Nuffnang

Pengikut

"BERANI KERANA BENAR!"

sumber :-
BERANI KERANA BENAR

"BERANI KERANA BENAR!"


Simbol Amaran Kenderaan Bagi Mereka Yang Tidak Tahu

Posted: 18 Jul 2016 01:38 AM PDT

Adakah anda tertanya apakah maksud simbol bercahaya yang ada pada permukaan Dashboard papan meter kereta anda? Sekiranya terjadi situasi dimana ada antara simbol yang menyala pada papan pemandu, adakah anda dapat memahami tentang apakah maksud disebalik logo-simbol tersebut?
 
Perlu diketahui bahawa ianya la adalah penting kerana pemandu perlu mengetahui apakah yang berlaku pada kenderaan anda, terutamanya yang membabitkan enjin. Dan juga ianya boleh mengurangkan risiko kenderaan anda terpaksa berhenti di persimpangan jalan akibat daripada kerosakkan.
 
Berikut adalah beberapa isyarat – Car Signal pada kenderaan secara basic (Terdapat pada semua kereta.) untuk anda yang masih lagi tidak memahami apakah maksud disebalik logo, dan apakah kaitannya dengan kenderaan anda

Lampu amaran brek tangan

Kebiasaan untuk simbol lampu ini adalah kerana anda sedang menggunakan handbrake, ataupun handbrake sedang aktif, selain itu untuk masalah yang jarang di hadapi adalah ianya menandakan bahawa terdapat masalah pada sistem brek, ABS ataupun cecair brake berkekurangan ( Low brake fluid )

Lampu amaran suhu enjin

Simbol tersebut menunjukkan ianya adalah bertujuan untuk mengukur suhu temperature pada bahagian coolant enjin kenderaan. Apabila tolok meter naik sehingga paras merah, ianya bermaksud air coolant di dalam radiator anda berada pada tahap yang kurang, kebocoran radiator ataupun masalah pada penutup kepala gasket. Jika ini terjadi segera berhentikan kenderaan dan buka bonet kemudian biarkan sehingga suhu panas berkekurangan seterusnya setelah sejuk, periksa radiator lihat paras air dan juga bawah radiator, sama ada terdapat kebocoran

Lampu periksa cecair penyejuk

Ianya bermaksud cecair penyejuk coolant di dalam radiator anda berada dalam tahap yang rendah, seperti yang sebelumnya, simbol ini menandakan bahawa radiator anda mengandungi cecair coolant / penyejuk yang rendah sila periksa dan tambah cecair penyejuk / coolant sebelum menggunakan kenderaan.

Lampu amaran aras minyak enjin

Simbol berlampu yang bermaksud minyak enjin, sekiranya semasa memandu dan lampu merah pada simbol ini bernyala, ianya bermaksud enjin anda kekurangan minyak hitam / minyak enjin, top up dengan minyak enjin yang baru sebelum meneruskan perjalanan

Lampu amaran sistem bateri kenderaan

Indicator yang bermaksud bateri kenderaan anda. Sekiranya ia terus bernyala selepas menghidupkan enjin kenderaan dan semasa mula berjalan, ianya bermaksud ada masalah pada alternator, sambungan bateri, Masalah Kabel, Power Steering ataupun kemungkinan masalah pada cooler pump enjin anda.

Beg udara SRS

Simbol yang bermaksud Beg Udara SRS. kebiasaannya lampu akan switch off sekiranya anda selesai memasang kerusi kanak-kanak, jika masih bernyala, kemungkinan ianya mengesan kerosakkan dan perlu di ganti sekiranya perlu.m TPMS secara manual.

Lampu amaran minyak brek

Ianya bermaksud bahawa cecair untuk brek anda berada di dalam tahap yang rendah, periksa tahap cecair kerana ianya akan berkekurangan apabila brakepads habis. Sekiranya simbol ini bernyala bermakna ianya menandakan masalah kekurangan cecair sudahpun berlaku, sila rujuk pada bengkel kenderaan untuk memeriksa masalah yang berlaku.

Amaran periksa enjin

Bermaksud enjin anda memerlukan servis oleh kerana di sebabkan pelbagai faktor, berkemungkinan ada masalah di bahagian dalaman enjin yang memerlukan pemeriksaan, antara sebab ianya bernyala berkemungkinan di sebabkan kekurangan kuasa enjin, ataupun elektrikal sensor anda mengalami masalah.

Amaran lampu tinggi

Sinar terang umpama berlian berkilau ini adalah simbol untuk lampu tinggi, ianya akan menyala sekiranya anda menggunakan lampu tinggi, apa yang penting anda perlu tahu bila untuk gunakannya. Biar kena pada tempat.

Amaran lampu kabus

Simbol tersebut bermaksud lampu kebus di hadapan dan juga di belakang, ianya amat berguna khususnya di dalam persekitaran pemanduan yang berkabus, hujan lebat dan juga dalam keadaan yang tidak jelas, cahayanya yang terang juga boleh memastikan pemandu lain dapat menyedari kehadiran anda, dan dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini boleh berlaku

Lampu amaran kawalan penstabil kenderaan

Ianya bermaksud TCS anda berada didalam mod pilihan Off – Tidak aktif. TCS bermaksud Traction Control System, iaitu sistem yang mengawal tayar anda daripada tergelincir dan juga memastikan cengkaman tayar pada permukaan jalan. Amat sesuai di dalam keadaan jalan basah dan licin terutamanya ketika hujan lebat, amatlah tidak di galakkan untuk sistem TCS ini dalam pilihan OFF ketika di dalam pemanduan pada jalan yang basah atau licin

Penumpang Garuda Airlines ditahan bawa ular di dalam seluar

Posted: 18 Jul 2016 01:28 AM PDT

JAKARTA 18 Julai - Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang lelaki rakyat asing yang menyeludup 10 ekor ular di dalam seluarnya sebelum dia sempat menaiki pesawat itu ke Jeddah, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini, semalam.

Media-media tempatan hari ini memetik Naib Presiden Komunikasi Korporat Garuda Indonesia, Benny Sigar Butarbutar sebagai berkata, penumpang itu, yang dikenali sebagai Koufiah Jihad Zaki, ditahan susulan menjalani pemeriksaan imbasan sinar-X sebelum menaiki pesawat.

Semasa membuat pemeriksaan sinar-X, pegawai penguat kuasa terkejut kerana mendapati beberapa ekor ular disembunyikan di dalam seluar dan sarung kaki lelaki itu.

"Dia menggunakan cara melilitkan ular-ular yang ingin dibawanya ke Jeddah di kedua-dua kakinya... dia membawa 10 ekor anak ular jenis phyton," katanya.

Menurutnya siasatan mendapati Koufiah cuba menyeludup ular hidup dari Indonesia bagi tujuan perniagaan di Arab Saudi.

Kerakyatan Koufiah bagaimanapun tidak didedahkan dan dia telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Benny berkata, Koufiah melakukan kesalahan serius kerana membahayakan penerbangan dan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa, penumpang dilarang membawa sebarang haiwan dalam kabin pesawat.-BERNAMA

Kesengsaraan di bawah kulit

Posted: 18 Jul 2016 01:20 AM PDT

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM 

SERING kita dengar, jika tapak tangan berasa gatal, itu petanda rezeki yang bakal tiba seperti menerima wang daripada seseorang.

Namun, sebelum anda gembira dengan kata kiasan ini, periksa betul-betul, mungkin gatal di tapak tangan itu bukanlah rezeki, tetapi petanda awal penyakit menakutkan iaitu kudis buta!

Kudis buta merupakan jangkitan kulit yang paling mudah berjangkit dan sering dilihat penularannya di tempat seperti asrama sekolah, rumah orang tua, pusat penjagaan kanak-kanak dan lain-lain. Ia merupakan kondisi yang boleh dirawat tetapi perlu dikenal pasti pada peringkat awal dan rawatan perlu diberikan mengikut cara yang betul bagi mengelakkan ia semakin merebak.

Merupakan sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit dan dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit seseorang dengan orang yang mengalami kudis buta, penyakit kulit ini akan menyebabkan rasa kegatalan yang keterlaluan pada permukaan kulit.

Tangan merupakan bahagian yang pertama dijangkiti kutu kudis kerana kudis buta hanya boleh dijangkiti melalui sentuhan langsung antara kulit ke kulit kerana kutu kudis yang berada di permukaan kulit tidak mampu terbang atau melompat dari permukaan kulit seseorang.

Penyakit ini sering diambil mudah mereka yang dijangkiti kerana merasakan ia adalah gatal-gatal kulit yang biasa. Kudis buta perlu dirawat segera kerana ia boleh mengganggu kualiti hidup dan membuatkan si penghidapnya tidak selesa selain boleh menjangkiti orang lain.

Malah rupanya yang kemerah-merahan dan timbul di permukaan kulit akan menyebabkan rasa tidak selesa kepada orang di sekeliling.

Kudis buta ataupun lebih dikenali sebagai skabies sebenarnya berpunca daripada serangan sejenis kutu atau hama yang dikenali sebagai Sarcoptes Scabiei. Merupakan sejenis mahkluk parasit iaitu suatu organisma yang hidupnya menumpang pada mahkluk hidup lain, ia merugikan mahluk hidup yang ditumpangi.

Kutu kudis ini bersaiz amat kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Menurut kajian, kutu kudis mempunyai badan berwarna krim yang berbulu dan berduri serta memiliki empat pasang kaki. Biasanya, spesies kutu kudis betina bersaiz lebih besar (sekurang-kurangnya 0.4 milimeter × 0.3 milimeter) jika dibandingkan dengan spesies jantan (0.2 milimeter × 0.15 milimeter).

Menurut Pakar Dermatologi Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Sabeera Begum Kader Ibrahim, kutu betina inilah yang akan menggorek lapisan kulit untuk membentuk laluan atau terowong di bawah lapisan luaran kulit dan kemudian ia akan bertelur di dalam lapisan luaran kulit tersebut. Kutu betina ini mampu bertelur sebanyak 40 hingga 50 biji telur dalam seumur hidup.

"Selepas tiga hingga empat hari, telur-telur kutu akan menetas dan membentuk larva. Kemudian ia membesar menjadi kutu dewasa dan matang hanya dalam jangka masa 10 hingga 15 hari. Secara purata, bilangan kutu kudis yang boleh menyerang seseorang adalah dalam lingkungan 10 hingga 12 ekor.

"Kebanyakan simptom atau gejala jangkitan kudis buta adalah disebabkan oleh tindak balas sistem imun seseorang individu terhadap kutu kudis ataupun terhadap telur, najis dan bangkai kutu kudis tersebut. Oleh itu, ruam dan rasa kegatalan yang timbul pada permukaan kulit sebenarnya berpunca daripada reaksi alahan badan terhadap kutu kudis," ujarnya yang juga merupakan ahli Exco Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM).
Simptom

1. Kegatalan

Simptom utama penyakit kudis buta ialah rasa kegatalan yang keterlaluan pada kulit sehingga meyebabkan keadaan yang tidak selesa.

Ia selalunya berlaku pada waktu malam dan ini akan mengganggu tidur orang yang dijangkiti.
Pada mulanya, rasa kegatalan hanya wujud setempat, khususnya bahagian telapak tangan tetapi akan merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain. Ia semakin teruk pada waktu malam atau selepas bermandi air panas. Individu yang terjejas dengan penyakit kudis buta boleh berasa gatal di seluruh badan walaupun dijangkiti dengan bilangan kutu kudis yang kecil sahaja.

2. Ruam

Ruam penyakit kudis buta ini akan terbentuk dengan serta-merta pada permukaan kulit setelah rasa kegatalan muncul. Biasanya, ruam akan kelihatan berbintik-bintik dan berketul-ketulan kemerahan dan boleh muncul di mana-mana bahagian badan.

Bahagian badan di mana ruam kelihatan jelas adalah pada kawasan lipatan kulit seperti di tangan dan kaki terutamanya di celah-celah jari, bahagian dalam paha, pusat, abdomen, punggung dan celah-celah ketiak. Bahagian yang tersebut menjadi tumpuan kutu kudis disebabkan suhu yang lebih tinggi berbanding kawasan lain di tubuh badan.

3. Laluan atau terowong kutu kudis

Terowong atau laluan yang dibentuk oleh kutu kudis betina dapat dilihat pada permukaan kulit. Biasanya, ia kelihatan seperti garisan-garisan yang nipis, halus dan berwarna gelap sekurang-kurangnya dua hingga 10 milimeter panjang.

Garisan-garisan ini biasanya dapat dilihat pada bahagian kulit yang longgar antara jari, bahagian dalam pergelangan tangan dan telapak tangan. Garisan-garisan ini juga boleh muncul pada bahagian-bahagian lain badan tetapi hanya akan timbul selepas wujudnya rasa kegatalan dan ruam.

4. Kesan-kesan calar

Kesan calar juga boleh diperhatikan pada permukaan kulit dan mungkin disebabkan oleh kegiatan menggaru secara agresif, mengakibatkan bahagian permukaan kulit tersebut cedera dan seterusnya menyebabkan kerosakan pada kulit.

Kerosakkan pada kulit pula boleh menjadi parah dan akan terdedah kepada bakteria dan kuman yang lain. Kulit yang dijangkiti bakteria pula akan kelihatan merah, dan berinflamasi.


5. Mengganggu penyakit kulit lain yang sedia ada
Penyakit kudis buta boleh menyebabkan simptom-simptom keadaan kulit yang lain untuk bertambah teruk, khususnya penyakit kulit gatal seperti ekzema dan juga psoriasis. Penyakit kudis buta juga akan menjadi lebih sukar untuk dikesan dalam situasi ini.

Apa nasib pengguna jika Akta Kawalan Harga dimansuhkan

Posted: 18 Jul 2016 01:20 AM PDT

Oleh Rozaman Ismail

rozaman ismail
CERITA harga barang melam­bung naik setiap kali sam­butan Aidilfitri berulang lagi pada musim perayaan tahun ini. Sebenarnya apa yang berlaku itu bukan sesuatu yang asing ke­rana sememangnya berlaku saban tahun. Kejadian seumpama itu akan berlaku lagi pada tahun-tahun akan datang dan tidak akan berhenti sampai bila-bila pun. Apa tidaknya, pada hari-hari biasa pun barang keperluan harian boleh naik tidak semena-mena apatah lagi bila tiba musim sambutan hari raya.

Cuma kali ini ceritanya heboh sedikit kerana kenaikan melampau satu dua barang keperluan yang disenaraikan di bawah barang kawalan untuk musim pe­rayaan antaranya ayam. Perkara tersebut mendapat perhatian ramai apabila Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan mengesan segelintir peniaga di Pasar Siti Khadijah menjual se­ekor ayam pada harga RM30 tanpa menggunakan alat pe­nimbang. Sesetengah peniaga pula menjual barangan yang sama pada harga tidak sama dengan tanda harga yang tertera. Sebagai contoh, harga ayam RM8 sekilogram tetapi dijualnya pada harga RM12.

Kebanyakan peniaga memberikan alasan terpaksa menjual pada harga sedemikian kerana pemborong awal-awal lagi sudah mengenakan harga yang tinggi. Alasan ini adalah alasan standard yang sudah bertahun-tahun digunakan. Peniaga kenakan harga yang mahal kerana harga bekalan daripada pemborong pun mahal. Mang­sanya tetap pembeli.

Musim perayaan sudah menjadi sinonim dengan musim peniaga dan pemborong 'beraya sakan' menekan pengguna atau pembeli bagi mencari untung berganda. Peniaga dan pemborong beranggapan dalam tempoh ini pembeli dan pengguna tidak berkira sangat tentang soal harga selagi ada bekalan bagi menyambut hari raya. Memang pembeli tidak berkira sa­ngat jika kenaikan itu munasabah tetapi kalau sudah naik ke tahap melampau, pengguna mana pun boleh hilang sabar.

Apa yang berlaku membuktikan ada peniaga dan pemborong tidak begitu menghormati Skim Kawalan Harga musim perayaan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun 2000. Menerusi skim tersebut kementerian terlibat menyenaraikan sejumlah barangan pengguna untuk ditetapkan harga maksimum di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit. Harga ini akan berkuat kuasa dalam satu tempoh ter­tentu.

Peniaga tidak boleh menjual sesuatu barangan tersenarai melebihi harga maksimum yang ditentukan. Pada masa yang sama juga, pengeluar, peniaga dan pemborong mesti memastikan bekalan barangan tersebut mencukupi.

Jika diamati tujuan diper­kenalkan skim kawalan harga ini amat besar manfaatnya kepada pembeli dan peniaga sekira dipatuhi. Bagaimanapun dorongan rasa tamak segelintir peniaga dan pemborong yang mahu meraih untung besar ketika musim perayaan menyebabkan skim ini dikhianati. Dalam keadaan ada satu skim kawalan harga barang pun masih ada segelintir peniaga dan pemborong yang mahu mengaut untung lebih, bayangkanlah jika kerajaan tidak memperkenalkan apa-apa skim setiap kali tiba musim perayaan!

Justeru apabila ada cadangan daripada komuniti perniagaan agar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dimansuhkan, kerajaan tidak perlu terpengaruh dan terburu-buru menerima cadangan sedemikian.

 Perlu ada satu kajian mendalam biarpun terpaksa memakan masa yang lama. Kajian perlu mengambil kira kesan yang akan diterima oleh rakyat selaku pengguna.

Memanglah komuniti peniaga suka jika suatu akta yang banyak 'mengekang' kebebas­an mereka dalam membuat keuntungan besar ditiadakan. Barangkali selama ini mereka merasa terganggu dengan akta tersebut yang menjadi 'pemantau' kepada segala tindakan mereka. Lantas, tidak hairanlah jika salah satu alasan yang diberikan ialah akta itu 'menyekat' keyakinan para pelabur untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Kerajaan perlu melihat kesan yang bakal diterima rakyat ekoran pemansuhan akta ber­kenaan, khususnya berhubung dengan kawalan harga barang. Akan adakah satu jaminan harga barangan keperluan pengguna tidak dinaikkan secara melampau oleh para peniaga dan pemborong sekiranya akta ini dihapuskan? Akta sedia ada sekurang-kurang­nya sudah menetapkan harga minimum dan maksimum satu-satu barang pengguna. Akta tersebut juga me­ngenakan tindakan penguatkuasaan tertentu sekiranya syarat-syarat dan peraturan dicabuli.

Sukar untuk mempercayai tidak akan berlaku kenaikan harga barang jika akta itu dihapuskan. Dalam keadaan ada satu akta yang kelihatan tegas pun para peniaga dan pemborong masih berani menaikkan harga barang, bayangkanlah jika akta sedemikian dimansuhkan?

Walaupun sudah banyak contoh tindakan penguatkuasaan, hukuman dan denda dikenakan, tidak nampak ada peniaga atau pemborong yang serik. Kes-kes menaikkan harga barang keperluan terus berlaku.

Isu ini perlu ditangani de­ngan teliti. Apa sahaja keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan bukan sekadar desakan pihak-pihak yang berkepentingan semata-mata. Keputusan yang dibuat nanti mungkin popular di mata komuniti peniaga tetapi belum tentu menggembirakan rakyat keseluruhannya.

Ustaz Tarbus

Posted: 18 Jul 2016 01:16 AM PDT

Oleh Kamal Ishak 

 I. Malam ini mas­jid di atas bukit yang tersergam indah itu tentunya penuh sesak. Beribu jemaah akan hadir mendengar ceramah agama. Pertama kali dalam sejarah, Ustaz Tarbus datang ke pekan ini. Dia pula datang dari jauh. Mustahil masjid di atas bukit itu akan kosong. Majlis ilmu dituntut sebagai fardu kifayah.

"Aku pergi malam ini. Kau?" Soal Husin pada Manap yang sama-sama sedang menonton DVD Ustaz Tarbus di gerai Pak Akob.

Siapa saja yang lintas gerai Pak Akob pasti berhenti sejenak untuk menonton DVD Ustaz Tarbus. Dia bukan saja pakar dalam bidang agama tapi pandai berlawak jenaka hingga penonton tak kering gusi mendengarnya.
"Tak pergi rugi" tambah Husin untuk meyakinkan Manap.

"Pergi. Aku tak cakap pun tak mau pergi. Anak aku si Aiman tu peminat Ustaz Tarbus." Sungguh yakin jawapan yang keluar daripada mulut Manap menjawab soalan Husin.

II.
Aiman, remaja berusia 14 tahun, anak bongsu Manap sejak dari minggu sudah asyik mengingatkan ayahnya dan Saodah agar tidak lupa tarikh keramat kedatangan Ustaz Tarbus di tempat mereka.

"Oda pun nak ikut malam ini," celah Saodah pada suaminya.

"Cepat. Kalau lambat susah nak dapat parking kereta. Orang mesti ramai," balas Manap.
Saodah juga peminat Ustaz Tarbus. Selalunya Soadahlah yang lebih-lebih ketawa bila Ustaz Tarbus buat kelakar dalam ceramahnya ditonton melalui DVD. Sehingga ini, sudah ada tidak kurang daripada 20 keping DVD Ustaz Tarbus dalam koleksi keluarga mereka.

Aiman tunjuk baju Melayu dan songkok baru yang akan dipakai pada malam nanti. Manap dan Saodah tersenyum melihat Aiman kacak bergaya. Harap-harap Aiman jadi seperti Ustaz Tarbus bila besar nanti fikir Saodah dalam hati.

"Jom. Nanti lewat. Susah dapat parking," arah Manap bila terasa semuanya sudah bersiap untuk pergi ke masjid atas bukit.

III.
"Assalamualaikum," laung Husin apabila nampak kelibat Manap di pekarangan parking lot masjid. Husin muncul dengan jubah dan serban. Manap bersalaman. Aiman juga bersalam dengan rakan ayahnya itu.
"Ini ke peminat nombor satu Ustaz Tarbus? Pakcik pun minat dia juga..."

Aiman tersengih. Pertanyaan itu sememangnya dituju khas untuk Aiman. Saodah bangga anaknya dipuji.
"Ramainya orang datang. Baguslah macam ni. Akhirnya Islam juga yang buat kita bersatu tak kira apa pun fahaman politik. Yang kita sujud tetap satu. Allah." Manap cuba buat andaian.
"Aik, cakap pun dah macam Ustaz Tarbus aja," perli Husin.

"Dah jelaskan? Tengok tu. Bendera hijau ada, bendera biru mata putih pun ada. Bendera cap keris pun ramai datang. Syukur Alhamdulillah," jawab Manap.

Mereka berdua ketawa terbahak-bahak apabila menyentuh hal politk. Walaupun Manap daripada bendera hijau dan Husin pula sebelah bendera cap keris, mereka tetap berkawan tanpa ada prejudis terhadap fahaman politik masing-masing.

Mereka pun melangkah ke arah masjid walaupun jam baru pukul 6 petang. Yang lain berpusu-pusu masuk walaupun ada juga yang berkeliaran di tempat jualan makan minum dan pakaian muslimah. Tempat jualan tak ubah seperti pesta karnival. Terlalu padat dengan gerai. Pak Akob sendiri buka sebuah gerai menjual kitab dan DVD ceramah agama termasuklah DVD Ustaz Tarbus yang dia sudah menjangka pastinya laris.

IV.
Masuk sahaja dalam masjid, Manap dan Husin terus sembahyang sunat Tahiyatul Masjid. Selesai solat sunat mereka duduk menanti jam 7 malam iaitu tiga puluh minit lagi sebelum masuk waktu Maghrib.

Ruang dalam masjid sudah penuh sesak hingga terpaksa berhimpit-himpit. Walaupun tidak selesa, muka kena juga senyum pada jemaah lain. Ini rumah Allah. Bukan tempat mencari sengketa.

Manap mencari-cari di mana Saodah duduk. Akhirnya dia nampak isterinya. Manap nak pastikan isterinya selesa. Sempat Saodah melambai-lambai pada Manap. Kecintaan mereka bertambah setakar lagi apabila berada dalam masjid atas bukit ini.

"Kenapa Ustaz Tarbus tak pernah muncul kat tv abah?" soal si Aiman tiba-tiba.

"Mana tau. Nanti Aiman tanya sendiri pada Ustaz," Manap ketawa merasakan soalan Aiman dan jawapannya itu satu lelucon. "Tetapi Ustaz Tarbus buat DVD dan jual. Dia dah kaya." Sambung Manap secara sembrono. Mengharap Aiman puas dengan penjelasan itu.
Aiman melopong. Di usia awal remaja sepertinya, dia masih tidak faham. Aiman melambai tangan pada beberapa rakannya yang duduk jauh dari tempatnya.

"Jangan pergi sana. Di sini dapat tengok wajah Ustaz dengan jelas," arah Manap sebelum Aiman buat keputusan berkumpul di tempat kawan-kawan sekolahnya.
"Kenapa orang gelar dia Ustaz Tarbus?" tanya Aiman lagi.

"Nama sebenar dia Tuan Haji Yahya bin Haji Lambong," jawab Manap. Masjid yang berstatus hawa dingin itu jadi panas dengan soalan Aiman yang tak dijangka.

"Nama tu tak glamor Aiman. Perasan tak? kat DVD dia, setiap kali dia berceramah, dia akan tukar-tukar tarbusnya. Semua tarbus dia beli dari negara Turki." Husin potong cakap.

"Tapi banyak tarbus takpe, jangan banyak isteri" Manap ketawa berdekah. Aiman senyum pun tidak. Baginya itu lawak orang dewasa. Tunggulah nanti. Lawak Ustaz Tarbus lebih lawak lagi.
V.
Beberapa saat lagi azan Maghrib akan berkumandang. Kelibat Ustaz Tarbus tak kelihatan. Ada juga kedengaran makmum membebel. Mereka mengharap Ustaz Tarbus menjadi imam sebab itulah mereka datang awal. Menjadi makmum pada seorang ulama tentu ganjaran pahalanya banyak.

"Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Ustaz tak dapat dihubungi. Telefonnya seperti offline. Insya-Allah dia akan sampai juga sebelum Maghrib" Tok Bilal masjid membuat pengumuman.
"Senang sangat alasan mereka. Angin la aku," bentak Husin.

"Sabar. Inilah dugaan namanya. Tentu Ustaz ada hal yang kita tak tahu," pujuk Manap.
"Entah-entah dia lambat sebab nak pilih tarbus mana yang sesuai dipakai."

Beberapa jemaah berdekatan turut tersenyum tapi tak berani sampai ketawa lebih-lebih kerana semua orang di pekan ini kenal siapa Husin, sorang yang perengus dan bekas samseng. Di kepalanya ada tiga pusar. Dia digelar Husin go-go. Ada cerita kononnya gelaran itu diberi kerana dia pandai menari rentak a-go-go di zaman pop yeh-yeh. Ada pula cerita lain, gelaran itu diberi kerana dia kaki gaduh. Setiap kali ada pergaduhan, dia akan ke hadapan berlawan. Rakan-rakan sebayanya akan memberi semangat dengan menjerit "Go Husin go. Go go Husin go" Husin pun lupa diri tentang keselamatannya. Husin memang berani. Dia tidak peduli sama ada lawannya melebihi sepuluh orang. Lawan tetap lawan.

Malang buat Husin go-go apabila dia berhadapan dengan Nordin, seorang yang tak kurang handalnya tapi bukan samseng. Atas nama jurus Silat Ku Sesiku, Nordin menumpaskan Husin dengan pukulan siku demi siku. Kata orang, pukulan Nordin itu pukulan siku empat belas. Dua minggu Husin terlantar di hospital. Itu cerita lama. Tak tahulah sama ada Husin mahupun Nordin sudah lupa kisah zaman muda mereka. Nordin sendiri selepas berkahwin, berpindah ke Taman Haruan, Kulim.

VI.
Azan pun berkumandang. Maghrib tidak dapat menunggu Ustaz Tarbus. Sampai masa umat Islam wajib menunaikan solat. Sudah tentu Ustaz Tarbus bersolat di bilik hotelnya sahaja.

Selesai doa, makmum bersalam-salaman tanpa halangan atas apa jua pendapat dan perjuangan daripada sisi politik mereka. Semua yang hadir dengan bilangan yang bertambah menunggu kedatangan Ustaz Tarbus.

Resah. Keresahan. Meresahkan. Dalam masjid yang berhawa dingin itu tiba-tiba menjadi haba, berkuap dan akhirnya panas. Lagi setengah jam masuk waktu Isya' pula. Bayang Ustaz Tarbus tak kelihatan. AJK masjid pula tak menerima apa-apa panggilan daripada Ustaz, apakah halangan sebenar yang melewatkan kedatangan beliau.

Sana sini kedengaran orang ramai bercakap sesama sendiri. Manap sendiri gelisah. Aiman menguap beberapa kali. Menekan perut kelaparan. Muka Husin merah padam. Marahnya di simpan di benak hati. Manaplah yang paling risau kalau Husin bakal mencetus konflik.

"Maaf Tok Imam. Maaf Tok Bilal. Maaf AJK Masjid" Tiba-tiba Husin bangun. Berdiri tegap seperti orang nak bergaduh.

Semua orang mengalih pandangan kepadanya. Kecut perut mereka dan percaya keadaan akan jadi kecoh bila Husin bertindak sesuatu. Semua orang tahu yang Husin daripada puak bendera biru. Tentunya dia akan menuduh kelemahan Ustaz Tarbus kerana tidak menghormati majlis. Ini masanya Ustaz Tarbus dikecam mentang-mentang dia daripada lambang keris.

"Kita datang sini kerana nak dengar ceramah Ustaz. Bukan mencari alasan negatif hanya kerana saya dari bendera lain, awak dari bendera lain dan awak dari bendera yang lain warna." Itu ayat pertama daripada Husin. Suaranya tegas dan berani.

Ada kumpulan daripada bendera lain bangun. Keadaan jadi tegang.

"Ini rumah Allah. Kita datang ke sini kerana Allah. Kelewatan Ustaz ke sini juga dengan kehendak Allah. Jangan lupa Allah." Jeritnya teramat kuat hingga bergema seluruh masjid tanpa guna pembesar suara. Aiman ketakutan lalu menyorok di bawah ketiak bapanya.

"Duduk saudara-saudaraku. Tak perlu kita bergaduh atau takut nanti memakan masa yang lama untuk kita berbaik-baik semula. Ketepikan soal politik. Tunggu masa undi. Pangkah calon yang tuan-tuan suka dan percaya. Ini masjid. Tempat kita bersatu kerana agama dan kerana kita berbangsa".

Suara Husin seperti tidak diendahkan. Gema suara makmum yang tak puas hati lebih gempita. Boleh dikatakan ketiga-tiga golongan yang berpegang kepada politik masing-masing tidak mahu mengalah. Mereka dah jemu menunggu Ustaz Tarbus.

Seperti tuan-tuan, saya juga bosan menunggu dia. Tetapi inilah ujian Allah kepada kita. Ingat, jangan ada sesiapa yang berani mencabar saya."

"Aku…" Tiba-tiba ada suara yang tak dikenali menyahut cabaran Husin.

VII.
Semua menoleh ke arah suara itu. Lelaki yang bernama Nordin dengan serban putih berlilitan di kepalanya tiba-tiba muncul. Orang ramai memberi laluan bila Nordin berjalan ke arah Husin. Sudah terdengar desas-desus ketakutan daripada bahagian makmum wanita. Husin bersedia dengan apa saja yang dia boleh terfikir atas nama mempertahankan diri. Nordin ialah musuh lamanya.

Tidak pula dengan Manap. Dia amat suka kemunculan Nordin. Dia tidak akan lepaskan peluang kali ini. Dia pernah berjanji pada dirinya satu ketika dulu. Apabila Aiman sudah meningkat belasan tahun, dia mahu Aiman berguru dengan Nordin. Belajar Silat Ku Sesiku. Jurus pukulan yang paling pantas seperti kilat yang pernah dia lihat. Dan ilmu ini ada pada Nordin.

Nordin berhenti tidak berapa jauh dari kedudukan Husin berdiri. Pandangan mereka melekat dan tajam. Tak ubah seperti zaman muda mereka. Mata dan nafas jelas menutur dendam. Nordin siap merenggangkan kakinya seperti mengatur tapak. Husin kemaskan buku limanya yang masih tebal dan berurat.

Tiba-tiba Nordin meluru dan memeluk Husin. Berkumat-kumit membisikkan sesuatu di telinga Husin. Pun begitu dengan Husin berkata sesuatu yang mereka berdua sahaja yang tahu. Aksi yang sekilas itu, sudah dapat ditangkap oleh semua orang yang Husin dan Nordin berdamai selepas sekian lama bermusuhan.

"Husin tumpas di tangan saya dalam masa 10 minit. Saya ambil masa 10 tahun untuk kembali ke sini memperbaiki kesilapan. Bayangkan kalau tuan-tuan bergaduh hari ini, entah lagi 10 tahun kita belum tentu berdamai. Kalau anak cucu kita tidak ditanamkan semangat kasih sayang, menolak hasad dengki, fitnah dan dendam, entah berapa puluh tahun lagi mereka boleh berdamai," suara Nordin walaupun lantang tapi tersekat-sekat.

"Saya datang ke sini kerana nak dengar ceramah Ustaz Tarbus. Islam menggalakkan kedamaian, kesatuan, sayang menyayangi. Tidak salah lagi kenapa Tuhan mengirim Ustaz Tarbus ke masjid atas bukit ini. Bersabarlah. Dia akan sampai Insya-Allah"

Masa itu juga, Husin memaut tangan Nordin. Genggam erat tanda tiada permusuhan antara mereka lagi. Orang ramai bersorakan. Bergema seluruh masjid atas bukit.
"Allahhu Akbar." Suara makmum lelaki melaung.
"Allahhu Akbar." Suara kanak-kanak bercampur orang dewasa.
"Allahhu akbar." Suara makmum wanita pula bergema dengan suara lelaki.
"Allahhu akbar." Suara para belia bercampur... lelaki, kanak-kanak dan wanita.

VIII.

Di luar, tiga buah Mercedez hitam masuk ke pekarangan masjid. Dalam salah sebuah kereta itu, tentunya ada Ustaz Tarbus.

"Mat, hebatlah orang di sini. Saya belum masuk masjid lagi, mereka dah riuh bertepuk sorak," kata Ustaz Tarbus pada pemandunya. Mat ketawa berdekah.

"Kenapa awak ketawa Mat?" Tanya Ustaz Tarbus kehairanan. Tak pernah pemandunya ini membangkang.
"Ustaz ni kelakarlah. Sebab itulah saya ketawa. Maafkan saya Ustaz. Terlanjur tadi. Saya janji tak ketawa lagi."

Ketiga-tiga buah Mercedez meluncur masuk ke tempat letak kereta yang sudah dikhaskan. Sorakan terus bergema dari dalam masjid. Sebentar lagi, mereka akan terus ketawa dan bersorakan dengan kelucuan Ustaz Tarbus semasa memberi ceramah nanti. Azan Isya' pun berkumandang. Sebentar lagi umat Islam akan berdiri dan bersujud ke hadrat Ilahi tanpa peduli puak dan parti.

Kepimpinan Ustaz Fadzil Noor penuh kasih sayang

Posted: 18 Jul 2016 01:08 AM PDT

Oleh A.SHUKUR HARUN 

Pada 23 Jun lalu genap 14 tahun kepergian bekas Presiden Pas, Allhyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.
Allyarham adalah salah seorang pemimpin utama Pas yang paling banyak diingati, baik oleh kawan mahpun lawan, lebih-lebih lagi pendukung PAS yang benar-benar menikmati kasih sayangnya ketika di bawah pimpinan Allahyarham.

Allahyarham Ustaz Fadzil dilahirkan pada 13 Mac 1937, meninggal dunia pada 23 Jun 2002 adalah bekas Presiden Pas yang menggantikan Tuan Guru Haji Yusuf Rawa.

Allahyarham juga menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen pada 1999 ekoran kekalahan Lim Kit Siang.
Selain dari beliau, pemimpin utama yang sentiasa diingati ialah Allahyarham Nik Abd Aziz Nik Mat dan Allahyarham Yusuf Rawa, ayahanda Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Mengapa tiga tokoh ini sering diingati oleh pelbagai pihak, khususnya pendukung Pas?

Justeru tiga tokoh ini memiliki pautan kasih yang erat dengan ahli jamaah Pas, sesuatu yang amat tinggi nilainya. Saya sendiri sering berlinangan air mata mengenang tiga tokoh ini.

Lebih-lebih lagi ketika saya mengingat kembali ucapan penggulungan Allahyarham ustaz Fadzil di Muktamar Pas yang terakhir baginya, yang antara lain mengatakan:
"Saya sangat berat hendak memberhentikan ucapan penggulungan saya ini, kerana saya enggan berpisah dengan para jamaah ini. Kalau dapat saya tidak mahu berpisah.

"Di sinilah saya mengingat kembali bagaimana kisah ketika Nabi Musa a.s. menemui Allah s.w.t. lalu Allah s.w.t. bertanya kepadanya, "Apa ada di tangan kamu itu, ya Musa. Pada hal Allah s.w.t. tahu semunya. Lalu Musa a.s. menjawab panjang, amat panjang sekali. Iaitu beliau menunjukkan tongkatnya, lalu bercerita panjang mengenai tongkat itu yang diberikan oleh orang kampung kepadanya dan digunakannya sebagai teman berjalan siang dan malam.

"Panjang lagi ceritanya, seperti tidak mahu menghentikan ceritanya justru enggan berpisah dengan kekasihnya, Allah s.w.t.

"Demikianlah juga saya sangat kasih kepada ahli jamaah ini dan seperti enggan berpisah."
Inilah analoginya yang amat mengesankan.Ramai muktamirin menitiskan air mata mendengarkan ucapan beliau.

Ketika beliau meninggal dunia, jenazahnya diringi oleh ratusan ribu orang sepanjang jalan ke Pokok Sena, bukan saja pendukung Pas, tetapi juga orang ramai, hingga ke pusaranya di Pokoh Sena, Kedah itu.

Ketika mengunjungi kembali pusara Almarhum itu beberapa beberapa tahun lalu, saya terkenang semuanya kembali dan mengalir lagi air mata, membasahi rumput dan batu-batu kecil sekitar nisannya.

Apa erti semuanya ini. Mengapa tiga tokoh ini – Fadzil, Nik Aziz dan Yusuf Rawa begitu dingati dan disayangi, walapun Tuan Guru Yusuf Rawa tidak lama memimpin kerana uzur.

Dalam salah satu ucapan Alahyarahm ustaz Fadzil di muktamar Pas yang sangat sangat saya ingati, ialah apabila beliau menyatakan sangat gembira melihatkan ramai golongan profesional dan teknokrat yang menyertai Pas ketika itu.

Katanya, orang Umno sering memperli, bagaimana Pas hendak memerintah, sedangkan mereka tidak ada golongan profesional yang boleh mentadbir negara.

Lalu beliau menjawab, sekarang begitu ramai orang profesional di dalam PAS dan PAS mampu mentadbir negara.

"Umno jangan lagi perlekeh Pas," katanya.

Banyak kata-kata dan pesannya yang masih diingati hingga kini, justru yang keluar dari mulutnya ialah mutiara dan permata yang berharga.

Beliau juga mengingatkan pendukung Pas supaya jangan bersikap terlalu shaded, keras, terutamaa dalam menghukum, hingga menakutkan orang ramai menyebabkan ramai orang yang akan menjauhi Pas.

Bayangkan apa makna kata-katanya ini, ketika kita merenung kembali pesannya ini, membandingkan dengan suasana yang ada sekarang yang amat menggerunkan.

Demikianlah pandangan jauh tokoh besar ini.Sementara itu, saya masih ingat pesan Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz, yang mengatakan:
"Kita pendakwah ini, sebagai pekerja Islam. Maka perlulah kita bersikap seperti gula, di manapun diletakkan, dibawah karpet sekalipun, ia akan didataangani semut, kerana semut sukakan gula," katanya.

Ketika saya melintas di depannya, di suatu pagi di pekarangan Taman Melewar, kira-kira sejam lagi Muktamar Tahunan Pas bermula, Almarhum mengajak saya dan beberapa orang teman untuk sarapan di sebuah gerai di situ.

"Mari kita minum di sini, ambo ada lima puluh rial ni," katanya sambil menunjukkan wang itu dalam sapu tangannya. Almarhum tidak menggunakan pest. Hanya menyimpan wang dalam sapu tangan.

Begitu mudah dan simpelnya kehidupan seorang Mursyidul Am, yang walapun Almarhum hanya berjubah dan berserban serta berselindang nipis, tetapi Almarhum, seperti juga Almarhum Ustaz Fadzil, menjadi pemimpin yang amat disayangi, penuh izzah.

Sebab itu, dalam suasana rebut topan persengkitaan dan suasana politik yang penuh dendam dan bengis, saya terkenang kembali kepimpinan para tokoh ini, yang bersifat lu' lu' wal marjan, mutiara dan permata.
Semoga nasihat dan pesan tokoh ini akan terus diingati.

Puasa enam elok diawal

Posted: 18 Jul 2016 01:03 AM PDT

Oleh Subky Latif

TELAH disunahkan puasa enam hari dalam bulan Syawal mengiringi puasa sebulan Ramadhan bagi menyamakan ibadat puasa orang Islam seperti puasa sepanjang tahun.

 Tiga hari puasa dalam bulan Ramadhan ganjarannya seperti puasa sebulan. Maka sebulan Ramadhan puasa seperti puasa sepuluh bulan. Bagi menggenapkan setahun, maka disunatkan puasa enam hari bulan Syawal yang ganjaran seperti dua bulan. Jadi puasa itu seperti puasa setahun.
  
Bila puasa enam itu dilaksanakan? Islam tidak menetapkan. Boleh dilaksanakan dari dua Syawal hingga hari terakhir Syawal.
  
Fekah mazhab berbeza pendapat. Ada yang memulakan seawal dua Syawal berturut hari. Ada yang puasa berselang hari tetapi cukup enam hari sebelum berakhir Syawal. Mulai popular sekarang ia tidak semesti diawalkan. Mazhab Maliki dikatakan memadai puasa sehari dalam bulan Syawal, bakinya boleh ditunaikan sepanjang tahun.
   
Bapa saya tidak pernah terlepas mula puasa dua Syawal. Mana yang tidak berhari raya di rumah pada hari raya pertama, datang malam atau selepas tujuh Syawal.
  
TG Nik Aziz mula puasa hari raya kedua. 30 tahun lalu saya dan Ustaz Hassan Shukri singgah rumah Ustaz Hadi Awang di Rusila 4 Syawal. Beliau masuk hari ketiga puasa. Hari itu beliau berbuka kerana meraikan kami. Saya percaya sejak lebih 30 tahun lalu beliau sehari saja raya dan lepas itu puasa.
   
Terengganu sebelum generasi sekarang antara negeri mengawalkan puasa enam. Mereka puasa dari dua Syawal. Raya puasa enam lebih meriah dari 1 Syawal.
  
Justeru hari terbuka kadang-kadang melewati bulan Syawal, maka orang melambatkan puasa enam, bahkan ada yang tak cukup enam hari.
  
Apapun ia sekadar sunat. Sunat tidaklah seberat wajib. Tetapi sunat puasa enam itu digalakkan sangat. Antara fadilat puasa bulan Ramadhan adalah kaedah mendapatkan takwa. Orang dapat takwa itu tentulah mengutamakan puasa enam. Dan yang tinggi takwanya mengawalkan puasanya. Yang tidak sempat menunainya tidaklah boleh dikata tidak takwa. Sekadar tidak dapat pahala puasa itu saja.
   
Amalan sunat tidak berdosa jika ditinggalkan. Tetapi pahalanya boleh melebih amalan wajib. Justeru amalan sunat bagi mendapatkan mardhatillah.
   
Cabaran puasa enam lebih berat daripada puasa Ramadhan. Bulan Ramadhan semuanya puasa, tetapi puasa enam berpuasa semasa orang kebanyakannya makan. Zaman hari-hari ada hari terbuka, maka mengawal nafsu itu lebih payah. Tetapi apabila nafsu dapat dikawal pada masa orang sekeliling semua makan, maka ia mengatasi cabaran yang besar.
   
Sekalipun ia sunat yang boleh tidak disegerakan, tetapi menyegerakannya adalah lebih baik. Seperti waktu solat. Ia sah ditunaikan pada akhir waktu. Tetapi menyegerakannya dituntut. Jika ditunggu di akhir waktu, tiba-tiba mati sebelum solat ditunaikan. Sekurang-kurangnya ia rugi pahala satu waktu.
   
Jika puasa enam ditunaikan seawal mungkin, di samping pahalanya tinggi, jika dia mati selepas menunaikan puasa itu, maka dia mati bersama pahala puasa enam. Jika dia mati dalam bulan Syawal tetapi tidak sempat puasa enam, maka ia terlepas pahalanya.
  
Maka pilihan terbaik, sekalipun masa puasa itu ada tempoh sebulan, kalau disegerakan adalah lebih baik. Kita sudah beroleh puasa setahun.

Usah Bersedih ...

Posted: 18 Jul 2016 01:01 AM PDT

Oleh Azhar Ghazali

1. Andaikata kamu dikhianati atau dilukai oleh mereka yg mempunyai talian kekeluargaan dgn kamu, usah bersedih. Ingatlah peristiwa Yusuf as, yg dikhianati oleh saudara2nya...

2. Andaikata ibubapa kamu, atau mereka yg kamu kasihi, menentang kamu ketika kamu berjalan di atas jalan kebenaran, usah bersedih. Ingatlah peristiwa Ibrahim as, yg dihumban ke dalam api oleh ayahandanya...
3. Andaikata kamu buntu di dalam permasalahan dan tidak nampak jalan keluar, usah bersedih. Ingatilah kisah Yunus as, yg terperangkap di dlm perut ikan.

4. Andaikata kamu didatangi penyakit, dan seluruh anggota badan kamu di landa kesakitan, usah bersedih. Ingatilah kisah Ayub as, yg ditimpa kesakitan dan pelbagai penyakit, disamping kehilangan ahli keluarganya.

5. Andaikata kamu melihat akan adanya kekurangan atau kelemahan pada diri kamu, usah bersedih. Ingatlah kisah Musa as, yg tidak dapat bertutur dgn sempurna.

6. Andaikata kamu difitnah dan dicaci oleh manusia di sekelilingmu, usah bersedih. Ingatilah kisah Aisyah ra, yg sabar setelah difitnah sehingga satu kota memperkatakannya...

7. Andaikata kamu rasa kesunyian dan keseorangan serta tiada yg membantu, usah bersedih. Ingatilah kisah Adam as, yg diturunkan ke muka bumi bersendirian sebelum bertemu kembali Hawa.

8. Andaikata kamu rasakan tidak ada kewajaran akan apa yg perlu kamu lakukan, serta detikan hati tertanya mengapa ianya terjadi, usah bersedih. Ingatilah kisah Nuh as, yg tanpa keluh dan tanpa tahu sebabnya, terus membina bahtera yg besar tanpa soal...

9. Andaikata kamu diherdik dan dicerca oleh saudara mara kamu lantaran kamu memilih agama dan kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia, usah bersedih. Ingatilah kisah Muhammad saw, yg dipulaukan dan diperangi oleh keluarganya yg terdekat...


Subhanallah... Masyaallah.. Allahuakbar...

Allah swt mewujudkan personaliti yg hebat2 ini sebelum kita, dan mendatangi mereka dgn pelbagai ujian dan cabaran, dgn tujuan agar satu hari nanti, manusia spt saya dan kamu, bila mana berhadapan dgn sebarang musibah dan tribulasi, tidak perlu berkata "KENAPA AKU?"..

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT