Khamis, 1 Disember 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Seperlima Israel terbakar

Posted: 30 Nov 2016 08:37 PM PST

Oleh SUBKY LATIF

SEORANG jamaah di surau memberitahu saya, sebuah bandar besar di Israel terbakar dan api merebak ke beberapa lokaliti. Saya balik melihat stesyen TV CNN. Sepanjang siaran adalah tentang kematian Fidel Castro, pemimpin lbeih setengah abad Cuba. Buka BBC juga tentang kematian Fidel Castro. Al-Jazeera juga tiada berita tentang Israel. Harian yang saya langgan juga tiada mengenainya.
   
Beberapa hari kemudian saya ke kuliah Magrib di masjid. Tok Guru memanfaatkan komputer riba memberi kuliah tentang masjid. Dia menyentuh tentang Masjid al-Aqsa yang baru diharamkan azan oleh Parlimen Israel. Bedebah Israel.
    
Ditunjuknya satu slot sidang Parlimen Israel. Seorang MP Palestin berucap. Muazin dicegah azan di masjid. MP Palestin itu mengambil kesempatan azan dalam perbahasannya. Kecoh. Beberapa MP Israel membantahnya. Dia azan hingga selesai.
   
Kemudian ditayangnya beberapa slot kebakaran di Israel itu. Api menjulang di sana sini. Asap hitam tebal berkepul-kepul di lokasi-lokasi terbakar.  Gerunnya api yang menjilat-jilat bagai menyaksikan suasana dalam neraka.
   
Jika jerebu teruk berhari-hari gara-gara kebakaran di Sumatera sudah menyesakkan nafas kita. Tidak tahu betapa deritanya manusia di tengah selubung asap pekat di setiap lokasi kebakaran Israel itu.
   
Perbandaran yang nahas itu adalah yang ketiga besar di Israel. Api mudah merebak ke lebih 120 lokaliti disebabkan kawasan sekitar penuh pertanian. Tiada berita kematian tetapi mangsa yang dikejarkan ke hospital ramai. Mungkin tidak ramai terkena api tapi lemas asap saja sudah cukup menjadi hospital sesak.
    
Berita amaran itu sudah cukup besar justeru melibatkan seperlima dari negara haram itu.
   
Ia bencana. Bencana ada sebabnya. Gara-gara kezaliman pemerintah dan masyarkat, menentang Allah dan rasul-rasul dan lain-lain. Kekejaman rejim dan rakyat zionis tiada taranya di dunia. Semua bentuk perikemanusiaan dilanggarnya.  Selain dari penindasannya kepada rakya Palestin sepanjang kewujudan negara itu ia adalah ancaman besar kepada penganut agama Allah dan manusia seluruhnya khususnya berjiran dengannya.
    
Kezaliman umat terdahulu habis Allah binasakan seperti kaum Nuh, kaum Aad, kaum Samud dan kaum Luth. Kekejaman kaum zionis ini tidak dibinasakan sedemikian kerana rahmat mereka sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Allah berjanji kepada Nabi, umatnya tidak dibinasakan demikian, tetapi tiada jaminan bala atas onar mana-mana masyarakat.
  
Bala di Israel itu besar, tapi mugkin kecil dibandingkan maksiat umat terdahulu. Dipercayai kebakaran iu adalah jawapan segera dari Allah atas derhaka mengharamkan azan. Israel bunuh warga Palestin dan umat Islam. Bakar rumah, ladang dan harta Arab. Rampas tanah dan usir tuan tanah, jenayah itu adalah terhadap manusia.
   
Tetapi sekatan azan adalah perang terhadap Allah. Kebakaran atas seperlima buminya adalah kecil dan amaran awal. Jika amaran ini tidak diinsafi, Israel akan terbakar seluruhnya, tinggal Yahudi di luar Israel saja dan kembali merempat di serta dunia.
   
Ia bala bagi kaum zionis. Tapi jangan umat Islam gembira atas bala menimpa mereka. Kita bersedih sama seperti bersedihnya Nabi-Nai Nuh, Hud, Salleh, Ibrahim dan Luth atas bala yang ditimpakan kepada umat masing-masing.
   
Semua bala dan laknat itu bukan untuk dipestakan, tetapi ada untuk diinsafi.
   
Manusia termasuk nabi-nabi tidak dapa mengajar musuh-musuh Allah itu. Hanya Allah dapat mengajarnya. Maka ia mengajar semua untuk membesarkan Allah dan membenci kezaliman

Ubat penyakit cintakan dunia

Posted: 30 Nov 2016 04:17 PM PST

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad 

Walaupun kita hidup di akhir zaman, Baginda SAW sudah memberi isyarat apa yang akan berlaku di mana wujud satu penyakit dalam diri umat Islam yang disebut 'wahn' iaitu mencintai dunia dan tidak menyukai kematian.

Topik mencintai dunia ini penting dalam tasauf kerana ajaran Islam tidak mengajar kita mencintai dunia sebaliknya mencintai akhirat yang sepatutnya menjadi tumpuan atau keutamaan.

Dunia membawa makna 'dekat' dan apabila manusia melihat segala perhiasan dunia dengat terlalu dekat, ia menjadi hijab mengaburi daripada memandang akhirat.

Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, dalam rancangan Tarbiyah berkata inilah satu bentuk ujian daripada Allah SWT.
Katanya, Allah SWT ingin menguji adakah manusia benar-benar ingat kepada-Nya atau leka dengan dunia yang dekat pada pandangan mata kasar sehingga melupakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Penyakit wahn

Dalam al-Quran juga ada menyebut apabila manusia menyeleweng daripada jalan lurus, mereka cuba menyalahkan syaitan sedangkan syaitan sendiri berlepas tangan dan tidak mengaku merekalah penyebab kesesatan manusia itu.

Penyelewengan manusia itu disebabkan oleh penyakit 'wahn' yang disebutkan Baginda SAW hingga kerana cinta dunia manusia hilang integriti, runtuh akhlak seperti makan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Baginda SAW turut berpesan supaya menjaga mulut dan kemaluan kerana kedua-dua organ itu menjadi penyebab manusia dihumban ke neraka. Sesiapa yang menjaganya, Baginda SAW memberi jaminan bahawa dia akan selamat.

Mereka yang tidak menjaga mulut ialah orang yang suka berbohong serta tidak memegang janji seperti mana maksud hadis yang menyebut tanda orang munafik itu ialah yang tidak berpegang kepada janji dan berbohong.

Justeru, sikap umat Islam yang mengamalkan rasuah, berakhlak buruk, hilang integriti dan lain-lain itu adalah manifestasi daripada penyakit hati sementara ilmu tasauf disusun bagi membanteras penyakit itu.  

Beza nama, erti sama

Ilmu tasauf wujud di awal Islam lagi walaupun pada ketika itu mungkin tidak dinamakan ilmu tasauf sebaliknya dikenali sebagai ilmu tazkiyatul nafsi, penyucian hati dan seumpamanya. Hakikatnya ilmu tasauf telah lama wujud.

Nabi SAW bersabda: "Ketahuilah bahwa dalam jasad itu terdapat segumpal darah, yang apabila ia baik maka baik pula seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan tasauf sebagai pengamalan syariat pada maqam ihsan. Oleh itu, dapat difahami tasauf adalah sebahagian daripada syariat.

Mereka yang mentohmah tasauf sebagai pengaruh asing, luar, bidaah, dan bukan ajaran Islam sebenarnya keliru dan tidak memahami hakikat tasauf serta tidak merujuk kepada ajaran tasauf itu.  
Timbulkan kesedaran

Produk daripada tasauf itu ialah akhlak yang mulia. Apabila sebahagian kelompok manusia menolak tasauf, maka mereka telah mengenepikan akhlak dan lebih menjurus kepada perkara bersifat hukum hakam serta persoalan remeh temeh.

Apabila kita mahu merubah manusia, perkara biasa terfikir oleh kebanyakan orang ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang menyekat manusia. Tasauf berbeza dan ia tidak mendidik manusia takutkan undang-undang sebaliknya menimbulkan kesedaran daripada dalam diri.

Manusia tidak melakukan perkara dilarang dalam Islam bukan kerana takutkan undang-undang atau pihak penguatkuasa tetapi menginsafi Allah SWT itu Maha Melihat dan berdosa jika dilakukan perkara itu.

Hari ini, disebabkan pengabaian terhadap ilmu tasauf, keruntuhan akhlak seperti buang bayi dan juga kehilangan integriti seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa.

* Penulis ialah Pengarah Pusat Media IKIM




















Tiada ulasan: