Ahad, 18 Disember 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MANA SATU BOLEH PAKAI, CAKAP MENTERI AGAMA ATAU MENTERI EKONOMI?

Posted: 18 Dec 2016 04:41 AM PST

 shahbudindotcom


Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam, Jamil Khir Baharom berkata, tidak timbul soal kerajaan tidak telus dalam perbelanjaan projek Landasan Keretapi Pantai Timur atau ECRL apabila terdapat perbezaan jumlah kos sebanyak RM9 bilion berkaitan dengannya.

Ini kerana, katanya, jumlah kos RM44 bilion (sebenarnya RM46 bilion) yang dinyatakan oleh syarikat China itu tidak termasuk kos tanah yang diambil bagi pembinaan projek tersebut.
 
 
 
 
"Memang RM55 bilion yang ditandatangani, China pula beritahu RM44 bilion (sebenarnya RM46 bilion) untuk menyediakan ECRL.

"Dalam hal ini ramai yang persoalkan ke mana perginya RM9 bilion lagi. RM44 bilion (sebenarnya RM46 bilion) sebab nak siapkan keretapi dengan jalan, soal pengambilan tanah yang hendak dibuat, China tak bayar.

"Sebab itu jumlahnya berbeza," kata Jamil Khir lagi ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kelab Alumni UMNO Luar Negara kali ke 15 di Kuala Lumpur.

Dalam beberapa kenyataan oleh Najib mengenai ECRL sebelum ini, beliau juga menyebut kosnya ialah RM55 bilion.
 
 
 
 
Pertikaian mengenai kos sebenar projek itu hanya muncul apabila laman web CCCC, syarikat China yang dianugerahkan projek itu menyebut jumlah kos yang ditandatangani oleh mereka dengan kerajaan Malaysia ialah RM46 bilion.

Menjelaskan kekeliruan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancang Ekonomi atau EPU, Abdul Rahman Dahlan pada 9 November lalu mengatakan peningkatan kos sebanyak RM9 bilion itu kerana pertambahan jarak sejauh 88 kilometer daripada perancangan asal.

Menurut beliau, kerajaan pada mulanya hanya merancang laluan dari Tumpat ke Gombak sejauh 600 kilometer dengan kos lebih kurang RM46 bilion.

Kemudian, tambahnya, kerajaan memutuskan untuk meneruskan laluan sehingga ke Pelabuan Kelang supaya barangan boleh dihantar terus ke Pantai Timur.

"Pertambahan kos RM9 bilion itu adalah adalah kerana pembinaan landasan tambahan sejauh 88 kilometer lagi yang termasuk juga jambatan dan terowong sepanjang 50 kilometer," jelas Abdul Rahman yang pernah menggelar dirinya sebagai Menteri Ekonomi.
 
 
 
 
Namun hari ini, Jamil Khir selaku Menteri Agama nampaknya berbeza hujah mengenai kos RM9 bilion bagi pembinaan ECRL itu.

Beliau mengatakan ia disebabkan kos pengambilan tanah, manakala Abdul Rahman Dahlan pula mengatakan ia disebabkan pertambahan jarak dan pembinaan landasan baru.

Mana satu yang betul dan boleh dipakai? 

Apa yang dikata oleh Menteri Agama atau apa yang dijelaskan oleh Menteri Ekonomi?

Bagaimana sesama menteri boleh berbeza fakta dalam satu projek yang sama?

Atau kedua-dua cakap menteri ini tak boleh pakai sama sekali?


Rafizi rancang PRK selepas PRU-14 demi jadikan Anwar PM

Posted: 18 Dec 2016 04:24 AM PST

MALAYSIA GAZETTE

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
Sekali lagi proses mengosongkan kerusi PKR sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan bagi membolehkan bekas Ketua Pembangkang itu menjadi Perdana Menteri.

Pengosongan kerusi PKR itu bagi diadakan pilihanraya kecil seperti apa yang pernah berlaku di DUN Kajang.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, walaupun berharap bosnya itu dibebaskan oleh mahkamah hari ini namun melihat pembebasan Anwar lebih kuat selepas PRU-14.

"Esok (pagi ini), proses undang-undang terakhir bagi kes Anwar. Semakan kehakiman adalah ruang terakhir untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 lepas.

"Jika berjaya, Anwar akan dibebaskan. Jika tidak, maka satu-satunya jalan yang ada ialah melalui pengampunan diRaja," ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan membayangkan awal-awal lagi keputusan mahkamah tidak akan menyebelahi Anwar.

"Tetapi saya juga bersedia menerima kenyataan bahawa dalam suasana mutakhir, mencari keberanian di celah-celah kuasa dan kedudukan yang melemaskan pemegang amanah dengan kemewahan adalah satu perkara yang sukar.

"Sebab itu saya lebih yakin Anwar akan dibebaskan oleh rakyat melalui PRU-14.

"Sebaik sahaja menang, sebagai pakatan yang baru menang, belum pun perlu membentuk kerajaan, Pakatan Harapn boleh mengarahkan ketua "caretaker government" iaitu Ketua Setiausaha Negara untuk mengangkat permohonan mendapat pengampunan diraja bagi pihak Kerajaan Persekutuan yang baru.

"Jika diperkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, katanya, Anwar boleh dibebaskan dalam masa dua hari selepas pengundian PRU-14.

"Salah seorang dari wakil rakyat PKR yang baru menang boleh mengosongkan kerusi dan dalam tempoh seawal dua minggu selepas hari pengundian PRU-14, Anwar boleh menang satu kerusi Parlimen dan seterusnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri," ujarnya.--MalaysiaGazette


Kenyataan pimpinan pembangkang bukti PH bakal terkubur

Posted: 18 Dec 2016 04:12 AM PST

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang kebelakangan ini menunjukkan gabungan yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu berada di penghujung hayat mereka.
 
Menurut penganalisis politik, Datuk Dr Aidit Ghazali, ia ditunjukkan menerusi perkembangan mutakhir ini yang memperlihatkan 'perselisihan' di kalangan pembangkang semakin parah meskipun masyarakat umum tidak menyedari perkara tersebut.
 
Katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini, keadaan tersebut akan lebih jelas kelihatan selepas PRU yang akan datang.
 
"Sekarang ini ia ibarat  telur di hujung tanduk. Sebabnya, perpecahan di kalangan mereka itu sebenarnya tidak disedari oleh masyarakat, sebenarnya ianya bersifat begitu ketara sekali.
 
"Ada puak-puak tertentu cuba ambil alih kepimpinan dalam parti tertentu di kalangan Pakatan, sudah berlaku kononnya mereka bersetuju menjelang PRU14, tapi tunggulah nanti bila hajat masing-masing sudah tercapai, akan berlaku kerosakan yang lebih besar di kalangan mereka," katanya.
 
Tambah Aidit, bibit-bibit perpecahan yang paling jelas kelihatan dalam Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini apabila wujud syak-wasangka di kalangan mereka sesama sendiri.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan saranan Naib Presiden PKR, Tian Chua supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merujuk kepada PAS bagi mendapatkan kerusi untuk bertanding pada PRU ke-14.
 
"Mereka (PH) berada dalam keadaan yang penuh terdesak. Sangat terdesak.
 
"Jadi, saya tak hairan jika Tian Chua kata begitu ataupun mana-mana tokoh seperti itu bahawa mereka ada satu gagasan yang boleh menandingai Barisan Nasional.
 
"Di kalangan pihak pakatan (PH) ini, mereka ini sebenarnya mempunyai dilema khuatir kesatuan di kalangan mereka itu tidak mantap.
 
"Justeru masing-masing memikirkan bagaimana apabila PAS sudah menunjukkan mereka berputus arang dengan DAP bagaimana untuk membuat kawalan kerosakan," tambah Aidit.
 
Tian Chua sebelum ini menyarankan supaya PPBM meyakinkan PAS agar memberi laluan kepada mereka untuk bertanding memandangkan mereka adalah parti berasaskan Melayu, dan kebanyakan kerusi Melayu tersebut adalah milik tradisi PAS.
 
Tian yang dipetik laporan akhbar berbahasa Ingggeris berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak akan memberikan kerusi kepada PPBM walaupun mereka menandatangani perjanjian politik baru-baru ini.
 
Mengulas lanjut, Aidit berkata, kenyataan Tian Chua tersebut menunjukkan bahawa PKR berada dalam keadaan yang sangat terdesak dan ketakutan menjelang PRU akan datang.
 
"PKR sekarang berada dalam ketakutan. Sedangkan kawasan Parlimen Permatang Pauh pun PAS sedang pertimbangkan untuk bertanding di situ.
 
"Ini bukan soal tamak, ini satu keadaan yang terdesak yang amat sangat. Tetapi, sebagai ahli politik, tentu sekali apabila mereka keluarkan kenyataan, mereka tidak mahu tunjuk kelemahan mereka, jadi mereka akan letakkan tanggungjawab dan beban kepada pihak lain," katanya lagi. 
 
 

Warga emas mangsa kelapan dijangkiti virus Zika

Posted: 18 Dec 2016 04:08 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas menjadi mangsa kelapan dijangkiti virus Zika di negara ini.
 
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa berusia 67 tahun dari Petaling Jaya itu dikesan dijangkiti Zika selepas mengalami gejala demam, loya serta cirit-birit. 
 
Katanya, lelaki terbabit mendapatkan rawatan perubatan di Klinik Kesihatan Tangling, Kuala Lumpur pada 30 November, selepas mula mengalami gelaja berkenaan dua hari sebelumnya.
 
Kata Dr Noor Hisham, ujian saringan darah tidak menunjukkan kelainan yang ketara, justeru pesakit diberi rawatan simptomatik dan dinasihat datang semula jika gejala semakin melarat.
 
"Keesokan harinya (1 Disember 2016), pesakit kembali dengan gejala bisa badan dan sendi. Denggi telah disyaki namun ujian denggi yang dilakukan adalah negatif.
 
"Kes itu dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Petaling sebagai disyaki denggi dan pesakit diminta kembali setiap hari bagi memantau ujian darah," katanya menerusi satu kenyataan. 
 
Walaupun pesakit menunjukkan gejala denggi, kata Dr Noor Hisham, ujian untuk itu adalah negatif.
 
Katanya, contoh darah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh untuk ujian flavivirus lain selaras dengan protokol sedia ada.
 
Ujian flavivirus itu adalah untuk mengesan kemungkinan lelaki terbabit menghadapi demam kuning, chikungunya atau Zika.
 
Pada 9 Disember, katanya, MKAK memaklumkan mereka mendapati darah itu positif untuk Zika dan sampel dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi pengesahan.
 
Turut dihantar, menurut Dr Noor Hisham, ialah contoh tambahan air kencing.
 
"Pada 14 Disember, IMR mengesahkan sampel air kencing juga positif untuk Zika," katanya.
 
Kes pertama Zika di negara ini dilaporkan pada 21 Ogos lalu, membabitkan seorang wanita berusia 58 tahun yang disahkan selepas seminggu pulang dari Singapura.
 
Jangkitan pertama Zika di negara ini pula dilaporkan di Sabah pada September lalu dan mangsa meninggal dunia akibat komplikasi masalah jantung.
 
Dr Noor Hisham berkata siasatan kementerian mendapati mangsa terbaru Zika itu pernah berada di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Perak.
 
"Ahli keluarga terdekat pesakit telah disiasat dan sampel darah serta air kencing mereka diambil untuk ujian saringan Zika.
 
"Aktiviti kawalan juga dilaksanakan pada 11 Disember 2016 yang melibatkan pemusnahan tempat pembiakan, larvasiding, pendidikan kesihatan dan semburan kabus di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit.
 
"Selain itu, Active Case Detection sedang dijalankan di kawasan kediaman kes untuk mengenal pasti sekiranya ada penduduk setempat yang mengalami gejala Zika," katanya.
 
 

Tak mustahil yang gagal jadi orang berjaya - Annuar

Posted: 18 Dec 2016 04:04 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Selang beberapa jam, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sebentar tadi mengeluarkan satu lagi kenyataan yang mungkin berkaitan dengan isu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh ditadbir secara proksi.
 
Kali ini, Annuar menyertakan sekali gambarnya bersama pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. 
 
Berikut kenyataan Annuar yang disiarkan menerusi akaun Facebook miliknya: "Orang gagal mesti bersedia di hina, ...walaupun orang gagal mungkin orang yg pernah berjaya...dan tidak mustahil orang gagal kembali menjadi orang berjaya.. 
 
"Sementara orang berjaya perlu buat persiapan tak kala kejayaan berganti dgn kegagalan NANTI .... "WAMAKARU WAMAKARALLAH..WALLAHUKHAIRULMAAKIRIIN (Kita merancang Dan ALLAH juga merancang...dan ALLAH SWT ADALAH SEBAIK BAIK PERANCANG)..." 
 
Semalam, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor dilaporkan berkata baginda tidak perlu menerima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal untuk membuat keputusan menjadi Presiden FAM atau sebaliknya. 
 
Biarpun tidak menamakan individu dimaksudkan, ia dipercayai merujuk kepada Annuar. 
 
Kenyataan daripada Tunku Ismail itu hadir susulan kenyataan awal yang dibuat Annuar menerusi akaun Facebook beliau sebelum itu

Di Johor, Pakatan Harapan mahu ‘turunkan’ calon berprofil tinggi

Posted: 18 Dec 2016 03:57 AM PST

THE MALAYSIAN TIMES


Pakatan-Harapan-Baru


JOHOR BAHRU :  Pakatan Harapan akan menggunakan taktik gabungan calon berprofil tinggi dengan pemimpin tempatan bagi memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di negeri Johor.

Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tsee berkata calon berprofil tinggi tersebut akan bertanding di kerusi Parlimen manakala pemimpin tempatan yang aktif pula akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kami akan panggil beberapa pemimpin pusat untuk bertanding di beberapa kawasan Parlimen dan satu kawasan yang kami kenal pasti adalah Parlimen Pasir Gudang manakala bagi kerusi DUN pula, kami akan tempatkan pemimpin tempatan yang benar-benar boleh melaksanakan tugas mereka.

"Strategi ini penting kerana kami lihat negeri Johor sebagai negeri utama dalam memastikan kemenangan besar kepada Pakatan Harapan dan untuk mencapai kemenangan tersebut, kami perlu berkorban," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan 'Back to School' di Pasaraya Sakan Seri Alam, di sini hari ini.

Tambahnya, Pakatan Harapan sentiasa mengalu-alukan mana-mana calon parti komponen pembangkang untuk tampil dan bertanding di negeri Johor.

"Sebelum ini, Ketua Wanita PKR Pusat Zuraida Kamaruddin telah menyatakan kesediaan beliau untuk meninggalkan kerusi Parlimen Ampang yang disandang bagi bertanding di mana-mana negeri termasuk Johor sebagai usaha memenangi PRU akan datang. Jadi, kalau kami dapat mengumpulkan dua atau tiga calon berprofil tinggi di Johor, saya lihat kemenangan untuk kita bukan menjadi satu masalah.

"Terdapat tujuh kawasan Parlimen dalam negeri Johor yang pembangkang kalah dengan marginal dua peratus, jadi, dengan strategi ini, saya yakin kami akan mampu menawan tujuh kawasan tersebut," kata Jimmy Puah.

Menurutnya lagi, Pakatan Harapan sudah menghantar senarai calon yang bakal bertanding pada PRU akan datang dan sedang menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

Tujuh kawasan Parlimen tersebut adalah Pasir Gudang, Labis, Tebrau, Segamat, Ledang, Pulai dan Muar.

PPBM lantik empat jawatankuasa Srikandi

Posted: 18 Dec 2016 03:01 AM PST

NUR INTAN IDAYU


nuhyiddin_di_pidato_amanah


KUALA LUMPUR: Setelah mendapat pengesahan daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sayap Srikandi PPM mengumumkan empat pelantikan rasmi bagi sayap tersebut. 

Mereka adalah:

1) Norizan Idris sebagai Setiausaha Agung Srikandi PPBM
2) Nafieh Rostam sebagai Penolong Setiausaha Srikandi PPBM
3)  Fatin Fariza Abdul Halim sebagai Penolong Bendahari Srikandi PPBM
4)  Siti Farah Abu Hassan sebagai Ketua Penerangan Srikandi PPBM

Jawatan bagi keempat-empat mereka itu mula berkuatkuasa pada hari ini, 16 Disember 2016.

Difahamkan, pelantikan tersebut diumumkan oleh Ketua Srikandi PPBM, Anina Saadudin.

PPBM didaftarkan sebagai sebuah parti politik pada 9 September lepas setelah mendapat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). 

Parti tersebut diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PPBM, Muhyiddin sebagai Presiden manakala Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula adalah Timbalan Presiden PPBM. 

PPBM telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan pada Selasa lepas yang mana dalam perjanjian tersebut, PPBM akan berganding bahu dengan parti pembangkang untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN). 


Polis diminta siasat fitnah Guan Eng sokong keganasan Myanmar

Posted: 18 Dec 2016 02:58 AM PST

  
 Roketkini.com


GEORGE TOWN: Pihak polis diminta agar segera menyiasat mesej viral di aplikasi Whatsapp yang memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai kononnya menyokong keganasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar.

Pegawai Penerangan beliau, Zaidi Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani di sini, pagi tadi.

Menurut Zaidi, pihaknya telah memberikan nombor telefon dan nama penyebar kepada polis, justeru beliau percaya suspek yang dipercayai menyebarkan fitnah tersebut akan dapat dikesan segera.

Pegawai Penyelaras AES Pulau Pinang, Ab. Wahab Long dan Pegawai Penerangan Ketua Menteri, Zaidi Ahmad. Foto oleh Darwina Mohd Daud

"Saya harap tidak ada lagi alasan seperti sebelum ini yang mengatakan polis tidak cukup maklumat (untuk menyiasat)," ujarnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Agenda Ekonomi Saksama Pulau Pinang, Ab. Wahab Long yang turut hadir berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa fitnah terbaru itu adalah bagi mencemarkan lagi reputasi Guan Eng.

"Kita kesal dengan tindakan ini. Seperti kita tahu, Ketua Menteri sendiri meminta sebuah usul mengecam tindakan ganas rejim Myanmar ke atas Rohingya dibuat di sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan lepas," jelasnya.

Whatsapp fitnah yang diviralkan berkenaan menuduh Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP bersetuju dengan tindakan Aung Saan Suu Kyi terhadap kaum Rohingya, serta kononnya Malaysia tiada hak untuk campur tangan dan dianggap mencabul urusan negara Myanmar. – Roketkini.com

Tanah adat: Orang Asli Jahut ‘heret’ kerajaan Pahang masuk mahkamah

Posted: 18 Dec 2016 02:52 AM PST


-Roketkini.com


TEMERLOH: Tujuh Orang Asli Jahut mewakili sekitar 500 penduduk Kampung Sungai Mai, Jerantut memfailkan kes terhadap kerajaan Pahang di Mahkamah Tinggi Temerloh semalam.

Kes itu dibawa ke mahkamah demi mempertahankan hak dan tanah adat yang telah mereka duduki sejak turun temurun. Ia dikendalikan oleh peguam A Rajkumar secara pro-bono.



Menurut plaintif, Jeff Yangman, pemberian lesen pendudukan sementara yang oleh kerajaan Pahang merupakan salah satu punca pencerobohan tanah adat.

"Pemegang lesen itu kebanyakannya individu yang terlibat dengan pembalakan, penanaman kelapa sawit dan kebun getah, dan ladang limau dan pisang.

"Justeru, penerokaan hutan yang berlaku ini memusnahkan kawasan perkuburan, pokok buah-buahan, dan kawasan berburu mereka," katanya.

Menurutnya, Orang Jahut telah berada di kawasan itu sejak sebelum kedatangan penjajah British lagi dan sebelum diadakan persempadanan tanah kerajaan dan kawasan simpanan hidupan liar.

"Orang Jahut bebas menjelajah kawasan nenek moyang mereka di Lembah Krau untuk mencari rotan dan buluh untuk dijadikan bahan membina rumah. Mereka juga memburu, memungut hasil hutan dari kebun dan hutan mereka," jelas Jef.

Beliau menambah, penduduk mengambil masa lapan tahun untuk memfailkan kes ini setelah membuat kajian mendalam, pemetaan komuniti, dan perbincangan dengan peguam sebelum pergi ke mahkamah.



Seorang lagi plaintif, Yusri Ahon, ketua masyarakat Jahut yang juga aktivis dan Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) berkata, Orang Asli akan mengambil tindakan drastik jika didesak.

"Orang Asli terkenal dengan sifat mengelakkan kekerasan dalam kehidupan komuniti mereka.

"Tidak kira apabila berjuang di mahkamah walaupun dengan kos yang tinggi atau membina sekatan terhadap pembalak sungguhpun diancam dengan penahanan; ini adalah cara terakhir Orang Asli apabila suara mereka tidak didengar oleh kerajaan dan pihak berkuasa yang tidak mengiktiraf hak mereka," kata Yusri.

Merujuk kepada kes-kes perjuangan hak Orang Asli sebelum ini, Setiausaha Agung JOAS, Jannie Lasimbang berkata hak Orang Asli sudah diiktiraf di mahkamah.

Jannie merujuk kepada kes Sagong Tasi, kes Adong Kuwau dan kes Nor Nyawai.

"Keputusan kes tersebut harus dijadikan sebagai rujukan kepada kes tanah Orang Asal yang akan datang.
"Selain itu, kerajaan Malaysia sudah terlibat dengan banyak agenda antarabangsa dan menandatangani dokumen antarabangsa seperti Deklarasi

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal pada 2007, dan Dokumen Hasil Persidangan Sedunia Mengenai Orang Asal pada 2014.

"Dokumen-dokumen ini telah menyatakan dengan jelas tentang hak Orang Asal dan langkah pelaksanaannya.

"Justeru, tiada alasan untuk kerajaan untuk tidak mengiktiraf hak Orang Asal," kata beliau.

Kes yang difailkan tersebut dijangka akan mula dibicarakan pada 19 Januari tahun hadapan. -Roketkini.com


Tiada ulasan: