Khamis, 15 Disember 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Siapa bakal PM jika BN tumbang?

Posted: 15 Dec 2016 06:08 AM PST

Siapa bakal PM jika BN tumbang?
 

KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam terpaksa menerima kenyataan bahawa masa masih belum mengizinkan beliau bebas daripada hukuman penjara.

Banyak perancangan dan impian untuk beliau kembali aktif dalam politik kini perlu dilupakan seketika sehinggalah pertengahan 2018 apabila dibebaskan kelak.

Semalam, bekas timbalan perdana menteri itu yang mengemukakan permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi kesalahan meliwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan ditolak Mahkamah Persekutuan.

"Itu bukan penamat segala-galanya," kata Anwar semalam. Namun secara realitinya, Anwar yang kini sudah menjangkau usia 69 tahun perlu menyedari usia yang semakin lanjut serta tenaganya yang terhad akan menjadi halangan untuk beliau terus bergiat cergas dalam dunia politik.

Sekiranya Anwar bebas pada pertengahan 2018, usianya telah mencecah 71 tahun. Ini bermakna beliau boleh bertanding semula dalam PRU setelah berusia 76 tahun kerana mengikut undang-undang, seseorang pesalah hanya boleh menjadi calon pilihan raya setelah lima tahun bebas daripada hukuman penjara.

Malahan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah mengakui Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri sekiranya BN hilang tampuk pemerintahan.

"Saya rasa dia sudah terlalu tua," kata Mahathir ketika ditemu bual oleh The Australian dalam satu wawancara.

"Apabila saya berumur dalam 70-an, saya buat pengumuman bahawa saya tidak lagi boleh jadi PM pada usia 80, jadi saya nyatakan bahawa saya akan letak jawatan dan saya lakukannya sebelum saya berumur 80 tahun," kata Mahathir yang sudah pun berusia 91 tahun.

Jadi, setelah kehilangan Anwar, siapakah calon yang paling layak menjadi perdana menteri sekiranya BN kalah dalam PRU14?

Ketika Pas dilihat semakin akrab dengan BN, Pakatan Harapan seperti menerima suntikan semangat baharu apabila secara rasmi mencapai kata sepakat dengan Bersatu dengan membentuk pakatan pilihan raya bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.

Namun timbul kesangsian ramai kerana sehingga hari ini masih belum nampak adanya calon yang berkelayakan daripada Pakatan Harapan untuk diangkat menjadi calon perdana menteri sekiranya BN benar-benar tumbang pada pilihan raya akan datang.

Apabila ketiadaan pemimpin yang berwibawa daripada Pakatan Harapan, dengan sendirinya tumpuan kini terarah pemimpin Bersatu sebagai perdana menteri dalam Kabinet bayangan mereka.

Namun sanggupkah pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang menyerahkan jawatan berkenaan kepada parti baharu dan bersifat parti serpihan Umno itu? 

Mengikut perjanjian antara Pakatan Harapan dan Bersatu baru-baru ini, mereka telah bersetuju untuk mewujudkan gabungan dengan tujuan membentuk kerajaan selepas pilihan raya. Dengan ini jelas pemimpin dari Bersatu mempunyai peluang untuk menjadi 'ketua' sekali gus berhak memegang jawatan perdana menteri.

Sama ada setuju atau tidak, pemimpin Bersatu mempunyai peluang cerah dilantik sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan, dan antara calon yang terlintas dalam fikiran semua ialah presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Barangkali agak pahit untuk pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan menerima hakikat ini. Apa tidaknya, setelah sekian lama berjuang sebagai parti pembangkang, tidak seorang pun daripada mereka ini mampu muncul sebagai pemimpin yang berkelayakan menjadi calon perdana menteri.

Untuk menantikan kebebasan Anwar dari penjara, sudah tentu ia bukan satu strategi yang bijak. Daripada menghabiskan masa yang sia-sia semata-mata inginkan Anwar, apakah lebih baik bagi Pakatan Harapan menamakan segera Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

Untuk menghadapi pilihan raya, Pakatan Harapan selain ingin satu lawan satu dengan BN, mereka juga mesti meyakinkan rakyat bahawa untuk membentuk kerajaan baharu, calon perdana menteri daripada pembangkang juga adalah pemimpin yang disokong dan diterima ramai serta mampu memimpin negara dengan lebih baik.

Pakatan Harapan mungkin masih harapkan Pas, tetapi sudah tiba waktunya untuk mereka segera lupakan Anwar. Tanpa Anwar, pakatan pembangkang ini tetap berpeluang bentuk kerajaan baharu.

Pakatan Harapan tidak akan rasa rugi dan malu sekiranya pilih Muhyiddin menjadi calon perdana menteri, sebaliknya mereka patut rasa malu kerana gagal mempunyai calon perdana menteri sedangkan beriya-iya mahu rampas kerajaan daripada BN.

DAP telah lama menjadi pembangkang. Begitu juga dengan PKR pun hampir 18 tahun lawan BN. Amanah dan Bersatu yang belum setahun jagung mungkin masih terlalu mentah hadapi ujian getir hidup sebagai parti pembangkang.

Namun gabungan lama dan baharu ini sekiranya bersatu-padu menyusun langkah, tidak mustahil kerajaan baharu milik mereka!


Tiada riak berketurunan raja

Posted: 15 Dec 2016 06:04 AM PST

Tiada riak berketurunan raja
Fakhrurrozi bersalaman dengan Sultan Muhammad V ketika mencemar duli ke Masjid Beijing beberapa bulan lalu


RANTAU PANJANG - Bangga dan rasa syukur diluahkan rakyat apabila Sultan Muhammad V diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, kelmarin.

Penduduk, Fakhrurrozi Fauzi berkata, walaupun lahir dalam keluarga diraja, baginda tidak menunjukkan sebarang perbezaan status.

Menurutnya, saat Baginda mencemar duli ke Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau sinonim dengan nama Masjid Beijing beberapa bulan lalu, rakyat tidak terkejut melihat gaya sederhana Baginda yang gemar mengenakan jubah.

"Saya terharu dapat menyaksikan sendiri Tuanku turun dari kenderaan rasmi dan bergerak ke pentas dalam keadaan cukup hebat dengan langkah seperti pahlawan.

"Saya lebih kagum apabila Baginda sendiri menyembelih lembu untuk jamuan bersama rakyat," katanya.
Beliau berkata, sikap Baginda yang rendah diri dengan membahasakan diri dengan perkataan 'kito dan ambo' amat disenangi.

Fakhrurrozi yang juga Ketua Pemuda Pas Dun Gual Periok turut mengucapkan tahniah kepada Tuanku atas pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan mendoakan Baginda diberi kekuatan mentadbir Negara ini dengan acuan Islam.

"Semoga hukum Islam akan didaulatkan di bawah penguasaan Tuanku," katanya.


Dr Vida didenda RM80,000 gagal kemuka penyata GST

Posted: 15 Dec 2016 05:55 AM PST

MALAYSIA DATELINE
 
 
Datuk Seri Dr Hasmiza OthmanDatuk Seri Dr Hasmiza Othman


Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

Beliau mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata cukai barang dan perkhidmatan (GST). Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Vida melakukan kesalahan itu bagi tempoh antara 1 April 2015 hingga 31 Julai 2015.

Pada 13 Oktober lalu jutawan kosmetik ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 32 pertuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Vida mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Dr Vida didakwa gagal mengemukakan penyata dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM1.76 juta bagi kesemua pertuduhan dan pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai.

PH, PPBM setuju guna satu logo PRU 14

Posted: 15 Dec 2016 05:52 AM PST

 HAZAYANI ZAKARIA foto WAN ZAHARI SALLEH
 
 
Dr Wan Azizah mengumumkan Pakatan Harapan dan PPBM akan gunakan satu logo dalam PRU 14.Dr Wan Azizah mengumumkan Pakatan Harapan dan PPBM akan gunakan satu logo dalam PRU 14.


Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersetuju untuk menggunakan satu logo dalam pilihan raya umum akan datang.

Ke empat parti juga bersetuju untuk menggunakan menifesto bersama dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

PH dan PPBM masing-masing menandatangani enam lagi dokumen bersama sebagai kata sepakat ke empat-empat parti itu.

Persetujuan itu ditandatangani dalam mesyuarat rasmi pertama antara PH dan PPBM hari ini.

Melalui mesyuarat rasmi hari ini, PH iaitu PKR, DAP dan Amanah akan bekerjasama dengan PPBM.

Perjanjian bersama antara Pakatan Harapan dengan PPBM.Perjanjian bersama antara Pakatan Harapan dengan PPBM.Melalui perjanjian bersama hari ini, ke empat-empat parti setuju untuk menghormati, didokong dan dilaksanakan segala janji bersama oleh parti-parti "selagi perjanjian ini berkuatkuasa dan persetujuan-persetujuan di dalamnya adalah mengikat ke empat-empat parti."

Perjanjian ini ditandatangani oleh Datuk Seri Wan Azizah Ismail mewakili PKR, Lim Guan Eng mewakili DAP, Mohamad Sabu mewakili Amanah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari PPBM.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail menjelaskan, PPBM memerlukan lebih banyak masa sebelum memutuskan untuk menyertai PH sebagaimana yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

"Dalam mesyuarat ini PPBM lebih selesa bekerjasama dahulu dan meminta lebih banyak masa sebelum menyertai Pakatan untuk membolehkannya terus berbincang dengan Pas," beritahunya kepada Malaysia Dateline.

Namun, katanya, PPBM bersetuju untuk diberikan had masa untuk menjalankan rundingan dengan Pas itu.


"Kami juga bersetuju agar masing-masing pihak diberikan makluman apa-apa perkembangan dari masa ke semasa," katanya.

Tun Dr Mahathir sudah dua kali mengumumkan PPBM akan menyertai PH iaitu semasa konvensyen Pakatan Harapan dan semasa Kongres DAP baru-baru ini.

Amanah sudahpun bergabung dengan PKR dalam PH, kata KP Amanah

Posted: 15 Dec 2016 05:50 AM PST

 
 
Mohd Sany HamzanMohd Sany HamzanPemuda Amanah berfikiran parti itu sudahpun bergabung dengan PKR apabila menyertai Pakatan Harapan dengan tujuan dan misi sama untuk menumbangkan Barisan Nasioan (BN) dalam PRU ke-14 kelak.

Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzan berkata, pada ketika ini semua pimpinan perlu memperkuatkan kerjasama Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas termeterainya perjanjian kerjasama itu Selasa lalu.

"Pada saya kita sudah bergabung dalam Pakatan Haraan dengan tujuan dan misi yang sama untuk menumbangkan Umno-BN dalam PRU akan datang.

"Apa yang penting sekarang pada saya kita perkuatkan Pakatan Harapan dan PPBM untuk hadapi pilihan raya," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin hari ini yang dilaporkan Malaysiakini, mencadangkan penggabungan partinya dan Amanah.

Beliau dipetik berkata memandangkan kedua-dua parti berkongsi nilai sama, termasuk pandangan mereka terhadap Islam yang sederhana.

Afif berkata idea itu timbul dalam mesyuarat dalaman PKR dan ramai pihak bersedia menerokai kemungkinan untuk cadangan itu.

Mohd Sany menjelaskan kewujudan Amanah adalah parti Islam generasi kedua yang ditubuhkan mengantikan Pas. Justeru soal parti itu sebagai parti serpihan Pas tidak timbul ketika ini seperti dikatakan Afif.

"Kita tertubuh untuk mengantikan Pas sebagai parti Islam generasi kedua.

"Pas dilihat sudah hilang arah tujuan dalam perjuangan politik pada hari ini," ujarnya.

Ditanya kemungkinan idea gabungan itu dicetuskan  untuk mengurangkan perpecahan undi dikalangan orang Melayu?

"PKR juga ditubuhkan dulu oleh bekas-bekas pimpian Umno," jawabnya.

Justeru beliau beranggapan ia hanya perbincangan dalaman PKR semata-mata yang tidak seharusnya di bawa keluar.

"Apa jua masalah dalaman Pakatan Harapan dan PPBM haruslah dibawa ke meja rundingan.

"Kita akan buat keputusan secara kolektif bukan seorang sahaja yang boleh membuat keputusan.

"Semua keputusan seharusnya diambil kira daripada hasil  perbincangan bersama," ujarnya.

KKLW peruntuk RM350 juta bina, baik pulih PPRT

Posted: 15 Dec 2016 05:46 AM PST

MALAYSIA GAZETTE

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob


Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sejumlah RM350 juta bagi membina dan membaik pulih Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bermula tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 2,100 unit rumah PPRT akan dibina manakala sebanyak 12,500 unit rumah sedia ada diletakkan di bawah projek membaik pulih.

Menurutnya, KKLW juga memberi keutamaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk terlibat dalam program membaik pulih rumah berkenaan, sekali gus membantu kampung itu mendapat manfaat daripada peruntukan yang diberikan.

"Kabinet pun setuju untuk kementerian mengutamakan JKKK bagi membaiki rumah seperti baiki atap, kerja-kerja mudah, dan tidak perlu untuk kita melantik kontraktor dalam projek itu (baik pulih)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, sejumlah RM200 juta pula diperuntukkan bagi Projek Rumah Bina Negara yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi membantu golongan belia luar bandar memiliki rumah sendiri.

"Pembinaan 7,000 unit rumah tersebut hanya akan dikhaskan untuk golongan belia sahaja dan bukannya untuk dibeli sebagai pelaburan.

Kita bina rumah itu untuk belia luar bandar dan kita tidak akan jual untuk dijadikan sebagai satu pelaburan atau untuk disewa," katanya.-- BERNAMA



Waris tidak faham sistem faraid, nilai aset beku cecah RM60 bilion

Posted: 15 Dec 2016 05:44 AM PST

 
 
Mohd. Zaidi Ismail
Mohd. Zaidi Ismail


Nilaian aset atau harta si mati yang tidak dituntut pewaris menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin berkata, berdasarkan data yang dikumpul, nilaian aset dibeku dari tahun 2006 berjumlah RM38 bilion dan meningkat sehingga RM52 bilion sehingga akhir tahun 2012.

Katanya, mengikut laporan dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pula angka itu meningkat kepada kira-kira RM60 bilion.

"Walaupun angka ini tidak memperincikan jumlah aset orang Islam atau bukan Islam, tetapi kita percaya kebanyakan aset itu adalah milik orang Islam. Aset ini melibatkan hartanah seperti rumah, tanah, wang yang tidak dituntut dalam pelbagai institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji (TH), Amanah Raya Berhad (ARB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB)," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Seminar Faraid dan Perancangan Pewarisan: Isu Harta Beku dan Penyelesaiannya di Malaysia di Dewan Besar IKIM, di sini, hari ini.

Teks ucapanya beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail.

Dr. Azizan turut menolak masalah berkaitan peningkatan aset yang tidak dituntut itu berpunca daripada sistem faraid.

Katanya, untuk mengaitkan isu itu dengan sistem berkenaan adalah satu hujah yang amat lemah.

"Faraid adalah satu sistem pewarisan yang lengkap dan menyeluruh, di mana Allah Yang Maha Bijaksana telah menentukan siapa yang berhak menerima pusaka. Bukan itu sahaja, Allah juga telah menentukan bahagian atau jumlah saham bagi setaip waris yang berhak," katanya.

Menurut beliau, ramai cendekiawan bukan Islam seperti Prof. Almaric Rumsey dari King's College, London (1825-1899) mengakui kesyumulan dan kecemerlangan sistem faraid serta menulis mengenai subjek berkaitan undang-undang pewarisan Islam.

Azizan turut menjelaskan, antara faktor aset tidak dituntut adalah disebabkan tidak ada kesedaran mengenai kepentingan perancangan pewarisan dalam kalangan umat Islam, selain kejahilan waris mengikut prosedur yang perlu diikuti dan waris juga dikatakan bersikap tidak peduli.

"Ada antara waris tidak peduli untuk menuntut hak mereka kerana mungkin disebabkan masalah kekurangan masa, kos tinggi terpaksa ditanggung dan berdepan dengan proses birokrasi yang agak sukar.
Proses pengagihan harta menjadi lebih rumit dalam isu waris bertindih dan dalam masalah berkaitan penipuan serta pertikaian di kalangan waris," katanya.

Ujar beliau, apa yang umat Islam perlu sedari walaupun sistem faraid adalah suatu yang wajib dipatuhi, tetapi mereka juga harus ketahui terdapat banyak faktor lain yang pewaris lalui sebelum harta dibahagikan selepas kematian.-- MalaysiaGazette


Harith Iskandar guna lawak satukan orang ramai

Posted: 15 Dec 2016 05:35 AM PST

MALAYSIA GAZETTE



Pelawak popular, Harith Iskander, yang meraih gelaran Funniest Person in the World anjuran Laugh Factory di Finland minggu lalu, mahu berkongsi jenakanya untuk menyatukan masyarakat di seluruh dunia.

Harith, yang terlibat dengan lawak solo selama 26 tahun, berkata beliau sering berkongsi anekdot mengenai kehidupan di Malaysia, dan tidak menyentuh isu sensitif seperti agama, politik dan seks dalam persembahannya.

"Dalam komedi solo, kita perlu memegang kepada nilai budaya dan moral selain bakat untuk berjenaka bagi membolehkan penonton ketawa.

"Ramai pelawak yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu kagum melihat saya tidak menggunakan jenaka seks dan politik dalam persembahan saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sekembalinya dari Finland di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Rabu.

Ketibaan Harith, yang ditemani isteri merangkap pengurusnya, Dr Jezamine Lim Iskander disambut oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Sebagai pemenang gelaran itu, Harith memperoleh US$100,000 (RM448,000) serta melakukan persembahan komedi dalam jelajah di Amerika Syarikat selain liputan luas media seluruh dunia.

"Peluang untuk ke Amerika serta membuat kira-kira 10 persembahan di sana akan saya gunakan untuk meletakkan lawak solo Malaysia di peta dunia.

"Sewaktu jelajah itu yang akan bermula sebelum Krimas, saya mahu mencipta nama bagi diri sendiri dan Malaysia di pentas antarabangsa.

"Lawak solo Malaysia sangat dikenali di Asia Tenggara dan Asia, inilah masa untuk saya membawa industri komedi negara di pentas dunia," katanya.

Harith menjelaskan lawak solo bukan semudah naik ke pentas dan membuat persembahan di depan penonton, sebaliknya seseorang pelawak perlu menghabiskan berjam-jam atau berbulan-bulan untuk mendapat kemahiran itu selain membaca bagi menambah pengetahuan.

"Saya sering menyediakan jenaka lebih awal, bukannya secara spontan. Setiap kali persembahan, saya merancang dua bulan lebih awal serta mengkaji sesiap penonton saya," katanya.

Mengenai cabarannya di Finland, Harith mengakui bukan mudah menyediakan bahan untuk memenuhi cita rasa penonton antarababangsa, selain berdepan cuaca di bawah 12 darjah celsius di bawah paras beku.

"Tekanan kali ini juga lebih tinggi kerana saya sedar ramai rakyat Malaysia serta penyokong saya tidak sabar menunggu persembahan di sana dan memenangi gelaran itu," katanya.

Harith, yang akan membimbing muka baharu yang berminat menyertai pertandingan itu pada 2018,
menasihatkan mereka untuk terus mengasah bakat dan tetap menjadi diri sendiri sewaktu di atas pentas.
Menurut Harith, beliau ada berbual dengan pengasas dan Presiden Laugh Factory, Jamie Masada untuk membolehkan Malaysia menganjurkan pertandingan Funniest Person in the World pada 2018.

Harith berkata Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz turut menghulurkan bantuan dengan menaja perjalanan dan tempat tinggal, manakala Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak memberikan sokongan moral dan kara-kata semangat kepadanya.-- BERNAMA


Tiada ulasan: