Khamis, 10 November 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


SYARIKAT RM2 MRL SDN BHD TIDAK DIMILIKI KERAJAAN MALAYSIA, NAJIB TERBURU-BURU KERANA MASALAH HUTANG 1MDB ATAU WANG PILIHANRAYA?

Posted: 10 Nov 2016 03:00 PM PST


Dato' Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu temuramah ringkas yang diberikan kepada SinarTV. Secara ringkasnya, Dato' Rahman Dahlan mendakwa bahawa:

 1. Syarikat bermodal RM2 yang mewakili Kerajaan Malaysia iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Oleh itu, walaupun modalnya hanyalah RM2 ia masih lagi sebuah syarikat yang kukuh kerana dimiliki Kementarian Kewangan

 2. Jumlah kontrak yang dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat milik Kerajaan China iaitu CCCC sebanyak RM46 bilion hanyalah melibatkan pembinaan sistem keretapi dari Tumpat ke Gombak sepanjang 600 km. Ia tidak termasuk sistem dari Gombak ke Pelabuhan Kelang sepanjang 88 km.

3. Kerajaan Barisan Nasional menganggarkan sistem keretapi dari Gombak ke Pelabuhan Kelang sepanjang 88 km yang kosnya belum dimuktamadkan bernilai RM9 bilion. Oleh itu, jumlah kos yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak adalah RM55 bilion.

 Menyangkal dakwaan-dakwaan tersebut, YB Rafizi Ramli, MP Pandan berkata :

i) MRL dimiliki oleh Kementerian Kewangan ?

Mengesahkan bahawa saham RM2 dimiliki individu bukan
Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)
MRL Sdn Bhd tidak dimiliki oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) seperti yang didakwa oleh beliau semalam. Ia dimiliki oleh dua orang individu yang bekerja di Kementerian Kewangan. Jika MRL Sdn Bhd dimiliki oleh MOF Inc, maka dua saham bernilai RM1 setiap satu itu akan didaftarkan di atas nama MOF Inc.

 Maka apabila Dato' Rahman Dahlan mendakwa isu modal berbayar RM2 itu sepatutnya tidak ditimbulkan kerana MRL Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc, itu sebenarnya satu pembohongan.

 Malah, jika pun kedua-dua orang pemilik saham sekarang iaitu Ahmad Suhaimi Endut dan Dr Yusof Ismail bersetuju memindahkan saham mereka kepada MOF Inc, apa proses kelulusan yang akan digunapakai untuk membenarkan MOF Inc yang dimiliki rakyat mewarisi hutang bernilai RM46 bilion yang ditandatangani oleh sebuah syarikat yang pada masa kontrak ditandatangani tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Malaysia?

 Kenyataan Dato' Rahman Dahlan semalam mengesahkan bahawa pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak berhasrat untuk menggunakan muslihat yang sama yang digunapakai semasa memindahkan hutang 1MDB melalui SRC International kepada rakyat: SRC berhutang RM4 bilion semasa ia masih anak syarikat penuh 1MDB, selepas wang sudah diambil maka MOF Inc bersetuju menerima pemindahan saham dari 1MDB kepada MOF Inc.

 Akhirnya, hutang RM4 bilion yang sebenarnya diambil oleh 1MDB melalui SRC telah dimiliknegarakan dan dibebankan kepada rakyat.

 Perkara yang sama juga akan berlaku dengan MRL yang mengendalikan ECRL ini.

 ii. Perbezaan kos RM46 bilion dan RM55 bilion

 Jawapan-jawapan yang diberikan Dato' Rahman Dahlan mengenai panjang sistem keretapi dari Tumpat ke Gombak sepanjang 600 km dan lain-lain boleh dipatahkan dengan laporan-laporan lain yang menyebut pelbagai angka lain.

 Namun saya mahu menumpukan kepada perkara yang paling pokok: kenapa Dato' Seri Najib terlalu terburu-buru untuk menandatangani kontrak menganugerahkan kerja-kerja bernilai RM46 bilion ini kepada syarikat milik Kerajaan China sekarang?

 Adakah perkara yang paling mustahak dan menjadi keutamaan tertinggi ialah satu laluan keretapi dari Tumpat ke Pelabuhan Klang sehingga Dato' Seri Najib tidak boleh menunggu sehingga rundingan pakej pembinaan keseluruhan dari Tumpat ke Pelabuhan Kelang dimuktamadkan dahulu?

 Bukankah jika kontrak pembinaan EPCC dirundingkan secara bersekali dan dalam satu pakej iaitu dari Tumpat ke Pelabuhan Kelang, secara logiknya ia lebih murah kerana kontraktor tidak perlu membuat kerja dua kali, tidak perlu membayar kos mobilization dan de-mobilisation dua kali dan kontraktor boleh mendapatkan harga material yang lebih murah kerana membeli secara pukal ("economies of scale")?

 Sebab itu, isu sebenarnya ialah kenapa projek ini ditandatangani dan dilaksanakan secara terburu-buru?

 Saya bimbang ia berkaitan dua peristiwa besar yang boleh berlaku dalam tahun 2017: pembayaran hutang-hutang 1MDB termasuk satu bayaran berjumlah RM14 bilion (atau USD3.5 bilion) kepada IPIC jika 1MDB kalah dalam proses timbangtara ("arbitration") dan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Kedua-dua ini menelan belanja yang besar dan wang segera diperlukan. (Paparan penuh dengan dokumen SSM di  sumber)

Rahman dalam reaksi balasnya, sekadar menjelaskan hal pemilikan bersama itu sekadar bertujuan untuk memudahkan permulaan MRLSB. Saham individu terbabit telah dipindahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 12 Oktober 2016. Baca seterusnya di sini

Jamal Red Shirt :Pengganas jalanan yang menyumbang kepada keamanan negara.

Posted: 09 Nov 2016 09:30 PM PST

1. Kita sedang melihat perang baju – kuning lawan merah. 

2. Kuning berjuang untuk membersihkan pilihan raya. Baju merah yang menentangnya tentulah berjuang untuk pilihan raya yang kotor. Oleh kerana kekotoran yang dipertahan oleh baju merah ialah kekotoran Kerajaan, maka merah bersetuju dengan tuduhan baju kuning bahawa Kerajaan bergantung kepada yang kotor untuk menang pilihan raya. 

3. Undang-undang Security Council Act yang baru dilulus oleh Kerajaan memberi kuasa kepadanya mengisytihar keadaan sekuriti dalam mana-mana kawasan berada dalam keadaan bahaya. 

4. Apabila undang-undang ini dikuatkuasa dalam mana-mana kawasan, maka Kerajaan berhak menangkap dan memasuk dalam tahanan sesiapa sahaja tanpa bicara. Jikalau orang itu atau siapa sahaja terbunuh semasa penguatkuasaan undang-undang tersebut, mahkamah tidak perlu mengadakan inquest (pemeriksaan untuk menentukan sebab kematian) ke atas simati. Keluarga simati tidak boleh meminta dari mahkamah supaya sebab-sebab kematian diberitahu kepada mereka. 

5. Mana-mana pihak yang membuat salah semasa menjalankan tugas tidak boleh didapati bersalah oleh mana-mana pihak. 

6. Tindakan baju merah menyerang baju kuning boleh mencetuskan huru-hara dan kacau-bilau di mana-mana kawasan. Keadaan ini boleh menjadi alasan undang-undang sekuriti dikuatkuasakan di mana-mana sahaja. 

7. Sehingga kini baju kuning tidak membalas keganasan baju merah. Tetapi besar kemungkinan baju merah akan berjaya merusuh dengan baju kuning pada 17-19 November semasa Bersih (baju kuning) berhimpun untuk buat demonstrasi. 

8. Jika tidak ada rusuhan pada hari-hari tersebut pun, Kerajaan masih boleh kuatkuasakan undang-undang sekuriti atas sebab ramalan akan berlaku rusuhan. 

9. Sedikit sebanyak baju merah sudah berjaya mempengaruhi Dewan Bandaraya. Kerana baju merah bercadang mengadakan tunjuk perasaan di Dataran Merdeka pada hari dan jam yang sama Bersih berdemonstrasi, maka Bandaraya sudah melarang sebarang tunjuk perasaan dari diadakan di Dataran Merdeka. 

10. Melalui ugutan tunjuk perasaan baju merah sudah secara tidak langsung mengambil alih kuasa Kerajaan. Saya ucap tahniah kepada Jamal kerana sudah jadi de facto PM Malaysia. 

11. Sementara badan Hasil Dalam Negeri sudah menjadi terrorist yang menyerang siapa sahaja kerana dapat bonus, Jamal Red Shirt sudah menjadi pengganas jalanan yang menyumbang kepada keamanan negara. 

12. Syabas Dato. Bila nak dapat Tan Sri? ~ CHEDET

Tiada ulasan: