Selasa, 21 Jun 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


‘Negeri Serambi Mekah kotor, memalukan’

Posted: 20 Jun 2016 11:41 PM PDT

Harap kerajaan kelantan dapat menerima dan membuat sesuatu langkah yang sewajarnya diatas teguran yang diluahkan oleh Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff ini.....jangan sampai orang lain mendapat pandangan yang salah tentang Islam... Berdasarkan statistik, Islam merupakan agama majoriti anutan rakyat Kelantan  iaitu 95.2%. Tetapi Kelantan tidak menepati gambaran sebagai negeri yang penduduknya ramai beriman walaupun kita diberitahu bahawa 'Kebersihan sebahagian daripada iman'.

 PETALING JAYA: Ahli akademik kelahiran Kelantan meluahkan rasa tidak puas hati dengan tahap kebersihan negeri itu yang menurutnya kotor dan memalukan.

 Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berkata, isu kebersihan negeri yang diberi jolokan serambi Mekah itu bukan sesuatu yang baru, malah ia berlaku sejak sekian lama.

 Katanya, kerajaan PAS Kelantan juga tidak sepatutnya menjadikan alasan tiada dana kewangan yang cukup untuk menyelesaikan masalah tersebut, kerana mereka boleh meminta bantuan daripada pusat.

 "Pesan saya kepada kerajaan negeri, janganlah selalu memberi alasan tiada duit kerana diskriminasi kerajaan pusat apabila gagal menyediakan keperluan asas rakyat.

 "Malulah kita negeri yang 'Membangun Bersama Islam' jika mengambil mudah kepada hal menjaga kebersihan dan keperluan rakyat.

 "Jika sungguh tidak ada duit, mintalah bantuan kerajaan pusat. Dengan hubungan politik yang baik di bawah payung 'politik matang dan sejahtera' sekarang, bantuan itu diberikan," tulis Agus dalam Facebooknya.

 Beliau turut menasihati kerajaan Kelantan menjadikan Melaka dan Negeri Sembilan sebagai contoh dalam hal kebersihan.

 "Bukan sahaja bandarnya bersih, kampung-kampungnya juga dijaga bersih. Mengapa kita tidak boleh lakukan hal yang sama di negeri kita?" katanya.

 'Kelantan semakin bersih'

 Diminta mengulas dakwaan itu, Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood ketika dihubungi FMT berkata, pihaknya mengakui perkara tersebut, namun berkata tahap kebersihan di negeri itu meningkat setiap tahun.

 Katanya, rata-rata rakyat yang kembali ke Kelantan memuji perubahan tahap kebersihan yang berlaku di negeri itu setiap tahun.

 "Ramai orang yang puji dari sudut peningkatan kebersihan setiap tahun kerana banyak masalah sudah selesai," kata Abdul Fattah, dan menambah kerajaan negeri melakukan kini agresif memberi kesedaran kepada umum mengenai kebersihan, termasuk dengan membuka talian khusus aduan kebersihan.

Abdul Fattah mengakui kerajaan negeri bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut dan mengalu-alukan aduan, teguran serta cadangan.

 Katanya, sasaran kerajaan negeri mencapai negeri bersih tahun ini terhalang selepas banjir besar akhir tahun 2014, dan berharap matlamat itu dicapai pada tahun depan. ~ sumber

Tiada ulasan: