Khamis, 3 November 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Disiasat Di Bawah AMLA : Kereta & Akaun Bank Sanjeevan Disita

Posted: 03 Nov 2016 08:04 AM PDT




sanje1


Sepasukan polis Bukit Aman telah menyerbu kediaman Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R Sri Sanjeevan dan menyita kenderaan yang didaftarkan atas namanya.


Serbuan dilakukan oleh dua anggota polis dan 10 anggota Skuad Taktikal Khas 3 yang sedang menyiasat Sanjeevan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Seksyen 45.

"Di bawah AMLA, Seksyen 45, kita akan sita semua harta yang disyaki meragukan. Kita boleh sita selama 9 bulan tetapi kalau didapati tiada kaitan, kita akan lepaskan.

"Kita sudah sita akaun bank dia. Jadi apa-apa harta yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram, kita akan ambil untuk siasatan selanjutnya," kata ASP Faizal Maamor kepada FMT.

Dalam sitaan itu, sebuah kereta model BMW EX6 berwarna merah dan 3 motosikal Demak EX90 berwarna biru serta motosikal Yamaha Ego dibawa ke tempat simpanan barang kes polis di Cheras.

sanje

Sebelum ini, Sanjeevan ditahan pada 22 Jun kerana disyaki melakukan pemerasan dan ugutan jenayah.

Media melaporkan aktivis 32 tahun yang menetap di Kajang itu diberkas Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) sebaik sahaja menerima wang perlindungan RM25,000 daripada seorang pengadu, seorang pengusaha judi 4 angka haram berusia 38 tahun.

Sejak tangkapan itu, beberapa laporan polis dibuat terhadap Sanjeevan oleh mereka yang mendakwa diperas ugut oleh Pengerusi MyWatch itu.



Sanjeevan Hidup Mewah Hasil Jenayah?

Khairuddin Lebih Layak Jadi Naib Presiden PPBM, Kata Orang Kuat Tun Mahathir

Posted: 03 Nov 2016 08:01 AM PDT

 

 



Orang kuat Tun Mahathir, Datuk Seri Zaeinal Abidin Omar mendakwa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan lebih layak menjadi Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berbanding dengan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Katanya, kebanyakan muka baharu yang dilantik itu, selama ini hanya membisu ketika pemimpin lain berjuang bermati-matian menentang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Mereka yang baharu dilantik pegang jawatan tertinggi ini, saya tidak nampak keikhlasan dan pendirian melawan Najib, kita tak nak lalang yang tidak ada pendirian jadi pemimpin.

"Kita nak pemimpin yang betul-betul ikhlas, kita tidak tahu sejauh mana pendirian mereka sebab mereka tidak pernah tunjuk keberanian mereka menentang Najib, mereka hanya menumpang dan ambil kesempatan di atas kejayaan penubuhan PPBM," katanya kepada FMT hari ini.

Pengumuman ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM hari ini (di bawah) dilihat satu usaha menaikkan kedudukan anak Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir apabila dilantik sebagai Timbalan Presiden, namun begitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden juga turut mengukuhkan kedudukannya dengan meletakkan orang-orang kepercayaannya di posisi strategik.

Dua posisi strategik itu adalah Setiausaha yang disandang oleh Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Bendahari, Datuk Mohd. Salleh Bajuri.

Selain itu abang Muhyiddin, Tan Sri Abd. Aziz Yassin turut dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa PPBM.






Mengulas lanjut, Zaeinal menegaskan sepatutnya Khairuddin dilantik untuk mengisi salah seorang daripada Naib Presiden PPBM yang sekarang disandang oleh jawatan Rashid Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Hamidah Osman.

"Khairuddin salah seorang individu selayaknya dilantik jawatan tertinggi, saya berjuang dari mula bersama Khairuddin menentang Najib.

"Kita lalui pelbagai cabaran, pelbagai ugutan, ancaman dan sebagainya, malah sanggup berkorban nyawa, keselamatan, periuk nasi pun kita korbankan.

"Adakah mereka itu berani buat macam itu? Mereka berani buat laporan polis, tidur dalam lokap seperti Khairuddin? Mereka semua bisu," soalnya.

Sehubungan itu, Zaeinal mengingatkan barisan pemimpin PPBM yang tidak pernah berjuang untuk penubuhan parti supaya tidak membelakangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membuat keputusan kerana kekuatan parti terletak pada aura bekas perdana menteri itu.

PAS : Jangan Mudah Terjerat Dengan Spin Anasir Jahat

Posted: 03 Nov 2016 07:53 AM PDT







Timbalan Ketua Penerangan Pas Pusat, Roslan Shahir Mohd Shahir mengingatkan ahli parti agar tidak mudah terperangkap dengan 'spin' anasir jahat yang membayangkan PAS kini mahu kembali melutut kepada DAP dan PAN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

"Ambil perhatian kenyataan Tuan Guru itu tidak langsung sebut kerjasama bersama Pakatan Harapan atau DAP apatah lagi PAN.


"Jangan mudah terjerat dengan spin anasir jahat dan berkepentingan,"katanya dalam Facebook sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang berkata pihaknya sedia berkerjasama dengan mana -mana parti bagi menghadapi BN satu lawan satu dalam PRU akan datang.

"PAS dah lama buka pintu dan pintu tidak tutup.

"Cuma bila buka pintu jangan kacau dalam rumah ….. Jangan kacau dalam rumah kami sudah," Kenyataan Abdul Hadi dipetik.

Roslan Shahir menjelaskan kenyataan Presiden PAS perlu difahami secara betul khususnya berkaitan dengan syarat yang telah diletakkan oleh beliau.

"Bermakna walau DAP singkir PAS dan melahirkan pula proksinya Pan untuk gantikan PAS namun PAS tidak pernah tutup pintu untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi BN.

"Apa yang berlaku sebelum ini (apabila) pintu PAS dibuka, DAP naik masuk tapi bikin onar. Sehingga rumah tangga PAS pun mahu dicampur sehingga prinsip perjuangan PAS pun mahu diganggu.

"Itu semua adalah sejarah.

"Tidak cukup setelah terjun keluar dari tingkap rumah PAS, DAP taja pula pengkhianat untuk menentang PAS.

"Macam mana nak kerjasama?,"soalnya.

Jelas Roslan Shahir, walaupun pintu rundingan PAS masih dibuka, namun ia sudah tertutup kepada para pengkhianat parti Islam itu.

"PAS masih punya kerjasama politik dengan PKR dan kini telah pun tubuh Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga.

"Pintu PAS terus buka tapi kalau nak naik masuk biarlah beradab dan sopan. Hormat penghuninya dan tertib bila di dalamnya.

"Akan tetapi para pengkhianat sekali-kali tidak punya tempat di hati penghuni rumah PAS,"katanya lagi.

LIHAT VIDEO DI SINI

Khalid Ibrahim Dihalang Persoal Jumlah Pampasan Kepada SPLASH Dalam Sidang DUN Selangor

Posted: 03 Nov 2016 07:47 AM PDT

 

 


SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dibenar bertanyakan soalan mengenai jumlah pampasan yang bakal dibayar kerajaan negeri itu, untuk mengambil alih aset Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH), pada sidang DUN kali ini.


Khalid Selasa lalu ketika membahaskan Bajet Selangor 2017 berkata beliau mengusulkan soalan lisan perihal perkara itu namun ditolak Pejabat Speaker atas alasan bersifat andaian.

ADUN Pelabuhan Klang itu turut menjelaskan bahawa beliau terpaksa membuat andaian kerana kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azmin Ali kini tidak berkongsi maklumat mengenai usaha pengambil alihan aset SPLASH dengan rakyat Selangor.

"Saya bertanyakan sekiranya Exco Selangor telah bersetuju menaikkan nilai pampasan ekuiti pengambilan syarikat pengeluaran air Selangor (SPLASH) daripada RM250.6 juta kepada RM2.7 bilion.

"Perincian justifikasi keputusan tersebut serta punca dana dan plan membaiki transcity tersebut. Saya diberitahu Pejabat Speaker menolak kerana ini terlalu andaian," katanya.

Khalid ketika memimpin Selangor mengambil pendekatan meuar-uarkan kepada media dan rakyat negeri itu mengenai apa sahaja perkembangan membabitkan usaha pengambil alihan aset empat syarikat konsesi air.

Sehingga beliau dipaksa melepaskan jawatan menteri besar, Khalid berjaya mengambil alih tiga syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS).

Khalid memulakan usaha pengambilalihan itu bagi mewujudkan pengurusan air secara holistik selain mengawal harga air agar tidak dijadikan perniagaan yang hanya menguntungkan pihak tertentu.

SPLASH menurut Khalid hanya ditawarkan RM250.6 juta sahaja oleh kerajaan negeri sebelum ini selepas mengambil kira liabiliti yang ditanggung syarikat itu.

SPLASH menolak tawaran itu dan menegaskan nilai syarikatnya berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh konsesi 16 tahun yang perlu dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.

Sebaik sahaja Azmin dilantik menggantikan Khalid, ADUN Bukit Antarabangsa itu dikatakan hampir bersetuju untuk membayar jumlah pampasan yang dituntut SPLASH iaitu RM2.7 bilion, peningkatan RM2.45 bilion daripada tawaran asal.

Khalid berkata beliau kesal jika tuntutan SPLASH itu dituruti kerajaan negeri dan menyifatkan ia adalah pembaziran wang rakyat.

Malah dedahnya, bukan hanya beliau yang tidak bersetuju dengan jumlah tuntutan SPLASH namun ia turut tidak disenangi ahli panel penilai air Selangor, Charles Santiago (Ahli Parlimen Klang) dan bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud.

Azmin setiap kali diajukan pemberita perihal pengambil alihan SPLASH sering mengelak dan beralasan rundingan masih dijalankan.

Azmin sebelum ini memberitahu rudingan kerajaan negeri dengan SPLASH akan dimuktamadkan Oktober 2016. Namun sehingga berakhirnya Oktober, rundingan itu masih belum mencapai kata putus.

Untuk rekod, Selangor di bawah Khalid berjaya mengambil alih tiga syarikat konsesi dengan jumpah pampasan bernilai RM1.68 bilion. Daripada jumlah itu PNHB menerima RM1.07 bilion manakala SYABAS dibayar RM0.52 bilion dan ABBAS sekadar RM0.09 bilion – AP

[KEMASKINI] Media salah lapor kenyataan Hadi, PAS nafi mahu runding satu lawan satu

Posted: 03 Nov 2016 07:43 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS menolak tanggapan bahawa parti itu sedia berunding dengan semua parti pembangkang dalam memastikan satu lawan satu untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. 
 
Sebaliknya Ketua Pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz menganggap, kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam diputar belit oleh pihak media.
 
Ujarnya, kenyataan 'jangan kacau rumah tangga kami' sebagaimana disebut Hadi itu tidak merujuk kepada mana-mana pihak, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
 
"Sebagaimana Hadi kata semalam perbincangan PAS adalah dengan parti yang tidak kacau rumah tangga PAS. Yang media sebut akan ada kerjasama dgn PH itu adalah kenyataan media bukan daripada Hadi. Saya ikuti video itu semalam dan jawapan Hadi pendek sahaja dan beliau sebut bahawa jangan kacau rumah tangga. 
 
"Itu merujuk kepada parti-parti yang tak kacau rumah tangga PAS. Jadi kita tahu siapa yg kacau dahulu. Apa yang Hadi sebut semalam itu bukan keputusan baru. Bukan pusingan-U bahkan keputusan lama bahawa PAS hanya berunding dengan parti-parti yang tak ada rekod buruk dengan PAS Dalam sejarah hubungan dalam Pakatan Rakyat dahulu," jelasnya kepada pemberita ketika di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Semalam Hadi memberi amaran 'jangan kacau dalam rumah kami,' sekaligus membayangkan parti itu tidak akan berkompromi dalam isu agihan kerusi tradisi milik mereka.
 
Amaran itu disuarakan Hadi meskipun PAS ujarnya menyatakan kesediaan membuka pintu rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjayakan prinsip satu lawan satu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Nik Abduh kemudiannya diajukan mengapa menyifatkan kenyataan Hadi diputar belit, sedangkan ia menyusul selepas Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyatakan kesediaan parti itu untuk mengadakan pertandingan satu lawan satu.
 
"Tetapi beliau tidak merujuk kepada PH. Beliau buat kenyataan umum bahawa PAS memang setuju jika diadakan pertandingan satu lawan satu iaitu dua penjuru dan asasnya kkta bersetuju. Namun perbincangan itu tidak merujuk kepada perbincangan (bersama) PH. PH itu media sahaja tambah," balas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.
 
Menegaskan lebih lanjut, PAS katanya tidak akan berunding dengan DAP meskipun tujuan satu lawan satu tetap dimahukan oleh pembangkang.
 
"Isu DAP kita sudah jawab dahulu yang mana kita tidak akan berunding dengan DAP. Strategi menghadapi PRU14 adalah strategi takkan saya nak buka? Saya pun tak tahu strategi itu bagaimana," tegasnya sambil menambah perbincangan hanya dilakukan bersama parti yang tidak mengganggu PAS sahaja.
 
Sementara itu dalam isu berlainan, Nik Abduh menyerahkan jemputan PH untuk menghadiri Konvensyennya 12 November depan kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
 
"Itu perlu tanya Setiausaha Agung PAS," katanya.
 
Semalam Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli memaklumkan sudah menghantar jemputan kepada PAS untuk menghadiri konvensyen PH dan akan menghantar jemputan kedua untuk membincangkan strategi satu lawan satu selepas parti berkenaan menyatakan kesediaannya untuk berbuat demikian.
 
 

Pergi ke China minta bantuan selamatkan 1MDB?

Posted: 03 Nov 2016 05:12 AM PDT

 
 
Faiz FadzilFaiz FadzilKehadiran anak tiri Najib Razak, Riza Aziz dalam lawatan rasmi kerajaan ke China minggu ini menimbulkan persoalan kemungkinan wujudnya usaha untuk mendapatkan bantuan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, penjenayah 1MDB yang diburu dunia tidak harus dibiar bebas dan diberikan layanan sebegitu istimewa.

"Beliau (Riza Aziz) disyaki mendapat faedah berbilion ringgit daripada curian wang 1MDB di mana beberapa banglo mewah di Amerika Syarikat (AS) dibelinya dengan menggunakan wang 1MDB.

"Beliau juga berbelanja mewah dalam pembikinan filem dan pesta arak serta permainan judi dengan menggunakan wang rakyat.

"Adakah pemergian ke China bagi mendapat bantuan kuasa baru dunia itu bagi menyelamatkan 1MDB yang dibelenggu hutang lebih RM50 bilion dan Riza daripada terus diburu oleh pihak berkuasa beberapa negara termasuk AS, Singapura dan Switzerland?" bidasnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan Perdana Menteri dan keluarganya sama sekali tidak rasa bersalah menyalahgunakan kemudahan kerajaan.

"Sikap PM (Perdana Menteri) yang langsung tidak sensitif dengan keadaan rakyat yang dizalimi dan ditekan dengan kenaikan harga barang terutama petrol dan minyak masak, mereka boleh tanpa rasa segan silu dan bersalah kepada nasib rakyat terbang ke China menggunakan jet kerajaan.

"Perdana Menteri, Rosmah dan Riza harus ingat bahawa negara ini bukan milik kamu bertiga tetapi adalah milik rakyat Malaysia. Apakah kedudukan istimewa Riza dalam kerajaan yang membolehkan beliau bersama rombongan ke China?" soalnya lagi yang juga merupakan peguam.

Sehubungan itu, Faiz menyeru seluruh rakyat bangkit menumbangkan pemimpin zalim dan merompak harta negara ini seperti yang pernah berlaku pada diktator lain.

"Gaya hidup dan corak pemerintahan sebegini saling tak tumpah seperti bekas-bekas diktator dunia seperti Marcos, Suharto, Shah Iran dan sebagainya. Masa telah tiba untuk rakyat bangkit lawan diktator yang zalim dan kleptokrasi ini," tegasnya lagi.

Untuk rekod, Riza Aziz yang namanya disebut Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, 20 Julai lalu dalam pemfailan permohonan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang berkait dengan 1MDB dikatakan sukar dikesan.

Bahkan, cubaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini untuk memanggil Riza dan ahli perniagaan Jho Low untuk memberikan kenyataan berhubung dengan isu berkenaan juga gagal.

Riza dan Jho Low dinamakan dalam saman sivil DoJ itu selain dua bekas pegawai Abu Dhabi sebagai antara pihak yang terbabit dengan penyelewengan dana 1MDB termasuk membeli hartanah maha mewah di Amerika Syarikat dan membayar perbelanjaan perjudian di kasino Las Vegas.

Selain itu, mereka turut terbabit dalam memperoleh lebih AS$200 juta dalam hasil seni, melabur dalam projek utama pembangunan hartanah di New York serta membiayai produksi filem Hollywood.

MOGA PAS KEKAL ISTIQAMAH

Posted: 03 Nov 2016 05:05 AM PDT

shahbudindotcom

 

Pendirian baru Pas sejak sehari dua ini tentunya amat dialu-alukan oleh semua pihak yang mengharapkan akan wujud perubahan dan pembaharuan dalam negara selepas PRU 14 akan datang.

Setelah Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin seakan berubah nada dengan mengatakan parti itu sedia bersama parti-parti pembangkang lain untuk bertanding satu lawan satu menentang BN asalkan penyatuannya  atas dasar agama Allah, kini Presiden Pas, Hadi Awang pula bersuara hampir sama.

Kata Hadi, Pas sudah lama membuka pintu kepada konsep satu lawan satu bagi tujuan mengalahkan BN pada pilihanraya umum akan datang.
 
 
 
 
Selain mengatakan sedia berunding ke arah itu, Hadi cuma mahukan "jangan kacau rumah kami".

Meskipun berkata, "jangan kacau rumah kami", yang penting ialah Hadi dalam masa yang  sama masih terbuka kepada perundingan dengan parti-parti lain dan  tetap dengan pendirian untuk menumbangkan UMNO dan BN.

Berbanding sebelum ini, pendirian Hadi sekarang nampaknya mula menunjukkan perubahan yang positif. Ini bukan saja membawa berita melegakan kepada pihak pembangkang, malah juga kepada harapan rakyat yang rata-ratanya sudah jemu dengan pemerintahan  UMNO dan BN serta berperdana-menterikan Najib Razak.

Jika semua pihak dalam pembangkang terbuka kepada perundingan, harapan untuk mencapai kata sepakat tentunya lebih cerah berbanding dengan masing-masing membawa haluan sendiri.

Kini, terserahlah kepada semua pimpinan parti pembangkang untuk berlapang dada dan berunding dengan terbuka serta memikirkan keutamaan yang paling penting bagi semua pihak ialah menyelamatkan negara dari pemerintahan Najib, UMNO dan BN yang semakin tidak tentu hala dan menyusahkan rakyat jelata.

Selain itu, kebaikan lain sekiranya Pas sedia bersatu dengan parti-parti pembangkang lain untuk berdepan satu lawan satu dengan BN ialah ia dengan sendirinya menutup cerita parti itu pernah terhutang budi atau menerima apa-apa sumbangan kewangan daripada Najib.

Setuju dengan muafakat satu lawan satu untuk menumbangkan BN akan menjadikan sama ada saman Pas terhadap Sarawak Report diteruskan atau sebaliknya tidak lagi penting kepada rakyat untuk mengetahuinya. 

Cuma, diharapkan agar  Pas kekal istiqamah dan tidak berubah-ubah lagi selepas kenyataan Hadi ini.


SPRM tutup kes dakwaan ‘habuan seks’ Rafizi

Posted: 03 Nov 2016 04:58 AM PDT

SPRM_MACC_malaysian_anti-corruption_commission_27072015_TMIKAMAL_ARIFFIN_04 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes berhubung dakwaan 'habuan' seks yang dibuat oleh Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam kerajaan negeri Selangor.

Pihak SPRM mendapati tiada bukti wujudnya perkhidmatan seks yang melibatkan urusan dengan kerajaan negeri Selangor, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

"Ada pernah dakwaan dibuat, bukan oleh kerajaan, tapi dari pihak sana, beritahu tentang perkhidmatan seks. Itu disiasat

"Bila disiasat, bukti (mengenainya) kita dapati tidak wujud," kata Razali ketika menggulung perbahasan Bajet 2017, dengan tumpuan kepada SPRM dan Felda.

Ini merujuk kepada aduan kepada SPRM oleh Rafizi mengenai dakwaan terdapat permintaan untuk wanita dan wang dari pihak-pihak tertentu dalam urusan yang melibatkan kerajaan Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berkata tuduhan itu adalah sebahagian daripada kempen untuk memburuk-burukkan kerajaannya.

Razali menyentuh tentang dakwaan tersebut ketika menjawab soalan mengenai siasatan SPRM terhadap 1MDB di Parlimen malam tadi.

Akhirnya BN akui Jeti LKIM RM22 juta jadi projek gajah putih

Posted: 03 Nov 2016 04:50 AM PDT

Selangorkini, 
Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Selangor .
Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Selangor .

SHAH ALAM – Selepas diasak akhirnya Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik mengakui projek Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Selangor merupakan projek gajah putih peninggalan Barisan Nasional (BN).

Projek yang menyebabkan pembaziran RM22 juta itu diklasfikasikan projek gajah putih apabila projek itu didapati tidak selamat dijadikan tempat pendaratan ikan oleh nelayan.

"Itu kerja pemimpin terdahulu, janganlah dibangkitkan lagi," kata Kamarol Zaki ketika membahaskan Belanjawan 2017 Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) selepas diasak oleh ADN Sekinchan, Ng Suee Lim.

Terdahulu beliau menyatakan kebimbangan terhadap satu skim yang dilancarkan pada 2017 daripada menjadi projek gajah putih.

Kenyataan Kamarol Zaki itu menarik minat Suee Lim untuk mencelah dan bertanya adakah projek gajah putih yang dimaksudkan sama seperti yang dialami projek jeti pendaratan ikan LKIM Kuala Selangor.

Kata Suee Lim, projek bernilai RM22 juta itu tidak berbaloi apabila hanya sebahagian kecilnya sahaja boleh dimanfaatkan dengan dijadikan 'Restoren Steamboat'.

Ia berbanding objektif sebenar tempat pendaratan bot nelayan kelas visel B dan A untuk menaikkan hasil tangkapan masing-masing.

Beliau yang pada mulanya cuba mengelak daripada menyentuh isu jeti yang pernah didedahkan SelangorKini pada 2012 lalu, akhirnya mengakui projek itu merupakan kesilapan dilakukan pemimpin BN terdahulu.

Pada 2012, SelangorKini mendedahkan projek itu gagal memperolehi kelulusan plan daripada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) selepas MDKL mendapati projek itu tidak mendapat kelulusan pelbagai agensi terlibat ekoran tidak menepati piawaian yang ditetapkan.

Antara agensi yang perlu menilai sebelum kelulusan boleh diberi adalah Jabatan Alam sekitar (JAS), Jabatan Penilaian, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Pembangunan, Indah Water, TNB, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perancangan Pembangunan, Jabatan Maritim dan lain-lain apabila kesemuanya lebih kurang 19 pihak perlu meneliti projek terbabit.

Walaupun gagal mendapatkan kelulusan agensi terlibat tetapi BN mengambil keputusan meneruskannya hinggalah projek itu akhirnya gagal memperolehi sijil menduduki (CF) kerana diklasfikasikan sebagai tidak selamat.

Dr M turun ke Parlimen Selasa depan?

Posted: 03 Nov 2016 04:46 AM PDT

tun-mahathir 


Selasa depan mungkin menyaksikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Parlimen buat kali pertama selepas meninggalkan kerajaan 2003 lalu, kali ini bersama sisi lain dengan lawannya suatu ketika dahulu.

Difahamkan beliau akan hadir dalam mesyuarat ahli Parlimen (MP) pembangkang untuk berbincang mengenai kuasa imuniti dalam Parlimen.

Perbincangan itu berkaitan siasatan ke atas beberapa MP yang membangkitkan mengenai 1MDB dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan kini kenyataan mereka sedang di ambil oleh pihak polis.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen dan bekas ahli Parlimen dan mereka akan datang Selasa depan untuk bincang mengenai strategi dan langkah seterusnya.

"Saya dah bercakap dengan Dr Mahathir dan tanya pendapat dia, Dia (Dr Mahathir) akan hadir," kata pemimpin Veteran DAP Lim Kit Siang kepada pemberita dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Antara ahli Parlimen yang sedang disiasat ialah MP Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, MP Sempoerna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan MP Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan membocorkan rahsia kerajaan ketika perbahasan di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, pihaknya turut menjemput Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk hadir untuk menerangkan kepada semua pihak berkaitan kuasa imuniti itu.

"Muhyiddin, Shafie dan Husni akan hadir untuk bertindak atas cabaran itu. Saya juga jemput speaker untuk datang dan terangkan kepada semua apa yang dia buat untuk mempertahankan imuniti parlimen.

"Saya dah jemput semua ahli Parlimen BN dan menteri untuk hadir," katanya.

Anwar dapat kebenaran cabar keputusan penjara tidak benar sentuhan fizikal

Posted: 03 Nov 2016 04:43 AM PDT

THE MALAYSIAN MIRROR





KUALA LUMPUR-  Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya hari ini memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Penjara Sungai Buloh tidak membenarkan sentuhan fizikal dengan anggota keluarga ketika lawatan di penjara itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati ada isu yang perlu dibicarakan dan permohonan Anwar tidak remeh dan menyusahkan.

"Saya tidak menghadapi masalah untuk memberi keputusan spontan untuk kes ini kerana ia hanya untuk permohonan kebenaran. Permohonan ini tidak remeh dan menyusahkan. Jadi, saya meluluskan permohonan kebenaran ini tanpa perintah mengenai kos," kata hakim.

Mahkamah menetapkan 17 Nov ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, peguam N. Surendran, yang mewakili Anwar, berhujah tindakan pihak penjara yang tidak membenarkan Anwar bersentuhan dengan ahli keluarga ketika lawatan di penjara telah melanggar hak perundangan.

"Adalah tidak munasabah bagi jabatan (Penjara Sungai Buloh) untuk melarang tanpa memberi apa-apa alasan," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan pula berhujah Anwar dan keluarganya tidak memenuhi kelayakan untuk diberi kebenaran bagi mendapatkan perintah mandamus supaya pihak penjara membenarkan mereka bersentuhan secara fizikal ketika lawatan berkenaan.

Anwar, yang diberi peluang oleh mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa beliau membuat permohonan itu, berkata: "Permohonan (sentuhan fizikal) itu dibuat supaya penghuni (penjara) lain boleh menikmati faedah yang sama jika mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

"Saya hanya ingin menyentuh dan memeluk anak-anak serta cucu ketika mereka melawat saya di penjara kerana sebelum ini kami dihalang untuk melakukan sentuhan fizikal," kata Anwar.

Selain Anwar, 68, turut bertindak selaku pemohon ialah isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63, dan empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 35, Nurul Nuha, 32, Nurul Ilham, 28, dan Nurul Iman, 25.

Turut memfailkan permohonan itu ialah anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar dan Raja Ahmad Harith, masing-masing berumur sembilan dan tujuh tahun, serta anak Nurul Nuha iaitu Sulaimaan Mohamad Khairul, dan Yahya, masing-masing berumur empat dan tiga tahun.

Mereka menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri selaku responden.

Mereka memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac lepas yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan kesemua anggota keluarga dibatalkan.

Mereka mendakwa semasa lawatan ke penjara yang dibenarkan setiap tiga minggu sekali, Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dipisahkan daripada mereka melalui dinding kaca dan percakapan hanya dibuat melalui telefon.

Anwar, melalui surat peguam caranya bertarikh 2 Mac lepas, telah memohon kepada ketiga-tiga responden supaya membenarkan sentuhan fizikal semasa lawatan keluarga ke penjara tetapi mendakwa pengarah Penjara Sungai Buloh menolak permohonan berkenaan melalui surat bertarikh 14 Mac.

Konsesi China yang Najib bagi projek RMM55 bilion pernah disenaraihitam World Bank

Posted: 03 Nov 2016 04:40 AM PDT

Gambar Reuters/Jason Lee
Gambar Reuters/Jason Lee


Pendedahan mengejutkan apabila konsesi China yang baru-baru ini dianugerahkan projek landasan keretapi bernilai RM55 bilion oleh kerajaan Datuk Seri Najib Razak sebenarnya pernah disenaraihitamkan oleh World Bank.

World Bank menyenaraihitamkan (debartment) CCCC selama 8 tahun (12 Januari 2009-12 Januari 2017) atas dakwaan fraudulent practices. Ini kerana CCCC adalah designated successor entity kepada China Road and Bridge Corporation (CRBC).

(link World Bank senaraihitam : http://www.worldbank.org/en/news/press-release/2011/07/29/world-bank-applies-2009-debarment-to-china-communications-construction-company-limited-for-fraud-in-philippines-roads-project)

Bukan sahaja disenaraihitam oleh World Bank, malah CCCC juga terlibat dalam skandal lain, antaranya di Malta, Tanzania dan Kenya. Sebuah skandal melibatkan tindakan CCCC dalam merasuah pegawai kerajaan di negara terbabit.

(link skandal CCCC : http://www.independent.com.mt/articles/2014-07-21/news/blacklisted-chinese-bridge-building-company-has-history-of-backhander-deals-5915475969/)

CCCC juga disenarai hitamkan oleh African Development Bank, Asian Development Bank, Inter-American Development Bank, European Bank For Reconstruction and Development dan dimasukkan dalam 2 senarai hitam di Amerika Syarikat berkaitan landasan keretapi Iran-Armenia

Agensi berita Bloomberg melaporkan China sejak 2007-2012, mengalami sekurang-kurangnya 18 jambatan runtuh yang mengakibatkan 135 kematian, salah satu jambatan terpanjang di utara China runtuh selepas hanya 9 bulan ia siap dibina.

Suatu rahsia umum yang pahit untuk diterima adalah kelebihan syarikat-syarikat China berbanding syarikat-syarikat Barat, mereka lebih mahir dalam merasuah pegawai-pegawai kerajaan dan memanipulasi dengan pelbagai janji manis.

Kerajaan menganugerahkan Projek Landasan Kereta Api Pantai (ECRL) bernilai RM55 bilion kepada CCCC selepas dua minggu Perdana Menteri, Najib membentangkan Bajet 2017 di Parlimen.

Landasan sepanjang 620km tersebut merupakan projek ketiga melibatkan firma China dalam projek besar di Malaysia.

Konsesi China yang dianugerah projek tersebut adalah China Communication Construction Company (CCCC) yang akan membina laluan Kuala Lumpur-Kelantan.

Mampukah Muhyiddin pujuk Hadi

Posted: 03 Nov 2016 04:13 AM PDT

 
 
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin


Usaha memujuk Pas supaya bersetuju dengan taktik satu lawan satu dalam pilihanraya umum melawan Barisan Nasional (BN) ada harapan.

Itu kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Bagaimanapun cubaan demi cubaan bertemu dan berbincang dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih belum menjadi realiti.

Walaupun usaha memujuk itu sudah berlaku sejak pertemuan mereka daam solat jenazah ghaib Allahyarham Datuk Haron Din namun ia tergendala beberapa kali ekoran keuzuran Abdul Hadi.

Menurut sumber, Abdul Hadi bersetuju berjumpa dengan Muhyiddin kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai rakan dan tidak pernah ada masalah besar dengan Pas selama berada di dalam UMNO.

Pas seperti ketetapan sebelum ini memang bersetuju berjumpa dan berbincang dengan rakan pembangkang lain cuma 'berpatah arang' dengan DAP.

Mursyidul Am Pas yang baharu, Hashim Jasin sendiri memaklumkan demikian dan kerjasama boleh dibuat sekiranya DAP tidak lagi 'mengacau' rumahtangga Pas seperti sebelum ini.

Malah kenyataan Hasim dijawab segera oleh pemimpin DAP, Lim Kit Siang dengan nasihat Hashim jangan sebar cerita 'karut' mendakwa DAP punca perpecahan mereka dalam Pakatan Rakyat tempohari.

Jadi apa pelan kerjasama yang ditawarkan oleh Muhyiddin kepada Pas dalam tanpa melibatkan DAP dalam PRU-14 nanti?

Bagaimana PPBM boleh mewakili Pakatan Harapan yang mana DAP dan PKR jauh lebih senior daripada mereka dalam kem pembangkang.

Apakah Muhyiddin boleh memberi jaminan DAP tidak menentang hudud yang menjadi perjuangan Pas?

Adakah Muhyiddin boleh memberi jaminan parti serpihan Pas, Parti Amanah Nasional tidak panas buntut 'duduk serumah' sedangkan mereka baharu sahaja 'bercerai'?

Lebih penting, sama ada Muhyiddin dapat menjamin kedudukan Pas sebagai parti senior dalam kerajaan sekiranya PH memerintah Malaysia.

Pas sudah tentu tidak mahu dijadikan 'kuda tunggangan' yang akhirnya dilepaskan selepas pakatan pembangkang dahulu, Pakatan Rakyat menang banyak kerusia pada PRU-12 dan 13 lalu.

Dahulu Pas terlalu terlalu memberi muka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rela bekerjasama tetapi akhirnya 'berkelahi' semula dengan DAP.

Malah ramai ahli-ahli Pas beranggapan Pas berpecah dua selepas penubuhan PAN gara-gara DAP.

Parti logo bunga raya itu baru sahaja mengumumkan senarai kepimpinannya semalam sedangkan DAP dan PKR sudah berpuluh tahun mengharungi banyak pilihanraya sejak dahulu lagi.

Dalam keadaan PH masih gagal memilih siapa Perdana Menteri jika mereka memerintah, apa yang Muhyiddin secara peribadi boleh tawarkan kepada Pas?

Perlu diingat Dewan Pemuda Pas Pusat sudah membuat keputusan mendesak pimpinan parti Pas supaya jangan bekerjasama dengan DAP atau rakan-rakan sekutunya dalam PRU-14.

Keperluan mendesak kepada PH kerana kegagalan satu lawan satu akan hanya menyebabkan mereka gagal melawan BN sedangkan PRU-14 ini merupakan pilihanraya penentu kepada pembangkang di negara ini.

Apa pun, ada penganalisis politik melihat Pas dilihat seakan-akan membuka ruang perbincangan semula dengan PH kerana mahu 'main tarik tali' dengan UMNO gara-gara isu pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) 355.

Dalam Dewan Rakyat, Pas tertunggu-tunggu bila mereka diberi kebenaran membentangkan RUU 355 tetapi sekarang belum nampak hasilnya.

Melalui keadaan yang Pas mahu bekerjasama dengan PH, mereka berharap UMNO berasa bimbang dan berharap UMNO akan melobi dan membenarkan Pas membentangkan RUU 355.

"Dulu kata sebelum bajet tetapi selepas bajet pun tidak ada usaha Dewan Rakyat membenarkan RUU 355d dibentangkan sedangkan sebelum itu momentum sokongan RUU 355 bukan main dahsyat dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri yang semuanya bersetuju," ujarnya penganalisis politik itu hari ini.

Menurutya, walaupun melihat Pas masih ada respon positif untuk diberi kebenaran membentangkan RUU 355 pada sesi Dewan Rakyat lain namun pada riak wajah pemimpinnya ada sedikit kekecewaan.

Jadi masing-masing bermain politik demi survival politik masing-masing sekarang ini selagi gendang PRU-14 belum dipalu.--MalaysiaGazette


Langgar peraturan, Speaker arah MP DAP keluar dewan

Posted: 03 Nov 2016 04:09 AM PDT

 
 
Pandikar Amin Mulia
Pandikar Amin Mulia


Ahli Parlimen DAP diarah keluar dewan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah mengambil kesempatan pada sesi soal jawab untuk mengemukakan usul membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam) sepatutnya bertanyakan soalan tambahan berkaitan dengan Kementerian Pengangkutan kerana ketika itu giliran Timbalan Menteri, Datuk Aziz Kaprawi menjawab.

Bagaimanapun, beliau cuba 'lari' dari tajuk dan ditegur oleh Pandikar Amin yang menganggap Bukit Mertajam tidak mengikut peraturan dewan.

Steven Sim masih berdegil walaupun ditegur, menyebabkan Speaker menutup pembesar suara di mejanya dan meminta Bentara Dewan mengiringi Ahli Parlimen itu keluar dewan.

Beliau mengambil masa kira-kira tiga minit untuk keluar sambil diperhatikan dua Bentara Dewan, sebelum mengisi dokumen dalam beg dan berjalan keluar.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tidak berpuas hati dengan tindakan Pandikar Amin mengarahkan anak buahnya keluar dewan menyifatkan Speaker sebagai zalim.

Pandikar Amin kemudian meminta Ahli Parlimen Gelang Patah itu menarik balik perkataan "zalim" atau berdepan dengan tindakan.

Sementara itu, perkataan "kong kali kong" bergema dalam Dewan Rakyat pada sesi yang sama.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan perkhidmatan Malaysian Airlines Berhad (MAB) terutama berkaitan penerbangan domestik sangat lemah menyebabkan syarikat penerbangan itu mengalami kerugian walaupun menggunakan khidmat pengurusan dari luar negara.

Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR-Tumpat) berkata, jika sedemikian perkhidmatan disediakan, adalah lebih baik kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan menggunakan khidmat rakyat tempatan yang jauh lebih berpengalaman.

Begitu juga dengan cukai yang dikenakan MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disifatkan agak tinggi dan membebankan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan udara.

Bagaimanapun, Aziz menangkis dakwaan cukai tinggi yang dikenakan berbanding lapangan terbang di Singapura dan Hong Kong. -- MalaysiaGazette


Penduduk marah alasan peniaga minyak masak habis

Posted: 03 Nov 2016 03:58 AM PDT

 
 
Minyak masak kehabisan stok di beberapa kedai dan pasar raya sekitar Bukit Minyak dan Juru sejak kebelakangan ini.
 
 
Minyak masak kehabisan stok di beberapa kedai dan pasar raya sekitar Bukit Minyak dan Juru sejak kebelakangan ini.
 
"Minyak masak sudah habis, tiada stoki"
 
Itu jawapan beberapa peniaga kedai runcit di sekitar kawasan Juru dan Bukit Minyak di sini mengenai bekalan minyak masak menyebabkan orang ramai khususnya penduduk setempat disini berdepan masalah kesukaran mendapatkan minyak masak sejak kebelakangan ini.
 
Tinjauan MalaysiaGazette ke beberapa kedai runcit termasuk sebuah pasaraya milik syarikat Jepun di Bukit Minyak mendapati minyak masak berjenama Cap Pisau dan Helang tidak ada dijual atas alasan kehabisan stok.
 
Kalau ada pun pasar raya yang hanya menjual minyak masak harga mahal seperti jenama Daisy dan Cap Bunga Matahari sahaja dijual.
 
Pemantauan di lebih 10 kedai runcit dan pasar mini di sekitar kawasan berkenaan juga tidak mempunyai bekalan minyak masak dan ada juga peruncit yang kehabisan  minyak dalam bungkusan sekilogram.
 
Peniaga sempat ditanya mengenai ketiadaan minyak masak mendakwa stok dalam botol bersaz besar sudah habis dan tidak tahu bila akan tiba stok terbaharu.
 
"Kita mahu jual pada harga RM28 tetapi kami diminta kekalkan jualan pada harga lama (RM17.50), jika kami jual mahal nanti susah sebab orang ramai sini akan marah dan mengamuk. Kami tidak ada minyak masak lagi," katanya kepada seorang pengguna yang datang ke kedainya hari ini.
 
Bagaimanapun, ramai merungut dan mengecam tindakan peniaga yang memberi alasan minyak masak kehabisan stoknya dan mendakwa mereka sengaja menyimpan stok bagi menaikkan harga apabila permintaan meningkat.
 
"Kami meragui sikap sesetengah peniaga ini, kerana sudah tiga hari saya ulang alik ke kedai di sini tetapi diberi alasan yang sama iaitu minyak masak habis? Macam mana boleh habis sedangkan kerajaan kata stok mencukupi terutama apabila perayaan Deepavali baru-baru ini.
 
"Saya mahu penguat kuasa berkaitan perkara ini segera memeriksa setiap kedai runcit di sini, kami tak percaya lagi dengan peniaga ini kerana mereka seperti mempermainkan pembeli seperti kami.
 
"Kami mengesyaki mereka (peniaga) mungkin menyorok bekalan minyak yang sedia ada selepas khabar angin tersebar kononnya minyak masak dalam botol akan mengalami kenaikan harga sejak akhir-akhir ini. Kami tak nak ambil tahu ia hanyalah khabar angin atau sahih daripada kerajaan tapi  tidak mahu kami dijadikan mangsa keadaan oleh peniaga ini," tegas G. Jeevanathan dari Juru ketika ditemui.--MalaysiaGazette
 
 

Polis siasat dakwaan portal berita ditaja dana asing - KPN

Posted: 03 Nov 2016 03:58 AM PDT

MALAYSIA GAZETTE
 



Polis Diraja Malaysia menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat sebuah portal berita tempatan yang dipercayai menerima dana yang ditaja jutawan asing.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan khas itu diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Zainuddin Ahmad.

Khalid berkata pasukan itu terdiri daripada lima anggota polis yang akan mengumpul maklumat dan menyiasat perkara tersebut.-- BERNAMA


Jelaskan Hubungan Dengan Soros Atau 20,000 'Baju Merah' Runtuhkan Sebahagian Bangunan Malaysiakini

Posted: 03 Nov 2016 03:54 AM PDT

MALAYSIAN DIGEST




KUALA LUMPUR: Pengerusi pergerakan baju merah Datuk Jamal Md Yunos memberi tempoh sehingga
5 November ini bagi media pro-pembangkang memberi penjelasan mengenai dakwaan penerimaan dana daripada penyangak mata wang George Soros.

"Kami beri masa sehingga jam 12 tengah hari Sabtu ini, 5 November untuk Malaysiakini perjelaskan (isu berkenaan),. Jika tidak kami akan buat protes secara besar-besaran di sini (pejabat Malaysiakini).

"Sekurang-kurangnya 20,000 orang akan turun ke sini dan kita akan pastikan sebahagian bangunan ini akan runtuh pada 5 hari bulan," kata Jamal dalam sidang media yang turut dihadiri pengarang kanan portal berita berkenaan.

Tegas Jamal, dakwaan penglibatan Soros dengan aktivis serta media pembangkang kini hangat diperkatakan yang jelas mengancam sistem demokrasi dan keamanan negara disebabkan liputan berat sebelah serta fitnah Malaysiakini.

"Gerakan baju merah ini wujud kerana BERSIH. Tak ada BERSIH, tak ada baju kuning maka tak akan ada Merah. Penglibatan Malaysiakini yang saya lihat dan perhalusi merupakan media sepenuhnya gerakan BERSIH," ujarnya.

Isu penglibatan Soros dengan Malaysiakini didedahkan oleh laman web DC Leaks yang membocorkan dokumen minit mesyuarat Open Society Foundation (OSF) menyatakan hasrat untuk mencampuri urusan pentadbiran negara serta mempengaruhi keputusan pilihan raya negara.

Organisasi yang diterajui sendiri oleh Soros itu memberikan dana kepada Malaysiakini serta BERSIH dan ianya diakui oleh Pengerusi BERSIH sendiri Maria Chin Abdullah yang menyatakan menerima RM70,000 dari OSF.

Ujar Jamal, Amerika Syarikat juga kini menyiasat dakwaan dikeluarkan oleh DC Leaks yang memberikan dana kepada blok pembangkang berselindung dibawah organisasi memperjuangkan demokrasi seperti BERSIH.

"Jadi tuntutan kami jelas ingin mengtahui dakwaan ini. Malaysiakini adalah agen kepada kehancuran sistem demokrasi negara.

"Kami menghormati pengamal media di dalam negara kita ini tetapi kita melihat kecenderungan Malaysiakini terlalu pro pembangkang dan jika kita lihat kebanyakan jawatan-jawatan dalam Malaysiakini adalah daripada rakan-rakan politik pembangkang," katanya lagi.- Malaysian Digest


Tiada ulasan: