Jumaat, 16 Disember 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bas persiaran terbakar di ibu kota malam tadi

Posted: 16 Dec 2016 04:05 PM PST

MALAYSIAKINI



Kira-kira 40 penumpang sebuah bas persiaran berjaya menyelamatkan diri apabila bas yang mereka naiki itu terbakar di Jalan Sultan Ismail di ibunegara malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.39 malam dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat KLCC dan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Bomba tiba lima minit kemudian di lokasi kejadian dan api berjaya dipadamkan kira-kira jam 9 malam.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dan kesemua mereka (penumpang dan pemandu) berjaya menyelamatkan diri," katanya.

Katanya punca kejadian masih dalam siasatan.- Bernama


Amanah biang pecah perpaduan pembangkang?

Posted: 16 Dec 2016 03:57 PM PST

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] "Berapa lamakah PAS nak jadi pembangkang? Mesti mahu jadi kerajaan. Saya pun tak mahu lama-lama di sini jadi pembangkang," kata Presiden Parti Pribumi Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Penegasan itu dibuatnya bagi terus memujuk PAS supaya mengambil langkah pro-aktif menyertai pihak pembangkang termasuk PKR, PPBM dan mungkin juga DAP dan Amanah.
 
Muhyiddin mahu PAS faham bahawa satu-satunya cara menjayakan strategi pembangkang 'satu lawan satu' untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional ialah, perpaduan di kalangan pembangkang mestilah utuh. 
 
PPBM, khususnya, Muhyiddin, percaya anak kunci pada perpaduan pembangkang kini berada di tangan PAS. Sebab itu, PPBM keberatan menjadi kerabat Pakatan Harapan (PH).
 
Sebaliknya, PPBM meminda strategi daripada menjadi kerabat PH dan hanya kerjasama pilihanraya (electoral pact) sahaja dengan PH.
Ini demi menjaga hati PAS yang nampaknya amat serik untuk bekerjasama dengan DAP yang telah bertindak sendirian (unilateral) menendangnya keluar dari Pakatan Rakyat tahun lalu. 
 
PAS juga mempunyai pendirian tegas dan jelas bahawa ia tidak mahu bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dibangunkan oleh bekas ahli PAS sendiri. Mereka ini dianggap pengkhianat parti. 
 
PAS perlu mengambil pendirian degil dalam syarat bekerjasama dengan PPBM dan PKR ini kerana DAP baginya mempunyai penyakit Islamofobia sementara Amanah harus ditangani bak mendidik anak-anak yang nakal. 
 
Betapa tidaknya. Dalam menyeru PAS supaya bekerjasama menjayakan kempen pembangkang, Amanah tidak segan silu mengumumkan mahu menumbangkan PAS di Kelantan.
 
Lebih memusykilkan ialah Pengarah Pilihanraya Amanah, Dr Hatta Ramli juga tidak sedikitpun 'rasa bersalah mahupun kasihan' apabila mengumumkan Amanah akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi PAS.
 
Adalah jelas di mata dunia bahawa politik Amanah ialah berasaskan dendam kesumat bak remaja yang baru akil baligh. Bagi Amanah ukuran penerimaan rakyat terhadapnya, ialah sejauh mana ia dapat melumpuhkan PAS.
 
Menubuhkan satu parti Islam baru adalah satu hal. Tetapi untuk menyerang hingga terus membunuh parti Islam yang pernah menjadi tempat menggilap kepemimpinan mereka ialah sesuatu yang mencurigakan. 
 
Justeru PPBM cuba menjarakkan diri daripada Amanah dan DAP kerana amat berharap jentera PAS dapat membantunya menerobosi kawasan-kawasan undi yang ramai pengundi Melayu-Islam. 
 
PAS hanya berdiam diri. Bukan seperti anak dara yang hanya tersipu apabila ditanya persetujuannya menerima pinangan orang. PAS bertegas dengan syarat tidak mahu ada Amanah atau DAP sebagai orang tengah.
 
Justeru Amanah nampaknya adalah satu unsur yang boleh membahayakan strategi pembangkang. Sesekali kali ia menggertak mahu hapuskan PAS di Kelantan, di kala ia mengancam menentang PAS di mana jua.
 
Amanah tahu, jika PAS kehilangan Kelantan, bererti ia hilang tiara kuasanya. Justeru gertakan Amanah mahu merebut kuasa di Kelantan sudah tentu menaikkan amarah PAS.
 
Begitu juga jika dengan cabarannya untuk berhadapan dengan PAS di semua kerusi ditandinginya. Ini smakin menjengkelkan PAS. Lantas, apalah ertinya bagi PAS mahu bekrjasama dengan rakan-rakan politik Amanah?
 
Amanah dilihat naif mahu mencabar PAS dan berharap parti itu sedia untuk bekerjasama dengan PKR dan PPBM menghadapi PRU 14. Politik Amana bak biang yang akan menggagalkan strategi 'satu lawan satu' pembangkang. 
 
Namun PPBM tetap mahu menyantuni PAS. Tindakan menjarakkan diri daripada Amanah membayangkan bahawa PPBM percaya bekerjasama dengan PAS lebih besar manfaatnya sebagai sekutu pilihanraya berbanding Amanah.
 
PPBM nampaknya yakin ia tiada banyak masalah dengan DAP kerana sasaran parti itu ialah pengundi bukan Melayu. Soal ia bertembung dengan DAP dalam pilihanraya umum ke-14 kelak adalah agak mustahil.
 
Begitu juga dengan PAS. Kemungkinan ia berhadapan dengan DAP pun tidaklah begitu besar walaupun Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggertak akan mencabar DAP. Sasaran PAS masih pengundi Melayu-Islam.
 
Lantaran itu PPBM amat berharap PAS boleh mencarik undi Melayu-Islam dan sekaligus menundukkan Umno yang akan kehilangan undi ahli-ahlinya yang dipujuk oleh aura Tun Mahathir dan Muhyiddin.
 
Maka Muhyiddin cuba merangsang nafsu politik PAS dengan melontarkan pertanyaan sampai bila ia mahu berfungsi sebagai pembangkang. Lantaran beliau cuba menggiurkan nafsu politik PAS supaya menteladaninya.
 
"Saya nakkan kuasa yang boleh bentuk kerajaan. Yang saya boleh buat apa yang (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak tak boleh buat," kata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh. 
 
Namun PPBM pun mungkin salah tingkah. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru di antara Umno, PAS dan PPBM. Parti Muhyiddin juga berkemungkinan menjadi peracik pengundi Melayu-Islam dan mengizinkan PAS menang. 
 
Lebih menakutkan PPBM ialah, jika PAS tidak ghairah bekerjasama dengan pembangkang dan sebaliknya atas nama prinsip perpaduan Islam, ia membantu untuk meracik undi PPBM atau PKR. Ini mengizinkan Umno menang besar. 
 
Lantas PPBM (dan mungkin juga PKR) tiada pilihan selain "mengkasikan pengaruh PAS" dengan pelbagai label negatif supaya jika hati PAS berpaling kepada Umno demi solidariti kerajaan Islam Malaysia, kemenangan Umno masih mampu dibendung. 
 
Buat masa ini PAS amat dekat di hati PPBM dan PKR. Namun jika diperhalusi faktor penghalang terbesar bagi kedua-dua parti itu berjaya meminang PAS ialah Amanah.
 
 

Politik baru yang telah usang

Posted: 16 Dec 2016 04:29 AM PST





 
Oleh MOHD ZUHDI MARSUKI


SETELAH berlalu empat kali Pilihan Raya Umum (PRU) sejak PRU ke-10 pada tahun 1999, ramai politikus dan ilmuwan mula berwacana tentang teori kemunculan politik baru di Malaysia. Wacana tentang politik baru ini bermula dengan debat-debat politik dan forum-forum ilmiah, kemudian disusuli dengan rencana-rencana akademik oleh para politikus dan ilmuwan.

Beberapa nama besar dalam arena politik dan subjek Sains Politik terlibat menonjolkan teori tentang kemunculan politik baru ini seperti Mohd Yusof Kasim, Francis Loh Kok Wah, Johan Saravanamuttu, Marzuki Mohamad, Saifuddin Abdullah, Azly Rahman dan lain-lain. Meskipun mempunyai sedikit kepelbagaian pandangan tentang teori itu, kesemua mereka kelihatan sepakat tentang kewujudan sebenar politik baru tersebut.

Kemunculan politik baru di Malaysia dikatakan bermula sejurus selepas berlakunya Gerakan Reformasi 1998 yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, menurut Mohd Yusof Kasim, faktor utama yang menyebabkan berlakunya kemunculan politik baru ini ialah kesan daripada pengaruh modenisasi dan globalisasi terhadap masyarakat Malaysia yang berlaku lebih awal.

Dampak kedua-dua faktor ini menyebabkan berlakunya keputusan yang mengejutkan pada PRU ke-10 tahun 1999, bila mana nilai sejagat seperti keadilan, ketelusan dan kepentingan umum menjadi penentu, bukan lagi isu perkauman, kewilayahan dan pengkelasan masyarakat. Penekanan kepada nilai sejagat dan penolakan kepada perkauman yang sempit dikatakan menjadi identiti baru kepada politik Malaysia.

Pandangan ini turut dikongsi oleh Francis Loh Kok Wah dan Johan Saravanamuttu dalam buku yang disunting mereka "New Politics in Malaysia". Mereka melihat kemunculan politik baru ini ditunjukkan oleh kewujudan budaya berpolitik baru sejak awal 1990-an, yang kemudiannya disusuli oleh perubahan institusi politik dan penyertaan masyarakat sivil.

Faktor utama yang mencorakkan kemunculan budaya politik baru ini ialah perubahan pembangunan yang pesat atau developmentalism sehingga menjadikan masyarakat Malaysia lebih celik sebagai pengundi dan pengguna. Mereka lebih mengutamakan kelestarian pembangunan dan kestabilan politik menjamin kelestarian tersebut. Perubahan ini juga menjadi titik akhir kepada politik lama yang diwarnai oleh faktor kaum dan perbekalan prasarana asas.

Teori tentang kemunculan politik baru ini mulai goyah apabila Barisan Nasional (BN) memperolehi kemenangan besar dalam PRU ke-11 tahun 2004. Sebelum daripada itu telah berlaku beberapa situasi anti-tesis kepada teori kemunculan politik baru ini iaitu penarikan diri DAP dari Barisan Alternatif (BA), kemunculan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang dikaitkan dengan PAS dan pemberontakan kumpulan al-Maunah.

Senario politik Malaysia juga turut terkesan dengan peristiwa pengeboman World Trade Centre (WTC) pada 11 September 2001 yang kemudiannya membawa kepada Perang Teluk Kedua. Melihat kepada situasi yang berlaku sebelum PRU ke-11 ini, Francis Loh dalam Aliran Monthly menyatakan kemunculan politik baru di Malaysia ini masih dihambat dan disaingi oleh budaya politik lama.

Bagaimanapun, keputusan PRU ke-12 tahun 2008 seperti menjadi satu keputusan bahawa politik baru telah menang mengatasi politik lama di Malaysia. Dalam mengulas perkara ini, Marzuki Mohamad dalam sebuah artikelnya bertajuk "Menyelami Makna Politik Baru", telah cuba memperkukuhkan teori ini dengan membuat unjuran perkembangan politik baru tersebut sejak awal 1990-an.

Beliau berusaha untuk membuktikan fenomena pengundian merentasi kaum telah wujud di Malaysia khususnya selepas keputusan PRU ke-12. Kewujudan dua gabungan politik utama yang merentasi kaum juga menjadi satu petunjuk tentang kemunculan politik baru tersebut. Namun begitu, beliau tidak meyakini faktor kaum dan lain-lain elemen politik lama akan lenyap begitu sahaja dalam politik Malaysia.

Wacana tentang teori kemunculan politik baru ini disegarkan lagi oleh Saifuddin Abdullah dalam bukunya "Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia". Ketika beliau menulis buku ini, beliau adalah seorang ahli parlimen BN dan berada dalam Kerajaan Malaysia. Teori politik baru yang dikemukakan oleh beliau lebih ke hadapan dengan memberikan apakah idealism dan identiti politik yang perlu dicapai sebagai melengkapkan perubahan daripada politik lama kepada politik baru.

Beliau menekankan pencapaian kematangan demokrasi melalui politik berasaskan ilmu, urus tadbir berintegriti, keterlibatan semua pihak dalam membuat keputusan dan lain-lain. Idealisme dan identiti yang cuba diketengahkan sememangnya unggul, tetapi situasi sebenar yang berlaku dalam politik Malaysia sebenarnya masih jauh.

Realiti sebenar yang berlaku dalam politik Malaysia cuba digambarkan oleh Azly Rahman dalam bukunya "Controlled Chaos: Essays on Malaysia's New Politics Beyond Mahathirism and the Multimedia Super Corridor". Beliau telah membangkitkan beberapa isu yang menghambat kemunculan politik baru di Malaysia seperti isu Hudud, penginstitusian Islam, dasar-dasar moral dan lain-lain.

Isu-isu yang dibangkitkan ini selain daripada melibatkan parti-parti politik, turut melibatkan golongan masyarakat sivil yang semakin memainkan peranan besar dalam politik Malaysia sebagaimana disebut oleh Meredith L. Weiss dalam artikelnya "Edging Toward New Politics in Malaysia". Persoalan yang pasti timbul di sini, adakah politik baru yang cuba diketengahkan ialah politik yang mencabut susur-galur sejarah dan akar-umbi budaya yang membentuk negara Malaysia?

Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan perbezaan agama telah menjadi contoh sebuah negara yang harmoni dan damai. Kestabilan politik yang wujud di negara ini telah menjadikan ekonomi kita terus makmur dan membangun. Masyarakat yang majmuk pula terus hidup aman dan berjatidiri.

Dengan tidak menafikan berlaku kebejatan dalam berpolitik, kepincangan dalam pengurusan ekonomi dan juga kemerosotan dalam kehidupan bermoral, kestabilan tetap menjadi keutamaan yang tidak boleh ditukar ganti. Politik baru yang didambakan oleh masyarakat Malaysia bukanlah politik yang akan mencetuskan ketidakstabilan, seterusnya menghuru-harakan kehidupan masyarakat dan menjerumuskan negara dalam kancah persengketaan.

Sekiranya politik baru yang muncul itu dengan mengorbankan kestabilan, maka politik itu sebenarnya kembali kepada zaman 1940-an, 1950-an dan 1960-an. Ia tidak selayaknya dinamakan politik baru tetapi lebih sesuai dinamakan politik usang. Politik baru yang didambakan ialah wajah segar politik Malaysia yang menjamin kestabilan seterusnya mewujudkan keharmonian, ketelusan dan keadilan. Politik seperti ini perlu dicari, bukannya ia muncul secara tidak disedari.

Politik ini mestilah berjatidiri Malaysia, bukannya diimport dari dunia Barat yang asing. Dengan penegasan yang lebih jelas, politik baru di Malaysia adalah pengukuhan dan penyegaran kepada susur-galur sejarah dan akar-umbi budaya yang telah membentuk Malaysia dan masyarakatnya.

FB garis cara pengguna boleh lapor sebaran berita palsu

Posted: 16 Dec 2016 04:26 AM PST




DETIK DAILY




Facebook semalam menggariskan butiran mengenai kaedah yang sedang diujinya atau telah mula melaksanakannya untuk mengawal penyebaram berita palsu melalui platform media sosialnya.

Facebook mengumumkan beberapa minggu lalu bahawa ia sedang mengusahakan penambahbaikan untuk menangani penyebaran berita palsu ekoran kritikan hebat terhadap peranannya dalam mempengaruhi pilihan raya presiden Amerika Syarikat.

Dalam stu catatan blog, pengurus Facebook, Adam Mosseri menyenaraikan empat bidang, yang menurutnya, memberi tumpuan kepada "yang paling teruk", mentakrifkannya sebagai penipuan jelas yang disebarkan oleh penghantar spam untuk kepentingan mereka sendiri.

Mosseri berkata salah satu cara menjadikannya lebih mudah untuk melaporkan sesuatu penipuan.

Facebook sedang menguji beberapa cara untuk melakukan ini, termasuk dengan menekan klik di sudut atas kanan berita yang disyaki palsu.

"Kami bergantung sepenuhnya kepada masyarakat untuk membantu dalam isu, dan ini boleh membantu kami mengesan lebih banyak berita palsu," katanya.

Satu lagi yang sedang diuji ialah menandakan cerita sebagai dipertikaikan selepas dikenal pasti sebagai palsu oleh organisasi pemeriksa fakta.

"Jika organisasi pemeriksa fakta mengenal pasti sesuatu cerita sebagai palsu, ia akan ditandakan sebagai dipertikaikan dan akan ada pautan ke artikel yang menjelaskan mengapa," kata Mosseri. Cerita-cerita yang telah dipertikaikan juga mungkin ditolak ke bahagian terbawah suapan berita Facebook.

Perkara-perkara lain yang sedang diuji adalah cara untuk memberi isyarat apabila pengguna enggan berkongsi cerita dan cara-cara untuk mengurangkan insentif kewangan dalam penyebaran berita palsu di Facebook. Selepas pilihan raya ia didedahkan bahawa beberapa orang yang menyebarkan berita palsu dibayar untuk berbuat demikian oleh pengiklan

yang melampirkan mesej mereka pada berita palsu.

Mosseri berkata ini adalah hanya sebahagian daripada langkah-langkah pertama Facebook dalam memerangi penyebaran berita palsu.

"Kami akan belajar daripada ujian ini, dan memanjangkannya dari masa ke masa," katanya.

Dalam tempoh tiga bulan terakhir sebelum pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 8 November, perkongsian dan komen mengenai kandungan palsu di Facebook memuncak dan melepasi kandungan dari media utama, menurut satu analisis oleh laman web Buzzfeed.

Pembangkang mesyuarat bincang calon PM

Posted: 16 Dec 2016 04:13 AM PST

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah dalam wawancara khas bersama Sinar Harian - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


KUALA LUMPUR - Satu mesyuarat khas akan diadakan Pakatan Harapan bagi membincangkan masa depan gabungan itu termasuk pemilihan calon berpotensi perdana menteri sekiranya menang PRU14.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kata putus akan dibuat dalam pertemuan tersebut.

"Saya dimaklumkan pimpinan Pakatan Harapan akan kemuka pengumuman (calon perdana menteri) selepas perbincangan. Pada saya, pra syarat utama adalah prinsip reformasi, prinsip yang memastikan keadilan itu dapat berdiri dalam institusi demokrasi negara kita. Itu penting," katanya  pada sidang media selepas sesi penerangan secara langsung berkenaan status mangsa yang terbabit dengan kejadian runtuhan serta laporan awal di peringkat SP Setia di KL Eco City, semalam.

Beliau berkata, dalam Pakatan Harapan, keutamaan adalah reformasi, justeru isu ini (perdana menteri) tidak perlu  diberi sebarang komen kerana agenda rakyat perlu diutamakan.

"Kita akan umumkan secara bersama, yang penting dalam keadaan ini, kita menggarap semangat semua pihak, dan benar-benar memastikan kita mampu melaksanakan agenda informasi," katanya.

Nurul Izzah mengulas demikian bagi menjawab pelbagai spekulasi  calon berpotensi Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal permohonan mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan liwat.

Semalam, Analisis Berita Sinar Harian tulisan Ong Boon Teck menyatakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu wawancara dengan media asing, The Australian pernah mengakui Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri sekiranya BN hilang tampuk pemerintahan.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Nurul Izzah berkata, agenda informasi menjadi keutamaan bagi memastikan tidak ada lagi perdana menteri yang dapat mengawal selia dan menyalah gunakan institusi seperti yang berlaku sekarang.

"Pemimpin dipilih harus menjiwai kesemua pra syarat dan melaksanakannya dalam tempoh memimpin negara.

"Pada masa perjanjian antara Pakatan Harapan dan Bersatu baru-baru ini juga, Pakatan Harapan tidak lupa pra syarat untuk melaksanakan agenda reformasi," katanya.

Menurutnya, dalam menyelamatkan negara, tidak cukup hanya dengan menumbangkan perdana menteri semata-mata.

"Oleh sebab itu soalnya bukan semata-mata perdana menteri,  tapi sistem itu yang benarkan beliau kaut keuntungan, jadi kita mahu pastikan bila berlaku perubahan, kita hormati segala yang ada dalam semangat perlembagaan, tapi bukan soal ganti perdana menteri semata-mata," katanya.


Selangor dapat kebenaran tangguh inkuiri persempadanan semula SPR

Posted: 16 Dec 2016 03:02 AM PST

ANTARAPOS.COM

 Post Pic
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan negeri Selangor menangguhkan prosiding inkuiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung cadangan persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu. 
 
Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan, membuat keputusan itu selepas berpuas hati kerajaan negeri memenuhi peruntukan bagi membolehkan penangguhan dibenarkan. 
 
Beliau dalam penghakiman berkata, kerajaan negeri menunjukkan keadaan istimewa untuk menangguhkan prosiding inkuiri itu. 
 
Katanya, kerajaan negeri selaku pemohon mempunyai kepentingan dan berhak membantah cadangan persempadanan semula di negeri terbabit. 
 
Jika penangguhan tidak dibenarkan, katanya, ia boleh menyebabkan prejudis dan memudaratkan pemohon, selain menyebabkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dipohon Selangor untuk mencabar cadangan persempadanan semula, akan menjadi akademik. 
 
Mahkamah menetapkan 20 Januari depan untuk mendengar permohonan kebenaran itu. 
 
Kerajaan negeri melalui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memfailkan permohonan kebenaran itu pada 19 Oktober lalu.
 
 
 

Amanah tiada ruang di Pantai Timur

Posted: 16 Dec 2016 02:58 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Usaha Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai oleh DAP untuk mendapatkan sokongan Melayu terus menemui jalan buntu.
 
Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat gagal bagi merealisasikan hasrat DAP itu selepas menyingkirkan PAS daripada Pakatan Rakyat.
 
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penubuhan Amanah, DAP mengharapkan dapat menarik sokongan Melayu.
 
"Namun dua pilihan raya kecil sebelum ini menjadi bukti PAN (Amanah) gagal dan majoriti besar dalam kalangan ahli masih bersama PAS.
 
"Kecuali beberapa bekas pimpinan yang kecewa, bermasalah dan sebagainya," lapor portal berita Harakahdaily semalam.
 
Katanya, satu lagi cara untuk menguasai undi melayu ialah berusaha menarik parti serpihan Umno iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Baru itu, untuk mengekalkan atau menagih sokongan Melayu Islam, PPBM tidak mempunyai banyak pilihan melainkan bersama PAS.
 
"Andainya Hari ini  PPBM dilihat jelas menyokong DAP, atau menyokong bonekanya, PAN (Amanah) maka hari ini juga sokongan Melayu Islam terhadap PPBM mula menjauh," katanya.
 
Jelas beliau, pilihan terbaik PPBM adalah bersama PAS dalam kerangka untuk mengganti Umno serta memperkasakan orang Melayu.
 
"Penyokong-penyokong Bersatu (PPBM) saya yakin terdiri daripada orang yang tidak boleh menerima perjuangan yang dibawa oleh DAP dan bonekanya. 
 
"Walaupun Bersatu (PPBM)  mendapat simpati dan sokongan daripada mereka yang tidak berpuas hati dengan Umno dan sebagainya," katanya.
 
Katanya lagi, PAS sudah membuat pendirian yang tegas tidak akan bersama DAP dan PAN (Amanah) kerana kedua-dua parti berkenaan mengkhianati perjuangannya. 
 
"Itu merupakan satu kenyataan cukup jelas, kalau Bersatu (PPBM) berminat dengan PAS dia kena pilih untuk bersama PAS.
 
"Walaupun saya sebut atau tidak, itulah pilihan yang ada iaitu DAP atau PAS," katanya sebagai cadangan kepada PPBM.
 
Bagi beliau, Amanah hanyalah parti serpihan dilahirkan bagi menjadi tongkat. 
 
Tambahnya, di Pantai Barat, Amanah menjadi  tongkat kepada DAP dan di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu mereka menjadi tongkat Kepada Umno yang akan memberikan  talian hayat kepada Umno untuk memenangi kerusi kerusi di Pantai Timur. 
 
 

Persefahaman PH-PPBM tak jejas rundingan dengan PAS

Posted: 16 Dec 2016 02:41 AM PST

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Rundingan antara PAS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak tergugat, meskipun parti itu menjalin persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan satu lawan satu pada pilihan raya akan datang.
 
Malah menurut Naib Presidennya Dr Idris Ahmad, perbincangan masih diteruskan kerana PAS belum membuat keputusan rasmi mengenai perkara itu.
 
Kedua-dua pihak setakat ini masih tidak menyatakan secara jelas mengenai rundingan berkenaan. 
 
"(Perbincangan) dengan PPBM masih lagi kita dengan dia ada perundingan-perundingan, tak bincang apa benda pun.
 
"Dengan BERSATU (PPBM) kita masih belum buat keputusan," katanya kepada Antarapos.
 
Sebelum ini, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah beberapa kali mengadakan pertemuan bersama PAS, namun tidak pernah mendedahkan hasil perjumpaan tersebut.
 
Muhyiddin dikatakan cuba menjadi 'orang tengah' untuk memujuk PAS bekerjasama dengan pembangkang yang lain bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Tetapi PAS tetap menegaskan bahawa kerjasama berkenaan tidak akan berlaku kerana tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan DAP dan parti serpihannya, Amanah.
 
Ketika ditanya mengenai tarikh PAS untuk bawa hasil pertemuan dengan PPBM kepada PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama (MSU), Idris tidak dapat mengesahkan perkara tersebut tetapi ujarnya, satu mesyuarat parti akan diadakan pada bulan Januari.
 
"Kita belum ada mesyuarat lagi, mesyuarat bulan depan," jawab beliau ringkas.
 
Selasa lalu, pembangkang mengikat perjanjian untuk meletakkan satu calon mewakili gandingan itu untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Persefahaman itu memutuskan 'formula' yang digunapakai antara PH dan PPBM bersabit pembahagian kerusi berdasarkan prinsip kebolehmenangan seseorang calon itu. 
 
 

Rundingan PAS-PPBM: Tunggu keputusan pimpinan tertinggi

Posted: 16 Dec 2016 02:38 AM PST

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mempunyai kuasa atau hak untuk mengulas mengenai perkembangan terbaru bersabit rundingan antara parti itu bersama PAS.
 
Menurut Ketuanya Anina Saadudin, sayap pimpinannya akan mendokong apa jua keputusan pimpinan tertinggi parti berkaitan permuafakatan dengan parti lain.
 
Ujarnya, ini adalah demi memastikan keutuhan pembangkang sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"Sudah pastilah kami di peringkat sayap ada tahu sedikit sebanyak tentang perkara tersebut, tapi tiada autoriti atau dalam keadaan yang boleh buat sebarang komen tentang perkara tersebut.
 
"Sebarang keputusan yang diambil pucuk pimpinan parti berkaitan dengan rundingan yang dibuat oleh parti pembangkang lain, pihak Srikandi, saya sebagai Ketua Srikandi, menyokong penuh sebarang keputusan yang dibuat tersebut," katanya kepada Antarapos.
 
Selasa lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti pimpinannya akan meneruskan rundingan dengan PAS, meskipun kini mereka telah menandatangani perjanjian kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).
 
Menurut Muhyiddin, PH telah dimaklumkan mengenai kemajuan rundingan tersebut dan gabungan itu telah menyatakan bahawa rundingan bersama PAS masih boleh diteruskan.
 
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad semalam berkata rundingan antara PAS dengan PPBM tidak tergugat meskipun parti itu menjalin persefahaman dengan PH.
 
Malah kata Idris, perbincangan masih diteruskan kerana PAS belum membuat keputusan rasmi mengenai perkara itu.
 
Muhyiddin sebelum ini sudah beberapa kali mengadakan pertemuan bersama PAS, namun tidak pernah mendedahkan hasil perjumpaan tersebut.
 
Muhyiddin dikatakan cuba menjadi 'orang tengah' untuk memujuk PAS bekerjasama dengan pembangkang yang lain bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Namun PAS berulang kali menegaskan bahawa kerjasama berkenaan tidak akan berlaku kerana mereka tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan DAP dan Amanah.
 
 

Muhyiddin lebih realistik 'pandang' kelebihan PAS

Posted: 16 Dec 2016 02:35 AM PST

Oleh Zeannaima Md Yusof
Post Pic
 
PAYA JARAS: Presiden Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih realistik dalam melihat PAS sebagai rakan politik berpotensi untuk mengalahkan Umno Barisan Nasional (BN) berbanding pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehen Mukhyi berkata Muhyiddin sedar kekuatan dan kelebihan yang ada pada PAS, justeru bekas timbalan perdana menteri itu amat berusaha untuk mendekati PAS.
 
"Tan Sri Muhyiddin lebih realistik dalam konteks dia melihat tentang keperluan dan kepentingan undi Melayu di kawasan Parlimen yang dia atau kawasan-kawasan dimana calon Bersatu (PPBM) akan bertanding.
 
"Kekuatan (Datuk Sri) Najib (Razak) masih dilihat di kalangan orang Melayu. Kalau tak dipecahkan yang itu, tak mungkin Najib akan jatuh," katanya ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos.
 
Sallehen berkata demikian mengulas kritikan berterusan Dr Mahathir kepada PAS, dalam usaha memastikan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu memilih parti pembangkang sebagai rakan menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan memberi kata dua kepada PASagar membuat pilihan segara sama ada Pakatan Harapan dan PPBM sebagai rakan politik atau Umno BN.
 
Bekas presiden Umno itu juga mengertak untuk melancarkan perang ke atas PAS, jika parti itu memilih untuk 'bersama' Umno BN pada pilihan raya kali ini.
 
"Serangan Dr Mahathir saya lihat adalah tekanan kepada PAS supaya PAS sertai PH. Dalam waktu yang sama nak beri millage pada DAP dan PH. Itu yang dilakukan oleh Dr Mahathir," ujar Sallehen yang juga bekas Exco Selangor.
 
Malah ujar Sallehen, bukan sahaja PPBM melihat PAS sebagai 'aset' yang perlu dijaga, tetapi terdapat pemimpin pembangkang yang lain mengakui parti itu punya peranan yang besar untuk meraih undi pengundi Melayu Islam.
 
"Bersatu (PPBM) lihat pengaruh PAS sangat kuat sama ada pengeruh masyarakat mahupun jentera yang kita boleh tawarkan kepada mereka.
 
"(PPBM) perlukan sokongan dan jentera yang PAS boleh tawarkan, jentera yang terlatih, rajin dan tak perlu dibayar upah. (Nilai) ini tiada dalam mana-mana parti," katanya lagi. 
 
 

Umno Jelutong mahu DAP saman Tunku Aziz

Posted: 16 Dec 2016 02:29 AM PST

MALAYSIAKINI


 
Ketua Umno bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, Lim Kit Sing perlu menyaman Tunku Abdul Aziz bagi menafikan dakwaan bahawa DAP adalah parti penuh rasuah.

Menurut Abdul Razak, jika veteran DAP mahu berbicara mengenai rasuah, beliau sepatutnya mengambil tindakan saman kepada Tunku Aziz bagi membuktikan parti itu sebenarnya difitnah.

"Kit Siang mungkin sudah semakin 'nyanyuk' dan terlupa DAP sebenarnya terlalu banyak terpalit kes rasuah sehinggakan tidak berani mengambil tindakan terhadap Tunku Aziz yang secara terang-terangan mengatakan rasuah memang bermaharajalela di dalam parti itu.

"DAP selama ini memang terkenal dengan sikap suka mengambil tindakan saman tetapi apabila Tunku Aziz terang-terangan menuduh parti DAP penuh rasuah, mengapa tiada sebarang tindakan diambil.

"Jadi, jika Kit Siang mahu bercakap pasal rasuah, lebih baik dia saman dulu Tunku Aziz. Jika tidak, memang benarlah dakwaan yang dibuat bahawa DAP adalah parti penuh rasuah," ujarnya, memetik laporan Umno Online.

Abdul Razak berkata demikian mengulas kenyataan Kit Siang yang mahu barisan kabinet yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri mengambil peduli amaran Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengenai gejala rasuah dan pecah amanah di negara ini.

Baru-baru ini, Kit Siang juga mengeluarkan kenyataan juga mahu kabinet pimpinan Najib menghentikan semua pertuduhan terhadap pemimpin anti-rasuah seperti Tony Pua, Rafizi Ramli, Datuk Ambiga Sreenevasan, Maria Chin dan Anis Syafiqah Md Yusuf.

Terdahulu, Tunku Aziz yang merupakan bekas naib pengerusi DAP pernah mendedahkan punca beliau keluar dari DAP pada tahun 2012 disebabkan rasuah dalam parti itu yang cukup teruk.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, selain tindakan saman, Kit Siang juga harus mendesak anaknya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar melepaskan jawatan.

Guan Eng perlu meletakkan jawatan sebagai ketua menteri pulau mutiara itu kerana sedang berhadapan dengan dua pertuduhan rasuah, tambah beliau.

"Kit Siang sepatutnya malu bercakap soal rasuah kerana integriti DAP tercalar teruk akibat rasuah. Tetapi tidak seorangpun pemimpin DAP yang berani untuk menafikan atau membuktikan tidak terlibat dengan rasuah.

"Setiap kali diajukan persoalan ataupun dituntut memberi jawapan berkaitan skandal rasuah yang terpalit, mereka akan menuding jari kepada orang lain ataupun memburukkan kerajaan pusat.

"Nasihat saya kepada Kit Siang, bersihkan parti sendiri sebelum sibuk mahu mencampuri urusan kerajaan pusat," ujar beliau lagi.


Isu 1MDB: Lagi bekas pekerja BSI disabit bersalah

Posted: 16 Dec 2016 02:19 AM PST

MALAYSIAKINI

 

Seorang lagi bekas pekerja BSI disabitkan bersalah di mahkamah Singapura berkaitan dakwaan skandal 1MDB.

Pihak pendakwa meminta pegawai bank Yvonne Seah Yew Foong dipenjarakan selama dua minggu.

Menurut Straits Times, Seah mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan membantu pemalsuan dokumen dan gagal melaporkan keraguan transaksi yang didakwa mempunyai kaitan dengan taikun kelahiran Pulau Pinang Jho Low.

Dalam rayuan migitasi terhadap hukumannya, Seah berkata dia mengalami masalah klaustrofobia atau takut berada di dalam tempat tertutup.

Pihak pendakwaan bagaimanapun menyangkalnya dan berkata tiada rekod perubatan bagi mendukung kenyataan itu.

Singapura sedang menyiasat dakwaan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB di republik itu.

Selain Seah, penyelianya, Yak Yew Chee juga mengaku bersalah terhadap tuduhan sama. Yak sedang menjalani hukuman 18 minggu penjara.

Operasi BSI di Singapura telah diberhentikan. Siasatan berkaitan 1MDB sedang berjalan di pelbagai negara.

TPM: Tak puas hati sila menghadap agong, Dr M

Posted: 16 Dec 2016 02:16 AM PST

Bernama



Pembatalan undangan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ke istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara bukan atas arahan Pejabat Perdana Menteri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, beliau telah membuat semakan terhadap pembatalan undangan kepada bekas perdana menteri itu dan mendapati urusan tersebut adalah di bawah kuasa Istana Negara.

"Bahagian istiadat hanya menerima arahan, kalaupun tidak titah bagi pembatalan itu. Jangan salahkan bahagian istiadat Jabatan Perdana Menteri atau Pejabat Perdana Menteri sendiri.

"Kalau tidak berpuas hati sila menghadap (Yang di-Pertuan Agong) untuk mendapatkan penjelasan, jangan salahkan orang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen, di Putrajaya hari ini.

Pada 7 Dis lepas, surat daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kepada Dr Mahathir yang membatalkan undangan ke istiadat tersebut tersebar di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi. - Bernama


17 NGO lancar Himpunan Peduli Ummah untuk Rohingya

Posted: 16 Dec 2016 02:09 AM PST

 
 

Ekoran ketiadaan sebarang tanda kerajaan Myanmar akan menghentikan tindakan brutal dan tidak berperikemanusian terhadap etnik rohingya, sekumpulan NGO hari ini melancarkan 'Himpunan Peduli Ummah: Pray 4 Rohingya'.

Pengasas Selangor Humanitarian Fund, Datuk Dr Yunus Hairi berkata, walaupun himpunan sedemikian sudah sinonim dengan rakyat Malaysia, namun, ia adalah satu-satunya cara terbaik bagi rakyat di negara ini untuk terus mendesak kerajaan Myanmar.

"Ini bukan kali pertama kita mengadakan usaha sedemikian tetapi usaha seperti ini perlu diteruskan agar dapat membuka mata pihak kerajaan Myanmar sekali gus mendesak mereka.

"Inisiatif sebegini juga harus terus berjalan sehingga OIC dapat bertindak dan untuk makluman, saya difahamkan OIC kini dikatakan akan membuat persidangan khas ekoran desakan kita yang dalam isu keamanan dunia ini," kata Yunus semasa sidang media di Shah Alam, hari ini.

Malah, Yunus yang juga exco kerajaan negeri Selangor berkata, usaha sedemikian itu juga akan diikuti dengan misi bantuan "Food Flotila for Rohinya" awal Januari depan.

Kata Yunus, misi bantuan tersebut akan melalui jalan laut bersama komuniti NGO antarabangsa.

Mengulas mengenai himpunan yang bakal diadakan pada 23 Disember depan, Yunus berkata, ia adalah usaha pihaknya meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat negara ini.

Himpunan berkenaan dijadualkan berlangsung dari jam 6.00 petang hingga jam 11.30 malam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Acara yang bakal menghimpunkan jutaan rakyat Malaysia itu juga akan turut menampilkan wakil khas OIC ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Naib Presiden Kesatuan Ulama Dunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan kedua-dua tokoh besar itu akan menyampaikan pidato mereka.

Selain itu, himpunan terbabit turut diserikan lagi dengan selebriti dan artis tanah air serta barisan 17 NGO yang terlibat menjayakan acara tersebut.


Ahli PPBM Kedah "Indah Khabar Dari Rupa"

Posted: 16 Dec 2016 02:01 AM PST

Sopha Sulaiman



ALOR SETAR - Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menyifatkan dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai ahli dan penyokong yang ramai hanya sekadar " indah  khabar daripada rupa". 

Ketuanya, Datuk Shaiful  Hazizy Zainol Abidin berkata, Pemuda UMNO yakin berapa juga jumlah ahli PPBM di Kedah yang digembar-gembur parti itu hanya satu corak perang  psikologi.

Khamis lalu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan keyakinan partinya akan menawan Kedah dan Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana 'semangat' yang ditunjukkan oleh rakyat.

Shaiful Hazizy dalam satu kenyatan akhbar hari ini mencabar PPBM menyatakan jumlah sebenar ahli parti baharu yang ditubuhkan kira-kira tiga bulan itu. 

Sementara itu, Shaiful Hazizy yang juga Exco Pemuda UMNO  menyifatkan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bukanlah seorang yang berani dan berprinsip apabila membuat tuduhan yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pernah menghantar surat peletakan jawatan sebelum dipujuk oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

"Dua persoalan timbul, pertama Mukhriz  bukanlah seorang yang berani dan berprinsip kerana menyatakan perkara itu di luar konteks masa dan tempat, " kata Shaful Hazizy.

Kata Ketua Pemuda Merbok itu, jika benar perkara itu berlaku, ia wajar disebut semasa beliau (Mukhriz) masih memegang jawatan Menteri Besar dan jawatan dalam UMNO bagi menunjukkan ada anggota Kabinet tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Mukhriz sekadar berani menyatakan perkara-perkara yang dikutip daripada "cakap-cakap kedai kopi" bagi mengelirukan penyokong PPBM sendiri kononnya dalaman UMNO sedang goyah, kata Shaiful Hazizy.

Menurut beliau, sikap dan strategi politik yang silap, kebudak-budakan ini tidak mencerminkan kepimpinan Mukhriz sebagai Timbalan Presiden PPBM, parti serpihan yang ditubuhkan bapanya sendiri. 

Sementara kenyataan yang dikeluarkan Mukhriz adalah sekadar reaksi rasa "sakit hati dan dendam" beliau terhadap serangan Khairy kepada Dr. Mahathir pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. 


MRT fasa pertama mula operasi 16 Disember 2017

Posted: 16 Dec 2016 01:50 AM PST

MYNEWSHUB, 



KUALA LUMPUR – Fasa pertama projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 Sungai Buloh – Kajang (SBK) bakal memulakan operasinya pada 16 Disember tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pencapaian itu sesuatu yang membanggakan kerana ia berjaya memenuhi syarat jadual dan lingkungan bajet yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Ini bukan sahaja merupakan pencapaian yang membanggakan, tetapi membuktikan kepentingan yang diberikan dalam memastikan keperluan rakyat diutamakan, mengatasi segala kepentingan yang lain.

"Dengan pelaksanaan projek MRT ini juga, selain daripada memantapkan lagi pengangkutan awam darat di negara ini, ia akan turut membuka peluang perniagaan yang baru sekali gus akan meletakkan imej Kuala Lumpur sebaris dengan bandar raya utama di dunia. Tambang MRT Laluan 1 ini telah pun dipertimbang dan diluluskan oleh Kabinet dan akan diumumkan dalam masa yang terdekat oleh Prasarana iaitu pengendali perkhidmatan MRT ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

"Ini bukan sahaja merupakan pencapaian yang membanggakan, tetapi juga membuktikan kepentingan yang diberikan dalam memastikan keperluan rakyat diutamakan, mengatasi segala kepentingan yang lain," kata YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Nancy memaklumkan, sebanyak 120 buah bas perantara akan disediakan melalui 26 laluan di sekitar 12 stesen yang akan beroperasi untuk fasa satu iaitu dari stesen Sungai Buloh hingga Stesen Semantan.

"Secara umumnya, projek itu bukan sahaja membantu penghuni di Kuala Lumpur dari segi pengangkutan awam darat, malah dari segi peningkatan nilai hartanah yang begitu ketara terutamanya di kawasan yang terdapat stesen MRT," katanya.

Katanya, kira-kira 400,000 orang dianggarkan akan menggunakan perkhidmatan SBK sebaik sahaja laluan SBK mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2017.

"Di samping itu, apabila laluan MRT Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya (SSP) mula beroperasi pada tahun 2022, dianggarkan 529,000 pengguna akan menggunakan laluan tersebut setiap har," katanya.

Tiada ulasan: