Rabu, 20 April 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kluster MPI Dekatkan PAS-UMNO

Posted: 20 Apr 2016 12:03 AM PDT

Zahid pengerusikan mesyuarat Kluster Politik dekatkan Pas - Umno hari ini

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mempengerusikan mesyuarat Kluster Politik, Majlis Perundingan Islam (MPI) di sebuah hotel terkemuka hari ini di ibu negara yang bakal menggabungkan pemimpin Umno dan Pas serta pegawai kanan kerajaan dan pensyarah univesiti tempatan.

Menurut sumber, mesyuarat itu adalah untuk kesekian kalinya selepas beberapa kali mesyuarat telah diadakan sebelum ini yang bertujuan mendekatkan lagi kerjasama antara Umno dan Pas demi kepentingan orang Melayu dan Islam.


Selain Zahid sebagai pengerusi, timbalan pengerusi kluster politik ini adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub.

Mesyuarat terakhir sebelum ini iaitu pada 3 April lalu dipengerusikan oleh Zambry.

Ahmad dipercayai tidak akan menyertai mesyuarat hari ini kerana masih belum sihat selepas menjalani pembedahan di kepala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) beberapa hari lalu.

Selain Ahmad, turut mewakili Pas dalam mesyuarat ini adalah Datuk Dr Khairudin Aman Razali, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas yang juga ahli parlimen Kuala Nerus dan Dr Zuhdi Marzuki, pensyarah kanan Universiti Malaya yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Pas.

Dua bekas pemimpin Pas iaitu Datuk Nasharudin Mat Isa (bekas timbalan presiden) dan Datuk Dr Hassan Ali (bekas naib presiden Pas) adalah anggota kluster ini.


Di samping mereka, beberapa mufti termasuk Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Terengganu juga ahli kepada kluster ini di samping Presiden Isma, Abdullah Zaik dan pensyarah Universiti Pertahanan Nasional, Dr Redhuan Tee Abdullah.

Sebelum ini, makmal yang dijalankan oleh MPI menyarankan parti politik supaya bersama-sama dalam satu persefahaman ke arah membentuk kesepaduan ummah.

Zahid yang juga Pengerusi MPI, berkata dalam menghadapi cabaran semasa, parti politik harus berada dalam 'acuan yang sama' atas kepentingan Islam tanpa merendahkan agama lain.

Beliau berkata walaupun berat, perkara itu boleh dilakukan sekiranya kesedaran mengenai kepentingan penyatuan sesama Islam diberi keutamaan, bukannya latar belakang politik.

"Sudah tiba masanya untuk penyatuan ini dilakukan tetapi tidak semestinya hanya dalam bentuk tahaluf siyasi atau kerjasama politik.

"Sebaliknya, ia juga boleh dilakukan dalam bentuk persefahaman dan pemahaman terhadap tugas dan bidang masing-masing dengan cara haruslah tidak mengetepikan asas utama iaitu ke arah penyatuan ummah keseluruhannya," kata beliau pada sidang media selepas menghadiri lab kluster MPI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 12 April lalu.

Saranan itu, kata Zahid, dibuat oleh Kluster Politik iaitu satu daripada tujuh kluster yang membentangkan pandangan pada makmal tersebut.

Kluster lain yang terlibat dalam perbincangan tersebut ialah Kluster Dakwah, Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Perundangan Islam dan Pemikiran Islam, katanya. -Malaysia Dateline

ULASAN GB

Tiada apa yang dapat GB ulas lagi selain dari mendoakan agar PAS-UMNO berjaya didekatkan dan digabungkan.

Apa tah lagi yang mewakili PAS adalah terdiri dari mereka yang memang dikenali sebagai pelupor gerakan "kerajaan Perpaduan" PAS-UMNO seperti Zuhdi Marzuki dan Khairuddin Aman Razali. Malah bekas pemimpin PAS seperti Hassan Ali dan Nasaruddin Mat Isa adalah juga sebenarnya "broker" untuk projek berkenaan.

Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar. Selamat maju jaya.

Zakir Naik Cadang PAS-UMNO Bentuk Kerajaan Campuran

Posted: 19 Apr 2016 07:25 PM PDT

Zakir Naik: Umno-PAS boleh jadi gabungan untuk orang Islam

Kerajaan campuran UMNO dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam, kata pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik.

Katanya beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti politik berkenaan membentuk kerajaan campuran.


"Saya bukan hendak memberitahu kedua-dua parti (UMNO dan PAS) perlu menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian, Alhamdulillah...(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan identiti masing-masing.

"Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan untuk orang Islam," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam rakaman program bual bicara TV Al Hijrah, 'Persepsi', di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Zakir Naik, yang kini menjelajah Malaysia bagi menyampai syarahan agama, dituduh oleh pihak tertentu kononnya ceramah beliau boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menyentuh sensitiviti agama lain.

Sejak beberapa hari lepas, beliau telah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dr Zakir Naik, dari India, berkata beliau percaya kedua-dua pemimpin parti itu bersedia bekerjasama membentuk kerajaan campuran, dan jika perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk Islam.

Bagaimanapun, katanya mungkin ada beberapa pihak di negara ini yang tidak bersetuju dengan pendapatnya dan tidak mahu melihat UMNO dan PAS membentuk kerajaan campuran.

Dr Zakir Naik juga mencadangkan supaya lebih banyak program diadakan di negara ini bagi menjelaskan mengenai Islam kepada orang bukan Islam serta menghapuskan sebarang salah faham mereka tentang Islam.

Menurutnya pada pertemuan dengan Najib, beliau telah memaklumkan mengenai Persidangan Dunia Islam Dalam Bahasa Inggeris yang diadakan di Mumbai, India, baru-baru ini, dan perdana menteri bertanya sama ada persidangan itu boleh diadakan di Malaysia. - Bernama

ULASAN GB

Setakat ini, PAS masih flip-flop mengenai kerajaan campuran dengan UMNO. Ahli-ahli PAS masih ramai yang keliru dengan pendirian pemimpin mereka.

Kini sudah ada cadangan dari pendakwah antarabangsa, Zakir Naik.

Justeru PAS tidak perlu lagi flip-flop, pimpinan PAS tidak perlu lagi bertelingkah dan PAS sendiri sudah tidak perlu silu-malu untuk bergabung / membentuk kerajaan campuran dengan UMNO.

Ia penting supaya ahli-ahli PAS khususnya dan rakyat amnya tidak lagi terkeliru.

Cadangan Zakir Naik itu sebenarnya selari dengan cadangan beberapa pendirian pimpinan tertinggi PAS, misalnya pendirian Mursyidul Am PAS, Dato Harun Din yang sebelum ini pernah mencadangkan kerajaan campuran PAS-UMNO di Perak seperti yang didedahkan di SINI.

Ia juga selari dengan gagasan Kerajaan Perpaduan yang pernah dianjurkan oleh Presiden PAS sendiri disamping beberapa kenyataannya yang lebih banyak mendokong dan menyokong kerajaan UMNO BN di bawah pimpinan Najib dengan hasratnya untuk menjadi Penasihat kerajaan UMNO BN.

Tiada ulasan: