Ahad, 13 November 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Petugas BERSIH cedera diserang di Hulu Langat

Posted: 13 Nov 2016 07:14 AM PST

MALAYSIA KINI




Konvoi BERSIH yang dalam perjalanan menuju ke Hulu Langat bagi mempromosikan himpunan pada Sabtu ini terpaksa berpatah balik pagi tadi selepas diserang kumpulan Baju Merah.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu juga menyebabkan dua daripada peserta konvoi berkenaan mengalami cedera ringan.

Berdasarkan maklumat pada akaun Facebook BERSIH, dua orang yang menjadi sasaran serangan Baju Merah pagi tadi ialah petugas keselamatan dan penyelaras konvoi.

"Laporan polis akan menyusul. Kami menyeru pihak polis untuk mengambil tindakan tegas dengan segera," kata BERSIH dalam kenyataannya.

Kemas kini status berkenaan turut disertakan dengan klip video berhubung insiden tersebut.

Berdasarkan rakaman itu sekumpulan lelaki berbaju merah dan bertutup sebahagian muka mengancam untuk memecahkan cermin tingkap sebuah kenderaan.

Saksi dan peserta konvoi itu Hishamuddin Rais berkata rombongan berkenaan dijadual mengedarkan risalah di kawasan kampung Dusun Tua.

Bagaimanapun katanya konvoi 19 kenderaan itu dihalang kumpulan Baju Merah apabila mereka menyekat satu-satunya jalan masuk ke kawasan berkenaan.

"Seorang lelaki ditumbuk pada mata, dan seorang lagi ditendang," katanya.

Ekoran kejadian itu kata Hishamuddin mereka terpaksa berundur dan menuju ke Kajang.

"Ada lebih 50 orang (berbaju merah). Kalau kami tak berundur mereka mungkin menyerang kami lebih teruk," katanya.

Selepas mengedarkan risalah BERSIH di Kajang konvoi berkenaan melakukan flash mob di Semenyih.

ADUN Sekinchan mohon maaf, malu Jamal dari kawasan sama

Posted: 13 Nov 2016 02:05 AM PST

MALAYSIAKINI




ADUN Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim memohon maaf atas 'kewujudan' pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana kedua-dua mereka beroperasi dari kawasan yang sama.

"Saya ingin memohon maaf kepada anda semua kerana pemimpin Baju Merah, Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Jamal adalah dari Sekinchan.

"Saya tidak tahu mengapa kawasan saya mempunyai seseorang seperti itu. Saya malu ada seseorang seperti itu (dari kawasan saya)," kata Ng dalam ceramah BERSIH di tempat letak kereta Bandar Tun Hussein Onn, malam tadi.

Semalam, Jamal dan kumpulannya berkumpul di Dataran Maybank yang menjadi salah satu tempat berkumpul yang dirancang BERSIH.

Beliau mengulangi ancaman sebelum ini untuk menghentikan perhimpunan tersebut dengan Baju Merah akan turut berhimpun di mana sahaja BERSIH mengumpulkan para pesertanya.

Kumpulan baju merah juga telah mengganggu konvoi BERSIH yang diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai agenda perhimpunan.

Pada ceramah BERSIH itu yang menyaksikan kira-kira 80 orang hadirin, pengerusinya Maria Chin Abdullah bercerita mengenai ancaman bunuh yang diterimanya.

"Ia (ancaman bunuh) adalah sesuatu yang kita mesti tentang dan hentikan.

"Kami juga diserang dengan dakwaan BERSIH ambil wang daripada (pembiaya Amerika) George Soros," tambahnya.

Sehari selepas persediaan silat, hidung Jamal berdarah dipukul

Posted: 13 Nov 2016 02:05 AM PST

Jamal di tumbuk
Jamal di tumbuk


Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Yunos mendakwa dipukul oleh budak suruhan Ahli Parlimen PKR Ampang Zuraida Kamaruddin sehingga mengakibatkan beliau cedera di hidung petang Ahad.

Dalam insiden di pusat beli-belah Ampang Point, Jamal bersama penyokong baju Merah sedang mengekori Zuraida yang sedang berkempen untuk mempromosikan perhimpunan Bersih 5 dikawasan parlimennya.

Sejurus kemudian berlaku pergelutan dan ketika itulah muka Jamal didakwa ditumbuk pihak tidak diketahui.

Anggota kumpulan Baju Merah kemudian bergelut pula dengan beberapa anggota polis yang menyekat laluan keluar. Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka ditahan.

Ditemui media selepas itu Jamal berkata seorang daripada "budak Zuraida" telah memukulnya.

Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu dan memberitahu beliau akan bertindak balas.

"Saya tak puas hati. Saya akan kejar mereka lebih dari apa saya umumkan (terhadap Bersih sebelum ini).

"Saya akan cincang mereka," katanya.

Bagaimanapun melalui rakaman video, ketika kekecohan itu berlaku Jamal didengar berkata: "Polis tumbuk saya!" berkali-kali.

Agong boleh lucut jawatan Perdana Menteri melalui darurat

Posted: 13 Nov 2016 02:05 AM PST

KUALA LUMPUR 31 AUGUST 2104.    Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan)  bersama Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir di Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-57 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.NSTP/EFFENDY RASHID
Gambar fail NSTP


Hari ini bermulanya Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 yang menjadi perhatian rakyat dan juga pemerhati politik antarabangsa.

Mesyuarat yang dianggotai ketua-ketua negeri 'berdarah biru' akan membincangkan pelbagai perkara yang melingkari negara kebelakangan ini dan akan berakhir Jumaat ini.

Sehubungan itu, orang ramai ingin mengetahui sebarang reaksi Raja-raja Melayu terhadap desakan yang mahukan Perdana Menteri, Najib Razak melepaskan jawatan.

Ia susulan tindakan kerajaan pimpinan Najib menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 tanpa menghiraukan pandangan Raja-raja Melayu mengenainya.

Pada masa sama, negara turut terpalit dengan kisah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang merosakkan reputasi kewangan serta ekonomi negara di peringkat dunia.

Kegagalan kerajaan mengatasi kejatuhan nilai ringgit serta mencari jalan keluar kepada kemelut ekonomi domestik juga turut menjadi sebab kepada desakan supaya Najib berundur.

Penulis memahami sebab permintaan untuk Najib melepaskan kedudukannya sebagai ketua kepada Kerajaan Persekutuan, namun permohonan kepada Raja-raja untuk menekan Najib ketika ini dilihat janggal.

Lazimnya, apabila seorang Perdana Menteri itu hilang kepercayaan untuk meneruskan kepemimpinan, usul undi tidak percaya harus dilaksanakan di Parlimen semasa sidang Dewan Rakyat.

Satu lagi kaedah ialah pengundi memilih untuk tidak mengundi parti yang dianggotai Perdana Menteri dan memberikan mandat itu kepada parti lain.

Desakan untuk Perdana Menteri meletakkan jawatan juga boleh dibuat oleh parti yang dipimpin Perdana Menteri itu sendiri, seperti yang pernah berlaku ke atas Bapa Pembangunan Modal Insan, Abdullah Ahmad Badawi.

Itulah kaedah yang dibenarkan mengikut konteks politik dan perundangan negara dan kebiasaannya kita lihat seseorang Perdana Menteri berundur apabila parti pemerintah tidak lagi mempercayai pemimpinnya.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja tidak boleh mengeluarkan titah pengisytiharan tidak percaya kepada Perdana Menteri atau Menteri Besar, apalagi bertindak memecatnya.

Perbuatan sedemikian salah dan mencampuri urusan politik serta perjalanan badan eksekutif selain jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan Raja-raja adalah di atas politik dan hendaklah neutral.

Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menyingkirkan Najib dengan menolak pelantikannya sebagai Perdana Menteri jika selepas pilihan raya umum kelak, parti pimpinan Najib itu memperoleh mandat.

Kaedah sama pernah dilakukan oleh Sultan Terengganu, Sultan Perak, dan Raja Perlis dalam pilihan raya terdahulu, yang mana menolak calon Menteri Besar masing-masing ketika itu.

Satu lagi kaedah ialah Yang di-Pertuan Agong menguatkuasakan darurat. Jika ia berlaku, kuasa Perdana Menteri terlucut dan diambil alih oleh Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, tindakan ini hanya boleh dilakukan sekiranya Seri Paduka mendapat nasihat untuk berbuat demikian daripada Jemaah Menteri yang bertanggungjawab.

Ia pernah berlaku pada 13 Mei 1969, di mana Tunku Abdul Rahman hilang kuasa sebagai Perdana Menteri apabila darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Putra ibni almarhum Syed Hassan Jamalullail atas nasihat Jemaah Menteri ketika itu.

Dua lagi kes ketua kerajaan negeri disingkirkan menerusi proklamasi darurat ialah pemecatan Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan pada 1966 dan Menteri Besar Kelantan, Muhamed Nasir pada 1977.

Bagaimanapun, mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mengisytiharkan darurat untuk menyingkirkan mana-mana ketua kerajaan tanpa nasihat Jemaah Menteri bertanggungjawab.

Proklamasi darurat terlalu berisiko dan mempunyai impak yang cukup dalam. Justeru, perkara ini harus diperhalusi dengan teliti.

Sebaik-baiknya, pihak yang tidak mahukan Najib ini perlu bertindak mengikut kaedah usul undi tidak percaya di Parlimen, berkempen ketika pilihan raya umum untuk menolak parti Najib atau melobi supaya parti pemerintah menggesa Najib meletakkan jawatan.

Darah Jamal 'tumpah' di Ampang

Posted: 13 Nov 2016 02:05 AM PST

Zikri Kamarulzaman

 

Pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos berdarah pada hidungnya selepas dia didakwa diserang dan ditumbuk dalam kejadian di Ampang hari ini.

Kejadian berlaku ketika Jamal bersama pengikutnya mengekori Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah Ampang Point.

Sejurus kemudian berlaku pergelutan dan ketika itulah muka Jamal didakwa ditumbuk pihak tidak diketahui.

Anggota kumpulan Baju Merah kemudian bergelut pula dengan beberapa anggota polis yang menyekat laluan keluar. Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka ditahan.

Ditemui media selepas itu Jamal berkata seorang daripada "budak Zuraida" telah memukulnya.

Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu dan memberitahu beliau akan bertindak balas.

"Saya tak puas hati. Saya akan kejar mereka lebih dari apa saya umumkan (terhadap BERSIH sebelum ini).

"Saya akan cincang mereka," katanya.

Bagaimanapun melalui rakaman video, ketika kekecohan itu berlaku Jamal didengar berkata: "Polis tumbuk saya!" berkali-kali.

Jamal dikenali sebagai pimpinan utama Baju Merah yang giat menyaingi kempen BERSIH menjelang perhimpunan di Kuala Lumpur pada Sabtu depan.

Selain memberi amaran untuk berkumpul beramai-ramai bersama BERSIH, sejak beberapa hari lalu
kumpulan berkenaan mempamerkan kekuatan mereka dalam seni bela diri, termasuk ketika mengadakan protes berhampiran pejabat Malaysiakini pada 5 November lalu.

Beberapa klip video yang tersebar di media sosial pula menunjukkan beberapa individu - termasuk Jamal sendiri - menunjukkan kemampuan mereka menahan pukulan serta serangan fizikal melalui seni bela diri.

Sementara itu Zuraida ketika dihubungi berkata beliau tidak tahu menahu mengenai mengenai serangan ke atas Jamal.

"Saya mengelak daripada dia, jadi saya tak tahu apa yang terjadi. Saya akan bercakap dengan orang saya dan bertanya kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah Pilihan Raya PKR Ampang Nallan Dhanabalan pula mendakwa melihat kejadian itu dan sebenarnya seorang lelaki berpakaian biasa - didakwa anggota polis - menumbuk Jamal.

"Jamal menarik leher rantai seorang polis berpakaian biasa, dan ia terputus. Kemudian pegawai lain datang dan memukulnya," kata Nallan.

Kejadian itu katanya berlaku ketika kumpulan PKR bergerak meninggalkan Ampang Point dan polis berusaha memisahkan kedua-dua kumpulan berkenaan.


LIHAT VIDEO DI SINI


SHA LA LA LA LA UNTUK NAJIB SEKALI LAGI....

Posted: 13 Nov 2016 01:54 AM PST

shahbudindotcom


Memetik laporan dari Singapura semalam di mana perbicaraan berkaitan 1MDB sedang berjalan,  seorang pegawai polis di Jabatan Hal Ehwal Komersial negara itu buat julung kalinya mengesahkan bahawa Jho Low adalah orang penting dalam siasatan penggubahan wang haram yang mereka jalankan berkaitan dengan dana syarikat pelaburan itu.

Pegawai tersebut, Oh Yong Yang memberitahu mahkamah,  Jho Low disiasat sejak tahun 2015 lagi.
 
 
 
 
Jho Low adalah orang berkepentingan utama dalam siasatan kami dan dia juga adalah berkepentingan dalam siasatan berkaitan bidang lain...ia bermula pada 2015," kata beliau.

Katanya, turut dalam senarai penyiasatan mereka ialah  Eric Tan Kim Loong dan Mohamed Badawy  Al Hussainy, kedua-duanya adalah individu yang pernah memegang jawatan penting dalam Aabar Investment di Abu Dhabi.

Laporan di atas adalah pengakuan dalam mahkamah di Singapura. Ia bukan main-main atau macam berita gossip artis.
 
 
 
 
Namun jika diimbas, Najib Razak pada 16 Mac 2015 dalam jawapan bertulis di Parlimen, pernah mengatakan bahawa Jho Low tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 1MDB.

Kata beliau, semua perkara berkaitan 1MDB diputuskan oleh pengurusan dan lembaga pengarah syarikat tersebut.

Kemudian CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pada 26 Mac 2016 juga menafikan sebarang kaitan antara Jho Low dengan syarikat pelaburan itu.

Jho Low tiada sebarang aktiviti dalam syarikat, beliau tidak dibayar oleh syarikat dan tidak diberikan apa-apa tugas oleh syarikat, katanya lagi.
 
 
 
 
Tetapi, berdasarkan apa yang terkini yang dilaporkan di Singapura itu, terbukti dan sah ia bertentangan dengan kata-kata Najib dan Arul sebelum ini.

Maka, mari kita pelawa Najib dan Arul, beserta Peguam Negara Apandi Ali untuk menyanyi sambil berjoget  lagu "sha la la la la" sekali lagi!!
 
 
 

Jatuhkan Najib agar kedaulatan negara dikembalikan

Posted: 13 Nov 2016 01:48 AM PST

whatsapp-image-2016-11-12-at-15-59-55

Oleh Syazana Hasanudin


SHAH ALAM: Misi paling besar dalam menjatuhkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional adalah untuk mengembalikan kedaulatan negara yang semakin tercemar di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata ia amat berbeza semasa di zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, apabila pihak pembangkang turut bersetuju dengan keberanian dan kelantangannya mempertahankan kedaulatan negara di peringkat antarabangsa.

"Walaupun pembangkang berbeza pendapat dengan Tun M semasa beliau jadi Perdana Menteri, beliau tidak mempertaruhkan kedaulatan negara," ujarnya.

"Pada zaman Najib ini, dengan Amerika tidak berani, China tidak berani, malah dengan Filipina pun tidak berani.

"Boleh pula Najib menyanyi dan menari dengan Presiden Filipina (Duterte) sedangkan Filipina pernah berkata mahu menawan Sabah dari Malaysia," kata Anthony dalam sidang konvensyen Pakatan Harapan tadi.

Beliau menegaskan, satu-satunya cara untuk mengembalikan kedaulatan negara adalah dengan menjatuhkan kerajaan UMNO-BN serta membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Seremban itu turut menyatakan hasrat agar kerjasama antara Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dapat dimeterai dan direalisasikan secepat mungkin.

"Jika kita ada matlamat sama, hati pun kena sama. Matlamat kita adalah sama iaitu untuk jatuhkan kerajaan korup di bawah pimpinan Najib," ujarnya. – Roketkini.com


Penduduk muara sungai, pesisir pantai Perlis sedia hadapi air pasang besar

Posted: 13 Nov 2016 01:46 AM PST

BERNAMA
 
 
Air pasang besar di Kuala Perlis Air pasang besar di Kuala Perlis


Penghuni di lebih 4,000 rumah di muara sungai dan sepanjang pantai di Perlis sudah bersedia menghadapi air pasang besar yang dijangka berlaku mulai hari ini hingga 17 Nov ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Mat Hassan berkata berpandu pada ramalan Jabatan Meteorologi, penduduk terbabit kini lebih bersedia menghadapi fenomena tersebut selepas berdepan situasi sama pada 17 hingga 21 Okt lalu.

Beliau turut menasihatkan penduduk berkenaan agar tidak panik, sebaliknya menggunakan pengalaman lepas untuk mengurangkan kerugian.

"Kerajaan akan membantu apa yang boleh termasuk menyediakan tempat perlindungan sementara bagi menempatkan barang-barang penting dan berharga milik mereka," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau juga meminta penduduk terbabit terutama yang tinggal berhampiran muara sungai pesisir pantai dari Kuala Perlis ke Kuala Sanglang mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah ke tempat selamat apabila diarahkan.

Mat berkata ban dan benteng batu dari Kuala Perlis hingga Kuala Sanglang sepanjang 20 kilometer tidak mampu menahan ombak tinggi semasa air pasang besar yang boleh menjejaskan lebih 200 hektar sawah di pesisir pantai tersebut.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri telah membuat permohonan tambahan daripada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf benteng tersebut.

Cucu bekas TPM sertai Parti Bersatu

Posted: 13 Nov 2016 01:37 AM PST

mStar Online, 
tariq-ismail-min 


Walaupun tidak mendapat sokongan penuh daripada keluarganya, Tariq Ismail, cucu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman, telah menyatakan hasratnya untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Ketika dihubungi, Tariq berkata, isterinya menjadi satu-satunya insan yang menyokong keputusannya.
"Ibu bapa saya sedang berfikir tentang hal ini, kakak saya minta saya berhati-hati dan bapa saudara saya (bekas ahli Umno, Taufiq Ismail) mungkin tidak menyukainya.

"Tetapi ia benar-benar tidak menjadi masalah kerana fahaman politik kami tidak akan mengganggu hubungan keluarga. Keluarga adalah keluarga, apa-apa sahaja selain itu akan diletak tepi," katanya.

Datuk Tariq, Tun Dr Ismail, dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1970 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau meninggal dunia tiga tahun kemudian akibat serangan jantung.

Mengenai sebab-sebab beliau ingin menyertai Bersatu, Tariq berkata ia adalah satu-satunya parti terbaik yang menunjukkan kemajuan pada masa ini.

"Semuanya kerana perkembangannya. Saya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku dalam Umno kerana mereka kini hilang arah. Mereka merosot.

"Tidak pernah ada suara yang boleh memberitahu orang Melayu bahawa perkembangan bukanlah satu perkara yang tidak baik. Ia adalah mengenai membebaskan minda Melayu," katanya, sambil menambah beliau telah bercakap dengan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjelaskan bahawa parti
Bersatu adalah parti yang melakukan perubahan institusi dan akan kembali kepada semangat Perlembagaan.

Tariq berkata beliau tidak mempunyai dendam peribadi terhadap kepimpinan Umno sekarang.

"Saya tidak menentang mereka secara individu, tetapi dasar-dasar dan pendirian mereka," katanya.

Jamal jangan tembak saya, saya panglima Najib dan Rosmah, kata Ali Tinju

Posted: 13 Nov 2016 01:37 AM PST

Gambar fail Malaysia Gazette
Gambar fail Malaysia Gazette


Bimbang akan keselamatan diri selepas diugut akan ditembak, Presiden Gerakan Baju Merah Mohd Ali Baharom atau dikenali sebagai Ali Tinju membuat laporan polis terhadap ugutan yang diterimanya daripada Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos hari ini.

Ali mendakwa diugut akan ditembak rakannya itu jika masih mengkritiknya tidak layak untuk bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar nanti.

Ali berkata tidak gentar dengan ugutan, tetapi mengingatkan Jamal jika beliau mati siapa yang akan menjaga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Saya nak nasihat Jamal jangan sombong dan ego dengan pistol yang kamu ada, negara ini ada undang-undang, tindakannya itu memalukan parti, kalau Jamal tembak mati ahli Umno, tembak mati saya sebagai panglima Datuk Seri Najib, siapa yang nak jaga Datuk Najib dan Datin Seri Rosmah?


"Saya tidak ada kepentingan kenapa nak tembak saya? Saya Ali Tinju tidak goyang, kalau Datuk Jamal nak bertumbuk cari gelanggang bertumbuk dengan saya, kalau dia anak jantan, jangan fikir kamu ada duit kamu boleh bayar orang, kami NGO ini bukan bodoh," kata Ali yang dipetik dalam laporan media sejurus membuat laporan polis di Dang Wangi tadi.

Ali juga mengulangi pendiriannya Jamal bukan calon yang sesuai diletak Umno bertanding di Sungai Besar.

"Saya nak ulang lagi sekali, kalau Datuk Jamal bertanding di PRK Sungai Besar, rakyat ibarat telah memilih seorang samseng dalam politik Umno dan Barisan Nasional, malah Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zahid Hamidi tidak pernah ajar ketua UMNO bahagian jadi samseng," katanya.

Ali merupakan kawan karib kepada Jamal terutamanya semasa menganjurkan Perhimpunan Baju Merah pada 16 September tahun lalu.

Spekulasi mengatakan Jamal sedang melobi dirinya sebagai calon di Sungai Besar.

Lantang kritik pentadbiran Najib, Sultan Johor diintip polis cawangan khas

Posted: 13 Nov 2016 01:34 AM PST

sultanjohor-tmj


Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sering mengeluarkan kenyataan pedas terhadap kerajaan pemerintah dipimpin Datuk Seri Najib Razak mendakwa pergerakan mereka juga diintip polis cawangan khas (SB).

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Tunku Ismail (TMJ) dimana beliau sendiri tidak mengetahui tujuan intipan tersebut ke atas mereka kerana tidak ada kesalahan yang mereka lakukan.

Saya tidak faham mengapa telefon saya dicuri dengar. Saya tidak faham mengapa pergerakan saya dipantau oleh 'Special Branch'.

"Saya tidak faham mengapa mereka perlukan fail mengenai saya dan ayahanda saya di (Ibu Pejabat Polis) Bukit Aman," dakwanya melalui status di Facebook semalam.

Baginda mempersoalkan langkah sedemikian kerana mereka bukan individu yang berbahaya yang membunuh orang.

"Saya tidak berbahaya. Saya tidak pernah membunuh sesiapa kecuali bola sepak Malaysia," katanya.
Unit cawangan khas merupakan sayap perisikan PDRM yang bertanggungjawab untuk mengumpul risikan bagi keselamatan negara.

Antara lain peranannya ialah mengumpul risikan keselamatan berkaitan dengan ancaman dari dalam dan luar negara, sebarang aktiviti subversif dan sabotaj oleh kumpulan pelampau atau individu yang boleh mengancam kestabilan negara.

Apa muslihat penangguhan penyertaaan PPBM sertai PH?

Posted: 13 Nov 2016 01:10 AM PST

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] "Hari ini (Sabtu, 12 November 2016) PPBM belum lagi menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH), tapi niat kita ialah untuk bersama-sama dengan parti-parti lain dalam PH," kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Beliau membuat penegasan demikian kerana presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin "mencemaskan" pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain dengan menangguhkan majlis memeterai perjanjian penyertaan PPBM dalam PH.
 
Dr Mahathir memaklumkan pada konvensyen pertama PH kelmarin bahawa beliau dan Muhyiddin sebenarnya senada mengenai permuafakatan parti itu dengan PH yang merangkumi PKR, DAP dan AMANAH. 
 
"Dia (Muhyiddin) bersama saya, bersetuju supaya kita akan menyertai secara langsung dengan PH. Tidak benar sama sekali bahawa yang menentang perpaduan antara PPBM dengan PH adalah Tan Sri Muhyiddin.
  
"Kita akan menyelesaikan mengenai kekeliruan menandatangani perjanjian tapi kami akan menyertai PH," ujarnya.
 
Anehnya pada majlis yang sama Muhyiddin  mengemukakan alasan bahawa penangguhan itu dibuatnya bagi membolehkan pemimpin PH berbincang lebih lanjut bersabit terma-terma perjanjian itu.
 
"Ada yang kata saya tarik diri dari menandatangani (penyertaan) PPBM dan PH yang sepatutnya dimeterai hari ini. Saya sangat serius dan teliti dalam hal-hal yang penting, lagi-lagi dalam isu tandatangan ini.
 
"Saya minta majlis menandatangani ini ditangguhkan untuk beri masa yang cukup kepada semua kepimpinan PPBM dan PH untuk berbincang dengan lebih lanjut. 
 
"Bukan hanya (perbincangan) antara presiden (sahaja), tetapi dengan semua kepimpinan kanan secara bersama untuk mencapai persetujuan dalam setiap satu terma yang terkandung di dalam perjanjian.
 
Menilai sikap berhati-hati Muhyiddin ini, mungkin timbul persoalan adakah sebenarnya corak kepemimpinan Muhyiddin dengan Mahathir ini kurang serasi? Mengenali Mahathir beliau lazimnya bertindak dengan yakin dan tuntas.
 
Adakah kepemimpinan Muhyiddin yang kelihatan agak kurang yakin diri membuat 'anak didik' Mahathir, Datuk Seri Khairuddin  Abu Hassan bertindak keluar parti itu?
 
Satu lagi persoalan ialah, adakah "ketelitian" Muhyiddin membuka peluang untuk anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dinaikkan pangkat tanpa pengundian daripada ahli parti dari Naib Presiden menjadi Timbalan Presiden?
 
"Pada dasarnya saya bersetuju dengan sebahagian besar perjanjian," kata Muhyiddin pada Konvensyen PH itu sekaligus mengisyaratkan bahawa ada beberapa bahagian perjanjian yang tidak dipersetujuinya.
 
Umum tahu Muhyddin bukan seorang pemimpin yang tegas dan gesit dalam tindakan dan bacaan politiknya. Namun dalam percaturan politik mutakhir, namanya tersenarai berpeluang menjadi perdana menteri jika pembangkang menang pilihanraya umum akan datang.
 
Mungkinkah kerana itu Muhyiddin mengambil sikap lebih berhati-hati bagi menentukan PPBM mampu menjadi peneraju pembangkang dan tidak mahu 'menurut sahaja' syarat PH sedia ada?
 
Dengan perkataan lain, mungkinkah PPBM atau Muhyiddin sebenarnya mahu meletakkan syarat khusus supaya kerabat PH tidak berdolak dalik atau enggan merestui PPBM menjadi nakhoda PH jika dapat menundukkan Umno-BN kelak?
 
Adakah Mahathir dan Muhyiddin serta PPBM keseluruhannya mahu menjawab tantangan Umno-BN yang sering mencabar PH supaya menamakan barisan kabinet bayangannya?
 
Dalam soal ini, mungkinkah PPBM mahu dengan jelas menyatakan bahawa ia mahu jawatan Perdana Menteri dikalungkan pada calonnya – Muhyiddin? Atau, mungkin juga Mukhriz? 
 
Memahami psikologi politik Mahathir beliau tidak mudah mengalah dan hanya berpuashati memegang watak pelakon pembantu atau tambahan sahaja. Dalam apa jua keadaan Mahathir mahu berada pada kedudukan memimpin.
 
Memang menjadi watak Mahathir jika memutuskan sesuatu beliau akan melakukannya segigih mungkin.
 
Kali ini demi meyakinkan PH, terutama PKR, Mahathir sanggup melekatkan lencana "Bebaskan Anwar Sekarang" pada bajunya walaupun beliau sedar Anwar masih meringkuk dalam penjara apabila PRU 14 berlangsung!
 
Atau, adakah  taktik melengah-lengahkan ini satu strategi untuk melunakkan  PAS supaya menyertai PH dan bersama menjayakan strategi "satu lawan satu" melawan Umno-BN? 
 
Mungkin Mahathir dan PPBM sedang mencerna strategi menawarkan gabungan PPBM sebagai wadah mengisi keperluan nasionalisme Melayu; PAS memenuhi mengisi naluri agama Islam dan PKR mewakili suara Melayu (muslim demokrat)?
 
Sebab itu, ia memerlukan masa untuk memikirkan bagaimana memujuk DAP supaya "menghindar diri"dari PH tetap terus mengukuhkan sokongan pengundi bukan Melayu.
 
Dengan itu, gabungan PPBM, PAS dan PKR tidak perlu memikul beban menjunjung imej "keCinaan" DAP dalam PRU 14 dengan kesefahaman akan bergabung semula pasca PRU 14?
 
Sementara itu mungkin Mahathir masih berikhtiar meyakinkan AMANAH dan 'pejuang setia konsep PH" seperti Datuk Mahfuz Omar dari PAS supaya menyisih diri dan menyelinap masuk dalam PKR, PKR untuk sementara waktu. 
 
Cara begini, PAS mungkin boleh diyakinkan bahawa ia tidak perlu risau terpaksa berurusan dengan DAP dan AMANAH untuk melangsungkan "strategi satu lawan satu" dengan Umno-BN.

Kerajaan bakal perkenal minyak masak subsidi 1 liter dalam botol

Posted: 13 Nov 2016 01:04 AM PST

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Minyak masak bersubsidi di dalam botol berisi padu satu liter akan diperkenalkan dalam masa terdekat ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
 
Beliau berkata pengenalan minyak masak itu sebagai usaha kementerian memberi pilihan kepada pengguna membeli minyak masak bersubsidi dalam botol atau dalam pek (paket).
 
Ketika ini bahan itu terdapat hanya dalam bentuk paket.
 
"Minyak masak dalam botol ini pastinya harga akan lebih mahal daripada dalam pek.
 
"Kos menyediakan minyak dalam pek kurang daripada 10 sen, manakala dalam botol melebihi 40 sen. Ini perlu difahami.
 
"Saya dah berjumpa dengan 'repackers' (pembungkus) pada Rabu. Saya nak pastikan berapa orang mampu buat ini dan baru saya umumkan pengeluarannya apabila semua sudah dipersetujui," katanya.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Forum Pengguna VI 2016 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini semalam.
 
Sebelum ini, kementerian berkenaan mengumumkan, mulai 1 November harga minyak masak di dalam botol dijual mengikut harga ditetapkan pengeluar manakala harga minyak masak paket 1kg kekal pada RM2.50.
 
Forum bertemakan Gerakkan Kuasa Pengguna itu dihadiri hampir 1,000 peserta dari seluruh negara yang menampilkan beberapa ahli panel seperti Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan Presiden Transparency International Malaysia Datuk Akhbar Satar.
 
Terdahulu, dalam ucapan perasmian penutup forum tersebut, Hamzah mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada koperasi kendalian PPIM yang akan diwujudkan tidak lama lagi.
 
Hamzah berkata peruntukan itu sebagai tabung modal pusingan koperasi tersebut yang bertujuan membantu menangani masalah pinjaman kepada peminjam wang tidak berlesen seperti along.
 
"Saya dapat aduan ahli PPIM banyak kena tipu dengan 'along' maka saya minta mereka tubuhkan koperasi dan melalui koperasi ini saya tak mahu mereka buat lagi pinjaman dengan 'along' dan mengalami masalah di masa depan," katanya.
 
 

PAS tak bersama PH bukan bermaksud sokong BN

Posted: 13 Nov 2016 01:04 AM PST

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic


PETALING JAYA: PAS menafikan tuduhan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa parti itu idak mahu menyertai kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) kerana menyokong Barisan Nasional (BN).
Mursyidul Amnya Hashim Jasin sebaliknya menegaskan, PAS terbuka untuk melakukan rundingan tetapi ia hendaklah dilakukan secara dua hala dan mengikut pertimbangan yang wajar.
Malah Hashim, menggesa mana-mana pihak supaya tidak menuduh mereka bersekongkol dengan BN.
"Kita begini, dalam PAS, biarpun dia tu musuh, tapi tak dilarang untuk berjumpa dan berbincang. Agama tak larang. Jadi sekarang ni, kalau dia nak bincang dengan kita dalam apa-apa persoalan, kita terbuka.
"Kita sedia dengar, dan dia pun mesti sedia dengar apa yang kita cakap. Lepas tu kita timbanglah," katanya kepada pemberita.
Mengulas mengenai kenyataan Mahathir bahawa PAS mendapat dedak daripada BN itu, Hashim berkata ia sekadar pandangan bekas perdana menteri itu saja.
"Itu pandangan dia. Saya ada pandangan saya sendiri. Tak semestinya saya kena ikut apa yang Mahathir kata.
"Saya ada cara dan pegangan saya sendiri bahawa tidak semestinya kita tak sokong Pakatan maka kita sokong Najib," katanya lagi.
Hashim berkata kepada pemberita pada himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) anjuran PAS Selangor hari ini.
LASAK yang dianjurkan oleh PAS Selangor di Taman Medan, Petaling Jaya hari ini sebagai medium untuk mendengar keluhan rakyat Selangor kepada pimpinan parti berkenaan isu kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini.
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa mana-mana pihak yang mencetuskan masalah terhadap PH adalah penyokong Datuk Seri Najib Razak.
Malah menegaskan PH yang merangkumi PKR, DAP dan AMANAH harus diberikan sokongan bulat untuk menjatuhkan Najib dan mereka yang enggan turut serta berkemungkinan sudah 'dapat dedak'. 
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak, tetapi kenyataan tersebut jelas ditujukan kepada PAS yang menyatakan secara jelas pendirian mereka untuk tidak menyertai PH.

Tiada ulasan: