Rabu, 9 November 2016

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


BERSATU DENGAN TALI ALLAH

Posted: 09 Nov 2016 02:36 PM PST



BERSATU DENGAN TALI ALLAH

Tuan Guru Haji Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS

AQIDAH menjadi tali penghubung yang mengikat hubungan antara sesama manusia yang lebih kuat dari ikatan dan pertalian darah dan keturunan. Inilah yang disebutkan oleh Allah bahawa setiap orang Mukmin adalah bersaudara, dan hubungan mereka seperti susunan batu-bata dalam binaan sebuah bangunan. Mereka saling kukuh-mengukuh antara satu sama lain.

Dalam sejarah Islam, ia bermula dalam sebuah masyarakat yang begitu fanatik dan taksub perkauman dan perpuakan. Islam datang dengan menyatukan seluruh perbezaan darah dan keturunan kepada persamaan aqidah. Semangat perkauman yang kuat sebelum ini telah luntur akibat kekuatan iman sehingga para Sahabat yang berkulit hitam dari Habsyah seperti Bilal bin Rabah dan Sahabat imigran dari Yaman seperti Ammar bin Yasir mendapat kemuliaan setanding bangsawan Quraisy.

Kerana iman yang menjadi asas perpaduan, tidak ada lagi rasa terpisah antara golongan bangsawan dengan hamba sahaya. Persoalan kelas ekonomi dan sosial telah diruntuhkan oleh kekuatan iman. Golongan hamba sahaya dan orang miskin yang selama ini dipandang jijik oleh bangsawan Quraisy Mekah, telah mula mendapat pembelaan di atas semangat iman sehingga Abu Bakar mengorbankan hartanya bagi memerdekakan Bilal.

Kita sudah biasa mendengar nama-nama seperti Salman al-Farisi, Suhaib ar-Rumi, Bilal al-Habsyi dan lain-lain yang menunjukkan mereka bukan berbangsa Arab. Bahkan, di kalangan Ansar wujud Aus dan Khazraj, manakala tidak kurang juga Bani Israel dari keturunan Qainuqak, Quraizah dan Nadhir yang beriman. Mereka disatukan oleh Rasulullah SAW bersama Muhajirin dari Mekah dengan hablillah (tali Allah), sehingga menjadi sumber kekuatan dalam kebangkitan Islam.

Inilah kekuatan iman yang bertunjangkan tali Allah. Apakah tali Allah? Itulah Islam, agama suci yang menjadi cara hidup yang sempurna untuk manusia. Orang-orang yang telah beriman, diperintahkan oleh Allah supaya berpegang teguh dengan tali Allah dan jangan berpecah-belah. Islam menjadi asas yang menyatukan semua orang beriman. Perbezaan kerana warna kulit, daerah, status ekonomi, keturunan, bahkan pegangan politik tidak sepatutnya mengasingkan kumpulan-kumpulan orang yang beriman.

Sebagai mana kita merasai manisnya iman apabila mengenangkan nasib saudara seagama di Palestin, Chechen, Kashmir, Bosnia, Rohingya dan lain-lain, sehingga kita sanggup menghulurkan bantuan, menyuarakan tuntutan dan membela nasib mereka, begitulah sepatutnya rasa keimanan berkembang dalam diri kita. Kita tidak pernah mengenali atau bertemu dengan saudara seaqidah dari Chechen dan Bosnia, tetapi kita menyatakan solidariti. Kenapa?

Nah! Hari ini di hadapan kita orang Melayu menjadi bangsa yang beragama Islam. Bangsa-bangsa lain seperti Cina, India dan Bumiputera juga mempunyai minoriti Islam. Telah lama kita dipisahkan oleh dasar pecah dan perintah penjajah. Islam menyerukan perpaduan semua manusia atas semangat taaruf, sedangkan Islam memerintahkan orang yang beriman bersatu atas dasar aqidah (hablillah). Perbezaan sedia ada tidak menjadi halangan kerana kita mempunyai 'penawar' yang menyatukan iaitu Islam.

PAS telah mendukung Islam sebagai cara hidup yang syumul meliputi soal politik, ekonomi dan sosial. Islam yang diperjuangkan oleh PAS bukan hanya ibadat dan ritual semata-mata, tetapi sebagai sistem hidup. Dalam pada itu, terdapat kumpulan-kumpulan politik dan NGO yang turut disertai oleh umat Islam. Umat Islam hari ini ada dalam Umno, PKR, Bersatu, PAN, DAP dan lain-lain. Kita memperkatakan tentang kerjasama dan perpaduan. Tetapi mengapa umat Islam tidak mahu menjadikan Islam sebagai asas penyatuan mereka?

Jika kita bersedia memilih Islam sebagai alat menyatukan kita, sudah pasti umat Islam boleh menjadi kuat dan kukuh. Kita lupakan dahulu soal semangat kebangsaan atau ideologi yang kita anut, sebaliknya kita kembali kepada Islam sebagai tali Allah. Atas dasar iman, kita telah diperintahkan bersatu dan dilarang berpecah belah. Orang-orang Islam dalam PAS, Umno, PKR, Bersatu, hatta DAP dan PAN juga sewajarnya bersatu hati atas nama Islam, dan melupakan semua kepentingan sempit.

Saya menyeru semua umat Islam dan mereka yang beriman, khususnya di negara ini, supaya bersatu dengan berpegang teguh pada tali Allah. Kita kembalilah kepada Islam yang sebenar dan kita binakan kekuatan melalui perpaduan atas nama Islam. Kerjasama politik atau tahaluf siyasi adalah ruang yang sangat terbuka untuk semua orang, tetapi ia mestilah didasarkan atas nama Islam dan dipimpin oleh Islam. Bergerak di atas dasar al-Quran dan Sunnah akan menyatukan seluruh perbezaan kita dan mengembalikan kekuatan kepada kita!

https://pas.org.my/arkib/mursyidulam/9888-bersatu-dengan-tali-allah

Trump Menang Pilihan Raya Amerika Syarikat

Posted: 09 Nov 2016 12:31 AM PST



Trump Menang Pilihan Raya Amerika Syarikat

9 NOV : Calon Parti Republikan, Donald Trump akan menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-45 selepas berjaya memenangi pilihan raya negara itu dengan menewaskan calon Demokratik, Hillary Clinton pada Rabu.

amerikaTrump akan mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu pada Januari tahun depan.

Kemenangan jutawan tersebut mengejutkan banyak pihak yang pada awalnya meramalkan Clinton akan memenangi pilihan raya Presiden, malah pasaran saham dan mata wang global juga menerima kesan daripada keputusan tersebut.

Sebelum ini, kebanyakkan peramal juga pada awalnya menjangka Clinton akan memenangi pilihan raya kali ini.

Calon presiden memerlukan 270 undi untuk menang.

Tiada ulasan: