Rabu, 13 April 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pemakan Dedak Takkan Mengaku Najib Terlibat Dalam 1MDB

Posted: 13 Apr 2016 12:30 AM PDT

Pemakan dedak takkan akui keterlibatan Najib

Kita tahu dan kita akui yang pemakan dedak dan orang yang bergantung nasib kepada Umno/BN atau terhutang budi kepada Mohd Najib tidak akan percaya atau mengaku keterlibatan beliau dalam kes jenayah.

Walaupun butir dan bukti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Bank Negara dan agensi penyiasat antarabangsa menjurus ke arah keterlibatan Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak dalam salah tadbir korporat dan pecah amanah berkaitan 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan "derma Arab" RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau.


Sebaliknya mereka akan terus menuding jari dan memuncungkan bibir ke arah Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakyat jelata yang mahu Mohd Najib meletakkan jawatan.

Soalnya, siapakah yang dituduh melakukan perbuatan salah – Dr Mahathir atau Mohd Najib? Lagipun Dr Mahathir telah berulang kali mengalu-alukan siasatan ke atas beliau. Malah itulah yang sedang dilakukan oleh polis.

Siapakah yang menjadi Perdana Menteri dan merosakkan imej Malaysia dan kepercayaan dunia – Dr Mahathir atau Mohd Najib?

Kalau Mohd Najib cekap, bersih dan amanah, siapakah yang lebih dipercayai oleh majoriti rakyat jelata – beliau atau Dr Mahathir?

Tetapi mengapakah seorang tua berusia 91 tahun yang sudah lebih 12 tahun bersara, yang disekat dan dicaci oleh media arus perdana (MAP) masih mendapat sokongan kuat rakyat jelata?

Mengapa Mohd Najib dan konco-konconya dikutuk dan dibelasah teruk setiap kali mereka menyiarkan sesuatu dalam laman Facebook mereka atau apabila kenyataan mereka disiarkan oleh media atas talian?

Mengapa audiens MAP yang menjadi lidah dan risalah propaganda mereka semakin hari semakin menguncup?

Makan gaji

Untuk menang pertarungan ini, para pemakan dedak, orang yang bergantung nasib kepada Umno/BN dan yang terhutang kepada Mohd Najib hendaklah meyakinkan rakyat jelata bahawa Mohd Najib suci bersih, 1MDB telus mulus, ekonomi negara berkembang pesat, beratus ribu peluang pekerjaan diwujudkan, setiap graduan dapat kerja, setiap pelajar yang layak diberikan biasiswa dan pinjaman, hutang negara lebih rendah daripada zaman Tun Mahathir dan Tun Abdullah, harga barang dan perkhidmatan pengguna stabil dan GST tidak membebankan.

Itulah yang patut mereka diayah dan uar-uarkan bukan mencaci Dr Mahathir dan rakyat jelata yang menandatangani Deklarasi Rakyat.

Kepada bekas anak buah saya dalam dunia kewartawanan, saya faham dilema mereka.

Saya tahu mereka makan gaji. Tidak perlu cuba meyakinkan saya. Malah seperti yang saya nasihatkan, jagalah kerja kerana semakin hari semakin susah mendapat kerja dan ramai orang menganggur. Cuma janganlah keterlaluan memaki hamun orang tua yang pernah berjasa kepada kita semua.

Mereka wajib ingat. Di penghujungnya yang penting adalah pengedaran akhbar mereka dan bilangan penonton saluran mereka.

Kalau kerana menyokong Mohd Najib membabi buta dan mencaci Dr Mahathir tanpa batasan, pengedaran akhbar mereka dan penonton stesen mereka merudum, bukan sahaja mereka tidak dapat melindungi Mohd Najib malah periuk nasi mereka sendiri terancam.

Mereka harus sedar mengapa MAP yang begitu besar dan berusia, semakin hari semakin dikalahkan oleh media atas talian? -A.KADIR JASIN


Tidak ada satu pun jawapan 1MDB boleh dipercayai, kata Dr M

Walaupun 1MDB memberi jawapan pantas terhadap kontroversi demi kontroversi yang menghantuinya, tetapi tidak ada satu pun yang boleh dipercaya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Banyak soalan telah dijawab oleh 1MDB. Tetapi tidak ada satu pun yang boleh dipercayai," tulis Dr Mahathir dalam blognya semalam.

Mahathir berkata demikian sebagai merujuk kepada jawapan 1MDB terhadap kenyataan International Petroleum Investment Company (IPIC) bahawa firma Aabar BVI (British Virgin Islands) di mana 1MDB telah membuat pembyaran, adalah bukan anak syarikatnya, Aabar Investment PJS, yang sepatutnya menerima bayaran tersebut.

Menurutnya, IPIC dan Aabar juga mengesahkan bahawa mereka tidak pernah menerima bayaran dari Aabar BVI, dan mereka juga tidak pernah membuat pengakuan terhadap sebarang tanggungan bagi pihak Aabar BVI (seperti yang dinyatakan oleh 1MDB).

"1MDB menjawab bahawa dalam kenyataan terbuka yang diaudit pada 31.03.2014 menunjuk rekodnya telah dibayar kepada Aabar BVI.

"Segala kenyataan oleh 1MDB tidak pernah disokong oleh dokumen apa-apa. Ini termasuk pemulangan wang dari Kepulauan Caymans yang kononnya di simpan di BSI Singapura." tulis Mahathir dalam blognya.

Beliau berkata BSI juga, seperti IPIC dan Aabar Investment, kemudiannya mempertikaikan dakwaan 1MDB itu.

BSI, tegas Dr Mahathir, kemudian berkata tidak ada wang berkenaan yang disimpan oleh 1MDB dengannya. Bagaimanapun, 1MDB menjawab bahawa simpanan itu bukan berbentuk wang tetapi berbentuk "unit".

"Jelas bahawa dakwaan ini adalah satu pembohongan," tulisnya.

Begitu juga, Mahathir menyentuh tentang dakwaan derma berjumlah RM2.6 bilion, yang mana RM2.3 bilion dikatakan telah dipulangkan kepada penderma dari Timur, yang menurutnya wang atau "unit" itu juga kemudiannya didakwa telah dibekukan.

"Kalau dah beku, bagaimana dan bila wang ini dicairkan dan dipulangkan kepada "penderma" yang tidak boleh dikenalpasti? soal Mahathir.

Hakikatnya, hujah Mahathir, beliau mendapati semua kenyataan berkaitan dengan dana 1MDB tidak boleh dipercayai.
-mk


Zakir Naik: Ramasamy Minta Maaf, Penganjur Tukar Tajuk Syarahan

Posted: 12 Apr 2016 06:22 PM PDT

Ramasamy kesal label Zakir Naik sebagai 'setan'

Timbalan Setiausaha Agung DAP, P Ramasamy melahirkan rasa kekesalannya kerana menggelar pendakwah Islam kontroversi, Dr Zakir Naik sebagai 'setan'.

Ramasamy berkata berikutan kenyataannya itu, beliau kini dilabel sebagai anti-Islam dan anti Muslim.

"Pada 10 April 2016, saya telah memuat naik status di Facebook saya mengenai pendakwah Islam Dr Zakir Naik.


"Dalam posting saya telah memanggilnya sebagai syaitan dan menegaskan bahawa beliau memberi ucapan kebencian pada agama selain Islam

"Pada hari yang sama saya sedar perkataan setan telah menjadi viral di Internet.

"Saya menyesal jika penggunaan perkataan syaitan boleh menimbulkan keresahan dan rasa tidak puas hati di kalangan orang Islam di Malaysia," kata Ramasamy dalam satu kenyataannya hari ini.

Sebelum ini dalam kenyataannya di Facebook, Ramasamy menulis 'Let us get "Satan" Zakir Naik out of this country!'.

Bagaimanapun, selang beberapa jam kemudian, Ramasamy menyunting status itu dengan memadam perkataan 'satan' itu.

Dalam kenyataan sama, Ramasamy mendakwa Zakir hanya mahu menyebarkan kebencian di kalangan bukan Islam di negara ini.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia, khususnya pertubuhan India dan agama Hindu supaya membuat laporan polis terhadap Zakir.

Menghina dan mencaci

Sementara Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kenyataan yang dibuat bukan anti Islam sebaliknya beliau mahu setiap orang perlu menghormati negara ini kerana Malaysia mempunyai berbilang agama dan bangsa.

"Posting saya bukan anti Islam atau orang Islam di negara ini. Ia hanya ditujukan terhadap orang tertentu.

"Bukan niat saya kerana saya menghormati semua agama di negara ini.

"Saya amat yakin bahawa Malaysia sebuah negara yang pelbagai agama dan kaum di mana semua agama perlu dihormat dan bermaruah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan berterima kasih kepada Ramasamy kerana telah menggugurkan perkataan 'syaitan' yang digunakannya terhadap Dr Zakir Naik.

AMANAH berkata budaya gelaran menghina dan mencaci adalah sesuatu yang wajar dihalang kerana amalan 'name calling' ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat sebaliknya menyemarakkan lagi kepanasan suasana yang sudah panas.

"Tindakan Prof Ramasamy menggugurkan perkataan tersebut boleh dipuji kerana walaupun tidak bersetuju dan tidak berpuas hati, beliau masih rasional dan bersedia menerima teguran.

"Ini berbeza dengan sikap sebahagian yang lain yang terus mempertahankan penggunaan istilah menghina walaupun mengetahui ia amalan tidak berakhlak," kata AMANAH dalam kenyataannya hari ini.


Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Fazrina Zakaria pula berkata tindakan Ramasamy yang memanggil Zakir sebagai syaitan tidak menunjukkan sikap kepimpinan yang demokratik.

"Wanita PKR Pulau Pinang menyeru supaya pihak berkenaan bersedia berhujah dengan fakta dan tidak menggunakan platform politik dan ketenteraman awam sebagai jalan mudah untuk lari dari fokus sebenar iaitu demokrasi dalam negara Islam.

"Jangan hanya pandai melaungkan perkataan demokrasi tetapi gagal melaksanakan. Nanti akan dilabel retorik semata," katanya. -mk


Penganjur tukar tajuk syarahan Zakir Naik di Melaka

Selepas mengambil kira bantahan dan mendengar pendapat banyak pihak, penganjur syarahan umum Dr Zakir Naik di Melaka pada 17 April ini akhirnya bersetuju untuk menukar tajuk syarahan itu.

Jurucakap penganjur, Firdaus Wong Wai Hung berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak berkuasa untuk memilih tajuk yang sesuai dan tidak menjejaskan ketegangan agama dan kaum di negara ini.

"Kami sebagai penganjur sentiasa yakin dengan keputusan dari PDRM dan sebagai rakyat Malaysia bersedia mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Kami bersedia menukar topik dengan berbincang dengan pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran program serta ingin mengalakkan dan menjemput rakyat berbilang bangsa untuk turut hadir ke program Dr Zakir Naik di Malaysia," katanya kepada FMT.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan terbaharu dilaporkan berkata, syarahan itu boleh diteruskan jika topik perbincangan tidak menjejaskan keharmonian beragama di negara ini.

Pemimpin politik dan NGO bukan Islam membantah syarahan Zakir Naik kerana penceramah berasal dari India itu didakwa pernah menghina agama lain.

Mereka juga mendesak kerajaan menghantar pulang Zakir Naik dan mengharamkan beliau masuk ke nagara ini. Singapura dan United Kingdom pernah mengeluarkan arahan melarang Zakir Naik masuk ke dua-dua negara itu.

Pemimpin politik Islam pula mempertahankan Zakir Naik dan menganggap arahan Khalid sebelum ini supaya syarahan umum di Melaka dibatalkan sebagai melanggar demokrasi dan kebebasan beragama di negara ini.

Mereka juga mendesak pihak yang mendakwa Zakir Naik menghina agama supaya datang ke syarahan dan berhujah secara intelektual bukan membuat serangan dari jauh.
-FMT


ULASAN GB

Tindakan Ramasamy memang patut dipuji, sedia menerima kritikan dan sedia meminta maaf.

Bagaimana dengan pimpinan PAS yang "menggunakan tweet fitnah LGE" kononnya LGE menghalang Zakir Naik memasuki Pulau Pinang?

Sehingga kini belum ada pernyataan memohon maaf dari pimpinan PAS bekenaan.

Tak malukah dengan pemimpin DAP yang bukan Islam berkenaan?

Tiada ulasan: