Isnin, 14 November 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mahkamah Singapura diberitahu - Jho Low 'penasihat' 1MDB

Posted: 14 Nov 2016 02:50 AM PST

MALAYSIAKINI




Mahkamah Singapura hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low adalah 'gatekeeper' dan juga penasihat kepada 1MDB.

Bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei memberi keterangan bahawa Jho Low membawa 'urusan besar' kepada BSI Bank (Singapore) Ltd dan urusan itu berkaitan dengan 1MDB.

Antara urusan itu membabitkan AS$100 juta daripada SRC International pada tahun 2011 manakala satu lagi melibatkan AS$2 bilion daripada Brazen Sky Ltd pada tahun 2012.

Kedua-dua firma berkenaan adalah anak syarikat 1MDB ketika masa kejadian. Sejak tahun 2012, Kementerian Kewangan diperbadanankan mengambil alih SRC International.

Yeo dibicarakan atas dakwaan mengganggu saksi dalam siasatan Singapura ke atas urus niaga berkaitan 1MDB. Antara lain, beliau dijadual dibicarakan pada April atas tuduhan pengubahan wang haram.

Urus niaga berkenaan diaturkan oleh Yak Chee Yew, seorang pengurus kanan di BSI Bank, yang kemudiannya memberi arahan kepada Yeo.

Minggu lalu, Yak mengaku bersalah atas tuduhan pemalsuan dan kegagalan melaporkan urus niaga mencurigakan. Yak dihukum penjara 18 minggu dan denda S$ 24,000 (RM72,850).

Sebahagian besar daripada jutaan wang yang diperolehi oleh Yak daripada transaksi berkaitan 1MDB juga dirampas

Ringgit terus menjunam, bersedia M'sia?

Posted: 14 Nov 2016 02:36 AM PST

MALAYSIAKINI


Profesor ekonomi di Pusat Pengajian Perniagaan Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata, Malaysia perlu bersedia menghadapi ketidak stabilan pasaran kewangan yang meningkat.

Ini kerana peningkatan aliran keluar modal yang sejajar dengan jangkaan kenaikan kadar faedah AS selain prospek pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bertambah baik, jelas beliau.

Kata beliau, jangkaan tersebut ekoran terdapat perubahan dalam jangkaan ekonomi AS selepas pemilihan Donald Trump sebagai Presiden AS ke-45.

"Ketidakstabilan yang meningkat dijangka berlaku di kebanyakan pasaran pesat membangun berikutan pelabur tidak pasti mengenai dasar-dasar AS apabila Trump mengambil alih jawatan Presiden.

"Bagaimanapun, ketidakstabilan itu berbeza di setiap negara. Seperti Malaysia, pelaburan asing dalam pasaran bon, terutamanya dalam sekuriti kerajaan, akan menyaksikan aliran keluar yang meningkat," katanya kepada Bernama, hari ini.

Yeah berkata ini juga akan menyebabkan ringgit lemah.

"Bagaimanapun, kami berpendapat ini hanya antara keadaan yang akan berlaku dalam pasaran kewangan Malaysia, seperti sebelum ini, kita dapat menghadapi aliran keluar ini.

"Apa yang diperlihatkan ringgit ialah pelabur Malaysia dan asing berusaha untuk melindung nilai pegangan mata wang mereka disebabkan permintaan yang meningkat terhadap dolar AS," kata Yeah.

Setakat jam 2 petang, ringgit disebut pada 4.3250 berbanding dolar AS, tidak berubah sejak dibuka hari ini.

Sementara itu, The Edge Markets melaporkan, ringgit berpotensi untuk menjunam ke paras RM4.80 bagi setiap dolar AS dalam tempoh terdekat ekorang jangkaan prestasi tidak menentu sehingga dasar-dasar pentadbiran baru AS dikenal pasti.

Penganalisis Pelaburan CIMB Investment Bank Bhd, Ivy Ng berkata, carta teknikal ringgit menunjukkan trend menurun untuk tempoh terdekat dan boleh berlegar-legar antara antara RM4.50 dan RM4.80 bagi setiap dolar AS dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Justeru, Ng menjangkakan, perniagaan Malaysia di luar negara akan meraih manfaat kerana lebih berdaya saing manakala syarikat yang mempunyai aset di luar negara juga akan menikmati lonjakan nilai.

Di sebalik ketidak tentuan nilai matawang tempatan, Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim telah mengumumkan ringgit tidak akan ditambat walaupun turun naik sejak kebelakangan ini disebabkan persekitaran luar.

"Ringgit akan terus menghadapi turun naik, sebahagian besarnya berpunca daripada ketidaktentuan dalam persekitaran luar.

Nilai ringgit tidak patut ditentukan oleh kedudukan spekulasi," kata Muhammad pada sidang media selepas mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini.


Tuntutan guaman - 48 jam untuk Jamal mohon maaf

Posted: 14 Nov 2016 02:34 AM PST

Zulaikha Zulkifli



Anggota parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin memberi masa 48 jam kepada Datuk Seri Jamal Yunos untuk menarik balik dakwaan yang mengaitkan ketua wanita PKR dengan serangan terhadapnya.

Dalam surat tuntutan itu, Zuraida menggesa agar Jamal, ketua kumpulan Baju Merah, membuat permohonan maaf dalam masa ditetapkan.

Jika Jamal tidak berbuat demikian, beliau mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang, kata Zuraida.

"Pada 13 November dia buat dakwaan yang tak benar dan berunsur fitnah. Dan dalam video jelas saya tidak ada di situ kerana itu insiden pergelutan antara Baju Merah dan polis.

"Dia juga memalukan saya dengan tuduhan saya pukul dia. Dia memalukan saya sebagai anggota parlimen dan menjejaskan reputasi saya.

"Dengan itu maka saya minta dia dalam masa 48 jam untuk buat penarikan kata-kata dan mohon maaf pada saya dan bayar apa-apa kos kerugian sewajarnya kerana kerosakan yang dilakukan semalam," kata Zuraida.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Zuraida lagi, pihak peguamnya telah menghantar surat tuntutan tersebut ke melalui faksimili ke pejabat Jamal tengah hari tadi.

Dalam surat tuntutan sama, Jamal turut diminta untuk membayar sejumlah wang ekoran reputasi Zuraida yang telah tercemar berikutan dakwaan yang dibuat ketua Umno bahagian Sungai Besar berkenaan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Jamal berdarah pada hidungnya selepas dia didakwa diserang dan ditumbuk dalam kejadian di Ampang.

Kejadian berlaku ketika Jamal bersama pengikutnya mengekori Zuraida yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah Ampang Point.

Ditemui media selepas itu Jamal berkata seorang daripada "budak Zuraida" telah memukulnya.

Jamal yang jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu memberitahu akan bertindak balas.

"Saya tak puas hati. Saya akan kejar mereka lebih dari apa saya umumkan (terhadap BERSIH sebelum ini).

"Saya akan cincang mereka," katanya.

'Dia ancam nak cincang'

Sementara itu, pada esok pula, Zuraida akan membuat laporan polis ekoran ancaman keselamatan oleh Jamal.

"Dia ancam kita nak cincang, ambil darah. Jadi kita akan buat laporan polis esok pukul 10 pagi di Ampang dan di seluruh negara.

"Sudah tiba masanya ketua polis negara bertindak mengurung Jamal yang sangat buas dan berbahaya ini dengan pelbagai siri ugutan," katanya lagi

Surat Rafizi dari kandang tertuduh

Posted: 14 Nov 2016 01:25 AM PST

Rafizi Ramli 



ULASAN Saya berterima kasih kepada pasukan peguam saya yang diketuai Saudara Gobind, Saudara Saiful Izham, Saudara Ahmad Nizam dan dibantu oleh kumpulan peguam-peguam muda Saudara Haijan, Saudara Adi, Saudara Nik Zarith, Saudari Joanne, Saudara Falihin dan Saudara Ashraf.

Bersama-sama satu lagi pasukan peguam iaitu Saudara Ranjit Singh, Saudara Razlan Hadri, Saudari Siau San dan Saudari Michele, serta satu lagi pasukan peguam iaitu Saudara William Leong dan Saudara Halim.

Ketiga-tiga pasukan peguam ini menangani kesemua 12 kes yang saya hadapi dalam saya menjalankan tugas saya sebagai seorang wakil rakyat.

Mereka tidak pernah mengenakan satu sen pun yuran guaman sejak tahun 2012 mereka menangani kes-kes saya. Saya tidak boleh menjadi lantang jika tidak kerana peguam-peguam ini yang sewajarnya diberikan pengiktirafan oleh masyarakat.

Keputusan pada hari ini telah saya jangka. Hukuman penjara tiga tahun bagi kedua-dua kes juga telah saya jangka.

Saya yakin atas penghujahan undang-undang yang kukuh oleh pasukan guaman, rayuan saya ke Mahkamah Tinggi ada peluang baik untuk menang.

Saya telah meminta supaya Saudara Gobind, Saudara Saiful Izham dan Saudara Ahmad Nizam bersama-sama peguam muda untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin.

Pun begitu, saya bukan orang baru dalam sepak terajang politik negara. Saya tahu saya perlu realistik bahawa besar kemungkinan saya akan dipenjarakan dan ia boleh berlaku dalam masa beberapa bulan sahaja dari sekarang.

Saya telah susun seadanya segala perancangan agar isteri, anak dan ibu bapa kami dapat menjalankan kehidupan sebaik mungkin walaupun saya tiada buat sementara waktu.

Saya menghargai rasa prihatin yang dicurahkan, namun saya juga memohon supaya ruang peribadi kami bertiga (saya, isteri dan anak) dihormati dalam beberapa bulan akan datang supaya kami boleh menjalani kehidupan seperti sebuah keluarga biasa.

Setiap kali saya berdoa kepada Allah SWT, saya tidak pernah memohon agar dibebaskan atau tidak dipenjarakan. Saya memohon supaya Allah SWT melapangkan dada saya supaya redha dengan apa-apa keputusan hari ini dan yang akan datang kerana semuanya telah ditetapkan oleh-Nya.

Saya tenang tanpa rasa marah, takut atau pun sedih kerana saya yakin saya telah menjalankan amanah saya sebagai seorang rakyat biasa, seorang pemimpin parti pembangkang dan seorang wakil rakyat.

Setiap kali saya berdepan dengan keputusan, saya tidak pernah menghadapi dilema untuk membuat keputusan kerana hukumnya kebajikan dan kesusahan rakyat mengatasi kepentingan peribadi kita sebagai ahli politik.

Oleh itu, keputusan saya sebagai seorang wakil rakyat atau ahli politik kadang-kadang mengundang rasa marah atau rasa terancam di kalangan pemimpin lain baik dalam BN atau parti saya sendiri.

Ingatan kepada diri saya setiap pagi saya ke pejabat ialah setiap tindakan dan amal kita disukat setiap saat bukannya oleh ahli-ahli politik yang nampak berkuasa, tetapi oleh malaikat yang tidak akan lalai walau sezarah pun.

Maka janganlah terlalu takut atau bimbang dengan pandangan sang berkuasa, atau terlalu berkira-kira dalam keputusan kita sebagai seorang pemimpin, kerana berkira-kira kerana takut atau bimbangkan pertimbangan politik dalam keadaan kita berdepan dengan isu yang jelas yang benar dan jelas yang salahnya; itu pun akan turut dicatat untuk dihisab.

Oleh sebab itu, keputusan pemenjaraan yang memang telah dijangka pada hari ini sedikit pun tidak akan mengubah apa-apa. Saya akan terus lantang seperti sebelum ini di dalam dan di luar parti.

Saya akan teruskan dengan pembongkaran dan menyemak setiap satu sen yang dibelanjakan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selagi dalam kemampuan saya.

Esok, saya dan rakan-rakan anggota parlimen Pakatan Harapan iaitu YB Tony Pua, YB Wong Chen, YB Dr Hatta dan YB Ong Kian Ming akan terus mendedahkan kepincangan projek kereta api pantai timur (ECRL) yang kini dilaksanakan Datuk Seri Najib.

Saya juga akan menjawab isu-isu berkenaan Tabung Haji dan membentangkan beberapa analisis baru kedudukan kewangannya.

Selain Tabung Haji, fokus saya masih lagi kepada isu pendidikan tinggi dan kelangsungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kedudukan tabung pencen negara, perbezaan imbuhan gaji yang terlalu ketara di antara kakitangan kerajaan berpangkat rendah dan tinggi, mendesak dihapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan sebagainya.

Mulai esok, saya akan mula turun berceramah bersama-sama pimpinan dan aktivis yang mahukan Datuk Seri Najib meletak jawatan. Ceramah pertama yang bertemakan #LawanTetapLawan akan bermula di Pandan iaitu di Dewan Kampung Cheras Baru.

Hari Rabu, saya akan ke Pangkalan Tentera Laut (TLDM) Lumut untuk berjumpa dengan pesara-pesara tentera laut yang mula-mula sekali membawa ke pengetahuan saya kelewatan pembayaran pampasan persaraan. Malam itu, saya akan berceramah di Lumut bersama-sama pimpinan Pakatan Harapan yang lain.

Mulai minggu ini, saya akan jelajah ke setiap negeri dengan menumpukan di kerusi-kerusi marginal (BN menang tipis) supaya saya telah berkempen di kesemua negeri dan kerusi marginal menjelang akhir Januari.

Di setiap negeri, di sebelah siangnya saya akan tumpukan untuk merekrut sukarelawan dan melatih mereka, di sebelah malamnya saya akan gempur kerusi-kerusi marginal dengan isu-isu pembongkaran terbaru melalui ceramah-ceramah #LawanTetapLawan

Saya telah lama bersedia dengan keadaan ini dan telah persiapkan semua yang diperlukan untuk melawan pentadbiran Datuk Seri Najib.

Bagi mereka yang merasakan saya bodoh kerana membela golongan pencen askar, pertimbangan saya bukanlah sokongan politik atau kedudukan. Orang yang paling tiada suaralah yang perlu kita bela.

Bagi mereka yang marah atau simpati, jangan hanya marah di Facebook atau Twitter. Zahirkan rasa mual anda terhadap Datuk Seri Najib itu dengan menjadi sukarelawan INVOKE yang saya latih sendiri dan sertai ribuan sukarelawan yang akan memastikan Datuk Seri Najib hilang semua kerusi marginal yang dipegang Umno/BN sekarang.

Layari www.invokemalaysia.org untuk mendaftar menjadi sukarelawan atau menghulurkan bantuan kewangan kepada #ProjekBuangNajib yang saya sedang usahakan.

Datuk Seri Najib mungkin rasa kebal apabila berdepan dengan beberapa anggota parlimen seperti saya, tetapi beliau pasti kalah jika berdepan dengan puluhan ribu sukarelawan terlatih dari kalangan rakyat biasa.

Akhir sekali, saya sedar saya mungkin hanya ada beberapa bulan sahaja lagi sebelum direhatkan. Saya berharap Datuk Seri Najib juga sedar beliau pun mungkin hanya ada beberapa bulan sahaja lagi sebagai Perdana Menteri sekiranya kemarahan rakyat itu terus merebak.

#LawanTetapLawan Kita jumpa di Pandan dan kawasan-kawasan lain selepas ini.

RAFIZI RAMLI anggota parlimen Pandan merangkap setiausaha agung dan naib presiden PKR. Menurutnya, surat itu ditulis dari kandang tertuduh semasa penghakiman dibacakan.


Tiada ulasan: