Jumaat, 4 November 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


HADI BERTEMU MUHYIDDIN 8 NOVEMBER

Posted: 04 Nov 2016 06:28 AM PDT

shahbudindotcom


Beberapa jam setelah Hadi Awang mengeluarkan kenyataan pada 2 November lalu bahawa Pas kini terbuka kepada perundingan satu lawan satu dengan parti-parti pembangkang bagi menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang, ia segera mendapat reaksi positif daripada PPBM.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pas dalam tempoh terdekat bagi tujuan tersebut.

Pas telah menyatakan persetujuan ke arah itu serta tarikh pertemuan juga sudah ditetapkan, kata Muhyiddin lagi.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin juga memberitahu, PPBM turut dijemput menghadiri mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dalam tempoh terdekat ini.
 
 
 
 
Pada tarikh 2 November itu juga adalah hari PPBM mengumumkan barisan pimpinan tertingginya dan mengadakan mesyuarat khas buat kali pertama di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Difahamkan, dalam mesyuarat itu Muhyiddin telah memaklumkan keinginan Hadi untuk mengadakan perbincangan bagi tujuan kerjasama dan tarikh yang telah ditetapkan untuk beliau bertemu Presiden Pas itu ialah pada 8 November ini.

Dalam mesyuarat itu juga diputuskan bahawa pada pertemuan pertama ini ia hanya perlu melibatkan Muhyiddin dengan Hadi saja, kemudian baru disusuli dengan perbincangan yang mungkin melibatkan antara lapan hingga sepuluh pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Ternampak bahawa sebelum Hadi mengeluarkan kenyataan "sudah lama membuka pintu untuk satu lawan satu", parti itu turut mengorak langkah yang seiring ke arah perbincangan dan perundingan.

Mungkin selepas ini Pas akan turut mengadakan perbincangan dengan PKR dengan tujuan yang sama. Walaupun terlihat sukar untuk Pas mengadakan perundingan dengan Amanah dan seperti menutup pintu untuk berbincang dengan DAP, jalinan kerjasama dengan PPBM dan PKR sekurang-kurangnya sudah memadai untuk merealisasikan formula satu lawan satu.

Ini kerana Pas tidak mungkin bertembung dengan DAP kerana kedua-duanya bertanding di kawasan yang berbeza. DAP tidak mengacau kerusi Pas selama ini dan sekiranya Pas setuju tidak mengganggu kerusi DAP, masalah kedua-duanya boleh dianggap selesai meskipun tidak mahu bertemu dan berunding.

Kalau pun barangkali timbul masalah ialah kerusi untuk Amanah, tetapi dengan Amanah merupakan komponen Pakatan Harapan, jalan tengah masih boleh diusahakan.

Sekali lagi, moga-moga Pas kekal istiqamah dan tidak berubah-ubah. Diharapkan juga tiada lagi kenyataan-kenyataan seperti "Pas ingin menjadi kuasa ketiga dalam negara", "Pas mahu bertanding di kerusi-kerusi DAP" atau "Pas menolak untuk bekerjasama bagi menjatuhkan Najib dan kerajaan".

Pertemuan awal Muhyiddin dengan Hadi pada 8 November ini amat dinanti-nantikan dan semoga memberi hasil yang positif dan membanggakan.


Kami akan lakukan apa sahaja untuk jaga keselamatan aset kami - TMJ

Posted: 04 Nov 2016 05:01 AM PDT

Astro Arena
Kami akan lakukan apa sahaja untuk jaga keselamatan aset kami - TMJ
TUNKU ISMAIL: Mengenai pemain JDT II kami, saya telah mengarahkan pemain-pemain tersebut untuk pulang kerana pemain-pemain muda ini adalah aset kelab kami.
 
 
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menjelaskan tujuannya memanggil pulang tiga pemain Johor Darul Ta'zim II (JDTII) dari kem latihan skuad kebangsaan kerana mahu menjaga keselamatan mereka.

Menurut satu kenyaatan yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini, pemilik kelab bola sepak JDT itu berkata pihaknya akan melakukan apa sahaja untuk menjaga keselamatan pemain yang dianggap aset.

"Mengenai pemain JDT II kami, saya telah mengarahkan pemain-pemain tersebut untuk pulang kerana pemain-pemain muda ini adalah aset kelab kami.

"Kami yang membayar gaji mereka, dan kami akan melakukan apa sahaja untuk mengawal keselamatan aset kami ini dan menjaga kepentingan kami ini dengan sepenuh hati."

Selasa lalu, tiga tonggak JDT II, Zaquan Adha Abd Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok, hanya berpeluang menjalani satu sesi latihan bersama skuad kebangsaan sebelum dipanggil pulang ke kelab itu.

Surat yang dihantar JDT II menyatakan tiga pemain terbabit hanya akan dilepaskan empat hari sebelum perlawanan seperti yang termaktub dalam peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Mengenai pemain Singapura, TMJ berkata pihaknya membenarkan dua pemain senior melaporkan diri awal kerana mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada projek kelab itu untuk masa akan datang.

"Saya mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan profesionalisme mereka. Berkenaan Hariss Harun, saya berpeluang bercakap dengan jurulatih kebangsaan Singapura (V Sundramoorthy) dan meminta Hariss melaporkan diri pada 3 Oktober.

"Sundramoothy memberitahu saya bahawa ia tidak menjadi masalah. Amat menyedihkan untuk mengatakan bahawa saya mempunyai hubungan yang lebih baik dengan badan induk bola sepak dan kelab-kelab dari seluruh dunia berbanding dengan di negara saya sendiri.

"Saya tertanya-tanya mengapa? Saya akan biarkan untuk anda renungkan. Jadi, inilah kenyataan dari saya," katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Konspirasi BN dalam pilihan raya bakal terbongkar

Posted: 04 Nov 2016 04:47 AM PDT

Azmin Ali
Azmin Ali


SHAH ALAM - Pelantikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Naib Presiden Bersatu dijangka dapat membantu mendedahkan konspirasi BN dalam pilihan raya sebelum ini.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menerusi pelantikan itu, beliau percaya penipuan dilakukan BN dapat didedahkan kepada semua.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu umum senarai penuh MPT]

Katanya, jelas SPR dipergunakan parti itu, contohnya dalam isu persempadanan semula.

"SPR seolah-olah menerima arahan daripada mereka untuk mewujudkan kawasan selamat bagi BN," katanya ketika sesi perbahasan di Sidang Dun Selangor, semalam.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin turut mempersoalkan pelantikan bekas Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sebagai Pengerusi SPR.

"Bagaimana SPR boleh bertindak bebas dan profesional jika pegawai kanan Umno dilantik sebagai pengerusi SPR?.

"Tiga minggu lalu, diangkat satu nama untuk dilantik timbalan pengerusi SPR, sedangkan beliau merupakan ketua setiausaha perdana menteri. Syukur cadangan itu ditolak oleh Majlis Raja-Raja. Inilah bukti SPR dipergunakan BN," katanya menjawab soalan Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam-BN) yang mahu bukti campur tangan BN dalam urusan pilihan raya.

Mohamed Azmin berkata, badan ini tak boleh dianggotai mana-mana parti politik dan berharap semua pihak mendukung bersih ke arah pilihan raya adil dan bebas.


Jamal dijangka gempur Malaysiakini esok

Posted: 04 Nov 2016 04:35 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM), Datuk Seri Jamal Md Yunos tetap mahu mengerahkan anggotanya berkumpul di hadapan pejabat portal berita Malaysiakini di Jalan Tandang esok.
 
Mengakui tidak mempunyai permit untuk berhimpun, Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, Himpunan Gerakan Merah versi 2.0 itu akan mula berkumpul di lokasi tersebut pada pukul 2 petang.
 
"Memandangkan lokasi itu agak kecil, jadi saya tak meletakkan sasaran kehadiran. Namun saya yakin jumlahnya cukup memberangsangkan," katanya dipetik mStar Online.
 
Sementara itu ditanya mengenai kenyataan ugutannya sebelum ini bahawa sebahagian pejabat portal berita itu akan diruntuhkan, Jamal berkata, setakat ini, beliau berpuas hati dengan penjelasan wakil syarikat itu mengenai sumber kewangan mereka.
 
"Saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan bahawa mereka menerima dana Open Society Foundation (OSF) yang dikaitkan dengan George Soros.
 
"Jadi apa yang akan berlaku dalam perhimpunan esok saya tak boleh jangka," katanya.
 
Pejabat Malaysiakini dipilih berikutan rancangan awal mereka untuk berhimpun di Padang Merbok dan Dataran Merdeka ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
 
 
 

Biar Hadi nafi kenyataannya, kata Iskandar

Posted: 04 Nov 2016 04:30 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Hanya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sahaja yang layak menafikan sebarang kenyataan yang dibuatnya, terutama dalam soal rundingan bersama pembangkang bersabit tujuan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya akan datang.
 
Penegasan itu disuarakan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, sambil memberitahu pihaknya belum mendapat sebarang makluman lanjut berhubung perkara berkenaan.
 
"Apa yang dilaporkan itu kita belum dapat pengesahannya. 
 
"Kalau nak nafikan pun biarlah Presiden sendiri yang nafikan. Tidak perlulah orang lain (yang nafi). Saya tidak mahu komen, biar Presiden sendiri yang buat kenyataan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di DUN Selangor, hari ini.
 
Iskandar, yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor terlebih dahulu diajukan kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menafikan kenyataan Hadi bahawa parti itu sedia berunding dengan semua parti pembangkang dalam memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
 
Nik Abduh sebaliknya menganggap kenyataan Hadi itu diputar belit oleh pihak media, dengan sengaja menambah 'Pakatan Harapan' dalam konteks rundingan berkenaan.
 
Hadi, Rabu lalu memberi amaran 'jangan kacau dalam rumah kami,' sekaligus membayangkan parti itu tidak akan berkompromi dalam isu agihan kerusi tradisi milik mereka.
 
Amaran itu disuarakan Hadi meskipun PAS ujarnya menyatakan kesediaan membuka pintu rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjayakan prinsip satu lawan satu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Kenyataan Hadi itu menyusul selepas Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyatakan kesediaan partinya mengadakan pertandingan satu lawan satu dalam mendepani Umno-BN.
 
Mengambil suasana politik di Selangor, Iskandar bersetuju bahawa strategi satu lawan satu perlu diwujudkan demi memastikan kekalahan Umno-BN.
 
"Kalau ada tiga penjuru, BN akan menang. Untuk Selangor, sebagaimana kita lihat di Sungai Besar, perlu ada satu lawan satu. Di tempat lain saya tidak tahu, saya tidak mahu komen," kata ADUN Chempaka itu lagi.
 
 

Azmin sengaja tak beri ruang kepada Khalid jelaskan isu berkaitan ambilalih SPLASH

Posted: 04 Nov 2016 04:29 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat sengaja tidak memberi ruang kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan isu berkaitan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) yang masih tertunggak sehingga kini.
 
ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan juga kesal dengan sikap Azmin yang enggan membawa isu berkaitan penstrukturan semula air ini ke siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) sekiranya beliau benar-benar telus dan terbuka dalam hal ini.
 
"Masa Khalid ada di DUN (benarkan) beliau mengatakan perkara-perkara begitu supaya mudah Khalid balas apa yang didakwa. 
 
"Khalid tidak diberi peluang yang adil. Seharusnya beliau diberi peluang menerangkan perkara-perkara berkenaan. Semalam kita syorkan kepada Azmin bawa isu ini kepada SELCAT tetapi beliau tidak berani. 
 
"Jika benar ada perkara yang tidak betul berlaku, seharusnya (Azmin) menyahut saranan kami semalam untuk bawa hal ini kepada SELCAT dan Khalid dipanggil dan memberi penerangan sebenar kemudian bawa kembali laporan (siasatan SELCAT) itu kepada DUN," ujar Mat Nadzari ketika ditemui pemberita, hari ini.
 
Malah beliau juga mahu dakwaan Azmin semalam, bahawa Khalid berselindung di sebalik nilai sebenar pengambilalihan SPLASH dibawa ke siasatan SELCAT.
 
"Berkenaan surat-surat mengatakan tanpa pengetahuan DUN dan MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) yang dibangkitkan oleh Xavier Jayakumar, (kemudian) Azmin pula kata hal itu sudah bertulis, ada jawapan balas daripada SYABAS, (kerajaan) Pusat pun tahu... Hal itu berlainan sebagaimana didakwa oleh Khalid.
 
"Itu yang sepatutnya dibuat. Bukan hanya buat dakwaan politik di dalam DUN semata-mata hendak menutup dan mengelabui mata rakyat dalam hal ini. Mentang-mentang Khalid tidak ada pada hari itu, maka beliau seronok nak bercakap dan Khalid tidak beri peluang," tempelak Mat Nadzari lagi.
 
Azmin, ketika sesi penggulungan Bajet Selangor 2017 semalam mendakwa Khalid, ketika menjadi menteri besar, sengaja tidak mendedahkan nilai sebenar yang ditawarkan dalam pengambilalihan SPLASH.
 
ADUN Bukit Antarabangsa itu mendakwa Khalid sebenarnya menawarkan jumlah RM2.975 bilion untuk mengambilalih syarikat konsesi berkenaan. Malah bukan itu sahaja, Khalid juga didakwa gagal memaklumkan sebarang perkembangan urusan berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
 
Sehingga kini kerajaan negeri, menerusi pentadbiran Khalid berjaya mengambil alih tiga syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS).
 
Hanya SPLASH sahaja yang belum dimuktamadkan meskipun tempoh rundingan pengambilalihannya berakhir pada Oktober lalu.
 
Sebelum ini Khalid menawarkan nilai pengambilalihan SPLASH hanya RM250.6 juta selepas mengambil kira liabiliti yang ditanggung syarikat itu, namun ditolak syarikat konsesi itu dengan menegaskan nilai syarikatnya berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh konsesi 16 tahun yang perlu dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.
 
Sebaik sahaja Azmin dilantik menggantikan Khalid, ADUN Bukit Antarabangsa itu dikatakan hampir bersetuju untuk membayar jumlah pampasan yang dituntut SPLASH iaitu RM2.7 bilion, peningkatan sebanyak RM2.45 bilion daripada tawaran asal.
 
Khalid menyifatkan sebagai satu pembaziran wang rakyat jika kerajaan negeri pimpinan Azmin akur dengan jumlah yang dituntut SPLASH itu.
 
 

Prinsip perjuangan dan keterbukaan PAS

Posted: 04 Nov 2016 03:45 AM PDT

NASRUDIN HASSAN 


 

PRINSIP PERJUANGAN PAS

Islam adalah dasar perjuangan PAS. Berdiri teguh di atas dasar perjuangan Islam ini adalah prinsip PAS. Menang atau kalah dalam pilihan raya, PAS tetap bersama perjuangan Islam. PAS mendambakan kemenangan namun prinsip perjuangan ini tidak akan digadai pajak semata-mata kerana memburu kemenangan.

Bagaimana sayugianya PAS mempertahankan prinsip, adalah seperti penegasan yang disabdakan oleh Rasullullah SAW.

أَلَا إِنَّ رَحَى الْإِسْلَامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ، أَلَا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ، فَلَا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ، أَلَا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لِأَنْفُسِهِمْ مَا لَا يَقْضُونَ لَكُمْ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، كَيْفَ نَصْنَعُ؟ قَالَ: «كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ»

Ketahuilah! Sesungguhnya Islam bergerak dalam satu putaran maka pastikan senantiasa bersama Al Kitab (Al Quran) sekira-kira bagaimana kedudukannya.

Ketahuilah! sesungguhnya Al Kitab dan Pemerintah akan berpisah maka jangan kamu memisahkan diri dari Al Kitab (Al Quran).

Ketahuilah! Akan datang kepada kamu pemerintah yang bertindak untuk kepentingan diri mereka bukan bertindak untuk kepentingan kamu. Jika kamu mengingkari mereka, mereka akan bunuh kamu. Jika kamu mentaati mereka, mereka akan menyesatkan kamu.

Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Maka apa selayaknya tindakan kami?

Jawab Nabi SAW: Bertindaklah sebagaimana tindakan para sahabat Nabi Isa ibn Maryam. Mereka digergaji jasadnya dan dipalang pada kayu, namun Mati dalam keadaan taat kepada Allah SWT adalah lebih baik daripada hidup bergelumang maksiat kepada Allah SWT.

Telah dikeluarkan oleh At Tabarani (Mu'jam Al Kabir) dari Saidina Muaz Ibn Jabal Rha.

Sudah namanya prinsip maka ia mesti dipertahan dan diperteguhkan. Tidak mempertahankan prinsip adalah sifat orang yang tidak berprinsip dan ia merupakan satu kelemahan yang sangat ketara dalam kepimpinan dan perjuangan.

KETERBUKAAN PERJUANGAN PAS

Namun, hidup berprinsip bukan lah bermakna konservatif, rigid dan jumud. Sebaliknya 1001  pintu sedia terbuka bagi meraikan keindahan hidup berbeda dalam aneka warna. Hanya kita tidak  berubah dari paksi perjuangan Islam. Bagaikan spesis ikan yang isinya tetap tawar meskipun hidup di dalam lautan masin yang luas.

PAS melalui budaya politik matang dan sejahtera sangat mudah didekati dan mendekati mana-mana pihak, selama dasar dan prinsip perjuangannya tidak dicabar dan diganggu. PAS boleh berkawan dengan siapa jua asal kawannya itu sedia menerima dan menghormati dasar dan prinsip perjuangannya iaitu Islam.

Pengalaman luas dan lama PAS di pentas politik tanah air dengan pelbagai bentuk tahaaluf siyasi (kerjasama politik) yang telah dilalui, membuktikan PAS adalah sebuah parti  yang banyak bertolak ansur dalam rentak catur politiknya, namun PAS tidak boleh membiarkan dirinya ditolak beransur-ansur oleh petualang serta penyangak politik yang tamak dan haloba.

Politik dakwah dan amar makruf nahi mugkar menjadi cermin kepada corak keterbukaan versi PAS. Terbuka kerana gerak kerja PAS adalah berorientasikan dakwah dan berjuang untuk menegakkan al-makruf bersama masyarakat di dalam negara tercinta ini.

Pun begitu keterbukaannya tidak sampai menerima masuk sampah sarap yang berupa fasad dan mungkar sehingga menghakis nilai dan makna Islam yang diperjuangkan oleh PAS, justeru nahi munkar menjadi salah satu kriteria budaya politik yang diamalkan oleh PAS.

Mutakhir ini, pelbagai pihak termasuk parti-parti politik dan pengamal media sedang memerhati keputusan dan pendirian PAS mengangkat formula mendepani pilihan raya umum kelak. Tidak kurang juga cybertrooper dan pelampau media dengan agenda batu api dan racun tuba mereka yang tidak sudah-sudah mensasarkan PAS.

Satu lawan satu atau tiga penjuru atau lebih penjurunya adalah hanya kesan yang terhasil dari  sikap politik yang diambil. Ia bukan perkara pokok. PAS telah diletakkan dalam keadaan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dari kesan yang terhasil itu.

Muktamadnya, PAS akan terus istiqamah mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan Islamnya, sementara PAS bersikap terbuka kepada siapa jua yang sedia menerima dan menghormati dasar dan prinsip perjuangannya. PAS tidak mungkin membiarkan rumahtangganya diganggu lagi. PAS juga tidak akan mengorbankan prinsip perjuangannya sebagaimana PAS tidak pernah menutup pintu buat tetamu yang tahu adab dan menghormati serta memelihara maruahnya.

Inilah Penyelesaian Kita
Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

S'gor rancang bina kompleks Islam di semua daerah

Posted: 04 Nov 2016 03:40 AM PDT

HARAKAHDAILY 


 


KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri dalam perancangan membina Kompleks Islam Daerah merangkumi komponen Pejabat Agama Islam Daerah, Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pembinaan kompleks itu bertujuan mewujudkan pusat setempat di semua daerah bagi pengurusan hal ehwal agama Islam.

"Mengikut perancangan jangka masa panjang dan keperluan di daerah, kerajaan negeri merancang untuk membina Kompleks Islam Daerah di semua daerah," ujarnya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata, pengisian bagi kompleks itu merangkumi pengurusan dan aktiviti agensi di peringkat daerah termasuk pengurusan pendaftaran perkahwinan, pengurusan sekolah yang berada di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Juga pengurusan masjid dan surau, penerimaan aduan dan urusan lain yang melibatkan hal ehwal agama islam di peringkat daerah," katanya yang turut menganggarkan kos pembinaannya menelan belanja sekitar RM30 juta.


Minyak masak: Kerajaan punca rakyat terbeban

Posted: 04 Nov 2016 03:39 AM PDT

NASRUDIN HASSAN



Kerajaan wajar dipertanggungjawabkan kerana telah menyebabkan para pengguna terbeban dengan kenaikan harga dan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi (pek plastik 1 kg) dalam pasaran pasca pelaksanaan rasionalisasi subsidi minyak masak bermula awal bulan ini.

Media-media utama dan orang awam sehingga hari ini masih melaporkan keadaan kekurangan bekalan minyak masak dalam pasaran di beberapa negeri dan harga runcit yang dikenakan kepada pelanggan melambung tinggi daripada harga sebelum ini.

Amaran Kerajaan kepada peniaga supaya patuh kepada sebarang ketetapan dan jaminan kepada pengguna bahawa bekalan minyak masak dalam pasaran adalah mencukupi dilihat tidak sedikit pun mengubah kesusahan yang sedang dihadapi rakyat ketika ini bagi mendapatkan bahan keperluan ini; bahkan keadaan terus semakin sulit bagi rakyat.

Rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kononnya untuk :

(i) menggalakkan syarikat atau pengilang mengeluarkan minyak masak dalam pek plastik 1 kg dan

(ii) mengelakkan kerajaan daripada membayar subsidi kepada syarikat atau pengilang yang tidak bertanggungjawab menyeludup minyak masak ke pasaran luar dilihat tidak kesampaian dan menjadi sebaliknya.

Syarikat atau pengilang dan pengedar serta peruncit yang tidak bertanggungjawab itu tetap mengambil kesempatan daripada keadaan ini untuk menyorokkan bekalan pek plastik 1 kg dan melambakkan minyak masak botol dalam pasaran. Mereka mendapat keuntungan lebih berganda apabila tetap meneruskan kegiatan haram mereka dengan menjual minyak bersubsidi ke pasaran luar pada masa yang sama minyak masak botol juga kini boleh dijual pada harga yang lebih tinggi dalam pasaran tempatan selepas pengstrukturan subsidi ini dibuat.

Sebenarnya, isu asasnya ialah kawalan kerajaan terhadap 23 syarikat atau pengilang yang memonopoli pasaran minyak masak di Malaysia; bukannya subsidi itu sendiri. Kerajaan supatutnya bertegas kepada syarikat atau pengilang ini; bukannya menarik semula bantuan yang telah diberikan kepada rakyat sebelum ini.

Tidak sepatutnya kelemahan dan kecuaian kerajaan menangani masalah ini menyebabkan beban itu dilepaskan kepada rakyat sedang mereka akan terus menanggung peningkatan kos sara hidup kesan daripada kenaikan harga makanan dan barangan keperluan lain.

* Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat



Dua maut dihempap kren

Posted: 04 Nov 2016 03:29 AM PDT

Dua maut dihempap kren
Keadaan kereta yang dipandu mangsa remuk. - Foto Bomba
 


KLANG - Dua maut selepas sebuah kren statik tumbang dan menghempap kereta dinaiki mereka di Persiaran Astana, Klang, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Menurut sumber, mangsa yang maut dipercayai berusia lingkungan 50 an.

"Terdapat dua mangsa dalam kenderaan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya.

Sebelum ini, seorang pemandu kereta wanita maut dihempap besi yang dipercayai terjatuh dari sebuah kren di tapak pembinaan di Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Dalam kejadian 7.20 malam itu, besi berkenaan dipercayai terjatuh dari kren di sebuah tapak pembinaan, bersebelahan pusat beli-belah Pavilion dan menimpa kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa.


Jangan pandang ringan pengaruh Bersatu

Posted: 04 Nov 2016 03:25 AM PDT




Muhyiddin serah borang pendaftaran Parti Bersatu
Muhyiddin ketika ditemui media di pekarangan pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).


SHAH ALAM - Penubuhan Bersatu yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed tidak boleh dipandang ringan terutama oleh BN.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, BN perlu mengkaji kesan penubuhan Bersatu kepada parti itu, pada PRU14.

Beliau berkata, pengumuman barisan Ahli Majlis Pimpinan (AMP) oleh presiden parti berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassim kelmarin adalah bukti jelas parti itu tidak boleh dipandang enteng.

"AMP Bersatu terdiri daripada orang berpengaruh dan mempunyai pelbagai latar belakang termasuklah individu yang tidak disangka menyertai dunia politik, iaitu mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Rahman," katanya.

Namun begitu katanya, kekuatan Bersatu masih sukar diukur walaupun dibarisi oleh individu yang berpengaruh.

"PRU adalah medan terbaik untuk masyarakat menilai kehebatan dan kekuatan parti tersebut.

"Di situlah masyarakat boleh menilai bagaimana kepimpinan Bersatu mengemudi parti itu. Segala persoalan akan terjawab pada PRU," katanya.

Mohd Fuad berkata, Bersatu seringkali diuar-uarkan sebagai parti yang lahir daripada pihak yang tidak berpuas hati terhadap pimpinan terdahulu.

"Jadi, sesiapa sahaja yang keluar daripada parti pemerintah dan menyertai parti pembangkang adalah orang yang tidak bersetuju dengan parti," katanya.


Baju merah tidak dibenarkan masuk pejabat Tun M

Posted: 04 Nov 2016 03:21 AM PDT

Baju merah tidak dibenarkan masuk pejabat Tun M


PUTRAJAYA - Kumpulan Baju Merah pulang dengan hampa apabila mereka tidak dibenarkan memasuki perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana untuk Program Penerangan Tertutup oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini.

Ketua Penerangan Baju Merah, Ariffin Abu Bakar berkata, mereka mendapat jemputan melalui medium WhatsApp dan hadir ke sini secara aman.

"Ada khabar angin mengatakan kami datang ke sini untuk mencetuskan huru-hara seperti menjadi viral di laman sosial tidak benar.

"Oleh sebab itu, kami ingin bersihkan nama kami dan menunjukkan bahawa kami bukanlah gangster seperti yang diviralkan orang ramai," katanya ketika ditemui di hadapan di hadapan Perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Sebelum ini, Kumpulan Baju Merah digelar sebagai gangster berikutan insiden menendang peserta Bersih 5 sewaktu roadshow kumpulan itu.

Menurutnya lagi, mereka terima keadaan ini dengan terbuka dan juga faham dengan penjelasan yang diberikan wakil Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu.

"Kedua-dua pihak jelas dengan keadaan ni dan terima dengan reda.

"Cuma kami mengharapkan agar pihak Tun dapat membersihkan nama kumpulan kami ini," katanya lagi.


Tiada ulasan: