Khamis, 17 November 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


TIDAK SETUJU DENGAN ZAHID HAMIDI, HANYA BAJU MERAH YANG MESTI DIARAH BATALKAN PERHIMPUNAN

Posted: 17 Nov 2016 05:11 AM PST

shahbudindotcom


Setelah Najib Razak melahirkan kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya pertembungan fizikal antara kumpulan baju kuning dengan baju merah pada Sabtu ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan telah amaran terakhir agar kedua-dua pihak membatalkan perhimpunan yang dirancang itu.

Zahid berkata, membatalkan kedua-dua perhimpunan adalah penyelesaian terbaik bagi mengelak sebarang kemungkinan, sambil memberi amaran kepada penganjur bahawa tidak akan ada kompromi sekiranya mereka meneruskan perhimpunan tersebut.

"Tindakan akan diambil terhadap kedua-dua kumpulan, sama ada baju merah atau baju kuning. Jadi, untuk mengelakkan sebarang kemungkinan, kedua-duanya perlu membatalkan perhimpunan.

"Jika tidak ada perhimpunan baju kuning, maka tidak akan ada juga bantahan balas daripada baju merah," tegas Zahid lagi.

Bukan saja saya, bahkan tentu juga ramai yang tidak setuju dengan pendirian Zahid ini. Zahid seharusnya melihat isu perhimpunan 19 November itu daripada awal lagi dengan pertimbangan yang adil dan saksama, bukan semudah itu memberi amaran kepada kedua-dua belah pihak.

Idea mengadakan perhimpunan pada 19 November ini adalah idea Bersih 2.0 dan mereka sudah pun mengadakan empat perhimpunan sebelum ini.

Tarikh yang dipilih juga sudah diputuskan lama sebelum ini. Permohonan kepada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman juga sudah dibuat.
 
 
 
 
Sebaliknya Baju Merah hanya muncul selepas penetapan tarikh perhimpunan dibuat dan ia semata-mata bertujuan untuk melakukan tindakan balas terhadap apa yang dilakukan oleh Bersih. 

Jelas di sini bahawa baju merah berniat jahat dan bertujuan melakukan gangguan. Dalam beberapa program jelajah anuran Bersih juga, niat dan perlakuan baju merah itu lebih jelas lagi di mana mereka bukan saja melakukan gangguan secara terbuka, bahkan menunjuk-nunjuk aksi ganas dan kebal dipukul yang seolah-olah memang untuk "cari gaduh"  matlamatnya.

Jika baju kuning ingin mengadakan perhimpunan, adalah tugas polis menjaga keselamatan serta memastikan agar undang-undang berkaitan sentiasa dipatuhi. Mereka hanya ingin mengadakan perhimpunan aman serta bertujuan meluahkan perasaan terhadap beberapa isu berkaitan kerajaan serta negara dan perkara itu bukan saja dibenarkan oleh undang-undang, bahkan merupakan acara normal bagi rakyat di seluruh dunia.

Tetapi apa tujuan baju merah berhimpun?

Mereka hanya ingin menunjukkan tindakan balas, mengampu Perdana Menteri dan mungkin juga disebabkan ada sedikit-sebanyak dedak yang diterima.

Maka, dalam hal ini yang perlu diminta  untuk membatalkan perhimpunan ialah baju merah saja, sebaliknya biarkanlah baju kuning berhimpun dengan aman dan dengan pengawasan oleh pihak polis.

Sudah pasti, sebagaimana perhimpunan anjuran Bersih sebelum ini, oleh kerana tiada gangguan dan provokasi oleh pihak-pihak luar, maka ia telah berjalan dengan aman  dan tenteram. 

Mungkin yang menjadi masalah di sini dan sering dijadikan alasan ialah kerana tiadanya kebenaran daripada DBKL untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat untuk Bersih 2.0 mengadakan perhimpunannya.

Sebagaimana biasa, alasan yang sering dipakai juga ialah kenapa tidak Bersih mengadakan perhimpunan di stadium atau tempat yang tertutup?

Dalam hal ini, penganjur sudah pun memohon untuk menggunakan Dataran Merdeka dan setelah ia ditolak, mereka kemudian memaklumkan hanya akan berada di jalan-jalan sekitarnya sahaja. Kawasan Dataran Merdeka tidak diganggu sama sekali.

Di mana-mana dunia sekalipun, perhimpunan aman dan meluahkan  perasaan biasanya memang diadakan di jalan-jalan raya dan tempat terbuka supaya ia lebih didengari oleh rakyat jelata dan bertujuan supaya pemimpin yang disasarkan lebih terasa kesannya.

Lagi pun stadium amat terhad bilangan yang boleh menyertainya dan ia lebih sesuai untuk perlawanan bola dan konsert yang memerlukan tiket untuk memasukinya. Di seluruh dunia, begitulah lumrahnya, perhimpunan rakyat tempatnya adalah jalanraya.

Jika perhimpunan aman menentang Malayan Union dahulu hanya diadakan di stadium dan bukan di jalanraya, apakah UMNO mampu wujud di dunia ini?

Oleh yang demikian, Zahid dan pihak polis harus menyedari bahawa perhimpunan awam secara aman memang tempatnya di jalanraya, bukan di stadium.

Tugas menjaga keselamatan adalah tanggungjawab pihak polis. Menghalang pihak lain iaitu baju merah daripada turut mengadakan perhimpunan pada tarikh dan masa yang sama atau bertembung dengan tarikh yang telah dipilih oleh Bersih adalah sebahagian usaha menjaga keselamatan yang menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menjaganya.

Tanpa baju merah, baju kuning akan berhimpun dengan aman dan lancar. Sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada pasukan polis, Zahid seharusnya  memahami punca permasalahan dan cara mengatasinya.

Punca masalah adalah baju merah, bukan baju kuning. Kenapa mesti kedua-duanya diberi amaran agar membatalkannya?

Biarkanlah baju kuning berhimpun dengan aman pada 19 November ini dan Zahid sewajibnya mengeluarkan larangan kepada baju merah daripada turut sama mahu berhimpun pada tarikh tersebut. 

Mereka berhimpun hanya untuk melakukan gangguan, kekerasan dan menunjukkan kesamsengan semata-mata. Amaran Jamal bahawa peserta baju merah dalam keadaan "lapar" pada Sabtu ini dan tidak dapat menjamin tiadanya kejadian tidak diingini daripada mungkin berlaku menjelaskan lagi niat buruk mereka.

Baju merah sepatutnya diberi tarikh lain untuk mengadakan perhimpunan atau jika mereka mahu mengadakannya pada 19 November juga, ia mestilah di tempat yang jauh dengan baju kuning. Jika mereka berhimpun pada tarikh lain, katalah seminggu atau sebulan selepas tarikh perhimpunan Bersih 5 atau di tempat yang lain, sudah pasti tiada sesiapa akan melakukan gangguan.

Kenapa susah sangat Zahid memberi amaran atau arahan sedemikian?
 
 
 

Bank asing terkejut langkah Malaysia sekat kejatuhan ringgit

Posted: 17 Nov 2016 03:48 AM PST

MALAYSIAKINI


Bank-bank asing di Malaysia hari ini pada Khamis cuba memahami untuk bagaimana mematuhi sekatan bank pusat mengenai perdagangan ringgit di pesisir luar - langkah yang dilihat sebagai satu bentuk kawalan modal.

Surat borang yang dihantar minggu ini daripada bank kepada cawangannya di pesisir luar mahu pegawai pematuhan menandatangani komitmen menghentikan perdagangan ringgit di pasaran NDF dan kemudian menghantar surat berkenaan kepada Bank Negara, lapor Reuters, semalam.

"Terdapat urusan surat-menyurat yang ketara di antara bank-bank dan Bank Negara Malaysia (BNM)," kata seorang pegawai bank asing di Malaysia yang berurusan dalam perdagangan mata wang asing.

"Ini adalah satu bentuk kawalan modal tidak langsung ... Saya lihat ramai yang akan keluar Malaysia."

Ringgit hari ini jatuh hampir 1 peratus ke paras terendah dalam 11 bulan kepada 4.3850 berbanding dolar


Selepas Jamal guna helikopter, Sanjeevan pula mahu intip istana Ketua Polis

Posted: 17 Nov 2016 03:40 AM PST

khalid-sanjeevan 


Pengerusi badan pemantau MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan pula mahu mengikut jejak Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos yang menggunakan helikopter untuk mengintip istana milik Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sanjeevan berkata Jamal memberinya idea untuk melakukan perkara sama mengintip rumah agam yang dinamakan Istana Mantin milik IGP.

"Terima kasih kepada Jamal, beliau memberi saya idea untuk membawa wartawan melawat dengan helikopter sekeliling Istana Mantin," kata Sanjeevan.

Selasa lalu, Jamal membawa media untuk melihat sendiri kediaman banglo ala Disneyland milik pemuda PKR, Adam Rosly Abdullah yang menimbulkan kontroversi.

Sebelum ini, Sanjeevan membuat laporannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Khalid memiliki sebuah rumah mewah di Mantin, dan berkata beliau mempunyai dokumen membuktikan tuduhan itu.

Ogos lalu, Sanjeevan menyerahkan dokumen pendaftaran syarikat kepada SPRM bagi menyokong dakwaan sebuah syarikat senjata api dikaitkan dengan adik Khalid, Datuk Abdullah Abu Bakar.

Awal November lalu, polis Bukit Aman bertindak menyerbu kediaman Sanjeevan di Kajang, dan menyita beberapa kenderaan yang didaftarkan atas namanya.

Sitaan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Seksyen 45.

Sanjeevan ditahan pada 22 Jun kerana disyaki melakukan pemerasan dan ugutan jenayah.

Aktivis 32 tahun itu diberkas Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) sebaik sahaja didakwa menerima wang perlindungan RM25,000 daripada pengadu, seorang pengusaha judi haram berusia 38 tahun.

Jamal dengan saya tak sama taraf - Ibrahim Ali

Posted: 17 Nov 2016 03:01 AM PST


Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali mahu orang ramai supaya tidak menyamakan kumpulan pendesak Melayu yang diterajuinya dengan gerakan Baju Merah yang dipimpin oleh Datuk Seri Jamal Md Yunos Jamal.

Katanya, tindakan Jamal terhadap BERSIH adalah berlainan dengan apa yang dilakukan oleh PERKASA sebelum ini.

"Saya tak letakkan saya sama taraf dengan dia. Dia ini lain, saya pemimpin. Saya seorang pemimpin dengan cara-cara saya sendiri," katanya pada sidang medianya di ibu pejabat PERKASA hari ini.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tindak tanduk yang dilakukan oleh Jamal yang juga adalah Ketua Bahagian Umno Sungai Besar ke atas BERSIH kini sama seperti yang dilakukan oleh NGO itu terhadap kumpulan Baju Kuning sebelum ini.

Gerakan Baju Merah dilaporkan bukan sahaja 'menghambat' aktivis mahupun orang ramai yang menyokong BERSIH, tetapi berlaku juga beberapa insiden keganasan membabitkan petugas media.

Konvoi BERSIH dalam siri jelajah ke beberapa bandar di seluruh negara juga diganggu.

Terbaru, Ahad lalu, Jamal yang terbabit dengan pergelutan berdarah di hidungnya apabila kumpulannya dihalang mengekori aktivis PKR yang mempromosikan kempen himpunan BERSIH.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang mengakui Jamal yang adalah bekas ahli PERKASA, berkata, beliau tidak pernah melakukan sebarang keganasan atau kekasaran terhadap BERSIH.

"Kita dulu ada uar-uarkan dulu sekali. BERSIH mula-mula dulu kita kata kita nak bantah perkara-perkara kita tak puas hati boleh kita bantah tapi ikut cara betul. BERSIH kali pertama mereka teruskan juga berhimpun dan kita tak ganggu.

"Kita blackout. Kita serahkan kepada polis untuk menguruskan mereka," kata bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Beliau turut ditanya adakah tindakan Jamal yang juga adalah bekas Majlis Tertinggi PERKASA telah memalukan NGO itu.

"Kenapa nak malukan PERKASA? Banyak orang kalau orang Islam buat benda tak baik dia memalukan Allah? Sama juga macam tu. Saya rasa tak relevan, tak ada kena mengena.

"Dia masalah hak peribadi ini, kita tak boleh nak samakan, itu hak dia," katanya.


Konvesyen Pakatan Harapan Yang Anti-Klimaks

Posted: 17 Nov 2016 02:55 AM PST

Dr Kamarul Zaman Yusoff,


ph


Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Shah Alam, Sabtu lalu, ditunggu oleh banyak pihak kerana ia merupakan konvensyen pertama PH sejak ditubuhkan pada 22 September 2015. Sejak diwujudkan, tidak banyak program penyatuan rasmi PH melainkan pemeteraian Perjanjian PH pada 9 Januari 2016 bagi mengikat kesemua parti mengenai prinsip dan kaedah dalam membina kesatuan politik.


Sewaktu mengumumkan pemeteraian Perjanjian PH, Ketua Sekreteriat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, menyebut betapa tumpuan seterusnya PH adalah untuk membentuk dokumen Dasar-Dasar Bersama PH ke arah mencari penyelesaian berkesan kepada masalah rakyat. Dokumen ini dijanji untuk diumumkan di Konvensyen PH yang dijadual diadakan menjelang Jun 2016.

Disebutkan waktu itu betapa Dasar-Dasar Bersama PH ini ada kelainan kerana lebih radikal dan memberi fokus terhadap isu-isu utama rakyat. Ini bagi meyakinkan rakyat PH adalah pilihan terbaik untuk membela kepentingan mereka. Antara perkara yang dijanji untuk diberi penekanan adalah bagaimana PH menangani isu kebajikan dan sosioekonomi serta politik pengundi Melayu.

Jun 2016 berlalu tanpa konvensyen dijanjikan. Sebaliknya, Majlis Presiden PH pada 12 Julai 2016 mengakui PH mempunyai pelbagai kelemahan yang perlu diselesaikan dengan segera agar kepentingan rakyat didahulukan. Pembentangan dan rundingan dengan rakyat mengenai Dasar-Dasar Bersama PH yang menyeluruh akan dipercepatkan supaya tumpuan kembali kepada rakyat.

Di sebalik pelbagai isu besar dalam negara baik membabitkan parti pembangkang mahupun parti kerajaan, Majlis Presiden PH terus lesu tidak bermaya. Mesyuarat Majlis Presiden PH hanya mampu dilangsungkan pada 12 Oktober dengan memutuskan Konvensyen PH diadakan pada 12 November bertujuan untuk menzahirkan komitmen pembentukan gabungan pembangkang yang kuat.

Pada 24 Oktober, dalam majlis pelancaran buku "The End of UMNO?", Saifuddin, sewaktu menjawab kenyataan Datuk Ambiga Sreenevasan yang menyifatkan PH tidak menunjukkan kesediaan untuk menggantikan BN, termasuk kegagalannya mengumumkan kabinet bayangan atau bakal Perdana Menteri, menyebut nama bakal Perdana Menteri akan diputuskan di dalam Konvensyen PH.

Menjelang berlangsungnya Konvensyen PH pula, bertiup khabar bahawa majlis ini akan menyaksikan termeterainya Perjanjian Kerjasama PH dan PPBM. Malah, deraf yang membutirkan empat perjanjian antara mereka juga menunjukkan kesemuanya telah siap dirangka oleh PH ke arah merealisasikan kewujudan gabungan pembangkang yang kuat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Butiran perjanjian tersebut membabitkan persetujuan mereka untuk berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63; memperjuangkan agenda reformasi; meletakkan satu calon di dalam sesuatu pilihan raya; dan berusaha berunding dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.


Begitupun, Konvensyen PH tercemar dengan demonstrasi NGO Pro PH/Sayangi PH dan Kelab Penyokong PH Malaysia membantah penyertaan PAS dalam PH. Di dalam memorandumnya kepada pemimpin PH, mereka merayu agar PH, PPBM dan WARISAN memutuskan sebarang kerjasama atau rundingan dengan PAS yang didakwa merugikan dan hanya melambatkan gerak kerja mereka.

Sentimen menolak kerjasama atau rundingan dengan PAS, yang disertai dengan pelbagai sindiran terhadap PAS, bergema di dalam Konvensyen PH oleh sesetengah pemimpin PKR, Amanah dan DAP. Masa yang sama, sesetengah pemimpin lain konsisten menekankan keperluan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN sekali gus bersikap positif dengan PAS.

Begitu juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang di dalam ucapannya turut menyentuh keperluan menyatukan barisan pembangkang, dengan menyebut betapa pertandingan tiga penjuru melawan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini telah memberikan kemenangan mudah kepada BN walaupun ia dilihat menghadapi permasalahan.

Muhyiddin secara tidak langsung menempelak pemimpin PH bila meminta majlis menandatangani perjanjian ditangguhkan dahulu untuk memberikan masa yang cukup kepada semua pemimpin PPBM dan PH berbincang. Antara lain, beliau menyebut keperluan untuk merangka dasar-dasar bersama yang berpaksikan kepentingan rakyat yang akan dijadikan asas pembuatan dasar-dasar negara.

Memalukan bagi pemimpin PH bila janji mereka untuk mengumumkan Dasar-Dasar Bersama PH di dalam konvensyen mereka gagal ditepati. Ia menjadi petanda ketidakseriusan mereka menangani permasalahan rakyat dan ketidaksediaan mereka memerintah negara. Apatah lagi bila ketiadaannya digunakan pula oleh Muhyiddin untuk menangguhkan Perjanjian Kerjasama PH dan PPBM.

Lebih memalukan apabila pemimpin bawahan seperti Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh, pula yang mengingatkan pemimpin PH supaya mengurangkan cerita keburukan BN sebaliknya melebihkan hebahan mengenai penyelesaian masalah rakyat. Kata beliau, pengundi hari ini mahu tahu sama ada PH sedia membentuk kerajaan dan apa PH akan lakukan sekiranya berjaya menjadi kerajaan.

Begitu juga dengan pemimpin seperti Timbalan Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah Al Jundi, yang menyeru PH supaya menyediakan dokumen agenda Melayu Islam dalam mendepani kebimbangan pengundi Melayu Islam pada PRU 14. Kalau PH gagal mengeluarkan tawaran dokumen agenda baru Melayu Islam ini maka UMNO akan terus berkuasa selepas PRU 14, katanya.

Apa yang jelas, Konvensyen PH bukan sahaja gagal mengumumkan Dasar-Dasar Bersama PH yang dijanjikan oleh Saifuddin, tetapi juga gagal memenuhi janji beliau untuk menentukan nama bakal Perdana Menteri. Di sebalik gesaan sama Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub, selaku pembahas pertama, isu ini dimatikan terus oleh Penasihat PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di dalam ucaptama beliau, Mahathir menyebut perkara utama dalam perjuangan pembangkang sekarang ini ialah untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak. Dalam sidang media beliau pula, disebutkan keperluan menguasai Putrajaya dahulu. Selepas menang barulah boleh dinamakan sesiapa sahaja daripada parti yang memenangi kerusi terbanyak untuk jadi Perdana Menteri, katanya.

Tidak hairanlah jika ada yang berkata Konvensyen PH ini telah dirampas oleh Mahathir. Tiada lain selain keburukan Najib yang diucapkan beliau, termasuk tuduhan terbaru beliau kononnya pilihan raya di bawah Najib lebih buruk dpd pilihan raya di mana-mana negara di dunia, dan kononnya BN menang dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana pengundi disogokkan wang.

Pada akhirnya, tiada apa yang diputuskan secara rasmi dalam Konvensyen PH ini. Hakikat ini terbukti apabila slot "Resolusi" di dalam aturcaranya ditiadakan terus. Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, boleh sahaja berpantun mengenai tekad 'satu lawan satu' dan Mahathir boleh terus berkokok mengenai tekad 'satu logo satu manifesto', tetapi realitinya lain.

Kewujudan Amanah dalam PH adalah bagi menggantikan tempat PAS dalam Pakatan Rakyat (PR). Jika PH-PPBM bekerjasama dengan PAS, di manakah lagi relevannya Amanah dalam PH? Apatah lagi dengan pelbagai sindiran pedas dilontarkan seperti 'Pak Haji yang korupsi', 'dapat dedak' dan sebagainya yang sudah tentulah akan menjauhkan lagi PAS daripada mereka.

Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN).

PAN Kesal Usul Alternatif Lawan RUU 355 Ditolak

Posted: 17 Nov 2016 02:49 AM PST


 Parti Amanah Negara (PAN) kesal usul alternatifnya yang sebelum ini mendakwa lebih menyeluruh berbanding Rang Undang-undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditolak Speaker Dewan Rakyat.


Pembawa usul alternatif itu, Ahli Parlimen PAN Kota Raja, Siti Mariah Mahmud berkata dalam surat bertarikh 1 Oktober oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, usul berkenaan ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 23 (1)(h).

"(Usul alternatif) Ini bukan bukan untuk melawan (RUU) PAS. Ini untuk membantu rakyat memahami masalah yang dihadapi mahkamah Syariah dan mengapa RUU Akta 355 (yang dibawa PAS) menjadi sangat kontroversi.

"Kami tidak mahu perkara ini (RUU Akta 355) dipolitikkan. Memang kita semua menyokong tetapi oleh kerana ia menjadi satu kontoversi, ia seolah-olah menyebabkan kita bergaduh kerana usul (RUU Akta 355) tersebut, " katanya di sidang media di Parlimen hari ini.

Siti Mariah berkata usul alternatif yang dikemukakan PAN itu sebagai jalan tengah untuk mengelakkan pergaduhan di antara muslim dan bukan muslim.

usul0
usul

Ahli Parlimen PAN Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang turut hadir bersama Siti Mariah mendakwa berbanding dengan PAS, pihaknya telah dianaktirikan oleh Speaker Dewan Rakyat.

"Hakikat usul kita ditolak menunjukkan kedudukan AMANAH tidak seperti PAS. Usul PAS boleh dirunding sehingga dibawa kepada menteri, tetapi AMANAH tidak," ujarnya.

Berbeza dengan Siti Mariah, Khalid mengakui usul alternatif PAN adalah untuk melawan usul 355 yang dibawa PAS yang disifatkannya lebih mementingkan soal hukuman.

"Isi kandungan usul kita, kita bukan beri tumpuan soal nak tingkat hukuman. Apa yang kita mahu, Mahkamah Syariah yang berdaya saing, bukan Mahkamah Syariah yang sekadar nak jatuhkan hukuman,"katanya lagi.

LIHAT VIDEO DI SINI

MP tuntut lebih ramai disiasat SPRM

Posted: 17 Nov 2016 02:06 AM PST


Zulaikha Zulkifli

Selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini menggesa pihak berkuasa turut menyiasat lembaga pengarah Tabung Haji.

Setiausaha agung PKR itu mempersoalkan keputusan pengurusan Tabung Haji termasuk lembaga pengarah dan panel pelaburannya membuat pelaburan di GLC yang mengundang kontroversi.

"Bagaimana pengurusan Tabung Haji termasuk Lembaga Pengarah dan panel pelaburan boleh membuat keputusan untuk melabur di dalam sebuah syarikat yang sebelum Tabung Haji membuat pelaburan besar besar, telah mengundang pelbagai kontroversi.

"Lebih penting siasatan perlu dibuat tentang bagaimana setelah GLC itu mengalami kerugian, Tabung Haji terus menyuntik dana ke dalam GLC itu hingga memberi pelbagai bentuk sokongan kewangan walaupun Tabung Haji hanyalah pemegang 30 peratus dalam GLC terbabit.

"Pengurusan kanan Tabung Haji dan peringkat Lembaga Pengarah, panel pelaburan dan ketua pegawai eksekutifnya yang bertanggungjawab dalam keputusan di atas perlu disiasat juga kerana keputusan mereka terus melaburkan wang pendeposit Tabung Haji ke dalam GLC itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara, Rafizi berkata beliau akan menunggu maklum balas Tabung Haji berhubung perkara itu dan akan mempertimbangkan membuat laporan polis minggu depan terhadap beberapa pengurusan Tabung Haji.

"Saya akan tunggu sampai minggu depan, dan jika tiada sebarang respon saya akan membuat laporan polis," katanya lagi.

Rafizi berkata lagi, walaupun tiada unsur rasuah atau penyelewengan, pengurusan kanan Tabung Haji boleh disiasat bagi memastikan tiada unsur kecuaian.

Isnin lalu SPRM menahan seorang pengarah GLC bergelar Datuk, dipercayai menyalahgunakan kuasa dan menerima sejumlah wang rasuah.

Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di rumahnya di Shah Alam, kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan.

Rafizi sebelum ini telah membuat beberapa pendedahan berkaitan pelaburan Tabung Haji yang didakwa mengalami kerugian.

Antaranya Rafizi mendakwa kerajaan menyerahkan kontrak bernilai RM740 juta kepada TH Heavy Engineering Bhd (THHE) melalui rundingan terus.

THHE ikrar beri kerjasama penuh

Sementara itu, The Edge Markets melaporkan, THHE berikrar memberi kerjasama penuh kepada siasatan SPRM susulan siasatan terhadap dua pegawai kanannya.

"Syarikat ini komited menyokong sebarang usaha untuk meningkatkan ketelusan, integriti dan amalan perniagaan beretika sebagai faktor utama ke arah pengurusan korporat yang baik," kata THHE dalam kenyataannya semalam.

Bagaimanapun, susulan perkara itu sedang disiasat, syarikat itu tidak kan memberikan sebarang komen lanjut buat masa itu.


Tangkap Jamal, jangan bahayakan nyawa polis - Rafizi

Posted: 17 Nov 2016 02:06 AM PST

 Zulaikha Zulkifli

 


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan meletakkan pasukannya dalam bahaya sekiranya beliau tidak bertindak gerakan Baju Merah daripada menganjurkan perhimpunan balas serentak pada Sabtu ini, kata Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Ini selepas Khalid dilaporkan berkata polis bersedia jika berlaku kemungkinan pertembungan di antara kedua-dua kumpulan itu dan akan menggunakan kaedah kawalan, termasuk penggunaan semburan lada, jika perlu.

"IGP Khalid, kamu diingat bahawa kamu mempertaruhkan nyawa dan keselamatan pasukan polis kamu pada Sabtu ini melainkan kamu melakukan sesuatu terhadap Jamal sekarang.

"Hentikan mesej fanatik, fasis dan perkauman Baju Merah," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, Datuk Seri Jamal Yunos yang memipin gerakan Baju Merah mengamalkan perkauman dan fasis dan ini sukar untuk disekat.

Sehubungan itu, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil terhadap Jamal sebelum perhimpunan Sabtu ini, Khalid akan mempertaruhkan nyawa anggota keselamatan yang bertugas.

"Kumpulan yang fasis dan perkauman seperti Baju Merah tidak boleh dikawal.

"Jika kamu tidak sekat dia sekarang, kamu bukan sahaja meletakkan orang awam yang menyertai (perhimpunan) BERSIH 5 dalam bahaya," katanya.

Jamal, bulan lalu ditangkap dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis atas dakwaan menghasut.

Selepas hidungnya berdarah dalam pergelutan di Ampang, Ahad lalu, Jamal berikrar untuk membalas dendam dengan 'hutang darah dibayar darah' dan mahu 'mencincang' mereka yang melukakannya itu.

Pergelutan itu tercetus apabila kumpulan Baju Merah cuba keluar dari sebuah pusat membeli-belah tetapi dihalang oleh polis.

Mereka sebelum itu mengekori aktivis PKR yang berbaju-T BERSIH yang mempromosikan perhimpunan pada 19 November tersebut.

Jamal dirakamkan dalam video kejadian itu menjerit "polis tumbuk saya" tetapi kemudian menafikan berbuat demikian. Beliau sebaliknya menyalahkan 'budak' Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin.

Zuraida hari ini memfailkan saman fitnah ke atas Jamal kerana menuduhnya dan 'budaknya' yang mencederakan pemimpin Umno Sungai Besar itu.

LIHAT VIDEO DI SINI

'Janda seksi’ Ibrahim Ali sahkan bertanding PRU14

Posted: 17 Nov 2016 02:06 AM PST



Anne Muhammad


Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali hari ini mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sambil mengibaratkan dirinya seperti 'janda seksi' berikutan beberapa parti politik sudah 'melamarnya' untuk bertanding melalui tiket parti masing-masing, katanya, tumpuan beliau sekarang adalah kepada PERKASA.

Beliau yang bertanding sebagai calon bebas di Pasir Mas pada pilihan raya 2013 bagaimanapun tidak mahu mendedahkan parti politik mana yang menjadi pilihannya.

"Saya mengakui ada pihak yang melamar kerana saya tak minat menyertai parti politik dan ingin kukuhkan PERKASA.

"Ada yang melamar (bertanding) kerana saya janda seksi.

"Tapi saya pasti akan bertanding dalam pilihan raya, tapi saya tak tahu bagaimana (nak tanding). Saya tak tak boleh bagi tahu sekarang," katanya kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat PERKASA.


Ringgit terus turun berbanding dolar Amerika

Posted: 17 Nov 2016 02:06 AM PST

Rosemarie Khoo Mohd Sani




Ringgit dan mata wang pasaran pesat membangun terus mengalami penurunan berbanding dolar AS, dipengaruhi oleh kebimbangan pelabur mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, kata para peniaga.

Pada pukul 12 tengah hari, ringgit diniagakan pada 4.3850/3920 berbanding dolar AS, daripada 4.3570/3670 pada pukul 9.06 pagi.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS Janet Yellen akan menyampaikan ucapan mengenai prospek ekonomi negara itu lewat hari ini.

Profesor ekonomi di Pusat Pengajian Perniagaan Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata peningkatan dalam ekonomi AS termasuk data pekerjaaan dan sentimen perbelanjaan pengguna baru-baru ini membawa kepada permintaan tinggi bagi dolar AS, mengheret turun ringgit dan mata wang pasaran pesat membangun lain.

"Mata wang pasaran pesat membangun seperti Brazil, Korea Selatan, Indonesia, China dan Malaysia berkemungkinan mengalami kesan negatif disebabkan oleh perubahan arah dalam aliran modal," kata Yeah kepada Bernama hari ini.

Ringgit turun ke paras terendah pada 21 Jan apabila mencecah 4.3780/3870. - Bernama


Penjawat awam boleh dibuang kerja, potong gaji jika sertai BERSIH 5

Posted: 17 Nov 2016 01:58 AM PST

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Penjawat awam diingatkan tidak menyertai sebarang kumpulan atau perhimpunan di ibu negara, Sabtu ini, atau berdepan tindakan tatatertib, termasuk dibuang kerja atau potong gaji.
 
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa yang memberikan amaran itu berkata, bentuk tindakan yang akan diambil ke atas penjawat awam terbukti terbabit dalam perhimpunan tidak sah hujung minggu ini bergantung kepada tahap penglibatan mereka.
 
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam, jika gambar mereka terlibat dalam perhimpunan itu disiarkan media.
 
"Kalau ada (penjawat awam) yang jadi pemimpin, tindakan yang dikenakan berbeza daripada yang lain (penjawat awam yang menjadi peserta). Tindakan akan diambil berdasarkan gambar serta aduan yang diterima," katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Puspanita Kali Ke-4, hari ini.
 
Beliau berkata, lazimnya penjawat awam tahu mereka tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan haram dan beliau berharap mereka akan mematuhi peraturan itu.
 
Bersih yang memilih warna kuning sebagai lambang perjuangan mereka, adalah sebuah pergerakan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya di Malaysia dan merancang menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
 
Bagaimanapun, gerakan Baju Merah mendakwa Bersih bertujuan menggerakkan agenda asing untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan mengugut akan menganjurkan perhimpunan balas di tempat, hari dan waktu sama.
 
Pada 8 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kedua-dua notis yang dihantar penganjur Bersih 2.0 gagal memenuhi prasyarat Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini.
 
Selasa lalu, polis memberi amaran akan menggunakan semburan air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Baju Merah dan Bersih.
 
 

Tiada ulasan: