Tak boleh janji bebas Anwar sekarang, kata Dr M Posted: 15 Sep 2016 03:01 AM PDT MALAYSIAKINI
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan masanya belum tiba untuk membincangkan perjuangan membebaskan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas perdana menteri itu berkata agenda yang dinyatakan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tidak dapat dijanjikan dan hanya akan dipertimbang sekiranya parti itu menakluki kerajaan.
"Segala rancangan yang ingin dibuat oleh semua parti itu akan datang
kemudian. Pada masa ini kita tidak boleh janji kerana kita tidak ada kuasa.
"Kalau itu kehendak semua takkan kita nak kata tidak boleh pula. Kita akan lihat kemudian mengenai perjuangan (bebaskan Anwar) itu," kata Dr Mahathir di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau bercakap kepada pemberita di luar Mesyuarat Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) peringkat kebangsaan kali ke-55.
Dr Mahathir juga berkata beliau belum membuat keputusan untuk menghadiri perhimpunan Bersih 5 dan tiada rancangan untuk berucap pada perhimpunan yang dijangka diadakan pada 19 Nov.
Sementara itu mesyuarat dua hari Perkim itu yang berakhir hari ini memilih calon Ahli Majlis Kebangsaan.
Dr Mahathir menang tanpa bertanding mengekalkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Perkim bagi sesi 2016-2019 dan Datuk Dr Abu Bakar Shaari kekal sebagai pengerusi tetap menewaskan calon dari cawangan Kuala Langat, Husain Anjang Pulau.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjadi Naib Yang Dipertua Perkim Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata 'Bebaskan
Anwar' tidak patut dijadikan agenda perjuangan dan jika ia dilaksanakan, maka pembangkang juga perlu memperjuangkan pembebasan tahanan lain di negara ini.
"Kalau nak bebaskan Anwar, kena bebaskan semua. Jika perjuangan nak bebaskan individu tertentu sahaja bagaimana pula nasib ramai lagi tahanan lain.
"Mungkin mereka (tahanan lain) kecil jadi mereka tidak dilihat," katanya.-Bernama
|
Khasiat Kacang Bendi Posted: 15 Sep 2016 03:01 AM PDT Oleh: HASNITA PaMa
Sayur kacang bendi terkenal sebagai sayur tambahan dalam masakan kari atau pun asam pedas. Ada orang kurang menggemari sayur bendi kerana lendir yang ada di dalamnya.
Namun terdapat banyak khasiat tersembunyi di dalam sayur ini. Buahnya dikatakan mampu membantu menguatkan otak serta menambah daya ingatan dan kecerdasan.
Sementara biji, akar serta bunganya kalau direbus boleh membantu melawas pembuangan air kecil serta mengurangkan bengkak atau radang.
Bahkan ada orang mengamalkan makan bendi kerana dikatakan mampu mengurangkan masalah sukar bersalin.
Air rebusan biji,akar, serta bunganya boleh dijadikan ubat pada pelbagai kudis dan bisul. Air rebusan buahnya kalau dicampur dengan gula memang sesuai dijadikan sebagai sirap ubat batuk atau merawat sakit kerongkong. Lendir yang terdapat dalam buahnya boleh dijadikan krim penyejuk serta melembutkan kulit.
Air rebusan buahnya boleh juga digunakan untuk meredakan bengkak saluran kerongkong dan hidung.
Dikatakan kacang bendi baik amat untuk rawatan penyakit kencing manis. Caranya ialah dengan mengambil dua biji kacang bendi. Potong kedua hujungnya. Turis bahagian tengahnya. Rendam dalam segelas air semalaman (tutup gelas). Keesokannya, keluarkan kacang bendi dan terus minum airnya. Lakukan selama dua minggu.
|
SSK, TOKOH PELAWAK NEGARA!! Posted: 15 Sep 2016 02:43 AM PDT
Sejak adanya Salleh Said Keruak dalam kabinet kerajaan lebih setahun yang lalu, ramai antara kita sebenarnya tidak memerlukan lagi Harith Iskandar, Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Sepahtu dan lain-lain pelawak untuk menghiburkan hati.
Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan Salleh sudah cukup terasa menggelikan hati, malah kadang-kadang mampu membuatkan kita ketawa atau senyum selama berhari-hari.
Kenyataan terbaru beliau berkaitan WSJ berikutan pendedahannya berhubung perbelanjaan mewah Rosmah Mansor sebanyak RM24 juta antara tahun 2008 hingga 2015 untuk pembelian pakaian, kasut dan barang-barang kemas, amat-amatlah menggelikan hati. Salleh menyarankan WSJ yang berpangkalan di Amerika Syarikat agar meletakkan calon dalam pilihanraya umum datang kerana mendakwa akhbar tersebut mempunyai minat dan kecenderungan mendalam terhadap hal ehwal politik Malaysia.
Mereka berkelakuan seperti ahli politik dan berkempen, bukannya sebagai media yang boleh dipercayai dan bebas, tambahnya lagi.
Kenyataan Salleh kali ini bukan saja membuat manusia terasa geli hati dan ketawa, bahkan haiwan di hutan dan ikan-ikan di lautan boleh jadi sama-sama terdampar kegelian.
Mana tidaknya, dalam usaha untuk mempertahan, membela dan membodek Najib, Salleh nampaknya sanggup sehingga berkata apa saja.
Kerapkali kata-katanya tidak menggambarkan kedudukannya sebagai menteri, tapi cuma bercakap untuk menampakkan seolah-olah beliau dilihat bekerja oleh Najib.
Sebab mengapa pendedahan demi pendedahan oleh media antarabangsa, khususnya WSJ lebih tertumpu kepada Malaysia dan tidak negara-negara lain adalah kerana salah Najib juga. Ia bukan salah sesiapa.
Jika Najib dapat mengawal isterinya sepertimana Tun Razak membatasi Tun Rahah atau seperti Tun Mahathir mengawal Tun Siti Hasmah, tidak berkawan dengan Jho Low, tidak menubuhkan 1MDB dan tidak menerima wang ribu-ribu juta melalui akaun peribadinya, barangkali tumpuan terhadap Malaysia hanyalah biasa-biasa saja.
Apa yang didedahkan oleh WSJ ialah kerana wujud kesalahan yang dilakukannya. Dalam kes pembayaran menggunakan kad kredit Najib sebanyak RM24 juta misalnya, maklumat berkenaan tentu saja dalam pengetahuan syarikat kewangan tertentu dan tidaklah mustahil WSJ turut dikongsi maklumat itu.
Apa yang perlu Salleh lakukan ialah menjawab dan membuat penafian berfakta, atau menggesa Najib menyaman jika ia fitnah dan bukannya dengan melencongkan hujah dengan meminta WSJ bertanding dalam pilihanraya.
Itu kelakar namanya bahhh....
Dengan meminta WSJ bertanding dalam pilihanraya, ia samalah seperti meminta Utusan atau TV3 turut bertanding meletakkan calon di Selangor, Pulau Pinang atau Kelantan.
Maka, selayaknya Salleh dianugerahkan Tokoh Pelawak Negara dalam UMNO - dulu, kini dan selamanya. |
Mat Puling ditangkap lagi Posted: 15 Sep 2016 02:36 AM PDT ISKANDAR OTHMAN Nik Ros Azhan (dua,kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas daripada kumpulan Mat Puling. BUKIT MERTAJAM - Tidak serik melakukan jenayah. Itu yang boleh dikatakan terhadap seorang lelaki apabila dia yang baharu sahaja dibebaskan dari penjara Mac lalu ditahan semula kerana disyaki melakukan jenayah samun, pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar negeri ini.
Suspek yang dikenali sebagai Mat Puling, 37, ditahan bersama empat lagi rakan jenayah termasuk isterinya dalam tiga serbuan berasingan Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, hasil risikan dan maklumat awam pihaknya berjaya mengesan suspek dan rakannya di sebuah rumah di Kampung Selamat, Tasek Gelugor pada jam 12.45 tengah hari.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan isterinya yang berusia 29 tahun di Taman Mahsuri, Padang Serai, Kedah selain dua lelaki yang masing-masing berusia 21 tahun di kawasan Bukit Mertajam pada hari yang sama.
"Mat Puling dan rakannya yang ditahan di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disyaki terlibat dengan kes samun seorang pensyarah sebuah universiti di sini di kawasan tali air, Jalan Kubang Semang pada 23 Ogos lalu.
"Hasil siasatan lanjut akhirnya membongkar kegiatan kumpulan ini yang aktif melakukan jenayah di sekitar negeri ini, Kedah dan Perak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, ketika serbuan dilakukan pihaknya berjaya menemui beberapa motosikal yang disyaki dicuri selain rangka dan komponen motosikal yang dileraikan daripada kumpulan terbabit.
Selain itu, turut ditemui beberapa buah telefon pintar, emas yang telah dileburkan dan beberapa keping surat pajak gadai.
Katanya, semakan dibuat mendapati Mat Puling mempunyai 16 rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah dan samun manakala isterinya juga mempunyai satu rekod kesalahan dadah.
"Kita turut menahan empat lelaki yang merupakan pembeli barangan yang dicuri oleh kumpulan terbabit dan kesemuanya kini direman sehingga esok.
"Dengan tertangkapnya kumpulan ini kita berjaya menyelesaikan lebih 10 kes jenayah yang dilakukan kumpulan terbabit,"katanya.
Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,Seksyen 427 Kanun Keseksaan kenana melakukan khianat dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.
Sementara Mat Puling ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) untuk siasatan lanjut.
|
Amanah umum sokong Bersih 5 Posted: 15 Sep 2016 02:32 AM PDT Mohamad Sabu SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengumumkan menyokong penganjuran Himpunan Bersih 5 pada 19 November depan. Menurut Presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu, demonstrasi atau tunjuk perasaan secara aman tidak akan membawa kepada huru-hara atau malapetaka kepada mana-mana negara. Malah katanya, ia bukan perkara luar biasa kerana ada negara maju yang membenarkan rakyatnya berdemonstrasi atau tunjuk perasaan tanpa kekerasan. "Di antara negara yang rakyatnya selalu berdemonstrasi termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman dan hampir seluruh negara EU. Jepun, Taiwan, Hong Kong, Thailand, Indonesia juga tidak ketinggalan meraikan ruang demokrasi ini. [ARTIKEL BERKAITAN: Bersih 5: PKR bincang dulu baru umum] "Rakyat di negara-negara ini selalu keluar secara beramai-ramai menyatakan ketidaksukaan mereka terhadap sesuatu perkara atau sesuatu isu yang dilakukan oleh pemimpin di negara mereka, atau tunjuk perasaan terhadap kuasa besar atau mana-mana negara lain yang mengancam negara mereka," katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya lagi, perhimpunan aman bukanlah faktor penentu turun naik jumlah kedatangan pelabur ke negara ini. "Pelabur-pelabur sentiasa datang kerana mereka tahu negara tersebut aman dan rakyat sentiasa diberi peluang untuk bertindak tanpa mengangkat senjata. "Sebaliknya, negara-negara diktator yang tidak mengizinkan demonstrasi aman dan berakhir dengan peristiwa berdarah berlaku di negara-negara timur tengah. Negara itu tidak disukai oleh para pelabur," katanya lagi. |
Hubungan Umno-MIC tak terjejas, kata Nazri Posted: 15 Sep 2016 02:27 AM PDT ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, kenyataannya berhubung prestasi MIC tidak akan menjejaskan hubungan di antara kedua-dua parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) itu. Meskipun 'pedas' ujar Nazri, beliau yakin apa yang diperkatakannya itu tidak akan menjejaskan hubungan Umno-MIC, tidak seperti parti-parti lain dalam pembangkang. "Pada saya (apa yang saya katakan) tidak akan menyebabkan perpecahan parti kita dalam BN, saya masih yakin ini, sebab itu saya membuat kenyataan tersebut. "Jika MIC tak kenal (Umno) serangan saya akan memang berniat untuk menyakiti mereka "Tetapi hubungan kami begitu akrab, ini tidak akan menjejaskannya," kata Nazri yang dipetik sebuah portal. Beliau berkata demikian sebagai mengulas rasa kurang senang yang disuarakan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam. Nazri sebelum ini dilaporkan memberitahu Malay Mail Online bahawa Umno adalah parti dominan dalam BN kerana parti-parti lain terpaksa bertanding di kerusi yang selamat. Beliau memetik Subramaniam yang ujarnya berasal dari Pulau Pinang tetapi bertanding di Segamat, Johor. Memahami ketidakpuasan hati Subramaniam, Nazri berkata beliau yakin MIC akan bertambah baik di bawah kepimpinan Menteri Kesihatan itu. "Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap Subramaniam. Dengan beliau menerajui MIC kita akan menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang," ujarnya. Untuk rekod, MIC memperoleh empat daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-13. |
JOM KITA KELUAR UMNO... Posted: 15 Sep 2016 02:27 AM PDT
Sempena Hari Raya Aidil Adha dan diiringi dengan semangat korban, bermula hari ini, saya secara rasminya bukan lagi merupakan ahli UMNO.
Pemakluman bersurat mengenai perkara itu kepada ibu pejabat UMNO sudah pun dihantar melalui pos biasa sebentar tadi.
Dalam usaha menunjukkan penolakan terhadap Najib Razak, saya merasakan ahli-ahli UMNO yang tidak setuju dengan Najib tidak sekadar perlu mengundi selain BN dalam PRU akan datang, tetapi juga harus memberikan isyarat yang lebih jelas mulai sekarang lagi. Keluar beramai-ramai meninggalkan UMNO adalah cara terbaik untuk menunjukkan kepada Najib jalan keluar sudah terbentang luas untuknya.
Mengecutkan kedudukan UMNO di mata umum bersama berbaiknya Tun Mahathir dengan Anwar serta kedudukan parti-parti pembangkang yang semakin senada untuk sama-sama menumbangkan BN, adalah pilihan yang tidak seharusnya diabaikan.
Lebih ramai yang sedia menghantar isyarat itu, bermakna lebih cerahlah perubahan yang ingin dilakukan itu.
Saya sepatutnya sudah lama meninggalkan UMNO, namun disebabkan sejak 2011 lagi bila mana pada tahun tersebut, saya menerbitkan dua buah buku, Najib Perdana Menteri Terakhir dan Kesilapan-Kesilapan Najib, nama saya telah dicadangkan oleh UMNO Bahagian Wangsa Maju kepada ibu pejabat parti untuk dipecat, maka saya mahu menunggu tindakan itu terlebih dahulu.
Saya merasakan jika saya keluar UMNO di ketika nama saya sedang dicadangkan untuk dipecat, maka saya akan dianggap penakut dan tidak berani berhadapan dengan Jawatankuasa Disiplin parti.
Saya tidak tahu mengapa sehingga sekarang saya tidak dipanggil untuk mengadap Jawatankuasa Disiplin, meskipun secara keseluruhannya saya telah menulis dan menerbitkan enam buah buku yang mengkritik serta menegur Najib.
Selain itu, sejak 2012, saya juga berterusan mengkritik, menegur dan kadang-kadang "membelasah" Najib melalui blog ini yang jumlahnya sudah melebihi 1000 artikel.
Tunggu punya tunggu tidak ada juga sebarang tindakan diambil terhadap saya dan kebetulan setelah tertubuhnya PPBM baru-baru ini, saya merasakan ketika ini adalah kemuncaknya untuk rakyat harus menunjukkan lebih penolakan terhadap Najib menjelang detik-detik PRU 14 akan datang.
Pendirian saya sudah difahami oleh ramai orang - Najib, UMNO dan BN tidak harus lagi diberi ruang memimpin negara ini. Sistem dua parti dan kerajaan yang boleh bertukar ganti adalah pilihan terbaik untuk mengelakkan rakyat terus dibuli dan dibeli.
Sebagaimana saya menulis, menerbitkan buku, memblog dan hari ini meninggalkan UMNO, harapannya tidak lain - perubahan yang menjadi impian mudah-mudahan akan menjadi kenyataan. |
Cadangan tukar sempadan p'raya di semua kerusi parlimen KL, T'ganu Posted: 15 Sep 2016 02:22 AM PDT MALAYSIAKINI Sempadan pilihan raya untuk kesemua 11 kawasan parlimen di Kuala Lumpur akan bertukar, berdasarkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu menyaksikan cadangan kesemua lapan kerusi diubah, sementara Johor menjadi negeri paling banyak perubahan dicadangkan, iaitu di 21 daripada 26 kerusi. Ini diikuti Selangor (18 daripada 22 kerusi terjejas) dan Perak (17 daripada 24 kerusi terjejas). Untuk Sabah, perubahan dicadangkan untuk 15 daripada 35 kerusi parlimen. Tiada perubahan untuk Perlis, Putrajaya dan Labuan. Maklumat ini berdasarkan notis SPR di akhbar-akhbar utama hari ini, yang disiarkan bawah Seksyen 4, Bahagian II, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, ia menyenaraikan jumlah pemilih dicadangkan setiap kawasan, perubahan nama dan sama ada sempadan kawasannya diubah. Orang awam boleh menyemak dan membuat bantahan terhadap cadangan itu sehingga tamat waktu bekerja pada 14 Ogos depan. Tiada peta dimuatkan dalam notis itu. Bawah cadangan itu, keseluruhan 12 kerusi parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dicadangkan ditukar nama. Perubahan paling banyak dicadangkan di Selangor di lima parlimen dan enam DUN. Sebagai contoh, kerusi Subang yang disandang oleh PKR akan ditukar nama kepada Sungai Buloh manakala Kelana Jaya (juga PKR) dicadang ditukar kepada Subang. [Baca berita asal] |
Jangan cemari wadah baru dengan kekotoran Anwar, nasihat Saiful kepada Muhyiddin Posted: 15 Sep 2016 02:22 AM PDT ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Bekas pembantu peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan menasihati Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak 'mencemarkan' parti pimpinannya dengan mengharapkan sokongan bekas ketua pembangkang berkenaan.
Menerusi satu artikel bertajuk Warkah Subuh Buat Tan Sri Muhyiddin, Saiful berkata, rakyat marhaen lebih berminat untuk mengetahui hala tuju, dasar dan idealisme parti baharu itu, bukannya janji akan membebaskan banduan yang bersalah, jika berjaya memenangi pilihan raya.
Muhyiddin kini memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), selepas dipecat daripada Umno.
"Nasihat saya, usah cemarkan wadah baru (PPBM) yang ibarat bayi masih suci ini dengan kekotoran.
"Dalam kamus politik berdusta itu kononnya tidak salah, tapi dalam agama berdusta tak kira dalam politik atau tidak, ia sama sahaja semasa perhitungan di masyar nanti," tulis beliau.
Difahamkan, Saiful mengeluarkan kenyataan berkenaan sebagai mengulas laporan media yang memetik Muhyiddin sebagai menyokong pembebasan Anwar serta berikrar untuk menjadikannya agenda perjuangan parti itu.
Malah kata Saiful, biarlah Anwar menghabiskan tempoh hukumannya di penjara kerana akhirnya beliau akan dibebaskan apabila sampai masanya kelak.
"Belum terlambat untuk perbetulkan. Namun jika Tan Sri beranggapan 'jalan pintas' ini jalan yang terbaik, maka saya ucapkan selamat 'maju' jaya.
"Kepada Tan Sri, jika benar seperti dilaporkan dalam keratan media, maka saya amat bersimpati dengan Tan Sri. Saya bersimpati kerana di awal perjuangan melalui wadah baru ini Tan Sri sudah terkhilaf," katanya.
Muhyiddin ujar Saiful, tidak sepatutnya gentar untuk memperoleh sokongan jika yakin wadahnya benar kerana perjuangan berlandaskan kebatilan kurang keberkatannya dan sukar berjaya.
Anwar kini menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat Saiful pada 2008.
|
Mahathir sokong bebas Anwar jika itu kehendak semua pembangkang Posted: 15 Sep 2016 02:08 AM PDT ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau terpaksa akur untuk menyokong usaha membebaskan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara, jika semua pihak dalam pembangkang menginginkannya. "Kalau itu kehendak semua orang (parti pembangkang), takkan saya nak kata tak boleh pula," katanya kepada pemberita. Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir usaha pembebasan itu hanya dapat dilakukan selepas pembangkang berjaya menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. "Semua itu akan datang kalau kita dapat jatuhkan Najib. Segala rancangan yang dibuat oleh parti-parti pembangkang itu semua, itu akan datang kemudian. "Waktu ini kita tidak boleh janji sebab kita tiada kuasa," ujarnya ringkas. Beliau berkata demikian mengulas komitmen yang dibuat Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyokong usaha pembebasan Anwar dan berikrar menjadikan ia agenda perjuangannya. Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pembebasan Anwar buat masa ini amat mustahil selagi Najib menjadi perdana menteri. "Saya rasa amat kasihan apa yang ditanggung Anwar. Sama ada betul atau tidak betul, terserah kepada Allah. Kita terkilan beliau meringkuk dalam penjara. "Ada yang tanya saya boleh ke bebaskan Anwar? Saya lihat slogan 'Bebas rakyat bebas Anwar' dilaungkan. Bebaskan rakyat menerusi sistem pilihan raya, maka jika ada pimpinan baharu daripada kita, kita bersama akan fikirkan nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Jika kita bersetuju itu pra syarat pentingnya, tidak sukar untuk kita bersama membentuk kerajaan baharu kelak," katanya kepada pemberita, 11 September lalu. Mahathir sebelum itu mengejutkan banyak pihak apabila tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menzahirkan sokongannya kepada tindakan Anwar memfailkan bantahan kepada pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang dakwanya tidak sah. |
HUSNI TIDAK BOLEH DIPERCAYAI.... Posted: 15 Sep 2016 02:08 AM PDT
Ramai yang nampaknya teruja dengan temubual bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah dengan sebuah akhbar yang seolah-olah menggambarkan perletakan jawatannya pada bulan Jun baru-baru ini ada kena mengenai dengan kemelut 1MDB.
Husni yang menjadi Menteri Kewangan Kedua sejak 2009 juga mengatakan beliau tidak tahu menahu tentang penubuhan 1MDB dan kemudian menggambarkan tekanan darahnya yang meningkat sehingga terpaksa berjuma berjumpa doktor, adalah juga disebabkan permasalahan berkaitan syarikat pelaburan tersebut.
Bagi yang terlupa, kata-kata Husni ini memang mengasyikkan dan membuai perasaan, tambahan lagi sebelum ini beliau juga mengatakan mahu ke Jordan bagi mendalami pengajian Al-Quran.
Dengan meletakkan jawatan, Husni cuba menggambarkan beliau telah menemui jalan kebenaran. Agama memang selalu dijadikan candu untuk mengkhayalkan orang lain, walaupun Husni adalah watak yang tidak konsisten dan sukar untuk dipercayai.
Sepertimana yang ditulis dalam blog ini pada 27 Jun 2016, sebaik berita perletakan jawatannya diumumkan, maklumat yang dekat dengan Husni memaklumkan, perletakan jawatannya adalah disebabkan keengganannya ditukarkan ke kementerian lain.
Beliau sebenarnya tidak secara sukarela ingin berhenti atau mengundurkan diri, tetapi semata-mata tidak setuju apabila Najib mahu menukarkannya ke kementerian lain. Difahamkan Najib mahu Husni mengambil alih tempah Abdul Wahid Omar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap EPU.
Berikutan itu, disebabkan patah hati dan kecewa dengan pertukaran kementerian yang seolah-olah turun gred, Husni melepaskan semua jawatannya dalam UMNO.
Kemudian, pada 3 Julai 2016, melalui kenyataannya kepada media, Husni sendiri mengesahkan perletakan jawatannya ialah kerana enggan ditukarkan ke kementerian lain.
Katanya, beliau berhasrat mahu mengakhiri kariernya di Kementerian Kewangan serta ingin bersara selepas PRU 14 akan datang dan dengan itu merasakannya, pertukaran ke kementerian lain adalah tidak efektif baginya.
Waktu itu tidak timbul sama sekali rungutan berkaitan 1MDB atau diserang darah tinggi kerana terbeban menanggung permasalahan syarikat pelaburan yang dikaitkan dengan Najib dan Jho Low itu.
Jika benar Husni rasa bersalah kerana tidak tahu mengenai penubuhan 1MDB sejak awal lagi, kenapa tidak mengundurkan diri waktu itu? Sejak 2009 hingga 2016, kenapa sanggup bertahan?
Atau, jika benar kerana jujur dan ikhlas hati tidak mahu bersekongkol atau bersubahat dengan Najib atau 1MDB, mengapa juga setelah tekanan darah tingginya mencanak naik, beliau masih tidak mahu meletakkan jawatannya?
Mengapa ketika kabinet memberikan tugas sebagai jurucakap kerajaan untuk menjawab sebarang persoalan berkaitan 1MDB, beliau bersetuju dengan tugas itu?
Selain itu, jika Najib masih mengekalkannya sebagai Menteri Kewangan Kedua, di mana Husni berdiri ketika ini, berundur diri atau masih gah dengan jawatannya yang glamour dan menjadi tumpuan ramai itu?
Jika benar juga tugas sebagai Menteri Kewangan Kedua yang antaranya perlu menangani permasalahan 1MDB yang menyebabkan tekanan darah tingginya meningkat, mengapa Husni tidak mengambil peluang untuk bersetuju dengan pertukaran ke kementerian lain kerana ia sudah tentu membawa lebih kebaikan kepada kesihatannya?
Husni...Husni...semakin banyak bercakap, makin beliau mendedahkan siapa dirinya yang sebenar. Memang 1MDB bermasalah dan banyak caca-marbanya, tetapi Husni juga memperlihatkan dirinya penuh dengan kecaca-marbaan.
Sekali lagi, kata-katanya banyak yang tidak boleh dipercayai. Isu beliau berundur hanyalah berkaitan jawatan dan kedudukan, bukan disebabkan perkara-perkara lain. |
Benarkah Anwar Ibrahim itu bersalah, Muhyiddin? Posted: 15 Sep 2016 02:04 AM PDT Oleh Lokman Ramlee [ULASAN] Ketika Anwar Ibrahim didapati bersalah meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar pada tahun 1999, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah anggota kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebagai menteri, Muhyiddin tidak membuat komen tentang pemenjaraan Anwar walaupun pada hari Anwar dipecat Mahathir, hanya beliau menteri yang berani menyertai perhimpunan menunjukkan sokongan pada Anwar. Bagaimanapun apabila Anwar dijatuhi hukuman penjara kali kedua tahun lalu kerana meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, Muhyiddin adalah anggota kabinet Datuk Seri Najib Razak pula. Dalam kedua-dua keadaan, Muhyiddin hanya berdiam diri dan tidak membuat sebarang komitmen untuk menyatakan sama ada Anwar sebenarnya bersalah atau tidak. Namun kini bos baru Muhyiddin, Mahathir Mohamad mahu berbaik semula dengan Anwar. Parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedia bekerjasama dengan parti isteri Anwar, PKR. Malah dikhabarkan peguam kedua-dua parti sudah diarahkan untuk bekerjasama mendapat perintah menangguhkan penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang difailkan oleh Anwar. Mahathir melihat ini peluang untuk "menyusah dan menekan lagi" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meletak jawatan. Anwar pun memang jelas mensasarkan natijah yang sama. Namun parti Anwar meletakkan syarat bahawa PKR hanya boleh bekerjasama dengan PPBM jika parti itu berkongsi wawasan dan ideologi reformasinya serta bersetuju menjayakan agenda PKR membebaskan Anwar dari penjara. Apakah pandangan sebenar Muhyiddin terhadap Anwar? Anehnya, Muhyiddin yang kini berada di pihak pembangkang masih tidak berubah pendiriannya dalam isu pemenjaraan Anwar. Beliau hanya berani berkata, PKR harus membantu PPBM menumbangkan Umno-BN terlebih dahulu, baru agenda utama PKR itu dapat dilaksanakan. Soalnya, di sanubari Muhyiddin ini adakah Anwar sebenarnya peliwat seperti yang pernah diwar-warkan oleh bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad? Adakah kerana percaya Anwar bersalah maka Muhyiddin tidak mahu menyokong agenda utama perjuangan PKR yang jelas itu? Atau, adakah kerana tidak mahu berbalah dengan Mahathir pengerusi parti barunya itu maka Muhyiddin tidak menyambut syarat PKR untuk meletakkan agenda pembebasan Anwar sebagai asas kerjasama dengan PKR? Memang boleh difahami bahawa ketika Anwar dijatuhi hukuman kali pertama, Muhyiddin hanya seorang ahli Kabinet biasa dan beliau pula gerun untuk mencabar pemikiran Mahathir tentang moral Anwar. Lantas boleh difahami mengapa Muhyiddin tidak membantah apatah lagi mahu menyokong dakwaan Anwar bahawa beliau sebenarnya difitnah – oleh Mahathir sendiri! Pada kali kedua Anwar dijatuhi hukuman penjara, Muhyiddin ialah Timbalan Perdana Menteri. Taukenya ialah Datuk Seri Najib. Sekali lagi Muhyiddin kelu menghadapi isu pemenjaraan Anwar. Maka demi menjaga kedudukannya ketika itu, Muhyiddin keberatan menyatakan pendiriannya dalam kes Anwar itu. Mungkin pendiriannya tidak elok timbalan perdana menteri bersengketa dengan mahkamah. Muhyiddin sedar PPBM perlukan sokongan PKR Bagaimanapun kini Muhyiddin ialah Presiden parti pembangkang baru dan sudah "berpatah arang dan berkerat rotan" dengan Umno. Malah Muhyiddin mahu menumpaskan Umno. Beliau mengunjurkan jika dapat mempengaruhi empat peratus pengundi Umno-BN menyokong pembangkang, 45 kerusi Parlimen Umno-BN akan tumbang. Muhyiddin sedar satu prasyarat ke arah itu ialah semua parti pembangkang mesti berbaik-baik dan bersatu ke arah itu. Ini termasuk PPBM dan PKR! Namun Muhyiddin walaupun sudah berada saf hadapan pembangkang masih berahsia apakah pendiriannya yang sebenar tentang Anwar. Benarkah Anwar itu peliwat, Muhyiddin? Atau, adakah Muhyiddin masih diselimuti rasa gerun terhadap pengaruh Mahathir yang kini pengerusi PPBM dan terpaksa terus tunduk pada pendirian Mahathir bahawa Anwar itu seorang peliwat? Sebab itu, agaknya Muhyiddin mahu menguis sahaja isu pembebasan Anwar ini ketepi sehingga "pembangkang berjaya menumbangkan Umno-BN" dahulu. Jika Muhyiddin tidak percaya Anwar itu peliwat, inilah masanya beliau meluahkan isi hatinya dan mengumumkan bahawa Anwar selama ini hanya difitnah. Sudah tentu jika beliau bertindak demikian PKR akan yakin dengan keluhuran isu hatinya terhadap Anwar dan perjuangan pembangkang. Tentu melonjak imej politiknya. Sedihnya, Muhyiddin masih kelu dalam isu ini. Apakah kerana mencari laba politik beliau mahu menyorok kebenaran? Untuk menjadi pejuang kebenaran, Muhyiddin tidak boleh melengah-lengahkan pendedahan kebenaran. Bagi PKR, soal Anwar bukan peliwat adalah inti perjuangannya. Tersungkurnya Anwar daripada hampir menjadi perdana menteri 18 tahun lalu adalah kerana fitnah beliau seorang peliwat. PKR masih mahu menegakkan kebenaran ini. Kini Mahathir dan parti barunya mendambakan kerjasama PKR. Namun Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti baru itu tidak berani bersikap jujur dan menyatakan sama ada Anwar itu benar-benar peliwat atau tidak! Di mana sikap kepahlawanan pemimpin ini? Atau, beliau juga spesis haiwan politik yang hanya berkira untuk mengaut kemenangan politik tanpa perlu bertarung dengan hipokrasi? |