WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- MAKIN TUN RAZAK DIINGATI, MAKIN NAJIB DILIHAT "TAK BERGUNA"
- MPT jual gerai kepada swasta, 30 peniaga Melayu dan Cina dalam kebimbangan
- PRN SARAWAK: PAKATAN HARAPAN BERI AUTONOMI RUNDING KERUSI
- KETUANAN MELAYU ADALAH KHURAFAT, UMNO BN PERLU DIGANTI – FAIZ
- PH PERLU KEMUKA DASAR EKONOMI GANTI DEB UNTUK TARIK UNDI MELAYU
MAKIN TUN RAZAK DIINGATI, MAKIN NAJIB DILIHAT "TAK BERGUNA" Posted: 15 Jan 2016 03:23 PM PST MAKIN TUN RAZAK DIINGATI, MAKIN NAJIB DILIHAT "TAK BERGUNA"Hari ini genap 40 tahun Tun Razak Hussein, bekas Perdana Menteri kedua Malaysia meninggal dunia. Pemergiannya secara mengejut pada 14 Januari 1976 kerana derita leukemia, terus dirasai berikutan rakyat dan negara rasa amat terhutang budi dengan segala jasa dan sumbangannya. Tiada ada sesiapa yang dapat menafikan sumbangan Tun Razak untuk negara ini. Beliau dikenali sebagai Bapa Pembangunan kerana banyak idea, dasar dan pemikirannnya menjadi asas kepada pembagunan negara sehingga kini. Meskipun demikian, sebagai manusia biasa, Tun Razak bukanlah pula tidak ada dosa dan kelemahannya. Tetapi, oleh sebab jasa dan sumbangannya terlalu besar, maka kelemahannya tersimpan tidak disebut orang. Dalam hal ini, saya ada bercakap dengan beberapa bekas pemimpin yang pernah mengenali dan hidup sezaman dengan Tun Razak. Mereka mengatakan, jasa dan sumbangan Tun Razak sering dan lebih banyak dijadikan sebutan bukanlah bermakna beliau tidak ada cacat cela dan kelemahan sama sekali. Sebaliknya, kata mereka, disebabkan jasa dan sumbangannya terlalu besar kepada rakyat dan negara, ia menjadikan ramai yang malu untuk menyebut tentang kelemahannya. Itulah Tun Razak. Sempena 40 tahun pemergiannya, bukan saja jasa, sumbangan dan pemikirannya terus dikenang, malah hari ini satu seminar khas memperingati Bapa Pembangunan itu turut diadakan. Sama ada kita mengenalinya atau tidak, pernah hidup di zamannya atau sebaliknya, namun memperingati dan mengenang jasa serta sumbangan Tun Razak tetap dikira wajar kerana nilai peninggalannya yang tak ternilai untuk rakyat dan negara. Selain itu, Tun Razak juga dikenali sebagai pemimpin yang sederhana dan berjimat cermat. Beliau bersih daripada segala dakwaan rasuah, menyalahgunakan kuasa atau hidup bermewah. Di ketika namanya masih diingati dan diadakan pula seminar khas mengenai watak kepimpinannya, secara kebetulannya negara sedang dipimpin oleh Najib, anak sulung Tun Razak sendiri. Najib yang turut hadir dalam seminar itu bersama beberapa bekas pemimpin yang pernah bekerja dengan bapanya seperti Tun Abdullah Badawi dan Rafidah Aziz, tentu saja mengharapkan sedikit sebanyak limpahan imej baik memihak kepada dirinya daripada seminar tersebut. Sebagai anak sulung dan menjejaki pula jawatan Perdana Menteri yang pernah disandang oleh bapanya, hanya seorang "anak yang perasan" akan menganggap pujian kepada arwah orang tuanya adalah juga untuk dirinya. Itulah yang seting dilakukan oleh Najib selama ini. Di sebalik kedudukannya semakin jauh daripada hati rakyat berikutan pelbagai isu, kelemahan dan kesilapan sepanjang mentadbir negara sejak 2009 lalu, sering pula nama Tun Razak digunakan untuk melonjakkan imej dirinya. Lantaran itu, mengadakan seminar khas untuk memperingati jasa dan sumbangan Tun Razak, di sebalik nama anaknya makin membusuk, lebih menjadikan Najib subjek perbandingan dengan bapanya. Tun Razak akan terus diingati dan dikenang, tetapi menjadikan Najib kian jauh dari keperluan untuk terus memimpin negara. Tidak ada perbandingan itu yang memberi kelebihan kepada Najib. Dalam semua segi, bukan saja tidak mungkin ada yang mengatakan Najib lebih baik atau menyamai bapanya, bahkan untuk menyatakan 50 peratus atau 30 peratus warisan pemikiran dan karektor kepimpinan Tun Razak ada padanya pun barangkali ramai yang ragu-ragu untuk menganggukkan kepala. Najib dilihat terlalu jauh berbeza dengan Tun Razak. Tidak saja pemikiran, idea, gaya kepimpinan, gaya hidup, bahkan hampir segala-galanya berbeza. Yang paling membezakan anak dengan bapa itu ialah kehidupan mewah, boros berbelanja, mengamalkan pemikiran "cash is king" dan sehingga membenarkan di akaun peribadinya berlabuh wang sebanyak RM2,600 juta. Kemudian, demi untuk melindungi dan mengekalkan kuasanya, sanggup pula memperkenalkan beberapa akta, selain memecat Peguam Negara dan melakukan beberapa kacau ganggu yang lain dalam pasukan yang terlibat dalam penguatkuasaan. Ia merupakan perkara yang tidak pernah dilakukan, bukan saja oleh Tun Razak, malah sesiapa juga Perdana Menteri sebelum Najib. Selemah-lemah dan segagal-gagal Tun Abdullah Badawi pun tidak sampai ke tahap itu kelakuannya. Oleh kerana kontranya yang terlalu ketara, semakin Tun Razak dikenang dan diingati jasa serta sumbangannya, dalam masa yang sama ia secara tidak langsung menjadikan kepimpinan Najib kian tidak bernilai dan "kosong markahnya". Tidak kedapatan sama sekali ciri-ciri Tun Razak pada Najib. Perbezaan dan jurang yang dalam itu sehingga membuatkan Nazir Razak beberapa kali tidak bersetuju dan menyanggah gaya kepimpinan abangnya. Maka itu, apabila Najib turut mengatakan dalam seminar khas tersebut bahawa beliau sentiasa bekerja untuk mengikut jejak bapanya, orang-orang yang lebih mengenali Tun Razak pasti akan tersenyum-senyum saja dibuatnya. (SH 14/01/2016). |
MPT jual gerai kepada swasta, 30 peniaga Melayu dan Cina dalam kebimbangan Posted: 15 Jan 2016 03:22 PM PST MENTAKAB 15 JAN: Kira-kira 30 peniaga kecil, sebahagiannya orang Melayu di gerai Stesen Bas Mentakab dihimpit kebimbangan berikutan menerima notis penamatan sewaan secara mengejut dari Majlis Perbandaran Temerloh (MPT). Notis bertarikh 16 Disember 2015 yang ditandatangani Yang DiPertua Majlis Perbandaran Temerloh menyatakan status gerai itu kini tertakluk kepada syarat 'pemilik baharu'. Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menulis surat rasmi kepada MPT dengan mencadangkan pertemuan antara majlis perbandaran itu, pemilik baharu dan peniaga. "MPT tidak beritahu peniaga awal-awal, tak buat perbincangan. Tiba-tiba hantar notis penamatan sewa. Peniaga pun terkejut. Jadi, kita tunggu jawapan MPT untuk adakan pertemuan," kata Timbalan Pengerusi DAP Pahang itu. Melalui semakan tidak rasmi, Tengku Zulpuri berkata, gerai itu dijual kepada sebuah syarikat swasta pada 2014. Beliau percaya masalah seumpama itu dapat dielak jika salah satu cabang amalan demokrasi iaitu Pilihanraya Kerajaan Tempatan dikembalikan sekaligus kebajikan rakyat lebih diutamakan berbanding pihak lain. "Bila diadakan pilihan raya itu, kes seperti ini mampu ditangani dengan lebih baik, elak salah guna kuasa, dan kurangkan birokrasi. "Jika ada bantahan dari peniaga setempat, proses bantahan atau apa saja isu dapat diatasi kerana ruang berbincang sebarang masalah lebih luas," katanya. |
PRN SARAWAK: PAKATAN HARAPAN BERI AUTONOMI RUNDING KERUSI Posted: 15 Jan 2016 02:13 PM PST PRN Sarawak: Pakatan Harapan beri autonomi runding kerusiMendedahkan rundingan kerusi di antara 3 parti Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) sedang berjalan di Sarawak, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kebebasan diberikan kepada peringkat negeri untuk membuat keputusan. Ketua setiausaha Pakatan Harapan itu berkata, ketiga-tiga parti itu bersetuju rundingan dibuat pimpinan ketiga-tiga parti peringkat negeri Sarawak. "Perbincangan sedang berlaku kalangan pemimpin DAP, PKR dan Amanah dan itu petanda yang baik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini. "Tumpuan utama Pakatan Harapan yang parti kami berbincang sesama mereka dan mereka di sana lebih memahami dengan mana-mana pihak. "Kami jelas mengenai ini dan kita beri mereka peluang bincang," katanya. Meskipun begitu, Saifuddin enggan mengulas sama ada rundingan kerusi itu melibatkan PAS atau tidak. "Saya tidak akan jawab hal itu sekarang. "Mereka juga berbincang dengan kesemua parti yang relevan," katanya yang juga tidak menjawab soalan wartawan adakah PAS parti yang relevan di Sarawak. Sebelum ini Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengatakan Pilihan Raya Sarawak dijangkakan akan diadakan pada Mac tahun ini. |
KETUANAN MELAYU ADALAH KHURAFAT, UMNO BN PERLU DIGANTI – FAIZ Posted: 15 Jan 2016 02:11 PM PST Ketuanan Melayu adalah khurafat, Umno BN perlu diganti – FaizPemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru supaya umat Islam tidak terperangkap dengan dakyah perkauman dengan membuang khurafat kononnya hanya Umno membela Melayu. Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, fahaman dan ideologi sempit perkauman demi survival kekuasaan politik pemerintah menyekat kebebasan rakyat dalam mengamalkan hak demokrasi selain peruntukan drakonian seperti Akta Hasutan, Sosma dan terkini undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Rakyat kini ditakutkan dengan dogma ketuanan Melayu akan terhakis sekiranya Umno hilang kuasa. Jika Melayu hilang kuasanya, kedudukan agama Islam kononnya akan terancam. "Hegemoni ini sesungguhnya merugikan dan menganiaya rakyat terutamanya orang Melayu. Umat Islam tidak seharusnya terperangkap dengan dakyah ini. Khurafat yang Umno sahaja yang mampu membela nasib Melayu dan kesucian Islam harus dibuang masyarakat Melayu," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut beliau, masyarakat Melayu harus lebih bijak dan berani menentukan kualiti kehidupan yang lebih baik dan terjamin memandangkan kedudukan Islam dan keistimewaan Melayu sudah terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan diubah kerana ia adalah struktur asas Perlembagaan negara. "Sesungguhnya, kerakusan pemerintahan Umno dan BN ini tidak boleh sekadar dinasihati, tetapi perlu dijatuhkan. Reformasi dan transformasi perlu dilakukan rakyat. "Keharmonian dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum pasti akan lebih terjamin dan terjaga sekiranya politik nilai diberikan keutamaan dalam amalan demokrasi. Tsunami politik Melayu pada 1999 berjaya menggoncang keangkuhan pemerintahan Umno dan BN," jelasnya. Sehubungan itu, Faiz berkata, rakyat pada masa ini perlu dididik dengan politik nilai yang berasaskan prinsip syarie dan sejagat iaitu keadilan, kebebasan, kesamarataan, urus tadbir yang baik, integriti, ketelusan dan amanah. "Rakyat tidak boleh lupa kepincangan pentadbiran Umno dan BN. Terlalu banyak penyelewengan dan salah guna kuasa yang didedahkan termasuk skandal RM2.6 bilion, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan NFC yang melibatkan duit rakyat. "Malaysia kini direkodkan sebagai negara ketiga paling korup di dalam dunia. Mata wang negara pula menjunam ke tahap cukup rendah. Skandal kewangan dan korupsi ini merencatkan ekonomi negara yang kini ditanggung oleh rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup," ujarnya lagi. Tambahnya, Umno-BN boleh ditumbangkan dalam pilihan raya umum ke-14 melalui penolakan segenap pihak jika rakyat yakin kepada politik nilai mengatasi politik perkauman. "Tsunami politik Cina pula pada 2013 berjaya mengurangkan undi populariti Umno dan BN kepada 48 peratus sahaja. Jika tsunami politik rakyat dapat dicipta melalui percikan api kebangkitan dan sokongan rakyat semua kaum tidak mustahil Umno dan BN akan ditalkinkan dalam pilihan raya umum ke-14," kata Faiz lagi. |
PH PERLU KEMUKA DASAR EKONOMI GANTI DEB UNTUK TARIK UNDI MELAYU Posted: 15 Jan 2016 02:08 PM PST PH perlu kemuka dasar ekonomi ganti DEB untuk tarik undi MelayuKetakutan terhadap momokan Cina boleh menakutkan pengundi Melayu dengan membuang kemarahan mereka ke tepi dan memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya berikutnya. "Pakatan Harapan boleh berharap mengekalkan kawasan-kawasan bercampur campur majoriti Cina dan bandar di pantai barat. "Tetapi semua kerusi lain bergantung sekiranya orang Melayu lebih marah dengan Najib atau lebih takut dengan momokan Cina," kata Fellow di Penang Institute, Wong Chin Huat kepada Malaysiakini. Beliau menambah ketakutan inilah yang telah menyebabkan Umno mengekalkan kuasa. "Umno seperti seorang bomoh (pawang) Melayu yang bertahan di atas kebimbangan terhadap hantu Cina. Sebaik saja Cina berhenti jadi hantu menakutkan, bomoh akan hilang kerja dia," kata Wong. Bagi mengatasi perkara ini dan memenangi orang Melayu, penganalisis itu berkata pembangkang mesti menyelesaikan kedudukan mengenai Islam dan ekonomi pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pakatan Harapan, katanya, tidak boleh kekal tidak jelas mengenai isu-isu seperti sebelum ini, dan perlu membuat pendirian mengenai isu-isu seperti hudud, penukaran agama, dan hak penjagaan anak. Beliau berkata mereka juga perlu mencari alternatif kepada DEB, kerana berakhirnya dasar itu menyebabkan kebimbangan yang lebih besar di kalangan orang Melayu, walaupun ia gagal. Pendirian mengenai isu-isu ini akan menjadikan Pakatan Harapan berdaya maju dan boleh diterima sebagai alternatif kepada BN yang pro-Melayu, Wong berhujah. "PAS dan kuasa-kuasa ketiga yang lain akan dipinggirkan. Pakatan Harapan mungkin mempunyai peluang yang baik untuk mengambil Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, selain mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor, walaupun ia masih gagal untuk menawan Putrajaya," katanya. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |