Sabtu, 5 November 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MULAI HARI INI, BERSIMPATILAH KITA DENGAN ROSMAH!!

Posted: 05 Nov 2016 07:37 AM PDT

shahbudindotcom


Rupa-rupanya segala imej tidak baik mengenai Rosmah Mansor selama ini hanya disebabkan media sosial, bukan disebabkan oleh kelakuan isteri Perdana Menteri itu.

Adusss....kesiannya....jahat sungguh media sosial ni!!

Kata Rizal Mansor, pegawai khas Rosmah, "masyarakat tidak harus percaya dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadap Isteri Perdana Menteri itu kerana ia palsu dan tidak berasas serta tidak disokong dengan bukti kukuh, malah terhasil dengan memutar belit fakta.
 
 
 
 
Berdasarkan kata-kata Rizal itu, bolehlah disimpulkan bahawa segala pendedahan mengenai perbelanjaan mewah, barang kemas, beg tangan, pakaian mahal, penggunaan jet dan segala macam lainnya berkaitan Rosmah selama ini adalah fitnah, palsu, tidak berasas dan putar belit fakta belaka.

Sekali lagi, memang jahat media sosial ni!!

Kenapalah hanya isteri Perdana Menteri Malaysia saja yang dijadikan bahan fitnah, berita palsu dan tidak berasas serta putar belit fakta, tetapi tidak kepada isteri Perdana Menteri Singapura, Thailand, Indonesia dan lain-lainnya? 

Mengapa hanya Rosmah selaku isteri Perdana Menteri Malaysia saja dianggap berdepan ujian getir kerana adanya media sosial dan bukan kepada isteri pemimpin-pemimpin dunia yang lain atau isteri pemimpin terdahulu?

Ketika Tun Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri dulu, Tun Siti Hasmah juga sebenarnya suka bermewah, banyak beli barang kemas dan terbang ke sana sini dengan jet kerajaan, tetapi semuanya tidak terdedah kerana media sosial belum berkembang ketika itu.

Maka, mulai hari ini bersimpatilah kita semua dengan Rosmah. Semuanya hanya salah media sosial, bukannya Rosmah. 


Demonstrasi setiap hari selagi Bersih tak undur, kata Jamal Yunos

Posted: 05 Nov 2016 07:37 AM PDT

Ada diantara peserta yang memecahkan batu menggunakan tangan, malah turut membiarkan diri dipukul dengan kayu. 


jamal malaysia kini
jamal 3


PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berjanji perhimpunan di ibu pejabat Malaysiakini pada petang ini bukan yang terakhir.

Menurutnya, himpunan Baju Merah ini akan berterusan sehingga 19 November akan datang tanpa memberitahu secara spesifik lokasinya.

Bagaimanapun, beliau berjanji akan membatalkannya segera jika Bersih turut berbuat demikian.

"Jika mereka teruskan, kami sedia turut berhimpun walaupun berlaku konfrontasi di antara merah dan kuning. Kalau kuning tetap berdegil, kami 10 kali degil," katanya kepada pemberita, hari ini.

Dalam himpunan petang ini, kira-kira 200 orang penyokong Baju Merah turun di ibu pejabat Malaysiakini menuntut portal berita itu menutup operasinya.

"Kita mendesak kerajaan menutup Malaysiakini dan KiniTv. Kita minta kerajaan menyiasat supaya apa saja hubungan dengan Soros dihalang, kerana mereka ini yang menjadi wadah dalam fitnah pihak Bersih dan DAP," katanya.

Dalam himpunan itu, para peserta Baju Merah turut mempamerkan gimik berbahaya sebagai tanda bantahan terhadap Bersih.

Ada diantara peserta memecahkan batu menggunakan tangan, malah turut membiarkan diri dipukul dengan kayu.

Malah, mereka turut bersorak, "Hidup Baju Merah, Hancur Malaysiakini", "Tutup Malaysiakini".

Himpunan yang bermula jam 2 petang itu berakhir pada 4.30 petang dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Sewaktu peserta Baju Merah berarak ke ibu pejabat Malaysiakini, anggota polis mengawal pintu hadapan pejabat berkenaan bagi mengelakkan peserta merusuh masuk ke premis berkenaan.

Jamal dan beberapa anggota dibenarkan melepasi benteng besi polis untuk tujuan perbincangan. Himpunan berkenaan berakhir apabila Jamal selesai berbincang dengan anggota polis

Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah turut hadir.

Sementara itu, Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan berkata beliau menghormati tindakan kumpulan Baju Merah kerana percaya mereka mempunyai hak untuk berhimpun.

"Saya hormati Baju Merah. Mereka mempunyai hak untuk protes secara aman. Mereka juga berhak untuk suarakan apa yang mereka rasakan," katanya.

Jelas Stevan, beliau gembira dan berpuas hati dengan kawalan keselamatan yang dilakukan polis bagi menjaga ketenteraman di premis berkenaan.

"Kami membuat laporan polis semalam dan berbangga apabila polis mengawal kawasan ini dengan lebih serius iaitu menempatkan anggota yang mencukupi bagi mengawal situasi.

"Jamal boleh berkata apa-apa sahaja tetapi kami ingin menegaskan tiada undang-undang membolehkan sesuatu kerajaan itu dijatuhkan," katanya.

Stevan turut menafikan dakwaan Jamal yang pengaruh asing menyebabkan berita-berita dihasilkan Malaysiakini cenderung kepada pihak pembangkang.

"Anda boleh tanya setiap orang wartawan di sini. Saya sendiri mendapati sukar untuk mengawal polisi editorial. Mereka yang putuskan untuk apa yang dilaporkan.

"Saya hanya salah seorang daripada 30 orang kakitangan editorial. Jadi, adalah mustahil untuk mengatakan pengaruh asing mempengaruhi Malaysiakini," katanya.

jamal 2

 LIHAT VIDEO DI SINI
VIDEO -1.
VIDEO- 2.



Wakil Malaysia Tidak Dipilih Sertai ILC PBB

Posted: 05 Nov 2016 07:13 AM PDT

MSTAR ONLINE


 
 
NEW YORK: Walaupun memiliki kelayakan yang mengagumkan, tetapi seorang profesor dalam bidang perundangan yang dicalonkan oleh kerajaan Malaysia, gagal untuk dipilih menyertai Suruhanjaya Perundangan Antarabangsa (ILC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Profesor Datuk Rahmat Mohamad berkata, semua negara meletakkan calon terbaik masing-masing.

"Namun pemilihan ini dilaksanakan secara undian, maka ada yang kalah dan ada yang menang.
 
"Kita perlu menerima kenyataan bahawa Malaysia memberikan saingan yang terbaik walaupun tidak memihak kepada kita.

"Tetapi saya mengambil kira keputusan ini sebagai satu penghormatan dan berbangga dapat mewakili Malaysia dalam pemilihan ini," kata beliau.

Rahmat pernah memegang jawatan berprofil tinggi sebagai setiausaha agung kelima Persatuan Perundingan Perundangan Afrika-Asia (AALCO) di New Delhi, India selama dua penggal.

Dengan rekod itu, Rahmat jua pernah dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor Pusat Kajian dan Inovasi Universiti Tekonologi MARA (UiTM) dan Profesor Perundangan Antarabangsa sejak 2003 di Falkulti Perundangan di UiTM ketika beliau memulakan karier sebagai pensyarah pada 1986.

Beliau mendapat pendidikan undang-undang di Institut Teknologi MARA dan menyambung pengajian di Universiti Bristol, England.

Kemudian Rahmat mendapat gelaran doktor di Universiti Aberyswtyh, Britain pada tahun 2000.

ILC yang ditubuhkan pada 1974, bertujuan menyumbang peningkatan dan proses pembangunan perundangan, perjanjian dan merangka konvensyen antarabangsa selain mengkaji isu besar yang berkaitan undang-undang antarabangsa.

Suruhanjaya itu mempunyai 34 anggota yang dipilih sekali setiap lima tahun dan anggota baharu yang dipilih akan memulakan tugas pada Januari tahun depan. - BERNAMA

'Saya hanya menyampaikan suara rakyat'

Posted: 05 Nov 2016 06:29 AM PDT

TMJ
Tunku Ismail Sultan Ibrahim


JOHOR BAHRU -Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, menzahirkan rasa sedih ekoran tindakan kerajaan yang kurang memberi perhatian kepada sektor penting yang melibatkan kemaslahatan rakyat.

Menurut Tunku Ismail, kerajaan lebih menumpukan kepada sektor yang kurang penting sehingga tumpuan utama 'dipandang sepi'.

"Sektor kesihatan dan pendidikan adalah dua perkara yang amat penting demi kesejahteraan rakyat dan pihak kerajaan harus memberi lebih perhatian.

"Saya merasa sedih mengetahui bahawa sejumlah wang dengan amaun besar mencecah RM84 juta dan RM90 juta telah diperuntukkan kepada yayasan-yayasan yang kurang penting dan juga RM1 bilion yang diperuntukkan kepada Jakim," katanya dalam kenyataan rasmi di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers.

Mengulas lanjut Tunku Ismail berkata, kenyataan beliau ini diharap dipandang oleh kerajaan kerana katanya beliau hanya menyampaikan suara rakyat.

"Saya hanya menyampaikan suara rakyat dan saya amat berharap kerajaan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Terdahulu, Tunku Ismail memetik kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam yang menyatakan bahawa terdapat banyak permintaan untuk menaik taraf aset yang lama dan kementerian akan menangani mereka mengikut keutamaan berdasarkan keutamaan dan dana susulan.

Kenyataan Subramanian itu keluar susulan kejadian kebakaran di Hospital Sultanah Aminah.
"Ia amat membimbangkan apabila keadaan pesakit di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara tidak diutamakan oleh kerajaan," kata Tunku Ismail.


Rizalman dihantar pulang selepas tempoh tahanan selesai

Posted: 05 Nov 2016 06:29 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic



WELLINGTON: Bekas pembantu staf di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail yang menghadapi tuduhan cuba merogol telah dihantar pulang ke Malaysia.

New Zealand Herald melaporkan, keputusan itu dibuat selepas tertuduh selesai menjalani tahanan di rumah selama sembilan bulan di negara itu bermula 4 Februari lalu.

Seorang jurucakap polis kemudian mengesahkan bahawa lelaki berusia 39 tahun itu telah diiringi oleh dua pegawai polis New Zealand dari Wellington ke Kuala Lumpur malam semalam.

Jurucakap Kementerian Kehakiman New Zealand, Amy Adams pula berkata, arahan untuk menghantar pulang itu dibuat di bawah Akta Ekstradisi negara itu.

Muhammad Rizalman dituduh menghendap dan cuba merogol wanita tempatan, Tania Billingsley pada Mei 2014 di rumahnya di sini, berdekatan lokasi Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Muhammad Rizalman yang ketika itu merupakan seorang atase tentera mengaku melakukan kesalahan tersebut selepas menafikan pertuduhan awal iaitu cubaan merogol dan memecah masuk ke rumah mangsa.

Dia didakwa meninggalkan New Zealand sebelum prosiding kes itu bermula, namun, diekstradisi ke negara itu semula untuk menghadapi perbicaraan kes tersebut pada Oktober 2014.

Tiada kejadian roboh bangunan, himpunan Baju Merah bersurai secara aman

Posted: 05 Nov 2016 06:21 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos memaklumkan bilangan peserta Himpunan Merah di hadapan pejabat Malaysiakini hari ini tidak mencapai seramai 20,000 orang kerana menghormati undang-undang negara.
 
"Saya nyatakan pada dua hari lepas kepada pengurusan Malaysiakini bahawa kedatangan kami pada hari ini untuk merobohkan bangunan mereka jika jumlah peserta kami seramai 20,000.
 
"Tetapi memandangkan kami menghormati undang-undang maka himpunan hari ini tidak sampai 20,000 peserta yang hadir.
 
"Kalau 20,000 orang hadir bangunan Malaysiakini akan runtuh termasuk jalinan kedai-kedai yang lain," katanya ketika berucap di hadapan peserta himpunan, petang tadi.
 
Jumlah peserta himpunan hari ini dilaporkan hanya 500 orang, berbanding sasaran awalnya seramai 20,000.
 
Sementara itu usaha gerakan berkenaan untuk bertemu dengan pengurusan Malaysiakini sekali lagi gagal apabila dimaklumkan oleh pihak polis bahawa pihak yang ingin ditemui itu tiada di pejabat.
 
Jamal, tidak lama kemudian mengarahkan ahli-ahlinya bersurai dengan aman.
 
Kelmarin Jamal, bersama-sama dengan kira-kira 100 penyokong baju merah hadir di pejabat Malaysiakini.
 
Beliau menuntut supaya portal berkenaan mendedahkan butiran penyata kewangan dan dokumen berkaitan sebelum Sabtu atau berdepan dengan jumlah peserta protes lebih ramai.
 
Jamal memberi amaran sebahagian bangunan Malaysiakini akan runtuh hari ini jika dakwaan portal ini menerima dana hartawan George Soros tidak diperjelaskan.
 
 

Bahaya Terlalu Bergantung Kepada China

Posted: 04 Nov 2016 11:50 PM PDT




In China: The Leader, his wife and her son

MUTAKHIR - China akan bina dan biayai Projek Kereta Api Pantai Timur yang berharga RM55 bilion (AS$13.1 bilion), kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Dr Irwan Serigar Abdullah. Perjanjian kontrak akan ditandatangani hari ini. (Berita lanjut di sini).

POSTING ASAL

MULA-mula sekali permohonan berbanyak-banyak maaf kerana lama tidak buat posting baru. Maklumlah dalam usia macam saya, ada saja roadblock. Tapi Alhamdulillah dah ok dan berdaya menulis semula. 

 

Kedua, komen seorang kawan Facebook yang berbunyi: "Lumayan???? Apakah setiap kali peri (pergi)… Ada saja benda nak dijual kepada mereka…"

Petikan di atas adalah jawapan beliau kepada tampalan saya mengenai mesej Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak mengenai lawatannya ke China.

Dalam pesanan bertarikh 21 Oktober itu, Mohd Najib berkata: "Minggu hadapan, saya akan ke China pula. Doakan agar lawatan ini membawa kejayaan lumayan untuk negara kita."

Pengulas yang curiga terhadap apa yang Mohd Najib akan rundingkan di China itu adalah seorang pesara PDRM berpangkat pengarah di Bukit Aman.

Kenyataan pegawai polis pencen itu mewakili perasaan ramai rakyat jelata Malaysia yang sedar mengenai bahaya terlalu bergantung kepada China.

Soalnya, tidakkah tindakan Najib seperti menggadaikan masa depan negara dan cucu cicit kita kepada China semata-mata kerana menimbus RM50 bilion hutang 1MDB?

Dalam beberapa hari selepas Najib meminta kita berdoa itu, dua perkembangan besar telah berlaku.

Pertama, Cai Zemin, Pengurus Besar Kereta Api China di Malaysia berkata sebuah Bandar bawah tanah terbesar di dunia akan dibina di Bandar Malaysia.

Cai Zemin menyifatkannya sebagai "permata yang bergemerlapan di koridor kereta api China."

Ingat tu – "koridor kereta api China" - yang akan menghubungkan Asia Tenggara dengan Asia Timur, Asia Timur dengan Asia Selatan."

Seperti sesetengah orang telah sedia maklum, China Railway Group (CREC) dan rakan kongsinya, Iskandar Waterfront Berhad milik tauke (Tan Sri) Lim Kang Hoo kini memiliki 60 peratus saham syarikat yang akan memajukan Bandar Malaysia. Baki 40 peratus dipegang oleh 1MDB.

Kedua, pada 28 Oktober Kementerian Pertahanan mengumumkan melalui laman Facebooknya bahawa Malaysia akan menandatangani kontrak membeli kapal persisiran pantai daripada China. Menurut agensi berita Reuters tampalan itu bagaimanapun ditarik balik apabila pemberitanya meminta jurucakap kementerian mengulas ucapan Hishammuddin Hussein itu.

Saya dimaklumkan ketika lawatan saya ke Jepun pada 10 hingga 16 Oktober lalu yang kerajaan Jepun ingin menawarkan secara percuma bekas kapal pengawal pantainya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Tapi kalau setakat membuat tawaran kepada APMM dan secara percuma mungkin susah berjaya sebab bila percuma tentulah tidak ada unsur komisen.

Dalam lawatan kali ini Mohd Najib dipercayai akan cuba "menjual" beberapa buah projek raksasa lagi termasuklah kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura dan Landasan Kereta Api Pantai Timur. 

Jual Harga Lelong

Sebelum Bandar Malaysia, 1MDB yang Najib sendiri asaskan dan menjadi pegawai nombor satunya (MO1 kata Abdul Rahman Dahlan) telah menjual kilang penjana elektrik bebas (IPP) kepada China General Nuclear Company dengan "harga lelong" RM9.2 bilion.

Saya kata "harga lelong" sebab 1MDB membeli kilang-kilang IPP hujung usia itu daripada pemilik Cina, Melayu dan India Malaysia dengan harga tinggi.

Ikut perjanjian konsesi di antara kerajaan dengan pemilik IPP berkenaan, kilang-kilang itu akan jadi milik TNB apabila habis tempoh konsesi kalau tidak disambung dengan bayaran RM50 hingga RM100 saja.

IPP Malaysia itu adalah antara 13 kilang elektrik di lima buah negara yang dijual oleh anak syarikat 1MDB, Edra Global Energy kepada China Nuclear tahun lalu.

Penjualan murah itu mencetuskan dua ramalan sensasi. Pertama, 1MDB kesesakan wang dan sanggup tanggung kerugian dianggarkan RM3 bilion.

Kedua, RM3 bilion dibayar bawah meja bagi menyelesaikan sebahagian hutang 1MDB.

Tetapi 1MDB menafikannya. Ia berkata harga itu berpatutan kerana syarikat milik negara China tersebut turut mengambil alih hutang Edra. Rancangan asal adalah menjual saham Edra untuk mengumpul modal, tetapi dirasakan tidak "viable" apabila skandal 1MDB meledak.

Penjualan 60 peratus saham Bandar Malaysia kepada China Railway Group (CREC) dan Iskandar Waterfront Berhad juga menjadi tanda tanya kerana ia bukanlah pembangunan teknologi tinggi yang kita tidak ada kepakaran.

Kita Tidak Mampu?

Pertanyaan timbul apakah kita memerlukan modal dan kepakaran China untuk membina Bandar Malaysia, bandar kita sendiri, sedangkan kita ada banyak syarikat tempatan seperti Sime Darby, SP Setia, MRCB dan Boustead yang telah berjaya membina projek seperti itu atau lebih besar?

Kalau Sime Darby, SP Setia dan KWSP mampu membangunkan bandar orang putih di tapak kilang penjana elektrik Battersea di London, apakah mereka tidak berdaya memajukan Bandar Malaysia?

Siapakah yang memajukan KL Sentral kalau bukan MRCB, dan Kompleks Menara Kembar Petronas kalau bukan Petronas sendiri?

Apakah syarikat kita tidak ada modal sehingga perlu bergantung kepada China?

Siapakah yang meminjamkan modal kepada 1MDB untuk membeli tapak Bandar Malaysia dan TRX daripada kerajaan kalau bukan tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Tahung Haji, KWSP dan KWAP?

Apakah Tabung Haji, KSWP, PNB dan LTAT disuruh berpakat memajukan Bandar Malaysia menggunakan modal dan kepakaran tempatan?

Bukankah memberangsang bagi anggota dan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kalau LTAT turut terbabit memajukan Bandar Malaysia kerana tapak itu dulunya milik TUDM?

Mengapa China?

Adakah kerana China ada modal dan kita telah kemuflisan modal?

Adakah kerana China ada kepakaran, tetapi kita ketandusan kepakaran?

Atau adakah hanya China sanggup memberi hutang kepada kerajaan pimpinan Mohd Najib ekoran skandal global 1MDB?

Atau ada udang lobster gergasi di sebalik batu karang dalam penjualan aset negara kepada negara China?

Seperkara lagi kalau kita tidak buta sejarah dan tidak buta politik, kita tentu sudah lama nampak bahawa China hari ini bukan China pada tahun 1405.

Pada tahun 1405 hingga 1433, Laksamana Zheng He atau lebih kita kenali sebagai Cheng Ho mengepalai armada China ke Asia Tenggara, Asia Selatan, Asia Barat dan barat Afrika dalam misi tinjauan dan persahabatan.

Hari ini armada Tentera Rakyat China melayari Laut China Selatan dan Utara bagi menunjuk kekuatan dan memperluas tuntutan.

Kalau kita ada otak, kita perlu berasa bimbang dengan hegemoni baru China ini. Lihat bagaimana "politik" China sedang mengganggu gugat konsensus Asean dan dasar berkecualinya!

Atau Najib secara sedar atau tidak sedang mematikan legasi Allahyarham Tun Abdul Razak yang mahukan Malaysia dan China bersahabat sama rata bukannya China mendominasi kita dengan wang ringgit.

Aneh, di saat orang Umno dipropagandakan supaya takut dan benci kepada Cina DAP, Presiden mereka sendiri sangat intim dengan negara China sehingga menyerahkan projek strategik (kereta api dan kawalan laut) dan ikonik (Bandar Malaysia) kepada syarikat milik pemerintah China.

Wallahuaklam.



Ustaz Kazim dikejarkan ke hospital

Posted: 04 Nov 2016 11:50 PM PDT

MALAYSIA GAZETTE
 

Gambar dari facebook Dato' Ustaz Mohd Kazim Elias
Gambar dari facebook Dato' Ustaz Mohd Kazim Elias


Penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias dimasukkan di sebuah hospital swasta selepas mengadu penat dan tidak sihat di rumahnya pagi tadi.

Laman Facebook rasmi beliau Dato' Ustaz Mohd Kazim Elias yang dimuat naik tiga jam lalu memberitahu, Mohd Kazim telah dikejarkan ke hospital pagi tadi.

"Dato Ustaz Kazim telah dikejarkan ke hospital. Pemeriksaan sedang dijalankan.

"Mari kita sama2 berdoa mohon Allah melindungi beliau dan memberi kesembuhan," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, buat masa sekarang pelawat tidak dibenarkan melawat. -- MalaysiaGazette


Selamat tinggal Kedah - Rizal

Posted: 04 Nov 2016 11:50 PM PDT

MALAYSIA GAZETTE




Pemain terbaik final Piala Malaysia, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali memberi bayangan dia bakal meninggalkan skuad Lang Merah bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ini kerana pemain berusia 24 tahun itu memuat naik status di laman sosial Instagram miliknya yang menggambarkan dia bakal beraksi bersama pasukan lain.

Bek kanan itu juga sempat mengucapkan selamat tinggal kepada pa­sukan selepas beraksi selama tiga tahun.

Mengesahkan keadaan, Rizal turut mengucapkan terima kasih terhadap pengalaman yang diraih sepanjang ber­aksi dengan gergasi bola sepak utara tanah air itu dalam status Instagram tersebut.

Rizal kini dikatakan mendapat tawaran menyarung jersi sebuah pasukan lain untuk kempen musim depan.
Pemain itu dijangka membuat keputusan kariernya selepas kejohanan Piala AFF yang bermula 20 November ini.

Kontrak Rizal dengan Kedah bakal berakhir bulan depan sekali gus bebas untuk membuat keputusan mengenai masa depannya.

Nama pemain itu melonjak selepas menjaringkan gol pertama dan penalti semasa Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan penalti 6-5 dalam final di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

Berikutan persembahan cemerlang itu, dia dikatakan mula menjadi buruan beberapa pasukan dalam Liga M.


KPDNKK Pastikan Pengeluaran Bekalan Minyak Masak Ikut Kuota Ditetapkan

Posted: 04 Nov 2016 11:50 PM PDT

MALAYSIA GAZETTE


Foto: BernamaFoto: Bernama 























PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memastikan pengilang, pembungkus dan pemborong berlesen mengeluarkan bekalan minyak masak mengikut kuota yang ditetapkan bagi menyelesaikan isu kekurangan bekalan bahan itu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK Datuk Basaruddin Sadali berkata operasi berterusan sedang dan akan terus dilaksanakan bagi memastikan tiada pihak menyorok bekalan yang sepatutnya sampai kepada pengguna.

"Isu yang timbul mungkin pengilang ada masalah teknikal dari segi maklumat dan kuota yang ditetapkan, jadi kita akan pastikan pembungkus mendapat bekalan secukupnya daripada pengilang untuk diedarkan kepada pelanggan masing-masing.

"Pengilang, pembungkus dan pengedar mesti laksanakan tugas mereka jika tidak kita akan mengambil tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta 'Giant and Friends Of KPDNKK Charity Ride' di sini hari ini.

Lebih 300 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi itu yang akan singgah di beberapa lokasi di Selangor untuk menjalankan kerja-kerja amal.

Basaruddin berkata acara itu diadakan bagi menambah keahlian Friends of KPDNKK yang diharap akan menjadi mata dan telinga kementerian dalam isu-isu kepenggunaan di seluruh negara.

Menurutnya langkah ini dapat memudahkan kementerian membuat pemantauan memandangkan ketika ini hanya terdapat kira-kira 2,800 pegawai penguat kuasa KPDNKK dan 1,200 pegawai pemantau harga di seluruh negara.

"Contohnya isu minyak masak ini, kita harap ahli Friends of KPDNKK boleh menyalurkan maklumat kepada kementerian tentang lokasi di mana tiada bekalan," katanya.-BERNAMA


Kenapa Najib takut sangat sampai guna OSA sekat rahsia 1MDB?

Posted: 04 Nov 2016 11:38 PM PDT




Akta Rahsia Rasmi (OSA) kini menjadi senjata paling utama Datuk Seri Najib Razak untuk mengekalkannya di tampuk kuasa, pelbagai cara digunakan untuk menyekat daripada segala rahsia yang kononnya akan mengugat Malaysia tersebut daripada bocor.

Persoalannya disini, sejak bila pula 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sudah menghilangkan berbilion duit rakyat ini menjadi maruah negara sehingga ia kebal tidak boleh disentuh, apakah budi dan jasa syarikat ini yang saban tahun menjadi biawak hidup ditanggung oleh rakyat Malaysia?

Satu persatu pemimpin atasan UMNO menjadi mangsa kepada 1MDB, adakah pemimpin UMNO tugas mereka sekarang ini menjadi pembela dan pak angguk kepada 1MDB dan tidak lagi membela nasib orang Melayu?


Sepatutnya mereka memikirkan tentang orang Melayu dan bukan memikirkan tentang nasib 1MDB yang selama ini menyusahkan rakyat.

Jika Perdana Menteri seorang yang berani, mengapa beliau takut sangat sehingga terpaksa memfailkan bantahan awal terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi mencabar keputusan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Jika benar, bersungguh mempertahankan 1MDB, lebih baik bersikap terbuka dan tidak berusaha menutup lubang yang bocor dalam syarikat itu.

Adakah Najib takut tembelangnya terbocor jika OSA dialih daripada Laporan Ketua Audit?

Keterdesakan Najib tidak dapat lagi disembunyikan apabila menggunakan alasan OSA sekali lagi selepas pendedahan tiga bekas menteri dalam Dewan Rakyat lalu, kononnya mereka bertiga mahu menghasut rakyat dengan membocorkan rahsia kerajaan.

Apakah muslihat dengan menggunakan OSA ini dapat menutup mulut pengkritiknya daripada terus bersuara dan membongkarkan lagi banyak tembelang disebalik 1MDB.

Sampai bila Najib boleh bertahan menggunakan OSA ini untuk kepentingan peribadi?

Rakyat sudah jemu melihat hutang 1MDB yang saban membebankan, mana tidaknya saban tahun kita diumumkan dengan pemansuhan subsidi oleh pentadbiran Najib, terbaharu subsidi minyak masak juga dimansuhkan.

Semua subsidi yang dimansuhkan untuk apa? Jika bukan untuk tanggung hutang 1MDB, ianya untuk apa? Untuk bayar apa?

Sudah jelas disini, Najib sudah menyusahkan rakyat dengan terpaksa menanggung beban ditimbulkannya untuk kambus setiap lubang kebocoran duit milik rakyat.

Jika berani kerana benar, elok lah OSA itu dialihkan, tidak menjadi rahsia sangat 1MDB itu jika rasa mereka tidak melakukan kesalahan dan rompakan besar-besaran wang rakyat.



Formula Musyidul Am satu lawan satu

Posted: 04 Nov 2016 11:28 PM PDT





 
Oleh SUBKY LATIF


BEBERAPA hari lalu Mursyidul Am PAS, TG Hashim Jasin telah memberi pencerahan kepada umat Islam jika mahu amalan masing-masing diterima Allah, gunalah cara hidup Islam. Dalam pencerahan terbarunya kepada parti-parti politik yang menyeru kepada satu lawan satu dan penyatuan sesama umah mesti mengikut formula agama Allah.

Syaratnya halalkan apa yang al-Quran halal dan haramkan apa yang Islam haramkan mengikut kaedah yang ditentukan mengikut hak-hak bagi orang Islam dan hak-hak bagi bukan Islam.
Jika penghormatan itu dapat dihormati, maka pintu kerjasama semula dengan DAP terbuka.
   
Nescaya berulanglah semula dalam PRU14 nanti seperti yang berlaku dalam PRU13 iaitu satu lawan satu. Jika ia tidak diterima, maka jawabnya ialah satu lawan empat.
   
Demikian juga dengan dakwaan Umno yang siang malam hendak sangat bersatu dengan PAS, Jika formula itu diterima, maka terbuka penyatuan antara keduanya.
   
Pencerahan politik yang disaran oleh Mursyidul Am itu membuka peluang baru bagi kerjasama politik antara PAS dengan DAP dan antara PAS dengan Umno.
    
Sebelum ini pintu untuk bersama semula dengan DAP bukan sekadar tertutup, bahkan terkunci. Dengan formula TG Hashim Jasin itu, pintu tertutup juga tapi tidak berkunci. Daun pintu boleh dibuka bila-bila masa.
    
Pembatalan tahaluf ada rugi bagi PAS dan ada ruginya bagi DAP dan Pakatan. Rugi PAS tidak sebanyak untungnya. Orang mungkin tidak nampak untungnya tetapi ia dijamin Allah. Hanya yang beriman yakin dan nampak akan janji keuntungan itu. Tetapi bagi DAP dan Pakatan ruginya lebih banyak dari untung.
   
Ruginya bukan sekadar dapat menguasai Putrajaya dalam PRU14, bahkan selama-lama tiada harapan berperanan dalam pentadbiran Putrajaya.
   
Hak bukan Islam tidak terganggu jika formula itu diikut. Jaminan itu sudah ada sejak hijrah Rasulullah dulu dan ia telah dibuktikan sepanjang pimpinan baginda di Madinah. Tentang parti  Mat Sabu belum ada pencerahan. Parti itu adapun justeru hendak mengelakkan pertandingan banyak penjuru dalam PRU.
   
Jika formula satu lawan satu diterima keperluan partinya tidak ada lagi. Masakan ia jadi calon ketiga?
   
Mungkin parti pembangkang tidak sempat berbincang ketika Parlimen bersidang yang antara kemungkinannya RUU355 dibentangkan.
   
Bagi memupuk perpaduan pembangkang supaya satu lawan satu dapat diadakan. Maka RUU355 boleh dijadikan jambatan bagi pelaksanaan satu lawan satu itu. PAS bukan saja mengharapkan sokongan MP Islam dari PKR, DAP dan Bersatu, bahkan PAS mahukan semua MP pembangkang menyokongnya.
   
PKR sudah mengumumkan menyokongnya. Jika DAP belum masa untuk menyokongnya, sekurang-kuangnya ia berkecuali.
   
Setelah mendapat isyarat baru dari Mursyidul Am itu, semua pembangkang wajar menimbangkan formulanya. Formula beliaulah yang memberi banyak harapan dibanding dengan lain-lain harapan politik.
   
Bagaimana kalau formula itu diterima sekali gus oleh Umno dan pembangkang? Apa pilihan PAS? Justeru pencerahan Mursyidul Am itu ada mengikut saranan al-Quran, maka PAS boleh memimpin perbincangan denan kedua-duanya yang matlamatnya bagi mendapat mardhatilah hingga ke akhirat, bahkan kita dapat mencapai cita-cita 1Malaysia yang sebenarnya menjadikan Malaysia negara bersih rasuah.
   
Jika ia belum terima kita hadapi satu lawan lima atau lima-lima berlawan. Tetapi jika kelima-limanya dapat bergenggam mengikut formula Mursyidul Am nescaya ia jadi buku lima yang sakti

PAS tak akan sertai BERSIH 5 walaupun diugut

Posted: 04 Nov 2016 11:23 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: PAS tidak akan termakan perangkap yang mahu parti Islam itu menyertai BERSIH 5, sekalipun untuk membuktikan kesungguhan dalam kerjasama bersama pembangkang PRU14 nanti.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun PAS bersedia berbincang mengenai kerjasama satu lawan satu, namun keputusan untuk tidak menyertai BERSIH tetap tidak akan berubah.
 
"Kita sudah beritahu sebelum ini kita tidak akan sertai BERSIH. Jangan perangkap kita kononnya kalau nak bersatu, kena sertai BERSIH.
 
"Tidak, kita tidak akan sertai BERSIH," katanya yang dipetik Sinar Harian hari ini.
 
Terdahulu beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang didakwa mencabar PAS menyertai BERSIH 5 jika parti itu serius untuk mengadakan kerjasama dengan parti pembangkang bagi menghadapi PRU nanti.
 
Tuan Ibrahim berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan ketetapan yang jentera PAS tidak menyertai perhimpunan BERSIH 5.
 
Beliau berkata, walaupun PAS menyokong beberapa tuntutan yang dibuat BERSIH, namun parti itu mempunyai agenda yang lebih besar yang perlu difokus kini.
 
"Kita mahu tukar sistem, bukan sekadar tukar orang. Bagi kita, agenda yang selaras dengan dasar parti kita, kita akan sokong.
 
"Kita ucapkan terima kasih kerana buat tuntutan tersebut dan PAS kini sedang fokus untuk membuat perubahan melalui sistem demokrasi," katanya.
 
 

Peguam PAS sedang teliti laporan Sarawak Report sebelum fail saman

Posted: 04 Nov 2016 11:20 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Peguam yang dilantik PAS sedang meniti laporan Sarawak Report sebelum memfail saman di mahkamah di England.
 
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata peguam yang sama pernah mengendalikan kes saman Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilantik bagi tujuan itu.
 
Katanya peguam terbabit sebelum pernah mengendali saman terhadap sebuah akhbar di England kerana memfitnah presiden.
 
"Akhbar terbabit memfitnahkan Tok Guru Presiden dengan mendakwa ada kaitan dengan al Qaeda.
 
"Kes saman itu dimenangi Tok Guru. Dan orang yang sama juga dilantik mengendali kes saman terhadap Sarawak Report.
 
"Cuma agak berbeza kerana tuduhan Sarawak Report hanya menyebut pemimpin PAS  menerima RM90 juta daripada Umno tanpa disebut secara jelas nama mereka," katanya pada program di Putik petang semalam.
 
Sebelum ini Sarawak Report mendakwa pemimpin PAS menerima dana RM90 juta daripada pemimpin Umno.
 
Malah ada pihak mempertikai mengapa PAS lambat memfail saman terhadap portal berita yang berpangkalan di England terbabit.
 
Tuan Ibrahim berkata peguam yang dilantik masih meneliti kes terbabit sebelum mengambil tindakan lanjut. 
 
Hadir sama pada program tersebut Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah, ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Datuk Nassurudin Daud dan wakil-wakil rakyat. 


Pedofilia: Ibu bapa jangan 'ketagih' muat naik gambar anak

Posted: 04 Nov 2016 11:19 PM PDT


 
Oleh T K Letchumy Tamboo


KUALA LUMPUR: Kesilapan utama yang dilakukan ibu bapa yang tidak sedar gambar anak-anak mereka dijadikan bahan pedofilia di ruang siber, adalah mereka sendiri sebenarnya tidak tahu maksud pedofilia.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata ada sesetengah ibu bapa hanya mahu menunjuk bahawa anak-anak mereka bijak dan comel, tanpa menyedari bahawa gambar yang mereka kongsikan di laman web, boleh tersebar luas dalam masa hanya sesaat.

"Kesilapan mereka adalah mereka tidak tahu pedofil itu apa. Bagi mereka, pedofil ialah orang yang melakukan perbuatan meraba, mengambil kesempatan, memegang kemaluan anak.

"Bukan, itu pencabul kanak-kanak," tegasnya.

Menurut Kamal, pedofil ialah orang yang ada kecenderungan, malah hanya dengan melihat anak kecil berjalan hanya memakai lampin juga sudah mencetus keinginan tertentu.

"Dalam laman pornografi bagi pedofil ini, ada gambar sedemikian. Kanak-kanak yang tidak berbogel pun diletakkan di situ sebab fantasi mereka berbeza.

"Ada yang melihat anak-anak minum susu itu seksi, dan ada pula yang melihat kaki anak-anak itu seksi.

"Jangan sangka bila ingat objek seksual, ia seperti seksual pada pemahaman kita orang dewasa. Sebab ia mungkin membawa maksud berbeza bagi orang lain," katanya semasa ditemui selepas forum 'Kesedaran Mengenai Pedofilia dan Penderaan Seksual Kanak-Kanak' anjuran Universiti Malaya.

Katanya, ibu-bapa perlu berhati-hati semasa memuat naik gambar anak-anak mereka di laman web.

Beliau berkata, sekiranya ibu bapa hendak menunjukkan anak mereka bijak, comel atau sebagainya, ia tidak bermakna ibu bapa perlu menjadi kurang bijak. Tambahnya, jika terdapat ibu bapa yang 'ketagih' memuat naik gambar ke ruang siber, mereka perlu mendapatkan bantuan ahli psikologi.

Selain Kamal, ahli panel lain yang turut mengambil bahagian dalam forum tersebut adalah Ketua Unit Siasatan Seksual (D11) Bukit Aman Timbalan Superintenden Tan Gee Soon, Sekreteriat Mothers Againts Ponography, Raihan Ishak, Ketua Jabatan Pelaksanaan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM), K. Juslly Elis.-A/awani

Khalid nafi tuduhan, sifatkan Azmin cuba alihkan isu bayaran RM2.7 bilion

Posted: 04 Nov 2016 11:16 PM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan beliau berselindung di sebalik nilai sebenar pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).
 
Khalid berkata demikian menepis dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam bahawa beliau yang mula menawarkan jumlah RM2.975 bilion dalam usaha kerajaan negeri memgambilalih syarikat konsesi air berkenaan.
 
Mantan menteri besar itu kemudiannya menyifatkan dakwaan Azmin itu sebagai khianat, dalam cubaannya mengalihkan kontroversi bayaran setinggi RM2.7 bilion.
 
"Kerajaan negeri Selangor di antara 2008 dan 2014 tidak pernah menawarkan RM2.975 bilion untuk mengambil alih ekuiti syarikat konsesi air Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) seperti yang didakwa oleh Menteri Besar Selangor semalam.
 
"Dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, adalah tidak benar, mengelirukan dan cubaan jelas untuk mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran beliau untuk membayar ekuiti SPLASH RM2.7billion iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal berjumlah RM250.6 juta," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Bukan itu sahaja Khalid turut menolak dakwaan beliau kononnya gagal memaklumkan sebarang urusan rundingan berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
 
"Semua keputusan berkenaan air telah dibentangkan kepada Exco dan Dewan Negeri Selangor apabila perlu. Tambahan pula, sebagai perjanjian penstrukturan semula air melibatkan beberapa syarikat tersenarai di dalam terbitan awam dimana segala tawaran perlu dimaklumkan kepada Bursa Malaysia dan pihak berkuasa yang terlibat.
 
"Di samping itu, pejabat Menteri Besar yang saya terajui sering mengadakan sidang akhbar setiap kali ada perkembangan baru dan telah mengeluarkan ratusan kenyataan media berkenaan air. Kami juga menganjurkan siri taklimat untuk ADUN dan Ahli Parlimen yang juga telah mengambil bahagian dalam taklimat awam diseluruh Selangor untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang isu rakyat.
 
Kami juga telah memberi pembentangan komprehensif kepada Dewan Negeri Selangor dan saya yakin pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam penyediaan pembentangan juga akan bersetuju.
 
"Ini agak bertentangan dengan amalan kerajaan negeri hari ini yang tidak mahu meneruskan amalan positif ini dan hasilnya rakyat hanya diberitahui hari ini bahawa kerajaan negeri telah pun membuat keputusan untuk membayar RM2.7 billion kepada SPLASH seperti yang disahkan oleh Exco negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib yang juga telah membayangkan bahawa jumlah tersebut telah ditolak oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air," demikian tegas Khalid.
 
Khalid juga menyatakan asas disebalik bayaran pampasan yang diberikan kepada empat syarikat konsesi air yang lain yang dilakukan melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
 
Khalid ikut Perjanjian Penswastaan Air 
 

Dalam tawaran terakhir, merujuk kepada SPLASH, kerajaan negeri ketika ditadbir Khalid menggunakan kaedah pembayaran ekuiti berdasarkan pulangan 12 peratus setahun kepada ekuiti serta potongan mana-mana dividen yang telah dibayar, sebagaimana dinyatakan di dalam Perjanjian Penswastaan Air yang ditandatangani oleh semua syarikat konsesi termasuk SPLASH.
 
Malah bertegas RM250 juta yang sepatutnya dibayar kepada SPLASH adalah nilai yang munasabah yang jelas tidak akan membazirkan wang rakyat.
 
"Kami tidak pernah bercadang pada bila-bila masa untuk membayar RM2.9 billion hanya untuk bayaran ekuiti SPLASH seperti yang didakwa oleh Menteri Besar. Walaupun kita menggunakan beberapa kaedah penilaian yang berlainan, nilai ekuiti tidak banyak berbeza. Dalam tawaran terakhir, kami merasakan tawaran yang berpatutan untuk Splash adalah RM250.6juta untuk bayaran ekuiti serta menanggung hutang sejumlah RM1.564 billion.
 
"SPLASH mempertikaikan tawaran mengambil alih ekuiti berdasarkan 12% ROE setahun serta pemotongan pembayaran dividen. Pada hakikatnya SPLASH telah membayar RM725.4 juta kepada pemegang sahamnya sebagai dividen manakala SYABAS tidak pernah mengeluarkan dividen dan inilah sebab utama mengapa nilai pembayaran ekuiti antara kedua-dua syarikat itu sangat berbeza," ujarnya lagi.
 
Sebelum dipaksa meletakkan jawatannya, Khalid berjaya mengambil alih tiga syarikat konsesi air iaitu, Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) dengan bayaran pampasan sebanyak RM2.47 bilion, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) (bayaran pampasan RM3.11 bilion) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS) (bayaran pampasan RM990 juta).

Sehingga kini hanya SPLASH enggan menerima tawaran daripada kerajaan negeri berikutan tidak bersetuju dengan jumlah pampasannya.
 
Sementara itu Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata kerajaan negeri bersedia menimbang pembayaran sekitar RM2.7 bilon itu namun jumlah sebenar pampasan itu akan tertakluk kepada persetujuan kerajaan pusat dan syarikat konsesi air itu sendiri.
 
 

Jurang pendapatan di Malaysia: Mitos Si Kaya dan Si Miskin

Posted: 04 Nov 2016 11:13 PM PDT

DETIK DAILY
 

 
Oleh Anas Alam Faizli


" Mereka miskin kerana mereka pemalas" , "Ayah dia Tan Sri" "Dia kenal orang dalam",
"Aku boleh berdiri seperti sekarang kerana usaha kuat aku selama ini"

Luahan-luahan ini biasa didengari dalam 'borak kedai kopi', setiap kali topik kaya dan miskin dibincangkan.


Ramai pantas menyamakan isu jurang pendapatan yang tidak sama rata sebagai isu kebajikan atau sosialis.

Ini berlaku di mana-mana, sedihnya termasuklah golongan 'kelas menengah' Malaysia, yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya penerima pendapatan dan pemilik kekayaan dalam kelompok teratas.

Isi rumah yang memperolehi RM 10,000 ke atas sebulan sudah pun cukup meletakkan mereka dalam golongan 4% paling elit di Malaysia.

Astro AWANI/Shahir Omar
Astro AWANI/Shahir Omar

Hakikatnya, ketika suara-suara kepartian terus menerus membincangkan wacana ketidaksamarataan bernada perkauman, Malaysia tanpa disedari telah bergerak ke dalam kancah peperangan baru, yang berkaitan dengan ketidaksamarataan di antara orang-orang sekaum, iaitu perang perbedaan kelas dan tingkat pendapatan.

Sering dihujahkan bahawa orang miskin dan berpendapatan rendah wujud disebabkan mereka malas, tidak bekerja keras dan sering mengharapkan bantuan.

Ini tidak benar.

Ramai yang tidak bernasib baik, dilahirkan dalam keluarga yang kurang pendidikan dan kurang kemahiran untuk melepaskan diri daripada cengkaman kemiskinan.

Ada yang dilahirkan dengan kecacatan ataupun penyakit kekal, manakala ada yang hidup di kawasan yang sering ditimpa musibah dan merbahaya.

Di satu wajah kehidupan lain pula, kita melihat ahli-ahli perniagaan tidak berkompetensi yang dianak angkatkan oleh "ayahanda-ayahanda" politik, pewaris-pewaris kekayaan dan estet keluarga, serta individu yang bernasib baik ditempatkan dalam industri mewah dengan pulangan lumayan.

Kemalasan di sini tidak lagi menjadi isu.

Orang kaya pun boleh jadi malas!


Ramai yang tidak berhak miskin, seperti mana juga ramai yang tidak layak menjadi kaya.

Kes-kes di atas menggambarkan dengan jelas bahawa bukan semua kemiskinan ialah hasil daripada keengganan untuk bekerja keras, dan bukan semua kekayaan disebabkan oleh usaha dan penat lelah.

Maka, perjuangan menentang ketidaksamarataan sebenarnya ialah perjuangan untuk menyamaratakan peluang bagi menghasilkan lebih keseimbangan, dan bukannya untuk menghasilkan kesamarataan dengan campurtangan yang merencatkan.

Ini bukanlah perjuangan menentang orang kaya, tetapi perjuangan untuk membantu orang miskin.


Ada Apa dengan Ketidaksamarataan?

Ketidaksamarataan itu realiti, tidak kisahlah sejauh mana kita percaya dengan pekali GINI sebagai pengukurnya.

Malah, perhatian kepada ketidaksamarataan banyak digerakkan oleh kesan ketidaksamarataan itu sendiri yang sudah menunjukkan taringnya, dan bukannya kebangkitan untuk mengelaknya.

Kita boleh melihat kesan ketidaksamarataan kepada masyarakat; seperti ketidaksamarataan kuasa, kesan kepada kadar peningkatan gaji, kesan kepada pertumbuhan, jenayah dan kualiti kehidupan secara amnya.


Selagi mana jurang pendapatan dan ketidaksamarataan kekayaan kekal luas, dan pelaburan institusi awam dalam pendidikan, latihan, kebajikan kanak-kanak dan kemudahan awam terus berkurangan, cukai yang progresif dan tindakan afirmatif dalam bentuk tulen dan mengekalkan cita-cita murninya, wajar diberi ruang dalam pembentukan dasar dan polisi institusi awam.

Keperluan golongan kaya dalam masyarakat yang berkongsi tanggungjawab membantu golongan miskin cukup kritikal; sebenarnya demi kepentingan mereka juga, kerana kesan-kesan negatif ketidaksamarataan yang tinggi akan dirasai oleh semua.


Salah Anggapan tentang Pasaran Bebas

Dalam mana-mana wacana ketidaksamarataan kekayaan dan kemiskinan, isu 'pasaran bebas' tentu sekali akan diketengahkan.

Ciri asas kepada pasaran bebas dapat digambarkan dengan konsep "Invisible Hand" yang diperkenalkan oleh ahli ekonomi kurun ke-18, Adam Smith.

Konsep ini berpegang bahawa harga, pengedaran barangan, perkhidmatan, buruh, modal, tanah dan kemahiran manusia ditentukan oleh kuasa pasaran, atau 'tangan' yang tidak boleh di lihat secara fizikal.

Penyokong sistem ini selalunya menentang peningkatan campur tangan kerajaan seperti derma, cukai, subsidi dan faedah.

Astro AWANI/Shahir Omar
Astro AWANI/Shahir Omar


Ringkasnya, mereka percaya yang hanya pasaran yang dibenarkan bergerak bebas yang akan mencapai keseimbangan secara, seterusnya mencapai produktiviti dan kekayaan untuk negara.

Pasaran mempunyai elemen keadilan yang tidak dapat dinafi; kerja keras akan membolehkan kita mendapat pendapatan yang tinggi, dan kemalasan akan dihukum dengan kesusahan.

Pekerjaan, barang-barangan dan tahap gaji ditentukan secara 'semulajadi' seperti yang dimintakan oleh masyarakat, berdasarkan keperluan dan keupayaan mereka dan bukan berdasarkan pengagihan kerajaan, yang cukup terdedah dengan situasi terlebih atau terkurang.

Walaupun begitu, keadilan dalam pasaran tidak boleh terlalu diagungkan.

Kuasa pasaran boleh menjadi 'ganas tanpa belas ihsan', seperti yang dikatakan oleh Jeffrey Sachs.
Kewujudan ruang kegagalan dalam pasaran tidak boleh dinafikan sama sekali kerana bukan semua manusia bermula daripada asas yang sama.

Dalam sistem yang sama, titik permulaan seperti harta, peluang atau kesihatan fizikal berbeza antara satu sama lain.

MESTI BACA: Falasi realiti ekonomi Malaysia dan pekerja asing

Ketika ada yang dapat keluar daripada kepompong pendapatan rendah dan berjaya, hasil daripada peluang keemasan, ada juga yang terus kekal terhimpit dalam kitaran ganas ini.

Hakikatnya, bukan semua mendapat peluang keemasan.


Antagonis Percukaian

Antara penyokong tegar pasaran bebas ialah libertarian di mana etika asas mereka ialah kebebasan.

Mereka mendukung idea bahawa hasil ekonomi terbaik hanya akan muncul apabila setiap individu dibiarkan bebas untuk bertindak dan hidup tanpa ada pihak berkuasa yang menetapkan aktiviti ekonomi mereka.

Individu tidak perlu dan tidak bertanggungjawab kepada masyarakat, selain daripada menghormati kebebasan dan hak milik orang lain.

Tanggungjawab kerajaan hanyalah untuk melaksanakan undang-undang dan mengekalkan keamanan bagi melindungi hak milik peribadi.

Malah, pendukung libertarian yang ekstrem berpendapat bahawa tidak ada keperluan langsung untuk kerajaan membina prasarana, jalan atau lebuhraya; itu semua perlu ditentukan oleh kuasa pasaran kerana keperluannya sahaja sudah cukup untuk memastikan ada dalam pasaran yang akan membinanya.

Libertarian ialah 'Antagonis Percukaian'.

Antara banyak-banyak campurtangan kerajaan, libertarian menentang kerajaan yang mempromosikan keadilan dan kecekapan menerusi sistem percukaian.

Cukai dianggap satu bentuk peras ugut oleh kerajaan yang menghapuskan motivasi mereka yang berkerja kuat, dan berpotensi untuk memberi ganjaran kepada yang tidak berusaha.

Tuntasnya, pendukung libertarian berpegang kepada pasaran bebas sebagai satu-satunya cara untuk mengagihkan ekonomi secara demokratik; kebebasan gaya libertarian ialah penyelamat demokrasi dan penjamin kemakmuran.

Oleh itu, usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin juga menjadi isu yang dibantah oleh kelompok libertarian.


Libertarian di Malaysia

Banyak pihak gemar meremehkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi kejayaan dasar ini hampir menghapuskan kemiskinan tidak dapat dinafikan; kejadian kemiskinan telah berkurang dari 50% pada 1970 kepada 3.8% kini.

Golongan yang dahulunya miskin, kini membentuk kelas menengah dan profesional Malaysia.

Malangnya, tidak ada apa yang boleh dibanggakan daripada DEB selepas pertengahan tahun 90-an. Korupsi, ketirisan dan kepincangan integriti yang diperlihatkan dalam sistem kerajaan telah memburukkan lagi situasi.

Mungkin kekecewaan terhadap institusi kerajaan inilah yang menyuburkan ideologi libertarian di Malaysia.

Adakah libertarianism untuk Malaysia?

Kita boleh mula mencari jawapannya dengan kembali kepada persoalan keperluan mewujudkan kerajaan.

Ada persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan awam.

Kita juga tidak memerlukan lebih daripada satu pasukan polis, bomba atau mahkamah undang-undang yang bersaing antara satu sama lain.

Tanpa kerajaan, siapakah yang akan mengendalikan masalah alam sekitar, meregulasikan kebejatan moral, memastikan individu tidak mencederakan satu sama lain, dan melindungi kedaulatan rakyat Malaysia?

Mengurangkan peranan sosok kerajaan mungkin boleh dipertimbangkan, tetapi menghapuskannya sama sekali boleh membawakan kemudaratan yang sukar dibayangkan.

Seterusnya kita tiba kepada isu kemiskinan pula.

Niat baik libertarian yang terpuji yakni memberi ganjaran kepada usaha keras dan mengurangkan pengaruh kerajaan yang korup, sebenarnya turut membuka ruang yang terlalu luas kepada kesinambungan kekayaan bagi yang sudah kaya dan kitaran kemiskinan yang semakin ganas.

Seperti yang dihujahkan, setiap manusia bermula dari latarbelakang yang berbeza.

Yang kaya terus berada dalam kedudukan yang membenarkan mereka meluaskan empayar kekayaan mereka- malah mereka tidak boleh disalahkan kerana mereka diberi peluang dan dibenarkan berbuat demikian!

Lebih teruk lagi jika kekayaan datang dari pemerolehan dan penggarapan kekayaan yang sedia ada, dan bukannya lahir dari perekaan kekayaan yang baru dan  nilai tambah yang baru; lantas seterusnya meningkatkan saiz ekonomi.

Akhirnya, kuasa akan berada dalam genggaman sektor korporat dan golongan kaya, lantas memberikan mereka kuasa mempengaruhi dasar awam secara signifikan, bertentangan dengan hasrat murni asal 'demokrasi' libertarian tadi.

Ahli lembaga pengarah dan ketua syarikat tidak dapat dipilih oleh rakyat, seperti kerajaan yang terlantik.
Ketakutan libertarian terhadap negara sosialis yang akan menuju ke arah fasism sebenarnya juga boleh berlaku dalam pasaran bebas yang menyamar sebagai sektor korporat.

Kegagalan pasaran bebas kemudiannya akan menjadi persoalan kegagalan politik, dan bukan sahaja persoalan kegagalan ekonomi! Sekarang cuba bayangkan 'pasaran bebas' ini di Malaysia, dengan tahap ketidaksamarataan antara tertinggi di Asia (menurut ukuran GINI).

Golongan miskin yang tidak berdaya akan terus ketinggalan dalam kuasa pasaran berbanding golongan kaya.

Di sinilah keadaan di mana hasrat murni kebebasan ekonomi yang tulen seperti yang dicadangkan oleh libertarian tidak mampu menjanakan hasil yang diidamkan pada asalnya.


Membangunkan Golongan Miskin: Menyamaratakan Padang Persaingan

Artikel ini bukan menyarankan kemunculan Robin Hood zaman moden, merompak golongan kaya yang bekerja keras dan memberikan harta mereka kepada yang miskin.

Golongan kaya boleh memberikan bantuan dengan mengendong sedikit tanggungjawab untuk menaikkan tahap pendidikan, kesihatan dan kadar produktiviti golongan miskin.

Bayangkan perbezaan sebuah komuniti yang mempunyai seorang hartawan bernilai RM40 bilion dan golongan miskin yang ramai, dengan sebuah komuniti yang mempunyai 400 isi rumah bernilai RM10 milion setiap satu.

Sejauh mana kita tidak suka membayar cukai sekalipun, kita menerima kesahihannya selagi mana ia dijadikan undang-undang dan digunakan sebaiknya.

Hal ini juga tidak bermakna golongan miskin boleh goyang kaki.

Peluang sudah diberikan, dan tiba masanya mereka menggunakannya.

Ideanya ialah kek ekonomi yang lebih besar dan mewujudkan dan melahirkan nilai-nilai baru, yang Malaysia tidak dapat nikmati sekarang kerana golongan miskin yang berpotensi menghasilkannya tidak diberi peluang.

Dengan mengambil kira semua perkara ini, di manakah kedudukan libertarianism, cukai untuk golongan kaya dan perniagaan, dan pasaran bebas?

Adakah peningkatan peranan kerajaan semestinya menatijahkan korupsi?

Negara kebajikan di rantau Skandinavia mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Amerika Syarikat dalam Index Pembangunan Manusia (HDI).

Pada masa yang sama, negara-negara terbabit adalah antara negara yang paling seimbang dengan tadbir urus dan kawalan terhadap korupsi terbaik, walaupun mempunyai saiz kerajaan yang lebih besar.

Kesudahannya, ekonomi yang sihat ialah ekonomi campuran, di mana kerajaan dan kuasa pasaran memainkan peranan masing-masing.

Nisbah yang tepat memang terus menjadi tanda tanya; tetapi permulaan yang baik adalah dengan berhenti daripada terus-menerus menidakkan realiti ketidaksamarataan.

Ketidaksamarataan bukanlah sekadar hobi para aktivis anti-kapitalis yang cemburu dengan sektor korporat dan golongan cendikiawan ekonomi pembangunan yang sibuk mencari isu sensasi untuk penyelidikan mereka.

Benar, campurtangan kerajaan pelbagai bentuk dan saiznya mungkin mampu merencatkan kemampuan, tetapi kefahaman 'orang miskin malas dan orang kaya rajin' itu hanyalah satu mitos.

Ke arah Malaysia yang lebih baik, kita tiada pilihan selain untuk terus meningkatkan produktiviti dengan suatu fokus yang baru; iaitu penglibatan semua golongan dalam semua kelas dan tingkat ekonomi.

Jika tidak, Malaysia akan terinjak-injak bergerak ke hadapan, dengan membawa bersama bebanan kesan dasar-dasar awam yang silam.

'Negarawan ialah mereka yang berfikir untuk generasi masa hadapan, manakala ahli politik pula ialah mereka yang hanya berfikir tentang pilihanraya akan datang'- Abraham Lincoln


*Anas Alam Faizli memegang ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah seorang professional bidang pembinaan dan minyak & gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan adalah pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians dan bertweet di @aafaizli

Penganalisis ingatkan PAS supaya perteguh pendirian kerjasama pembangkang

Posted: 04 Nov 2016 11:04 PM PDT

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik Datuk Dr. Ramlah Adam menyifatkan perbezaan pandangan dalam PAS mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan adalah merupakan strategi mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Malah ujarnya, tindakan ini boleh menyebabkan rakyat mahupun pengundi tidak akan mempercayai kenyataan mereka kerana sering berubah-ubah dan tidak tetap pendirian.
 
"Mungkin PAS ni cuba tengok kemungkinan-kemungkinan yang ada untuk mereka menang Pilihan Raya akan datang ni dan dapat pengaruh. Tapi itukan berkrontradik (kenyataan Hadi dan Nik Abduh).
 
"Saya rasa politik memang macam itulah. Sekejap begini sekejap begitu. Jadi kita tak boleh pegang sangat cakap mereka," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan parti-parti dari Pakatan Harapan namun, dengan syarat 'tidak mengacau rumah mereka.'
 
Walau bagaimanapun, Hadi enggan mengulas lanjut maksud di sebalik frasa 'tidak mengacau rumah' kepada pemberita.
 
Namun, Ketua pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz, pula tampil menyatakan pendirian sebaliknya, iaitu menafikan kenyataan Hadi tersebut. 
 
Malah Nik Abduh, menyalahkan media yang dikatakan memutar belit kenyataan presiden parti itu.
 
Justeru Ramlah mengingatkan parti itu untuk menjaga konsistensi mereka berkenaan pendirian kerjasama sesama pembangkang itu.
 
Ini kerana kenyataan yang bertentangan ini, boleh memberi kesan yang tidak baik terhadap parti itu.
 
"Kalau nak jaga integriti di depan mata rakyat di mata orang ramai mereka (PAS) kena hati-hatilah dengan dasar kenyataan dan dasar tingkah laku mereka.  
 
"Bila berlaku macam ni, kita pun macam putus harap dan tidak berapa percayalah," katanya lagi.
 
Sekaligus beliau turut meminta supaya PAS tidak terus berdolak-dalik dalam isu kerjasama tersebut.
 
"Selama ini kita tahu pendirian dia (PAS) tidak mahu bekerjasama dengan PAKATAN. (Tapi) PAS ni macam berdolak-dalik kan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: