Jumaat, 23 Disember 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


KONFLIK DI SYRIA - SIKAP GERAKAN ISLAM

Posted: 22 Dec 2016 11:48 PM PST

Oleh: Dr. SYED AZMAN SYED AHMAD

Lebih 1 juta rakyat Syria menjadi korban kezaliman Rejim Basyar Assad yg di bantu
oleh negara Iran, Hizbullah Lubnan dan Russia dalam konflik di Syria dan Yaman.
Saya menerima banyak panggilan dan pertanyaan tentang isu kehadiran Presiden Pas Dato Seri Abdul Hadi Awang yang juga Timbalan  Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (sebenarnya Naib sahaja - admin) ke Muktamar Taqrib di Tehran pada minggu lepas.

 Pada mulanya saya tidak beminat untuk sama-sama terpalit dalam kancah pertembungan media baru yang sudah sampai pada tahap yang amat menggerunkan ini.

 Namun teman-teman dari dalam dan luar negara bertali arus menghantar mesej melalui WhatsApp serta menalipon tentang sikap sebenar pimpinan gerakan Islam tentang hal ini. Ini adalah kerana ianya mempunyai kaitan rapat dengan konflik yang sedang berlaku di dunia Arab terutamanya di Syria, Yaman dan Irak.

 Terlalu banyak mereka yang membuat ulasan terutama melalui media baru tentang apa yang berlaku ini. Ada yang berhujah secara ilmiah, ada yang beremosi dan ada yang secara terbuka menggunakan kata nista antara satu sama lain bagi menegakkan kebenaran yang masing-masing yakini.

 Rata-rata ulasan dan komen menggambarkan realiti betapa tenatnya tahap pemikiran sesetengah kalangan terutama dengan apa yang sebenarnya di hadapi oleh Umat Islam di negara kita sendiri.

 Untuk tatapan umum, berikut saya gariskan secara ringkas apakah sikap sebenar ulama-ulama muktabar serta pimpinan gerakan Islam tentang krisis yang sedang berlaku di Syria dan Dunia Arab;

 1.Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS)

 Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Setiausaha Agungnya Dr. Ali al-Qaradaghi membantah Lawatan Sheikh Abdul Hadi Awang Ke Tehran.

 i. Lawatan beliau ke Iran Tidak Mewakili Kesatuan Ulama Islam dan menganggap lawatan tersebut adalah lawatan yang tidak sah daripada mana2 kakitangannya dan ia tidak mewakili sesiapa selain orang yang melaksanakannya.

ii. Iran memainkan peranan jahat dan membunuh keluarga kita di Halab/Aleppo khasnya dan Syria amnya.

iii. Ketamakan Iran terhadap wilayah2 termasuk Iraq dan Yaman.

iv. Beranggapan bahawa Iran mempunyai agenda 'Ketamakan Sektarian'.

v. Dan ia tidak lupa peristiwa2 yang dilalui umat Islam, sungai2 darah yang mengalir di Halab/Aleppo dan jutaan mangsa bunuh, cedera, terpenjara, pelarian daripada kalangan orang-orang Syria di merata tempat.

 Sheikh Qaradawi juga bersikap;

i. Menolak keras penglibatan Iran dan Pergerakan Hezbullah Lubnan dalam konflik di Syria dan Yaman

ii. bersikap bahawa dalam keadaan yang ada sekarang usaha Taqrib mazahab adalah kerja sia-sia kerana Iran mempunyai agenda politik mereka yang bersifat sektarian.

2. AL-IKHWAN MUSLIMIN

i. Membantah dengan keras rejim Basyar Assad yang memenjara dan membunuh ribuan rakyat mereka yang bangkit menentang rejim.

ii. Membantah dengan keras penglibatan Iran dan Hizbullah Lubnan secara ketenteraan terutama dalam konflik di Syria dan Yaman.

iii. Juga beranggapan bahawa Iran mempunyai agenda 'Ketamakan Sektarian'.

3. Harakah HAMAS dan Jihad Islami Palestin

i. Menutup pejabat mereka di Damsyik dan semua pimpinan tertinggi mereka berpindah keluar dari Syria sebaik sahaja berlaku konflik berdarah di Syria. 

ii. Membantah kekerasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Basyar Assad terhadap rakyat mereka sendiri.

iii. Membantah penglibatan Iran dan Hizbullah Lubnan dalam konflik di Syria dan Yaman. Namun dari sudut diplomasi, kedua-dua pertubuhan ini masih mengekalkan pejabat wakil mereka di Tehran sehingga kini.

 Perlu diingat bahawa dalam konflik di Syria ini, selain dari Sheikh Yusuf Qaradawi, ulama-ulama lain seperti Sheikh Rached Ghanoushi dan kebanyakan ulama-ulama besar dari Syria sendiri serta pimpinan gerakan Islam di Moroko, Yaman, Sudan dan pergerakan Jamaat Islami dan Ikhwan Muslimin diserata dunia SECARA JUMHUR MENOLAK rejim Basyar Assad di Syria.

 Mereka juga membantah keras pendekatan yang diambil oleh Iran dan Hizbullah Lubnan yang terlibat secara ketenteraan dalam konflik di Syria dan Yaman.

 Bagi pimpinan gerakan Islam dunia tidak timbul langsung soal konflik yang berlaku ini adalah persoalan 'KHILAF' atau 'IJTIHAD POLITIK" maupun 'TA'AWUN' bagi mengelakkan perpecahan.

 Bagi pimpinan gerakan Islam tiada sebarang keraguan mengenai peranan Iran dan Hizbullah Lubnan untuk membantu regim Al Assad supaya terus berkuasa dan membunuh Umat Islam di Syria.

 Ingat! Kita sedang berhadapan dengan musibah Ummah yang amat parah. Darah Umat Islam sedang mengalir dengan harga yang amat murah diserata Dunia.

 Renunglah apa yang sedang berlaku di Syria, Yaman, Libya, Irak dan Afghanistan.

 Di bumi Syria sahaja sudah lebih 1 juta saudara-saudara kita menjadi korban konflik yang tidak menampakkan kesudahan. Lebih 6 juta rakyat Syria kini menjadi pelarian dan merempat di pelbagai negara.

 Saban hari anak kecil di bunuh, ibu-ibu dibom, isteri kehilangang suami dan anak-anak kehilangan bapa. Semua ini berlaku di hadapan mata kita 1.7 bilion umat Islam.

 Dimanakah Maruah dan ezzah kemuliaan kita?

 Apakah kita di Malaysia ini masih mahu menggigit jari dah terus bercakaran di media sosial dengan sesuka hati melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah yang amat berbisa?

 Ya; saya memahami pendirian yang diambil oleh DS Abdul Hadi Awang. Walaupun saya telah lebih setahun tidak bersama dengan Pas, saya sendiri telah banyak kali bersama beliau menghadiri program Muktamar Taqrib ini di Tehran dan bertemu dengan pimpinan Iran termasuk bekas Presiden Khatami, Ahmadinejad dan Ayatullah Khamenaie sendiri. Begitu juga kami bertemu dengan pimpinan Hizbullah Hassan Nasrullah di Beirut. Bagi saya apa jua perbezaan yang ada saya tetap menghormati pendirian yang diambil oleh beliau.

 Ambilah perdirian yang tersendiri. Akan tetapi jangan sekali-kali kita cuba memburuk-burukkan pihak lain termasuk para ulama' yang muktabar seperti Sheikh Qaradawi dan Sheikh Ghanoushi dan jangan sekali-kali cuba mengheretkan mana-mana pihak lain termasuk pergerakan Ikhwan atau Hamas untuk disamakan dengan sikap kita ini.

 Kepada semua, termasuk para ulama-ulama, guru-guru dan anak muda yang berkobar-kobar semangat mereka, cukup-cukuplah kita mencaci maki, memanggil teman-teman yang kita pernah bersama sejak berpuluh-puluh tahun berkorban dan bersama merasa susah jerih perjuangang ini dengan panggilan keji dan nista.

 Apakah kita merasakan kita 'lebih suci' dari mereka kerana kita adalah golongan Al-Azahari atau Al-Baghdadi atau Al-Sudani dan berhak mencaci maki mereka? Apakah kita merasakan kita sahaja berjuang di jalan Allah?

 Hentikan memanggil sahabat kamu sendiri sebagai 'penkhianat', 'barua', 'golongan terlaknat'.

 Perbezaan tidak semestinya melelaikan ukhuwah yang telah terbina sejak berpuluh-puluh tahun. Ingat kita semua adalah pendakwah dan bukannya penghukum.

Persoalan politik pula berkait rapat dengan Màsalih. Ia bukan untuk membina kebencian dan permusuhan tetapi adalah untuk menjaga kepentingan rakyat umum dan ia sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Hormatilah apa jua perbezaan yang ada.

 Ingat! Islam itu adalah kerahmatan dan membawa rahmat kepada seluruh Alam.

Cuba cerminkan diri kita sendiri dengan ingatan tokoh terkenal Abu Qilabah:

"Apabila sampai kepadamu tentang saudaramu sesuatu yang kamu tidak suka maka carilah untuknya justifikasi sedayamu. Sekiranya kamu tidak menemui sebarang justifikasi maka sebutlah pada dirimu: barangkali saudaraku mempunyai justifikasi yang tidak ku ketahui"

 فأين نحن من قول أَبِي قِلابَة، : " إِذَا بَلَغَكَ عَنْ أَخِيكَ شَيْءٌ تَكْرَهُهُ ، فَالْتَمِسْ لَهُ الْعُذْرَ جَهْدَكَ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدْ لَهُ عُذْرًا ، فَقُلْ فِي نَفْسِكَ : لَعَلَّ لأَخِي عُذْرًا لا أَعْلَمُهُ " 

Di manakah kita berbanding apa yang diriwayatkan daripada Umar radiyallahu anhu:

"Janganlah kamu berikan sangkaan jahat terhadap satu kalimah yang keluar daripada saudaramu sedangkan kamu mendapati ada ruang untuk diberikan sangkaan yang elok"
 و أين نحن مما روي عن عمر رضي الله عنه أنه قال: "لا تظن بكلمة صدرت من أخيك شرا وأنت تجد لها في الخير محملا" والله المستعان. 

Dr. Syed Azman Syed Ahmad.
Pengerusi Asia Forum for Peace & Development (AFPAD).
23hb. Disember 2016.

Berbondong-bondong ahli Amanah keluar parti ... Amanah dibubar!!

Posted: 22 Dec 2016 05:00 PM PST


  Amat tepat sekali ramalan Hj Hadi tehadap penubuhan parti Amanah Negara yang katanya tidak akan bertahan lebih dua tahun. Berbondong-bondong ahli Amanah telah keluar parti dan menyertai semula parti lama mereka iaitu Pan Malaysian Islamic Party.

  Ini adalah berikutan berita yang dilaporkan oleh sebuah media sosial bertajuk " AMANAH pertahan lawatan Hadi ke Iran".

  Sehubungan dengan itu, parti Amanah Negara terpaksa dibubarkan.... Inilah berita yang ditunggu-tunggu dan diharapkan akan berlaku selama ini oleh para pengikut taksub Hj Hadi.

Berikut kenyataan Amanah berhubung fenomena kejadian tersebut :

KENYATAAN MEDIA PENDIRIAN AMANAH BERHUBUNG KEHADIRAN KE MUKTAMAR PERPADUAN UMMAH DI TEHRAN

 1. Ada portal berita yang telah meletakkan tajuk berita "AMANAH pertahan lawatan Hadi ke Iran". Namun apabila isi kandungan berita tersebut dibaca, tiada terdapat walaupun satu ayat yang menyatakan sokongan terhadap lawatan tersebut.

 2. Presiden AMANAH Tn Hj Mohamad Sabu, sekadar menceritakan latar belakang program tersebut. Ianya merupakan program tahunan sempena Maulidur Rasul di mana Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah hadir hampir setiap tahun sejak ianya dimulakan 30 tahun dahulu.

 3. Apabila Penasihat Umum AMANAH Ustaz Ahmad Awang ditanya pandangannya mengenai kehadiran Abdul Hadi pada program tersebut, beliau menjawab "itu hak dia".

 4. Presiden dan Penasihat Umum AMANAH sengaja tidak mahu menjawab dengan lebih panjang lagi. Jawapan yang diberikan bukan satu pembelaan atau sokongan terhadap lawatan Abdul Hadi. Ianya sekadar jawapan ringkas kerana tidak mahu dilihat 'mengambil kesempatan' mengkritik tindakan Presiden Pas itu demi keuntungan politik.

 5. Memadai untuk dijelaskan bahawa Ustaz Ahmad Awang dan Timbalan Penasihat Umum AMANAH Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin telah juga menerima jemputan untuk hadir ke program berkenaan. Kedua-dua mereka bagaimanapun tidak hadir.

 6. AMANAH berpandangan bahawa menghadiri 'Muktamar Perpaduan Ummah' dan beramah mesra dengan pimpinan Iran di waktu rakyat Syria khususnya di Aleppo dibunuh adalah satu tindakan yang tidak wajar. Diharapkan dengan penjelasan ini dapat menjawab segala kekeliruan terhadap pendirian AMANAH berhubung kehadiran di program Perpaduan Ummah di Tehran itu.

 Harapan Baru

KHALID ABD SAMAD 
Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Negara. 
22 Disember 2016 ~ sumber

Tiada ulasan: