Ahad, 11 Disember 2016

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Pembangkang tak buat 'surat terbang' sebodoh ini,..

Posted: 11 Dec 2016 12:55 AM PST



Bekas menteri Umno Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa, beliau mempunyai prasangka surat yang kononnya dikeluarkan oleh pejabat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diada-adakan oleh pihak jabatan perang sarap Umno atau BN sendiri.

Semenjak semalam, surat yang kononnya ditanda tangani oleh Ahmad Zahid menjadi viral di media sosial dengan kandungannya yang menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera berundur daripada kerajaan serta melepaskan jawatan.

"Pembangkang tidak mungkin membuat surat terbang yang sebodoh dan semudah ini untuk melagakan Najib dan (Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi).

"Bila membaca sahaja surat terbang (Ahmad) Zahid kepada Najib yang berlogo kerajaan yang disebarkan menerusi internet,saya terus tidak percaya kerana kandungannya amat cetek, tidak munasabah dan tidak serius untuk betul-betul meyakinkan orang ramai apatah lagi orang yang berakal.

"Surat itu menampakkan Zahid membuat pemilihan kabinetnya menggantikan kabinet Najib secara rambang sahaja untuk sebaran dengan pantas, bagaimanapun, tidaklah dapat dinafikan ramai juga yang orang simple minded akan terus percayainya terutama di kampung-kampung," ujar beliau dalam blognya, hari ini.

Semalam, Najib ketika mengulas surat yang sama berkata, helah kotor pembangkang yang cuba melagakan beliau dengan Ahmad Zahid menerusi penyebaran surat palsu bukan sahaja gagal, malah tidak akan sesekali berjaya menggugat perpaduan dalam Umno.

Taktik murahan dengan menyebarkan dakyah palsu kononnya Ahmad Zahid cuba menunjukkan tentangan jelas menunjukkan betapa pembangkang kini berada dalam keadaan amat terdesak.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, surat itu diada-adakan jabatan berkenaan untuk membolehkan tuduhan dilemparkan kepada pembangkang dalam keadaan momentum pemulihan imej Najib dirasakan tinggi setelah berakhirnya persidangan agung Umno baru baru ini.

"Memang benar anggapan saya, belum pun surat layang itu tersebar dengan luas, presiden UMNO yang juga perdana menteri telah membuat penafian dan menuduh pembangkang yang menyebarkan kabar angin itu," tambah bekas ketua pengarang akhbar Utusan Malaysia itu lagi.

Di samping itu, ini juga adalah satu lagi backfirekepada Umno dan kerajaan selepas penarikan balik undangan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ke upacara pengangkatan sumpah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, ujarnya.


Selagi adanya Najib dan Zahid, saya kekal - KP Imigresen

Posted: 10 Dec 2016 08:43 PM PST



Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yakin akan terus mengekalkan jawatannya itu selagi Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memegang kedudukan nombor satu dan dua negara.

Sambil mengakui wujudnya tekanan politik, Mustafar berkata, Ahmad Zahid pernah mengeluarkan kenyataan menangkis khabar angin beliau akan ditukar, memetik laporan Sinar Harian Online.

"Kalau kita rujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid, beliau memberikan panduan dan peluang kepada pihak Imigresen untuk melakukan sesuatu.

"Dahulu pernah ada desas desus yang saya akan ditukarkan. Bagaimanapun beliau (Ahmad Zahid) segera menangkis khabar angin itu dengan menyatakan selagi beliau masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan selagi Najib masih memegang jawatan Perdana Menteri, saya tidak akan ke mana-mana.

"Kenyataan itu dibuat untuk menghilangkan tekanan politik yang kononnya akan menyebabkan saya ditukar.

"Tekanan politik itu memang ada. Bagaimanapun saya dipandu kepimpinan beliau (Ahmad Zahid). Undang-undang tetap tidak boleh dilanggar dan peraturan-peraturan mesti dipatuhi," ujar Mustafar lagi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tekanan politik yang diterima beliau sepanjang menjalankan tugas sebagai ketua pengarah jabatan yang sering terpaling dengan pelbagai kontroversi antaranya menerima suapan dan sebagainya.

Pada masa yang sama, Mustafar berkata, beliau tidak akan berjumpa dengan ejen dan melayan kehendak golongan tersebut sehingga mereka menjadi marah.

"Merekalah yang mulakan khabar angin yang menyatakan saya akan ditukarkan," tambah beliau.

Mengenai ejen yang menggunakan nama pemimpin politik untuk berurusan, ini jawapan Mustafar: "Ya, memang ada yang gunakan nama pemimpin politik. Mereka kata mereka dari syarikat itu dan ini dan cuba menggunakan nama menteri untuk memudahkan urusan."

Jika tiada kuasa undang-undang selakipun, jelas beliau, semua pihak perlu patuh juga kerana sebagai manusia, semua orang dipandu oleh agama.

"Mungkin kerana saya ini kuat menguasakan undang-undang dan siapa yang suka dengan undang-undang? Sebab itulah timbulnya persepsi dan bermacam tekanan.

"Saya difahamkan oleh pegawai-pegawai dulu memang ramai ejen berkeliaran dan sebagainya. Sekarang kita tengok sudah tidak ramai ejen yang ada," tambahnya.

Berkenaan kemasukan pekerja asing yang begitu ramai dan berterusan pula, Mustafar berkata, en, ini adalah tugas jabatan yang diterajui beliau ialah menjaga seluruh 137 pintu masuk sah sempadan negara.

"Imigresen perlu jaga pasport dan sebagainya. Musim cuti sekolah memang satu cabaran. Berbondong-bondong keluar dan masuk di sempadan negara.

"Yang kita nak pastikan adalah kita tidak boleh benarkan orang tidak sah masuk ke sempadan lolos masuk negara kita. Sebab itu kita perlu pastikan setiap aspek butiran dan maklumat diri itu sah dan lengkap.

"Tugasan itu tidak diserahkan kepada pihak lain. Itu memang tanggungjawab kami," tegas beliau.


Najib: Pembangkang cuba rosakkan hubungan saya dan Zahid

Posted: 10 Dec 2016 03:04 PM PST



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa pembangkang cuba merosakkan hubungan rapat beliau dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, perkara itu disebabkan pembangkang cemburu dengan solidariti ditunjukkan Umno pada perhimpunan agung parti itu minggu lalu.

"Tidaklah menghairankan apabila mereka menyebarkan khabar angin dalam usaha untuk merosakkan hubungan rapat saya dan timbalan perdana menteri

"Mungkin pembangkang tersalah anggap perwatakan timbalan perdana menteri dengan beberapa bekas pemimpin parti Umno yang didorong oleh kepentingan peribadi, bukan kepentingan parti atau nasional," katanya dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Najib, pembangkang mencuba pelbagai cara untuk memecahbelahkan hubungan tersebut.

"Tetapi mereka tidak kenal Umno dan kesetiaan anggotanya – mereka yang berdiri di dalam senang mahupun susah bersama parti dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokrasi.

"Pembangkang kini begitu terdesak dan di dalam kucar-kacir sehingga mereka terpaksa bersekutu dengan orang yang memenjara pemimpin mereka sendiri," katanya sambil menggesa anggota Umno berwaspada terhadap 'taktik kotor' pembangkang.

Sejak beberapa hari lalu, sepucuk surat yang dikatakan ditandatangani Zahid tersebar di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Surat berkenaan dikatakan menuntut Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan turut menamakan barisan kabinet bayangan Zahid.

Susulan itu anggota Majlis Tertinggi (AMT) Umno, Tan Sri Noh Omar berkata, penyebaran viral itu tidak ubah seperti 'tindakan pelajar sekolah'.

Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini Zahid menyatakan ikrar taat setianya kepada Najib serta meminta hubungan beliau dengan seorang lagi naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dilaga-lagakan.

Najib dalam ucapan penggulungannya menyatakan tidak pernah meragui kesetiaan Zahid, malah tidak risau sama sekali jika naib presiden Umno itu 'berdiri' di belakangnya.


Tiada ulasan: