Isnin, 18 Julai 2016

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


TMJ: JANGAN DIAJAK PENEMBAK TEPAT PERGI MENEMBAK

Posted: 18 Jul 2016 04:29 AM PDT



JANGAN DIAJAK PENEMBAK TEPAT PERGI MENEMBAK

Anda memberi komen tentang pemain yang bersara dan membuat kenyataan seolah-olah mereka tidak pernah berkhidmat dan mencapai kejayaan bersama pasukan kebangsaan. Apa yang susah sangat untuk menghormati keputusan mereka? Satu perkataan sahaja yang anda harus katakan tentang mereka atau kepada mereka iaitu 'terima kasih'. Terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini. Itu sahaja. Usah tunjuk kepada saya dan generasi sekarang yang anda semua sebagai orang lama susah hendak menerima bahawa masa dan dunia ini telah berubah. Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini dan sanggup mempertegakkan 30 tahun korupsi dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ini adalah 'pendrive' diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek. Mungkin sudah sampai masanya untuk penyokong bolasepak tanahair melihat dan menilainya sendiri. Saya mempunyai seorang komander di India yang pernah berkata, 'jangan diajak penembak tepat pergi menembak'.

Akhir sekali, saya ingin mengingatkan, duit rakyat sepatutnya digunakan untuk rakyat sahaja. Bukan untuk bolasepak dan kepentingan politik. Sila selesai isu gaji pemain yang sudah lama tidak diselesaikan.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor



DON'T INVITE A SNIPER TO GO SHOOTING

You commented about the retirement of some players and making statements as if they did not serve the country and win anything with the national team. Why is it so difficult to respect their decision? There's only one thing you should say about them or to them, which is 'thank you'. Thank you for their sacrifices all these while. That's it. You don't need to show me and the current generation that you as old-timers are struggling to accept that the world and time have changed. What's strange is that after all these years, all of you can accept and stand the 30 years of corruption within the Football Association of Malaysia (FAM).

Here is a pendrive containing the information and activities within the FAM, the media personnel that the FAM always uses including former footballers in Malaysia, the amount of money taken by FMLLP and given to the FAM as well as a rubbish auditor's report given to me by my high-ranking friends in Kuala Lumpur. Maybe it's time for football supporters of this country to see the truth and judge for themselves. I have a commander in India who always says, 'don't invite a sniper to a shooting range'.

Lastly, I would like to remind you all that the rakyat's money should be used for the rakyat only. Not for football and politics. Please take action on the issue of player salaries that has not been resolved.

HRH Brigadier General Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Crown Prince of Johor

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth

Menjawab Khalid Samad

Posted: 18 Jul 2016 02:31 AM PDT



Menjawab Khalid Samad

Blok pembangkang akan tenang kalau Khalid (Samad) boleh 'tutup mulut' atau Parti Amanah Negara (P.A.N) dibubarkan. Saya sebagaimana orang ramai melihat P.A.N akan berhadapan dengan masalah kerusi mana yang akan ditandingi pada pilihanraya umum akan datang.

Keadaan ini akan mendedahkan persaingan tiga penjuru sebagaimana dalam pilihanraya kecil yang lalu. Kecuali DAP atau PKR sedia menyerahkan beberapa kerusi mereka kepada rakan dalam Pakatan Harapan (PH) tersebut.

Sebab itu elok serap sahaja dalam parti yang sedia ada. Negara sebenarnya tidak memerlukan terlalu banyak parti dalam blok pembangkang semata-mata kerana kecewa atau ingin menjadi pemimpin.

Sikap 'tidak boleh bekerja di bawah orang' lah antara sebab muncul pelbagai parti politik.

Saya tegaskan saya tiada masalah bekerja bersama Presiden dan saf kepimpinan PAS yang ada.

Kami sangat bahagia, seronok dengan kemanisan ukuhwah sangat dirasai. Sikap hormat-menghormati, berlapang dada dengan perbezaan serta thiqah kepada pimpinan menjadi nadi kekuatan PAS kini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
18 Julai 2016

HATRIK ANAK PASTI DI BULAN SYAWWAL

Posted: 17 Jul 2016 10:39 PM PDT



Syawwal ialah bulan kemenangan, ia bulan kegembiraan kerana padanya disambut Hari Raya Idulftiri selepas melalui tarbiyah Ramadhan selama sebulan. Padanya berlaku peristiwa peperangan Ahzab yang menyaksikan kemenangan gilang gemilang tentera Islam yang berkubu di Kota Madinah mempertahankan Kota Nabawi tersebut dari serangan tentera Musyrikin dari Makkah yang dibantu oleh kabilah-kabilah sekitarnya.

Pertolongan Allah SWT hadir dalam peperangan ini yang menyaksikan turunnya ribut taufan menerbangkan khemah Musyrikin dan mengusir mereka kembali dengan kecewa ke Mekah. Lantas, diabadikan sejarah kekalahan mereka di dalam takbir Idulfitri yang dilaungkan setiap kali menjelang hari raya, "Allah yang mengalahkan tentera Ahzab dengan kuasaNya secara bersendirian.."

Syawwal 1437H ini menyaksikan kegembiraan bertali arus kepada penggerak-penggerak pra sekolah Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Tiga kejayaan gemilang dicatat oleh bekas anak-anak didik PASTI membuktikan bahawa benih yang menerima tarbiyah di pusat pendidikan pra sekolah ini bukan calang-calang benih. Ia sedang berkembang dengan pesat dan gigih bagi mewarnai negara ini satu hari nanti. PASTI yang mula beroperasi secara rasmi pada tahun 1988 di bawah kendalian Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini hanya berumur 28 tahun, namun rekod yang dilakar olehnya sehingga saat ini cukup untuk memberikan satu petanda bahawa pusat inilah yang akan melahirkan anak-anak yang akan mengemudi arus kebangkitan ummah satu hari nanti.

ANUGERAH OUTSTANDING INTERNATIONAL BTEC STUDENT OF THE YEAR 2016

Hatrik anak PASTI di bulan Syawwal ini bermula dengan berita kejayaan anak didik Pasti Qaryah Pulau Serai Dungun, Terengganu iaitu Mu'az Abdul Karim. Pada 2 Syawwal yang lepas, beliau telah menerima anugerah Outstanding International BTEC Student of the Year 2016 di Royal Horticultural Halls, London, United Kingdom. Muaz adalah pelajar pertama dari Malaysia dan sekaligus Asia Tenggara yang telah berjaya merangkul anugerah berprestij tersebut diantara 800 pencalonan dari seluruh dunia.

Anugerah ini hakikatnya cukup manis dan bermakna. Bukan calang-calang individu yang menggalas anugerah BTEC atau Business and Technology Education Council ini yang merupakan satu sistem akreditasi pendidikan antarabangsa yang berteraskan kepakaran teknikal. Mereka yang mengikuti sistem ini akan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ataupun terus menyertai industri pilihan mereka selepas tamat pengajian. Penganugerahan yang yang telah diterima oleh Mu'az Abdul Karim adalah di atas kecemerlangan akademik dan kejayaan beliau dalam merangkul pelbagai anugerah inovasi di dalam dan luar negara. Ciptaan beliau yang diberikan nama Smart Lawn Mower juga telah memenangi Pingat Emas di Eureka Innovation Exhibition.

Anak didik PASTI ini merupakan pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Petaling Jaya, sebelumnya beliau mengikuti pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Imtiyaz Terengganu dan juga merupakan seorang hafiz al-Quran.

STORM RIDER DI BUMI JERMAN

'Jaringan kedua' anak PASTI di bulan Syawwal ini ialah kejayaan Ke'on atau nama sebenarnya Khairul Idham Pawi di bumi Jerman semalam. Beliau mewakili Honda menjuarai Moto3 Grand Prix Jerman di Sachsenring selepas menamatkan perlumbaan 27 pusingan dalam masa 47'07.763. Beliau yang mendapat jolokan Super KIP turut mencatat masa terpantas pada pusingan kelima 1'42.544 dengan kelajuan purata 128.8 km/j. Semalam, beliau sebenarnya bermula dengan kedudukan ke-20, namun dengan keazaman dan tekad yang kuat, beliau mengejar pelumba di hadapan sehingga ke kedudukan ke-7 sebelum terus mengungguli kedudukan teratas semasa perlumbaan yang berlangsung dalam hujan dan litar yang begitu basah. Seorang rakan FB saya menulis, "kejayaan Khairul Idham Pawi mengajar kita satu perkara iaitu tidak penting di mana anda bermula, yang penting ialah bagaimana anda mengakhirinya'!

Baru sahaja pada bulan April lepas, Keon muncul juara pada Grand Prix Argentina. Dan pada kedua-dua kejayaan ini, beliau lebih berjaya membuktikan prinsipnya apabila melarikan diri sewaktu acara pancutan minuman keras dilakukan di atas podium. Bahkan kelmarin di Jerman, rakaman menyiarkan bagaimana ada pemenang yang mengejar Keon untuk menyemburkan minuman keras namun beliau tegas untuk melarikan diri.

Sebenarnya, teguh berpegang dengan prinsip di tengah-tengah masyarakat asing bukan satu perkara yang mudah. Saya bertanya Keon bulan lepas sewaktu beliau turun bersama jentera Pemuda PAS di pilihanraya kecil Kuala Kangsar berhubung kehidupannya di bumi asing, beliau telus menceritakan betapa sukarnya untuk menjaga solat dan puasa ketika sesi latihan untuk menyertai sebarang kejohanan. Namun, dikuatkan hati dan mengingatkan diri sendiri bahawa beliau seorang muslim. Saya tanya tentang makan minumnya, katanya beliau membawa bekalan dari tanah air untuk dimasak sendiri di dalam bilik penginapan bagi mengelakkan diri terjebak dengan makan minum yang tidak halal. Dan tidak lupa saya bertanya tentang 'girlfriend', Keon menjawab, "Ada awek ini menyusahkan saja Ustaz…" :D Saya tidak pasti untuk bersetuju atau tidak.

Dan untuk rekod, Keon ialah ialah bekas pelajar Pasti Nurul Iman di Kampung Gajah, Perak dan dianugerahkan sebagai Tokoh Anak Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia sempena Muktamar Kali Ke-57 2016 di Kota Bharu Jun lepas.

QARI JUNIOR PENYEJUK MATA

'Jaringan ketiga' melengkapkan hatrik bulan Syawwal ini ialah kejayaan Ahmad Naufal Fauzi berusia 12 tahun malam semalam di Pentas akhir Qari Junior musim kelima. Ia disiarkan secara langsung jam 9 malam di TV3. Adik Naufal bersaing merebut gelaran juara bersama-sama lima lagi peserta iaitu Hana Batrisyia, Ahmad Naufal, Sofea Humairah, Wan Ahmad Nur Firas dan Danish Farhan.

Siaran langsung Qari Junior semalam menyaksikan bagaimana kehebatan adik-adik kecil menghafaz al-Quran, menyambung ayat-ayat Al-Quran yang dibaca dan ditebuk dari hafazan 3o Juzuk bahkan berjaya menghuraikan dengan baik makna ayat yang dibaca. Dan, titisan air mata mengiringi kedua ibubapa adik Ahmad Naufzl Fauzi ini apabila beliau akhirnya diumumkan sebagai juara. Kejayaan ini membolehkan beliau membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM10,000 daripada TV3, pakej umrah (tajaan Almas Beauty & Health) dan baucar tunai RM900 (tajaan Ana Muslim Sdn Bhd). Walaupun ia jauh lebih kecil berbanding nilai hadiah juara maharaja lawak iaitu RM500,000.00 dan juara Akademi Fantasi yang bernilai RM50,000 serta pakej percutian ke Dubai, namun ia adalah satu hadiah yang cukup bermakna khususnya bagi seorang ibu dan bapa yang menginginkan dada anak-anak mereka terisi dengan al-Quran. Paling tidak, ia adalah kempen kepada ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian tahfiz selepas daripada ini.

Untuk rekod, adik Ahmad Naufal ialah bekas pelajar PASTI Muaz bin Jabal, Kota Bharu.

Inilah senarai tiga jaringan hatrik anak-anak PASTI di bulan Syawwal 1437H ini. Dengan penuh yakin, kita berani menyatakan kejayaan ini bukanlah kejayaan yang terakhir anak-anak PASTI. Dengan bilangan 115 ribu anak-anak PASTI di seluruh negara pada hari ini, kejayaan demi kejayaan yang gilang gemilang akan terus dilakar. Kuncinya ialah, pendidikan rabbani berteraskan tauhid yang mantap dan kefahaman yang syumul. Dengan dinding yang kurang sempurna, gaji yang sekadar cukup untuk makan minum, situasi yang serba dhaif ini, PASTI berjaya melahirkan bintang yang cukup gemilang menerangi seantero negara.

Semoga Allah merahmati semua tokoh-tokoh yang pernah berjasa dalam pembinaan PASTI dari awal ia dibangunkan sehingga kini. Ada yang telah 'pergi' dan tidak kurang pula ramai yang masih istiqamah bersama panji-panji perjuangan.

Sejarah akan terus melakar kegemilangan Insya-Allah.

- Ahmad Fadhli bin Shaari, 18 Julai 2016. Penulis merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Pengarah PASTI Negeri Kelantan.

Zairil Khair Johari bersikap Anti Demokrasi Bila Melibatkan Hak Orang Islam

Posted: 17 Jul 2016 10:20 PM PDT



Zairil Khair Johari bersikap Anti Demokrasi Bila Melibatkan Hak Orang Islam.

Saya membaca tulisan terbaru Zairil Khir Johari yang dimuatkan dalam lidah rasmi Kerajaan Pulau Pinang, "Buletin Mutiara" bertarikh: 1-15 Julai 2016 yang bertajuk " RUU Hadi Tidak Boleh dipandang Ringan" dan mendapati cukup jelas pendekatan beliau dan juga sebagai Pimpinan DAP melayu. Ternyata Zairil begitu bimbang dengan Islam menjadi amalan praktikal orang Islam yang menyeluruh. Sehingga begitu mengambil berat dan mencuba supaya syariat sebahagian Islam tidak dijayakan untuk orang Islam mengikut saluran demokrasi.

Nampaknya, penganut demokrasi DAP Melayu ini adalah penganut hipokrit. Disokong jika untuk kepentingan mereka, dibenci jika ada kebaikan untuk Orang Islam yang majoritinya gembira sekiranya organisasi umat Islam dipertingkatkan.

Isu yang dibicarakan adalah RUU yang dibawa oleh Presiden PAS, YB Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, RUU pindaan 355 yang bertujuan menaiktaraf bidang kuasa mahkamah syariah. Namun yang lebih dibimbangkan Zairil adalah RUU ini memberi ruang kepada Islam diamalkan dan seolah olah begitu membenci ia berjaya ditegakkan dalam masyarakat Islam negara ini. Beliau bimbang, mahkamah syariah dapat menangani masalah zina, mencuri dan jenayah yang disebut dalam Quran ditangani dengan undang undang Islam sendiri. Sehingga tahap begini, membuatkan kita bertanya, Masihkah Zairil ini beriman atau sudah membuang keimanannya demi menyesuaikan nafsu demokrasinya yang tidak mencintai islam?

Persoalan untuk Zairil, mampukah demokrasi dan negara ini berdiri tanpa undang undang? Adilkah sekiranya diberi peluang untuk undang undang lain diundi dan dibahas secara demokrasi, tetapi bila giliran untuk hak Islam, disekat dan dihalang sehingga ruang yang diguna dalam demokrasi pun tidak layak untuk Islam?

Sikap Zairil ini, menyerlahkan sikap sebenar Pemimpin DAP Melayu ini. Kalau yang Melayu islam pun boleh bersikap macam ini yang bimbang Islam diamalkan sepenuhnya oleh orang Islam, maka bayangkanlah sifat bukan Islam yang menjadi pemimpin Zairil dan rakan politik hariannya. Sepatutnya kedudukan diguna untuk bantu Islam, tetapi diguna untuk menyekat cahaya Islam.

Disini ditampilkan beberapa perkara penting yang perlu kita faham berkenaan dengan RUU persendirian Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355 Mahkamah Syariah (1965) yang kali terakhir dipinda pada tahun 1984.

PAS ISTIQAMAH MEMPERJUANGKAN ISLAM

Sejak kita merdeka, bidang kuasa Mahkamah Syariah yang diamalkan di Malaysia lebih rendah daripada Mahkamah Majistret. Sudah menjadi cita-cita semua pencinta islam ingin melihat undang-undang islam diangkat ke tempat yang selayaknya. Kenapa tiba-tiba YB Zairil mengalih sisi pandang ke arah bias sosial kepada golongan terpinggir yang sepatutnya ia harus diletakkan dibahu penguatkuasa undang-undang? tapi yang dipersalahkan pula RUU yang datang untuk memulihkan keadaan sosial.

Firman Allah S.W.T berbunyi:
"Bagi setiap umat telah kami tetapkan syariat tertentu yang harus mereka amalkan, maka tidak sepatutnya mereka bantah membantah dengan engkau dalam urusan syariat ini. Dan serulah mereka kepada tuhanmu. Sesungguhnya engkau (Muhammad) berada di jalan yang lurus".
(Al-Hajj:67)

RUU PROSES KE ARAH PEMERKASAAN INSTITUSI SYARIAH DI MALAYSIA

Hudud hanya dikenakan dalam beberapa kesalahan sahaja, kesalahan lain pula akan tetap dengan hukuman yang sedia ada, mana mungkin RUU ini mampu beri kuasa mutlak kepada sistem perundangan syariah? Rujuk Kanun Keseksaan, hanya berapa peratus sahaja dari keseluruhan jenayah dikategorikan dibawah hudud. Adapun proses pembuktian kesalahan dibawah hudud dibuat dengan sangat teliti.

Firman Allah S.W.T:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab (al Quran) kepada kamu (Muhammad) membawa kebenaran agar engkau mengadili antara manusia dengan apa yang telah diajarkan Allah kepada kamu Dan janganlah engkau menjadi penentang (orang yang bersalah) kerana (membela) orang yang khianat".
(An-Nisa:105)

PENGAMALAN SISTEM DEMOKRASI YANG SAH

Ahli Parlimen Marang mengemukakan RUU mengikut saluran demokrasi yang betul dan sah termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang Malaysia. Sudah pasti mana-mana pihak yang ada idea dan solusi terbaik bagi membangungkan negara boleh sama-sama memanfaatkan saluran ini. Dalam usul RUU baru-baru ini, PAS yang mengamalkan gagasan Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) telah mendapat respon yang baik dari UMNO untuk sama-sama membantu ke arah mengerjakan kebajikan.
Firman Allah S.W.T:
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam melakukan kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksanya"
(Al-Maidah:2)
Perkara 3 Perlembagaan Malaysia menyatakan: "Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain bebas diamalkan secara aman dan damai di mana-mana bahagian dalam Persekutuan".

Jelas, agenda PAS mendaulatkan Islam merupakan agenda yang tepat dan betul disisi undang bertepatan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada pembukaan Parlimen ke-13, Penggal ke-4, pada 7 Mac 2016 supaya institusi Mahkamah Syariah diperkasakan.

Saya berharap YB dapat mendengar secara terperinci berkenaan RUU dari mulut Ahli Parlimen Marang sendiri supaya tidak berlaku lagi salah faham yang boleh menimbulkan keraguan kepada masyarakat.

Akhir sekali, saya ingin mendapat pengesahan daripada pihak YB, adakah pihak YB sangsi dengan hukum Islam sebagai penyelesaian kepada segala masalah? Sepertimana kenyataan YB dalam perenggan terakhir "Walaupun agenda hudud ini mampu mencapai tujuan politik Umno dan PAS dalam jangka masa pendek, ia akan membawa bencana bagi negara kita dalam jangka masa panjang." Amat malang bagi seorang muslim andainya ada ragu-ragu didalam hati tentang keadilan hukum Islam.

Ir Ahmad Rafaei bin Dato Ir A Rashid
Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang

Tiada ulasan: