Sabtu, 16 Julai 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Gerakan: Lim, Nga kena belajar dari 'Superman DAP'

Posted: 16 Jul 2016 06:52 AM PDT

MALAYSIAKINI


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming perlu belajar daripada bekas ahli parti itu Hew Kuan Yau yang melepaskan jawatan ekoran kenyataan kontroversinya.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, Hew mengambil tanggungjawab itu selepas mengeluarkan kenyataan bahawa Laut China Selatan yang menjadi pertikaian beberapa negara adalah milik China.

"Mereka berdua (Lim dan Nga) perlu belajar dari Hew yang mengambil tanggungjawab terhadap perkara itu.

"Kami (Gerakan) tidak bersetuju dengan Hew tapi kami rasa DAP perlu belajar perkara itu," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan hari ini.

Hew yang digelar sebagai 'Superman DAP' sebelum ini melepaskan jawatannya daripada parti itu selepas dibidas teruk kerana mendakwa Laut China Selatan adalah miliki China.

Beliau dikritik kerana didakwa tidak patriotik sedangkan Malaysia sendiri menuntut sebahagian daripada perairan dan wilayah yang dikenali sebagai 'sembilan-sempang'.

Berbeza dengan Hew, Lim yang berdepan dua tuduhan rasuah masih kekal sebagai ketua menteri Pulau Pinang selepas Exco kerajaan negeri memutuskan beliau tidak perlu meletakkan jawatan.

DAP juga tidak mengambil tindakan terhadap Nga yang didakwa menghina sambutan Aidilfitri baru-baru ini selepas menerima penjelasannya.

Mengulas lanjut, Tan juga menegaskan bahawa dalam DAP, "pemimpin berjawatan kecil" terpaksa meletakkan jawatan manakala "pemimpin besar" dilindungi oleh parti.

"Hanya kes-kes yang melibatkan pemimpin kecil, mereka (DAP) mendesak beliau (pemimpin kecil) meletakkan jawatan, tetapi pemimpin-pemimpin berjawatan besar dalam DAP semua dilindungi.

"Saya rasa ini adalah sesuatu perkara yang kita kena tengok dalam DAP," tegasnya.

Sementara itu Tan turut mengingatkan bahawa mereka menghormati kebebasan bersuara, DAP perlu lebih sensitif dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Mereka adalah pemimpin sebuah parti politik. Mereka tidak boleh membuat kenyataan sensitif yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia," katanya.




Polis sentiasa pantau, elak kejadian tidak diingini

Posted: 16 Jul 2016 06:44 AM PDT

Nur Jazlan
Nur Jazlan


JOHOR BAHRU - Kerajaan sentiasa memantau aktiviti pengganas menerusi risikan yang dijalankan pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ini berikutan, kini pelbagai cara digunakan oleh pihak pengganas untuk melakukan kekejaman yang adakalanya tidak dapat dijangka.

Menurutnya, bagaimanapun, setakat ini tahap keselamatan di Malaysia masih selamat dan tidak perlu dibimbangkan.

"Namun, rakyat masih perlu berwaspada serta melaporkan sebarang aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat.

"Apa yang berlaku di Selatan Perancis semalam yang mana pengganas melakukan serangan trak dengan merempuh sekumpulan penduduk yang sedang merayakan Hari Bastille hingga meragut banyak nyawa rakyat negara itu menunjukkan antara tindakan yang tidak dapat dijangkakan oleh pihak penggganas.

"Selain risikan, kerajaan turut menggunakan teknologi dan media sosial terutama facebook untuk mencari rangkaian yang digunakan pengganas untuk berhubung," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Larian Kempas 2016 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kempas Baru, di sini, pagi tadi.

Larian berkenaan melibatkan penyertaan seramai 400 peserta yang bertujuan untuk memupuk semangat kekeluargaan serta cinta akan alam sekitar dan sejarah kawasan Kempas.

Dalam pada itu, mengenai salah guna senjata api yang kerap dilaporkan sebelum ini,  Nur Jazlan memberitahu senjata berkenaan diseludup dari negara jiran oleh kumpulan jenayah atas tujuan tertentu.

"Senjata api dan peluru perlu dilesenkan oleh Ketua Polis Negeri dan salah guna senjata api ini adalah melibatkan mereka yang tidak mempunyai lesen dan diseludup dari negara jiran.

"Polis, bagaimanapun, sentiasa memantau untuk memastikan sindiket penyeludupan senjata api ini dapat dilumpuhkan bagi mengekang aktiviti jenayah," katanya.


Senarai ahli parti baharu tidak benar!

Posted: 16 Jul 2016 06:33 AM PDT

Senarai ahli parti baharu tidak benar!
Gambar dan senarai yang menjadi viral di laman sosial.
 
 
SHAH ALAM - Bekas ahli wanita Umno Langkawi Anina Saadudin, menafikan bahawa beliau salah seorang ahli dalam parti baharu.

Sebelum ini, viral di alam maya melalui satu keratan kenyataan yang mendakwa bahawa Anina merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi dalam sebuah parti baharu yang digelar parti Melayu Baru Bersatu.

Dakwaan itu wujud, dipercayai selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merancang untuk menubuhkan parti politik baharu dalam masa terdekat, dimana seperti yang diketahui umum bahawa Anina merupakan orang kuat Mahathir.

"Tidak benar," tulis Anina dalam kenyataan rasmi di Facebooknya, disertakan dengan senarai ahli parti Melayu Baru Bersatu.

Sementara itu, memetik senarai pimpinan yang kononya digelar parti Melayu Baru Bersatu antara yang disebut berada dalam senarai parti itu ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ,merangkap presiden parti, sementara Timbalan Presiden ialah bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Antara lain, ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menjawab jawatan naib presiden parti

MP PKR perlu ditarbiah kata Umno Selangor

Posted: 16 Jul 2016 06:26 AM PDT

Irmohizam Ibrahim
Irmohizam Ibrahim


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Umno dari Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim menegaskan Ahli Parlimen PKR dari Penampang, Darell Leiking yang mempertikaikan khutbah Aidilfitri di negeri ini perlu ditarbiah agar tidak lagi celupar dalam mengeluarkan kenyataan.

Menurutnya, kedaifan Naib Presiden PKR itu dalam memahami isu dan menghormati agama lain serta institusi diraja perlu disedarkan dengan mengheretnya ke mahkamah.

"Beliau dengan lantangnya berani mengaitkan khutbah tersebut seolah-olah Selangor sedang diuruskan oleh golongan ekstremis hanya kerana kandungan Khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu melafazkan kesyukuran dan memuji Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kerana berjaya membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) di Dewan Rakyat.

"Siasatan terhadap beliau perlu dijalankan kerana dikhuatiri beliau mempunyai niat yang tidak baik seperti mahu menjatuhkan institusi diraja. Tindakan beliau ini hanya mengguris perasaan Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri berlandaskan undang-undang tubuh negeri Selangor dan membangkitkan lagi kemarahan khususnya umat Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2 Syawal lalu, Darell memuat naik status bertanya kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sama ada Timbalan Presiden PKR itu bersetuju dengan kandungan khutbah Aidilfitri tersebut selain mengibaratkan negeri ini ditadbir golongan ekstremis.

Jais dan beberapa NGO di Selangor kemudiannya membuat laporan polis terhadap kenyataan Darell itu.
Dalam pada itu, Irmohizam yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, kenyataan Darell hanya cenderung ke arah sentimen keagamaan dan rasis semata-mata.

"Setiap kenyataan berkaitan agama atau budaya sesuatu kaum yang dikeluarkan, perlulah berhati-hati agar tidak mencetuskan kontroversi. Kita tidak perlu menjadi terlalu emosional dan taksub sehingga mencetuskan pergaduhan dan akhirnya berlaku perselisihan agama.

"Sikap seperti Darrell ini harus dikikis dari hati segenap lapisan masyarakat. Saya mencadangkan agar institusi-institusi pendidikan mula merancang memperbanyakkan program-program yang menjurus ke arah pembentukan silaturahim," katanya.

Sementara Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi mencabar PKR mengambil tindakan segera ke atas naib presidennya itu.

"Demi untuk mengelakkan perkara ini terus berulang lagi, saya mencabar PKR dengan segala kuasa yang mereka ada, supaya tidak hanya berpeluk tubuh dan mengandaikan tindakan Darell itu tidak membawa apa-apa makna atau kesan kepada masyarakat.

"Sebaliknya, PKR khususnya Azmin Ali perlulah dengan seberapa segera untuk mengambil tindakan kepada Darell sebagai pengajaran dan panduan untuk masa mendatang," katanya.

Menurutnya lagi, tidak wajar untuk Azmin sebagai menteri besar di negeri ini membiarkan tindakan Darell itu.

"Saya memilih untuk bersetuju dengan tindakan Jais yang difahamkan telah membuat laporan terhadap Darell mengenai isu tersebut hari ini demi menjaga kedudukan Islam di negeri ini," katanya.

Melalui kemas kini status terbaharu, Darell menyatakan kesediaannya disiasat atas pandangan yang dikeluarkannya itu.

"Sebagai ahli Parlimen dari Sabah, saya mesti mempertahankan Perjanjian Malaysia 1963 dan tentu akan menyoal dan menyuarakan pendapat saya apabila RUU yang diusulkan Ustaz Hadi disokong biarpun oleh Jais.

"Jika mereka tidak hormati pandangan saya, tiada masalah. Mereka boleh soal tapi jangan 'spin'. Saya tidak pernah menyebut nama orang ataupun Sultan (Selangor)," katanya hari ini.


Pemain kebangsaan bersara awal rugikan negara

Posted: 16 Jul 2016 06:20 AM PDT

SINAR  HARIAN
Tengku Abdullah Ahmad Shah
Tengku Abdullah Ahmad Shah
 
 
"IA merupakan satu kerugian kepada pasukan negara," demikian reaksi Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pengumuman empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) bersara daripada skuad kebangsaan.

Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertitah kesemua pemain terlibat sepatutnya berbincang dengan badan induk bola sepak negara tentang masalah yang dihadapi sebelum mengambil tindakan sedemikian.

"Saya kena dapat laporan, saya sendiri pun baharu saja mendapat tahu berita ini. Memang saya tahu kita (pemain) kena bersara suatu hari nanti tetapi kalau nak bersara awal tanpa tahu sebabnya ia merupakan satu kerugian," titah baginda.

Baginda ditemui selepas berangkat menghadiri majlis pengurniaan sumbangan kepada 192 mangsa ribut di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri serta Pegawai Daerah Temerloh Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Sejak Selasa lalu, empat pemain JDT dalam pasukan kebangsaan iaitu Aidil Zafuan Abdul Razak, Safiq Rahim, S Kunalan dan Amirul Hadi mengumumkan persaraan daripada skuad Harimau Malaysia.

Tindakan mereka itu mencetuskan pelbagai tanda tanya dan kebimbangan di kalangan peminat bola sepak negara berikutan khidmat mereka masih diperlukan bagi menguatkan pasukan negara yang kini berada di ranking 167 bola sepak dunia.

Dalam masa yang sama baginda tetap menghormati keputusan empat tunggak utama pasukan kebangsaan itu.

Tengku Abdullah bagaimanapun enggan membuat sebarang andaian berhubung perkara itu, walaupun ada pihak mengandaikan satu usaha untuk 'mensabotaj' FAM.

Berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap empat pemain berkenaan Tengku Abdullah menyatakan baginda menyerahkan perkara itu kepada FAM.

"Elok kemuka terus (soalan) kepada pengurusan tertinggi dan pihak yang berkenaan," titah baginda. - Bernama


Adun Meranti terlibat kemalangan

Posted: 16 Jul 2016 06:17 AM PDT

Adun Meranti terlibat kemalangan
Keadaan kereta yang membawa Mohd Nassuruddin.


TUMPAT - Adun Meranti, Datuk Mohd Nassuruddin Daud terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu, pagi tadi.

Bagaimana pun, beliau terselamat selepas kereta Toyota Camry yang dinaiki beliau berlanggar dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja di Chabang Empat, di sini.

Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, kereta terbabit dipandu pemandunya.

Mohd Nassruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan berkata, ketika kejadian itu dia bersama seorang pemandu dan dua orang lagi dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang.

"Sebaik tiba di Chabang Empat, tiba-tiba kereta yang dinaiki dirempuh oleh sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang remaja lelaki.

"Kejadian itu cukup pantas, dipercayai motosikal itu keluar dari stesen minyak sebelum merempuh bahagian kiri kereta yang kami naiki. Motosikal itu datang dari arah bertentangan," katanya.

Mohd Nassruddin berkata, akibat kemalangan itu, remaja terbabit mengalami  kecederaan di bahagian kaki, tangan dan muka.

"Kemalangan itu mengakibatkan kereta milik kerajaan negeri rosak teruk di bahagian kiri selain remaja terbabit mengalami patah tangan dan kaki.

"Saya berharap remaja terbabit cepat sempuh, saya juga sudah bertemu dengan keluarganya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Kejadian kemalangan itu menyebabkan Mohd Nassrudin membatalkan perjalanannya ke Kuala Lumpur bagi menghadiri program Aidilfitri Perakan Lembah Pantai malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharuddin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.


Parti baru Dr M tamparan buat DAP, PKR dan AMANAH

Posted: 16 Jul 2016 06:14 AM PDT

MALAYSIAKINI


Pergerakan Pemuda UMNO melihat hasrat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu, sebagai tanda ketidakyakinan beliau terhadap parti-parti pembangkang sedia ada.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata kegagalan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, menyebabkan Dr Mahathir terpaksa menubuhkan parti baharu dan tidak boleh bergantung harap kepada parti pembangkang yang lain.

"Kalau beliau yakin dengan rakan-rakan pembangkang beliau yang baharu ini iaitu DAP, PKR dan Amanah, tak perlu beliau tubuhkan parti baharu.

"Ini bagi saya satu tamparan buat DAP, PKR dan Amanah sampai negarawan usia 90 tahun terpaksa keluar daripada persaraan dunia politik untuk tubuhkan parti sendiri," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Gadong, Rembau hari ini, yang dihadiri kira-kira 15,000 tetamu.

Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Di Larut, Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir secara tidak langsung mendedahkan matlamat bekas anggota UMNO itu yang selama ini kononnya berjuang demi parti.

Hamzah berkata penyertaan bekas anggota UMNO dalam parti baharu tersebut jelas menunjukkan mereka merupakan individu yang gilakan kuasa.

"Kami tidak mahu musang yang berbulu ayam dalam parti. Bila Tun Mahathir buat parti baharu, kita nampak dengan jelas siapa yang nak sangat kuasa.

"Sebelum ini mereka beriya kata penyertaan dalam UMNO adalah atas nama perjuangan, tapi sekarang siapa yang tamak nak kuasa," kata Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan 2016 sempena program kepenggunaan Parlimen Larut di Ijok hari ini yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

Sehubungan itu, Hamzah menolak dakwaan bahawa penubuhan parti baharu itu dibuatatas nama kesepakatan bersama pembangkang.

Di Serdang, anggota MT UMNO Tan Sri Noh Omar berkata penubuhan parti baharu tanpa matlamat perjuangan yang jelas tidak akan mampu menyaingi UMNO dalam meraih kepercayaan dan sokongan rakyat.

Beliau berkata walaupun mungkin diterajui bekas individu tersohor dan dikenali seperti Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sesebuah parti baharu mesti mempunyai falsafah dan matlamat perjuangan yang jelas seperti UMNO, bukannya sekadar untuk menjayakan agenda individu tertentu atau atas nama deklarasi rakyat.

"Dalam berpolitik, bila hendak tubuh parti mesti ada falsafah atau matlamat perjuangan dan dalam hal ini apa falsafah dan matlamat perjuangan parti baharu yang kononnya akan digerakkan Tun Mahathir itu.

"Kalau matlamatnya hanya sekadar untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau bagi menjayakan deklarasi rakyat, ia tentunya tidak akan tercapai malah terbukti telah ditolak rakyat seperti ditunjukkan melalui PRN Sarawak dan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini, Noh berkata sejarah juga membuktikan parti tunjang orang Melayu itu akan terus bertahan, malah makin kukuh walaupun pernah tercatat bahawa pengasas penubuhannya iaitu Allahyarham Datuk Onn Jaafar sendiri meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti baharu.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata parti itu juga kekal utuh dan terus diterima rakyat walaupun ada pemimpinnya keluar parti dan menubuhkan parti baharu iaitu PAS dan Semangat 46, khusus bagi menyaingi UMNO.

"Jadi, perbezaan antara UMNO dan parti-parti lain ialah UMNO ditubuhkan atas dasar perjuangan bukan kerana menyokong pemimpin sebaliknya UMNO menyokong perjuangan...pemimpin datang dan pergi namun parti kekal teguh, ini prinsip kita," katanya, yang menambah parti yang ditubuhkan kerana seseorang individu akan berkubur apabila pemimpin tersebut tidak ada.

Di Sandakan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran Datuk Juslie Ajirol menyifatkan kewujudan pakatan baharu diketuai Dr Mahathir itu tidak menggugat kekuatan UMNO di Sabah.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Libaran melihat UMNO Sabah tetap kukuh dan kuat di bawah kepimpinan Najib sebagai presiden parti dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah.

Beliau tidak menafikan ada individu yang mungkin menyertai pakatan berkenaan.

"Semangat perpaduan dan berjuang untuk parti UMNO, iaitu pemimpin dan anggota akan terus bersama UMNO dalam meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbukanya di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Tiram Batu 19, dekat Sandakan, hari ini.

Juslie yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional Sabah berkata UMNO merupakan sebuah parti yang besar dan telah menjadi parti yang amat berjasa pada seluruh rakyat Malaysia.

"Kita tahu dia (Mahathir) berjasa kepada rakyat Malaysia tetapi kita juga tahu, jasanya semua datang daripada UMNO," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: