Khamis, 22 Disember 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Idea Gabungan AMANAH-PKR Untuk Bunuh AMANAH Sepertimana terbunuhnya PRSM...

Posted: 22 Dec 2016 01:41 AM PST

Gabung PKR-AMANAH tak berbangkit, kata Salahuddin

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub berkata, isu penggabungan parti itu dengan PKR tidak berbangkit sama sekali.

Sambil menzahirkan rasa terima kasih kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas cadangan serta idea penggabungan tersebut, Salahuddin berkata, pihaknya mengharapkan hubungan yang kukuh akan kekal seutuhnya.

"AMANAH tampil bagi mengisi posisi serta melanjutkan perjuangan lslam yang mengambil pendekatan inklusif dan progresif untuk bersama mensejahterakan rakyat dan dalam rangka kebangunan semula negara (nation-rebuilding).


"AMANAH bersama-sama rakan-rakan PKR dan DAP menubuhkan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Sekarang ini dengan kehadiran Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama HARAPAN menjadikan peranan AMANAH dan semua parti-parti dalam HARAPAN dan BERSATU semakin penting dalam usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional," katanya dalam kenyataan.

Semalam, ketika cadangan penggabungan parti ditolak mentah-mentah dua pemimpin PKR dan AMANAH, Azmin pula sebaliknya berkata, ia wajar dipertimbangkan.

Kata Azmin, ia perlu diteliti kerana melibatkan soal kedinamikan parti dan sesebuah pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.

"Bagi saya kita tak boleh ambil sikap acuh tak acuh atau ketepikannya (langsung).

"Cadangan berkenaan boleh dibincangkan dan pertimbangkan tetapi bukanlah kerana ada perebutan kerusi," kata menteri besar Selangor itu di Shah Alam.

Azmin juga dilaporkan berkata, setiap pihak diharap tidak mewarisi "cara pemikiran lama" kerana ia bukanlah "reformasi" yang diharapkan. -mk

ULASAN GB

Tiba-tiba PKR muncul dengan cadangan supaya AMANAH bergabung dengan PKR.

Semua orang tahu bahawa PAS memang mengharapkan AMANAH berkubur. Ia adalah untuk menjustifikasikan kata-kata pemimpin mereka bahawa AMANAH tidak akan bertahan lama. Tetapi ternyata kata-kata pemimpin PAS itu tidak menjadi kenyataan. AMANAH terus berkembang dan rakyat dapat meliaht bendera berwarna oren berkibar di sana-sini.

Konvensyen Pertama AMANAH di SACC Shah Alam pada 10 Dis 2016 lalu adalah bukti nyata AMANAH kini sudah dewasa sekali usinya baru setahun.

Usaha PAS untuk melihat AMANAH berkubur sama-sekali tidak berjaya. Begitu sakitnya hati dan jiwa pemimpin dan ahli PAS melihat AMANAH gagah perkasa di arena politik negara bersama-sama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan (PH) ditambah pula dengan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama-sama PH sedangkan PAS masih di takuk lama bersama Ikatan yang ahlinya tak sampai 100 orang.

Lagi dilemparkan tuduhan, cacian, makian dan fitnah terhadap AMANAH, AMANAH terus berkembang dan yang semakin tersisih dan terpencil adalah PAS sendiri.

Apabila timbalan ketua pemuda PKR Dr Afif Bahardin mula mencadangkan Amanah bergabung dengan PKR di atas alasan PKR berkongsi nilai yang sama dengan AMANAH dan bergabung adalah pilihan terbaik bagi mengukuhkan blok pembangkang, bertempik sorak orang-orang PAS "menyambut" cadangan itu kerana inilah peluang untuk melihat AMANAH berkubur.

Jika sebelum ini Dr.Afif ditempelak dan dicaci maki oleh PAS kerana isu RUU Babi di Pulau Pinang, tiba-tiba tempelakan itu hilang apabila Afif mencadangkan PKR dan AMANAH bergabung, malah Afif diberikan peluang untuk sepentas dengan pemimpin PAS di dalam satu ceramah mega di Kota Bharu kelantan.

Demikian terdesaknya PAS untuk melihat AMANAH berkubur.

Kemudian cadangan Afif disokong oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali. Lagilah bertempik sorak para ahli PAS di media sosial menyokong cadangan tersebut.

Selain PAS, rupa-rupanya PKR (kumpulan Azmin) juga gusar dan cemburu dengan perkembangan terkini AMANAH.

AMANAH dari hari sehari dilihat parti yang mendapat sokongan solid dari rakyat. Hampir semua kawasan DUN dan parlimen Selangor telah diorenkan.

Azmin mungkin melihat ia satu gugatan terhadap PKR sebagai parti dominan di dalam PH.

Maka sebab itu beliau bergegas menyatakan idea gabungan AMANAH-PKR wajar dipertimbangkan.

Hasratnya serupa dengan PAS: iaitu untuk membunuh AMANAH sepertimana PKR telah membunuh Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) setelah bergabung dengan PKR. Supaya AMANAH tidak menggugat PKR di dalam PH sebagai parti yang dominan.

Kedua, ia untuk menjayakan grand design PAS sendiri supaya AMANAH dapat dilenyapkan yang diusahakan oleh seekor singa tua yang telah patah gigi dan hilang kukunya di dalam PAS di dalam usaha untuk menjadikan presidennya sebagai PM yang tak kesampaian.

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Walaupun diberikan alasan lunak terhadap idea penggabungan AMANAH-PKR, namun sifat dengki dan iri hati mereka tidak akan mematikan AMANAH sebaliknya yang berdengki dan yang irihati itulah yang akan terus mengerang kesakitan.

Allah swt telah berfirman:


Sambil bersikap sombong di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat, dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang merancangkannya sendiri. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang. [Fatir: 43]






FEATURED ADS



Tiada ulasan: