Jumaat, 18 November 2016

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


22 Peninju Cabar Jamal Bertinju

Posted: 17 Nov 2016 05:48 PM PST



BUKIT CHANDAN - Tindak-tanduk kumpulan baju merah diketuai Datuk Seri Jamal Md Yunos yang kerap mencetuskan provokasi menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Merasakan tindakan kumpulan tersebut semakin melampau, seorang aktivis masyarakat, Sharul Nizam Ab Rahim, 37, melontarkan cabaran terbuka kepada Jamal dalam laman sosial.

Dia yang menggelarkan dirinya 'Abang Kucing' mencabar Jamal supaya bertinju di dalam gelanggang sekiranya Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu benar-benar berhasrat menunjukkan kekuatannya.

Menurutnya, setakat ini, seramai 22 peninju dari seluruh Malaysia menghubunginya dan meminta slot bertarung dengan Jamal dalam gelanggang.

Begitupun, katanya, tiada sebarang respon dari Jamal sehingga kini, namun difahamkan Jamal mengetahui perkara itu (cabaran bertinju) yang dimuat naik dalam laman sosial kelmarin.

"Bila saya buat cabaran terbuka sebegini, orang label saya sebagai penyokong Bersih tetapi sebenarnya mereka tidak tahu saya merupakan pemangkah tetap BN di Lubuk Merbau dan Padang Rengas.

"Saya cabar kerana saya lihat kesamsengannya semakin terserlah dan undang-undang juga seakan tidak boleh menyentuhnya. Itu sebab saya cabar beliau buka gelanggang dan bertinju di situ.

"Saya boleh sediakan beberapa peninju dan sekarang pun saya sudah ada 22 orang yang sudi masuk gelanggang menentang Jamal," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Sharul Nizam, beliau melakukan cabaran sebegitu kerana enggan budaya samseng dan pergaduhan terus merebak dalam kalangan masyarakat Melayu.

Katanya, orang Melayu harus ingat bahawa pergaduhan sesama Melayu begitu mahal harganya seperti yang pernah dibuktikan pemimpin terdahulu.

"Berani itu bagus tetapi bijak lebih baik. Kalau kita bergaduh di tepi jalan sebegitu, ia menyalahi undang-undang. Jadi, apa salahnya kita buka gelanggang dan Jamal boleh tunjuk kekuatannya di situ.

"Apa yang membuatkan saya geram adalah apabila dalam satu video, Jamal menolak seorang lelaki sedangkan polis ada di sekelilingnya. Itu salah, sangat salah.

"Yang kamu (Jamal) tolak tu Melayu tau, Islam sama-sama dengan kamu. Saya tidak tengok baju apa orang pakai masa itu tetapi kalau dia usik Melayu, saya akan bersuara," tegasnya.

Menurutnya, tindakan kumpulan baju merah menunjukkan kekuatan di jalan raya dilihat tidak adil dan tiadanya respon dari kumpulan baju kuning bukan bermaksud mereka takut.

"Mereka masih muda. Bila berlaku pergaduhan, polis akan berkas semua sekali. Bila ada rekod polis, susah untuk mereka cari pekerjaan pada masa depan.

"Sebab itu, mereka tidak melawan. Jadi, kumpulan baju merah janganlah ingat mereka takut lalu mereka terus melakukan lebih banyak provokasi pula," katanya.

Setakat semalam, status dimuat naik Sharul Nizam viral di media sosial telah mendapat kira-kira 15,000 perkongsian namun sehingga semalam, tiada sebarang maklum balas dari pihak kumpulan baju merah.

- sharian

Presiden PAS Dapat RM10 Juta Hasil Lombong Di Kelantan?

Posted: 17 Nov 2016 03:17 PM PST

Skandal lombong bijih mangan: Presiden Pas mesti tampil beri penjelasan


Anggaran jumlah sumbangan Vigorous Global Sdn Bhd kepada Pejabat Presiden Pas yang viral di media sosial.


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta menjelaskan sama ada beliau terlibat atau tidak dalam perjanjian melombong bijih mangan di Gua Musang, Kelantan.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, sepanjang dirinya memegang jawatan berkenaan, beliau tidak pernah dimaklumkan tentang adanya agihan daripada projek tersebut kepada parti.

"Sejak saya menjadi Ketua Penerangan Pas Pusat juga saya tidak pernah mendengar adanya pembahagian hasil galian milik kerajaan negeri kepada parti.

"Tak tahulah selepas saya tidak lagi berada dalam kedua-dua jawatan itu, hal sebegini berlaku pula. Jadi, elok kiranya Presiden segera buat kenyataan rasmi.

"Kalau tidak betul apa yang sedang viral sekarang boleh nafikan," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Dokumen surat akujanji antara syarikat Vigorous Global Sdn Bhd dengan Pejabat Presiden Pas  beralamat di Taman Melewar, Gombak, Selangor yang berlaku pada 10 Oktober 2013 menjadi viral di media sosial.

Turut tersebar beberapa foto menyerupai Abdul Hadi sedang melihat pelan lokasi serta dikatakan melakukan solat hajat ketika lawatan ke tapak projek.

"Pihak syarikat bersetuju dan berjanji memberi sumbangan kepada Pejabat Presiden Pas sebanyak RM10 per metrik tan jika syarikat mendapat kelulusan dari kerajaan negeri," dipetik daripada dokumen tersebut.

Dokumen itu juga menyenaraikan anggaran jumlah sumbangan syarikat terbabit kepada Pejabat Presiden Pas yang mencecah RM200,000 sebulan dengan anggaran jumlah sebanyak RM10 juta bagi tempoh 50 bulan.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Abdul Hadi tentu sekali perlu memberitahu apa yang sebenarnya berlaku agar pendedahan perjanjian itu tidak mencalarkan imej parti.

"Saya tidak fikir tandatangan bagi 'Pemegang Amanah Pejabat Presiden Pas' lengkap dengan saksi dibuat tanpa pengetahuannya.

"Jika sekarang baru tahu, Presiden harus ambil tindakan terhadap nama-nama yang memperakui mewakili dirinya.

"Ini juga berkait dengan imej, maruah dan integriti Pas itu sendiri. Sudah tentu rakyat Kelantan khasnya akan marah bagaimana hasil bumi negeri boleh diagih kepada pejabat presiden," tegasnya.



Surat Akujanji antara Vigorous Global Sdn Bhd dengan Pejabat Presiden Pas

Pada masa sama, ujarnya, pihak kerajaan negeri Kelantan juga tidak harus berdiam diri terhadap projek melombong mineral itu yang terletak di Lot PT6728 Mukim Relai di Daerah Chiku dengan anggaran kawasan diluluskan seluas 600 hingga 800 ekar itu.

"Ini dalam negeri Kelantan. Agihan kepada kerajaan negeri yang hanya RM5 per metrik tan yang lebih rendah berbanding untuk parti politik akan dilihat ramai pihak sebagai tidak adil.

"Tentu rakyat Kelantan akan marah. Sepatutnya, kerajaan negeri yang mendapat hasil yang lebih bukan pihak lain.

"Bahkan, rakyat melihat ada unsur-unsur rasuah apabila seolah-olah pihak Pas yang menolong mendapatkan projek melombong itu dengan syarat beri RM10 per tan metrik kepada parti. Jangan nanti orang kata oh inilah budaya politik matang dan sejahtera," tambahnya lagi.

Dipetik dari - Malaysia Dateline

Tabiat Najib Yang Suka Meminjan Akan Jadikan Malaysia Mengemis

Posted: 17 Nov 2016 04:31 AM PST



Tabiat kerajaan yang kerap mendapatkan pinjaman besar bagi membiayai projek negara dan ditambah pula dengan kejatuhan nilai ringgit yang berterusan, akan membankrapkan negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam tulisan terbaru di blognya hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, rakyat perlu membantah terhadap pinjaman seumpama itu kerana ia akan menimbulkan bebanan kewangan kepada negara pada masa hadapan.

Menurutnya, Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan kereta api berkelajuan tinggi yang dicadangkan dari Kuala Lumpur ke Singapura akan menyaksikan negara terpaksa mengambil pinjaman RM100 bilion.

"Pinjaman dalam denominasi dolar Amerika atau Yuan (China). Ringgit susut nilai begitu cepat ... Malaysia akan dibebani dengan tambahan hutang yang besar ini.

"Jika pembayaran semula dibuat dengan menjual aset kerajaan, sebahagian besar tanah berharga di Malaysia akan menjadi milik asing," tulis beliau, dan berkata bahawa hutang 1MDB juga menjejaskan kewangan negara.

Memetik Greece sebagai contoh, Mahathir memberi amaran bahawa pemberi pinjaman lazimnya mempunyai pengaruh besar ke atas penghutang dan mata wang mereka akan susut nilai.

Beliau memberi amaran bahawa penurunan nilai mata wang akan menyebabkan rakyat menjadi miskin.

"Selepas 60 tahun dengan pertumbuhan yang tinggi, Malaysia akan kembali menjadi sebuah negara membangun yang miskin akibat tabiat meminjam kerajaan Malaysia.

"Lupakan Wawasan 2020. Malaysia akan mengemis untuk mendapatkan bantuan. Dan negara-negara yang bergantung kepada bantuan akan kehilangan banyak kebebasan mereka," katanya.

Mengapa bukan firma Malaysia?

Sementara itu, Mahathir juga mempersoalkan mengapa Putrajaya tidak memilih syarikat tempatan untuk projek ECRL.

Beliau berkata, penggunaan syarikat tempatan akan mengelakkan wang negara mengalir keluar.

"Malaysia mempunyai banyak syarikat yang berupaya dan berkemapuan untuk membina landasan kereta api elektrik.

"Memberi kontrak kepada syarikat asing ertinya wang yang akan mengalir keluar dari negara ini. Ini tidak sihat untuk mana-mana negara," katanya.

Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, turut mendakwa firma China lazimnya mengenakan separuh daripada bayaran bagi setiap kilometer landasan itu.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata terdapat implikasi kewangan yang besar bagi negara ini berhubung perjanjian kerajaan dengan China, baru-baru.

"Apabila rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan kunjungan Najib ke China, ini bukan kerana mereka menentang China.

"Ia adalah kerana mereka mengambil berat tentang negara ini. Mereka mengambil berat untuk masa kini dan masa depan negara ini," kata Mahathir.


Tiada ulasan: