Isnin, 6 Jun 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Menjamu selera dalam kebun getah

Posted: 06 Jun 2016 03:27 AM PDT

Menjamu selera dalam kebun getah
Suasana nyaman di bawah pokok getah menimbulkan suasana kampung yang tenang.
 


MELAKA - Walaupun kedai makan di negeri ini bagaikan cendawan tumbuh ketika ini, namun dengan memberi kelainan ia dapat menggamit pelanggan untuk datang menjamu selera.

Berkonsepkan santai, malah lokasinya seolah-olah berada dalam kawasan kampung menarik minat wartawan Sinar Harian untuk merasai sendiri pengalaman menjamu selera di dalam kebun getah. Tentu ada yang istimewa.

Jelas, dari pemerhatian wartawan, walaupun menyediakan menu ringkas sahaja, tapi seawal jam 7.30 pagi lagi, orang ramai sudah mula membanjiri warung milik Johari Daud, 47, yang baru dibuka sebulan lalu di Jalan Alor Gajah Lama, Kampung Air Semubuk, Durian Tunggal, di sini.

Menurut Johari, sebelum ini, dia sudah berniaga banyak tempat bersama isteri, Nizan Manaf, 53, di samping anak-anak namun rezeki kurang menyebelahi keluarganya.

"Dah banyak tempat berniaga dan berpindah randah. Selepas berfikir dan tawakal, akhirnya kami membina warung kecil-kecilan ini di tanah milik ibu dengan kebenarannya.

"Hari pertama berniaga, saya paling takut tak ada orang nak datang. Untuk roti canai saya hanya buat empat kilogram saja pada hari tersebut. Tapi  tak sangka boleh habis, bahkan bertambah permintaan.

Sehingga kini saya terpaksa buat tujuh hingga lapan kilogram tepung uli sehari," katanya.

Warung guna barang terpakai

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia tawakal untuk membuka warung di kawasan kebun getah kerana beranggapan ia unik dan dilihat sebagai lokasi yang santai.

"Memang pagi-pagi ada yang menoreh. Jadi, sambil bersarapan pagi pelanggan bolehlah lihat orang menoreh. Tempat ini selesa untuk mereka yang gemar suasana kampung dan lari dari kesesakan kota.

"Buat masa sekarang, saya bina warung ini dari barang terpakai kerana kekurangan modal. Tapi ada yang cakap lagi unik buat sendiri. Jimat pun jimat," katanya berseloroh.

Dia kini dalam usaha untuk menambah bilangan meja dan kerusi di samping mahu simen lantai agar lebih selesa buat pelanggan yang datang.

"Modal dah banyak sikit, bolehlah saya simen lantai. Maklumlah, atas tanah takut ada kucing yang buang air, nanti bau busuk pula.

"Setakat ini kami berniaga hanya waktu pagi iaitu dari jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari. Menu pula adalah kegemaran rakyat Malaysia iaitu roti canai, murtabak, kuih muih, nasi lemak dan lontong," katanya.

Bagi dirinya, dia hanya merancang namun tuhan yang menentukan segalanya, yang penting sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan memberi keselesaan untuk keluarga.

Tukar masa berniaga sempena Ramadan

Dalam pada itu, Johari berkata, sepanjang Ramadan, dia akan menukar waktu operasi dari jam 3 petang sehingga waktu berbuka.

"Saya tetap akan buka kedai, sebab ini sahajalah punca pendapatan saya sekeluarga. Menu pula seperti biasa iaitu murtabak, kuih muih dan lain-lain. Kalau tak buka, tak dapatlah kami berhari raya," katanya berseloroh.

Di samping itu, katanya, dirinya juga berniat untuk berniaga sambil bersedekah agar rezekinya sentiasa dimurahkan ALLAH dan mendapat barakah.

"Bagi saya, apa salahnya berniaga sambil bersedekah. Lebih-lebih lagi pada bulan mulia ini. Lepas tamat berniaga, saya bercadang nak sedekah kuih muih sikit ke surau atau masjd berdekatan agar rezeki yang saya terima dapat dikongsi bersama," katanya.


Pas nafi akan jalin kerjasama dengan Umno

Posted: 06 Jun 2016 03:09 AM PDT

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim dan Iskandar menjelaskan perkara itu pada Sidang Media di Markaz Pas Simpang Lima, di sini.
 
 
SUNGAI BESAR – Pas menafikan gambar kemesraan antara pemimpin parti itu dan BN pada hari penamaan calon semalam yang tersebar dalam laman sosial menandakan parti itu ke arah menjalin kerjasama dengan Umno dalam soal politik.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, adalah menjadi kebiasaan setiap kali penamaan calon, pemimpin berbeza fahaman politik akan bertemu antara satu sama lain sementara menunggu pengurus pilihan raya mengumumkan calon parti bertanding.

"Kebetulan semalam (penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar) saya pun ada berjumpa dengan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk (Ahmad) Zahid Hamidi sambil merakamkan ucapan takziah bagi pihak Pas kepada beliau (Ahmad Zahid) di atas kematian menantunya," katanya pada Sidang Media di Markaz Pas Simpang Lima, di sini, tengah hari tadi.

Pada hari penamaan calon di Dewan Seri Bernam, semalam, kemesraan calon Pas dan BN yang duduk semeja di khemah BN menjadi tumpuan di media sosial.

Ia dimulakan apabila Tuan Ibrahim dan Datuk Mustafa Ali duduk semeja bersarapan bersama Ahmad Zahid, Pengarah Pilihan Raya Sungai Besar Tan Sri Noh Omar dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor .

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan, dalam keadaan media baharu yang terbuka ini, kadang-kadang sekeping gambar boleh mengundang pelbagai fitnah.

Ditanya adakah Pas bimbang jika gambar yang tersebar itu akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap parti itu, Tuan Ibrahim menjelaskan mereka perlu memberi penjelasan tentang perkara itu kepada pengundi terutama kepada penyokong atas pagar.

"Pas tak bimbang sebab bagi saya tak ada isu sangat, cuma kalau tak berikan penjelasan ia akan berterusan jadi viral di media sosial," katanya.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad menyifatkan isu yang diviralkan dalam media sosial itu kononnya Pas dan Umno menjalin kerjasama adalah satu politik murahan yang tidak matang.

"Politik yang dibawa Pas ialah politik berdasarkan realiti dan bukan politik  persepsi.

"Politik berdasarkan persepsi seperti inilah yang kita tentang sebab tak selari dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa Pas," katanya.

Ditanya adakah Pas akan ditinggalkan PKR selepas parti itu dilihat membantu Parti Amanah Negara (Amanah), Iskandar berkata, Pas menafikan perkara itu.

"Tak boleh kata kita ditinggalkan sebab kita (Pas) pun kerajaan (negeri) juga.

"Kalau PKR dan DAP turun dengan program kerajaan untuk membantu Amanah..ini bermakna, bahawa Pas juga sebagai kerajaan negeri boleh turun juga.

"Kita ada Adun, kita ada ahli majlis (Pihak Berkuasa Tempatan) dan kita ada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)," katanya.

Pedofilia: Suhakam gesa laksana undang-undang ketat

Posted: 06 Jun 2016 03:05 AM PDT

SINAR HARIAN

pedofilia
Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa undang-undang yang ketat dan khusus dikuatkuasakan di negara ini untuk melindungi kanak-kanak dari segala bentuk keganasan dan pencabulan seksual.

Badan hak asasi manusia itu berkata peruntukan itu harus termasuk undang-undang yang membantu polis, pendakwa dan agensi penguatkuasa untuk memburu dan membawa ke muka pengadilan mereka yang cuba melakukan pencabulan seksual ke atas kanak-kanak dengan memuat naik gambar dan video mangsa dalam talian.

"Tindakan yang sewajarnya dan perlu di semua peringkat harus diambil membawa pelaku jenayah itu ke pengadilan dan mengenakan hukuman yang setimpal selaras dengan semua instrumen antarabangsa yang berkaitan dan terpakai terhadap semua bentuk eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak," kata Suhakam dalam satu kenyataan hari ini.

Suhakam membuat kenyataan itu ekoran pendedahan bahawa pedofil warga Britain, Richard Huckle, 30, mengaku terhadap pelbagai tuduhan melakukan pencabulan seksual kanak-kanak di Malaysia.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Pedofilia: Bagaimana polis Austraila bongkar kes]

Huckle dilaporkan mula melakukan serangan seksual ke atas kanak-kanak ketika berusia 19 tahun dalam jangka waktu yang meliputi sembilan tahun dari Mac 2006 sehingga penangkapannya pada Disember 2014.

Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah terhadap 71 tuduhan termasuk merogol, serangan seksual dan melakukan seks dengan kanak-kanak.

"Suruhanjaya mengulangi bahawa peruntukan khusus harus digubal untuk menghukum pelaku pedofil serta penerbitan, pemilikan dan pengedaran bahan-bahan lucah kanak-kanak," kata Suhakam. - Bernama


DBKL akui tidak mampu periksa semua bazar Ramadan setiap hari

Posted: 06 Jun 2016 02:57 AM PDT

 
Penjaja di semua bazar Ramadan di ibu kota digesa lebih bertanggungjawab dalam aspek pengendalian makanan.

 
Amin-Nordin-Abdul-Azizjpg


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengakui berdepan kekangan untuk menjalankan pemeriksaan harian di semua 89 tapak bazar Ramadan di ibu negara tahun ini.

Sehubungan itu, Datuk Bandar, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz menggesa penjaja di semua bazar Ramadan di ibu kota supaya lebih bertanggungjawab dalam aspek pengendalian makanan.

"Kita janganlah hanya mengharapkan pihak berkuasa. Saya percaya pihak DBKL mempunyai kekangan untuk membuat pemeriksaan secara harian di semua bazar Ramadan dengan kebatasan kekuatan yang kita ada.

"Justeru, saya ingin memohon mereka yang menjalankan perniagaan itu sendiri supaya lebih bertanggungjawab di dalam aspek pengendalian makanan.

"Janganlah kita hanya mengharapkan pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan pengambilan sampel dan sebagainya barulah pada masa itu dan ketika itu kita menyediakan makanan yang bersih.

"Janganlah amalkan sikap ini dan mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan kompaun dan seterusnya tindakan senarai hitam mengikut Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad pada Majlis Pelancaran Program Penguatkuasaan Sanitasi dan Persampelan Makanan Bazar Ramadan 2016 di Flat PKNS Jalan Kuching hari ini.

Mohd Sauffi dalam sidang media selepas itu berkata, operasi penguatkuasaan DBKL kali ini akan melibatkan 54 pegawainya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar.

"Kali ini dianggarkan sebanyak 770 sampel makanan akan diambi dari 14 tapak bazar dan pemeriksaan sanitasi akan dilaksanakan mulai hari ini sehingga minggu terakhir Ramadan.

"Kesemua sampel yang diambil akan diuji kualitinya di Makmal Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan dan jika dilanggar kompaun maksimum RM2,000 serta tindakan disenaraihitamkan akan dikenakan terhadap penjaja bersalah," katanya.

Menurut statistik pada 2015, sebanyak 346 sampel atau 34.4% daripada 1,005 sampel makanan yang diuji disahkan tercemar menyebabkan 43 notis kompaun telah dikeluarkan kepada penjaja.

Awas…anda mungkin diekori

Posted: 06 Jun 2016 02:55 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Suspek akan menyewa kenderaan tempatan dan memerhati serta mengekori mangsa yang mengeluarkan jumlah wang besar di bank sehingga mangsa memberhentikan kenderaan sebelum bertindak.


Stalker


KAJANG: Pastikan anda tidak diekori orang tidak dikenali selepas mengeluarkan wang yang banyak dari bank.

Ini kerana anda mungkin menjadi sasaran perompak.

Menurut polis, modus operandi perompak adalah memerhati dan menyasarkan individu yang mengeluarkan jumlah wang besar di bank dan akan mengekorinya.

"Suspek akan menyewa kenderaan tempatan dan mengekori mangsa hingga tempat mangsa berhenti sebelum bertindak," kata Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

Beliau berkata, polis menahan lima lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pecah kereta di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras, Sabtu lepas.

Othman berkata, tiga daripada suspek itu ditahan di Stulang Laut, Johor, ketika cuba melarikan diri ke negara jiran manakala dua lagi ditahan di Pandan Jaya, Ampang.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 29 hingga 40 tahun, manakala seorang lagi suspek dalam kegiatan sama sedang diburu.

Dalam pada itu, Othman menasihatkan pemilik kedai kereta sewa agar mengambil butir-butir peribadi penyewa kenderaan mereka bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Khamis lalu, dua suspek lelaki memecahkan tingkap sebuah kereta milik seorang pengarah syarikat yang sedang menunaikan solat Asar di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras.

Sebelum itu mangsa membuat pengeluaran wang dari bank berhampiran.

Suspek bertindak memecahkan kereta mangsa dan mengambil sampul surat berisi RM29,440 dan melarikan diri dengan menaiki kereta sewa jenis Myvi.

Statistik polis Kajang menunjukkan terdapat 14 kes pecah kereta di sekitar Kajang dan Bangi pada tahun lalu.– BERNAMA

AMANAH boleh simpan saja harapan ganti PAS di Selangor

Posted: 06 Jun 2016 12:54 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Iskandar berkata, walau apapun keputusan PRK Sungai Besar pada 18 Jun ini, PAS akan tetap bersama kerajaan dan memegang kerusi EXCO dalam kerajaan negeri itu.


Iskandar-Abdul-Samad1


SUNGAI BESAR: AMANAH boleh terus menyimpan harapan mereka untuk menggantikan PAS dalam kerajaan Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, walau apapun keputusan PRK Sungai Besar pada 18 Jun ini, PAS akan tetap bersama kerajaan dan memegang kerusi EXCO dalam kerajaan negeri itu.

"AMANAH perlu ingat, PAS, DAP dan PKR yang membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, sebelum wujudnya AMANAH," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menjawab desas-desus EXCO PAS perlu meletak jawatan dan digantikan AMANAH sekiranya undi calon Pakatan Harapan melebihi undi PAS dalam PRK nanti.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan calon PAS di Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman.

PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRK ini, Dr Abdul Rani berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon BN yang juga ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dan calon AMANAH yang juga Pengerusi AMANAH Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

Tiga EXCO PAS Selangor ialah Iskandar yang merupakan EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor (EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi) serta Zaidy Abdul Talib (EXCO Infrastruktur Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Iskandar bagaimanapun enggan mengulas kedudukan PAS bagi menghadapi PRU14 kerana masih terlalu awal untuk dibincangkan.– BERNAMA

Pelukis 'Najib badut' mengaku tak salah, mohon dibicara

Posted: 06 Jun 2016 12:45 AM PDT

 
 
Aktivis yang juga pereka di sebalik lukisan 'Najib bermuka badut' hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Fahmi Reza, pencipta karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan muka badut itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, antara lain "dengan niat untuk menyakiti perasaan orang lain" dengan menyiarkan gambar berkenaan dalam akaun Instagram beliau.

Kes itu didengar di hadapan Majistret Mohd Zulbahrin Zainuddin. Fahmi mengaku tidak bersalah dan dibenar diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin

Syahredzan Johan dan Melissa Sasidaran mewakili Fahmi.

Memakai pakaian punk hitam dan bertopi, Fahmi juga membawa bersama lukisan Najib bermuka badut itu, dengan slogan 'Dalam negara yang penuh dengan korupsi, kita semua pengasut'.

Beliau dijangka dibawa ke Mahkamah Sesyen di Ipoh Jumaat ini (10 Jun) bagi pertuduhan kedua iaitu menyiarkan amaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) secara parodi dalam akaun Facebooknya.

Anak calon BN nafi pemimpin Umno mahu sabotaj ibunya

Posted: 06 Jun 2016 12:44 AM PDT

Shakira Buang

LIHAT VIDEO DI SINI


Anak sulung calon BN bagi kerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar, Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar menafikan terdapat unsur sabotaj dari dalam Umno berikutan pencalonan ibunya, Datin Mastura Mohd Yazid.

Beliau mengulas dakwaan kononnya wujud unsur sabotaj daripada pemimpin akar umbi berpotensi yang tidak dicalonkan.

Sebaliknya, Wan Emir berkata beliau yakin setiap jentera BN sedang giat berkempen bagi memastikan kemenangan ibunya di parlimen Kuala Kangsar.



"Kami sebagai satu pasukan sekarang tidak merasakan perkara ini (unsur sabotaj) berlaku dan memang kami cukup fokus serta saya berterima kasih kepada setiap jentera parti yang berusaha dalam pilihan raya ini bagi memastikan kemenangan kami," kata Wan Emir kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan BN, Kuala Kangsar hari ini.

Mastura dipilih sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar untuk menggantikan tempat suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terbunuh dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, bulan lalu.

Pada pilihan raya kecil 18 Jun ini, Mastura akan berdepan dengan lawannya dari PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, calon AMANAH Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada pertemuan itu, Wan Emir juga menafikan dirinya bersama tiga lagi adiknya dikawal ketika berkempen.



"Bagi saya itu lebih kepada spekulasi, saya tidak rasa ada ura-ura yang mengatakan kami dikawal oleh pengawal peribadi ke apa. Kami hanya bergaul dengan jemaah seperti biasa dan memang tidak ada pengawal kiri kanan.

"Kalau ada pun situasi begitu dan benar ada pihak yang mendakwanya sebegitu ia bukanlah situasi kami sebagai anak rasa perlu berlaku," kata Wan Emir.

Menurutnya, meskipun beliau sedang giat berkempen bagi pihak ibunya namun ia adalah aktiviti biasa mereka sebagai anak jati Kuala Kangsar.

"Kami memang dah biasa dengan orang Kuala Kangsar, walaupun dalam kempen pilihan raya ia sama sperti hari-hari biasa kami bersama dengan rakyat serta beribadah sempena bulan Ramadan," katanya.


Maips salur RM3.1juta kepada 7,779 asnaf di Perlis

Posted: 06 Jun 2016 12:39 AM PDT

 
 
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) memperuntukkan bantuan Aidilfitri RM3,111,800 untuk diagihkan kepada 7,779 asnaf dalam 105 kariah di Perlis tahun ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah penerima akan menerima RM400 seorang melalui amil-amil yang dilantik bertujuan meringankan beban mereka untuk menyambut Hari Raya.

Baginda yang juga Yang Dipertua Maips bertitah ketika merasmikan Masjid Al-Falah, Behor Mempelam malam tadi. Pada majlis itu baginda turut melancarkan Kempen Ibadah Zakat dan Wakaf Maips melalui Perlis.FM (102.9MH).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Khairi Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Ahmad Zamri Khairuddin dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Maips Ustaz Mohd Nazim Noor turut hadir.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar umat Islam memanfaatkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan untuk memperbaiki diri dan beristiqamah dalam melakukan kebaikan.

"Mudah-mudahan Ramadan kali ini membuka lembaran baharu dalam hidup kita yang berusaha meningkatkan ketakwaan selain mengimarahkan masjid dan surau yang ada di seluruh negeri ini.

"Masjid adalah 'nadi' kekuatan umat Islam. Justeru, umat Islam seharusnya mengimarahkan masjid termasuk sebagai tempat mendidik anak-anak berjemaah menunaikan solat dalam membina kekuatan ukhuwah kaum Muslimin," titah baginda.

Baginda turut memberi peringatan agar perbezaan pendapat politik tidak dibawa ke dalam masjid yang boleh mempengaruhi masyarakat Islam sehingga menjejaskan penganut Islam.

Tuanku Syed Faizuddin menasihatkan umat Islam supaya tidak membazir berbelanja dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa sebaliknya mengawal nafsu dan membeli sekadar keperluan sahaja.

Baginda berkenan menunaikan solat sunat tarawih bersama para jemaah yang hadir di masjid tersebut.

Pengundi Kuala Kangsar tak 'diganggu' bermula jam 4.30 petang hingga Mahgrib

Posted: 06 Jun 2016 12:29 AM PDT

 HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Barisan calon PRK Kuala Kangsar  (dari kiri) Dr Ahmad Termizi, Mohd Kami Shafie yang mewakili Mastura, Dr Najihatussalehah dan Izat Bukhary.Barisan calon PRK Kuala Kangsar (dari kiri) Dr Ahmad Termizi, Mohd Kami Shafie yang mewakili Mastura, Dr Najihatussalehah dan Izat Bukhary.


Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) akan menyesuaikan aktiviti kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar agar tidak menganggu aktiviti harian pengundi khususnya wanita dalam bulan Ramadan ini.

Timbalan Biro Pilihan Raya Amanah Nasional Aiman Athirah Al-Jundi berkata, para pengundi tidak akan 'diganggu' selepas jam 4.30 petang sehingga waktu berbuka puasa bagi memberi peluang kepada mereka yang perlu menyediakan keperluan untuk keluarga.

" Ada berbeza sedikitlah kempen bulan Ramadan ini iaitu kita memberi peluang kepada pengundi kita tidak diganggu selepas jam 4.30 petang sampai waktu berbuka.

"Kita bersama pengundi di masjid pada malamnya, kempen rumah ke rumah berjalan seperti biasa cuma dengan penyesuaian masa bulan puasa," katanya ketika ditemui di dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar semalam.

Menurut beliau juga, sebanyak enam negeri menghantar anggota Awan untuk membantu kempen Amanah dan Pakatan Harapan di Kuala Kangsar selain bantuan daripada wanita PKR dan DAP.

Enam negeri tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kuala Terengganu dan Johor dan Sabah.

"Awan juga bekerjasama dengan DAP dan PKR.Target kita untuk menang walau bagaimana sekalipun kita berusaha untuk menang tak ada siapa masuk ke medan perang untuk kalah. Kita memimpin jentera untuk menang," tegasnya.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Amanah, Pas, BN dan seorang calon bebas.

Calon Pakatan Harapan Dr Ahmad Termizi Ramli akan ditentang calon BN Mastura Mohd Yazid, calon Pas , Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK Parlimen Kuala Kangsar kali ini.

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria berkata jumlah berkenaan meliputi pengundi biasa sebanyak 32,632 orang, pengundi awal (312) dan pengundi tidak hadir (lima).

Seramai 15,334 pengundi biasa adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan dan 17,298 dari kawasan DUN Manong.

Kes banglo Guan Eng: AG arah SPRM lengkapkan siasatan

Posted: 06 Jun 2016 12:25 AM PDT

MALAYSIAKINI

Jabatan Peguam Negara telah mengembalikan kertas siasatan berkaitan kes penjualan banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pemulangan kertas siasatan itu dibuat setelah pihaknya meneliti keseluruhan keterangan dan mendapati keperluan untuk beberapa tindakan yang lanjut bagi melengkapkan siasatan kes ini.

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas siasatan tersebut, Jabatan ini telah mendapati bahawa terdapat beberapa tindakan yang perlu di siasat lanjut bagi melengkapkan siasatan kes ini.

"Oleh itu, Jabatan ini telah pada hari ini mengembalikan kertas siasatan tersebut untuk membolehkan pihak SPRM melaksanakan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan.

Baru-baru ini, sebuah portal berita pro-Umno telah mempersoalkan perkembangan kes yang membabitkan pembelian banglo pada harga RM2.8 juta oleh Lim yang didakwa di bawah harga pasaran.

MyKMU dalam catatan menyatakan telah lebih sebulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Justeru, tanpa sedikit pun niat nak mempertikai kewibawaan Peguam Negara, sekadar nak mendapatkan kepastian, apa sebenarnya perkembangan kes ini?

"Biasanya rakyat dimaklumkan kalau kertas siasatan dipulangkan, kes ditutup, diteruskan pendakwaan dan sebagainya, tapi dalam kes ini belum ada apa-apa lagi," katanya.

Mengulas lanjut, Apandi berkata, pihaknya juga telah memberi arahan kepada SPRM untuk menyegerakan siasatan terbabit dan mengembalikan hasil kertas siasatan itu secepat mungkin.

"Jabatan ini juga telah mengarahkan agar kertas siasatan tersebut dikembalikan dalam masa terdekat," ujar Mohamed Apandi lagi.


Saya sangka akan mati – penumpang MH01

Posted: 05 Jun 2016 07:38 PM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Pesawat itu terhentak ke bawah sebelum melambung semula ke atas dan makanan bertaburan terkeluar daripada troli, kata seorang penumpang.


mh01


PUTRAJAYA: Seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH01, yang mengalami gegaran udara semasa dalam perjalanan dari London ke Kuala Lumpur hari ini, menyangka beliau akan menemui ajal semasa gegaran menakutkan itu berlaku.

Wanita warga Singapura berusia dalam lingkungan 50-an itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Mary, berkata gegaran udara itu berlaku kira-kira lima minit dalam masa tiga jam sebelum pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

"Saya duduk di bahagian dek atas. Pesawat itu seakan-akan terhentak ke bawah sebelum melambung semula ke atas. Ketika itu, anak kapal hendak mengedarkan makanan kepada penumpang…saya lihat bungkusan makanan bertaburan daripada troli makanan.

"Saya juga nampak seorang pramugari terhantuk kepalanya sebelum terjatuh dan luka di lutut," katanya sambil memberitahu juruterbang turut membuat pengumuman meminta semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan semasa insiden itu.

Mary, yang tidak cedera dalam kejadian itu, ditemui semasa menemani temannya seorang warga Malaysia mendapatkan rawatan kerana kecederaan di tulang pinggul di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya.

Beliau yang merancang bercuti beberapa hari di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Singapura, tidak menyangka akan menghabiskan masanya di Hospital Putrajaya selepas tiba dari London.

Setakat 10.30 malam tadi, lima penumpang MH01 yang cedera dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

MAB dalam kenyataannya berkata beberapa penumpang dan anak kapalnya cedera ringan apabila pesawat MH01 itu, yang dalam penerbangan dari London menuju ke Kuala Lumpur, mengalami gegaran udara teruk ketika berada di ruang udara Teluk Bengal.

Pesawat jenis Airbus A380 itu bagaimanapun, selamat mendarat bersama 378 penumpang dan anak kapal di KLIA pada 6 petang semalam.

Sejumlah kecil penumpang dan anak kapal yang cedera diberi rawatan oleh pegawai perubatan sejurus pesawat itu mendarat di KLIA.

Kenyataan itu menyebut MAB membantu kesemua penumpang dan anak kapal serta memohon maaf di atas sebarang kesulitan berikutan keadaan cuaca yang di luar kawalan.— BERNAMA

Umat Islam Amerika mengenang Muhammad Ali sebagai wira

Posted: 05 Jun 2016 07:33 PM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Muhammad Ali kini disegani segenap lapisan rakyat Amerika Syarikat walaupun pernah dibenci kerana beberapa kenyataan tegas menentang dominasi kulit putih. 


muhammad-ali2


WASHINGTON: Pemergian legenda tinju Muhammad Ali merupakan kehilangan besar buat umat Islam di Amerika Syarikat (AS) kerana peranannya sebagai duta Islam di sebuah negara di mana agama itu dicurigai dan berdepan salah faham.

"Kami bersyukur kepada Tuhan kerananya," Talib Shareef, presiden dan imam Masjid Muhammad di Washington memberitahu sekumpulan pemimpin umat Islam pada sebuah majlis memperingati Ali, yang meninggal dunia di sebuah hospital di Phoenix pada usia 74.

"Amerika perlu bersyukur kepada Tuhan kerananya. Beliau merupakan wira Amerika."

Umat Islam AS menganggap Ali seorang wira dan sebahagian daripada arus perdana negara itu, bermula daripada pergerakan menuntut hak sivil, pergerakan Islam berkulit hitam 1960an sehingga ke peristiwa 11 September 2001.

Antara lain, mereka memperingati Ali sebagai wira keadilan sosial, pendukung kerja amal dan penentang perang AS di Vietnam.

Bagi mereka, Ali merupakan seorang Islam yang disanjungi sebuah negara majoriti Kristian, walaupun masyarakat AS terkejut dengan penyertaannya dalam Nation of Islam dan keputusannya menukar nama daripada Cassius Clay pada 1964.

"Melihat sejarah masyarakat kulit hitam, faktor penting dalam penyebaran Islam di Amerika adalah Muhammad Ali," kata Warith Deen Mohammed II, anak kepada bekas pemimpin Nation of Islam.

Umat Islam yang berjumlah 3.3 juta mewakili 1% jumlah penduduk AS, dan sebahagian besar mereka merupakan imigran dan penduduk kulit hitam yang masuk Islam.

Walaupun mereka lebih sebati dengan masyarakat am berbanding umat Islam di Eropah, umat Islam AS menghadapi kesulitan biarpun negara itu semakin kurang ciri kulit putih dan Kristian.

Sejak 2001, mereka terpaksa berhadapan tindak balas rakyat Amerika yang memandang serong penduduk Islam dengan menganggap mereka pendukung kumpulan jihad.

Beberapa dekad lalu, pemimpin Islam berkulit hitam seperti Elijah Muhammad dan Malcolm X mengetuai penentangan terhadap pentadbiran kulit putih dalam perjuangan menuntut hak sama rata untuk minoriti agama dan etnik.

Elijah mengembangkan fahamannya dengan mengecam penindasan dilakukan golongan kulit putih dan juga menentang sebarang usaha ke arah integrasi kaum.

Walaupun Ali disanjungi, beliau pernah ditolak masyarakat kulit putih dan juga sebilangan pemimpin kulit hitam selepas mengeluarkan beberapa kenyataan tegas mengenai kumpulan haluan kanan kulit putih, serta keengganannya menyokong cara Martin Luther King, seorang penganut Kristian.

"Proses penjinakan imej Ali sejak kebelakangan ini menyebabkan ramai lupa yang beliau pernah dibenci pada tahun 1960an kerana memeluk Islam dan kerana tidak mahu menyertai tentera AS," kata Frank Guridy, profesor sejarah di Columbia University.

"Beliau disifatkan pengkhianat kepada Amerika Syarikat."

Ali memeluk Islam pada tahun 1970an dan mengikuti aliran Sufi.

Pada majlis memperingatinya di Washington, pelbagai pemimpin Islam memberikan ucapan memuji Ali.
Disember lalu, Ali mempertahankan umat Islam selepas calon Republican untuk pilihan raya presiden, Donald Trump, berkata umat Islam tidak patut dibenarkan memasuki AS susulan serangan militan di Paris dan California.

"Pemimpin politik sepatutnya menggunakan kedudukan mereka bagi membawa pemahaman tentang Islam, dan memberi penjelasan yang pembunuh sesat seperti itu hanya mencemarkan pandangan tentang Islam yang sebenar," kata Ali dalam kenyataannya.

Ali pernah menggunakan pengaruhnya dalam menuntut pembebasan wartawan Washington Post, Jason Rezaian, yang dipenjarakan 18 bulan di Iran, serta wartawan Wall Street Journal, Daniel Pearl, yang ditawan pelampau Islam di Pakistan yang dipancung kepala pada 2002.

"Muhammad Ali merupakan anugerah Tuhan," kata Nihad Awad, pengarah Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), "bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga seluruh dunia".– Reuters

Senarai harga barangan kawalan akan diumum minggu depan

Posted: 05 Jun 2016 07:25 PM PDT

SINAR HARIAN

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin


LARUT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengumumkan senarai harga barangan kawalan sempena Ramadan di Kuala Kangsar minggu depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, senarai itu bertujuan memastikan harga barangan keperluan yang dijual sepanjang Ramadan tidak melonjak naik dan memberi tekanan kepada pengguna.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga semata-mata untuk mengaut keuntungan pada Ramadan ini.

"Peniaga hendaklah mengamalkan kosep membantu antara peniaga dan pengguna.

Kalau berniaga, buatlah secara berhemah bagi membantu mereka yang berpuasa dan tidak mencari keuntungan berlebihan.

"Pengguna juga perlu berbelanja secara berhemah," katanya pada sidang berita selepas menyampaikan bantuan moreh peringkat Parlimen Larut di Batu Kurau dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 108 masjid dan surau masing-masing menerima bantuan wang tunai RM500 bagi masjid dan RM300 bagi surau.

Hamzah berkata anggota penguat kuasa KPDNKK akan menjalankan pemeriksaan di bazar-bazar Ramadan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga jualan sehingga membebankan pengguna.

Dalam pada itu, beliau berkata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak pernah membenarkan mana-mana syarikat perniagaan menggunakan nama lucah, nama Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja pada papan tanda dalam pendaftaran syarikat mereka.

"Kalau ada berlaku penggunaan nama lucah pada papan tanda, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana syarikat terbabit," katanya semasa mengulas mengenai sebuah papan tanda menggunakan perkataan lucah yang disebarkan dalam laman sosial. - Bernama


Umat Islam di Sabah disaran manfaat Balai Cerap Al Biruni

Posted: 05 Jun 2016 07:22 PM PDT

BERNAMA
 
 
Balai Cerap al BiruniBalai Cerap al Biruni


Ketua Menteri Sabah menyarakan umat Islam di negeri ini memanfaatkan Balai Cerap al-Biruni di sini sebagai pemangkin bagi penyelidikan dan pendidikan berkaitan ilmu falak atau astronomi.

Jelasnya, ini kerana balai cerap itu merupakan balai cerap keempat di negara ini dan menjadi mercu tanda Islam di negeri ini.

Beliau juga berkata Balai Cerap al-Biruni menjadi lokasi tahunan majlis rasmi ruqyah hilal (melihat anak bulan), khasnya dalam menentukan kedatangan bulan Ramadan dan bulan Syawal serta Zulhijjah bagi menetapkan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

"Majlis ini juga jelas membuktikan simbol kejayaan umat Islam dalam penerokaan ilmu falak.

"Oleh itu, saya menyarankan agar Balai Cerap al-Biruni ini dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya oleh umat Islam di negeri ini termasuklah para penuntut dalam bidang pengajian yang berkaitan," katanya pada Majlis Ruqyah Hilal Ramadan di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Sempena kedatangan bulan puasa, Musa berharap Ramadan akan mencetus semangat kepada umat Islam untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab berpuasa dan beribadah dengan ikhlas, lebih komited dan bersungguh-sungguh.

Azmin mungkin tak turun berkempen

Posted: 05 Jun 2016 07:13 PM PDT

Azmin mungkin tak turun berkempen
Mohamed Azmin Ali meluangkan masa bertemu Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Pekarangan Pusat Penamaan Calon Dewan Seri Bernam, pagi tadi.
 
 
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau mungkin tidak dapat memberikan komitmen sepenuh masa untuk berkempen bagi membantu calon Pakatan Harapan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Katanya, sukar untuk menentukan jadual harian beliau lantaran kesibukan mengiring Sultan Sharafuddin Idris Shah ke majlis berbuka puasa di Selangor.

"Saya akan melihat jadual saya dan cuba berada di kedua-dua tempat dalam masa yang sama saya juga harus memenuhi tugas saya seperti tahun lepas untuk mengiringi Tuanku Sultan pada hampir setiap malam," katanya kepada ketika proses penamaan calon PRK Sungai Besar.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan cuba mencari masa yang sesuai untuk turun berkempen di kedua-dua PRK.

Sementara itu, Mohamed Azmin menyeru supaya semua jentera parti PKR turun berkempen ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk membantu calon Pakatan Harapan yang bertanding.

Dalam pada itu, beliau juga sempat mengucapkan selamat kepada calon Pas, Dr Rani Abdul Othman yang bertanding di Sunagi Besar.

"Dr Rani dari Pas masih sebahagian daripada kerajaan negeri dan dia juga penyokong polisi kerajaan negeri," katanya.

Berbeza dengan di Kuala Kangsar, beliau berkata, fokus pembangkang di Selangor iaitu Pakatan Harapan dan Pas ialah menumbangkan BN.


Radio al-Quran pertama dilancar

Posted: 05 Jun 2016 07:03 PM PDT

SINAR HARIAN

Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim)
Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim)


IPOH - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan radio al-quran yang julung kalinya di negara ini iaitu 'Radio Nurul Quran Nusantara' bagi membudayakan masyarakat Islam terutama golongan muda dalam mendampingi kitab suci berkenaan.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, dengan menggunakan tag line 'Nurul Quran Nurul Hayah' yang bermaksud Cahaya al-Quran, Cahaya Kehidupan, ia mengetengahkan konsep tarbiyah, keilmuan, kemahiran membaca, kefahaman, motivasi dan penghayatan al-quran dalam setiap programnya.

Beliau berkata sebagai permulaan, siaran radio itu yang memulakan siaran percubaan minggu lalu menggunakan talian Internet atau web radio sebelum disiarkan sepenuhnya dengan memohon lesen frekuensi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Penyiaran radio ini adalah selama 24 jam sehari yang turut menyiarkan panduan untuk menghafal al-quran dan membaca dengan betul.

"Kita tidak ada iklan kecuali yang ada kaitan dengan al-quran. Contohnya orang yang ingin dapatkan al-quran tertentu, maka kita akan siarkan, tetapi tidak iklan produk," jelasnya kepada pemberita.

Majlis pelancaran radio berkenaan disempurnakan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria di Masjid Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata, dalam usaha memperkenalkan radio berkenaan, Mapim akan mengambil inisiatif untuk menjelajah negara Asean antaranya Kemboja, Vietnam dan Laos dalam tempoh tiga atau empat bulan ini.

Tambahnya pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM.fm bagi memperkayakan lagi program dan siaran radio tersebut terutama pada bulan Ramadan ini.

"Ketika sesi percubaan minggu lalu, sambutan yang kita terima adalah amat baik dan kita harap radio al-quran ini mampu membawa perubahan dalam masyarakat supaya berpaksikan al-quran," katanya.

Orang ramai yang ingin mengikuti siaran radio ini boleh melawati laman sesawang
www.radionurulquran.com atau memuat naik aplikasi radionurulquran di Google Playstore. - Bernama


Selipar, cebok milik Tok Guru imbau nostalgia

Posted: 05 Jun 2016 06:57 PM PDT

Selipar, cebok milik Tok Guru imbau nostalgia
 

SAYU... Mungkin ini kata-kata dapat digambarkan ketika melangkah masuk ke Galeri Tok Guru yang menempatkan pelbagai barangan peribadi milik bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun tidak mengenalinya dengan rapat namun rasa itu muncul juga.

Penulis terbayang bagaimana perasaan insan-insan yang mengenalinya dengan rapat dalam situasi ini.

Rasa sayu tiba-tiba datang ketika kaki melangkah masuk di pintu galeri dan saat mata ini terpandang pelbagai potretnya yang dipamerkan.

Seolah-olah terimbau kembali cara beliau bercakap dan menjawab pertanyaan ketika sidang media mahupun ketika 'diserbu', al-Fatihah Tok Guru.

Difahamkan meski baru beberapa hari dibuka, galeri tersebut sudah dikunjungi lebih 500 orang ramai dari seluruh negara.

Sebelum ini, asyik mendengar cerita orang, namun setelah melihat sendiri bagaimana sederhananya kehidupan seorang bekas pemimpin yang pernah memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang itu sekian lama, rasa kagum memang tidak dapat dinafikan.

Baldi, gayung, selipar, berus gigi, bangku plastik malah cebok yang digunakan Allahyarham saja boleh menggambarkan kehidupan sehariannya.

Tiada satu pun barangan berjenama digunakan, sebaliknya hanya barangan biasa termasuk pakaian yang digemarinya, sehelai pagoda berwarna putih.

Menurut anak lelaki sulungnya, Nik Omar, Allahyarham bapanya itu juga tidak gemarkan sejadah yang bercorak-corak.

"Ayah lebih suka alas (sejadah) warna putih tapi kalau tak ada dia akan balikkan sejadah bercorak dan gunakan yang belakangnya," katanya ketika ditemui di Galeri Tok Guru semalam.

Selain sejadah beberapa barangan lain turut dipamerkan antaranya, al-Quran dan rehal yang sering digunakan Allahyarham, almari baju yang berusia puluhan tahun, peralatan berkebun, koleksi barangan peribadi seperti lesen serta pasport dan lain-lain.

Galeri yang terletak berhampiran dengan kediaman Allahyarham di Pulau Melaka itu bakal dibuka kembali kepada umum setelah tamat cuti sekolah.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari tahun lalu di rumahnya kira-kira satu jam selepas keluar daripada hospital.


Lim akui 4 penjuru beri kelebihan pada BN

Posted: 05 Jun 2016 06:52 PM PDT

Bernama   
 
 
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengakui bahawa pertandingan empat penjuru bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata ini dapat dilihat apabila PAS yang kini bukan lagi sekutu DAP lebih bersedia menentang pembangkang sendiri dalam pertandingan itu berbanding menentang BN.

"Tentu di sini kita lihat ada kelebihan pada BN. Lebih-lebih lagi bila sekarang PAS tak lawan BN lagi, PAS nak lawan pembangkang saja, jadi tentu ini beri kelebihan kepada BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Medan Selera Perkampungan Permatang Tinggi di Bukit Mertajam hari ini.

Lim yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu berkata pihaknya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan dan akan terus berusaha dan membantu jentera Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pilihan raya itu.

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), PAS, Amanah dan Bebas.

Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid akan ditentang Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli, dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), dan selebihnya ialah Bumiputera Sarawak, Bumiputera Sabah, dan Orang Asli.

Pengundian diadakan pada 18 Jun ini.

Lebih panjang keris, lebih nasionalis parti itu - Dr M

Posted: 05 Jun 2016 06:50 PM PDT

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegur PAS kerana cuba menjadi lebih nasionalis daripada Umno.

Beliau berkata PAS pernah mengkritik Umno kerana bersifat nasionalis, tetapi kini parti Islam itu menjulang sebilah keris lebih panjang daripada 'keris' parti nasionalis Melayu itu.

Muktamar PAS ke-62 di Kota Bharu baru-baru ini menyaksikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghunus keris replika gergasi bagi memotong kek yang kelihatan seperti bendera parti tersebut.

"Sebelum ini, mereka kutuk Umno kerana nasionalis. Sekarang mereka lebih nasionalis, kerana keris mereka adalah lebih panjang daripada keris Umno.

"Lihat, kamu ukur nasionalisme oleh panjang keris. Jika ini lebih panjang, maka ia adalah lebih nasionalis.

"Mereka telah sedar bahawa mereka adalah orang Melayu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kuala Lumpur petang ini.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mempertahankan penggunaan keris gergasi itu dengan mengatakan bahawa ia menjadikan acara itu lebih berwarna-warni.

Sementara itu, menjawab satu soalan, Dr Mahathir berkata PAS dan Umno kini menjalinkan hubungan kerana saling memerlukan.

"PAS telah kehilangan penyokong sendiri, dan Umno sedang mencari penyokong. Jadi mereka bekerja bersama-sama,"katanya.

Sebelum sidang akhbar itu, Mahathir melancarkan autobiografi Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali edisi Bahasa Melayu bertajuk 'Perjuangan Tanpa Noktah', manakala isteri bekas perdana menteri itu Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali melancarkan edisi bahasa Inggeris 'The Misunderstood Man'.

Apabila ketua PERKASA itu ditanya mengenai pendirian parti itu terhadap Rang Undang-Undang yang diusulkan PAS Ibrahim berkata, PERKASA biasanya akan menyokong apa-apa berkaitan dengan Islam.

Namun katanya ia harus mengikut ajaran Islam sebenar dan adil kepada semua, bukan sahaja orang Islam tetapi juga bukan Islam.

Pada ketika itu, Mahathir mencelah untuk menjelaskan bahawa dalam al-Quran, terdapat 43 ayat yang menekankan mengenai kepentingan berlaku adil dalam menjatuhkan keadilan.

"Jika orang Cina dan Melayu mencuri bersama-sama, mengikut apa yang mereka (PAS) cadangkan sekarang, tangan orang Melayu akan dipotong tapi orang Cina hanya masuk penjara selama dua bulan," katanya dalam sesi dialog sempena pelancaran buku Apa Habaq Orang Muda di Kuala Lumpur semalam.

"Adakah itu (perbezaan hukuman) adil? Saya rasa anda tidak akan mengatakan ia adil.

"Keadilan hanya boleh dicapai jika hukuman adalah sama untuk kedua-dua pesalah.


Penumpang, anak kapal cedera, pesawat MH01 alami gegaran udara

Posted: 05 Jun 2016 06:39 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Beberapa gegaran udara atau 'turbulence' semasa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dalam perjalanan dari London menuju ke Kuala Lumpur menyebabkan kira-kira 34 penumpang dan anak kapalnya mengalami kecederaan ringan.
 
Menurut kenyataan yang dikeluarkan MAS, pesawat MH01 mengalami gegaran udara ketika berada di ruang udara Teluk Bengal selepas berlepas dari Heathrow pada Ahad.
 
"Semasa penerbangan itu, isyarat pasang tali pinggang keledar dinyalakan berikutan gegaran udara," kata MAS.
 
Menurut MAS, pasukan perubatan dan pengurusan kanan MAS bergegas untuk memberi bantuan dan rawatan kepada penumpang dan anak kapal yang cedera sebaik sahaja pesawat itu mendarat kira-kira pukul 6.10 petang.
 
"Sebilangan kecil penumpang dan anak kapal terjejas telah menerima rawatan daripada pegawai perubatan.
 
"MAS membantu 378 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH01 dan memohon maaf diatas segala kesulitan yang disebabkan keadaan cuaca buruk itu," katanya.
 
 

Rumah Bilal terbakar di Sungai Besar

Posted: 05 Jun 2016 06:37 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic


SUNGAI BESAR: Lima sekeluarga berdepan nasib malang ketika waktu solat Tarawih pertama Ramadan tahun ini apabila rumah papan dua tingkat yang didiami mereka di Kampung Sungai Limau di sini terbakar.

Rumah tersebut, milik Musolli Resad, seorang bilal masjid terbakar kira-kira pukul 8.30 malam, ketika kebanyakan penduduk kampung beragama Islam sedang sibuk ke surau dan masjid untuk menunaikan solat Tarawih pertama mereka.

Musooli, 63, berkata beliau dimaklumkan tentang kejadian ini oleh penduduk kampung ketika hendak solat Tarawih di masjid berhampiran.

"Habis semuanya. Saya telah keluarkan RM2,000 sebagai persediaan berpuasa, saya orang tua susah nak keluarkan sikit-sikit duit dari bank. Takdir Tuhan jadi begini.

"Semua dokumen habis terbakar, kami tinggal sehelai sepinggang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam Ahad.

Katanya, dua anaknya sedang berada di dalam rumah ketika kejadian tetapi berjaya menyelamatkan diri.
Isterinya Juminah Rusdi, 60, juga sedang berada di masjid bersama menantunya.

Juminah yang mengambil upah menjahit baju berkata beliau menanggung kerugian kira-kira RM1,000 apabila kain dan pakaian yang ditempah hangus dalam kebakaran itu.

Anaknya, Siti Aina Atikah, 25, berkata dia telah terhidu bau hangit dan apabila dia keluar dari biliknya, dia melihat api telah merebak ke tiga bilik lain.

Buat masa ini Musolli berkata beliau dan keluarga akan menumpang di rumah adiknya di kawasan berhampiran.

Pasukan Bomba dan Penyelamat telah mengerahkan dua buah kereta bomba untuk memadamkan kebakaran.

Hampir 70 peratus bahagian rumah itu telah terbakar.

Difahamkan, calon Barisan Nasional Budiman Mohd Zohdi sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian.





Tiada ulasan: