Jumaat, 19 Ogos 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Polis tak benar demo di Dataran, tiada kompromi

Posted: 19 Aug 2016 05:31 AM PDT

Shakira Buang


Polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang ingkar dengan larangan mengadakan perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos di Dataran Merdeka, kata ketua polis negara.

Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan bahawa tiada kebenaran diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk penggunaan tempat itu.

"Tapi kalau dah tuan punya tempat tak bagi janganlah buat.

"(Perkara) ini macam rumah orang (kita) nak masuklah. Kalau orang tak bagi, tapi kita nak masuk juga, jadi akan ambil tindakan," tegas Khalid kepada pemberita.

Khalid berkata penganjur perlu mencari tempat lain dan polis akan mempertimbangkan kelulusan walaupun tempoh notis mungkin tidak cukup.

"Walaupun tempoh masa itu dah suntuk, dia kena mohon 10 hari sebelum perhimpunan tetapi tempat yang diminta bersesuaian kita boleh pertimbangkan.

Terdahulu Khalid menyempurnakan pemakaian lencana pangkat pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas pihak yang terlibat.

"Saya sudah bercakap bahawa perhimpunan aman boleh djalankan tetapi mesti ikut Akta Perhimpunan Aman.

"Kalau ingkar bersedia hadapi tindakan undang-undang. Jadi saya nasihatkan penganjur dia kalau kalau dah bersedia untuk menerima tindakan undang-undang, buatlah," tegas Khalid.

Malaysiakini semalam melaporkan DBKL tidak mungkin membenarkan aktivis pelajar untuk menganjurkan perhimpunan #TangkapMO1.

Datuk Bandar Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz sebaliknya mencadangkan kumpulan pelajar itu mengadakannya di Padang Merbok.

Perhimpunan anjuran kumpulan belia dan pelajar itu bertujuan mendesak pihak berkuasa mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap Malaysian Official 1 atau MO1.

MO1 disebut 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk mendapatkan balik hampir AS$1 bilion aset yang dikaitkan dengan 1MDB.

Perhimpunan ini disokong oleh parti-parti pembangkang dan gabungan prereformasi sistem pilihan raya BERSIH.

MTUC pandang serius isu diskriminasi pekerja hamil

Posted: 19 Aug 2016 05:28 AM PDT

ibu hamil
Wanita hamil - Gambar hiasan


SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memandang serius terhadap kewujudan diskriminasi dan penindasan yang dilakukan majikan ke atas pekerja wanita hamil dalam sektor swasta.

Setiausaha Agungnya, N. Gopal Krishnam berkata, diskriminasi yang dikatakan termasuk isu pembuangan kerja, penangguhan kenaikan pangkat dan lanjutan tempoh percubaan dalam pekerjaan masing-masing.

Tidak bersetuju dengan cara majikan, N. Gopal berkata,semua tindakan tersebut bertentangan dengan hak yang terkandung dalam Akta Kerja dan Akta Perhubungan Perusahaan dan Perlembagaan Persekutuan.

"Kami menerima aduan dari kesatuan gabungan berkaitan perkara-perkara sedemikian yang telah dibawa ke perhatian majikan terbabit dan juga Kementerian Sumber Manusia.

"Kajian Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) juga membuktikan masalah yang sama wujud dengan ketara. Isu ini tidak patut wujud ketika negara sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dalam menerajui era globalisasi, di samping kesan signifikan dari ledakan teknologi maklumat," katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Majikan sepatutnya menyediakan kemudahan yang sesuai bagi meningkatkan peratusan wanita yang bekerja dalam sektor swasta.

"Sekiranya kemasukan wanita yang bekerja disekat dari awal, ia akan menjejaskan usaha kerajaan untuk menambah peratusan wanita di peringkat membuat dasar bagi jangka masa panjang dan negara akan kehilangan pekerja-pekerja berkualiti dan produktif," katanya lagi.

Sehubungan itu, pihaknya berpendapat satu dasar atau undang-undang tegas perlu digubal bagi mengelakkan isu dan masalah yang sama berulang.

"Sekiranya isu ini tidak diatasi secara perundangan ia boleh menjurus kepada kebergantungan berterusan terhadap pekerja-pekerja asing, sekali gus merugikan negara untuk jangka masa panjang.

"Kami sedia membantu mana-mana pekerja yang berhadapan dengan isu diskriminasi dan penindasan. Kami harap pekerja-pekerja yang berhadapan dengan isu diskriminasi dan penindasan akan hubungi ibu pejabat MTUC untuk mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat yang sewajarnya," ujarnya.


Tiada keperluan lantik ketua pembangkang baharu

Posted: 19 Aug 2016 05:11 AM PDT

SINAR HARIAN
Azmin Ali
Azmin Ali


KUALA SELANGOR - PKR menegaskan tiada keperluan melantik bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua pembangkang baharu.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pakatan Harapan tidak pernah membincangkan perkara itu, malah ia bukan topik penting untuk diketengahkan.

Beliau berkata PKR tetap dengan pendiriannya mengekalkan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang dalam menerajui Pakatan Harapan.

"Sekarang bukan soal siapa ketua pembangkang (baharu) sebab ketua pembangkang telah pun ada iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Tidak ada cadangan untuk tukar (ketua pembangkang)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat kelulusan dan borang 5A Kampung Sungai Yu, di sini, hari ini.  

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang memetik Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sebagai berkata bahawa Muhyiddin boleh dilantik menjadi ketua pembangkang sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia komited dengan agenda reformasi.

Pada 9 Ogos lepas, Muhyiddin dan beberapa bekas pemimpin Umno mendaftarkan parti itu, yang dikritik sebagai serpihan Umno dan tanpa motif jelas penubuhannya. –Bernama


Tun Mahathir bidas buku Musa Hitam

Posted: 19 Aug 2016 05:08 AM PDT

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
 
 
SHAH ALAM – Bercakap terus terang tidak bermakna bercakap benar. Demikian respons terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap buku yang ditulis bekas timbalannya, Tun Musa Hitam.

Menurut Mahathir, buku tersebut berniat untuk menyalahkan beliau atas segala yang berlaku dalam Umno dan kerajaan.

"Buku Musa adalah bahan bacaan yang menarik. Sudah tentu Musa tidak menyalahkan dirinya untuk apa-apa. Dia suci dan tidak bersalah seperti bayi yang baru lahir. Ini yang menjelaskan mengapa dia begitu popular," katanya melalui catatan terbaharu di blognya, hari ini.

Musa melancarkan bukunya baru-baru ini selepas 15 tahun dengan mencurahkan segala yang dipendam sepanjang 30 tahun beliau berada dalam dunia politik termasuk mengakui sudah penat menjadi kambing hitam dalam peristiwa Memali.

Dalam tulisan blognya, Mahathir mendakwa Musa telah menemuinya untuk mendapatkan sokongan beliau untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno melawan Tengku Razaleigh Hamzah.

"Saya bersedia untuk bersumpah atas al-Quran bahawa dia telah melakukan ini. Saya tidak bersedia untuk menyokong beliau secara terbuka kerana mungkin saya perlu bekerja dengan Tengku Razaleigh apabila beliau menjadi timbalan presiden dan timbalan perdana menteri jika Musa kalah," katanya.

Beliau juga turut akui tidak ingat sama ada pernah menyuruh bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkempen membantu Musa menentang Razaleigh seperti yang didakwa Sanusi sebelum ini.

"Dalam pertandingan itu Musa menang dan dilantik sebagai timbalan perdana menteri oleh saya. Tetapi beliau tidak berpuas hati saya mengekalkan Tengku Razaleigh sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet saya.

"Beliau membayangkan bahawa saya perlu menggugurkan Tengku Razaleigh sama sekali. Saya tidak dapat berbuat demikian kerana saya akan kehilangan penyokong-penyokong Tengku Razaleigh," katanya.

Penjelasan Sanusi ini dilihat bercanggah dengan dakwaan bekas ketua pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengesahkan wujud gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Sanusi.

Dalam bukunya itu, Musa menamakan Anwar, Daim dan Sanusi sebagai pemimpin Umno yang membuat tuduhan palsu ke atasnya cuba menggulingkan Mahathir.


NAJIB TETAP YANG TERHEBAT, TAK PERLU BANDINGKAN DIRINYA DENGAN TUN M

Posted: 19 Aug 2016 01:55 AM PDT

shahbudincotcom


Sudah beberapa kali Najib Razak mengkritik dasar atau pendekatan kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sambil membandingkan dengan apa yang dilakukannya sekarang. Tujuannya tidak lain ialah untuk menonjolkan dirinya lebih baik berbanding bekas Perdana Menteri selama 22 tahun ini.

Ketika melancarkan sebuah model baru Proton tidak lama selepas Tun Mahathir berundur dari syarikat kereta nasional itu, Najib mengambil kesempatan menempelak kononnya sering berlaku campurtangan politik dalam syarikat tersebut, tetapi ia kini telah berakhir di era kepimpinannya.

Walaupun diketahui umum Tun Mahathir memandang jauh ke hadapan berkenaan pengangkutan awam dengan memperkenalkan LRT, ERL, komuter, memperkenalkan sistem bas dan lain-lain, manakala Najib hanya melakukan sambungan saja, beliau tetap menyalahkan bekas Perdana Menteri itu atas dakwaan tidak menyediakan pengangkutan awam yang mapan walaupun berkuasa selama 22 tahun.
 
 
 
 
Najib seolah-olah, dengan hanya pengenalan MRT yang dibawanya, mahu seluruh kebaikan dan pujian berkaitan pengangkutan awam sertus-peratus ditumpukan kepadanya seorang diri saja.

Apabila tambang ERL dari pusat bandar ke KLIA dinaikkan dari RM35 kepada RM55, Najib tidak melihat ia sebagai kegagalan pentadbirannya melakukan rundingan, tetapi lebih menyalahkan era kepimpinan Tun Mahathir yang memetrai perjanjian pada 1997 dahulu.

Najib juga  "masuk bakul angkat sendiri"  kepada masyarakat India dengan mengatakan sumbangan yang dilakukannya kepada komuniti itu lebih banyak berbanding Tun Mahathir.

Hari ini, sekali lagi Najib membandingkan kebaikan dirinya berbanding Tun Mahathir berhubung dasar luar.

Kata Najib, dasar luar Tun Mahathir sengaja berbentuk konfrontasi bertujuan untuk meraih populariti peribadi, pendek akal dan merugikan diri sendiri berbanding pendekatannya yang mementingkan kerjasama dan bukan persengketaan serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi.

Dalam beberapa ucapan lain, Najib juga kerap meletakkan dirinya lebih baik berbanding Tun Mahathir seperti berkaitan sistem pemilihan UMNO yang kononnya lebih terbuka, menghapuskan beberapa akta dan sebagainya.

Apa sebenarnya masalah Najib sehingga beliau begitu kerap cuba membandingkan dirinya dengan Tun Mahathir?

Kenapa beliau tidak pernah membandingkan dirinya lebih baik berbanding pendahulunya yang sebenar iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi atau bapanya sendiri, Tun Razak?

Mengapa Tun Mahathir saja yang kerap dijadikan perbandingan?

Kenapa nama dan kelibat Tun Mahathir begitu alergik dan seolah-olah melekat dalam pemikirannya?

Apakah Najib secara diam-diam sedang memasang impian mahu menjadi Perdana Menteri lebih daripada 22 tahun?

Sebenarnya adalah perbuatan sia-sia bagi Najib membandingkan dirinya dengan Tun Mahathir. Tidak perlu pergi terlalu jauh, jika dibandingkan dalam tempoh tujuh pertama menjadi Perdana Menteri saja, Najib sudah terbukti "lebih hebat"  dan meninggalkan Tun Mahathir ketinggalan di belakangnya.

Apa pencapaian Tun Mahathir ketika tujuh tahun pertama menjadi Perdana Menteri?
 
 
 
 
Sudah tentu ramai yang lupa dengan pencapaiannya.

Tetapi, seawal tujuh tahun menjadi Perdana Menteri, bermacam-macam "rekod" dan "pencapaian gemilang" telah berjaya digapai oleh Najib.

Antaranya, hutang tertinggi negara, pembaziran dan kemewahan di mana-mana, kenduri kahwin anak perempuannya yang gilang-gemilang yang tidak pernah berlaku sebelum ini, isterinya yang didedahkan dengan pelbagai barang mewah, perhiasan mahal, percutian, penggunaan jet yang tiada tolok bandingnya serta bermacam-macam gegak gempita lainnya.

Tidak sekadar itu, Najib juga mencipta "rekod" sebagai penerima derma terbesar dunia - dulu, kini dan selamanya dan melalui 1MDB serta persahabatannya dengan Jho Low, nama Malaysia terus melonjak, tidak saja di dalam negara dengan hutang besar dalam tempoh yang singkat dan perbualan rakyat mengenainya, malah di persada antarabangsa turut berlaku liputan media berterusan sepanjang masa serta lapan negara terpaksa membuka kertas siasatan mereka.

Di Amerika, melalui tindakan yang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS dengan bantuan FBI, nama Malaysia terus menjadi bualan dan beralih dari sebuah negara demokrasi kepada ungkapan baru iaitu kleptokrasi.

"Kehebatan" dan "kegemilangan" ini pasti akan berterusan, dikenang dan menjadi sebutan lebih lama berbanding orangramai mengingati jasa-jasa Tun Mahathir selama 22 tahun. Tiada mana-mana pemimpin lain yang mampu menandinginya, baik Tun Mahathir atau sesiapa jua. Itu baru tujuh tahun pertama saja, bayangkan betapa gemilangnya Malaysia jika Najib berpeluang berkuasa lebih 22 tahun lamanya.

Lalu, tidak perlu sama sekali Najib membuang masa membanding-bandingkan dirinya dengan Tun Mahathir. Beliau tetap yang "terhebat" dan "tiada duanya" dalam sejarah Malaysia


Indonesia tenggelamkan berpuluh-puluh bot asing

Posted: 19 Aug 2016 01:47 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic


JAKARTA: Berpuluh-puluh bot asing yang ditahan pihak berkuasa Indonesia ditenggelamkan sempena Hari Kebangsaan negara itu.
Ia susulan kenyataan Presiden Joko Widodo yang bertekad membanteras aktiviti nelayan asing yang 'mencuri' di perairan negara itu.
Jokowi turut memperhebatkan kempen mempertahankan kedaulatan maritim Indonesia dengan menenggelam dan meletupkan berpuluh-puluh bot nelayan asing.
"Kami menenggelamkan 60 bot di lapan lokasi pada Khamis.

Indonesia tenggelamkan berpuluh-puluh bot asing

Posted: 19 Aug 2016 01:47 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
JAKARTA: Berpuluh-puluh bot asing yang ditahan pihak berkuasa Indonesia ditenggelamkan sempena Hari Kebangsaan negara itu.
Ia susulan kenyataan Presiden Joko Widodo yang bertekad membanteras aktiviti nelayan asing yang 'mencuri' di perairan negara itu.
Jokowi turut memperhebatkan kempen mempertahankan kedaulatan maritim Indonesia dengan menenggelam dan meletupkan berpuluh-puluh bot nelayan asing.
"Kami menenggelamkan 60 bot di lapan lokasi pada Khamis.

DAP terus membisu soal kerjasama dengan BERSATU

Posted: 19 Aug 2016 01:46 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: DAP sehingga kini terus berdiam diri berhubung pendirian parti itu untuk mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Terdahulu pada Isnin lalu, DAP mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dikatakan bagi membincangkan pendirian bersabit kerjasama itu setelah wujud tentangan dari Pemuda DAP.
 
Naib Pengerusi Kebangsaan, M. Kulasegaran enggan memberi sebarang komen berkenaan hal itu.
 
"Tiada komen," katanya ringkas ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Begitu juga dengan seorang lagi Naib Pengerusi Kebangsaannya, Chow Kon Yeow, yang memberi alasan tidak hadir ke mesyuarat tersebut kerana terikat dengan komitmen lain di Pulau Pinang.
 
Malah usaha Antarapos untuk mendapatkan reaksi dari pimpinan lain seperti Tan Kok Wai, Gobind Singh Deo, Teresa Kok, Datuk Ngeh Koo Ham, Charles Santiago, Datuk Teng Chang Kim, Liew Chin Tong dan Anthony Loke juga gagal.
 
Gobind, yang ditemui Antarapos pada malam Isnin lalu sejurus selepas mesyuarat tamat hanya memaklumkan perbincangan itu adalah mengenai penubuhan BERSATU dan usaha ke arah kerjasama bagi menghadapi Umno-Barisan Nasional.
 
Tidak mengulas lanjut, beliau hanya meminta pemberita menunggu sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan dalam masa terdekat.
 
Untuk rekod, Pemuda DAP sebelum ini menolak kerjasama dengan BERSATU yang didakwa mengamalkan diskriminasi kaum malah menyifatkan ia tiada berbezanya dengan Umno.
 
Menurut jurucakapnya Chiong Yoke Kong, parti politik yang mengamalkan diskriminasi kaum tidak akan menyelamatkan Malaysia sebaliknya hanya akan terus bermaharajalela di negara ini.
 
Sebaliknya bagi PKR, parti itu sama sekali tidak menolak untuk kerjasama dengan parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
 
Presidennya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu terbuka dan sedia bekerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang bagi misi menjatuhkan Umno-BN.
 
BERSATU yang didaftarkan pada 9 Ogos lalu oleh Muhyiddin sebagai sebuah parti nasionalisme Melayu yang terbuka kepada semua warga negara Malaysia dan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak.
 
Malah turut menerima ahli daripada bukan Melayu Bumiputera yang dikelaskan sebagai ahli bersekutu

Bukan Islam akan pilih undang-undang Syariah jika tahu kebaikannya - Nik Zawawi

Posted: 19 Aug 2016 01:41 AM PDT

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Orang bukan Islam akan memilih untuk diadili menerusi perundangan Islam sekiranya mereka tahu dan faham apakah bentuk hukuman yang ditetapkan dalam Mahkamah Syariah.
 
Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh berkata, mengikut perundangan Syariah, kaedah hukumannya jauh lebih baik dan tidak menyakitkan sepertimana yang diamalkan dalam undang-undang sivil.
 
Nik Zawawi turut memberikan contoh yang berlaku ketika zaman Nabi Muhammad dan khalifah Islam, yang mana terdapat ramai orang bukan Islam memilih untuk diadili mengikut undang-undang Islam berbanding undang-undang sivil, Romawi dan Parsi kerana menyifatkan ia undang-undang yang adil. 
 
"Cuba kita lihat, undang-undang yang membabitkan sebat. Sebat dalam Islam kadang-kadang ada 80 sebatan, ada 100 sebatan. Tapi kena faham, dalam Islam, rotan tak boleh dari separuh depa, tak boleh besar melebihi ibu jari sebagaimana yang disebut sebahagian alim ulama.
 
"Yang menjatuhkan hukuman itu kena pegang rotan di tengah, tak boleh dihujung kerana akan menyakitkan penjenayah. Dan rotan diharamkan diangkat melebihi aras bahu. 80 atau 100 sebatan dalam Islam, adalah lebih ringan daripada satu sebatan di mahkamah sivil. 
 
"Mahkamah sivil, satu sebatan saja tercabut kulit," katanya kepada Antarapos dalam satu temubual ekskusif baru-baru ini. 
 
Zawawi berkata, golongan bukan Islam sudah terlalu lama dimomokkan dengan politik ketakutan yang disua pemimpin mereka, yang juga tidak faham kaedah perundangan Islam yang sebenar.
 
Beliau juga buat ke sekian kalinya menegaskan pindaan Akta 355 yang akan dibawa PAS pada sidang Parlimen Oktober ini tidak membabitkan golongan bukan Islam, sebaliknya ia hanya melibatkan orang Islam semata-mata.
 
Malah, bidang kuasa yang terlibat adalah terhad dan hanya membabitkan kesalahan zina, menuduh zina (Qazaf), minum arak dan murtad.
 
Lain-lain kesalahan tidak tertakluk kepada perundangan Syariah kerana ia terletak dibawah undang-undang sivil.
 
"Orang bukan Islam mereka tak diikat, mereka boleh pilih sama ada mahkamah syariah atau mahkamah sivil, atau lain-lain mahkamah. Cuma saya nak sebut bahawa, di dalam Islam, undang-undangnya sangat baik, sangat adil dan paling lembut di atas dunia ini," katanya.
 
Tambah Nik Zawawi, undang-undang Islam mempunyai kelebihan yang sangat besar yang tidak wujud dalam sistem perundangan lain.
 
Ini kerana ujarnya, matlamat pelaksanaan hukumannya adalah untuk mendidik dan bukan menghukum. 
 
"Adapun undang-undang lain, kita tak payah menoleh jauh, lihat saja negara kita. Pengedar dadah, penyamun yang keluar penjara lagi hebat lagi mereka buat jenayah. Dalam Islam, Insya-Allah, Allah akan jaga, ini kelebihannya.
 
"Jadi sebab itu dalam sejarah bagaimana kita lihat masyarakat bukan Islam akan pilih mahkamah Islam bila berhadapan dengan kesalahan. Maka sebab itu apabila Rang Undang-undang 355 kita bentangkan dan doakan agar dapat sambutan dan dapat sokongan oleh seluruh ahli parlimen beragama Islam, maka ia dapat dilaksanakan di Kelantan dan umumnya di negeri lain.
 
"Di waktu itu, insya-Allah saya yakin isu jenayah di negara ini akan menjunam turun," katanya.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan membentangkan usul untuk meminda Akta 355 pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini, selepas memohon menangguhkan usul berkenaan Mei lalu. 


Skandal 1MDB: Jangan tunggu Amerika, kerajaan perlu mula siasatan segera

Posted: 19 Aug 2016 01:22 AM PDT

tony-pua_1mdb_600_2

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani seharusnya mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera menyiasat mereka yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Beliau tidak perlu menunggu sehingga pesalah dalam skandal bernilai AS$3.5 bilion melibatkan  1MDB itu dikenalpasti melakukan kesalahan tersebut oleh pihak berkuasa Amerika.

Lebih menghairankan, Johari tidak berani mengarahkan Bank Negara untuk membuka siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram terhadap semua yang dinamakan termasuk individu MO1.

"Kenapa Kerajaan Malaysia hanya menunggu saman DOJ yang dikemukakan di Amerika Syarikat tanpa kita membuat sebarang tindakan yang sewajarnya terlebih dahulu?" soal Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua.

Sikap demikian kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu hanya akan memalukan nama negara di peringkat antarabangsa malah menunjukkan sikap menteri berkenaan mahu menutup skandal memalukan itu.

"Jelas, Datuk Johari mendapat kenaikan pangkat ke jawatan Menteri Kewangan II adalah untuk menutup skandal ini dan untuk memastikan Datuk Seri Najib Razak terus berkuasa dan tidak goyah dengan skandal itu," kata beliau.

Jelas Tony, di sebalik segala pendedahan dan pendakwaan DOJ, sehingga saat ini, tiada sebarang tindakan konkrit diambil pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat skandal kewangan terbesar itu.

"Tidak ada sebarang perkembangan daripada pihak Polis yang kononnya menyiasat kes ini sejak dua tahun lalu.

"Kita juga tidak mendengar sebarang waran tangkap dikeluarkan terhadap Low Taek Jho atau Riza Aziz untuk membantu siasatan meskipun dinamakan sebagai individu yang melakukan pengubahan wang di Amerika Syarikat," ujar Tony.

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara yang baharu Datuk Mohamad Ibrahim juga telah bertindak 'cuci tangan' dengan mengisytiharkan kes 1MDB ditutup.

Malahan, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Zakaria Jaffar pula mengisytiharkan skandal itu bukan di bawah bidangkuasa agensi tersebut. – Roketkini.com


Restoran Malaysia di Australia didenda hampir RM1 juta

Posted: 19 Aug 2016 01:16 AM PDT

 
Hakim Mahkamah Persekutuan mendapati 3 pemilik restoran itu dengan sengaja melanggar peraturan itu demi memaksimakan keuntungan.


mamak_australis_law_600


PETALING JAYA: Sebuah restoran menyajikan menu Malaysia di Australia hari ini didenda A$300,000 (RM919,000) kerana gagal mematuhi peraturan gaji minima dengan membayar A$11 sejam kepada pekerjanya, lapor Sydney Morning Herald (SMH).

Joon Hoe Lee, Julian Lee dan Alan Wing-Keung Au, pemilik Restoran Mamak di daerah Haymarket di Sydney, masing-masing didenda A$36,000, manakala syarikat mereka Mamak Pty Ltd didenda A$184,960.

Mahkamah Persekutuan mendapati mereka dengan sengaja melanggar peraturan itu demi memaksimakan keuntungan.

Badan kawal selia kerajaan Australia mengenai hak pekerja yang menyiasat perkara itu mendapati di antara Februari 2012 dan April 2015, 6 pekerja diberi gaji rendah yang menjimatkan pengurusan restoran sebanyak A$87,000.

Pegawai penyiasat Natalie James berkata gaji minima terpakai kepada semua pekerja di Australia dan kerajaan tidak boleh bertolak ansur mengenainya.

"Saya faham ada perbezaan budaya dan undang-undang di negara lain, tetapi menjadi tanggungjawab perniagaan yang beroperasi di Australia memahami dan mengamalkan undang-undang Australia," katanya dipetik SMH.

Restoran Mamak yang membuka cawangan pertama di pusat bandar Sydney terkenal dengan masakan Malaysia seperti roti canai, sate dan teh tarik.

Pada 2008, ia memenangi anugerah kategori "Favourite Asian" anjuran sisipan makanan SMH.

Bekas CEO bank didenda RM600K kerana hutang RM175 juta

Posted: 19 Aug 2016 01:14 AM PDT

 
Datuk Ismail Zakaria tidak dipenjarakan kerana kini berkerusi roda selepas diserang strok.


zakaria


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman denda RM600,000 ke atas bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Sime Bank Datuk Ismail Zakaria atas empat pertuduhan berkaitan kemudahan pinjaman berjumlah RM175 juta.

Suruhanjaya Kehakiman Ab Karim Ab Rahman berkata mahkamah hanya mengenakan hukuman denda terhadap Ismail kerana beliau kini berkerusi roda selepas diserang strok.

Karim berkata jika Ismail gagal membayar denda itu, beliau perlu dipenjarakan 10 bulan bagi setiap pertuduhan.

Peguam Kitson Foong yang mewakili Ismail dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda, bukan penjara memandangkan keadaan kesihatan anak guamnya yang tidak mengizinkan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud bersetuju Ismail tidak diberi hukuman penjara. Sebaliknya, pihak pendakwaan mohon denda tertinggi memandangkan Sime Bank kini sudah terkubur.

Pada September 2011, Mahkamah Sesyen membebaskan Ismail daripada pertuduhan berkaitan meluluskan kemudahan kredit berjumlah RM175 juta kepada satu syarikat pelaburan, Everise Capital Sdn Bhd.

Mahkamah yang sama melepaskan beliau daripada empat pertuduhan alternatif berkaitan kesalahan pecah amanah.

Muhyiddin: ‘MO1’ ialah Najib, masih mahu dia memimpin?

Posted: 19 Aug 2016 01:11 AM PDT

 
Muhyiddin berkata sudah tiba masanya identiti MO1 diumumkan supaya pihak lain tidak difitnah sebagaimana Agong difitnah.


muhyiddin-najib-nawawi


KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini secara terbuka mengisytiharkan Datuk Seri Najib Razak adalah orang di sebalik "Malaysian Official 1" yang disebut 36 kali dalam kertas siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) bulan lalu.

"Memandangkan sudah pasti saya betul, saya menggesa ahli Umno berfikir apakah mereka mahu orang ini menjadi pemimpin parti mereka?

"Saya menggesa rakyat Malaysia berfikir, apakah orang ini yang mereka mahu sebagai perdana menteri?" kata Muhyiddin, yang kini menunggu kelulusan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin Umno lain.

Pada 20 Julai, DoJ memfailkan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Dokumen 130 muka surat membutirkan hasil siasatannya turut menamakan beberapa individu, termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan berjuta dolar daripada 1MDB bagi pengeluaran filem Hollywood "The Wolf of Wall Street".

Dokumen tersebut bagaimanapun tidak menamakan Najib, tetapi menyebut MO1 sebanyak 36 kali, yang sering dikaitkan dengan Najib, walaupun disangkal pemimpin Barisan Nasional (BN).

Yang terbaru, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, dalam beberapa catatan Facebooknya berkata jika menurut Perlembagaan Malaysia, MO1 atau "pegawai Malaysia pertama" yang disebut pihak berkuasa AS itu merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Ia mengundang kutukan pelbagai pihak yang menuduh Nawawi biadap terhadap Agong.

Muhyiddin berkata amat penting bagi pihak berkuasa Malaysia mendedahkan identiti MO1 dengan segera supaya tidak ada pihak lain menjadi mangsa fitnah sebagaimana yang menimpa Agong.

Muhyiddin berkata sekiranya Umno gagal mempertahankan Agong, parti itu wajar dikuburkan.

"Umno mesti dikuburkan sekiranya ia tidak mampu mempertahankan institusi Yang Di-Pertuan Agong tetapi lebih gemar membela presidennya dan kini seorang ahli politik kecil-kecilan yang boleh menghina Agong tanpa apa-apa tindakan," kata Muhyiddin.

50 NGO dijangka sertai Kongres Rakyat Terengganu

Posted: 19 Aug 2016 01:05 AM PDT

HARAKAHDAILY 


 


KUALA TERENGGANU:  Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) dan lebih 50 buah badan bukan kerajaan (NGO) dijangka berhimpun dalam Kongres Rakyat Terengganu, yang akan diadakan di Terengganu Equastrian Resort (TER) pada Sabtu ini.

Naib Presiden Perantau, Shuhaimi Embong ketika dihubungi Harakahdaily mengesahkan pihaknya akan menghantar lima orang wakil dalam kongres itu seperti yang diminta oleh pihak penganjur.

Mengenai isu yang dibawa oleh Perantau, beliau tidak pasti lagi.

"Tengoklah Sabtu ini, jika diberikan peluang, Perantau akan memperjuangkan isu tol dan keselamatan LPT2 serta lain-lain isu berkaitan dengan ketidakstabilan politik Terengganu dewasa ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kongres Rakyar, Yahaya Ali memberitahu antara wakil NGO yang akan membentangkan usul dalam Kongres Rakyat Terengganu adalah Persatuan Pengguna Dungun yang akan membawa isu kepenggunaan, Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) membahaskan isu kepimpinan dan pentadbiran, isu-isu ekonomi oleh Persatuan Pengusaha, Pengedar, Pemborong Dan Peruncit Muslim Terengganu serta Majlis Perunding Perlaksanaan Syariat Islam Terengganu yang akan membentangkan isu memartabatkan perundangan Islam. - HARAKAHDAILY 

RUU355: Pemuda PAS Klang bertemu Ahli Parlimen Klang

Posted: 19 Aug 2016 12:57 AM PDT

HARAKAHDAILY 




 

KLANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang menerusi Ketua Pemudanya Saiful Rizal Saidon dan Exco DPP Klang mengadakan pertemuan bersama Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago di pejabatnya malam tadi.

Dalam pertemuan tersebut Pemuda PAS Klang menerangkan apa yang terkandung di dalam RUU 355 yang akan di bentang di Dewan Parlimen pada sidang yang akan datang.

Hasil daripada perbincangan dan penerangan yang diberikan ia menghasilkan satu natijah dan keputusan yang positif berkenaan Pindaan Rang Undang-undang Akta 355 itu.

Pemuda PAS Klang yakin dengan adanya penjelasan dan sesi soal jawab dapat memberikan pemahaman dan penerangan yang lebih jelas malah ia disambut baik oleh Ahli Parlimen DAP itu.

Beliau turut menjemput Pemuda PAS Klang mengadakan pertemuan sesi yang kedua sebelum pembentangan pada bulan Oktober nanti.

Perkara lain turut di maklumkan dalam pertemuan tersebut antaranya isu infrastruktur jalan raya di Pulau Indah yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Barat yang mana faktor keselamatan penduduk di sekitar kawasan Pulau Indah juga pekerja pelabuhan dan industri yang menjadi pintu masuk utama dagangan ke Malaysia.

Hasil tinjauan yang dibuat mendapati bahawa kerosakan permukaan jalan yang teruk, kesan daripada  kenderaan berat dan hanya beberapa lampu jalan yang berfungsi sepanjang 9 Kilometer perjalanan pergi dan balik menyebabkan keselamatan terutama sekali penunggang motosikal tidak terjamin.

Maklum balas yang diterima dalam pertemuan tersebut adalah jawapan daripada pihak Jabatan Kerja Raya yang memaklumkan kemalangan tetap akan berlaku sama ada jalan itu di baiki ataupun tidak .

Turut dimaklumkan dalam pertemuan tersebut adalah isu rumah perjudian, warga asing dan kedai menjual arak yang semakin membiak di merata tempat yang juga tidak disenangi oleh Ahli Parlimen tersebut.

Pemuda PAS Klang akan tetap komited memperjuangkan nasib rakyat dari masa ke semasa membantu masyarakat dan ruang kerjasama akan tetap disalurkan agar masyarakat dapat menjalankan aktiviti harian dengan selamat dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 

Peniaga di Madinah enggan terima RM

Posted: 19 Aug 2016 12:57 AM PDT

ASLANI M




MADINAH: Sebelum ini peniaga di sini sedia menerima RM ketika membeli barangan di kedai mereka, namun sekarang tidak lagi.

Restoran di Hotel Al-Haram juga enggan menerima RM yang dihulur jemaah haji ketika membeli kuih.

Ketika ini RM menjunam teruk berbanding awal tahun lepas. Ketika itu RM lebih tinggi berbanding SR (Saudi Riyal).

Malangnya sekarang kalau ditukar RM1,000 kita hanya mendapat sekitar SR900.

Malah kelmarin ketika penulis menukar RM900 di sebuah pusat pengurup wang hanya mendapat SR828.

Begitu juga minggu lepas di Kota Bharu Kelantan, ketika penulis menukar RM1,000 pengurup wang meminta ditambah RM8 lagi untuk mengenapkan SR900.

Situasi yang berlaku itu bertentangan dengan laporan media yang cuba menggambarkan ekonomi Malaysia semakin pulih.

Bagi mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara amat terasa kemerosotan RM berbanding mata wang di negara asing.

Biar pun peniaga tempatan di sini sering menyebut Malaysia Boleh, namun hakikat kelembapan ekonomi negara kita tidak boleh dinafikan lagi.

Sementara itu jemaah haji dari Malaysia tinggal di beberapa hotel di sekitar Masjid Nabawi termasuk al-Haram, Saha dan Anwar.

Paling ramai jemaah haji Malaysia di tempatkan di Hotel al-Haram dan Anwar.

Kesesakan dirasai di Hotel al-Haram ketika waktu makan. Biar pun terdapat 8 lif, namun ia tidak menampung bilangan jemaah haji ketika waktu makan dan selepas solat.

Kesesakan berlaku di hadapan pintu lif. Malah ramai jemaah haji yang ditempatkan di tingkat 1 hingga 3 menggunakan tangga kecemasan. – HARAKAHDAILY

Bila Azizulhasni dapat pingat, janji nak bina velodrome

Posted: 19 Aug 2016 12:55 AM PDT

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD



 

KUALA TERENGGANU: PAS menggesa kerajaan BN Terengganu agar bukan sahaja tidak terlepas pandang tetapi perlu menepati janji-janji kepada rakyat.

Pemenang pingat gangsa acara keirin lelaki di Olimpik Rio, Azizulhasni Awang yang mendakwa Menteri Besar Terengganu tidak membantunya dan seorang lagi pelumba wanita, Fatehah Mustapa melalui catatan 'panas' entri di facebook baru-baru ini memalukan negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, isu yang dibangkitkan oleh Azizulhasni itu sebenarnya memalukan negeri.

Ini kerana, katanya Terengganu merupakan sebuah negeri yang mempunyai sumber hasil yang banyak tetapi seolah-olah mengabaikan kebajikan para atlet sukan.

"Azizulhasni Awang anak Terengganu yang memberi sumbangan yang besar kepada sukan bukan hanya negara tetapi sebagai anak jati Terengganu.

"Kita harap kerajaan negeri dan pihak kementerian jangan terlepas pandang lagi dalam isu-isu seperti ini. Sebab, ianya melibatkan generasi akan datang.

"Seolah-olah kerajaan hanya ingin ambil kesempatan apabila dapat pingat. Namun, janji-janji itu tidak ditepati," tegasnya pada sidang media di pejabat PAS negeri, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka mendakwa pihak kerajaan turut memungkiri janji bagi membina kemudahan velodrome sejak tahun 2009.

Ketika itu, katanya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek adalah Menteri Belia dan Sukan telah mengumumkan akan membina sebuah velodrome di Dungun, Terengganu.

Harakah difahamkan, janji-janji itu dibuat bagi meraikan Azizulhasni Awang yang pernah beraksi di Olimpik, London tahun 2008.

"Kita semua sedia maklum, pada tahun 2009 ketika Datuk Ahmad Shabery Cheek menjadi Menteri Belia Sukan telah mengumumkan untuk membina velodrome di Dungun, juga kerana hendak meraikan kecemerlangan yang pernah dibuat oleh Azizulhasni.

"Pada Disember 2010 pula, telah diadakan majlis pecah tanah oleh Menteri Belia dan Sukan, kos membabit RM1.5 juta tetapi sampai sekarang masih tidak menjadi kenyataan.

"Khairy Jamaluddin pada 27 Mac 2014 lalu, telah umum hendak buat velodrome itu di Nilai, Negeri Sembilan tapi sampai sekarang tidak buat lagi.

"Apabila isu Azizulhasni dapat pingat gangsa di Olimpik, Rio Brazil, dia (Khairy) umum hendak buat pula di Terengganu ini," ujarnya. - HARAKAHDAILY 

Jerung sudah ditangkap, bila pula bapa jerung

Posted: 19 Aug 2016 12:52 AM PDT

USTAZ IDRIS AHMAD



 

TAHNIAH SPRM yang telah berjaya mengekalkan rekod cemerlang dengan menangkap jerung besar di kalangan tiga pegawai tinggi. Terus serbu, jangan peduli  walaupun Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengatakan pegawai yang ditangkap seorang yang dedikasi terhadap tugas. Rakyat tetap bersama SPRM, walau pun kita sedar SPRM mempunyai kekangan kuasa.

Kita mengharapkan supaya akan terdedah pula siapa bapa jerung di belakang mereka. Adakah mereka berani berbuat demikian? Adakah mereka hanya dikambinghitamkan sahaja? Kalau mereka pun sudah dapat mengumpul RM13 juta, sehingga ada yang disimpan di atas siling rumah sebanyak RM400,000.

Ertinya berapa banyak wang negara musnah. Berapa juta ketirisan wang negara hilang akibat perbuatan ini. Apakah banyak lagi habuan yang diperoleh oleh orang lain. Semuanya akan terjawab apabila dibicarakan nanti.

Saya pernah menyebut di dalam parlimen, supaya pegawai mesti ada keberanian untuk tidak mengikut arahan daripada mana-mana orang atasan, kecuali dengan bertulis. Kerana banyak sejarah  penangkapan rasuah yang terlibat hanya pegawai.

Mungkin kerana takut, atau hendak mengampu atau hendak naik pangkat. Apabila jadi seperti begini siapa yang akan menanggung akibat. Maruah kelurga, masyarakat akan ingat sampai mati.

Lebih malang lagi kebanyakan yang sudah masuk umur pencen, sudah tua. Nikmat hidup pun sudah tidak seberapa. Apakah berbaloi dengan pengakhiran hayat begitu rupa? Makanlah apa yang ada, jangan tamak. Yang paling penting rasuah dan penerima rasuah tempatnya di dalam neraka.

Indeks rasuah negara yang dikeluarkan oleh Transparency International untuk tahun 2015 masih teruk daripada kedudukan 50 tahun 2014 kepada kedudukan yang ke-54. Skandal 1MDB, RM2.6 bilion, pendedahan DOJ kesemuanya tidak membantu untuk memperbaiki indeks rasuah pada pandangan dunia. Bapa borek anak rintik. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: