Nuffnang

Pengikut

Blog-list Malaysia

sumber :-

Blog-list Malaysia


Wartawan Kena Marah Dengan Tajuddin Pasir Salak

Posted: 22 Nov 2016 12:48 AM PST



Cubaan mendapatkan reaksi daripada anggota parlimen Pasir Salak berhubung insiden perang mulut di Dewan Rakyat semalam bertukar menjadi sesi memarahi wartawan.

Ketika diajukan soalan mengenai kenyataannya mengenai Teresa Kok (DAP-Seputeh), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata wartawan yang bertanyakan soalan itu menyebelahi pembangkang.

"Saya tahu kamu adalah propembangkang," katanya di lobi parlimen hari ini.

Semalam Malaysiakinimelaporkan parlimen kecoh seketika selepas Tajuddin menggelar Kok sebagai satu-satunya perempuan yang ada "Kok".

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu demikian selepas berbahas dengan anggota parlimen pembangkang berkaitan BERSIH5 yang diadakan pada 19 November lalu.

Pertengkaran itu juga menyaksikan Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad menggelar Tajuddin dengan panggilan "sial".

Menurut Tajuddin pembangkang "menghentam" semua orang termasuk perdana menteri dan isterinya menggunakan pelbagai bahasa yang buruk.

"Apa yang mereka tak kata tentang perdana menteri, Rosmah (Mansor) dan kami semua? Mengapa kamu semua diam?

"Mengapa kamu tak bertanya kepada mereka mereka (pembangkang)? Kamu tak bertanya sebab kamu pembangkang. Saya tahu kamu pembangkang," katanya kepada lebih 10 wartawan yang berada bersamanya.

Menurut Tajuddin wartawan sepatutnya bersikap adil dalam laporan dan bertanya kedua-dua pihak (BN dan pembangkang) berhubung isu itu.

Bagi dirinya Tajuddin berkata beliau hanya mempertahankan diri.

"Mengapa Khalid Samad cakap sial? Kamu tahu makna sial? Mengapa kamu tak ajar mereka bahawa perkataan itu salah, tak boleh guna," katanya.

Mengenai Kok, Tajuddin berkata beliau hanya menyebut nama keluarga anggota parlimen DAP berkenaan.

"Saya cuma kata Teresa Kok satu-satunya wanita dengan nama Kok. Apa salahnya? Itu nama keluarga beliau. Kamu nak saya kata macam mana?" katanya.

Berkaitan nasihat Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulis supaya semua anggota parlimen berhati-hati berucap bagi mengelak pertengkaran seperti semalam, Tajuddin berkata wartawan perlu mengajar wakil pembangkang supaya bersopan santun.

"Minta pembangkang beradab bersopan, kamu berani?

"Kamu berani bertanya saya kerana kamu pembangkang. Kamu tak mengundi BN, kan? Kamu undi BN? Tak," katanya.

- mkini

AS keluar dari TPPA pada hari pertama Trump bertugas

Posted: 21 Nov 2016 08:17 PM PST



Donald Trump akan memulakan proses membawa AS keluar dari Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik pada hari pertama memulakan tugasnya sebagai presiden, kata tokoh itu semalam.

Menggelarkan perjanjian ditandatangani 12 negara itu sebagai "potensi untuk bencana kepada negara kita" Trump berkata beliau akan memfailkan makluman pemberitahuan untuk menyatakan keinginan Washington menarik diri daripada perjanjian diusahakan Presiden Barack Obama seawal hari pertama beliau bertugas secara rasmi pada 20 Januari akan datang.

Sebagai pilihan kata Trump beliau akan mengusahakan perjanjian perdagangan yang "adil".

Melalui video dimuat naik untuk memaklumkan perkembangan terkininya menjalankan proses peralihan di Rumah Putih Trump berkata pasukannya "bekerja sangat lancar, cekap dan berkesan".

"Lelaki dan wanita yang benar-benar hebat dan berbakat dan sungguh patriotik sedang dibawa masuk dan tidak lama lagi akan menjadi sebahagian daripada kerajaan untuk membantu kita menjadikan Amerika hebat kembali," katanya.

Trump berkata beliau akan memulakan pentadbirannya dengan perintah eksekutif untuk membatalkan sekatan ke atas pengeluaran tenaga, termasuk syal dan arang batu bersih; memerlukan pemansuhan dua peraturan bagi setiap peraturan baru yang diwujudkan; memerintahkan Jabatan Pertahanan membangunkan pelan menghadapi serangan siber; dan mengarahkan siasatan terhadap penyalahgunaan program visa dan melaksanakan larangan melobi selama lima tahun ke atas bekas pegawai pentadbiran.

- dpa


Dr M Hadir Himpunan Untuk Desak Bebaskan Maria

Posted: 21 Nov 2016 06:24 AM PST



Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Dataran Merdeka untuk menghadiri himpunan ekoran penahanan ke atas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah.

"Bebas Maria, Bebas Maria," laung Mahathir bersama-sama dengan kira-kira 450 penyokong malam ini.

Mahathir berkata, negara ini ditadbir oleh kepimpinan kleptokratik.

"Beberapa pemimpin BERSIH ditangkap, bukan itu sahaja, mereka diseksa.

"Saya sedih apabila diberitahu Maria dikurung dalam penjara.

"Ini adalah perbuatan kejam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak...Orang-orang seperti ini tidak seharusnya menjadi perdana menteri," tambah beliau.

Maria Chin ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 pada Jumaat lepas.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dan ditahan di bawah Sosma yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan sehingga 28 hari.

Himpunan sedemikian akan diadakan pada setiap hari sehingga Maria dibebaskan.

- mkini

PAS mampu pimpin gabungan pembangkang yang baru, kata Khairuddin

Posted: 21 Nov 2016 05:49 AM PST



KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin kanan PAS hari ini berkata parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak akan mengikut acuan orang lain malah bertegas mampu untuk memimpin gabungan pembangkang yang baru.

Jelas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali, PAS boleh jadi faktor penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang kerana tidak terikat dengan gabungan pembangkang mahupun kerajaan.

"Kita telah tegaskan bahawa PAS akan bersendirian. Sesiapa boleh ikut PAS kita ada Gagasan Sejahtera dan kita boleh mengajak BERSATU (PPBM) bersama dengan gagasan kami, itu saja.

"Tidak untuk kita ikut orang lain. PAS boleh pimpin pembangkang.

"Kita boleh jadi penentu dan mungkin kita menang negara, kita tidak tahu," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Khairuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang berkata tidak mustahil Umno menerima PAS dan PAS menerima Umno untuk bekerjasama.

Kata Annuar, PAS-Umno mempunyai banyak titik persamaan iaitu perjuangan terhadap agama, selain ingin melihat keamanan, kesejahteraan dan kedudukan Islam pada kedudukan terunggul.

Ujar Khairuddin lagi, PAS hanya enggan menjalin hubungan dengan DAP dan serpihannya Amanah tetapi masih terbuka dengan Umno-Barisan Nasional (BN).

Namun katanya lagi, pendirian PAS masih sama iaitu tidak akan bergabung dengan Umno-BN untuk tujuan politik.

"Dengan DAP ya (putus hubungan). Amanah mereka kita anggap sebagai orang yang keluar daripada PAS dan khianat kepada kami. Takkan ada rundingan dengan PAN (Amanah)," katanya.

PAS kini dilihat "mesra Umno-BN" kerana mahu mendapatkan sokongan dalam usul Rang Undang-undang Pemerkasaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016.

"Kerjasama dalam ada sahaja perkara yang baik. Itu boleh berlaku contohnya dalam RUU355 kita harapkan kerjasama terutamanya kerajaan.

"Jadi kita akan teruskan sikap kita iaitu bekerjasama dengan sesiapa sahaja dalam perkara melibatkan Islam tetapi kita tegakkan bahawa tidak akan ada gabungan PAS dan Umno," jelasnya lagi.

PAS kini mengetengahkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) apabila tidak lagi menyokong secara membuta tuli terhadap setiap yang dilakukan pembangkang

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT