Selasa, 19 Julai 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


BEGINIKAH JAWAPAN YANG PATUT DIBERI? RELEVANKAH LAGI KU NAN SEBAGAI MENTERI?

Posted: 19 Jul 2016 08:12 AM PDT

shahbudindotcom

 
Ketika wargakota terus mengeluh kerana dibebankan dengan kenaikan caj parkir kenderaan antara 100 hingga 200 peratus, jawapan yang diberikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mhd Amin Nordin ternyata lebih menyakitkan hati.

Bersandarkan alasan asal kenaikan itu dikatakan bertujuan mengurangkan kesesakan di bandaraya, menggalakkan berkongsi kereta dan mahu wargakota lebih menggunakan pengangkutan awam, hari ini beliau berkata, sebarang kesulitan berkaitan pengangkutan awam bukan merupakan tanggungjawab DBKL.
 
 
 
 
DBKL hanya nak jaga parkir, manakala pengangkutan awam di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan. Tidak ada kena-mengena, saya tak nampak hubung-kaitnya, ujar beliau.

Benarkah kedua-dua perkara iaitu antara menaikkan caj parkir dengan kemudahan pengangkutan awam tidak ada kena-mengena serta tidak saling kait-mengait?

Apakah DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan ditadbir oleh "Kerajaan A" dan Kementerian Pengangkutan yang menjaga perkhidmatan pengangkutan awam pula  ditadbir oleh "Kerajaan B"?

Bagaimana Datuk Bandar melihat isu ini sebenarnya?

Dari sudut peranan sebagai jentera sebuah kerajaan yang bertangggungjawab terhadap rakyat atau sebuah entiti kapitalis yang semata-mata mahu mengaut keuntungan?

Dalam pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang membantah kenaikan caj parkir itu, Mhd Amin juga dilaporkan memberitahu, pertimbangan mengenai kenaikan itu diputuskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
 
 
 
Apakah jawapan Datuk Bandar itu hanya untuk menghalalkan semua tindak-tanduk menteri dan tidak memperdulikan sama sekali kepentingan serta perasan rakyat?

Persoalan lebih besar, masih relevan lagikah Tengku Adnan sebagai menteri? 


Pilihan raya ‘haram’ di Bukit Mertajam

Posted: 19 Jul 2016 08:09 AM PDT

praya haram

Oleh Steven Sim


Nama saya Sim Chee Keong, lebih dikenali sebagai Steven Sim. Saya Ahli Parlimen Bukit Mertajam. Ini pengakuan saya:

Daripada 25 Mac sehingga 27 Mac 2016, saya bersama-sama Lee Khai Loon, ADUN Machang Bubok dan rakan-rakan kami yang lain telah menganjurkan satu pilihan raya haram. Biar saya jelaskan.

Untuk tiga hari tersebut, setiap hari dari 9 pagi sehingga 5 petang, pengundi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubok telah keluar mengundi di sepuluh pusat mengundi yang dikelola oleh kami.

Kami telah memastikan agar peraturan pilihan raya diikuti. Tatacara pemilihan termasuk aturan peralatan dalam bilik mengundi sekalipun, kami cuba patuh kepada amalan SPR. Daftar pengundi dicapai melalui laman web SPR dan sebagai "backup", kami ada sesalinan "hardcopy" senarai pengundi tersebut.

Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Bersih, Aliran, Suaram dan Coalition for Good Governance (CCG) telah dijemput untuk menjalankan audit proses pilihan raya dan kemudian sebagai pemantau sepanjang tempoh mengundi.

Sebelum itu, tempoh berkempen telah berjalan selama seminggu, dan lebih kurang 32,000 orang pengundi yang berdaftar dengan SPR di DUN Machang Bubok disasarkan.

Pada hari mengundi, sebanyak 2,438 undi telah dibuang. Namun pilihan raya ini tidak mendapat restu SPR, maka saya sebut sebagai 'pilihan raya haram'.

Bukan pilih Si Pemilih, tapi jadi Si Pemilih

poll station 2 

Kali ini, benda yang dipilih oleh pengundi bukan wakil rakyat ataupun YB. Kali ini, pengundi Machang Bubok diberi peluang untuk mengundi bagi menentukan apa projek pembangunan setempat yang mereka inginkan. Mereka membuat keputusan bagaimana hendak membelanjakan dana pembangunan setempat sebanyak RM100,000.

Saya dan Adun Lee Khai Loon telah memperuntukkan RM50,000 setiap seorang bagi tujuan tersebut. Projek ini diberi nama, "Duit Kita, Hak Kita".

Dalam kata lain, pilihan raya "haram" kami bukan untuk pilih proksi demokrasi, bukan pilih orang untuk buat keputusan bagi pihak rakyat – orang macam ini disebut "YB" (saya salah seorang). Sebaliknya, rakyat pilih terus apa keputusan itu, tak perlu dua kali pilih, tak perlu orang politik jadi orang tengah. Ini bukan pilihan raya untuk rakyat pilih Si Pemilih tapi rakyat jadi Si Pemilih.

Demokrasi kita tidak normal

Kita hidup dalam demokrasi tidak normal di Malaysia. Pilihan raya tidak mampu mencerminkan kehendak rakyat. Parti yang mendapat 51% undi popular dinafikan daripada membentuk kerajaan. Budaya rasuah, salahguna kuasa berleluasa, dan saya tidak perlu sebut lagi segala kerosakan yang ada sebab sudah bergulung-gulung aduan dan keluhan dibuat, semua ini berleluasa.

Maka rakyat tercari-cari, di mana salahnya dan apa pula jalan penyelesaiannya? Demokrasi kita ada masalah besar. Demokrasi kita demokrasi proksi – rakyat pilih wakil. Justeru, yang terpilih digelar wakil rakyat. Dia lah yang membuat segala keputusan bagi pihak rakyat.

Bukan tiada hikmahnya sistem ini. Tapi, masalahnya, apabila rakyat itu sendiri anggap bahawa demokrasi hanya semasa bab pemilihan, bilamasa nak undi wakil mereka itu sajalah "demokrasi". Lepas itu, lap tangan dan biarkan wakil rakyat saja yang buat segala keputusan.

Sebab rakyat tidak ambil peduli, maka wakil rakyat diberi kuasa yang besar. Dengan kuasa itu, dia buat duit di satu pihak dan dia buat rakyat bergantung kepadanya di pihak yang lain. Lama kelamaan, wakil rakyat jadi lebih "power" dari rakyat yang memilihnya.

Kesannya, hak demokrasi rakyat terhadkan kepada masa nak undi sahaja. Justeru, tidak hairanlah, lima tahun sekali, ataupun bila ada wakil rakyat mati, politikus turun tersengih-sengih merayu undi. Janji-janji manis ditaburkan, masa "eleksyen" semua pun ok.

poll station 3 

Oleh sebab wakil rakyat berkuasa dan boleh buat duit untuk kepentingan diri, maka dia juga berupaya mempengaruhi undi. Jika wang tidak dapat mempengaruhi undi, maka dia akan guna racun xenophobia, ataupun bahasa yang kita mudah faham, assabiyah. 

Dia takut-takutkan rakyat kepada orang lain, sama ada yang berbeza agama atau bangsa atau identiti gender atau apa-apa identiti yang dianggap tidak normal. Jika tidak undi si dia, maka orang lain itu akan ambil alih kuasa. Sedangkan dia sendiri telah lama membolot kuasa itu untuk kepentingan peribadi.

Demokrasi menjadi terlalu susah dan mahal untuk dimiliki rakyat.

Ini demokrasi yang tidak normal. Ia bercanggah dengan konsep demokrasi itu sendiri, iaitu rakyat yang berkuasa. Kini elit yang berkuasa.

Ada pula yang kata demokrasi proksi lebih praktikal. Lihat pada Brexit, referendum di UK sama ada untuk kekal atau keluar dari Kesatuan Europah (EU). Lepas Brexit, ada yang kata rakyat biasa rata-rata tidak pandai dalam hal ehwal kenegaraan. Kalau keputusan di tangan mereka, porak peranda jadinya.

Ada kebenaran. Tapi pandangan ini berpaksikan demokrasi proksi yang kita ada pada hari ini: Di mana masalah kenegaraan yang kompleks ditakrifkan dalam soalan yang menjurus kepada jawapan "ya" atau "tidak", "hitam" atau "putih", "kiri" atau "kanan". Rakyat hanya diberi pilihan binari yang ekstrim tanpa peluang untuk mengemukakan penyelesaian kompromi.

Sekali lagi, lihat pada Brexit, bukan semua yang EU ditolak oleh puak yang ingin mengundur dari EU; mereka mungkin tidak setuju dengan birokrasi Brussels tapi mereka masih inginkan dinamik pasaran Eropah. Tapi hakikatnya mereka hanya diberi pilihan binari dalam referendum: "in or out".

Demokrasi yang normal ialah demokrasi konsultasi, pilihan raya sekadar salah satu agenda dalam sistem demokrasi. Jangan lupa negara-negara diktator sekalipun ada pilihan raya, malah ada referendum.

Demokrasi ialah proses bukan program

Demokrasi yang sihat adalah sebuah proses berterusan dan bukan program "one-off" semata-mata.

Proses ini merangkumi konsultasi dan rundingan di mana segala kepentingan pelbagai pihak dibentangkan dan dibincangkan. Sudah tentu proses ini rumit dan melibatkan tawar-menawar (bargaining) antara pihak-pihak berkepentingan. Ini tidak dapat dielakkan memandangkan sumber awam adalah terhad untuk memenuhi keperluan setiap pihak yang terlibat.

Namun, proses ini lebih adil, lebih mencerminkan kehendak ramai, dan lebih win-win, berbanding demokrasi zero-sum yang berpangsikan pilihan raya semata-mata.

Pilihan raya yang memaksa rakyat buat pilihan binari ialah demokrasi zero-sum: You kalah ataupun I kalah, tidak ada menang-menang, dan winner takes it all, yang berjaya, akan menang segala galanya, yang gagal, akan hilang segala-galanya.

Justeru, dalam projek "Duit Kita Hak Kita", kami bertujuan untuk membudayakan proses demokrasi ini. Seluruh projek ada empat fasa, ambil masa lebih setahun – mungkin juga kerana ini benda baru di negara kita, terpaksa, "sambil buat sambil belajar".

Saya sudah jelaskan di atas bahawa, di bawah projek ini, rakyat mengundi bagaimana wang peruntukan sebanyak RM100,000 akan digunakan. Tiga cadangan telah dikemukakan dalam kertas undi:

1) Menaiktaraf infrastruktur Kampung Permatang Tinggi dengan CCTV dan juga pengindahan kampung bagi tujuan pelancongan;

2)Menaiktaraf dewan serbaguna dan pembinaan kemudahan istirehat di tepi masjid dan kuil di kawasan Alma-Bukit Minyak;

3) Pembinaan bumbung untuk gelanggang bola keranjang di Taman Selamat.

Seramai 2,438 orang pengundi telah keluar membuang undi dan cadangan pertama iaitu projek di Kampung Permatang Tinggi mendapat undi paling tinggi, sebanyak 45% daripada undi yang dibuang.
Ketiga-tiga cadangan yang diundi tadi pun sebenarnya bukan cadangan "YB" ataupun "JKKK" ataupun mana-mana pegawai kerajaan semata-mata.

Ia hasil daripada perbincangan orang awam melalui kumpulan tumpu bincang (focus group discussion) yang dianjurkan sebelum kempen mengundi bermula. Sebanyak sembilan (9) kumpulan tumpu bincang telah dianjurkan melibatkan 268 penduduk pelbagai kaum, lelaki dan perempuan, yang merangkumi kanak-kanak berumur 13 tahun sehinggalah warga emas berumur lebih 60 tahun.

Dalam fasa inilah, proses konsultasi dan rundingan berlaku.

Sebelum itu, satu bancian kependudukan telah dilaksanakan. 8,671 buah isi rumah telah dibanci bagi mengenal pasti maklumat demografi serta isu-isu yang penting bagi penduduk di situ.

Daripada banci sehingga kumpulan tumpu bincang dan kemudiannya proses mengundi, projek ini makan masa setahun, lebih 200 tenaga kerja (kebanyakan sukarelawan) dan memakan kos yang tinggi. Mungkin kerana kali pertama dilaksanakan, sambil buat sambil belajar maka lebih makan masa dan sumber. Tetapi jelas, proses demokrasi yang tulen ialah pengalaman yang berterusan bukan one-off.

Hasilnya, projek "Duit Kita Hak Kita" bukan sahaja kali pertama rakyat Malaysia boleh buat keputusan secara langsung bagaimana duit rakyat akan digunapakai, saya yakin ini merupakan paling dekat dengan kata-kata Abraham Lincoln dalam Ucapan Gettysburg beliau: sebuah kerajaan "oleh rakyat, daripada rakyat, kepada rakyat"

*Steven Sim ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam


Pengguna Marah Kenaikkan Parkir DBKL

Posted: 19 Jul 2016 07:55 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Peningkatan kadar baharu caj ruang parkir milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berkuat kuasa pada Isnin telah mengejutkan dan menimbulkan kemarahan warga kota.

Tinjauan StarMetro mendapati bahawa pemandu dalam Daerah Pusat Perniagaan (CBD) kecewa kerana mereka terpaksa mengeluarkan bayaran tambahan sebanyak 150 peratus untuk meletak kenderaan di kawasan itu.

Kadar parkir meningkat daripada 80 sen sejam kepada RM2 bagi jam pertama dan RM3 untuk jam berikutnya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz mengulangi pendirian bahawa kenaikan itu perlu bagi membantu mengurangkan kesesakan serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Beliau berkata seramai 100 pegawai penguatkuasa telah digerakkan untuk membantu peralihan tersebut.

"Kadar parkir tidak dikaji semula sejak 40 tahun yang lalu dan caj berkenaan adalah masih rendah berbanding di negara-negara Asia yang lain.

"Kami berharap ini akan mengurangkan sekurang-kurangnya satu juta kenderaan yang datang ke bandar setiap hari," katanya.

Caj tempat letak kereta baru sedang dikuatkuasakan secara berperingkat mulai sekarang hingga 1 Ogos yang akan menyaksikan peningkatan di antara 100 peratus dan 200 peratus, bergantung kepada kawasan itu.

Kadar parkir sebanyak 50 sen sejam di zon luar bandar juga akan akan naik menjelang bulan depan.

Bergantung kepada zon, pengguna jalan raya akan dikenakan bayaran RM1.50 atau RM1 sejam.

DBKL memiliki 46,100 ruang letak kereta bermeter di bandar; 22 peratus atau 9,914 petak parkir terletak di kawasan CBD.

Pilihan Raya Mengejut Di Pulau Pinang?

Posted: 19 Jul 2016 07:54 AM PDT

Oleh: JOCELINE TAN
 
 
 
 
PETALING JAYA: Pilihan raya mengejut mungkin akan diadakan di Pulau Pinang tidak lama lagi.

Keputusan untuk mengadakan pilihan raya di negeri itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada malam Isnin, demikian menurut sumber Pakatan Harapan dari Selangor.

Bagaimanapun butir-butir mesyuarat tidak tersedia, namun difahamkan bahawa enam pemimpin DAP pergi untuk membentangkan perkara berkenaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur selepas mesyuarat itu.

Difahamkan bahawa Dr Wan Azizah tidak komited dengan keputusan radikal tersebut namun beliau telah memanggil mesyuarat Biro Politik PKR malam ini (Selasa).

Pemimpin PKR dari Pulau Pinang diminta hadir dan memberikan maklum balas mereka.

Pilihan raya mengejut dilihat sebagai langkah untuk mengesahkan kedudukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang berhadapan tuduhan rasuah.

Pada 2013, gabungan terdahulu atas nama Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kemenangan di Pulau Pinang pada dengan majoriti dua pertiga.

DAP memperoleh 19 kerusi, PKR, 10 dan PAS, satu. Pembangkang negeri iaitu Umno memenangi 10 kerusi.

Difahamkan bahawa pemimpin-pemimpin PKR bimbang mengenai pendapat umum jika pilihan raya mengejut diadakan di Pulau Pinang.

Jika diadakan, gabungan itu akan bertanding sebagai Pakatan Harapan tanpa PAS.

Bagaimanapun sumber berkata, DAP memberi jaminan kepada PAS bahawa Amanah tidak akan bertanding menentang PAS di kerusi tunggal PAS di Pulau Pinang - Permatang Pasir.

Pilihan raya umum hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Zaidy sahkan 13 wakil rakyat Pas Selangor sokong Tuan Ibrahim

Posted: 19 Jul 2016 07:53 AM PDT

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Zaidy Abdul TalibZaidy Abdul TalibAdun Taman Templer Zaidy Abdul Talib mengesahkan wujudnya kenyataan terbuka wakil rakyat Selangor terhadap cadangan "gencatan serangan" oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Man.

Bagaimanapun beliau yang namanya tersenarai dalam kenyataan tersebut menegaskan, banyak berita yang tersebar mengenai kenyataan tersebut telah diubah dan lari daripada maksud asal.

"Di peringkat Adun dan ahli parlimen Selangor memang ada keluarkan kenyataan menyokong timbalan presiden tapi saya tak pasti berita yang diviralkan ini adalah daripada kenyataan asal atau sebaliknya.

"Banyak sangat berita yang dimanupulasi ada yang kata kita tolak presiden (Datuk Seri Abdul Hadi) dan sebagainya. Itu tak betul," katanya kepada Malaysia Dateline.

Dalam kenyataan tersebut, 13 wakil rakyat itu menyatakan bahawa mereka akan menyerahkan suatu surat kepada pimpinan pusat yang disokong dan ditandatangani oleh kesemua Adun dan ahli parlimen Selangor.

Mereka menyatakan sokongan kepada Tuan Ibrahim dan Naib Presiden Datuk Iskandar Abd Samad yang mendukung kenyataan itu, setelah penelitian dan perbincangan mendalam.

Zaidy yang juga exco kerajaan negeri Selangor turut berkata, dalam kenyataan bersama itu ada dinyatakan perkara yang dipersetujui dan tidak dipersetjui mengenai cadangan Tuan Ibrahim agar semua pembangkang bersatu.

"Dalam kenyataan itu ada dinyatakan dengan terperinci apa yang kita sokong dan kita tak setuju," katanya lagi.

Selain Zaidy, 11 Adun dan seorang ahli parlimen yang menyokong ialah Dr Che Rosli Che Mat (Hulu Langat), dikalangan Adun pula Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Mohd Shafie Ngah (Bangi), Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras), Mohd Haslin Hassan (Tanjong Sepat), Dr Abd Rani Osman (Meru), Khasim Abdul Aziz (Lembah Jaya), Dr Halimah Ali (Selat Klang), Hasbullah Mohd Ridzwan (Gombak Setia), Noor Hanim Ismail (Seri Serdang), Razaly Hassan (Dusun Tua) dan Sallehen Mukhyi (Sabak),

Sebagai rekod pada 13 Julai lalu Tuan Ibrahim  mencadangkan agar pembangkang membuat gencatan serangan dan bekerjasama semula dengan memberikan tumpuan kepada musuh bersama iaitu Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ulama kesal Pas Selangor 'sayangkan jawatan'

Posted: 19 Jul 2016 07:51 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Pas dijangkiti penyakit sayangkan jawatan dan takut kalah, kata Najhan HalimPas dijangkiti penyakit sayangkan jawatan dan takut kalah, kata Najhan HalimTindakan para wakil rakyat Pas di Selangor menyokong pendirian Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man nampaknya tidak disenangi oleh Dewan Ulama Pas Pusat.

Ia dibayangkan oleh Ustaz Najhan Abdul Halim, Pengarah Penerangan, Lajnah Penerangan, Dewan Ulamak Pas Pusat melalui postingnya dalam facebook beliau selepas tersebarnya surat sokongan itu kepada umum.

Najhan, anak kepada bekas setiausaha agung Pas, Halim Arshat dalam posting itu menulis, "bila berhadapan dengan ujian di dalam jamaah kita nampak dengan mata kepala kita sendiri."

"Selama ni kita bicara menerusi kitab-kitab haraki sahaja.. sekarang kita lihat dan saksi dengan realiti."

Najhan menyenaraikan 10 perkara ekoran kenyataan wakil rakyat Pas Selangor itu.

1. Sayang jawatan
2. Takut kalah
3. Hilang jati diri
4. Jawatan dalam kerajaan lebih tinggi daripada jawatan dalam jamaah
5. Hilang bergantung kepada Allah. Lebih kepada manusia
6. Kepentingan jamaah jadi tak lagi diutamakan
7. Terlalu sayang kepada nikmat harta ghanimah bimbang terlepas
8. Tidak yakin dengan janji Allah
9. Banyak alasan diberi daripada taat dan patuh serta wala
10. Mencari peluang dunia dilebihkan daripada habuan akhirat.

"Marilah kita perbetulkan hati dan tindakan," tulis beliau dalam posting itu.

Adun Taman Templer yang juga Exco kerajaan negeri Selangor, Zaidy Talib, mengesahkan wakil rakyat Pas di negeri itu menandatangani surat sokongan kepada Tuan Ibrahim itu.

Mereka mahu pembangkang mempastikan satu lawan satu dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun sebelum ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan balasnya berkata, Pas hanya sedia bekerjasama dengan mereka yang menerima acuan Pas sahaja.

Pas telah berpecah dari Pakatan Rakyat selepas bertembung dengan DAP.

Pas kemudiannya berpecah dua sehingga lahirnya Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipimpin oleh Mohamad Sabu bekas timbalan presiden Pas.

Pas lebih baik jalin kerjasama dengan BN berbanding PH

Posted: 19 Jul 2016 07:45 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Norman TohaNorman TohaBekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata adalah lebih baik Pas menjalinkan kerjasama dengan kerajaan pusat dalam perkara yang membabitkan kepentingan rakyat, khususnya umat Islam daripada kembali menjalinkan kerjasama dengan blok pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, keputusan Pas untuk bergerak bersendirian dengan memutuskan tahaluf siyasi mereka bersama Pakatan Harapan sebelum ini merupakan langkah terbaik bagi parti tersebut.

"Saya kira adalah lebih baik Pas menjalinkan kerjasama dengan kerajaan pusat dalam hal-hal yang membabitkan kepentingan rakyat dan negara, khususnya umat Islam daripada kembali menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan.

"Ini memandangkan selama Pas menjalinkan tahaluf siyasi dengan pakatan pembangkang, parti ini sentiasa menghadapi tentangan daripada Dap khususnya dalam hal-hal yang berhubung dengan agenda Islam dan yang berkaitan dengannya.

"Namun dalam perkembangan hari ini kita boleh lihat bagaimana agenda perundangan Islam yang diperjuangkan oleh Pas dapat diterima oleh kerajaan pusat yang diterajui oleh Umno contohnya seperti pembentangan RUU yang berjaya di bawa ke parlimen baru-baru ini,"ujarnya.

Tambah beliau, jalinan kerjasama Pas dan kerajaan pusat juga dilihat dapat memberikan peluang yang lebih cerah kepada parti tersebut untuk melaksanakan agenda Islam dengan sokongan kerajaan pusat yang diterajui oleh Umno pada hari ini.

"Pembentangan RUU dalam usaha untuk memperkasakan mahkamah syariah baru-baru ini memperlihatkan bahawa wujudnya persefahaman di antara kerajaan pusat dalam hal ehwal Islam bagi menambah baik pelaksanaan perundangan Islam di negara ini.

"Jika Pas kembali menjalinkan hubungan mesra dengan blok pakatan harapan, sudah pastinya segala usaha parti tersebut untuk memperkasakan undang-undang dan pelaksanaan Islam di negara ini akan mendapat tentangan yang hebat terutamanya dari DAP.

"Saya fikir Pas sepatutnya mengambil iktibar daripada sejarah mereka dalam bertahaluf siyasi dengan pakatan pembangkang, terutamanya dengan DAP tidak akan membawa sebarang kebaikan terhadap agenda Islam dan matlamat perjuangan parti itu sendiri," tegasnya seperti dipetik daripada media rasmi Umno.

Projek HSR Pengubah Strategi - Najib

Posted: 19 Jul 2016 07:37 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong (kiri) pada sidang media di Seri Perdana selepas majlis MOU Antara Kerajaan Malaysia dan Singapura mengenai projek Keretapi Berkelajuan Tinggi, Selasa. --fotoBERNAMA
 
 
 
PUTRAJAYA: Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan menjadi pengubah strategi bagi Malaysia dan Singapura, termasuk dari segi penjanaan ekonomi, gaya hidup, nilai hartanah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata projek itu yang dijadual siap pada 2026 juga akan menjana dorongan baharu dari segi pembangunan ekonomi di bandar-bandar di sepanjang laluan dan bukan semata-mata di Lembah Klang dan Singapura.

"Apa yang berlaku menjelang 2026, kami menjangkakan masa depan yang sangat menarik bagi Malaysia dan Singapura, dan masa depan itu akan menjadi kenyataan sebaik projek itu beroperasi," katanya.

Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Seri Perdana di sini hari ini, Najib berkata menerusi projek itu jarak Kuala Lumpur dan Singapura tidak lagi jauh, sebaliknya bandar raya yang dihubung rapat.

Najib dan Lee sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman bagi projek HSR, yang mengesahkan komitmen Kuala Lumpur-Singapura dalam projek penting itu.

Landasan sepanjang 350km itu akan mengurangkan masa perjalanan kepada 90 minit antara kedua-dua bandar raya, dengan kelajuan lebih 300km/sejam.

Projek HSR mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dand Singapura.
 
 

Kuasa rakyat kalahkan tentera kudeta Turki

Posted: 19 Jul 2016 07:35 AM PDT



 
Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID


UNTUK mencetuskan suatu rampasan kuasa (kudeta), beberapa orang pegawai tinggi tentera Turki daripada unit komando, angkatan tentera darat, briged pertama dan keempat, dan tentera udara telah bertindak dalam sekala besar untuk mengambilalih pemerintahan.

Mereka menguasai dua lapangan terbang dan menutup lapangan terbang yang ketiga. Strategi memisahkan Turki Eropah dan Turki Asia digerakkan. Parlimen di Angkara dibom 9 kali. Pertempuran sengit berlaku di pusat MIT iaitu agensi perisikan Turki. Gerakan itu mengguna secara maksima kekuatannya dengan kereta kebal, helikopter dan jet pejuang  F16.

Untuk mengalahkan kudeta ini, Presiden Turki mengguna iPhone. Masjid mengguna pembesar suara, menyiarkan panggilan untuk solat seawal sebelum subuh. Sebahagian adalah penentang tegar terhadap Presiden, telah menyeru kudeta itu ditamatkan. Pemimpin-pemimpin politik dari berbagai latarbelakang juga mahu kudeta itu ditewaskan. Polis telah menangkap para tentera kudeta.

Orang awam tanpa senjata menawan semula CNN Turki dan jambatan Bosphorus. Mereka secara nekad dan berani di tengah-tengah serangan balas dari tentera yang sangat sengit, menjadi benteng untuk mengembalikan demokrasi untuk negara mereka.

Jelas ini tidak syak lagi adalah sebuah kudeta tentera (military coup). Namun Duta Amerika di Angkara mengelarnya suatu "kebangkitan" (uprising).

Geopolitical Futures menyiarkan analisis dan menyatakan kudeta itu berjaya. BBC Arabic, Sky News Arabic, El-Arabiya TV, ITN diplomatic editor, US networks semuanya menyiarkan komentar yang mengatakan Erdogan telah jatuh dan telah melarikan diri ke Jerman.

The Guardian menerbitkan tajuk utama (kemudian diedit semula) mengenai ketua editor yang tidak menyembunyikan senyumannya terhadap "jatuhnya" seorang "authoritarian islamist "How Recep Tayyip Erdogan inflamed tensions in Turkey".

Di kala rakyat Turki berjuang untuk masa depan mereka, pemimpin Barat sepi, walaupun mereka mendabik dada Baratlah yang menjuarai demokrasi. Konsulat Perancis ditutup dua hari sebelum berlaku percubaan rampasan kuasa itu. Adakah Perancis tahu sesuatu yang tidak diketahui oleh rakyat Turki?

Dalam kenyataan awalnya Setiausaha Negara Amerika, John Kerry mengguna pelbagai istilah terhadap kudeta Turki itu, tetapi tidak istilah demokrasi. Beliau mengguna kata-kata  "kestabilan, keamanan dan penerusan" di Turki.

Tidak disebut langsung mengenai menyokong presiden dan parlimen yang dipilih secara sah oleh rakyat. Hanya apabila kudeta itu jelas gagal, barulah Presiden Barack Obama dan Kerry mengeluarkan kenyataan menyokong Erdogan.

Jika anda mahu tahu kenapa Eropah dan US kelihatan malu di Timur Tengah, kenapa mereka telah hilang otoriti moral, malah tidak ada otoriti sama sekali, dan kenapa mereka tidak lagi boleh mendakwa sebagai juara perubahan demokratik, lihat sahaja bagaimana mereka mendiamkan diri selama lebih 3 jam sementara melihat ke arah mana angin akan bertiup di Istanbul dan Ankara.

Saudi pula menunggu lebih 15 jam sebelum mengeluarkan kenyataan menyokong Erdogan. Emirat dan media yang mereka kuasai menyebarkan maklumat kononnya Erdogan telah melarikan diri.

Sebaliknya kebenaran jelas di sebalik semua itu. Erdogan menaiki kapalterbang menuju ke Istanbul sedangkan beliau tahu jet F16 tentera kudeta sedang berlegar di udara dan lapangan terbang Ataturk mungkin ditutup.

Hanya tiga negara di dunia menyokong Erdogon dari awal lagi - Morocco, Qatar, dan Sudan.

Apa yang lebih menakjubkan ialah kenyataan-kenyataan ahli politik pembangkang Turki, yang mempunyai banyak alasan untuk Erdogon dijatuhkan, sedang mereka itu sendiri telah dikalahkan oleh Erdogan. Namun pemimpin parti terbesar Turki, Kemal Kalicdaroglu dari parti People's Republican Party (CHP), mengeluarkan kenyataan serta-merta menentang kudeta itu beberapa kali dalam tweet, mengatakan negara Turki telah "banyak menderita" dalam semua rampasan kuasa militari sebelum ini.

Dua pemimpin parti AKP yang liberal yang telah dipecat dan diganti oleh Erdogan, kini menyokong Erdogan. Bekas Presiden Turki, Abdullah Gul memberitahu CNN Turki bahawa  "Turki bukan negara Latin Amerika... Saya menyeru mereka yang mahu merampas kuasa, perlu kembali ke berek masing-masing".

Bekas Perdana Menteri, Turki Ahmet Davutoglu berkata kepada Al-Jazeera: "Turki adalah sebuah demokrasi... saya percaya kudeta ini akan gagal. Tidak harus ada percubaan mengancam kestabilan Turki. Kita sedang berdepan dengan krisis yang banyak di Syria dan rantau yang lain. Sudah sampai masanya membina solidariti dengan rakyat Turki... Sekarang rakyat dibeberapa kota sedang turun ke jalan raya, berada di medan menentang percubaan kudeta itu".

Semua rakyat boleh melihat apa kesepakatan Barat terhadap Erdogan yang tidak dapat dilihat oleh negara Barat. Bahawa proses adalah lebih penting dari individu. Bahawa rakyat Turki percaya atau tidak , siap bertempur dan mati untuk mempertahan hak mereka untuk memilih Presiden, walaupun majoriti tidak mahu menerima kuasa yang berlebihan kepada  Presiden.

Reaksi rakyat Turki Jumaat malam itu adalah petanda sebuah demokrasi yang matang. Reaksi Barat pula terhadap percubaan kudeta itu adalah sebuah reaksi demokrasi yang korup yang ditandai oleh rekod sejarah yang menyokong pemerintah militari dan otokratik .

Erdogan mengguna iPhone dan tersebar secara viral di media sosial. Beliau menyeru rakyat turun ke jalan raya. Mereka mendengar gesaannya dengan risiko nyawa mereka mungkin terancam.

Ternyata iPhone telah menumpaskan kereta kebal.

Turki terbukti bukan Mesir. Jika ada pengajaran yang boleh diambil oleh era hitam demokrasi di Timur Tengah, ia adalah rakyat Mesir yang kini terus terhimpit oleh pemerintah militari yang otokratik yang kononnya melalui revolusi kedua apabila Sisi merampas kuasa daripada Morsi.

Regim otokratik di rantau Timur Tengah mungkin cemas kerana kuasa demokratik rakyat boleh mengalahkan tentera, dan dengan itu mampu menjatuhkan mereka pula.

Tahniah Dan Syabas Kebaranian Ahli Parlimen Serta Adun Pas Selangor

Posted: 19 Jul 2016 07:33 AM PDT





 
Oleh DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR


1.Tahniah saya ucapkan kepada Ahli Parlimen (AP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Selangor atas keberanian mengambil ketetapan mengeluar kenyataan menyokong saranan gencatan senjata dan kompromi antara parti pembangkang yang dicadangkan oleh Datuk Ust Tuan Ibrahim Tuan Man Timbalan Presiden Pas.

2.Langkah berani MP dan ADUN Pas Selangor mengambil ketetapan tersebut menunjukkan pandangan jauh mereka betapa pentingnya Pas kembali bersama pakatan parti parti pembangkang.Gencatan senjata yang disarankan Tuan Ibrahim adalah sangat penting bagi mengelak pesepsi negatif rakyat terhadap Pas dan parti parti pembangkang.

PANDANG KEHADAPAN

3.Kenyataan berani MP dan ADUN Pas Selangor kerana menyedari bukan sahaja parti pembangkang menyerang Pas tetapi Pas juga menyerang rakan parti pembangkang yang lain sebelum ini dengan mengistihar parti pembangkang musuh pas.Sokongan mereka untuk gencatan senjata dan kompromi dikalangan parti pembangkang adalah satu perakuan dan penerimaan yang baik terhadap keujudan parti parti pembangkang yang ada walaupun sebelum ini parti parti ini dianggap oleh Pas sebagai mengkianati Pas.

4.Amanah,Dap dan Pkr bergabung menentang Pas dalam  dua Prk baru baru ini tetapi semua menyedari tidak berkesudahan berantakan sesama pembangkang sedangkan Najib dan Umno Bn senyum sampai ketelinga. semua pehak dikalangan parti parti pembangkang perlu berjiwa besar  mengakui kelemahan dan kesilapan dalam tidakkan dan perkataan.Demi Malaysia dan rakyat yang mengharapkan perubahan pada masa depan negara gencatan senjata dan kompromi dikalangan parti pembangkang dan kembali kepada meja perundingan dan bukannya terus kekal dengan perbalahan adalah satu keperluan.

5.Persoalannya kenapa tidak diambil ketetapan itu atas nama Badan Perhubungan Pas Selangor.Dimana suara keberanian Dewan Ulamak,Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat negeri Selangor.Sokongan terhadap cadangan Tuan Ibarahim bukan untuk kepentingan mereka yang bergelar wakil rakyat tetapi untuk servival masa depan Pas di persada politik negara.Kepimpinan Pas pusat juga tidak seharusnya melihat cadangan Tuan Ibrahim sebagai pandangan peribadi beliau kerana pandangan tersebut tidak mendatangkan mudharat kepada Pas sebaliknya untuk membawa kembali Pas ke arus perdana politik negara bersama rakan rakan pembangkang yang lain.

JANGANG PUTUS ASA JADILAH PENYELAMAT

6.Kepada Wakil rakyat Pas Selangor teruskan usaha untuk merealisasikan pendirian dan ketetapan gencatan senjata dan kompromi yang saudara telah buat.Walaupun ada yang menganggap anda lebih sayangkan jawatan dari sayangkan Islam dan takut kalah dalam pru14 dari takutkan akhirat.   hulurkan tali penyelamat untuk keluarkan mereka yang berada dalam perigi buta kealam nyata seperti yang diungkap oleh YB Datuk Iskandar Naib Presiden dan Pesurujaya Pas Selangor di facebooknya.

7.Saya menyeru Pas dan parti parti pembangkang mengubah pesepsi rakyat yang melihat parti pembangkang  dengan imej perbalahan sesama sendiri kepada pembangkang adalah parti perubahan masa depan.Ubahlah pesepsi rakyat dari pembangkang sebagai parti yang suka bergaduh kepada parti yang bersangka baik dan melaksanakan seruan penyatuan,kebaikkan dan keadilan sebagai tunggak perubahan.Berubah lah dari dilihat sebagai parti yang mementing parti sendiri kepada parti yang mementing dan mengutamakan rakyat dan Malaysia tercinta. Jangan kita kekal dalam kebebalan.Jangan simpan kesilapan dan kebodohan tetapi belajarlah dari kesilapan dan kebodohan untuk melangkah gagah dengan kebijaksanaan untuk menempah kejayaan dengan izin Tuhan.

#DemiMalaysia
#BerjiwaMalaysia
#CintailahMalaysia
#SelamatkanMalaysia

* DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR, Anak Malaysia Ahli Parlimen Pokok Sena

Peningkatan Mendadak Pengambilan Vaksin Susulan Difteria - KP Kesihatan

Posted: 19 Jul 2016 07:28 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mencatat peningkatan mendadak dalam pengambilan vaksin lima serangkai yang lengkap bagi melindungi bayi dan kanak-kanak daripada pelbagai jangkitan penyakit di kesemua klinik dan hospital susulan tercetusnya kes difteria di negara ini bulan lepas.

Peningkatan mendadak itu dikesan berikutan penularan virus difteria dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa dengan kes terbaharu membabitkan seorang suri rumah berusia 41 tahun di Rembau, Negeri Sembilan pada Ahad lepas.

Daripada 15 kes yang dikesan sehingga kini, tiga kes dengan satu kematian dilaporkan di Melaka, Kedah (tujuh kes, satu kematian), Sabah (empat kes, tiga kematian) dan Negeri Sembilan satu kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu Bernama di sini bahawa berkata program imunisasi mewajibkan pengambilan vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib dalam kalangan bayi berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan bagi mengelak dijangkiti difteria, pertusis, tetanus, polio dan haemophilus influenzae Type B.

"Kementerian Kesihatan menerima laporan dari lapangan bahawa lebih ramai ibu bapa dan penjaga tampil ke fasiliti kesihatan kerajaan mahu pun swasta untuk mendapatkan suntikan imunisasi ini," katanya tanpa menyatakan jumlah peningkatan pengambilan vaksin itu setakat ini.

Mengenai wanita yang dijangkiti virus difteria walaupun telah diimunisasi semasa kecil, Dr Noor Hisham berkata memandangkan wanita itu telah diimuniasi, beliau hanya mengalami jangkitan difteria yang ringan.

"Selepas enam tahun imunisasi lengkap diberikan, paras antibodi yang terbentuk dalam tubuh akan mula mengurang. Namun, sel-sel memori yang spesifik terhadap penyakit difteria yang akan membantu pembentukan antibodi dengan cepat sekiranya mendapat jangkitan di masa hadapan.

"Apabila sejumlah besar bakteria Corynebacterium Diphtheria masuk ke dalam tubuh penerima imunisasi lengkap, antibodi yang terhasil mungkin tidak mencukupi bagi melawan jangkitan itu...tetapi mereka hanya akan mengalami gejala ringan dan terhindar daripada komplikasi penyakit,"jelasnya.

Menurutnya penyakit difteria boleh menyerang orang dewasa atau kanak-kanak dan risiko seseorang untuk mendapat penyakit berkenaan bergantung kepada status imunisasi mereka.

"Risiko jangkitan dalam kalangan mereka yang mendapat imunisasi lengkap adalah lebih rendah. Sekiranya dia dijangkiti, kebiasaannya gejala itu ringan," katanya.

"Bagi yang tidak mendapatkan imunisasi lengkap, dia akan cenderung mendapat gejala lebih teruk dan mengalami komplikasi yang boleh menyebabkan kematian," katanya.

Dr Noor Hisham berkata Program Imunisasi Kebangsaan pada masa ini hanya memberi fokus kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ke bawah bagi memastikan mereka menerima imunisasi lengkap kerana kumpulan itu berisiko tinggi mendapat gejala difteria teruk hasil daripada penghasilan toksin.

"Kadar kematian akibat jangkitan difteria dalam kalangan kanak-kanak juga lebih tinggi dengan mencecah 25 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun," katanya.

Menurutnya difteria juga boleh berjangkit daripada pesakit kepada orang lain melalui udara dan sentuhan langsung selain boleh menyebarkan penyakit melalui objek yang dicemari bakteria Corynebacterium.

Beliau juga mengingatkan bahawa pembawa bakteria difteria yang tidak menunjukkan tanda dan gejala boleh merebakkan penyakit itu kepada orang lain.

Selain tidak mendapat imunisasi difteria lengkap, banyak punca yang menyebabkan penularan penyakit itu termasuk pesakit tidak mengetahui mengenai difteria hingga mereka gagal mendapatkan rawatan awal dan berdepan risiko komplikasi serta menyebarkan bakteria dalam kalangan masyarakat.

"Kadang kala, pesakit yang mempunyai gejala ringan difteria tidak diisolasi dan bergaul rapat dengan masyarakat umum terutama kumpulan yang berisiko tinggi khususnya individu yang mempunyai daya ketahanan tubuh rendah seperti pesakit kanser yang sedang menerima rawatan kemoterapi, pesakit HIV/AIDS dan pesakit yang menjalani rawatan steroid jangka masa panjang," jelasnya.

Dr Noor Hisham juga berkata penularan virus boleh berlaku dalam kalangan warga tua kerana pengurangan paras antibodi dan penurunan daya ketahanan tubuh, bayi yang masih kecil dan belum layak menerima imunisasi difteria, pesakit yang tinggal atau berada lama di tempat sesak, kurang pengudaraan dan pencahayaan semulajadi yang memudahkan penularan penyakit.

Selain itu, pesakit dan kontak juga tiada amalan kebersihan diri seperti tidak mengamalkan etika batuk atau bersin yang betul, tidak membasuh tangan dengan betul serta kontak rapat enggan menerima rawatan profilaksis antibiotik bagi mencegah kejadian penyakit difteria.

"Pesakit yang mengalami gejala dan tanda awal difteria perlu segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan dengan rawatan antitoksin diberikan segera kepada kes yang disyaki difteria tanpa menunggu keputusan ujian makmal.

"Rawatan antibiotik turut dimulakan dan pesakit perlu diasingkan bagi mengurangkan risiko penularan penyakit. Kontak rapat pula akan diberikan antibiotik profilaksis bagi mencegah kejadian penyakit," katanya sambil memberitahu orang dewasa boleh mendapatkan imunisasi difteria di fasiliti kesihatan swasta dengan kadar bayaran tertentu.
 
 

Belum Ada Permohonan Permit Daripada Penganjur Konsert Selena Gomez - Azmin

Posted: 19 Jul 2016 07:27 AM PDT

Oleh: ALLISON LAI
 
 
Selena Gomez
 
 
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) masih belum menerima sebarang permohonan permit daripada penganjur konsert Selena Gomez, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Sehingga minggu lepas, MBSA masih belum menerima sebarang permohonan daripada penganjur. Sebaik sahaja ia diterima, MBSA akan meneliti permohonan itu.

"Jika ia memenuhi syarat-syarat, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah mengeluarkan permit," kata Menteri Besar Selangor selepas menghadiri rumah terbuka MBSA di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan mengenai bantahan Pemuda PAS terhadap konsert jelajah artis itu, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati di sini pada 25 Julai.

Azmin berkata tumpuan tidak sepatutnya diberikan terhadap penampilan penyanyi itu,  yang dianggap parti Islam itu sebagai 'seksi'.

Pengerusi Lajnah Dakwahnya, Hafez Sabri mendakwa bahawa penampilan seksi penyanyi Amerika itu akan mencemarkan kesucian bulan Syawal, ketika umat Islam menyambut Hari Raya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal apabila pihak berkuasa tempatan telah meluluskan penganjuran konsert itu.
 
 

Jumlah Mangsa Banjir Di Kedah Meningkat Sebelah Petang

Posted: 19 Jul 2016 07:24 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Seorang kanak-kanak bersama kakaknya menaiki bot akibat banjir yang melanda di Kampung Yan Kechil, Selasa. Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 409 orang berbanding 179 orang pagi tadi, dengan tujuh pusat pemindahan masih beroperasi sementara tiga telah ditutup. Ia melibatkan 101 keluarga dari dua daerah iaitu Kuala Muda dan Yan. -fotoBERNAMA
 
 
ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di negeri ini meningkat kepada 480 orang setakat 4 petang berbanding 409 orang pada sebelah pagi, dengan 10 pusat pemindahan masih beroperasi dan empat ditutup.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar (PA) Imran Azemi berkata jumlah itu meliputi 123 keluarga di daerah Yan, Kuala Muda dan Baling.

Bagi Daerah Yan, jumlah mangsa yang ditempatkan di Surau Kampung Teroi Bukit kekal 100 orang, Masjid Titi Teras (38), Surau Nurul Huda Kampung Batu 18 1/2 (18), Surau Kampung Batu 22 (70) dan Dewan Orang Ramai Kampung Setar (10).

Di Kuala Muda, jumlah mangsa yang ditempatkan di Dewan Keda dan Surau Kampung Tepi Sungai menurun kepada 177 orang berbanding 217 orang pagi tadi, Surau Kampung Sungai Rotan (8) dan Surau Kampung Guar Stesen (15).

Di Baling, Dewan Orang Ramai Macang Bubuk menempatkan 44 orang daripada sembilan keluarga. Empat pusat pemindahan yang ditutup ialah Surau Kampung Seputeh dan Surau Kampung Tawar di Baling serta Surau Kampung Lubuk Boi dan Surau Kampung Batu 5 Jalan Jeniang di Yan berikutan air semakin surut

TMJ Perlu Serah Bukti Rasuah - SPRM

Posted: 19 Jul 2016 07:22 AM PDT

Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM
 
 
 
 
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa menyarankan supaya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyerahkan segala maklumat berkaitan skandal rasuah dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan susulan.

"Berhubung dakwaan Tunku Ismail bahawa beliau mempunyai pendrive yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung rasuah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),  SPRM mengalu-alukan beliau menyerahkan butiran berkaitan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang jika terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009.

"Sekiranya terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, pihak SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Terdahulu,  pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim turut menggesa Tunku Ismail membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut.

"Jika benar beliau ada bukti, laporan segera perlu dibuat kepada pihak berkaitan sama ada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dakwaan itu adalah satu jenayah serius," katanya.

Menurut Kay Kim, Tunku Ismail perlu memberikan kerjasama kepada  pihak berkuasa kerana beliau sudah menguar-uarkan dakwaan itu mengenai ketirisan dalam FAM kepada umum.

"Beliau perlu beri kerjasama dengan menyerahkan segala maklumat dan bukti yang ada padanya. Jika sekadar cakap-cakap sahaja tapi tak nak beri kerjasama, itu dah dikira satu kesalahan," katanya.

Pada Isnin, Tunku Ismail mendakwa mempunyai pendrive yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung ketirisan dan salah laku FAM yang berlarutan selama 30 tahun.

Pemimpin PKR Bincang Pilihan Raya Mengejut Malam Ini

Posted: 19 Jul 2016 05:35 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
GEORGE TOWN: Pemimpin-pemimpin PKR akan bermesyuarat malam ini di ibu pejabatnya di Petaling Jaya dipercayai bagi membincangkan hal-hal politik termasuk kemungkinan diadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I dan anggota Biro Politik PKR Datuk Rashid Hasnon  berkata ia adalah mesyuarat biasa dalam biro politik bagi membincangkan semua perkara politik.

"Saya akan hadiri mesyuarat bersama pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman dan jika isu pilihan raya mengejut ditimbulkan, saya harap ia sesuatu untuk penambahbaikan dan sebagai opsyen bagi kami melawan Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang di sini Selasa.

Beliau berkata parti itu berhasrat menyatukan kumpulan pembangkang untuk berganding bahu melaksanakan idea satu lawan satu dalam plihan raya.

Rashid enggan mengesahkan sama ada isu pilihan raya mengejut termasuk dalam agenda mesyuarat itu yang akan dihadiri oleh presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan setiausaha agung Rafizi Ramli.

Rata-rata, pilihan raya mengejut itu dilihat sebagai langkah untuk mengesahkan kedudukan Ketua Menteri Lim Guan Eng ekoran daripada dakwaan rasuah terhadapnya.
 
 

Pembangkang: Kami bersedia hadapi PRU bila-bila masa

Posted: 18 Jul 2016 11:08 PM PDT

Pakatan Harapan melakukan penyelarasan dan penambahbaikan serta memantau prestasi wakil rakyat sedia ada.


pakatan-harapan-1


PETALING JAYA: Pakatan Harapan giat menjalankan persiapan pilihan raya umum (PRU) ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa sahaja dengan tumpuan diberikan terhadap pengukuhan kawasan pilihan raya, mengumpul maklum balas rakyat serta pemilihan calon.

PKR, DAP dan Amanah senada bersiap sedia kemungkinan PRU14 diadakan tahun depan dengan memfokuskan kerja mendapatkan maklum balas dan memahami keperluan rakyat sebelum melakukan penyelarasan dan penambahbaikan, di samping memantau prestasi wakil rakyat sedia ada.

Ahli Jawatankuasa Amanah, Dr Hatta Ramli dipetik China Press berkata, disebabkan tidak tahu bila PRU14 akan diadakan, persiapan dalaman bermula dengan mengumpul maklum balas pengundi dan pemilihan calon bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

"Walaupun kami adalah parti baharu, tetapi ahli tidaklah baharu, kebanyakan adalah (pemimpin) 'tua' yang mempunyai banyak pengalaman berdepan PRU," katanya.

Sementara itu, Bendahari Agung PKR, Datin Paduka Tan Yee Kew menegaskan pemilihan calon PRU memfokuskan pemantauan terhadap prestasi wakil rakyat sedia ada dan memilih muka baharu.

"Sebanyak 30 kawasan pilihan raya memerlukan perhatian khas disebabkan kemenangan atau kekalahan tipis di kawasan terbabit pada pilihan raya terdahulu," katanya.

Naib pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PKR itu berkata, parti terbabit turut menubuhkan banyak cabang di kawasan kampung dan memastikan mereka mempunyai petugas mencukupi meraih undi dan memantau proses pengundian.

Tambahan, PKR turut memperkenalkan satu siri ceramah "Maruah Melayu" untuk meningkatkan kesedaran politik di kalangan masyarakat Melayu.

Dalam pada itu, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, kajian terhadap isu-isu, propaganda dan kehendak rakyat sedang dijalankan sebagai persiapan awal terhadap PRU14.

Selepas 3 minggu, wanita insiden stesen minyak meninggal dunia

Posted: 18 Jul 2016 11:04 PM PDT

 
Difahamkan, mangsa berusia 25 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman.


T. Sarishna


PETALING JAYA: Seorang wanita yang disambar api ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Setapak tiga minggu lalu, meninggal dunia Sabtu lalu, China Press melaporkan.

Mangsa yang melecur 60% di badannya menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur sejak tiga minggu lalu dan difahamkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

Kejadian itu berlaku pada 28 Jun lalu, apabila mangsa berusia 25 tahun menjawab panggilan telefon ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Taman Setapak Indah, Setapak.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail dilaporkan sebagai berkata, pakaian mangsa hampir terbakar keseluruhannya dengan kesan melecur di badan, dada dan beberapa bahagian lain.

Beliau berkata, mangsa masih sedar dan mampu memberi maklumat peribadinya kepada anggota bomba sebelum dikejarkan ke hospital.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa membuka pintu kiri belakang dan mengambil telefon bimbit yang berdering di tempat duduk hadapan kereta ketika beliau mengisi petrol.

Pemimpin DAP mohon maaf kepada Ibrahim Ali

Posted: 18 Jul 2016 11:02 PM PDT

 
Kes saman Ibrahim Ali terhadap Ariff Sabri diselesaikan di luar mahkamah


ibrahim-ali-1


PETALING JAYA: Datuk Mohd Ariff Sabri hari ini membuat kenyataan maaf kepada Datuk Ibrahim Ali selepas presiden Perkasa itu mengheretnya ke mahkamah atas tuduhan fitnah.

Ahli Parlimen Raub itu pada 29 September tahun lalu menerusi blognya bertajuk "Keadaan Negara Kita Hari Ini-Siri 2″ mendakwa Ibrahim dilantik sebagai ahli lembaga pengarah George Kent, syarikat yang diberi kontrak pembinaan LRT.

"Dengan ini, saya menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada Datuk Ibrahim Ali untuk segala kesan dan akibat yang timbul daripada kenyataan tersebut.

"Saya kesal dengan kenyataan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan bertulis hari ini.

Kes berjaya diselesaikan di luar Mahkamah Shah Alam.

Semakan FMT di blog Ariff mendapati artikel berkenaan sudah dipadam.

Ariff sebelum ini memanggil Ibrahim "tin kosong" ketika mendakwa dia dilantik sebagai pengarah syarikat.

Susulan dakwaan itu, Ibrahim menyaman ahli Parlimen DAP itu dengan nilai RM10 juta.


Pusat pemindahan banjir kedua di Teluk Kumbar

Posted: 18 Jul 2016 10:41 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGETOWN: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara dibuka pagi ini di daerah Barat Daya bagi menempatkan mangsa banjir di Teluk Kumbar, dekat sini, berikutan hujan yang kembali lebat di kawasan itu.
 
Pusat pemindahan sementara di Dewan Gerakan Masyarakat Teluk Kumbar itu menempatkan 19 orang daripada lapan keluarga. Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah Barat Daya dalam kenyataan berkata, setakat jam 6.15 pagi ini, seramai 30 mangsa banjir daripada 13 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara.
 
Sebelas orang daripada lima keluarga ditempatkan di Perpustakaan Komuniti Siber Ilmu, Teluk Bahang manakala selebihnya di Teluk Kumbar. Hujan kembali lebat di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang awal hari ini dengan air laut pasang.
 
Cuaca keseluruhan di Pulau Pinang pagi ini mendung dengan hujan yang sesekali lebat. Hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di Pulau Pinang termasuk Bayan Lepas, Batu Maung, Relau dan Teluk Bahang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dilanda banjir. 
 
 

DAP tangguh pemilihan parti

Posted: 18 Jul 2016 10:38 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: DAP menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti itu bagi membenarkan ia memberi tumpuan kepada pilihanraya umum akan datang.
 
Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke berkata perkara itu sebulat suara diputuskan oleh majlis eksekutif pusat parti (CEC) pada mesyuaratnya malam tadi.
 
CEC perlu melakukan pemilihan semula pada 29 September, tetapi perlembagaan parti membolehkan pemilihan dalaman itu ditangguhkan sehingga 18 bulan jika pilihanraya umum perlu dilaksanakan dalam masa dua tahun.
 
Loke berkata parti itu akan meneruskan konvensyen tahunan pada tahun ini iaitu pada 4 Disember.
 
Pemilihan DAP ditunggu banyak pihak kerana tempoh Lim Guan Eng memegang jawatan sebagai setiausaha agung akan berakhir setelah berkhidmat selama dua penggal.
 
Bagaimanapun, Lim masih boleh bertanding bagi jawatan dalam CEC.
 
Ketua menteri Pulau Pinang itu kini berada di bawah tekanan selepas menghadapi dua tuduhan rasuah.
 
DAP bukan satu-satunya parti yang menangguhkan pemilihan parti sementara menunggu pilihanraya umum akan datang.
 
Umno dan MCA turut menangguhkan pemilihan parti masing-masing sehingga pilihanraya umum ke-14 yang perlu diadakan menjelang Ogos 2018.
 
 

PKR belum buat keputusan mahu bersama parti Tun Mahathir atau tidak

Posted: 18 Jul 2016 10:37 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PKR belum membuat keputusan mahu bekerjasama atau tidak dengan parti baru yang bakal dibentuk oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, sebarang keputusan untuk bekerjasama tertakluk kepada agenda dan ideologi parti berkenaan.
 
"Sekiranya setuju dengan agenda reformasi yang kami bawa, tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau individu," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Taman Puchong Utama dekat Puchong hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian PKR selepas Dr. Mahathir baru-baru ini mengumumkan bakal menubuhkan parti baru mesra parti pembangkang.
 
Terdahulu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyatakan perkara yang sama selepas ditanya adakah PKR akan bersama parti baru itu.
 
Wan Azizah juga dilaporkan berkata partinya akan mengadakan perbincangan serius mengenai pelawaan Tun Mahathir untuk bersama membentuk pakatan baru bersama parti pembangkang yang lain.
 
"Setakat ini, kita hanya ambil pendekatan tunggu dan lihat dulu. Kita hendak tahu juga siapa pemimpin parti baharu itu, kerana apa yang difahamkan, Tun (Dr Mahathir) tidak mahu jadi presidennya. 
 
"Kita juga perlu menilai apa matlamat parti baharu itu. Kalau ada persamaan, mungkin kita boleh kerjasama," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Permatang Pauh di Dataran Rakyat pada Sabtu lalu.
 
 

Hadi sudah sedia bentang RUU Mahkamah Syariah

Posted: 18 Jul 2016 10:36 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan beliau sudah bersedia untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah di Parlimen yang dijadualkan berlangsung Oktober depan.
 
"Persediaan usul ini dilakukan sejak 1957 lagi dan banyak hujah kuat telah disediakan. Saya hanya menyambung perjuangan itu.
 
"Ini hak orang Islam. Kalau masyarakat bukan Islam ada hak untuk menganut agama masing-masing, maka orang Islam ada hak untuk pertahankan agama mereka," katanya pada sidang media di majlis himpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, malam kelmarin.
 
Katanya, pihaknya telah bertemu dengan NGO-NGO Islam di negara ini untuk mendapatkan sokongan.
 
"Kita turut berdialog dengan pelbagai pihak, termasuk DAP.
 
"Mereka (DAP) telah buat kenyataan untuk tidak bersetuju dengan apa yang cuba kita bawa ke Parlimen. Tapi mereka tidak boleh menghalang kita," katanya.
 
Abdul Hadi berkata, usul yang diketengahkan itu bukanlah tuntutan PAS semata-mata, tetapi keseluruhan umat Islam di negara ini.
 
"Ini adalah tanggungjawab orang Islam untuk menaik taraf bidang kuasa mahkamah syariah yang (kini) lebih rendah daripada mahkamah majistret, sedangkan Islam adalah agama rasmi di negara ini," ujarnya.
 
Sebelum ini, timbul beberapa pertikaian membantah perlaksanaan Akta 355 dalam kalangan masyarakat bukan Islam dan segelintir pemimpin Islam.
 
Katanya, perlaksanaan Akta 355 hanya akan melibatkan orang Islam.
 
"Mahkamah syariah tidak melibatkan orang bukan Islam, jadi mereka tidak perlu menentang.
 
"Tapi (yang) lagi pelik (adalah) apabila melihat orang Islam sendiri menentang Akta 355 ini. Mereka (orang Islam) lebih menyokong bukan Islam," katanya lagi.
 
Mei lalu, Hadi telah membentangkan RUU untuk meluluskan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
 
Walaupun perkara dibentangkan itu melibatkan pindaan Akta 355 dan bukannya hudud, namun ia sekali gus memberi ruang kepada mahkamah syariah meningkatkan hukuman berbanding sedia ada.
 
Buat masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
 
Abdul Hadi turut mencadangkan usul di bawah peraturan mesyuarat 15(5) dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
 
 

Pemandu lori pasir rempuh kereta dicekup polis

Posted: 18 Jul 2016 10:27 PM PDT

 
 


Seorang pemandu treler membawa muatan pasir yang menghilangkan diri selepas lorinya terbalik dan merempuh empat kereta menyebabkan seorang terbunuh di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ditahan polis malam.
 
Bagaimanapun, identiti suspek masih belum didedahkan polis.
 
"Pemandu lori sudah ditangkap malam tadi," kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
 
Beliau juga tidak mengulas mengenai tempoh reman ke atas suspek itu.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, lori berkenaan hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan yang menghala ke Ampang sebelum merempuh empat kenderaan lain dan terbalik.
 
Pemandu lori yang berjaya meloloskan diri diburu polis untuk disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Ali mengesahkan pemandu kereta Toyota Camry, 51, yang bersal dari Sungai Petani, Kedah maut akibat kecederaan parah di kepala dan dibedah siasat di Hospital Selayang.
 
Katanya, tiga lagi pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan. - MalaysiaGazette

Pemandu lori enaan berjaya meloloskan diri

Lapangan Terbang Antarabangsa Penang dilanda banjir kilat

Posted: 18 Jul 2016 10:25 PM PDT

 
 
Air setinggi 0.3 meter di kawasan menunggu di pintu masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
Air setinggi 0.3 meter di kawasan menunggu di pintu masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
 
\
 



Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dinaiki air dalam kejadian banjir kilat kira-kira jam 4 petang tadi.

Air turut masuk melimpah masuk di sekitar balai ketibaan menyebabkan ribuan penumpang dan orang ramai yang berada di situ diarah ke lokasi lebih selamat.

Kejadian banjir kilat itu juga turut mengendalakan beberapa penerbangan dari PIA ke destinasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan (KLIA 2).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer menyalahkan Kerajaan Persekutuan kerana gagal merancang pembinaan PIA mengikut piawaian ditetapkan sehingga berlaku banjir di kawasan lapangan terbang itu.

Dalam status laman sosial Facebooknya, Rayer menulis, satu lagi projek Barisan Nasional (BN) hanya di Pulau Pinang.

Beliau menyindir rekabentuk PIA yang dibina oleh kerajaan BN tidak menepati piawaian kerana air boleh memasuki kawasan lapangan terbang itu jika berlaku banjir kilat.

Bagaimanapun, ramai netizen yang juga rakyat Pulau Pinang menyalahkan kerajaan DAP negeri itu yang sebenarnya gagal menyelenggara sistem perparitan di sekitar PIA. -- MalaysiaGazette


500 pemandu pelancong fasih bahasa Mandarin diperlukan

Posted: 18 Jul 2016 10:14 PM PDT

 
 
Uzaidi Udanis
Uzaidi Udanis
 
 
Sektor pelancongan di negara ini memerlukan kira-kira 500 pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin dengan segera bagi menampung kekurangan bakat tersebut.

Kekurangan itu perlu diisi bagi menampung keperluan kehadiran para pelancong China ke Malaysia.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, mengikut data Persatuan Pemandu Pelancong di Malaysia, setakat ini hanya 993 pemandu pelancong fasih berbahasa Mandarin telah berdaftar.

"Bagi kami angka itu tidak cukup untuk kita menyediakan kemudahan dan maklumat komprehensif mengenai pakej dan lokasi percutian menarik di Malaysia.

"Kita memerlukan lebih 500 lagi pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin untuk kemudahan pengunjung dari China.

"Lagipun sebahagian daripada jumlah sedia ada itu, sebilangan besar yang kerja separuh masa sebagai pemandu pelancong," katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang di sini.

Katanya, masalah kekurangan pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin dikesan sejak awal tahun ini.

Tambah beliau, pihaknya sudah merujuk masalah berkenaan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mencari jalan penyelesaian.

Beliau memberitahu, sejak bulan Jun dan Julai ini kehadiran pelancong dari China sangat luar biasa dan menakjubkan walaupun berlaku pelbagai insiden dan ancaman di negara ini.

"Peningkatan ini menyebabkan kami berhadapan dengan masalah pemandu pelancong, selain jumlah bas pelancong juga tidak mencukupi," katanya.

Uzaidi berkata, setiap tahun seramai dua juta pelancong China bercuti di negara ini dan dengan kelonggaran pemberian viza untuk pelancong China, diunjur akan meningkatkan kehadiran mereka kepada lapan juta.

"Sejak beberapa bulan lepas terdapat 4,800 kumpulan pelancong China dengan 10,000 orang sekali masuk dalam satu-satu kumpulan dan ini satu angka yang besar.

"Bermula Julai hingga September merupakan musim percutian untuk pelancong China dan mereka akan membanjiri Malaysia. Jadi kami perlu fokus dalam kualiti kemudahan terbaik untuk mereka," tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyangkal penyebaran khabar angin bahawa para pelancong membatalkan pakej percutian mereka ke Malaysia dengan bimbang tentang ancaman Kumpulan IS di Malaysia.

"Kami boleh disahkan tidak ada mana-mana pelancong dari pelosok dunia termasuk China yang membatalkan percutian mereka ke sini atas alasan ancaman Kumpulan IS.

"Ini kerana ketika ini, mereka sudah mula membanjiri Malaysia dan banyak penerbangan sewa sudah mula memasuki negara dengan pelancong China," tambahnya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: