Selasa, 20 Disember 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


SIAPA NASIHAT SIAPA?

Posted: 20 Dec 2016 06:48 AM PST

shahbudindotcom

 

 
 
Sebagaimana yang dilaporkan media, Najib Razak hari ini menerima kunjungan hormat anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah di pejabatnya di Putrajaya.

Lembaga yang bertujuan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM itu dipengerusikan oleh Tunku Aziz Tunku Ibrahim, bekas ahli DAP yang kini sudah beralih menjadi penyokong dan pendokong setia kepada Perdana Menteri.

Apa agaknya yang dibincangkan dalam pertemuan selama 30 minit itu?

Sebagai Perdana Menteri, apakah "nasihat"  Najib kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah tersebut?

Sebagai penasihat kepada hal-hal yang berkaitan ketelusan dan akauntabiliti mengenai rasuah pula, apakah  "nasihat" anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, khususnya Tunku Aziz kepada Najib?

Siapa yang menasihat dan siapa yang dinasihat?

Atau kedua-dua pihak saling nasihat-menasihati antara satu sama lain?

Berdasarkan wajah cerita masing-masing dalam foto yang ditunjukkan, agaknya kita sudah boleh menaruh harapan bahawa hasil pertemuan itu akan membawa penurunan kepada indeks rasuah negara di tahun-tahun berikutnya nanti.

Hmmmmm....


Pengajaran dan pelajaran daripada "kenakalan" Mohd Faiz

Posted: 20 Dec 2016 06:40 AM PST

MSO

Tengah anak muda bernama Mohd Faiz.
Sebermula saya membaca status (print skirin) yang ditulis anak muda bernama Mohd Faiz Yusof yang dikongsikan oleh beberapa rakan Facebook saya, dalam hati saya sudah berasa tidak sedap. Ada sepatah ayat yang saya kira boleh membawanya ke lubang nahas. Patah itu berbunyi "letak jawatan sebagai Agong".

Cadangan itu sangat tajam dan berbisa yang juga diangkat sebagai satu keberanian. Dari sisi lain ia satu sikap kurang sopan dan perbuatan sengaja membuka jerut untuk dimasukkan leher. Saya sendiri tatkala menangkapi perkataan itu "bersumut" dalam hati; biadap budak ni. Timbul perasaan kesal apabila gambar Mohd Faiz ditempelkan dengan lambang parti Amanah. Firasat saya juga terus mengira apa yang berlaku itu untuk menjejaskan Amanah.


Langsung dari situ saya mengira dia seorang yang "tebolah" dan tidak pandang depan sebelum meluah kata-kata. Sikap orang mudah yang agresif dan bernafsu terserlah. Saya sudah menyangka patah atau status beliau itu akan membawa penyakit kepada partinya dan akan terleset kepada Amanah.

Sudah pasti para pencinta apa lagi petaksub institusi Raja-Raja yang matanya senantiasa melihat Raja itu senantiasa suci dan bersih meskipun ada kalanya ada tompok hitam akan melakukan sesuatu tindakan. Kesetiaan dan ketaatan yang diikat dalam gelang besi budaya dan adat menyebabkan mereka tidak membaca maksud tersirat disebalik kenakalan dan kebiadapan kecil Mohd Faiz itu, melainkan terus menuduh Faiz sebagai biadap.

Manakala penguasa pula yang bertanggungjawab memelihara institusi berkenaan pasti bertepuk tangan. Elemen politik tidak dapat lari kerana kita bangsa sangat terkenal begitu banyak dan galak berpolitik. Orang terdesak akan mengambil kesempatan menjadikan kenakalan Faiz itu sebagai isu meraih sedikit keuntungan daripada apa yang terkhilaf itu.

Natijah akhir tindakan kepada kenakalan Mohd Faiz itu beliau akan di bawa ke mahkamah dan ia telah pun berlaku apabila khabarnya dia sudah digiring polis ke balai. Dalam zaman bahari dahulu orang yang menderhaka atau melakukan kejahatan dalam sesebuah negeri akan diperintah bunuh atau dibuang negeri adakalanya tanpa usul periksa dan kesalahan yang menunasabah.

Sejarah atau mitos Hang Tuah dan Hang Jebat menjelaskan duduk perkara ini, ketinggian darjat Raja atau Sultan diguna seweng-wenengnya bila mana, bagaimana Hang Tuah Laksamana Melaka diperintah Sultan dibunuh kerana dianggap mengkhianati Sultan dan telah melakukan penderhakaan. Tetapi mujurlah kerana ada Bendahara yang bijaksana tidak mematuhi perintah Sultan. Hang Tuah tidak dibunuh sebaliknya hanya di buang di Hulu Melaka sahaja.

Saat Sultan dalam keadaan gawat dan memerlukan seorang seperti Hang Tuah, Hang Tuah dipanggil balik dan terus memperhambakan diri kepada Sultan dengan seadanya penuh kehormatan dan ketaatan tanpa sedikit terkilan kepada perintah Sultan sebelum itu. Bayangkan apa jadi kepada Sultan sekiranya Bendahara telah mentaati perintah buta sultan itu?

Aneh dan pelik hikayat itu? Yang memusykilkan saya sampai kini, orang yang jelas ingkar kepada perintah Sultan, yak itu Bendahara tidak dikenakan apa-apa tindakan. Bukankah Bendahara telah ingkar apabila tidak menuruti perintah Sultan membunuh Hang Tuah. Ingkar itu satu pendehakaan. Dalam mitos ini yang perlu dibunuh Bendahara bukannya Hang Jebat. Ada sikap double standard di lakukan sultan disini.

Kisah atau mitos itu sebagai ibrah kepada manusia kemudiannya. Ia dicipta dan diilhamkan demikian rupa oleh pencipta riwayat dan sejarahwan. Ia mahu menunjukkan akan kuasa Raja dan kekuasaanya boleh melakukan apa sahaja tanpa usul periksa sekalipun atau walaupun tindakannya tidak beradab dan kejam. Mitos itu menggambarkan "kekambalan" sultan dan tindakan yang berlandaskan nafsu dan bersumberkan fitnah.

Demikian apa yang berlaku terhadap Mohd Faiz itu, sebenarnya ia tidak sampai ke peringkat yang boleh dihukum, bahkan untuk ditangkap dan dilokapkan pun belum. Jika orang membaca statusnya bersifat seperti Bendahara bijaksana itu akan memahami ertinya, ia tidak pun dapat dianggap menghina, jauh sekali layak digiring ke dalam lokap. Dalam membuat siasatan kepada Mohd Faiz semoleknya Yang di-Pertuan Agong menurunkan mata dan telinganya sama tanpa diserahkan bulat-bulat kepada penguasa yang ada kepentingan.

Catatan beliau dan maksud yang dilakukan tidak pun sampai seperti mana difahami secara rawak terhadap apa dituliskan. Yang dimaksudkan beliau ingin memberi pesan bahawa tugas dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong yang di"dhoman"kan kepada institusi tertinggi, haruslah menghayati tanggunjawab dan kedudukan itu lebih jauh daripada apa yang digambarkan. Maksud peringatan yang dibuat dengan sinis itu bukan sahaja tertakluk kepada Agong, tetapi pemegang jawatan-jawatan dan pemikul amanah lain juga, termasuk perdana menteti dan sebagainya.

Apa yang beliau ingin nyatakan akan peranan dan tanggungjawab seorang Yang di-Pertuan Agong yang berada di puncak paling tinggi dalam "kekuasaan" negara ini. Beliau tidak mahu manis tingkah laku Yang di-Pertuan Agong dalam konteks amal agama sahaja tetapi dalam amal rakyat (sosial) juga. Mohd Faiz terlalu idealis dalam menerjah perkara ini. Dia tidak faham atau nampak bahawa amalan agama Yang di-Pertua Agong itu juga sebenarnya amalan sosial yang meliputi "harizonal" dan "vertikal".

Sebagai payung rakyat, Mohd Faiz melemparkan harapan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja dan juga pemerintah lebih tinggi daripada itu. Ia tidak mahu segala peluang dan kehebatan yang ada itu sebagai suatu retorik sahaja. Itu hasrat dan keinginannya. Bukankah keinginan dan hasrat itu menjadi cita-cita setiap rakyat.

Matan pengucapan Mohd Faiz harus difahami.

Itu maksud tersiratnya dan bagi saya sama sekali beliau tidak bermaksud menghina Sultan Mohamed Ke-V, jauh sekali mendesak agar baginda melepaskan jawatan itu. Saya rasa Mohd Faiz juga waras bahawa adalah tolol amat baginya untuk melihat ketrampilan dan keprihatinan baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa hanya tidak sampai seminggu. Hanya orang gila sahaja yang mengharap telor ayam menetes dalam masa seminggu, sedang fitrah matangnya selama 21 hari. Bawalah saintis sehebat mana sekalipun telor ayam tidak akan menetas dengan melanggari fitrah tempohnya.

Tuhan membuat Adam a.s. pun mengambil masa jutaan tahun. Kelamaan itu mahu menggambarkan akan kesyumulan Adam (manusia). Sebagai seorang bakal Doktor yang mendapat pengajian di Mesir, bumi yang dianggap mulia dan mempunyai menara gading tertua di dunia, Mohd Faiz memahami akan situasi itu. Apakah dia tidak pernah terjumpa dengan kisah dan ceritera itu. Memahami itu maka bagi saya beliau tidak berniat menghina Yang di-Pertuan agong, seperti dianggapkan itu. 

Pun begitu, kerana mengikut kanun, tradisi dan adat Melayu yang kita amalkan bahawa apa-apa perkataan dan perbuatan yang menyinggung baginda sultan boleh disabitkan kesalahan, maka patah-patah perkataan dilafazkan Faiz itu ada "primafacie" untuk beliau diambil tindakan, apa lagi oleh penguasa dan penjaga instusi raja yang berdendam dan ketakutan.

Apa yang diharapkan tindakan dikenakan bukan satu tindakan sampai menyusahkan beliau jauh sekali sampai menyeksa atau merosakan reputasi dan prospek beliau sebagai anak muda masa depan negara. Tindakan cukup berpadan patut. Dan adalah lebih baik dan mulia lagi kalau Yang di-Pertuan Agong sendiri bertitah dan meminta Mohd Faiz menghadap bersua muka bagi menyelami maksud si anak muda itu.

Dalam pada itu saya yakin bagi Sultan Mohamad ke V baginda tidak pun terkesan dengan pengucapan Faiz dalam Facebook itu. Mungkin baginda menerima sebagai satu peringatan baik serta menjadi mesej mujarab buatnya untuk selama lima tahun memegang jawatan itu. Adapun yang riuh randah yang bersikap lebih sudu daripada kuah ialah mereka yang mahu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku dengan mengharap seuncang laba berhias tuba. 

Bagaimanapun apa yang berlaku tentu ada hikmah dan rahmatnya, ia perlu dipelajari sama oleh orang lain dan mengambil peringatan untuk tidak terulang dilain masa. Peribahasa berbunyi kerana rosak santan kerana pulut, rosa badan kerana mulut, hendaklah diingati dan dihayati. Raja bukan tidak boleh ditegur, tetapi caranya kena berhemah. Nama lagi raja mereka berdarjat dan untuk berbicara dengan mereka juga ada bahasa tersendiri. Kita (rakyat) yang mengangkat sembah kepadanya maka kita jugalah yang mendaulat dan mengkeramtkannya.

Orang di zaman bahari berbicara atau kalau ingin menegur sultan dan raja ada cara dan bahasa tersendiri. Syair, pantun, gunridam, seloka dan madah adalah instrumentnya. Di sinilah keindahan adat budaya Melayu. Selagi kita bernama Melayu maka jangan tinggal adat resam itu. InsyaAllah kalau kita mengekalkan adat resam, kesopanan kita, kita akan selamat sultan juga akan membawa berkat.

Dalam satu-satu segi kedudukan Melayu itu lebih tinggi daripada agama, hakikat ini kena diakui. Kemungkaran berbolot dalam kemuliaan. Walhau'alam.

Felcra tanggung 20% bayaran balik PTPTN anak peneroka

Posted: 20 Dec 2016 06:33 AM PST

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Felcra Berhad (Felcra), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap peminjam dalam kalangan anak peneroka berkenaan.
 
Diskaun sebanyak 20 peratus itu akan dibiayai oleh badan tersebut sebagai tanggungjawab sosial Felcra, menurut Najib dalam ucapan perasmiannya hari ini.
 
"Felcra ada kaitan dengan tanggungjawab sosial.
 
"Saya nak umum Felcra akan beri pengurangan bayaran balik pembiayaan PTPTN pada kadar 20 peratus atau RM 4000.00 dari jumlah sebenar anggaran RM20,000.00 bagi yuran pengajian bagi setiap pelajar," kata Najib.
 
Bagi tujuan tersebut, tambahnya, badan yang ditubuhkan pada 1966 oleh Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak itu akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi tempoh sepuluh tahun sehingga pada tahun 2026.
 
Pembiayaan tersebut juga tambahnya melibatkan seramai 500 orang anak peneroka setiap tahun, bersamaan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun.
 
"Bagi tujuan itu Felcra akan sedia peruntukan RM20 juta utk tempoh 10 tahun atau RM20 juta setahun.
 
"Ini melibatkan 500 pelajar setiap tahun dan akan cecah 5 ribu pelajar pada 2026," katanya.
 
Turut diumumkan oleh Najib hari ini, kesemua anak peneroka Felcra yang mendaftar untuk melanjutkan pengajian di Kolej Felcra, dijamin akan mendapat kemudahan pinjaman PTPTN bermula pada tahun depan.
 
"Selain itu, mulai 2017, semua pelajar warga Felcra yang daftar di kolej Felcra akan diberikajn jaminan utk dpt pinjaman PTPTN," ujarnya lagi.
 
Najib hari ini hadir pada sambutan ulang tahun ke-50 Felcra di Dewan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.
 
Turut hadir sama pada majlis itu, Pengerusi PTPTN Datuk Anuar Nasarah bagi menyaksikan perjanjian persefahaman (MOU) antara Felcra dan PTPTN.
 
 

Hadi perjelas sebab hadiri persidangan di Iran

Posted: 20 Dec 2016 06:21 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic


SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mereka yang menuduh Iran berniat buruk dalam campur tangannya di Syria juga tidak berniat suci, umpama pencuri yang memekik "pencuri" untuk melepaskan diri.

Beliau berkata, negara Syiah itu tidak memberi ancaman kepada golongan Sunnah.

"Setahu saya Iran tidak membuat kenyataan untuk mengeksport Revolusi Islam Syiahnya. Iran hanya mengajak Negara Arab yang berjiran itu bersatu menentang Israel dan membebaskan diri mereka daripada kuasa asing," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian berikutan kritikan dibuat terhadapnya kerana menghadiri persidangan antarabangsa di Tehran, Sabtu lalu. Persidangan itu ditutup oleh Ayatollah Ali Khameinei.

Antaranya, Kesatuan Ulama Antarabangsa pimpinan Dr Yusuf Qardhawi yang mempersoal tindakan Presiden PAS itu. Hadi adalah juga naib presiden kesatuan ulama itu.

"Mengapa Mazhab Syiah di dalam masyarakat Sunni yang sudah wujud lebih daripada seribu tahun itu tidak pernah menghalang kemajuan Islam di seluruh pelosok dunia, tiba-tiba kini ditiupkan api permusuhan untuk menumpahkan darah dalam umat yang satu kiblatnya?

"Dahulunya berkhilaf secara ilmu sahaja tanpa berpisah dalam satu umat, tiba-tiba sekarang dianggap seperti agama yang berbeza," tambahnya.  

Hadi berkata Iran dan Syria adalah dua negara Timur Tengah yang secara terbuka menyokong usaha membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.

Dan kini Syria diserang oleh mereka yang beliau dakwa dihasut oleh Barat dengan sokongan negara Arab serta rejim Zionis.

Hadi berpendapat, Iran hanya mahu membantu Syria menyelamatkan dirinya.

Beliau mengingatkan nasib yang menimpa penganut Islam di Eropah, iaitu Andalusia di selatan Sepanyol.

"Seterusnya kenangilah sejarah kejatuhan Islam di Andalusia yang ditangguhkan beberapa abad apabila salah seorang Raja Islam di Andalusia mengejutkan semua Raja yang tidak mahu menjemput Raja Ibnu Abbad dari Morocco kerana takutkan raja itu akan merampas takhta mereka.

"Apabila seorang raja yang beriman itu bertitah: "Beta lebih rela menjadi gembala kambing dan unta Ibnu Abbad daripada menjadi gembala babi Raja Kristian yang datang menakluk."

Hadi berpendapat mengetepikan pembabitan Iran juga bermakna, ia akan diikuti pula oleh kejatuhan kerajaan Islam Syria kepada musuh.

"Iran menjadi penyumbang paling besar kepada Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah kumpulan Syiah di Lubnan juga mendapat kemudahan, sehingga menggagalkan operasi ketenteraan Israel di Gaza dan Selatan Lubnan.

"Semua Negara Arab yang menyokong perjanjian damai dengan Israel secara terbuka atau rahsia tidak mendukung perjuangan di Gaza dan Selatan Lubnan.

"Banyak media Timur dan Barat mendedahkan betapa krisis Syria membesar dengan bantuan senjata Barat melalui Nato di Turki di sebelah utara dan di selatannya Israel.

"Selepas itu disokong oleh kenyataan Bush, selepasnya Obama dan mereka yang berada di bawahnya. Isu Sunni dan Syiah ditiupkan supaya membakar.

"Selepasnya beberapa tokoh ulama rasmi dan tidak rasmi mendukung kenyataan yang membakar itu," tambahnya.

Presiden PAS itu berkata, kadang kala apabila masyarakat Muslim terlalu lemah untuk bertindak, Tuhan akan menghantar kaum lain untuk menentang musuh yang kejam.

Beliau memberi gambaran pembabitan Russia dalam hal-ehwal politik serta ketenteraan di Syria mungkin campur tangan Illahi yang menyebabkan pihak disokong oleh Zionis dan Barat terhalang, memberi Syria ruang untuk bernafas.

Beliau juga mengingatkan, tiada negara Islam tampil untuk membantu Syria dalam hal ini, kecuali Iran.

Hadi menjelaskan, PAS konsisten dalam penentangannya terhadap campur tangan asing di Timur Tengah.

Beliau berkata: "Kami membaca politik di lapangan antarabangsa, bukan hanya membaca kitab dan media sosial di atas meja dalam bilik yang sempit."


Selepas seminggu, apa tindakan terhadap Myanmar, tanya Pemuda Amanah

Posted: 20 Dec 2016 06:12 AM PST

 BORHAN AHMAD
 
 
Selepas seminggu Hadi dan Najib di perhimpunan Rohingya, apa yang Nik Abduh telah buat, soal pemuda Amanah.Selepas seminggu Hadi dan Najib di perhimpunan Rohingya, apa yang Nik Abduh telah buat, soal pemuda Amanah.

Selepas seminggu perhimpunan Solidariti untuk Rohingya yang menggabungkan parti pemerintah Umno dengan Pas, tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan dalam menangani konflik Rohingya.

"Himpunan tersebut kononnya bagi menunjukan keprihatinan Malaysia kepada warga Rohingya hanya retorik dan politik sentimen sahaja," kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil.

Bagi beliau, ia hanya dimainkan oleh pihak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana walaupun pihak kerajaan turun dalam demontrasi tersebut, tetapi tiada tindakan diambil oleh kerajaan samaada menegur secara rasmi pentadbiran Aung San Suu Kyi atau mendesak OIC, Asean atau PBB menghantar negara pengaman ke Myanmar.

Apa Nik Abduh telah buat, tanya Faiz Fadzil.Apa Nik Abduh telah buat, tanya Faiz Fadzil.Lebih malang lagi, katanya, apabila Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Mat yang turut hadir dan berucap di dalam himpunan tersebut juga hingga kini diam seribu bahasa walaupun tiada apa-apa tindakan diambil oleh pihak kerajaan.

"Sebagai 'penasihat', apakah langkah yang telah diambil bagi menyelesaikan konflik kemanusiaan ini?" soal beliau.

Bagi anak bekas presiden Pas itu, Datuk Fadzil Noor itu, pendirian Nik Abduh yang mesra Najib Razak dengan hadir dalam himpunan tersebut tetapi takut untuk menegur Najib Razak dalam skandal 1MDB menimbulkan persoalan tentang pendirian politik beliau.

Bagi beliau, hak rakyat dan wang negara perlu dipertahankan kerana skandal ini melibatkan jenayah penyelewengan wang negara dan hutang puluhan bilion ringgit yang mengakibatkan penganiyaan dan kezaliman terhadap rakyat.

Rakyat, katanya, terpaksa menanggung kenaikan harga barang kesan daripada GST, potongan subsidi pendidikan dan kesihatan dan nilai mata wang yang semakin susut akibat skandal 1MDB.

"Jika benar masih berjuang atas nama Islam, jenayah dan kemungkaran pemerintah ini yang harus ditentang secara zahir dan bukan hanya bersuara dalam isu-isu yang dijadikan sentimen oleh pihak pemerintah Umno," katanya.

Kisah Agong baru memandu sendiri ke masjid kini viral

Posted: 20 Dec 2016 06:08 AM PST

BORHAN AHMAD
 
 
Yang Dipertuan Agong yang baru, Sultan Mohamad ke V kelihatan datang solat Maghrib di Masjid PGA Cheras.Yang Dipertuan Agong yang baru, Sultan Mohamad ke V kelihatan datang solat Maghrib di Masjid PGA Cheras.

Kisah Yang Dipertuan Agung yang baru, Sultan Muhamad Ke V datang menunaikan solat di masjid dengan memamndu sendiri keretanya kini menjadi viral di laman sosial.

Yang Dipertuan Agong bersalaman dengan jamaah Masjid WP selepas solat Subuh.Yang Dipertuan Agong bersalaman dengan jamaah Masjid WP selepas solat Subuh.Mula-mula gambar baginda datang solat Subuh di Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta, Kuala Lumpur menjadi viral.

Selepas itu gambar baginda datang solat Maghrib di Masjib Kem PGA Cheras dengan memandu sendiri keretana malam tadi pula menjadi viral.

"Agong solat Maghrib di Masjid Kem PGA Cheras tadi....ALLAHUKBAR..tanpa hamparan sejadah kuning dan protokol bawa kereta sendiri tu...Allahukbarrr," tulis seorang facebooker sambil menyiarkan gambar dan video baginda pulang dengan memandu kereta sendiri.

Ia disambut dengan begitu positif sekali di kalangan pengguna media sosial khasnya facebook.

"Bila rakyat berasa tertekan dengan pemerintahan Najib .. Allah hantarkan kepada kita seorang Raja yg menyenangkan hati kita .. syukur #alhamdulillah," tulis A'fif Danial Takaful Insurans.

ATSB percaya MH370 tiada di kawasan carian

Posted: 20 Dec 2016 06:00 AM PST

Bernama



Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yakin kawasan dasar laut di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebagai kawasan pencarian sebelum ini, bukan merupakan tempat terletaknya
bangkai pesawat MH370, yang hilang pada 7 Mac 2014.

ATSB, dalam Laporan Semakan Semula Utama pertamanya mengenai MH370, yang dikeluarkan hari ini, berkata para pakar mereka juga mengenal pasti satu kawasan kira-kira 25,000km persegi di utara kawasan pencarian sekarang sebagai kawasan paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat itu.

"Para pakar merumuskan bahawa sekiranya pencarian terus dilakukan di kawasan ini, lokasi prospektif terletaknya bangkai pesawat berkenaan berasaskan semua analisis yang dibuat setakat ini, ia tidak akan memberi hasil," kata agensi itu dalam laporannya melalui

www.atsb.gov.au/publications/investigation_reports/2014/aair/ae-2014-054/ ATSB, agensi utama dalam usaha mencari MH370, berkata analisis bebas terkini tentang data satelit dan pola hanyutan, secara konsisten mengenal pasti lokasi impak paling berkemungkinan berkaitan MH370 ialah berhampiran gerbang ke-7[1] (di kawasan ~25 NM) dalam jajaran kira-kira 33°S hingga 36°S.

MH370 hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Dalam reaksi segera terhadap laporan itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia menyambut baik laporan yang dikeluarkan itu.

"Walaupun laporan itu membentangkan analisis mendalam tentang usaha mencari MH370, kami tetap mengharapkan bagaimana ia boleh digunakan untuk membantu kami dalam mengenal pasti lokasi spesifik terletaknya pesawat itu," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kerajaan Australia, Malaysia dan China mencapai kesepakatan pada mesyuarat Tiga Pihak Peringkat Menteri pada Julai tahun ini bahawa pertimbangan akan dibuat bagi menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil sekiranya terdapat maklumat baharu untuk mengenal pasti lokasi pesawat itu berada.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa hasrat untuk menemukan lokasi terletaknya MH370 tidak pernah diabaikan dan setiap keputusan yang diambil sentiasa berpandukan semangat kerjasama dalam kalangan ketiga-tiga negara itu.

"Harapan dan doa kami sentiasa mengiringi keluarga dan orang tersayang yang ditinggalkan penumpang serta anak kapal MH370," katanya. -Bernama


Mapim hantar misi bantuan ke Myanmar awal tahun depan

Posted: 20 Dec 2016 05:53 AM PST

MALAYSIA DATELINE
 
 
Mapim telah memulakan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang telah sempat melarikan diri merentasi sungai Naf untuk masuk ke Bangladesh pada 14 hingga 18 Disember  laluMapim telah memulakan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang telah sempat melarikan diri merentasi sungai Naf untuk masuk ke Bangladesh pada 14 hingga 18 Disember lalu

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersiap sedia melancarkan Flotilla Makanan untuk Myanmar, kata presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata, segala persiapan teknikal untuk menyegerakan persiapan kapal, penyertaan delegasi dan pengemblengan sokongan seluruh dunia akan digerakkan.

"Situasi kebuluran dan pelarian tanpa perlindungan dan tempat tinggal kini sudah mencecah puluhan ribu dan keadaan akan menjadi lebih parah jika bantuan segera tidak diusahakan.

"Sehubungan itu, kami menggesa supaya misi Flotilla yang diusahakan ini tidak dihalang oleh kerajaan Myanmar.

"Kami juga mengesa agensi antarabangsa memastikan bantuan melalui Flotilla ini mendapat kemudahan yang secukupnya supaya bantuan dapat disalurkan dengan lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil daripada Retreat Menteri Luar Asean di Yangon Ahad lalu, kerajaan Myanmar akan membuka laluan untuk bantuan kemanusiaan dihantar kepada kawasan utara Rakhine tempat berlaku serangan ke atas etnik Rohingya Muslim berlaku sejak 9 Oktober yang lalu.

Misi Flotilla bertujuan membawa makanan, ubat-ubatan, khemah, peralatan dan pakaian untuk lebih 30,000 mangsa muslim Rohingya yang kini menjadi orang pelarian.

Flotilla yang diusahakan oleh Mapim bersama rangkaian badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa dijangka bergerak pada awal atau pertengahan Januari 2017.

Ia membabitkan penyertaan sekitar 200 orang dengan menggunakan dua buah kapal.

Dijangka pelayaran akan mengambil masa tiga hingga empat hari dari Pelabuhan Klang ke pengairan Myanmar melalui Laut Andaman dan Teluk Benggal.

Flotilla ini akan membawa 15,000 tan bantuan yang akan diserahkan kepada pos Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan membantu mengedarkannya.

Mapim telah memulakan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang telah sempat melarikan diri merentasi sungai Naf untuk masuk ke Bangladesh pada 14 hingga 18 Disember lalu.

Krisis air: Video Jamal di bilik air dikutuk netizen

Posted: 20 Dec 2016 05:51 AM PST

DALIA ISMAIL
 
 
Jamal memuat naik statusnya tengahari tadi kemudian disusuli videonya yang melahirkan rasa tidak puashati dengan ketiadaan bekalan air yang berlaku di Lembah Kelang.Jamal memuat naik statusnya tengahari tadi kemudian disusuli videonya yang melahirkan rasa tidak puashati dengan ketiadaan bekalan air yang berlaku di Lembah Kelang.
Tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini memuat naik status dan video di laman facebooknya yang memaparkan beliau berada di dalam bilik air sambil menyalahkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Azmin Ali kerana ketiadaan air di negeri itu sejak dua hari lalu dikutuk netizen.

Video berdurasi 34 saat itu menunjukkan Jamal tanpa berbaju sedang berada dalam sebuah bilik air berkata:" Nak keluar pagi mandi pun tak boleh,air pun takda...gampang menteri besar selangor Azmin Ali, mangkuk ayun betul..selalu macam ni..pagi tak mandi...pagi tak mandi," ujarnya.

Video yang dimuat naik sejam lalu itu juga mendapat kecaman netizen seolah-olah beliau tidak sedia maklum akan hal tersebut, antaranya menyindir beliau kerana menyalahkan menteri besar terhadap krisis air yang bermula sejak 19- 24 Disember ini berikutan kerja penyelenggaraan di lakukan TNB .

Netizen Ali Adriano berkata," jangan tunjuk tak pergi sekolah, buat malu orang kampung jer...dah bagi tahu lama dah akan datang tak ada air beberapa hari," ujarnya.

Bagi Muhammad Sollehin Mohd Shah berkata;" Aiikk...bilik air punya lawa, rumah punya mewah takkan tak ada tangki air besar, takan tak simpan sumber air. Pelik."

Bagi Rosfaz Qhafiq Qurr pula berkata:" kalau bising-bising jangan guna air Selangor...ko sambung paip dari Pekan terus ke rumah ko," ujarnya.

Manakala ramai lagi netizen yang menghamburkan kata-kata kesat kepada Jamal yang juga Presiden Gabungan NGO Melayu Malaysia ini.

Difahamkan juga ekoran ketiadaan bekalan air dalam tempoh enam hari, Jamal akan mengadakan sidang medianya  di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam  berkaitan isu air di Selangor jam 9.30 pagi esok.

Semalam dilaporkan hampir 3.9 juta pengguna akan berhadapan dengan bekalan air terputus susulan kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, Kuala Selangor.

Gangguan itu melibatkan 707,759 akaun di 814 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini memaklumkan kerja penyelenggaraan TNB dan henti tugas berkenaan akan dilaksanakan selama 16 jam mulai 8 pagi.

Ia sekali gus menjejaskan operasi di loji-loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang.

Gangguan air dijangka berlaku sehingga ambang sambutan Krismas, 24 Disember ini.

Bagaimanapun respon terhadap TNB ini Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Azmin Ali mahu tempoh gangguan bekalan air di beberapa bahagian di Lembah Klang berakhir lebih awal daripada jangkaan enam hari.

Beliau berkata mesyuarat bersama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan diadakan bagi meneliti bagaimana untuk mempercepatkan kerja-kerja senggaraan di pencawang masuk utama (PMU) Bukit Badong.

Gunasekaran dibebaskan pertuduhan bunuh Kevin Morais

Posted: 20 Dec 2016 03:51 AM PST

 BERNAMA
 
 
Mendiang Kevin MoraisMendiang Kevin MoraisMahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan G.Gunasekaran, tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, daripada pertuduhan membunuh mendiang.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin memaklumkan Gunasekaran telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin Morais.

"Tertuduh telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan. Pohon pertuduhan ke atas Gunasekaran di bawah Seksyen 302 kanun yang sama ditarik balik," katanya.

Sebelum ini, Gunasekaran, bersama-sama lima lelaki, R. Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 26, M. Vishwanath, 26, S. Nimalan, 23, dan S. Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 Sept 2015.

Pakar patalogi, Dr K. Kunaseegaran, 53, pula mengaku tidak bersalah bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin, 55, di tempat, tarikh dan pada masa yang sama.

Dr Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama manakala Gunasekaran dan lima lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Saiful Edris turut memaklumkan Gunasekaran, 48, akan menjadi saksi pihak pendakwaan dan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan esok.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bermula dari tarikh tangkap pada 15 September 2015 terhadap Gunasekaran selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan menyembunyikan mayat Kevin Morais dan menghapuskan kenderaan lelaki itu mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Gunasekaran didakwa bersama-sama Ravi Chandaran dan Nimalan dengan niat bersama telah menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan nombor plat WA 6264Q itu dengan niat untuk mengelak enam tertuduh, Ravi Chandaran, Nimalan, Thinesh Kumar, Vishwanath, Dinishwaran, Dr Kunaseegaran daripada seksaan undang-undang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Dutamas 1, di sini ke ladang kelapa sawit Kampong Sungai Samak, Hutan Melintang, Hilir Perak, Perak, antara pukul 7 pagi 4 Sept 2015 hingga 2 pagi 5 Sept 2015.

Tertuduh dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Amanah gabung PKR tidak berbangkit, kata Salahuddin

Posted: 20 Dec 2016 03:49 AM PST

MALAYSIA DATELINE

Salahuddin AyubSalahuddin Ayub
Isu penggabungan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berbangkit sama sekali kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
 Beliau dalam satu kenyataan berkata, apa yang penting ialah parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan melawan Barisan Nasional (BN).

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan sejawat saya, Mohamed Azmin yang melahirkan pandangan mengenai idea perlunya pergabungan antara Amanah dengan PKR.

"Untuk pengetahuan semua, Amanah tampil bagi mengisi posisi serta melanjutkan perjuangan lslam yang mengambil pendekatan inklusif dan progresif untuk bersama mensejahterakan rakyat serta dalam rangka membangunkan semula negara," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan media di Shah Alam dilaporkan berkata, cadangan penggabungan dua parti itu wajar dipertimbangkan, tetapi bukan atas dasar perebutan kerusi.

Katanya, ia perlu diteliti kerana melibatkan soal kedinamikan parti dan sesebuah pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.

Menurut Salahuddin, sekarang ini dengan kehadiran PPBM telah menjadikan Amanah dan semua parti dalam Pakatan Harapan semakin penting dalam usaha untuk menumbangkan BN.

"Saya yang mewakili pimpinan dan ahli Amanah merasakan isu ini tidak berbangkit sama sekali dan mengucapkan terima kasih serta mengharapkan hubungan yang kukuh antara kita akan kekal seutuhnya," ujar beliau.

Isu berkaitan gabungan Amanah dalam PKR ini mula diperkatakan apabila didedahkan oleh Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin yang dilaporkan Malaysiakini, mencadangkan penggabungan partinya dan Amanah.

Beliau dipetik berkata memandangkan kedua-dua parti berkongsi nilai sama, termasuk pandangan mereka terhadap Islam yang sederhana.

Afif berkata idea itu timbul dalam mesyuarat dalaman PKR dan ramai pihak bersedia menerokai kemungkinan untuk cadangan itu, perkara itu kemudiannya diperjelaskan Azmin apabila hal itu diajukan media.

Artikel Berkaitan:  Amanah sudahpun bergabung dengan PKR dalam PH, kata KP Amanah

Rafizi dakwa RON95 mungkin cecah RM2.20

Posted: 20 Dec 2016 03:43 AM PST

Geraldine Tong
 
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menjangkakan harga petrol RON95 meningkat kepada RM2.20 seliter mulai bulan Januari 2017.

Berdasarkan ini, beliau mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyatakan jika jangkaan peningkatan pendapatan daripada minyak mentah itu akan digunakan sebagai subsidi petrol tahun depan.

Beliau berkata harga minyak mentah dunia telah tiba-tiba melonjak 18 peratus sejak November lalu dan kerajaan dijangka memperolehi pendapatan tambahan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara pengeksport minyak.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran ini bermakna harga petrol, khususnya RON95, juga dijangka menyaksikan peningkatan mendadak.

"Saya gesa Rahman Dahlan, sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi perancangan ekonomi, untuk menyatakan dengan jelas sama ada kerajaan akan menggunakan pendapatan tambahan yang bakal diterima daripada kenaikan harga minyak mentah dengan mengembalikannya sebagai subsidi bahan api," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Kiraan Rafizi adalah berdasarkan kepada formula harga minyak Mean of Platts (MOP) Singapura.
Ketika ini harga runcit RON95 adalah RM1.90 seliter

Soi Lek mahu MCA lebih keras terhadap DAP

Posted: 20 Dec 2016 03:35 AM PST

MALAYSIAKINI



Bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersetuju dengan desakan pemimpin Umno terhadap parti komponen BN untuk meningkatkan usaha memenangi pilihan raya.

Menurut Chua, para pemimpin MCA hari ini mesti bersikap agresif seperti ketika beliau menjadi presiden menentang DAP.

"(Apabila saya menjadi Presiden) saya amat keras pada DAP. Saya bahkan ajak Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berdebat. Ia tak pernah berlaku sebelum itu.

"Ia mendorong saya, seorang yang tidak fasih dalam bahasa Cina untuk mencabar mereka berdebat. Saya percaya saya lakukan perkara betul.

"Orang Cina mahu melihat pemimpin yang kuat. Kita mesti menjadi kuat," kata bekas menteri kesihatan itu kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Chua berkata demikian selepas diminta mengulas ucapan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun semasa Perhimpunan Agung Umno pada awal bulan ini, yang menggesa parti-parti komponen BN mengambil risiko dan berdepan pembangkang.

Khairul Azwan juga menggesa masyarakat Cina memikirkan tentang sokongan mereka kepada DAP akan semakin memencilkan masyarakat itu di negara ini.

Sementara itu, Chua berkata pemimpin Umno harus mengelak daripada menuding jari kepada parti komponen BN atas prestasi buruk mereka pada pilihan raya umum lepas.

"Pemimpin-pemimpin Umno perlu memikirkan kenapa masyarakat Cina, yang dahulunya penyokong kuat BN, tiba-tiba memutuskan perubahan kerajaan adalah perlu pada 2008 dan 2013.

"Kamu tak boleh salahkan orang lain kerana tidak mengundi kamu. Kamu sebaliknya perlu muhasabah. Adakah ia masalah kita? Adakah kita penuhi apa yang rakyat mahu? Itu akan jadi pendekatan yang sesuai," katanya.

Ketua BNBBC persenda strategi calon pembangkang

Posted: 20 Dec 2016 03:32 AM PST

MALAYSIAKINI



Seorang ahli parlimen Umno tertanya-tanya mengenai keberkesanan strategi pilihan raya pembangkang apabila ia diumumkan lebih awal sebelum pertandingan.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad, berkata demikian ketika mengulas kenyataan seorang pemimpin PKR Johor semalam yang mendedahkan rancangan Pakatan Harapan di Johor yang dianggap kubu kuat BN.

Shahrir berkata, Umno dan BN mempunyai strategi sendiri, tetapi memilih untuk bekerja secara senyap.
"Sepatutnya strategi ini rahsia, ada elemen kejutan, kita rancang.

"Tapi mereka ini uar-uarkan di surat khabar, buat kenyataan. Ini strategi apa pun saya tak tahu.

"Kita kerja senyap-senyap. Tak banyak cakap. Kita bekerja, menyusun (strategi). Takkan kita nak cakap strategi, patut kita simpan. Kita laksanakan diam-diam," katanya yang dipetik oleh portal BNBBC.

Pada hujung minggu lalu, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tsee berkata Pakatan Harapan akan meletakkan calon berprofil tinggi untuk kerusi parlimen manakala pemimpin tempatan yang aktif pula akan bertanding untuk kerusi DUN.

Strategi basi

Beliau juga dilaporkan sebagai berkata bahawa Pakatan Harapan telah mengenal pasti tujuh kawasan parlimen sebagai sasaran utama iaitu Pasir Gudang, Labis, Tebrau, Segamat, Ledang, Pulai dan Muar.

Menurut Puah, Pakatan Harapan sudah menghantar senarai calon yang bakal bertanding pada PRU akan datang dan sedang menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

Bagaimanapun, Shahrir tidak kagum dan mendakwa ia adalah taktik basi serta mengalu-alukan sesiapa yang ingin bertanding di negeri itu.

Ahli Parlimen Johor Baru itu berkata, Umno dan BN yakin dengan pilihan rakyat yang lebih arif menilai berdasarkan 'track record' mereka sebelum ini.

"Tiada yang baru, tapi kita alu-alukan minat semua ahli politik yang datang ke Johor.

"Semua kata Johor akan kalah, mereka menang. (Datuk Seri) Shafie Apdal pun kata (pembangkang) akan menang di Johor," katanya.


Kerajaan perlu tegas banteras judi atas talian

Posted: 20 Dec 2016 03:02 AM PST


Roketkini.com
  
IPOH: Kegiatan judi atas talian dilihat semakin berleluasa di negara ini akibat kurangnya keazaman politik daripada kerajaan membanteras gejala tersebut.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan polis dalam menangani isu terbabit dilihat tidak memberi kesan meskipun terdapat undang-undang khusus bagi membendung kegiatan tidak bermoral itu.

"Kegiatan judi atas talian ini adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang diletakkan di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia.

"Persoalannya ialah adakah undang-undang ini lemah atau perlaksanaanya tidak betul? Pada hemat saya tidak ada political will dalam menyelesaikan masalah ini. Kerajaan tidak serius dalam menangani perjudian atas talian," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Timbalan Pengerusi DAP Perak itu turut mempersoalkan sama ada tindakan telah diambil pihak bertanggungjawab terhadap 1,161 aduan yang dilaporkan dari 2015 sehingga September 2016 memandangkan kegiatan itu tetap aktif sehingga kini.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, MCMC telah mengarahkan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menamatkan perkhidmatan sejumlah 12,499 nombor-nombor telefon yang menyebarkan perjudian atas talian sehingga September.

"Tetapi, ramai juga yang masih begitu bebas mempromosi dan berani terlibat dengan perjudian atas talian di luar sana," ujarnya.

Justeru, Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP mencadangkan polis dan MCMC supaya bekerjasama memperkasakan kempen kesedaran secara meluas bagi memastikan orang ramai tidak terjebak dalam kegiatan judi atas talian.

"Selain itu, orang ramai juga perlu mengetahui bagaimana caranya untuk  membuat aduan kepada MCMC jika mereka menerima tawaran perjudian atas talian daripada pihak-pihak tertentu," ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: