WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- PRU: Amanah setuju tanding bawah 1 logo
- APA KHABAR KELUARGA RIZA AZIZ?
- PEMBATALAN JEMPUTAN KE ISTANA: RAJA-RAJA MELAYU PERLU CAMPUR TANGAN – MAHFUZ
- RUNDINGAN PPBM SERTAI PH, 13 DISEMBER
- PRU 14 PENENTU MALAYSIA BERGERAK KE HADAPAN ATAU HADAPI KETIDAKTENTUAN – PENGANALISIS
- NAIB PRESIDEN AMANAH PULA ISYTIHAR HARTA
PRU: Amanah setuju tanding bawah 1 logo Posted: 09 Dec 2016 09:07 PM PST Mohamad Sabu berkata ia sekali gus memudahkan pembangkang menumbangkan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang. SHAH ALAM: Amanah bersetuju gabungan parti pembangkang di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding di bawah satu logo, kata Mohamad Sabu. Presiden Amanah itu berkata usaha tersebut sebagai persediaan pembangkang menumbangkan Umno dan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. "Amanah bersama PH dan PPBM komited untuk menubuhkan kesatuan pembangkang bagi menghadapi Umno-BN pada PRU14 dengan penetapan 1 logo, 1 manifesto dan gerak kerja," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam hari ini. Bulan lalu, Penasihat PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Konvensyen PH berkata pembangkang harus bertanding di bawah 1 logo dan 1 manifesto seperti BN untuk menang pilihan raya akan datang. Katanya, kunci kejayaan parti pembangkang pada pilihan raya akan datang ialah penyatuan semua parti. Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata bagi memastikan Umno tumbang, seluruh parti pembangkang perlu membentuk kerjasama politik yang tersusun serta mempunyai hala tuju jelas. "Sesebuah kerjasama politik yang ingin menjadi pesaing kepada Umno, BN perlu mempunyai struktur dan dasar yang jelas, serta diikat dengan perjanjian dan persefahaman utuh. "Hanya kerjasama politik seperti ini yang memberi jawapan kepada dilema politik di negara kita," katanya. Turut hadir dalam konvensyen Amanah ialah Dr Mahathir, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Penasihat DAP Lim Kit Siang. |
APA KHABAR KELUARGA RIZA AZIZ? Posted: 09 Dec 2016 07:06 AM PST Sebagaimana yang dilaporkan oleh Reuters, keluarga Jho Low gagal dalam usaha mereka untuk menangguhkan perbicaraan di AS yang bertujuan untuk menyita harta-harta milik hartawan tersebut yang sudah ditetapkan pada 12 Disember ini. Keluarga Jho Low memohon penangguhan kepada 23 Januari 2017 bagi membolehkan mereka ke mahkamah New Zealand dan Kepulauan Cayman untuk mencuba dan mendapatkan harta serta aset lain dipindahkan kepada pemegang amanah yang baharu. Hakim tidak memberikan sebarang sebab dalam menolak usul keluarga Jho Low itu, tetapi pihak pendakwaraya membantah penangguhan pendengaran itu dengan alasan ia sudah lima bulan berlalu sejak Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman sivil yang mendakwa lebih AS$3.5 bilion dana milik 1MDB telah diselewengkan. Dalam saman sivil untuk menyita harta serta aset oleh Jabatan Kehakiman AS itu, nama Riza Aziz, anak tiri Najib Razak adalah antara yang turut dinamakan bersama Jho Low, selain dua individu lain yang dikaitkan dengan IPIC dan Aabar iaitu Khadem Al-Qubaisi dan Mohamed Al-Badawy. Kenapa kita tidak mendengar apa-apa berita mengenai keluarga Riza Aziz menjelang pendengaran pada 12 Disember ini? Tidak mahukah keluarga Riza Aziz memohon penangguhan juga sepertimana yang dilakukan oleh keluarga Jho Low? Apakah dengan tidak memohon penangguhan itu bermakna Riza Aziz dan keluarganya sudah bersedia dengan pendengaran pada 12 Disember nanti? Adakah Riza akan hadir dan sedia melawan di mahkamah untuk mempertahankan hartanah dan aset lainnya yang mahu dirampas itu atau membiarkan saja perbicaraan berjalan dan seterusnya merelakan segala miliknya yang sudah disenaraikan sebelum ini disita oleh pihak berkuasa AS? Bermula 12 Disember ini, bau busuk 1MDB akan semerbak lagi ke seluruh dunia. Syabas dan tahniah kepada Najib serta sekalian yang masih gigih menpertahankannya. (SH 09/12/2016). |
PEMBATALAN JEMPUTAN KE ISTANA: RAJA-RAJA MELAYU PERLU CAMPUR TANGAN – MAHFUZ Posted: 09 Dec 2016 07:01 AM PST Pembatalan jemputan ke istana: Raja-Raja Melayu perlu campur tangan – MahfuzPembatalan jemputan untuk Tun Dr Mahathir Mohammad bagi majlis melafas dan menanda tangani surat sumpah memegang jawatan Yang Di Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di Pertuan Agong baharu pada 13 Disember 2016 ini semakin kontroversi dan mengundang rasa sinis rakyat. Demikian kata ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar. Menurut beliau, surat pembatalan tersebut yang dihantar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu telah menjadi satu lagi episod politik buruk buat Malaysia kerana cubaan ahli politik mencemar Majlis Raja Raja. "Jika tidak dijemput dari awal tidak menjadi masalah tetapi tindakan membatal selepas jemputan dibuat mencemar nama baik Majlis Raja Raja Melayu khususnya Institusi Yang DiPertuan Agong. "Tindakan pembatalan tersebut memperlihatkan segelintir pemimpin negara cuba mengheret raja-raja dalam pertarungan politik mereka dengan Tun Mahathir. "Apa yang mahu ditakutkan dengan kehadiran Tun pada majlis melafas dan menanda tanggani surat sumpah tersebut? "Apakah dengan kehadiran Tun akan mencacatkan dan merosakan majlis bersejarah itu atau kehadiran beliau menjadikan majlis melafaz sumpah jawatan Yang Di Pertuan Agong tidak sah? "Saya mengharapkan ke bawah Duli Tuanku Raja-Raja Melayu campur tangan untuk membatalkan surat pembatalan kepada Tun Mahathir," kata Mahfuz dalam satu kenyataan. Menurutnya lagi, walaupun sebagai ahli politik terdapat perbezaan pendapat antara beliau dan Tun Mahathir namun layanan yang telah diberikan kepada tokoh negarawan yang diakui banyak berjasa terhadap negara itu tidak sepatutnya sedemikian buruk. Tun Mahathir, kata Mahfuz, dinobatkan sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia" kerana membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara industri yang disegani dalam kalangan negara-negara membangun". "Saya harap Tun Mahathir menerima cabaran untuk disipukan dengan menghadirkan diri ke majlis tersebut walaupun tidak disediakan kerusi tetapi boleh memilih berdiri atau bersila dilantai sebagai meraikan majlis tersebut. "Biar dunia tahu siapa sebenarnya yang akan tersipu akibat dari tindakan politik buruk kleptokrat itu," sinis Mahfuz. |
RUNDINGAN PPBM SERTAI PH, 13 DISEMBER Posted: 09 Dec 2016 06:58 AM PST Rundingan PPBM sertai PH, 13 DisemberPara pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan kerjasama rasmi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Ketua Sekretariat HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah berkata, butiran tepat akan dimuktamadkan semasa mesyuarat pada 13 Disember ini di ibu pejabat PKR. "Mesyuarat itu dijangka membincangkan kerjasama politik antara keempat-empat parti sebagai sebahagian daripada proses untuk memungkinkan pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dan Barisan Nasional," katanya pada sidang akhbar susulan mesyuarat sekretariat HARAPAN di ibu pejabat DAP Kuala Lumpur. HARAPAN kini dianggotai oleh DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Sambil menyifatkan kehadiran Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad pada konvensyen HARAPAN bulan lepas dan persidangan kebangsaan DAP pada Ahad lalu sebagai tanda-tanda positif, Saifuddin melahirkan keyakinan isu-isu lebih serius akan dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat itu. "Kehadiran itu hanya untuk bertanya khabar, memberi ucapan…tetapi yang ini adalah pertemuan antara pemimpin tertinggi empat parti. "Jadi, saya menjangkakan isu-isu yang lebih serius akan dibincangkan. Dan bagi saya, perkara yang dibincangkan akan menjadi langkah seterusnya untuk membentuk pakatan pembangkang dan memastikan pertandingan satu lawan satu pada PRU-14," jelas beliau. Ketika ditanya sama ada HARAPAN akan membuka pintunya kepada bekas sekutu PAS, Saifuddin berkata, mesyuarat 13 Disember ini akan hanya terdiri daripada pemimpin HARAPAN dan BERSATU. Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan bahawa matlamat HARAPAN agar akhirnya menyatukan semua parti pembangkang dalam 'satu gabungan besar yang kuat dan kukuh'. "Ia sentiasa di fikiran kami. Tetapi anda tahu, kadang-kadang orang mengambil masa untuk membuat keputusan. Tetapi masa tidak memihak kepada kita. "Terdapat begitu banyak parti-parti pembangkang yang lain. Nasib baik anda tidak bertanya kepada saya tentang Sabah," katanya berjenaka. |
PRU 14 PENENTU MALAYSIA BERGERAK KE HADAPAN ATAU HADAPI KETIDAKTENTUAN – PENGANALISIS Posted: 09 Dec 2016 06:56 AM PST PRU 14 penentu Malaysia bergerak ke hadapan atau hadapi ketidaktentuan – Penganalisis"Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan membawa perubahan yang amat besar kepada Malaysia dan kita akan menyaksikan sama ada negara akan maju ke hadapan atau pun mundur, sebab pertembungan di antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) kali ini akan menentukan pihak yang kalah tidak akan berupaya bangun lagi," kata Albert Teh, seorang penganalisis politik dari sebuah badan bukan-kerajaan kepada Suara pakatan daily. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang senario politik hari ini yang jelas menunjukkan bahawa semua pihak iaitu parti politik, golongan usahawan serta rakyat biasa sudah agak pasti PRU14 akan diadakan pada tahun hadapan sebelum bulan Mei. "Senario politik terkini sudah pun tidak memihak kepada PM Najib kerana imej negara yang sudah terjejas. Krisis keyakinan yang mendalam dalam kalangan pelabur asing serta tempatan semakin meluas terhadap kepimpinan BN. "Selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, para pelabur jelas melihat pemimpin negara ini tiada hala tuju seperti sedang sesat di tengah lautan dan bahtera itu pula mengalami kebocoran," sambung beliau. Albert juga bersetuju parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi mampu membantu BN. Maka katanya, Umno terpaksa meminta pertolongan dari PAS. "Ini bermakna PAS boleh bertindak sebagai 'spoiler' dan memecahbelahkan undi masyarakat Melayu. "Oleh itu adalah bijak jika Amanah bertanding di kawasan Melayu bandar, PKR bertanding di kawasan sub bandar dan PPBM bertanding di kawasan kampung atau mana-mana kawasan kubu Umno," katanya. Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad berkata PH harus memberitahu orang Melayu bahawa PAS adalah 'Si Pemecah-belah undi' jika PAS meletakkan calon di semua kawasan di mana calon PH bertanding. "Cuma sedikit masalah pada masa kini PAS masih ada 1 kaki dalam perahu PH dan 1 kaki lagi masuk perahu BN," sinisnya. |
NAIB PRESIDEN AMANAH PULA ISYTIHAR HARTA Posted: 09 Dec 2016 06:52 AM PST Naib Presiden Amanah pula isytihar hartaDilihat mencontohi teladan ditunjukkan Rafizi Ramli, hari ini Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa membuat pengisytiharan hartanya di George Town, Pulau Pinang. Katanya langkah itu diambil bagi membolehkan beliau bersikap telus kepada masyarakat. Semasa sidang media tadi Mujahid berkata elaun bulanan diterimanya sebagai anggota parlimen Parit Buntar ialah RM25,700. Daripada jumlah itu beliau membayar pinjaman perumahan bernilai RM1,218.03 dan RM4,000 adalah sumbangan kepada parti dan RM325 potongan cukai berjadual. Ia menjadikan pendapatan bersihnya setiap bulan sebagai anggota parlimen ialah RM20,156.97. Perbelanjaan bulanan Mujahid pula termasuk RM5,300 untuk pusat khidmatnya di Parit Buntar dan RM5,000 bagi membiayai program di kawasan diwakilinya. Beliau juga mempunyai tanggungan hutang bulanan RM2,446.53 untuk sebuah kereta Honda Accord, barayan semula pinjaman peribadi bagi tempoh dua tahun dari Bank Islam (RMRM2,656.53) dan RM1,500 untuk kad kredit. Untuk ketiga-tiga akaun bank, jumlah simpanan keseluruhan anak bekas presiden PAS itu ialah RM6,854. Aset keseluruhan Mujahid bernilai RM423,000 termasuk sebuah rumah dua tingkat di Parit Buntar bernilai RM291,000, Honda Accord (RM110,000) dan sebuah Proton Saga (RM22,000). Bekas pensyarah universiti itu berkata beliau pernah mengusahakan sebuah syarikat penerbitan sebelum ini namun ia tidak lagi beroperasi. Katanya, beliau mempunyai tiga anak masing-masing berusia 20, 23 dan 25 tahun, manakala isterinya bekerja sebagai guru. Sambil mengucapkan terima kasih kepada Rafizi atas inisiatif dilakukannya sebelum ini Mujahid berkata apa yang dilakukan itu adalah menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang perlu berkhidmat kepada orang ramai. "Sebagai pihak yang menginginkan ketelusan, ini adalah langkah pertama perlu dibuat – maklumkan kepada umum apa yang kita ada supaya kita tidak dipersoalkan," katanya. Malaysiakini pada 29 November lalu melaporkan gesaan anggota parlimen Pandan, Rafizi, supaya anggota parlimen dan pegawai kanan kerajaan membuat pengisytiharan harta sebagai satu daripada cara mengelak seseorang daripada terlibat dalam sebarang salah laku atau rasuah. Rafizi yang juga naib presiden PKR memberitahu beliau akan menulis surat kepada semua anggota parlimen dan pegawai atasan kerajaan untuk mencadangkan kepada mereka melakukan pengisytiharan harta. Sehari kemudian Rafizi mengadakan sidang media untuk mengisytiharkan harta serta aset dimilikinya. Mengenai pembabitannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pulau Pinang, Mujahid berkata beliau menyandang tiga jawatan iaitu pengarah bukan eksekutif Syarikat Usaha Tarbiyah Sdn Bhd, pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan timbalan pengerusi Perpustakan Awam Pulau Pinang. Katanya beliau tidak mendapat sebarang bayaran daripada kedudukan itu kecuali elaun RM200 bagi setiap kali menghadiri mesyuarat. Mengenai isterinya Mujahid memberitahu wanita terbabit memiliki sebuah rumah dan kereta. "Saya cuma mahu bertanggungjawab dan telus dalam bayaran yang diterima sebagai wakil rakyat. "Saya tidak mendapat bayaran ini jika bukan kerana menjadi pilihan rakyat. Dengan pengisytiharan ini orang ramai boleh tahu bagaimana saya berbelanja," katanya. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan