Nuffnang

Pengikut

.

sumber :-

.


Desah derita pelarian Syria menyapa indrasaku

Posted: 26 Dec 2016 05:55 AM PST

CATATAN ISTIMEWA

[kemaskini] Perang saudara yang juga dikenali dengan pemberontakan ke atas kekejaman regim Bashar as-Assad di Syria telah menelan ratusan ribu nyawa dan membentuk jutaan pelarian. Kehilangan dan kemusnahan harta benda usah disebut.

Kesangsaraan dan penderitaan angkara perang itu telah melaut luas dan lebarnya. Konflik saudara itu menyebabkan lebih sejuta rakyat Syria yang tidak berdosa dan bingung dengan kejadian itu menjadi pelarian. Mereka mengungsi meninggal kampung halaman mengelakkan terjebak dalam kemelut perang yang dahsyat.

Kedahysatan perang yang sudah berlarutan lebih setengah sedekad sampai ada yang meramalkan ia menjadi api pemula perang dunia ketiga dan membayangkan khiamat hampir tiba? Nauzubillah Minzalik. Belum ada petanda yang ia akan tamat.


Dengan apa yang terjadi di Syria terbaharu di Aleppo awal bulan lepas menjadikan mereka (rakyat) keliru, tidak tahu apa yang perlu dibuat. Apakah mereka perlu berada dalam "zon" kepungan (kampung halaman mereka) atau mengambil sikap "bersubahat" bangkit menentang regim Bashar bersama pemberontak?

Kekeliruan yang diplotkan oleh pihak tertentu menjadikan mereka (rakyat) tidak dapat menentukan pihak mana yang benar dan pihak mana yang celaka. Apakah si pemberontak atau pun kerajaan, regim Bashar Assad? Mereka berada dalam kebuntuan dan kehilangan petanda apakah jalan yang mereka jejaki menuju syurga atau negara.

Yang pastinya serangan dan letupan terbaharu di Aleppo itu menambahkan lagi jumlah pelarian dan menjadikan sungai Tigris akan merah dengan darah menjadi makin menyala.

Satu perangkaan menujukan sejak 2011, sebermula meletus api sengketa di bumi anbiya (Syam) itu, membawa lima tahun kemudian seramai 1.9 juta rakyat telah menjadi pelarian manakala ratusan ribu pula maut atau syahid. Mereka meninggalkan kampung halaman yang sudah menjadi padang jarak padang terkukur untuk menyalamatkan diri menuju ke beberapa buah negeri bersempadan dengan Syaria.

Daerah atau mukim bersempadan dengan Syria seperti Lubnan, Jordan, Turki menjadi kawasan perlindungan dan kem-kem pelarian dibina oleh NGO perjuangan dan hak asasi kemanusiaan. Bukan setakat itu sahaja rakyat tidak berdosa itu juga merangkak menyelamatkan diri hingga memasuki ke benua Afrika seperti Mesir dan juga di Eropah.

Menjadi warga pelarian satu pengalaman yang tidak ada buat kita di Malaysia. Kalau pun apa dirasai oleh orang kita hanya menjadi penduduk setinggan sahaja yang kekurangan kemudahan asas, prasarana seperti air, tandas dan lain tetapi tidak pernah terseksa dengan ketiadaan makanan atau diancam iklim sejuk dan berbagai-bagai wabak.

Keadaan itu pun sudah dianggap satu penyeksaan. Perobohan kawasan tinggal oleh PBT sudah dianggap sebagai satu kekejaman dan kezaliman. Sebenarnya halangan dan musibah itu adalah "semut gatal" sahaja jika dibanding apa yang dihadapi rakyat Syria, ia tidak seteruknya dan seazab apa dialami para pelarian.

Ratusan ribu pelarian Syria yang berada di ratusan kem-kem pelarian kecil dan besar di negara-negara berkenan mempameran kehidupan yang dahsyat kerana kerakusan manusia. Kem-kem itu adalah kanvas hidup sebuah penganiayaan dan penderitaan manusia tidak berdosa. Mereka mengalami kesusahan, keselamatan hidup dan kesihatan tidak menentu. Malam siang tanpa ada masa senggang mereka bergelut dengan kepayahan untuk menghela nafas menyambung nyawa.

Hidup mereka sudah tidak ada apa-apa lagi, cita-cita sudah musnah. Hidup hari ini hanya untuk sambung nyawa di hari esok semata-mata. Hari lusa tidak pernah ada dalam hisab mereka. Harapan juga sudah termusnah. Trauma peperangan meleburkan naluri untuk hidup. Apa yang berlaku mereka bertarung untuk survive. Si ayah dan ibu hanya berfikir untuk anak-anak. Kalau mereka mendapat sekeping biskut atau secebis roti mereka akan simpan dan biarkan perut kosong berkeroncong, kerana demi anak di hari esok.

Untuk mereka berkongsi sumbat ke dalam mulut tidak tergamak kerana bimbang hari esok belum tentu mereka akan mendapat secebis makanan jika berlaku ia boleh menyebabkan perit anak akan kekosongan. Hidup dalam himpitan dalam kem begitu serba serbi dicatu, bukan sahaja air dan makanan, bahkan untuk membuang najis juga "dicatu". Apa lagi tidur mereka bukan sahaja tidak disinggahi mimpi, "jenak" jauh sekali.

Kekurangan tandas ada kalanya mereka terpaksa membuang najis di mana-mana sahaja, dikambus dalam debu dan apabila ia kering dan larut tatkala angin bertiup debu najis itu akan meruap masuk ke dalam khemah atau gubuk perteduhan. Suasananya sangat tidak kondusif.

Realiti mereka yang tua, sakit dan uzur banyak mendoakan kematian daripada kesejahtraan Syria. Itu gambaran kesangsaraan dan keputus-asaan mereka selaku pelarian.

Kanak-kanak yang belum baligh mengenai sebuah hidup dan perjuangan, tidak mengerti apa itu tribulasi hidup dan makna sebuah perjuangan. Mungkin beberapa hari saat diheret ibu sambil membibit toys berjalan melarikan diri, mengelak dentuman bom dan hujan peluru mungkin ada ketakutan bersarang di hati ketika itu.

Namun selepas berada di ruang pelarian, berjumpa rakan-rakan sebaya, bertukar-tukar toys, menceritakan kesakitan dan ketakutan yang sudah tegal, keseronokan itu dan cepat meserasi dengan penempatan baharu menyebabkan mereka melupai semua duka, jauh sekali menghitung untuk mencipta hari esok yang gemilang. Selaku kanak-kanak mereka hanya tahu hidup sebagai kanak-kanak berada dalam dunia kesyurgaaanya sendiri.

Sebenarnya kehidupan dalam sebuah kem pelarian serbi serbi kekurangan dan ia boleh diumpamakan penjara terbuka. Apabila sebut dan diertikan dengan sebuah penjara dapatlah dibayangkan bagaimana susah dan perihnya. Malahan berada dalam penjara kandati dikawal oleh warden dengan peraturan ketat lagi baik dari berada dalam suasana kem pelarian.

Di sini serba kekurangan kedaifan. Dengan kemudahan asas terhad, tandas dikongsi dengan ribuan orang, bilik tidur yang sangat daif, kekurangan makanan, lambakan penyakit dan sebagainya menjadikan kem pelarian itu sebagai sebuah penjara yang dicipta dari kerakusan perang, yang mana relatif lebih teruk dan dahsyat dari penjara yang ditadbir dengan peraturan-peraturan ketat itu.

Demikian bayangan dan sangkaan kehidupan dalam sebuah kem pelarian. Rata rata mereka yang berada di permukiman itu, hampir putus asa dan tidak mahu hidup lagi. Meneruskan kehidupan adalah kepayahan. Tetapi dalam geluk suasana itu masih ada yang kuat bersemangat, mengimpikan kepada damai masa lalu kembali bertandang. Mereka berangan-angan untuk pulang semula ke kampung mereka kandati kalau pulang pun sekadar melihat puing-puing kehancuran yang terwujud.

Mengenang dan membayang serta merasai itu menyebabkan saya terpanggil untuk menjenguk ke kem pelarian itu. Mahu melihat dan menyaksi sendiri, mengongsi kedukaan bersama mereka. Merasai sejuk dan dingin salji yang menyelimuti mereka sepanjang malam. Merasai hangat panas api unggul yang nyalaanya tak seberapa. Ataupun mendengar sendiri batuk dan tangis kanak-kanak yang lapar. Merujakan juga untuk melihat kanak-kanak yang tubuhnya berkerangka kerana kekurangan zat makanan.

Selebih dan hakikat tujuan ke sana nanti adalah untuk membahagikan sedikit kebahagiaan yang ada di sini, menyuntik semangat agar tabah melalui kehidupan yang mana semua itu adalah takdir oleh Pengcipta yang dianugerahkan kepada hamba yang disayanginya. Semoga hasrat saya yang akan bersama misi dipandukan Yayasan Darul Hijrah akan menjadi realiti.

Apakah anda tidak mahu membahagikan kedamaian yang dikecapi di sini bersama mereka? Jika ada juga terpanggil anda boleh menghulurkan sumbangsih anda menerusi tabung yang dibuka oleh Yayasan Darul Hijrah. Walaupun RM10 dihulurkan ia akan berkembang menjadi sejuta nikmat buat mereka. Dan saya sendiri telah mengityharkan setiap pembelian buku-buku (yang ditawarkan) RM10 akan dimasukkan ke dalam tabung "Sebak Aleppo".

Dan menjelang Subuh tadi sempat saya lakarkan puisi ini, sebagai persiapan untuk ke sana nanti. Bacalah duhai kekawan semua.

KEPADA PENGUNSIKU.

Rengetan kesejukan
tangisan kelaparan
desah aduhkesakitan,
mengema irama dan lagu pilu pagi ini
menganggu lenaku
kesedihan kalian tiba-tiga
terlahad dalam pusara diri. 

Mata ini sukar beradu 
kedukaan kalian menerjah, mengutir dahan jiwa
pilu memilu bertubi-tubi membedal jantung dan hati
kedukaan kalian meminta minta
kepiluan kalian mengharap sarat.

"Datang dan singgahlah...
kami mahu kongsi sengsara ini
Singgah dan datanglah
saksi kekejaman apa ini..
bahagilah secebis kebahgaianmu" ,

Dalam syahdu sayu malam,
dengan genang air mata
aku nekad
untuk tiba di permukiman kalian
merembaskan kasihan dan kemarahan.

Duhai kawan
di sana pada ruang permukiman mereka
sesungguhnya Tuahan membentang padang pahala buat kita
rebutlah, punggahlah
kerana itu bekalan bernilai.

Teman..
marilah kita bentulkan perjalanan mereka,
kita tegakkan saf saudara
kita bentang langit harapan
kita hamparkan laut kedamaian.

Kita lepas dan merdeka mereka dari segala kedukacitaan 
dan sangsara.
Jangan sesekali merintih nasib menyalah takdir.

Kawan, malam nan damai, hari yang bahagia di sini
iangat ia sebuah anugerah bukan mutlak kita peribadi
atas tali dan garis kemanusiaan
kita harus kongsi bersama mereka.

Dari sudut ini,
terus terngian
esakan tangis anak-anak suci,
kespoian bayu doa ibu-ibu mulia,
- panjang kemudian menghalusi
tenggelam dalam bening fajar menjelma.

Tunggu dan nanti kehadiranku
persinggahan untuk membahagikan kedamaian
mengongsikan kedukaan..

Akan ku lurut sedih mu,
mengelus esakmu
melerai sangsaramu. 

Atas yakin Dia ada
atas percaya Dia berkuasa;
jejari kaki kita pasti bertemu di latar pengungsian itu
tangan kita berjabatan erat
suatu hari yang telah dijanjikan.

MSO
Wangsa Melawati.
Subuh 26 Disember 2016. [wm.kl.9:45 pm 26/12/16]

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT