaji, jadi jangan terus ambil dari satu sudut yang luar daripada konteks apa yang menteri cakap," katanya kepada pemberita.
 
Beliau ditemui selepas menghadiri Hari Terbuka dan Perasmian KIMAR, di Batu Caves, petang tadi.
 
Ismail, pada dua hari lalu mengakui MARA terjejas dengan penajaan oleh dua anak syarikatnya kepada TRW.
 
Kementeriannya juga mahu mendapatkan laporan penuh berhubung siasatan yang membabitkan tajaan itu, sambil menambah setiap penajaan perlu dihentikan buat sementara waktu.
 
"Jadi bila menteri kata sesuatu kita di bawah kena ambil tindakanlah, tidak perlu kita timbulkan polemik yang negatif," tambah Annuar lagi.
 
Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum ini telah menafikan dakwaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa beliau menggunakan kedudukannya di MARA dan UniKL untuk mendapatkan penajaan kepada TRW.
 
 

PAS sudah tidak lagi sayang Mahfuz atau sebaliknya?

Posted: 19 Jan 2017 02:06 AM PST

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Penganjur majlis politik malam Ahad lalu di Stadium Malawati, Shah Alam ialah Parti Pribumi Bersatu (PPBM) sempena pelancaran rasminya.
 
Bagaimanapun yang terkesan dan agak cemas kerana ketidakhadiran PAS ialah bekas Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar. 
 
Ahli Parlimen Pokok Sena itu lantang mengkritik pimpinan PAS kerana tidak menghantar seorangpun wakil ke majlis perasmian PPBM) itu. Mahfuz hadir sebagai individu dan tidak mewakili PAS.
 
Mahfuz bertindak demikian kerana bimbang  ketidakhadiran PAS itu akan menghantar isyarat yang salah bahawa PAS tidak menyokong parti pimpinan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, bingkas menyahut bidasan Mahfuz. Katanya, PAS mempunyai program serentak dengan pelancaran PPBM. 
 
Oleh itu, ujar Idris, Mahfuz sewajarnya mendapatkan penjelasan daripada parti terlebih dahulu sebelum melontarkan kritikan.
 
"Dia (Mahfuz) tahu tak sebab apa (kita tak hadir). Kita (masa itu) ada program sendiri," katanya merujuk kepada Himpunan RUU 355 peringkat Wilayah Persekutuan, yang turut diadakan pada malam Sabtu lalu. 
 
"Tanya lah dulu, tak elok la panaskan keadaan," bidas Idris.
 
Ketika ditanya sama ada parti akan mengambil tindakan terhadap Mahfuz kerana mengkritik parti di samping kerap menghadiri majlis anjuran Pakatan Harapan (PH), Idris sambil berseloroh berkata parti tidak ambil pusing hal berkenaan. 
 
"Kita pun tak peduli masalah dia," kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.
 
Mahfuz terus lancar serangan 
 
Bagaimanapun Mahfuz seolah-olah tidak menghiraukan penjelasan Idris dan beralih memberi tumpuan mengkritik seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad.
 
Menurut Iskandar, ketidakhadiran PAS ke majlis PPBM itu kerana dua seterunya -- Amanah dan DAP turut hadir pada majlis PPBM itu.
 
Menurutnya, PAS tidak mempunyai hubungan politik dengan kedua-dua parti berkenaan menyebabkan pimpinan sebulat suara tidak hadir ke pelancaran PPBM. 
 
Tambah Iskandar, pihaknya kecewa apabila pelbagai tuduhan dan dakwaan dilempar kepada PAS kerana isu 'tidak hadir' tersebut termasuk mengatakan ia seolah-olah menghina Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti pembangkang keseluruhannya.
 
Mahfuz Omar mempersoalkan, adakah kenyataan Iskandar itu isyarat bahawa selepas ini Exco PAS Selangor akan 'memulau' semua aktiviti atau mesyuarat yang dihadiri DAP?  
 
"Pada saya kenyataan dan penjelasan Iskandar sangat mengejutkan dan mengundang risiko yang besar kepada kelangsungan politik PAS khususnya kedudukan PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
 
"Kenyataan tersebut seolah-olah memberi isyarat kepada Datuk Seri Mohd Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor bahawa tiga anggota exco negeri Selangor dari PAS tidak akan hadir mesyuarat akan datang dan sekali gus akan melepaskan jawatan masing-masing.
 
"Ini kerana exco kerajaan negeri Selangor juga terdiri daripada wakil DAP dengan jumlah bilangan mereka sama dengan anggota PAS," kata Mahfuz dalam satu kenyataan media.
  
Iskandar memberitahu bahawa ketidakhadiran PAS dalam majlis PPBM itu adalah kerana kehadiran Amanah dan DAP yang sudah tidak mempunyai kaitan hubungan politik parti itu.
 
Malah menurut Mahfuz lagi, adalah tidak mustahil sekiranya semua ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada PAS di Selangor akan melakukan perkara yang sama kerana wakil DAP dan Amanah turut ada dalam badan itu. 
 
Selain itu kenyataan ini juga mungkin menjadi penamat hubungan di antara PAS-PKR dan tidak akan menjalin hubungan dengan PPBM yang telah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bersama Amanah dan DAP.
 
Pendirian PAS jelas dan konsisten
 
Yang agak memusykilkan ialah pendirian PAS dalam isu tahaluf dengan PKR dan menghormati mandat pengundi yang jelas mahu PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP memerintah Selangor, adalah jelas.
 
Sementara pendirian PAS terhadap Amanah dan DAP juga jelas. PAS tidak mahu bekerjasama dengan DAP yang dianggap tidak mesra dengan perjuangan Islam PAS dan dengan Amanah yang dicap mengkhianati perjuangan PAS.
 
Justeru kritikan Mahfuz yang cuba mengaitkan dua prinsip kerjasama PAS dalam kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama politik dengan DAP dan Amanah, amat mengelirukan. 
 
Walhal sebagai pemimpin veteran PAS, seharusnya Mahfuz faham dan menyokong pimpinan Pusat PAS dalam menghayati dua pendirian yang jelas itu.
 
Lantas perlu diperinci adakah kritikan Mahfuz itu sebenarnya membantu perjuangan PAS jangka panjang atau mengeruhkan lagi keadaan sejak parti itu "dikhianati oleh DAP dan Amanah".
 
Dalam perkataan lain, adakah Mahfuz faham, kasih dan setia pada perjuangan PAS atau sudah "jatuh cinta" pada perjuangan parti-parti pembangkang lain, terutama PPBM.
 
Yang mendorong Mahfuz mengkritik PAS ialah kebimbangannya PPBM akan "kecil hati" dan ini disokong oleh kecenderungannya menyertai aktiviti PPBM yang mungkin tanpa mendapat "restu dan izin".
 
Sikap cuba membezakan kelakuan politiknya dengan pemikiran arus perdana pimpinan PAS mula menonjol sejak Mahfuz menolak tawaran pimpinan PAS untuk menjadikan beliau Ketua Penerangan parti itu. 
 
Kenyataan-kenyataan yang dibuatnya yang sering menyindir pimpinan PAS lebih mirip bekas-bekas pemimpin PAS yang meninggalkan parti itu dan menubuhkan parti Amanah.
 
Anehnya, Mahfuz tidak pula menyertai pasukan pemimpin yang kecundang menjatuhkan pimpinan ulama dalam PAS walaupun dalam banyak keadaan Mahfuz bersuara ala-pemimpin Amanah!
 
Namun bak kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad: "Kita pun tak peduli masalah dia.

Tiada ulasan: