Isnin, 26 Disember 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


HISBAH: Kesan dalang, bawa pesalah 1MBD ke muka pengadilan

Posted: 26 Dec 2016 07:03 AM PST


OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM: Rakyat perlu untuk bersama-sama mengesan dan membawa pesalah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke muka pengadilan.

Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Dato' Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, Hisbah mula mengumpulkan beberapa pengamal undang-undang yang bersedia membantu inisiatif itu.

"Kita mengumpul maklumat, mencari segala ruang undang-undang yang ada, bekerjasama dengan semua badan masyarakat dan institusi relevan lain sehingga dapat pastikan mereka bertanggungjawab dalam skandal 1MDB ini tidak terlepas daripada hukuman menerusi proses undang-undang di dalam dan luar negara.

1MDB

"Hisbah juga sudah mendapatkan khidmat beberapa individu dan syarikat perakaunan yang sedia membantu memastikan setiap langkah diambil mengikut lunas perakaunan dan undang-undang negara dan antarabangsa," katanya dalam kenyataan.

Katanya, dengan usaha begitu maruah negara yang tercalar akibat skandal 1MBD dapat diperbaiki dan Malaysia kembali dihormati.

Tambahnya lagi, inisiatif itu penting untuk mengembalikan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mempertahankan prinsip undang-undang terhadap setiap pesalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

"Kita membuka penyertaan awam kepada seluruh rakyat Malaysia yang mahu bersama inisiatif ini.
"Matlamat inisiatif ini ialah untuk mengesan dan membawa personaliti utama di dalam kes ini ke muka pengadilan," katanya.=EZY=

Sendu Husam membuat saya tidak bisa tidur

Posted: 26 Dec 2016 06:57 AM PST

MSO

Aisyah turut tertegun
dengan kesebakan datuknya.
Diri kita ini kadang-kadang akan berubah hanya kerana sedetik peristiwa atau sekelumit kejadian sahaja. Tidak semestinya peristiwa itu besar yang berlaku di hadapan mata, tetapi cukup sekadar mengetahui dan menghayatinya dengan jiwa insaf.

Atau pun hanya kerana satu peristiwa sahaja ia boleh membuat kita hilang rasa "meta" dan kemanusiaan kita relai dan lunyai. Lebih membahagiakan lagi perubahan yang spontan dan drastik itu juga tanpa diduga memberi sesuatu pengajaran besar penuh pengertian, memaknakan hidup kita sebagai hamba-Nya yang relatif lemah.

Saya kembali ke dalam diri saya sendiri. Saya sebenarnya seorang yang sukar untuk menangis. Air mata saya sangat mahal untuk jatuh tanpa ada tujuan yang tersendiri dan mengenatik yang kuat. Jiwa saya liat untuk menjadi sayu.

Saya adalah seorang yang "gagah" dan sedia menghadapi apa juga cabaran dan halangan. Apa lagi selaku penulis politik saya tidak terlepas dengan cacian, tuduhan dan juga fitnah. Bahkan diancam secara fizikal, ia lebih menjadikan saya tidak mengerti erti takut atau dayus.

Dan selaku anak kampung yang meratah kesangsaraan dan kemiskinan sejak kecil segala kesusahan sudah mangli dalam diri saya. Demikian segala cabaran sebagai penulis tidak pernah mengugahkan perasaan saya dan dijadikan alasan untuk saya mengalah. Jauh sekali untuk meletakkan pena dari menyatakan kebenaran.

Sebahagian penerima bantuan daripada Husam.
Selain memiliki sifat itu saya juga seorang yang tidak mudah tunduk dan mempedulikan kepada penghinaan. Mengambil kisah kepada apa-apa cacian dan cemuhan. Namun sesuatu yang orang tidak mengetahui tentang saya ialah kelembutan jiwa dan hati saya.
Perasaan sensitiviti saya sangat tinggi, disebaliknya saya ada ketegasan dan tidak akan bersekongkol dengan apa jua kemungkaran. Saya tidak akan larut dalam garam lautan dan tidak akan hanyut mengikut arus yang entah.

Apa yang hendak saya kongsikan dengan penjengok sekalian dalam catatan selepas Subuh ini ialah mengenai, bagaimana sekelumit peristiwa ia bisa mengugahkan perasaan saya. Bagaikan pupukan bayu yang lembut boleh meruntuhkan bukit pasir di sahara. Ia adalah mengenai sendu seorang kawan bernama Husam Musa telah menyebabkan saya tidak bisa tidur hingga ke Subuh.

Sendu beliau itu menjadi racun menyedar dan menginsafkan saya dan kenaifan kita semua sebagai hamba. Inilah yang hendak dikongsikan disini. Diharap sudi mendengarnya.

Semalam saya di Kota Bharu Kelantan dan sempat hadir ke suatu majlis Husam di Salor. Semasa berucap dalam majlis menyampai bantuan kepada penduduk dalam kawasannya, di Wisma Tokguru Husam telah menyelitkan ucapannya dengan memberi gambaran apa yang berlaku di Aleppo, Syria mengenai kesangsaraan dan penderitaan saudara seagama kita di sana angkara kekejaman regim Bashar as-Assab di tanah Halab itu.


Cuplikan gambar kanak-kanak derita di Aleppo.
Husam menceriterakan bagaimana nasib kanak-kanak dan orang tua dibumi itu yang kini menderita kesejukan, kelaparan serta berdepan dengan penyakit. Beliau sudah tentu lebih memahami penderitaan dan kesulitannya kerana pernah berkunjungi ke beberapa buah kem pelarian perang sebelum ini.

Saudara kita di Aleppo bukan sahaja hilang segala-galanya dalam hidup yang dibina dikit demi dikit sebelum ini, tetapi yang menyayatkan hati mereka terpaksa berdepan dengan cabaran kesusahan untuk meneruskan hidup selepas penginapan dan penempatan mereka dibom hancur.

Kanak-kanak ini mencari sesuatu
yang hilang dibawah runtuhan.
Mereka tidak seharus menerima musibah itu kerana mereka bukan orang yang sepatut diperlakukan begitu. Mereka adalah mangsa kepada kedurjanaan dan kerakusan manusia lain yang tamakkan kuasa.

Warga paling malang dan terdesak kini menurut Husam ialah kanak-kanak yatim piatu dan orang-orang tua atau warga yang cedera. Mereka bergulat dengan pelbagai kesukaran meneruskan hidup selepas Aleppo hampir menjadi padang jarak padang terkukur.

Kanak-kanak, ketiadaan ibubapa, berlarian tanpa tentu hala, - mencari sesuatu yang hilang dan lenyap dari padangan mata mereka. Dan bila malam menjelma mereka berteduh di bawah reruntuhan atau khemah kecil yang sangat daif. Tubuh mongel mereka berbalut kain comping akan menggeletar kesejukan tanpa ada lagi tangan ibu ayah ayah yang mengelus dan mendodainya.

Orang-orang tua pula yang sedia lemah, terus menjadi gemulai. Hidup mereka ketidakketentuan, berselerakan bagaikan kain buruk menjadi sebahagian puing-puing kehancuran. Mereka akan terus bergeluk dengan keadaan menyedihkan sementara menanti usaha mengungsikan mereka ke kem-kem pelarian. Saat ini menurut Husam mereka bukan sangat mengharap doa berterusan tetapi menanti "huluran tangan kemanusiaan" kita semua.

Saat memberi gambaran kesedihan di Aleppo yang diterima langsung dari tiga rakannya yang bertugas di kem pelarian, Husam terhenti sejenak untuk beberapa jurus. Dia menjadi sebak tidak dapat meneruskan ucapannya. Suasana serentak itu juga menjadi sepi, yang kedengaran ialah tetes hujan yang jatuh ke bumbung zink bergaul dengan sendu Husam yang jelas.

Sang bocah, cucunya bernama Aisyah yang sepanjang majlis itu riang riang, berloncat dan berdecak ke sana ke mari menyerikan majlis dengan keletah kebudak-budakknya, tiba-tiba memberhentikan dari tarian kegirangannya, tatkala menyedari Husam (datuknya) tersendu. Untuk beberapa waktu Aisyah juga turut sama berteleku dan melungu kehairanan.

Panorama itu sangat mengesankan kepada saya menyebabkan tanpa disedari air mata saya juga jatuh berlinagan. Hadirin yang lain juga turut menjadi sebak. Saat itu juga dalam kepala tergambar akan suasana di Aleppo yang sudah bantrakan. Terkilas wajah-wajah mongel kanak-kanak di Aleppo yang comot, ketakutan dan histeria.

Terbanding pula dengan wajah Aisyah yang mungil dan comel penuh keletah. Hati disobek kesayuan apabila melihat kelakuan Aisyah yang termangu seolah-olah ikut sama mengenangkan rakan sebanya dengannya di Aleppo yang malang dan berdukacita. Naluri bocah sebesarnya yang masih suci dan bersih dari noda, hasad dan dengki sangat memanggil-manggil.

Nah, bertolak dan mengenang peristiwa di Wisma Tokguru itulah menyebabkan tidur saya tidak lena. Segala macam bunyi dan gambaran dari Aleppo terngia-ngian di telinga dan tersendak di kepala. Tiba-tiba sahaja bauran bayangan kemusnahan di Aleppo; asap, habuk, debu, berterbangan terdampar dalam diri dan inilah menjadikan tidur saya malam tadi terganggu.

Kombinasi panorama di Wisma Tokguru, sebak dan sendu Husam mengenai Aleppo, simpati Aisyah kepada rakan sebanyanya di bumi lunyai itu kini sedang memanggil-manggil saya untuk ke sana. Api berdosa seakan terbang ke dalam diri kalau tidak ikut sama membantu atau menumpahkan simpati dalam kepada nasib saudara di Aleppo itu. Apa yang digambarkan Husam itu menjadikan "paha kanan" yang pedih menderita di Halab terasa pada "paha kiri" di tanah Malaya ini. Saya berhasrat besar untuk ke sana.

Bertolak dari situlah maka pagi ini saya membuat satu janji untuk diri saya sendiri, bahawa sedikit korban saya lakukan untuk membantu saudara di Aleppo. Kebetulan waktu ini buku saya ke 50 sedang dipasarkan. Saya memutuskan setiap naskah buku ini yang terjual dan juga buku-buku lain yang ditawar bersama akan saya masukkan ke dalam tabung SEBAK ALEPPO yang akan saya buka dengan rasminya pagi ini kemudian menguar-uarkan kepada penjengok sekalian.

Anda tidak perlu menghulurkan bantuan atau derma itu secara langsung tetapi ia beriringan dengan pembeli buku baharu saya dan buku-buku lain yang akan ditawar bersama. Manakala penjengok atau rakan yang sudah memiliki buku baharu; PIRAUM 14- Siapa PM Selepas Najib, secara automatik anda dianggap sudah memasukan derma kemanusiaan anda ke dalam tabung SEBAK ALEPPO.

Di sini saya turunkan buku-buku yang ditawar beriringan dengan buku baharu saya dimaksudkan itu. 1) Tokguru Dalam Mataku, 2) Nasib: Pas, Amanah dan Najib, 3) Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah. Untuk mengetahui mengenai tabung SEBAK ALEPPO ini sila berhubung langsung dengan saya di nombor telefon 019 233 6996 atau menerusi emai: msomalaysia@gmail.com.


M'sia minta lebih banyak maklumat pengguna FB

Posted: 26 Dec 2016 06:36 AM PST

MALAYSIAKINI



Putrajaya telah membuat lebih banyak permintaan untuk mendapatkan maklumat pengguna dari Facebook dalam separuh pertama tahun ini berbanding keseluruhan tahun lepas.

Kerajaan Malaysia membuat 19 permintaan untuk mendapatkan maklumat 35 akaun pengguna dari Januari hingga Jun tahun ini, menurut Laporan Permintaan Facebook Kerajaan.

Sebagai perbandingan, Malaysia hanya membuat 17 permintaan tahun lepas untuk mendapatkan maklumat tentang 25 pengguna.

Daripada semua permintaan yang dibuat pada separuh pertama tahun 2016, Facebook mendedahkan 68.4 peratus maklumat berhubung permintaan itu.

"Sebagai sebahagian daripada siasatan rasmi, pegawai kerajaan kadang-kadang meminta data mengenai individu yang menggunakan Facebook. Sebahagian besar daripada permintaan ini berkaitan dengan kes-kes jenayah seperti rompakan atau penculikan.

"Dalam banyak kes, kerajaan meminta maklumat asas pelanggan seperti nama dan tempoh perkhidmatan. Permintaan juga boleh meminta log alamat IP atau kandungan akaun," tulis Facebook dalam penerangan laporan.

Laporan itu tidak menyatakan dengan jelas tujuan setiap permintaan kerajaan itu.

Di kalangan negara Asean, Malaysia menjadi nombor ketiga paling banyak membuat permintaan sedemikian bagi separuh pertama tahun ini.

Singapura membuat permintaan yang paling banyak dengan 233 diikuti oleh Indonesia dengan 21 permintaan.

'Beralih 5% peratus undi Felda cukup jatuhkan BN'

Posted: 26 Dec 2016 06:32 AM PST

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, pembelian 37 peratus pegangan dalam PT Eagle High Plantations Tbk adalah kesilapan terbesar pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Ia memberi peluang kepada saya masuk ke tanah perancangan Felda untuk menerangkan dengan terperinci kebertanggung jawaban Datuk Seri Najib (Razak) dalam urusniaga ini.

"Saya juga yakin tanah perancangan Felda adalah medan tempur saya dan Umno/BN iaitu satu-satunya institusi Melayu/Islam yang saya belum tumpukan sepenuh tenaga saya untuk diselamatkan dari kerakusan pimpinan yang ada sekarang.

"Dengan beralihnya sokongan 3 hingga 5 peratus pengundi dari tanah peracangan Felda, akan jatuhlah pentadbiran Najib," kata beliau dalam kenyataan.

Sebelum ini, Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak turut mempersoalkan kewajaran Felda yang ditubuhkan oleh bapanya, arwah Tun Abdul Razak Hussein mengenai pembelian pegangan dalam PT Eagle High Plantations Tbk.

Felda mengumumkan pembelian terancang dalam unit perladangan konglomerat Indonesia Rajawali Group selepas kegagalan Felda Global Ventures (FGV) untuk membeli pegangan saham yang sama.

FGV, syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dikritik oleh para pemegang sahamnya apabila bercadang untuk membeli 37 peratus kepentingan dalam PT Eagle High Plantations Tbk pada harga AS$680 juta.

Antara pengkritik tersebut adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah melupuskan semua sahamnya dalam FGV.

Felda, tidak seperti FGV, bukan syarikat tersenarai awam dan dimiliki oleh kerajaan. Felda memiliki pegangan sebanyak 21 peratus dalam FGV.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, apabila pembelian itu dibuat melalui Felda (bukannya FGV), kesan dari penggunaan dana Felda untuk urusniaga ini yang mahal ini sudah tentu akan dirasai terus oleh peneroka Felda di seluruh negara.

"Bagi peneroka yang masih menjual buah kelapa sawit mereka melalui Felda, mereka mungkin terkesan dari segi tawaran harga atau tempoh bayaran.

"Bagi peneroka yang menyerahkan kerja-kerja penanaman semula kepada Felda, mereka akan terkesan dari segi kemajuan kerja-kerja penanaman semula pokok kelapa sawit, hutang yang terpaksa tanggung dari penanaman semula itu serta ketepatan bayaran elaun sara hidup sementara menunggu hasil kelapa sawit," ujar beliau.

Malah, bagi keseluruhan warga Felda yang masih menetap di tanah perancangan, mereka akan terkesan hatta dari segi barang runcit yang dibekalkan melalui kedai-kedai yang diusahakan oleh Felda, jelas Rafizi lagi.


Jangan sabotaj TMP2017, kata exco Pahang

Posted: 26 Dec 2016 05:53 AM PST

MALAYSIAKINI

Jangan sabotaj Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017) dengan menyebarkan gambar dan video bencana palsu atau insiden lama melibatkan pusat peranginan di negeri itu.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya akan menimbulkan keadaan panik, menghalang kedatangan pelancong dan merugikan ekonomi penduduk setempat.

Menurutnya, kerajaan negeri telah berbelanja banyak untuk mempromosikan TMP2017, merancang ratusan acara pelancongan dan menambah baik kemudahan sebagai persediaan menyambut kedatangan 15 juta pelancong pada tahun hadapan.

"Saya memang sudah menjangka berlaku penyebaran perkara negatif atau benda tidak benar apabila kita mahu mengadakan TMP2017 yang akan memberi pendapatan kepada negeri, pemain industri pelancongan dan penduduk Pahang.

"Sepatutnya sebagai masyarakat yang bertamadun, yang sedang menuju ke arah negara maju, perbuatan menyebarkan perkara tidak benar seperti ini tidak berlaku walaupun atas niat suka-suka," katanya semasa dihubungi, hari ini.

Mohd Sharkar mengulas penyebaran gambar palsu kononnya kabel kereta kabel di Genting Highlands putus serta video limpahan air di Cameron Highlands yang merupakan insiden pada 2014 di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Beliau berkata orang ramai seharusnya mendapatkan kesahihan daripada pihak berkuasa jika menerima video atau gambar, bukannya berasa teruja untuk berkongsi di laman sosial masing-masing.

"Malah, kami sendiri akan mengeluarkan kenyataan jika ada bencana yang berlaku. Untuk makluman, semasa musim hujan, kami akan dimaklumkan perkembangan terkini setiap jam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Mohd Sharkar berkata pihaknya juga tidak teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia jika keadaan itu terus berlanjutan sehingga menjejaskan nama baik negeri dan TMP2017.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar juga kesal dengan tindakan golongan yang suka memviralkan sesuatu tanpa memikirkan kesan jangka panjang daripada perbuatan mereka.

"Kami berharap dan berterima kasih dengan media yang membantu menyebarkan maklumat benar. Kami juga sentiasa memantau perkembangan di laman sosial kerana kami kini terpaksa bersaing dengan berita tidak benar di situ," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah menyebarkan berita palsu kerana tindakan tersebut turut menyukarkan pihak berkuasa.

"Sebagai contoh, dakwaan kabel putus di Genting Highlands yang dipercayai gambar kejadian di luar negara, telah menyebabkan polis di Bentong berhadapan dengan banyak pertanyaan daripada orang ramai," katanya.
- Bernama


PPBM dakwa dapat sokongan ahli PAS Kelantan

Posted: 26 Dec 2016 02:12 AM PST

Oleh Azizul Osman
Post Pic


SHAH ALAM: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Anina Saadudin berkata terlalu awal untuk Umno Kelantan membuat kenyataan berhubung prestasi parti serpihannya itu di negeri berkenaan.

Malah beliau mendakwa bukan hanya ahli Umno menyokong parti itu, malah mereka turut mendapat sokongan daripada ahli PAS Kelantan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Kata Anina lagi, hanya pengundi yang boleh memberikan kata putus samada parti teraju bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu diterima atau tidak di negeri itu.

"Sokongan rakyat itu diterjemahkan di atas kertas undi sekiranya Datuk Seri Mustapa Mohamed memberikan komen yang terlalu awal sebegitu bermaksud dia bimbang dengan kehadiran Bersatu (PPBM) kerana parti ini bukan hanya mendapat sokongan ahli (Umno) sahaja tetapi juga daripada pihak ahli PAS Kelantan," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam berkata kehadiran PPBM di Kelantan tidak akan memberi kesan kepada Umno BN dan tidak akan melemahkan semangat Umno untuk terus bekerja membela nasib rakyat negeri itu.

Malah beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut berkata, walaupun PPBM mempunyai beberapa bekas pemimpin Umno dan berusaha memenangi hati rakyat, ia tidak bermakna parti itu kuat.

"Kalau Datuk Seri Mustapa Mohamed terlalu awal tampil untuk memberikan komen mengenai sokongan rakyat tidak berbelah bahagi kepada Umno di Kelantan, dia perlu sedar bahawa Umno tidak pernah menang pun selama ini di Kelantan," bidas Anina terhadap kenyataan Mustapa.

Dalam perkembangan lain, Anina berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan selaku kepimpinan parti itu ekoran pertuduhan skandal seks yang melibatkan dirinya baru-baru ini.

Ia ekoran tersebarnya transkrip perbualan lucah melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini, yang didakwa melibatkan Anina bersama seorang lelaki.

"Saya bukan ahli politik dan seperti mana yang sedia maklum di Malaysia ini cara paling mudah untuk menjatuhkan seorang pemimpin adalah melalui skandal seks, saya sebagai pejuang rakyat dan bukan ahli politik. Saya tidak melayan isu-isu sebegini," katanya lagi.


Jamal ingkar undang-undang, polis digesa bertindak

Posted: 25 Dec 2016 07:47 PM PST

OLEH LIZAWATI MADFA


 binaan-roboh


SHAH ALAM: Polis digesa mengambil tindakan terhadap Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana dengan jelas mengingkari undang-undang walaupun sudah dikenakan tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, tindak balas Jamal jelas membuktikan beliau adalah seorang angkuh dan secara terang-terangan menunjukkan sikap samseng.

"Ini contoh tidak baik kepada rakyat, apalagi Jamal dilihat seolah kebal daripada undang-undang.
"PDRM sepatutnya mengambil tindakan terhadap beliau," katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Jamal yang juga Ketua Gerakan Baju Merah 'merasmikan' resortnya, Sekin Fisherman Village Hotel & Resort yang sudah disita Majlis Daerah SabakBernam (MDSB).

Beliau turut menanggalkan notis perintah tutup dan memotong pita pelekat sitaan di hadapan premisnya.
=EZY=

Kastam Selangor Rampas 37 Kontena Rokok, Minuman Keras Bernilai RM10.5 Juta

Posted: 25 Dec 2016 07:43 PM PST


MSTAR ONLINE



Indera Subromaniam Tholasy (tiga, kiri) menunjukkan sebahagian daripada minuman keras dan rokok belum lulus Kastam selepas sidang media mengenai rampasan 37 kontena mangandungi rokok dan minuman keras tersebut oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Selangor di Wisma Kastam dekat Pulau Indah pada Ahad. Foto: Bernama

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menumpaskan cubaan menyeludup 37 kontena rokok dan minuman keras bernilai RM10.5 juta daripada sebuah kapal di Jeti Bukit Gombak, Pulau Carey di sini Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Pematuhan), Datuk T. Subromaniam berkata barangan bernilai cukai anggaran RM60 juta hingga RM80 juta itu dirampas kira-kira pukul 2.30 petang daripada kapal 'Prelude Portsmouth' yang berdaftar di Indonesia kerana dilihat mencurigakan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut terhadap kapal dagang itu, JKDM dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain turut menahan sembilan anak kapal warga Indonesia berumur antara 30 hingga 40 tahun. 

"Siasatan awal mendapati kapal dari Indonesia itu disyaki singgah di Singapura untuk mengambil muatan dan mendakwa akan bergerak ke destinasinya iaitu Filipina.

"Namun kita mengesyaki ada berlaku penyeludupan apabila kapal ini singgah dulu di Malaysia sedangkan ia boleh terus ke destinasinya tanpa melalui perairan negara ini," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui laluan sebenar kapal dagang berkenaan berikutan kapten kapal bersama seorang lagi lelaki meloloskan diri ketika penahanan dilakukan.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan ke atas kesemua anak kapal yang ditahan reman sehingga Jumaat ini mendapati mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Beberapa agensi penguat kuasa laut negara ini sedang bekerjasama rapat memburu kedua-dua lelaki berkenaan kerana mereka turut membawa segala dokumen kapal ketika melarikan diri," katanya.

Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan memindah barang belum lulus kastam.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata JKDM sedang menilai semula kawalan keselamatan di 249 jeti persendirian di negara ini berikutan kebanyakan kes penyeludupan berlaku di kawasan tersebut.

Sehubungan itu katanya, jabatan berkenaan akan lebih mempergiat aktiviti penguatkuasaan terhadap semua pelabuhan terutama jeti persendirian dalam usaha menurunkan sehingga 50 peratus jumlah kes penyeludupan pada tahun depan.

"Pembukaan jeti persendirian adalah untuk bantu aktiviti perdagangan di kawasan tertentu namun ada pihak mengambil kesempatan menyebabkan kes penyeludupan semakin meningkat. Kita akan atur semula gerak kerja untuk bendung isu ini," katanya. -Bernama

Denggi: Hanya 30.6% adakan gotong royong

Posted: 25 Dec 2016 07:39 PM PST

SELANGOR KINI              

SHAH ALAM : Kaji selidik dibuat Kementerian Kesihatan pada 2015 berkenaan denggi mendapati hanya 62.3 peratus sahaja masyarakat yang sanggup membersihkan kawasan rumah daripada takungan air.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam komuniti pula, hanya 30.6 peratus yang mengadakan gotong-royong.

Beliau berkata, dapatan Kementerian Kesihatan menunjukkan kesedaran orang ramai tentang demam denggi tidak diaktifkan kepada tindakan pencegahan.

denggiKatanya lagi, demam denggi dipengaruhi oleh faktor musim jangkitan mencapai kemuncak pada awal tahun dan pertengahan tahun.

"Ia dipengaruhi oleh jenis virus, vektor, faktor manusia, alam sekitar dan cuaca.

"Kawasan kotor dan cara pembuangan tidak betul menyebabkan banyak bekas menjadi tempat pembiakan nyamuk," lapor Sinchew Daily.=EZY=

MetMalaysia: Taufan Nock Ten impak ombak 11 kaki

Posted: 25 Dec 2016 07:26 PM PST

SELANGOR KINI

SHAH ALAM : Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan kesan Taufan (Nock-Ten) boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) di kawasan perairan Laut China Selatan.

MetMalaysia dalam kenyataan menyatakan pada jam 8:00 pagi, 26 Disember, Nock-Ten berada di kedudukan Latitud 13.6 Utara dan Longitud 121.4 Timur, kira-kira 124 km ke Tenggara Manila, Filipina.

nock10-1

Nock Ten dikesan bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 25 km/j dan jarak dari bandar terdekat kira-kira 899 km ke Timur Laut Kudat, Sabah.

Sementara itu Malaysian Airlines (MAS) turut membuat penjadualan semula beberapa penerbangan ekoran Taufan Nock Ten yang melanda Filipina.

Penumpang dinasihatkan untuk merujuk kepada status penerbangan di www.malaysiaairlines.com atau menghubungi 1-300-88-3000 untuk sebarang kemaskini.=EZY=

Cendawan Volvariella Jana Pendapatan Lumayan

Posted: 25 Dec 2016 07:10 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Sarah Hussain dan abangnya, Omar menunjukan cendawan Volvariella atau cendawan jerami yang baru dikutip di kebun getah milik mereka di Kampung Bukit Murai. -fotoBERNAMA
 
 
PENDANG: Berbekalkan iltizam tinggi, seorang siswazah Pengajian Media dari Universiti Malaya tekad untuk berkecimpung dalam projek tanaman cendawan Volvariella sehingga mampu mencapai pendapatan RM4,500 sebulan.

Sarah Hussain, 32, dari Kampung Bukit Murai, Mukim Padang Pusing, di sini berkata dia mengusahakan tanaman tersebut secara perkongsian bersama abangnya, Omar, 51, dan sepupunya, Khairul Azmi Rejab, 26, di kebun getah seluas kira-kira 0.4 hektar milik keluarganya bermula Oktober lalu.

Melalui bimbingan dan bantuan Jabatan Pertanian daerah berupa tandan kelapa sawit yang dijadikan medium tanaman, dan anak benih, Sarah tekad mengikuti kursus tanaman yang diadakan di sini.



Suraya Awang Kechik, 45, turut membantu mengutip cendawan Volvariella atau cendawan jerami di kebun mereka.

"Sebanyak 32 batas cendawan disediakan dengan setiap batas dapat menghasilkan kira-kira lima hingga tujuh kilogram cendawan selepas 10 hari benih ditabur," katanya kepada Bernama.

Cendawan Volvariella atau biasanya dipanggil cendawan jerami diperkenalkan kepada pekebun kecil sebagai tanaman alternatif bagi menambah pendapatan mereka.

Sebelum ini, ia ditanam menggunakan jerami padi sebagai medium tanaman, namun kini lebih mudah apabila tandan sawit yang hanya perlu diperap digunakan sebelum disusun untuk dijadikan batas penanaman.

Sarah berkata setiap bulan mereka mampu mengutip kira-kira 300 hingga 400 kilogram cendawan Volvariella dengan pendapatan kasar sekitar RM4,500 hingga RM5,000 sebulan (sekali pusingan tanaman).


Omar membuka penutup plastik hitam yang menutup batas cendawan Volvariella.

Sementara itu Omar berkata sambutan terhadap cendawan Volvariella amat menggalakkan dan mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat setempat serta pengusaha restoran.

"Cendawan ini mempunyai khasiat yang tinggi dan boleh dijadikan hidangan untuk keluarga serta produk hiliran lain seperti produk kecantikan serta dijadikan serunding," katanya.

Omar berkata kebun cendawannya kini turut menjadi projek perintis bagi daerah Pendang dan pusat rujukan kepada mereka yang ingin mendapat khidmat nasihat mengenai tanaman cendawan jenis itu.

Viral Limpahan Air Di Simpang Pulai-Cameron Highlands Insiden Lama

Posted: 25 Dec 2016 07:08 PM PST

MSTAR ONLINE


SITUASI sebenar di Cameron Highlans iaitu berlaku kejadian tanah runtuh di Rumah Peranginan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bungalow Sharpless, Tanah Rata. -fotoBERNAMA
 
 
IPOH: Rakaman limpahan air deras dari lereng bukit di Kilometer 16, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang menjadi viral pada Ahad adalah insiden lama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika dihubungi Bernama di sini lewat malam Ahad berkata beliau dimaklumkan insiden itu berlaku pada tahun 2014.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak Lt Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya, polis serta bomba mengenai rakaman itu.

"Tetapi tiada mana-mana pihak berkenaan yang menerima laporan mengenai kejadian (limpahan air) itu yang didakwa berlaku semalam (Ahad)," katanya kepada Bernama.

Video limpahan air selama tujuh saat itu menjadi viral di media sosial mulai petang semalam berikutan hujan lebat di Cameron Highlands sejak awal pagi sehingga menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh dan banjir kilat khususnya di Tanah Rata.

Tiada ulasan: