Khamis, 29 Disember 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Antara perang sekta dan catur kuasa di Syria (Siri 2)

Posted: 29 Dec 2016 08:09 AM PST

Analisis Krisis 

 Analisa krisis bermula dengan menggariskan beberapa premis yang jelas dari pemahaman kita kepada latarbelakang kerangka besar yang melatari konflik di Timur Tengah. Secara rumusannya konflik di Syria difahami atas fahaman berikut;

 1. Ianya geo-politik dalam membentuk pemetaan baru setelah berakhirnya perang dingin dalam usaha mencari sumber tenaga (minyak dan gas) serta akses laluan bagi menyalurkan bekalan tersebut untuk ekonomi kuasa besar yang berebut punca yang sama.

 2. Dasar keselamatan Amerika adalah memastikan Israel terus wujud sebagai keseimbangan kuasa negara Arab, khususnya dengan kemunculan Iran maka Syria dan negara berstrategik lain menjadi medan untuk memastikan dasar perlindungan ke atas Israel terus berfungsi dengan baik. 

 3. Pemetaan baru bermakna meluaskan wilayah Timur Tengah dengan nama Timur Tengah Raya, membahagikan sesuatu negara kepada pecahan-pecahan autonomi ataupun menggantikan regim yang sedia ada kepada yang mesra keperluan strategik kuasa besar. 

 4. Perebutan antara Amerika, Rusia dan China membuka ruang kepada pemain kecil dari negara lain untuk menjadi pendesak atau penentu kepada kejayaan perebutan ini di rantau Timur Tengah. Sebab itu Iran, Saudi, Turki, dan negara Asia Tengah menjadi sebahagian daripada 'pemain' dalam percaturan ini. 

5.Faktor kepuakan, kekelompokan dan mazhab merupakan peluru berkesan untuk kejayaan taktikal (operasi) bagi menimbulkan huru-hara, mengalihkan isu sebenar ataupun sekadar menyemarakkan sentimen dalam pendapat awam justeru memecahbelahkan dunia Islam. 

 6.Kerangka besar ini menjadikan peperangan ke atas pengganas Islam sebagai kambing-hitam untuk mewajarkan pelanggaran, penjajahan dan campur tangan ketenteraan agar pelan induk kuasa besar mudah dilaksanakan. Sesetengah kelompok pengganas ini ditaja oleh kuasa besar ini. 

  Sikap & Prinsip

Dengan latarbelakang dan analisa kepada krisis Syria dan keseluruhan Timur Tengah, kita sepatutnya mengutuk permainan kuasa besar dunia mencaturkan wilayah Timur Tengah sehingga membawa kepada kancah peperangan yang panjang.

 Sebagaimana pada waktu yang sama, kita harus berani mengkritik sikap negara-negara Islam sendiri dan cara bagaimana kita memahami agama sendiri secara sempit yang menyumbang kepada keadaan menjadi lebih buruk.

 1. Krisis Syria dan Timur Tengah menelanjangkan wajah sebenar kuasa besar yang penting diri dan bersikap unilateral kepada kebimbangan warga dunia yang mahukan kehidupan atas dasar menghormati wilayah berdaulat masing-masing. Ketamakan untuk menguasai sumber dan akses laluan disembunyikan dengan sentimen peperangan melawan pengganas, membawa kebebasan dan demokrasi yang pada hakikatnya untuk mengaut untung dan dibawa balik untuk kegunaan rakyatnya atas penderitaan mangsa perang. 

 Strategi ini saling tak tumpah seperti strategi penjajahan dunia Eropah ke atas dunia Islam pada kurun ke-15 kononnya atas nama menyambung peperangan salib di Timur setelah mereka kalah dengan kuasa Islam di Timur Tengah, hakikatnya penjajahan zaman itu adalah untuk mencari sumber memenuhi keperluan Barat yang baru bangkit dari lena panjang mereka. Geo-politik ini adalah sumber konflik dan peperangan. 

 2. Strategi besar kuasa besar menimbulkan suasana berbunuhan sesama kelompok yang asasnya mempunyai tujuan yang sama iaitu menuntut kebebasan dari pemimpin diktaktor yang zalim. Kuasa besar membekalkan senjata pada kelompok ini dan menghasut antara satu sama lain agar mereka berperangan sesama mereka sedangkan pada satu pihak memperkukuhkan pemimpin yang zalim atas nama memerangi keganasan.

 Inilah yang berlaku kepada Syria, Libya, Mesir dan Iraq. Huru-hara yang dirancang ini amatlah menjijikkan - lihat bagaimana Bashar dipertahankan oleh Rusia manakala Amerika membekalkan senjata kepada puak yang bertelagah dan dalam runtuhan itu orang awam menjadi mangsa. Kefasadan ini amat dilarang oleh Islam demi kemanusiaan sejagat (Rahmatan lil 'alamin).
 "Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi. (Al Maidah 5:32)
 3. Kuasa besar tidak peduli kepada pembunuhan kanak-kanak yang tidak berdosa, wanita yang kehilangan suami dan orang-orang tua yang menjadi mangsa perang asalkan cita-cita dan agenda mereka tercapai.
 "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (Al-Qasas 28:77) 
 4. Tanpa mengira mazhab atau agama, setiap pembunuhan orang awam itu adalah dilarang sama sekali atas apa juga kewajarannya kecuali kepada combatant (tentera yang berperang). Tidak timbul samada ianya perbuatan dari Syiah mahupun Sunni mahupun dari agama lain. Perbuatan keji itu harus dilihat atas perbuatan dan bukan siapa yang melakukan kerana jika kita melihat pelakunya, berkemungkinan kita tidak marah jika mangsa adalah dari mazhab lain dari kita. Ini satu kesilapan besar dalam prinsip Rahmat ISLAM yang diperjuangkan.
 "Dan janganlah kamu taati perintah orang-orang yang melampaui batas; Iaitu orang-orang yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan." (Asy-Syu'araa' 26:151-152)
 5. Setiap tawanan ataupun orang awam tertakluk kepada kod peperangan yang perlu diberi layanan kemanusiaan. Dalam Islam tawanan perang dan orang awam, mereka wajib diperlakukan atas nilai-nilai kemanusiaan kerana peperangan dalam Islam bukan atas kebencian dan kemarahan tetapi atas mempertahankkan prinsip, maka sebab itu adanya keterbatasan kepada ungkapan "...janganlah kamu melampaui batas..."
 "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." (Al Baqarah 2:190)
 6. Rumah-rumah ibadat dan mereka yang sedang beribadat dalamnya dilarang dihancurkan dan dibunuh pengunjungnya. Apa yang berlaku dalam kegilaan perang di Timur Tengah ialah kemusnahan rumah ibadat, pembunuhan ke atas penganut agama lain atas kebencian agama dan ia dilarang oleh Islam dan harus dikutuk atas nama kemanusiaan juga. 

 7. Kita juga harus mengutuk mereka yang mengapikan kebencian agama dan mazhab kerana sentimen ini menajamkan kebencian hubungan Sunni-Syiah, Islam-Kristian, Islam-Yahudi dan akan melebarkan kebencian ini di luar daerah konflik justeru mencacatkan usaha hubungan damai antara agama. Apa sahaja jenayah yang dilakukan penganut sesuatu agama tidak boleh dihukum secara umum bahawa ia adalah dorongan dari agama tersebut. Pembunuh, perosak dan pengganas tidak ada agama atau mazhab kerana ia bukan arahan mana-mana agama atau mazhab, ia hanyalah dibuat atas wajah agama pada hakikatnya tersembunyi cetusan rasis perkauman dan kesempitan fahaman agama. Oleh itu menentang fahaman kebencian antara mazhab dan agama adalah tanggungjawab bersama bagi menjaminkan keamanan dalam jangka panjang di rantau Timur Tengah.

 "Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan." (Al-An'aam 6:108)

 8. Pemimpin diktator termasuk Bashar dan yang masih berkuasa di Timur Tengah harus diganti dengan kehendak rakyat melalui pemulihan demokrasi untuk persediaan pemilihan secara demokratik. Parlimen perlu berfungsi dan tanggung jawab kerajaan kepada kebajikan, infra dan pendidikan perlu dipulihkan. Kesengsaraan yang menimpa di Timur Tengah adalah kerana kediktatoran dan penindasan kepada suara rakyat dan ini turut melahirkan keganasan kerana kekecewaan kepada sistem negara yang tidak berfungsi menjadi alat kepada kehendak kuasa besar. Setiap wilayah adalah kedaulatan yang perlu dihormati dengan memberikan rakyat kuasa menentukan masadepan negaranya secara demokratik dan bukan menjadi bidak-bidak pencatur kepentingan pihak tertentu.
 "Dan kaum Fir'aun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak), Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri, Lalu mereka berbuat banyak kerusakan dalam negeri itu." (Al Fajr 89:10-12)
 9. Timur Tengah kaya dengan khazanah ketamadunan yang bersendikan toleransi dan hormat-menghormati dengan wujudnya kepelbagaian. Merangkuli kepelbagaian melahirkan Timur Tengah yang mewah dan membangun. Lahirnya kediktatoran, rasisme dan pelampau agama akan merosakkan beribu tahun khazanah nilai ketamadunan yang pernah diasaskan oleh ketiga-tiga agama samawi di rantau ini iaitu, Yahudi, Kristianiti dan Islam. Kebebasan beragama adalah asas tertegaknya ketamadunan dulu kini dan selamanya, asas ini jika hilang akan membawa kepada pembunuhan atas nama agama dan mazhab seperti yang pernah berlaku dalam sejarah hitam Yahudi, Kristian, dan Islam. Pemimpin terdahulu khususnya Salehudin Al Ayubi, St Francis dan lain-lain memelihara asas-asas berdialog, menghormati agama lain dan menentang penindasan atas nama agama. 

 10. Bahayanya pemikiran dan doktrinasi "Barat melawan yang lainnya" (The West vs The Rest) atau "Islam melawan dunia Barat" (Islam vs West) kerana ia akan membawa kepada 'zero sum game' (sama ada kau hancur aku menang atau kau menang aku hancur). Apa yang perlu dibawa adalah "kita bersama melawan kerosakan dan tirani" (Us vs Destruction and Tyranni) bagi memberi laluan kepada kemanusiaan dan kebebasan bermaruah.
 "Janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi setelah ianya dibaiki dan dipulihkan, maka minta dan serulah kepadaNya dalam keadaan penuh harapan, sesungguhnya Rahmat Allah itu hampir untuk golongan Muhsinin..." (Al A'raf: 56)
  Penutup 

 Isu Syria akan berpanjangan selagi ide dan operasi pemetaan semula Timur Tengah dilaksanakan. Sememangnya kita sedih isu kebencian mazhab Sunni lwn Syiah diperbesarkan, namun seharusnya kita lebih sedih kepada kegagalan kita memahami percaturan kuasa besar dan kegagalan umat Islam merentasi mazhab membela mangsa kemusnahan dan peperangan. Watak penguasa atau 'state actor' tidak semestinya mewakili kehendak awam, ramai di kalangan rakyat Amerika dan Rusia menentang dasar negaranya dan tentunya ia memberi kesan kepada politik dalaman kuasa besar.

 Begitu juga, di peringkat pengikut mazhab masing-masing, tindakan watak penguasa tidak semestinya didokong oleh mereka. Apa yang sepatutnya menyatukan warga dunia dalam kes Syria ialah kekuatan bersatu atas perasaan kemanusiaan merentasi mazhab dan agama serta melihat ianya sebagai krisis kemanusiaan yang paling kritikal untuk diperjuangkan bersama. Sunni atau Syiah, Kristian atau Yahudi malah Islam sekalipun pembunuhan dan melakukan fasad harus ditentang secara bersama jikalau kita seorang insan yang punya maruah dan kemuliaan.
 __________________ 
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Naib Presiden Amanah, Ahli Parlimen Malaysia dan Ahli Eksekutif Kesatuan Parlimen Negara-Negara Islam (PUIC). Artikel ini diolah berdasarkan buku terbaru beliau, "Islam Bukan Agama Teroris: Islamfobia, Pertembungan Budaya dan Perang Global Terhadap Keganasan" terbitan ILHAM Books. ~ sumber

Tiada ulasan: