Sabtu, 17 Disember 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Amanah mungkin jadi tulang belakang Umno

Posted: 16 Dec 2016 06:47 PM PST

Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi


KOTA BHARU - Biarpun Amanah dilihat masih tidak mampu menarik sokongan orang Melayu, tetapi Pas Kelantan mengakui kebolehan parti itu berperanan sebagai 'tongkat' kepada pihak lawan.

Setiausahanya, Datuk  Che Abdullah Mat Nawi berkata,  dalam konteks semasa politik di Kelantan, Pas melihat kelahiran parti baharu itu diibaratkan sebagai tulang belakang yang memberikan kekuatan kepada Umno pada PRU14.

"Kita tidak menafikan dari segi peranan tongkat boleh dimainkan oleh Amanah. Di Pulau Pinang dan di Pantai Barat, mereka ini dilahirkan sebagai tongkat kepada DAP. Di Kelantan dan Terengganu pula tongkat kepada Umno.

"Kerana merekalah yang memungkinkan Umno boleh mempertahankan Terengganu atau boleh memasang cita-cita menawan Kelantan menggunakan tongkat yang disediakan oleh Amanah," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam perkembangan lain, Che Abdullah turut menyokong pandangan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah yang akan meletakkan calon di kerusi tradisi DAP pada PRU14 nanti.

"Saya yakin dengan sokongan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang turut dianggotai pelbagai kumpulan termasuk golongan profesional mampu menarik sokongan bukan Islam dan orang Islam," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai hubungan parti Bersatu dengan DAP pula, Che Abdullah membayangkan DAP akan berusaha menggunakan parti diterajui bekas perdana menteri itu demi melangsungkan matlamat mereka.

"DAP akan cuba menggunakan mereka, jadi terpulang kepada mereka untuk menurut menjadi seperti Amanah boleh digunakan oleh DAP, atau menurut prinsip  mereka sendiri dan mencari rakan tahalul dengan parti lain," katanya.


'Najib kadang-kadang tidak tahu dia PM'

Posted: 16 Dec 2016 04:28 PM PST

 ARIF ATAN

Presiden Amanah Mohamad Sabu menyampaikan pidato di Konvensyen Amanah Nasional kali pertama di Shah Alam hari iniPresiden Amanah Mohamad Sabu menyampaikan pidato di Konvensyen Amanah Nasional kali pertama di Shah Alam hari ini


Datuk Seri Najib Razak dilihat keliru dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berhubung pendekatannya dalam menuntut keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan.

Menurut Presiden Amanah, Mohamad Sabu, pemimpin negara itu harus menggunakan kuasanya yang lebih wajar berbanding sekadar himpunan.

"PM juga bertindak ajak demo sedangkan dia pimpinan kerajaan.

"Dia boleh panggil duta Myanmar atau mengusir diplomat kerajaan Myanmar atau paling tinggi, panggil sidang OIC.

"Turun tunjuk perasaan itu kerja aku. Dia tak tahu kadang-kadang dia PM ke atau tidak," bidasnya diikuti tepukan dan ketawa perwakilan yang memenuhi dewan SACC di Shah Alam hari ini.

Beliau yang menyampaikan pidatonya dalam Konvensyen Nasional Amanah juga menyifatkan hal berkaitan diplomatik bukan melalui jalan raya.

"Berucap (Himpunan Solidariti Rohingya) sikit-sikit takbir, sekarang semua takbir dah. Inilah kita lihat, nak kata tak cerdik, cerdik.

"Kalau tak cerdik, bagaimana boleh sembunyikan wang. Hal diplomatik ajak turun ke jalan raya. 'Kawannya' pun serupa juga," sindirnya merujuk kepada Pas.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu turut secara sinis menggambarkan gejala rasuah yang membarah di negara ini.

"Buka Pejabat Pengarah Bekalan Air Sabah ada berjuta wang. Buka Seri Perdana ada 24 lori wang tunai," bidasnya lagi.

Sempena konvensyen sulung parti berusia setahun itu, Amanah bakal membentangkan lima tawarannya kepada rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Turut hadir dalam konvensyen ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir serta wakil diplomat asing.

Bukan Pas yang keliru tetapi parti pembangkang lain, kata MP Pas

Posted: 16 Dec 2016 04:27 PM PST

MALAYSIA DATELINE
 
 Datuk Mahfuz OmarDatuk Mahfuz OmarPas tidak keliru sebagaimana yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi yang keliru adalah parti-parti pembangkang khasnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, PKR dan Amanah juga terus keliru apabila mengharapkan Pas menyertai mereka.

"Parti-parti pembangkang ini yang terus keliru dengan apa yang dikehendaki oleh Pas.

"Mereka tak faham-faham apa yang Pas nak, bukan Pas yang keliru," kata ahli Parlimen Pas itu.

Bekas Ketua Penerangan Pas itu memberikan perumpamaan orang datang meminang seorang anak gadis.

"Macam orang datang meminang anak saya, saya tak setuju. Saya nak tolak begitu saja nampak kasar. Lalu saya bagi macam-macam syaratlah," kata Mahfuz.

Mahfuz merujuk pelbagai syarat yang diberikan oleh pimpinan Pas jika mahu bekerjasama dengan mereka.
Antaranya PPBM mesti memutuskan kerjasama dengan Amanah dan DAP jika mahu bekerjasama dengan mereka.

Begitu juga kenyataan Mursyidul Am Pas yang berkata Pas sedia kerjasama dengan semua pihak dengan syarat Pas yang memimpin.

"Ini semua syarat nak tolak. Jadi saya boleh katakan Pas tak keliru dengan apa yang dia mahu.

"Yang keliru adalah pemimpin pembangkang," kata Mahfuz kepada Malaysia Dateline.

Sehubungan itu, Mahfuz mencadangkan pemimpin pembangkang lupakan Pas dalam usaha mereka menghadapi pilihan umum akan datang.

"Lupakanlah Pas. Rancanglah strategi dari sekarang untuk menang tanpa melibatkan Pas," katanya.

Pada Sabtu Tun Dr Mahathir berkata Pas masih keliru dalam hubungannya dengan parti-parti politik pembangkang di negara ini.

Kalau tiga penjuru maknanya Pas diperkuda Umno, kata Mukhriz

Posted: 16 Dec 2016 04:22 PM PST

HAZRI NAWAR

Datuk SeriMukhriz Mahathir Datuk SeriMukhriz Mahathir Sekiranya ditakdirkan berlaku pertandingan tiga penjuru ekoran keengganan Pas menyertai kerjasama bersama pembangkang, ia bermakna parti Islam itu telah berjaya diperkudakan Umno, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Berucap di program sembang santai di Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam kelmarin bekas Menteri Besar Kedah itu berkata Pas tidak akan untung jika pertandingan tiga penjuru berlaku.

"Kalau tiga penjuru saya nampak seolah-seolah Umno ini perkuda Pas. Dia guna Pas hanya untuk pecah undi pembangkang dan akhirnya Umno untung. Jadi kat mana untung untuk Pas," katanya.

Mengharapkan telahannya itu silap, namun Mukhriz berkata jika Pas mahu bersama Umno, parti itu perlu bertegas agar tidak belaku pertandingan tiga penjuru khususnya dengan Umno itu sendiri.

"Kalau depa nak bersama Umno saya ingat itu keputusan silaplah. Tapi kalaulah dia nak bersama Umno, pakat dengan Umno betul-betul biar berlaku satu lawan satu," pesannya agar Pas tidak hanya menjadi mangsa percaturan politik Umno.

Bagaimanapun kata Mukhriz, peluang untuk Pas menang adalah lebih cerah jika parti itu memilih untuk bekerjasama dengan PPBM dan Pakatan Harapan dan melawan BN secara satu lawan satu.

Ini kerana katanya, jika pertandingan satu lawan satu menentang BN, tidak akan berlaku perpecahan undi sekaligus akan meberi saingan sengit kepada BN.

"Tapi kalau bersama dengan kami, akan wujud keadaan di mana peluang untuk Pas menang lebih tinggi berbanding bersama Umno. Kalau dengan Umno, bertanding kerusi sama berebut pengundi sama," katanya.

Sementara itu, turut serta pada program itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Adun Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah.

Tiada ulasan: