Selasa, 5 April 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


LEBIH BANYAK RAHSIA JAKEL MUNGKIN TERDEDAH SELEPAS INI

Posted: 05 Apr 2016 08:05 AM PDT

shahbudindotcom


Tidak ramai yang ambil peduli mengenai Jakel, sebuah gedung menjual kain dan pakaian ternama yang berpusat di Jalan Masjid India sehinggalah The Wall Street Journal mendedahkan bahawa Najib Razak telah melakukan pembayaran kepada syarikat itu sebanyak AS$14 juta atau kira-kira RM55 juta antara tahun 2011 hingga 2014.

Persepi umum lantas memuncak dengan persoalan paling mudah, apa yang sebenarnya dibeli Najib daripada Jakel dengan bayaran sedemikian banyak itu?

Kalau ia semata-mata untuk pakaian Najib, Rosmah dan ahli keluarganya, tidakkah jumlah itu terlalu besar hanya untuk tempoh empat?

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng kemudian membuat laporan polis terhadap Najib berhubung bayaran yang dibuatnya kepada Jakel Trading itu sebagaimana didedahkan oleh WSJ, juga mengepilkan dengan pertanyaan yang antaranya, apakah pakaian yang dibeli itu untuk Rosmah dan jika sehelai berharga RM10 ribu, apakah ia bermakna sebanyak 5,500 helai telah dibeli sepanjang tempoh  empat tahun atau empat helai dalam sehari?

Selain itu, Lim Lip Eng juga meminta polis menyiasat daripada mana Najib memperolehi wang sebanyak itu yang diangggap jauh berpadanan dengan gajinya sebagai Perdana Menteri yang dianggarkan kira-kira RM273,912 setahun serta kemungkinan  ia berkaitan dengan unsur-unsur rasuah, pengelakan cukai dan penggubahan wang haram.

Baik Najib mahu pun Jakel, kedua-duanya masih berdiam diri sehingga ke hari ini. Yang ada bersuara hanyalah sebuah portal pro Najib yang mengatakan bayaran puluhan juta itu adalah untuk sumbangan pakaian dan barangan yang disampaikan kepada pertubuhan bukan kerajaan, mangsa bencana alam, pakaian anak-anak yatim dan sayap-sayap politik.

"Belum ada orang gila beli baju di Jakel berpuluh juta ringgit untuk kegunaan sendiri.

"Jika benar ia kegunaan peribadi, berdasarkan harga pakaian di Jakel yang dalam kemampuan majoriti rakyat Malaysia, Najib mungkin terpaksa menyewa gedung untuk menyimpan kesemua pakaian tersebut," kata portal itu lagi.

Ternampak bahawa portal itu sama ada sengaja melindungkan fakta atau pun tidak pernah sama sekali berkunjung ke gedung Jakel. 

Perlu diberitahu bahawa harga pakaian di Jakel bermacam-macam peringkat, ada yang dalam kemampuan rakyat biasa membelinya, tetapi ada juga yang mencecah puluhan ribu ringgit sehelai di mana rakyat biasa hanya mampu menengoknya saja.

Selain itu, jika portal yang diketahui ada "tuan besarnya"  itu mengatakan "belum ada orang gila membeli baju di Jakel berpuluh juta ringgit untuk kegunaan sendiri",  mereka seharusnya tidak lupa bahawa Ahmad Maslan juga pernah berkata, "tiada Perdana Menteri yang begitu bodoh mahu  memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadinya" ketika isu wang RM2,600 juta mula-mula didedahkan dahulu.

Jika akhirnya terbukti bahawa Najib tidaklah begitu cerdik dengan membenarkan wang beribu-ribu juta dimasukkan ke akaun peribadinya, maka janganlah hairan jika kegilaan membeli pakaian berpuluh-puluh juta ringgit juga boleh menjadi amalan beliau dan keluarganya.

Lagi  pula, bukankah kos bercuti, membeli barang kemas dan bermewah Najib dan Rosmah, sebagaimana yang didedahkan oleh media-media antarabangsa juga turut mencecah puluhan juta ringgit jumlahnya?

Bagi mereka yang tahu, hubungan Jakel dengan keluarga Najib bukanlah asing sebenarnya,  walaupun ia boleh dikatakan hubungan yang agak baru saja terjalin.

Jakel bukan saja dilaporkan biasa menghantar kain-kain baru dan terpilih ke rumah Najib untuk kegunaan keluarga Perdana Menteri itu, malah dalam tahun-tahun terakhir ini dikatakan syarikat itu turut mendapat manfaat lain daripada hubungan tersebut.

Mereka yang rapat dengan Jakel ada memberitahu, syarikat itu yang hanya dikenali sebagai peruncit dan pemborong kain serta pakaian turut memiliki  berpuluh-puluh keping tanah di sekitar Kuala Lumpur sekarang ini.

Antara tanah yang dipercayai milik Jakel itu ialah terletak di kawasan Setapak, Cheras dan Bandar Tun Razak dengan sebahagiannya sudah mula dibangunkan dengan pembinaan kondominium mewah dan separuh mewah.

Dengan mulanya terdedah sejumlah wang yang besar dibayar oleh Najib kepada Jakel dan hubungan itu terus menjadi bualan ramai, adalah dijangkakan lebih banyak perkara lagi mengenai syarikat itu akan terbongkar selepas ini.

Sama ada Najib dan Jakel berdiam diri atau cuba memberi apa-apa respon mengenainya, sorotan umum kini lebih menarik perhatian lagi, bukan saja mengenai  apa yang diperolehinya daripada kerajaan tetapi juga siapakah personaliti di belakang syarikat itu yang mempunyai hubungan rapat dengan Seri Perdana.

Yang perlu dipersiapkan juga ialah kemungkinan Jakel akan terus berdepan dengan banyak persoalan dan keraguan,  meskipun setelah Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri nanti.

Berniaga apam balik sambil tadah kencing dengan plastik

Posted: 05 Apr 2016 07:59 AM PDT

 
Lelaki itu menadah air kencing menggunakan plastik yang digantung di meja tempatnya berniaga.





PETALING JAYA: Jijik dan pengotor!

Itu yang boleh digambarkan mengenai sikap seorang peniaga yang menjual apam balik dan minuman bungkus apabila mengambil jalan mudah iaitu kencing sambil berdiri di tempatnya berniaga tanpa mempedulikan orang di sekeliling.

Aksi lelaki terbabit yang berusia lingkungan 50 tahun telah dirakam oleh pengunjung Pasar Kota Jembal di Kota Bharu, Kelantan dan videonya yang dimuat naik di laman sosial menjadi viral.

Rakaman itu diambil pada Jumaat lepas dan pengguna alam maya yang telah menontonnya memberi kritikan terhadap perbuatan lelaki itu yang dianggap sangat menjijikkan.

Pengguna Facebook yang menggunakan nama Ckcm Prada Original yang memuatnaik visual tersebut telah menulis pada ruangan status;

"Berlaku di Pasar Kedai Lalat. Mohon berhai-hati bila membeli apam dan air segera..Perkara yang tak patut berlaku..Amat mendukacita, memalukan dan menjijikkan..Pihak berwajib seperti Jabatan Kesihatan Negeri pantau pasar-pasar di sekitar Kota Bharu," tulisnya.

Pemerhatian terhadap visual mendapati, lelaki terbabit menadah air kencing di dalam plastik minuman yang digantung di meja tempatnya berniaga.

Umno hilang maruah untuk mentadbir negara

Posted: 05 Apr 2016 07:51 AM PDT

DR DZULKEFLY AHMAD


Dr Dzulkefly Ahmad Dr Dzulkefly Ahmad


1. Justeru kerana mengizinkan, bukan sahaja parti dan barisan politik mereka, bahkan juga wibawa dan nama-baik negara terus dirobek, Umno-BN sesungguhnya telah hilang kredibiliti dan maruah untuk mentadbir negara ini.

2. Setelah pendedahan paling dahsyat yang dilakukan dalam masa 48 jam yang lalu, bersabitan pelbagai skandal 1MDB dan kebejatan yang amat mengaibkan rakyat dan negara, olih media Four Corners dan Wall Street Journal, PM Najib Razak telah hancur wibawa dan maruahnya untuk meneruskan pentadbirannya, jauh lagi kalau berkeinginan untuk memimpin Umno-BN dalam PRU Ke-14 nanti.

3. Buat ingatan Umno dan BN, amat mustahak supaya segera menginsafi bahawa Najib bukan sekadar telah menjadi musuh utama buat dirinya sendiri bahkan kepada Umno-BN serta negara seluruhnya.

4. Amat malang dan sangat mengecewakan buat rakyat dan negara, apabila Umno kelihatan sunyi seribu bahasa, terus bersahaja dan tidak langsung menunjukkan keseriusan untuk menangani penghakisan wibawa dan impak buruk buat maruah negara.

5. Dengan pendedahan terkini yang sama-sama ditontoni semua, Umno-BN seharusnya sedia memaklumi bahawa skandal serta expose' seperti ini di negara-negara lain, pasti telah berakhir dengan pemimpin terbabit mengundur diri bahkan diambil tindakan olih parti dan badan penguasa serta pemerintah.

6. Sebaliknya Najib disaksikan rakyat dan dunia, semakin bertambah kuat dan lebih ganas, sekaligus mencetuskan satu 'suasana-iklim ketakutan' atau 'state of fear', yang menyelubungi rakyat dan negara.

7. Justeru kerana terus mahu melindungi Najib, samada kerana takut atau dalam ilusi bahawa beliau tidak melakukan apa jua kesalahan, maka Umno perlu dihukum rakyat kerana sikap ringan dan culas ini.

8. Umno dan BN, jelasnya telah membuktikan kepada semua rakyat, bahawa mereka sanggup mengorbankan kemaslahatan rakyat dan kewibawaan negara, apabila berlaku pertembungan kepentingan parti dan survival politik mereka.

9. Tegasnya, disebalik segala pertunjukan dan simbolisme patriotisme akan tanah air yang diperagakan pada setiap sambutan ulang tahun Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Umno-BN, dengan ini telah memaparkan identiti dan hipokrasi mereka sebenarnya.

10. Justeru rakyat wajar faham dan insaf, bahawa Umno-BN tidak langsung bolih diletakkan harapan untuk mempertahankan wibawa dan maruah negara, kerana patriotisme mereka kepada negara, tidak boleh di atasi oleh kepentingan kepartaian sempit perjuangan politik mereka.

Amat malang buat rakyat dan negara!

Copgate: K’jaan, SPRM nyatakan kesal terhadap peguam

Posted: 05 Apr 2016 07:44 AM PDT

MALAYSIAKINI




Dua tuntutan saman berjumlah RM97 juta yang difailkan peguam Rosli Dahlan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan berhubung pendakwaan dan penahanannya secara salah selesai, selepas peguam itu menarik balik samannya hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam membatalkan saman berkenaan tanpa kebebasan untuk Rosli, selaku plaintif memfailkan semula saman tersebut.

Rosli menarik balik kedua-dua saman yang juga dikenali sebagai isu 'skandal Copgate' selepas pegawai penyiasat SPRM, SAC Saiful Ezral Ariffin, mewakili semua defendan membacakan pernyataan secara terbuka di mahkamah hari ini bagi menyatakan kekesalan mereka berhubung kejadian yang berlaku.

Dalam pernyataan itu, SPRM memutuskan kes itu tidak perlu dipanjangkan dan tidak membawa manfaat kepada rakyat dan negara untuk dipertahankan berikutan kematian Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais dan penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada 2015.

"Maka, SPRM dan kesemua defendan dengan ini menyatakan penyesalan kami atas kejadian yang menimpa Rosli.

"Kedua-dua plaintif dan defendan bersetuju bekerjasama dan berakujanji menegakkan keluhuran undang-undang dan mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan Negara Malaysia," katanya.

Sebelum ini mahkamah mendengar keterangan 14 saksi plaintif dan enam saksi defendan dan hari ini kes itu ditetapkan untuk sambung bicara.

Pada 16 Sept 2009, Rosli memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap 17 defendan termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Timbalan Pengarah Penyiasatan dan Pendakwaan Datuk Anthony Kevin Morais serta beberapa pegawai kanan jabatan itu berhubung penahanan dan pendakwaan terhadapnya kerana gagal menyatakan maklumat mengenai asetnya.

Satu lagi saman fitnah RM47 juta difailkan pada 22 Nov 2013 terhadap 13 defendan termasuk bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Abu Kassim dan SPRM atas dakwaan, mendakwanya secara salah.

Dalam kedua-dua saman itu, Rosli antara lain mendakwa defendan dengan niat jahat menangkapnya dan mendakwanya di mahkamah berhubung kes di bawah SPRM (dahulunya Badan Pencegah Rasuah - BPR) serta mendakwa SPRM memutuskan untuk mendakwanya meskipun beliau menawarkan untuk memberi butiran yang diperlukan secara bersumpah.

Beliau mendakwa tindakan defendan telah menyebabkan beliau dan keluarganya mengalami trauma, penghinaan, cemuhan, ejekan, kesakitan dan penderitaan.

Rosli menuntut ganti rugi punitif, teruk dan teladan, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam itu berkata bagaimanapun beliau telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Dis 2010.

Peguam Chetan Jethwani mewakili Rosli manakala peguam Rishwant Singh mewakili SPRM dan Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan bertindak bagi pihak kerajaan.

Rosli ketika ditemui pemberita memuji tindakan SPRM yang menunjukkan keberanian dari segi moral dan integriti untuk membetulkan keadaan dengan memberi kenyataan di mahkamah.


Rafizi cabar pengerusi LTAT saman guna duit sendiri

Posted: 05 Apr 2016 07:34 AM PDT

MALAYSIAKINI




Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mencabar pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyaman beliau atas kapasiti peribadi.

Anggota parlimen Pandan itu juga mencabar Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin menggunakan wang sendiri untuk membayar kos guaman.

"Saya kesal jika mereka menggunakan wang caruman pesara tentera untuk menyaman saya sedangkan setakat ini mereka gagal menafikan fakta-fakta yang saya kemukakan," kata Rafizi (gambar)

LTAT semalam dilapor telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaan terhadapnya yang didakwa fitnah, berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti lembaga itu.

Pengerusinya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau.

Rafizi antaranya mendakwa masih ramai pesara tentera tidak menerima pembayaran gratuiti.

Dalam kenyataan hari ini, Rafizi berkata, beliau bersedia berdepan dengan kedua-dua pegawai kanan LTAT itu serta akan memanggil saksi-saksi daripada kalangan pesara tentera yang lewat dibayar caruman untuk memberi keterangan.

"Saya juga akan mengambil peluang ini untuk menanyakan soalan-soalan berhubung penglibatan LTAT dengan 1MDB terutamanya yang melibatkan peranan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

"Saya yakin ia akan menjadi satu perbicaraan yang mendapat perhatian dunia," katanya.


Kami tak akan bawa Umno ke S'wak, kata pemimpin PBB

Posted: 05 Apr 2016 07:28 AM PDT

Bede Hong




Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abang Johari Openg hari ini menafikan khabar angin bahawa parti komponen BN itu akan cuba menubuhkan Umno di Sarawak.

"Saya ingin nyatakan dengan jelas, bahawa kita tidak akan membawa Umno ke Sarawak, sama ada oleh pemimpin semasa atau masa hadapan," kata Abang Johari kepada pemberita selepas taklimat pilihan raya parti hari ini.

Umno tidak wujud secara rasmi di Sarawak. Pemimpinnya tidak pernah dihalang daripada memasuki negeri ini.

Abang Johari juga menafikan pembabitan Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof dalam melobi untuk membawa Umno.

"Fadillah dikatakan sebagai pemimpin yang cuba membawa masuk Umno.

"Dulu mereka gunakan nama saya tetapi sekarang bahawa saya telah tua, mereka kata Fadillah pula akan membawa masuk Umno," katanya.

PBB menguasai 35 daripada 71 kerusi negeri dan dijangka meletakkan calon untuk bertanding di 11 kerusi baru yang diwujudkan November lalu.

Ditanya mengenai jaminan bahawa Umno tidak akan menjejak ke Sarawak, Abang Johari berkata kedua-dua komponen itu mempunyai "persefahaman bersama" bahawa PBB adalah tulang belakang BN negeri.

"Terdapat perbezaan yang besar antara Umno dan Sarawak, kerana di Sarawak kita mempunyai bumiputera dengan latar belakang yang berbeza-beza.

"Dalam Umno, mereka tidak mempunyai demografi seumpama itu. Terdapat perbezaan. Senario ini berbeza," katanya.

Kes penculikan, Shahidan tolak desakan letak jawatan

Posted: 05 Apr 2016 07:23 AM PDT

MALAYSIAKINI




Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menolak gesaan seorang ahli parlimen pembangkang supaya beliau meletak jawatan berhubung kes pencerobohan terbaru di Sabah yang juga menyaksikan empat rakyat diculik, Jumaat lalu.

Beliau mengulas kenyataan Oscar Ling (DAP-Sibu) yang mahu menteri itu meletak jawatan kerana kerajaan gagal untuk menghentikan penculikan berkenaan.

Ahli Parlimen pembanngkang itu mendakwa bahawa rasuah adalah antara sebab kegagalan keberkesanan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) walaupun kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion.

Sebaliknya, Shahidan berkata pengukuhan keselamatan yang dilaksanakan Esscom di
kawasan-kawasan tertentu menyebabkan kumpulan penculik kini mengalih sasaran mereka terhadap kapal-kapal dagang yang bergerak perlahan dan lambung bebas.

"Ini jelas menunjukkan bahawa inisiatif pengukuhan keselamatan oleh Esscom di pusat peranginan, tempat tumpuan pelancongan, sangkar ikan dan laluan berisiko adalah berkesan, yang memaksa kumpulan penculik ini menyasarkan kapal-kapal dagang.

"Tempat-tempat sasaran mereka sekarang ditukar ke tempat yang mereka rasa mungkin jauh daripada kawasan yang kita beri perhatian," katanya semasa menggulung perbahasan usul tergempar mengenai penculikan di Sabah pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, usul itu dibentangkan oleh Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (BN-Silam) bagi membolehkan dewan membincangkan isu berkenaan dan mencari jalan mengelak perkara itu daripada berulang.

Pada 6.15 petang Jumaat lalu, anak-anak kapal tunda Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan.

Mengenai insiden itu, Shahidan berkata Esscom telah menerima maklumat itu pada 8.30 malam hari kejadian dan mengambil tindakan serta merta termasuk mengerahkan aset udara ke kawasan kejadian dan membuat pencarian di sepanjang Timur Laut Pulau Ligitan.

Selain itu, beberapa aset laut turut digerakkan ke lokasi sama dan meneruskan usaha pencarian sehingga sekarang.

Beliau menjelaskan kejadian penculikan itu berlaku di luar kawasan liputan radar yang terletak di Pulau Danawan kerana radar itu hanya dapat mengesan sejauh 37 kilometer.

"Penculik ini mencari jalan (untuk membuat jenayah) di ruang yang boleh dapatkan rakyat Malaysia," katanya.

Shahidan turut menggesa pengendali kapal dagang yang beroperasi di kawasan itu supaya bertindak pantas dengan menekan 'punat isyarat kecemasan' apabila menerima ancaman supaya maklumat mengenainya sampai kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.

Usul itu turut dibahaskan oleh beberapa ahli parlimen termasuk Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (BN-Semporna) yang meminta kerajaan mengambil serius kejadian itu keranan ia turut membabitkan soal kedaulatan negara.

Beliau meminta kerajaan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Filipina bagi menangani kejadian tersebut dan menaik taraf peralatan dan kelengkapan untuk pasukan keselamatan bagi membolehkannya mengawasi kawasan itu dengan menyeluruh.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula menggesa kerajaan menggunakan semua kekuatan yang ada untuk menjamin keselamatan rakyat Sabah dan menghentikan insiden penculikan daripada berulang.

Pua ingatkan 1MDB henti jadi 'keldai'

Posted: 05 Apr 2016 07:20 AM PDT

Kow Gah Chie

 


Pertikaman lidah antara 1MDB dengan salah seorang pengkritik paling lantangnya terheret ke tahap kedua-dua pihak melabelkan sesama mereka dengan panggilan binatang.

Setelah digambarkan sebagai "one trick pony" oleh firma pelaburan negara itu kerana mengitar semula tuduhan lama terhadapnya, ahli parlimen DAP Tony Pua hari ini menggesa 1MDB berhenti menjadikan diri sendiri sebagai "keldai".

Beliau juga mengkritik 1MDB kerana "tidak dapat menjawab soalan yang mudah".

"Mengapa tidak boleh 1MDB memberikan jawapan yang lurus dan mudah kepada rakyat Malaysia jika ia tidak bersalah daripada sebarang salah laku?

"Kenapa 1MDB bersembunyi di sebalik tabir kerahsiaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Ketua Audit Negara jika ia tidak mempunyai apa yang mahu disembunyikan?" katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

"1MDB boleh panggil saya apa sahaja yang ia suka - kuda, keldai atau monyet. Bagaimanapun ia perlu henti menjadikan diri sendiri sebagai keldai dengan berfikir bahawa rakyat Malaysia adalah bodoh dan mudah terpedaya dengan cubaan untuk menutup penipuan berbilion ringgit," katanya.

Beliau merujuk kepada soalan mengapa 1MDB membayar AS$1.4 bilion kepada sebuah entiti yang berdaftar di British Virgin Island (BVI) iaitu "Aabar Investment PJS Limited" dan bukannya "Aabar Investment PJS", anak syarikat International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

"1MDB dakwa tujuan bayaran AS$1.4 bilion itu dijelaskan dalam penyata kewangan yang diaudit oleh Deloitte pada tahun 2013 dan 2014.

"Mengapa bayaran dibuat kepada Aabar yang berdaftar di BVI dan bukannya kepada Aabar sebenar (seperti yang ditetapkan dalam perjanjian)?" soalnya.

The Wall Street Journal melaporkan AS$155 juta daripada Aabar yang berdaftar di BVI telah dipindahkan ke Red Granite Pictures.

Red Granite berpangkalan di Amerika Syarikat dan dimiliki oleh Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, 1MDB menafikan dakwaan firma itu membiayai filem Wolf of Wall Street yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, terbitan Red Granite.

IGP sahkan Rafizi ditahan di bawah OSA

Posted: 05 Apr 2016 07:12 AM PDT

MALAYSIAKINI




Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Sahkan bahawa YB Rafizi Ramli telah ditahan sebentar tadi, di luar bangunan Parlimen dan akan disiasat di bawah Sect 8 OSA," tulis Khalid di twitter.

Akta Rahsia Rasmi adalah akta yang diwujudkan khusus untuk mengelakkan kebocoran rahsia rasmi yang "memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara".

Seseorang yang didapati bersalah di bawah Seksyen 8 (1) dan (2) OSA boleh dipenjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun.

Rafizi ditahan dipercayai kerana mendedahkan dokumen Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendakwa ia membuktikan hubungan antara 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Pendedahan maklumat sulit itu diklasifikasikan sebagai OSA 1972.

Dakwanya, kaitan itu mungkin menjejaskan keupayaan LTAT untuk membayar pampasan atau gratuiti kepada veteran tentera yang telah bersara.

Malaysiakini tidak memiliki dokumen itu dan tidak melaporkan penjelasan lanjut Rafizi pada sidang medianya kerana kekangan undang-undang.

Khalid yang memberi respon perkara itu berkata sekiranya terbukti bahawa dokumen tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia, polis juga akan menyiasat pihak yang membocorkannya.

Rafizi turut menyatakan kesediaan direman kerana mendedahkan dokumen bawah OSA dengan syarat Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy turut berdepan hukuman sama sama.

Anggota Parlimen Pandan itu turut mendesak Khalid memberi jaminan tersebut kepadanya.

Selain Rafizi, ahli PAC dan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua juga adalah pengkritik lantang 1MDB, yang merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

1MDB, bagaimanapun, mendakwa tuduhan terhadap firma itu adalah bermotifkan politik.


Lapan cedera, pengurusan Mid Valley mohon maaf

Posted: 05 Apr 2016 05:26 AM PDT

Lapan cedera, pengurusan Mid Valley mohon maaf


SHAH ALAM - Dua letupan kecil di laporkan berlaku disebabkan oleh letupan gas di kedai makanan dan minuman yang terletak di Mid Valley Megamall sekitar jam 9.45 pagi tadi.

Kejadian berkenaan disahkan oleh pihak pengurusan Mid Valley Megamall melalui kemas kini status di laman sosial Facebook rasmi mereka.

Difahamkan, letupan kecil tersebut berlaku disebabkan oleh kerja-kerja pemasangan semula sistem gas petroleum cecair (LPG).

"Tiada sebarang kematian dilaporkan berlaku akibat daripada letupan tersebut dan pekerja penyelenggaraan, kontraktor LPG dan kakitangan penyewa di pusat membeli-belah terbabit hanya mengalami kecederaan ringan malah bantuan perubatan juga telah diberikan kepada mereka," tulis pihak pengurusan Mid Valley.

Selain itu, pihak pengurusan Mid Valley Megamall turut memaklumkan bahawa mereka kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan serta turut menutup semua sistem gas di pusat membeli belah terbabit sehingga dimaklumkan kelak.

"Pusat membeli-belah terbabit juga akan dibuka semula kepada orang awam dan segala maklumat terkini akan dimaklumkan selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Mid Valley Megamall turut memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku dan aspek keselamatan juga akan diberi keutamaan  demi kesejahteraan penyewa dan pengunjung di sini.


Azmin tidak matang, ada unsur dendam

Posted: 05 Apr 2016 05:24 AM PDT

Khalid Ibrahim
Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Bekas Menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim meluahkan rasa terkilan terhadap pengantinnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dianggap tidak matang serta mempunyai unsur dendam ketika persidangan Dewan Negeri Selangor.

Menurut Khalid, setelah melemparkan tuduhan yang tidak berasas kepadanya ketika membuat ucapan penggulungan pada minggu lalu, Azmin enggan membenarkan beliau untuk mengambil peluang dalam Dun bagi menjelaskan tentang perkara sebenar.

"Dalam kenyataan beliau sebelum ini, antara lain beliau mendakwa saya telah menawarkan aset lebihan bernilai RM460 juta secara rahsia kepada Puncak Niaga Sdn Bhd hingga menyebabkan nilai pengambilalihan ekuiti melonjak dari sekitar RM1.5 bilion kepada RM2.01 bilion.

"Oleh kerana saya tidak hadir atas faktor kesihatan pada waktu tersebut, saya terus menyatakan kesediaan untuk membantu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membuat siasatan kerana rakyat berhak mendapat kebenaran hakiki," katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Sebelum ini, Azmin menggesa siasatan terhadap Khalid dilaksanakan susulan dakwaan penawaran aset secara rahsia kepada Puncak Niaga Holdings Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Khalid turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali membuat sebarang tawaran rahsia malah tatacara pengambilalihan Syabas dan Puncak Niaga hanya melibatkan aset air Syabas manakala aset lain dipulangkan kepada Puncak Niaga Sdn Bhd.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut memaklumkan bahawa pendekatan ini dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan kerana sebelum tahun 2007, Kerajaan Negeri telah memberi kebenaran kepada Puncak Niaga dan Syabas untuk meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing yang tidak melibatkan industri perkhidmatan air.

"Kerajaan Persekutuan bersetuju agar Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) menyalurkan RM2 bilion kepada Selangor bagi menanggung bayaran pampasan ekuiti kepada keempat-empat syarikat air.

"Saya sebenarnya agak curiga dengan semua kenyataan dan tindak-tanduk beliau (Azmin) yang dilihat menjurus kepada cubaan mencari justifikasi untuk membayar pampasan lebih tinggi kepada Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) iaitu satu-satunya syarikat konsesi yang masih berdegil untuk diambil alih oleh Kerajaan Negeri," katanya.

Tambah beliau, proses penstrukturan semula industri air Selangor perlu diselesaikan dengan segera pada harga keseluruhan tidak boleh melebihi RM9.65 bilion kerana ia bakal membebankan rakyat.


PAC: Laporan 1MDB siap sepenuhnya

Posted: 05 Apr 2016 05:19 AM PDT

SINAR HARIAN


Dr Tan Seng Giaw
Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw
 
 
KUALA LUMPUR - Laporan berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kini siap sepenuhnya, kata Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw.

Beliau berharap laporan itu dapat dibentang pada persidangan Dewan Rakyat Khamis ini "jika tiada sebarang kecemasan atau hal-hal lain".

"Memang hasrat kita untuk bentangkan laporan itu Khamis ini, tetapi bergantung pada banyak perkara termasuk pindaan di saat akhir dan percetakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dr Seng Giaw yang juga ahli Parlimen Kepong berkata, PAC bersidang sehingga pukul 9 malam tadi bagi memuktamadkan laporan tersebut. – Bernama


Pesakit mental larikan bas, polis kejar 9 KM

Posted: 05 Apr 2016 05:18 AM PDT

Pesakit mental larikan bas, polis kejar 9 KM
Bas yang dilarikan remaja 19 tahun dipercayai mengalami masalah mental.
 

BAHAU - Tiga pasukan peronda Polis terpaksa mengejar sebuah bas sekolah yang dilarikan seorang remaja dipercayai mengalami masalah mental sejauh 9 kilometer dari Bandar Seri Jempol hingga bahu Jalan utama Taman Satelite 2,awal pagi tadi.

Ketua polis daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, pada awalnya remaja itu ditahan bersama basnya susulan terbabit dalam kemalangan dengan dua buah kenderaan berdekatan di simpang di Felda Raja Alias Empat kira-kira jam 10.30 malam semalam.

"Dia bersama kenderaannya dibawa ke IPD Jempol untuk siasatan lanjut dan mendapati cukai jalan, pelindung insurans tamat tempoh selain tidak mempunyai lesen memandu.

"Kemudian kira-kira jam 1 pagi tadi pemilik bas yang merupakan bapa remaja itu datang ke balai polis Bandar Seri Jempol untuk mengambil anaknya dan bas tersebut.

"Bapa remaja itu bagaimana pun mendakwa bas tersebut dipandu anaknya tanpa kebenarannya pada hari kejadian selain mengakui anaknya itu mempunyai masalah mental.

"Setibanya di bas, anaknya itu tiba-tiba meluru masuk dalam bas lalu melarikan kenderaan itu menghala ke pekan Bahau,"katanya selepas mengesahkan laporan, hari ini.

Noorzainy berkata, setibanya di lampu isyarat berdekatan Pasaraya Tesco, bas tersebut berjaya dihentikan selepas dua buah kenderaan peronda polis menghalang laluannya.

"Bagaimana pun remaja itu enggan turun dari bas dan sekali lagi memecut kenderaannya lalu melanggar kenderaan polis yang ada di hadapannya.

"Namun bas tersebut akhirnya berjaya dikepung dekat bahu jalan Taman Satelite 2, Bahau. Tetapi remaja itu tetap enggan keluar daripada bas itu dengan mengunci pintu dari dalam walaupun telah dipujuk oleh ahli keluarganya," katanya.

Noorzainy berkata, keengganan remaja ini memberi kerjasama menyebabkan berlakunya pergelutan antara ahli keluarganya namun berjaya dileraikan oleh pihak polis.

"Remaja berkenaan telah ditahan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban diiringi keluarganya untuk rawatan dan pengesahan sakit mental.

"Kes ini masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sarawak: “Siapa suruh kamu orang buat jalan sendiri?”

Posted: 05 Apr 2016 04:18 AM PDT

gerald 2

Roketkini.com


BETONG: Demi pendidikan anak, penduduk rumah panjang Perdu di daerah luar bandar Betong beberapa tahun lalu telah bertungkus-lumus membina jalan kampung sendiri sebagai laluan motosikal untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Selain mengeluarkan perbelanjaan dari poket masing-masing untuk jalan tersebut, mereka juga terpaksa membayar sewa jentolak bagi membesarkan laluan keluar dari kampung mereka menuju laluan utama.
Semua itu terpaksa dilakukan semata-mata kerana kerajaan Barisan Nasional tidak pernah menunaikan janji-janji yang dibuat sewaktu kempen pilihanraya.

Calon berpotensi DAP untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar, Gerald Roger Anding, memberitahu Roketkini.com, apabila penduduk kampung itu menemui wakil rakyat BN untuk memohon agar dibayar kos pembinaan jalan untuk anak mereka ke sekolah, jawapan yang mereka dapat ialah: "Siapa suruh kamu orang buat jalan sendiri?"

"Mereka pernah berkata kepada saya, tuai rumah (ketua rumah panjang) pergi berjumpa wakil rakyat (Tan Sri Alfred Jabu) ingin meminta bantuan kewangan supaya boleh membayar balik kos mereka membuat jalan.

"Namun Alfred Jabu enggan membayarnya dan marah mereka kerana buat jalan sendiri. Sedangkan BN sendiri tidak berbuat apa-apa untuk anak-anak kampung itu ke sekolah," katanya.

Sikap tidak peduli wakil rakyat BN pro-UMNO itu terhadap kesusahan dan penderitaan masyarakat di kawasan itu menyebabkan pengundi berasa semakin jelak dipermainkan janji-janji kosong BN, tambah beliau.

Menurutnya, untuk pilihanraya negeri Sarawak kali ini, penduduk rumah panjang Perdu, yang terletak di Spak, Layar sebulat suara akan menolak BN kerana sikap sombong dan tidak peduli rakyat.

"Selama sembilan penggal, iaitu 41 tahun Alfred Jabu yang mewakili BN telah berjanji untuk membina jalanraya dan sediakan kemudahan elektrik. Tetapi semua itu omongan kosong," ujarnya.

Pengerusi DAP Betong itu menjelaskan, penduduk juga tidak lagi gentar dengan kempen ugut-mengugut BN dan telah pun sepakat menolak parti pro-UMNO itu dalam pilihanraya negeri akan datang.

"Bukan sahaja BN sarawak tidak peduli orang kampung, rakyat luar bandar Sarawak juga terbeban teruk dengan cukai GST yang dikenakan kerajaan yang disifatkan mereka sendiri sebagai 'pembunuh rakyat'," kata Gerald.

Perjalanan ke rumah panjang Perdu mengambil masa selama dua jam dari Pasar Betong akibat ketiadaan jalanraya yang sempurna, malah jalan tanah merah yang dilalui juga sering rosak dan berbecak sekiranya hujan menyukarkan lagi perhubungan.

Perdu merupakan rumah panjang yang terletak di kawasan paling hulu daerah Betong. Antara rumah panjang yang dilalui sepanjang jalan sebelum tiba di rumah panjang Perdu ialah rumah panjang Pelepok dan Muman.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak akan datang, BN telah mengundurkan Alfred Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak untuk digantikan dengan anaknya sendiri, Gerald Rentap Jabu, bakal melawan Gerald Roger di DUN Layar. – Roketkini.com


4.2 juta belum jadi pengundi selepas SPR tak benar parti politik bantu?

Posted: 05 Apr 2016 12:40 AM PDT

teo nie ching

Roketkini.com


KULA: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengurangkan jumlah Penolong Pendaftar Pemilih (ARO) sejak tahun 2011 dilihat sebagai jawapan kepada persoalan mengapa 4.2 juta rakyat Malaysia masih tidak mendaftar sebagai pengundi ketika ini.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata jumlah rakyat Malaysia yang sepatutnya layak mengundi adalah 17.6 juta, namun hanya 13.4 juta yang telah didaftarkan sebagai pengundi.

Menurutnya, ia terjadi ekoran daripada ketidakcekapan SPR dalam mendaftar pengundi baru, malah ARO yang diberi tugas berkenaan juga dikurangkan jumlahnya saban tahun dan tidak diperbaharui perkhidmatannya serta tidak diganti dengan ARO yang baru.

"Dalam tahun 2011, terdapat 5,720 ARO daripada pelbagai parti politik. Bagaimanapun, jumlah berkenaan berkurang kepada 4,777 pada 2012.

"Dan pada 2013, hanya terdapat 1,901 ARO  kerana pada November 2012, SPR telah mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan tempoh khidmat ARO sedia ada daripada parti-parti politik ataupun mengambil anggota ARO yang baru," jelasnya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman di Dewan Rakyat pada 30 Mac lalu yang menyatakan bahawa terdapat hanya 617,254 rakyat Malaysia yang mendaftar mengundi di antara 2013 dan 2015.

"Secara purata, hanya 205,751 rakyat Malaysia yang mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi untuk satu tahun. Pada kadar ini, ia akan mengambil masa selama 20 tahun untuk mendaftar semua pengundi yang tidak berdaftar," jelas Nie Ching yang juga merupakan Ahli Parlimen Kulai.

Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah berkenaan, beliau mencadangkan supaya SPR melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik atau membenarkan lebih ramai lagi anggota ARO dilantik daripada pelbagai jenis parti untuk memastikan kelancaran pendaftaran pengundi baru.

"Sebelum ini, parti politik daripada kedua-dua pihak telah melaksanakan roadshow dan kempen menggunakan dana sendiri di pasar pagi dan pasar malam atau di kompleks membeli belah tanpa ada sebarang bantuan dana dari SPR.

"Sehingga kini, SPR telah gagal memberikan alasan yang kukuh dan munasabah berhubung tindakan mereka untuk menggugurkan semua ARO daripada semua parti-parti politik.

"Akhirnya, apa yang penting adalah setiap rakyat Malaysia ada hak untuk menentukan nasib dan masa depan mereka. Hak seumpama itu tidak harus dinafikan dengan merumitkan proses mudah bersifat birokrasi," katanya. – Roketkini.com


Ringgit naik, El Nino tak jejas pelancong – Nazri

Posted: 05 Apr 2016 12:37 AM PDT

 
"Pelancong suka cuaca panas di Malaysia. Mereka boleh berselipar dan bersinglet serta berjalan-jalan."


nazri


SHAH ALAM: Kenaikan nilai ringgit dan cuaca panas luar biasa yang melanda negara tidak menjejaskan kedatangan pelancong asing.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata pelancong asing menyukai cuaca panas di negara ini meskipun suhunya tinggi berbanding biasa.

Malah, pelancong juga tidak terganggu dengan kenaikan nilai ringgit kerana produk pelancongan yang ditawarkan berbaloi untuk dilawati.

"Pelancong suka cuaca panas di Malaysia. Mereka boleh berselipar dan bersinglet serta berjalan-jalan. Kita tiada masalah asalkan tidak berbogel.

"Begitu juga dengan kenaikan nilai ringgit. Saya fikir tidak beri kesan sangat kerana mereka tetap ke Malaysia," katanya, selepas merasmikan majlis pecah tanah Hotel Hilton I-City di sini, hari ini.

Bulan ini, ringgit mula mengukuh dalam pasaran matawang antarabangsa selepas nilainya merosot sejak tahun lalu. Ringgit kini berada pada paras kira-kira RM3.90 berbanding AS$1.

Negara juga sedang berhadapan dengan fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca panas luar biasa dan suhu meningkat melepasi 35 darjah Celcius di beberapa tempat.

Tahun lalu, seramai 29 juta pelancong dari pelbagai negara berkunjung ke negara ini. Malaysia menyasarkan 30 juta pelancong tahun ini.

NAJIB, PRODUK PELANCONGAN TERHEBAT DUNIA

Posted: 05 Apr 2016 12:28 AM PDT

 shahbudindotcom

 

 
 
Tidak dinafikan bahawa Najib Razak dan skandal 1MDB serta wang RM4,200 juta yang dikaitkan dengannya telah menjadikan Malaysia sebagai perhatian mega di seluruh dunia.

Bukan saja di Malaysia tidak ada Perdana Menteri yang berjaya mendapat perhatian sebegitu sebelum ini, malah di dunia moden juga, Najib telah berjaya meletakkan dirinya dalam kelasnya yang tersendiri yang tidak mampu disaingi oleh sesiapa jua pun.

Sehubungan itu, dalam tulisannya di blognya semalam, Tun Mahathir Mohamad menyenaraikan sekurang-kurangnya 53 organisasi media antarabangsa yang telah memberi liputan tentang Najib yang dikaitkan dengan 1MDB serta wang tunai yang masuk ke akaun peribadinya.

Senarainya adalah seperti berikut:

1. South China Morning Post
2. The Australian
3. Australia Broadcasting Corporation
4. Sydney Morning Herald
5. Herald Tribune
6. Herald Tribune Latin America
7. International Business Times
8. International Business Times Singapore Edition
9. Wall Street Journal
10. International New York Times
11. TIME Magazine
12. The Guardian
13. The Daily Mail
14. Sun Daily (UK)
15. Euronews
16. Deutsche Welle
17. Singapore Straits Times
18. TODAY
19. Today Online
20. India Today
21. ​Business Standard (India)
22. India Times
23. Fortune
24. EJ Insight (Hong Kong)
25. Anadolu (Turkey)
26. Bangkok Post
27. ​Chiang Rai Times
28. BBC
29. New Zealand Herald
30. Reuters
31. ​Bloomberg
32. Channel News Asia
33. Al-Jazeera
34. PAKISTAN FIRST
35. Swissinfo.ch
36. MWC News
37. ​East Asia Forum
38. Radio New Zealand
39. CNBC
40. The Independent
41. ​NewsX (Pakistan)
42. StateoftheStateKS (USA)
43. Asian Correspondent
44. Times of London
45. Financial Times
46. Asia Sentinel
47. Courier Mail
48. Jawa Post
49. Tempo
50. Waspada
51. The Telegraph
52. The Diplomat
53. Myanmar Times

Tidakkah Najib sebenarnya telah "membanggakan" nama Malaysia ke seluruh dunia dan menjadikan negara kita semakin dikenali?

Tak pasal-pasal publisiti percuma melimpah ruah untuk untuk negara kita? Siapa lagi di dunia ini yang mampu melakukannya selain Najib?

Jika dulu Tun Mahathir telah melakukan pelbagai perkara - daripada bercakap di pelbagai forum antarabangsa, melawat banyak negara, memberi bantuan kemanusiaan dan pelaburan  di sana sini serta pelbagai lagi semata-mata untuk menjadikan Malaysia dikenali dan menjadi sebutan dunia, Najib sebaliknya hanya bermodalkan 1MDB dan  keghairahan terhadap "cash is king" saja telah meletakkan dirinya jauh lebih berjaya.

Dengan popularnya Malaysia kerana Najib itu, harus diakui bahawa beliau adalah "produk pelancongan"  yang paling hebat dan berkesan sekali untuk negara kita.

Sebab itu, Nazri Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan merupakan menteri yang paling gembira sekali sekarang ini.


Shafee tak hadir mahkamah, Zahida kena bayar RM5,000

Posted: 05 Apr 2016 12:26 AM PDT

 
Mahkamah membuat keputusan kerana Shafee Abdullah tidak memaklumkan lebih awal kepada defendan selain telah menyusahkan banyak pihak.


zahida-shafee


PUTRAJAYA: Gara-gara peguam tidak hadir ke mahkamah, pelakon Zahida Mohamed Rafik terpaksa membayar RM5,000 kepada bekas pemandunya, Noor Azman Azemi.

Hakim Lim Yee Lan bersama Hakim Badariah Sahamid dan Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas peguam Zahida, Tan Sri Abdullah Shafee gagal hadir di mahkamah untuk perbicaraan kes hari ini.

Hari ini sepatutnya berlangsung perbicaraan kes rayuan Zahida berhubung keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mengarahkan dia membayar ganti rugi RM150,000 kerana didapati bersalah memfitnah Nor Azman.

Seorang lagi peguam Zahida, Wan Aizuddin Wan Mohamed memberitahu mahkamah Shafee tidak hadir kerana mengendali kes pecah amanah di Butterworth yang telah berlanjutan sejak lima tahun.

Peguam Nor Azman, Latheefa Koya berkata, pihaknya tidak dimaklumkan lebih awal oleh Shafee untuk meminta agar kes hari ini ditangguhkan ke tarikh lain.

"Kami tuntut kos RM5,000 kerana penangguhan ini," katanya.

"Ini kali bukan pertama peguam Shafee meminta penangguhan kes dan menimbulkan kesusahan kepada orang lain yang terpaksa memandu ke sini," kata Hakim Badariah ketika menolak bantahan Wan Aizuddin.
Panel hakim kemudian mengarahkan Zahida membayar RM5,000 kepada Azman.

Nor Azman pada 2013 pernah memfailkan saman Zahida kerana menuduhnya melarikan wang tunai berjumlah RM200,000 yang disiarkan akhbar Harian Metro.

Mahkamah Tinggi pada 26 Februari tahun lalu mendapati Zahida bersalah memfitnah Nor Azman dan mengarahkan dia membayar RM150,000 kepada bekas pemandunya itu.

Menteri lebih bela Najib berbanding rakyat

Posted: 05 Apr 2016 12:19 AM PDT

 
Apa yang menyedihkan ialah apabila mereka bertindak menghina individu yang mengkritik Najib, terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad. 


Anina-Saadudin,-najib,-umno


PETALING JAYA: Agenda utama Menteri dalam kabinet pada masa kini adalah hanya membela Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bukannya memperjuangan nasib rakyat jelata.

Dakwaan itu dibuat bekas ahli UMNO Bahagian Langkawi yang dipecat, Anina Saadudin apabila kesemua menteri yang dilantik didapati menghabiskan masa mempertahankan Najib, tanpa sebarang fakta yang kukuh.

Malah apa yang lebih menyedihkan ialah apabila mereka turut bertindak menghina individu yang mengkritik Najib, terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad."Pemimpin yang merosakkan UMNO adalah penyangak bangsa. Mereka lebih hina daripada penjenayah biasa kerana merosakkan sebuah negara.

Mereka adalah pemimpin yang terkutuk.

"Persoalannya, adakah mereka memberikan fakta pembelaan? Tidak, mereka hanya membela Najib dengan menghina pengkritik Najib. Apabila Tun (Mahathir) kata Najib mencuri (duit rakyat), tiada seorang menteri yang memberi bukti Najib tidak mencuri, sebaliknya mereka mencerca Tun," katanya dalam kenyataan media kepada FMT.

Anina turut mengingatkan menteri bahawa tugas mereka adalah memajukan negara dan menjaga kebajikan rakyat yang memilih mereka.

Katanya, jika gagal berbuat demikian, elok melepaskan jawatan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas sebagai jurucakap Perdana Menteri.

"Tiada seorang pun menteri yang berjaya memberi statement bijak atau mengumumkan strategi bagaimana Malaysia mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan ribu mahasiswa yang bakal tamat pengajian di universiti dalam negara mahupun luar negara.

"Strategi yang ada adalah bagaimana untuk meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman pengajian samada PTPTN mahupun Mara," katanya.

Najib dan Rosmah takut kepada Preet Bharara, lapor media asing

Posted: 04 Apr 2016 11:57 PM PDT

 MALAYSIA DATELINE


Peguam AS Preet BhararaPeguam AS Preet BhararaUsaha Datin Seri Rosmah Mansor dipercayai berulang kali memanggil Duta Amerika Syarikat (AS) Joseph Y.Yun di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur  dianggap sebagai sia-sia, untuk membatalkan penyiasatan mengenai dana 1 Malaysia Developement Berhad (1MDB), lapor Asia Sentinel.

Laporan yang dipetik itu berkata, menurut sumber yang diperolehnya, menyebut isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak itu, cuba menghalang penyiasatan seorang peguam Amerika Syarikat telah tersebar luas dikalangan diplomat negara itu di Kuala Lumpur.

Mereka mengatakan bahawa hakikatnya siasatan itu dijalankan di Switzerland, Singapura, United Kingdom dan Perancis, bagaimanapun hasil siasatan menunjukkan AS negara yang paling utama untuk membawa tuduhan jika terdapat salah laku dalam skandal 1MDB.

Peguam Daerah Selatan New York, Preet Bharara digesa untuk membatalkan penyiasatannya mengenai urusan kewangan yang melibatkan 1MDB.

Yun dikatakan telah memberitahu Rosmah yang Bharara menjalankan siasatan bagi pihak Jabatan Perhidmatan Luar Negara secara bebas walaupun Presiden AS Barrack Obama boleh mempengaruhi penyiasatan itu jika dia mahu berbuat demikian..

Bagaimanapun lapor Asia Sentinel lagi, percubaan untuk mengesahkan cerita melalui Kedutaan AS itu tidak dijawab.

Sebaliknya laporan itu menyebut :" Rosmah telah diberitahu," Jika kamu tidak melakukan sesuatu yang salah, jangan bimbang tentang hal itu. Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang berpegang kepada undang-undang. " kata sumber berkenaan.

Berita yang turut disiarkan oleh Perbadanan Penyiaran Australia dalam satu kenyataan media menyebut rancangan Four Corners pada 28 Mac lalu, telah menyiarkan maklumat baru mengenai deposit antara 2011 dan 2014 daripada "individu dan syarikat misteri" di Malaysia dan luar negara, melalui pemindahan talian dan dalam bentuk wang tunai, ke dalam akaun peribadinya.

Dipetik daripada kenyataan stesyen televiyen itu adalah tambahan kepada misteri RM2.6bilion (AS$ 681juta) yang dimasukkan dalam akaun Najib pada 2013.

Namun begitu,laporan berita antarabangsa itu mengklasifikasikan skandal 1MDB antara yang terbesar di dunia membabitkan kerajaan Malaysia.

Laporan itu juga menyebut Najib dan keluarganya takut kepada lelaki bernama Preet Bharara. Ini kerana pegawai penguatkuasaan undang-undang kelahiran Pakistan itu sepanjang perkhidmatannya pernah mendakwa lebih 100 eksekutif Wall Street dan telah menghantar agen untuk menjalankan siasatan terhadap suspek persenjataan, narkotik dan penganas membabitkan 25 buah negara untuk dibicarakan di Manhattan.

Malah pejabat urusannya juga pernah dipaku oleh penyangak pengedaran senjata Viktor Bout yang kemudian bersembunyi di Thailand turut berjaya di bawa kemuka pengadilan di Amerika Syarikat.

Husam minta Daeng Sanusi tarik diri Pengerusi Jawatankuasa Disiplin kesnya

Posted: 04 Apr 2016 11:54 PM PDT

MALAYSIA DATELINE


Datuk Husam MusaDatuk Husam MusaAgar keadilan terhadap dirinya terbela Yang Dipertua Pas Kubang Kerian Datuk Husam Musa meminta  Pengerusi Siasatan Jawatankuasa Disiplin Pas Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok menarik diri daripada kes yang dihakiminya.

Beliau berkata,  Dr Daeng Sanusi telah mengeluarkan kenyataan fitnah dan prejudis ke atas dirinya ketika menjelangnya Muktamar Pas tahun lalu termasuk di Kelantan, Johor dan Selangor.

"Anehnya, selepas muktamar berlalu, beliau tidak lagi menyerang saya secara terbuka, seakan serangan itu mempunyai agenda untuk pemilihan muktamar sahaja." ujar Adun Salor ini.

Malah ujar  Husam lagi, Dr Daeng Sanusi ketika hadir dalam satu dialog pada 24 November 2014 di Banting,Selangor pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau terlibat dengan PasMa kononnya PasMa telah ditubuhkan di rumahnya.

Bahkan, beliau mendakwa Husam  semakin terpinggir dalam Pas dan tiada masa hadapan disebabkan Husam telah melakukan banyak kesilapan di dalam parti itu.

"Kenyataan dan pendirian Yang Arif itu dikira dakwaan tidak benar yang serius kepada saya dan termasuk fitnah yang dilarang oleh Islam pada sisi saya sebagai mangsanya.

"Saya tidak ingin memetik kod tatacara kehakiman keIslaman di sini, kerana saya kira Yang Arif lebih atau sepatutnya arif.

"Saya cuma mengingatkan, di dalam Islam, tohmahan dan sikap hakim yang berkepentingan diambil kira dan diberi perhatian serta pertimbangan oleh syarak kerana ia akan mempengaruhi penentuan hukum dan keputusan penghakiman.

 Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok"Saya dengan ini, sebagai tertuduh di depan Yang Arif, mengesyorkan demi menjaga kemulian Parti Islam dan Islam itu sendiri, untuk menguzurkan diri dari mengendalikan kes saya.

"Sebagai veteran parti yang mendalami pengajian Islam, Yang Arif telah sanggup berlaku tidak adil kepada saya dan membelakangkan prinsip tabayyun serta tidak pernah memanggil saya untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengeluarkan kenyataan-kenyataan itu.

"Oleh itu, bagaimana saya boleh meyakini Yang Arif boleh berlaku adil sekarang? Mengecualikan diri dari mengendalikan kes saya adalah lebih menampakkan keadilan dan memenuhi tatacara kehakiman Islam." ujar Husam di dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Daeng Sanusi bertarikh 3 April 2016 itu.

Difahamkan Husam sehingga 8 April ini berada di Indonesia telah memohon tempoh 14 hari diberikan untuk membicarakan kesnya di panjangkan ke 10 hari lagi, bagi membolehkan beliau menyiapkan maklum balas secara lebih teratur di atas segala tuduhan di dalam surat tunjuk sebab.

Jawatankuasa Disiplin telah  menghantar  surat tunjuk sebab bertarikh 22 Mac tetapi  Husam menerimanya pada 29 Mac 2016.

"Saya terima pada 29 Mac , sekembali saya dari beberapa acara di Kuala Lumpur,  termasuk majlis Kongres Rakyat - Selamatkan Malaysia di Shah Alam.

"Pada hari ini, 3 April (semalam), saya sudah berada di Indonesia sehingga 8April atas acara yang telah diatur lebih awal.

"Untuk berlaku adil, saya mohon supaya tempoh 14 hari yang diberikan oleh Yang Arif dilanjutkan sepuluh hari lagi.

"Ini untuk membolehkan saya menyiapkan maklum balas secara lebih teratur," ujarnya.

Rakyat ada kuasa jatuhkan pemimpin rasuah, kata mahasiswa

Posted: 04 Apr 2016 10:51 PM PDT

ARIF ATAN


Azzan Aznan (dua dari kanan) bersama sekumpulan mahasiswa yang menyertai himpunan bantah GST undur Najib,baru-baru ini.Azzan Aznan (dua dari kanan) bersama sekumpulan mahasiswa yang menyertai himpunan bantah GST undur Najib,baru-baru ini.


Perhimpunan Mansuhkan GST dan Undur Najib di ibu negara baru-baru ini dilihat penting bagi menunjukan kuasa sebenar yang dimiliki rakyat termasuk terhadap mana-mana bakal pemimpin.

Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Azzan Aznan berkata, tindakan paling mendesak pada masa ini ialah menjatuhkan Perdana Menteri Mohd Najib Razak yang telah banyak terpalit dengan pelbagai skandal kewangan.

"Pada saya, paling mustahak Najib diturunkan terlebih dahulu walau apa dan siapapun yang bersama. Kalau kamu rasuah dan seleweng, rakyat ada kuasa untuk menggulingkan kamu," tegasnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas himpunan membantah GST di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Mengulas tuduhan kononnya himpunan yang disertai Mahathir itu hanya akan memulihkan Umno menjelang pilihan raya umum (PRU) beliau berkata, tanggapan tersebut seolah-olah hanya membiarkan kerosakan dari segi tata kelola di negara ini menjadi bertambah buruk.

"Masing-masing ada pandangan. Terpulanglah. PRU nanti Umno boleh menang kalau Najib berjaya disingkirkan, itu hanya spekulatif. Walaupun saya sendiri 'gatal' mata lihat Mahathir turut serta sepentas bersama pimpinan PH (Pakatan Harapan) tapi mudarat paling besar adalah Najib. Kita tiada pilihan selain hanya menumbangkan Najib," tegasnya lagi.

Beliau berkata, sejarah perjuangan rakyat di sesebuah negara banyak mempengaruhi semangat generasi terkemudian.

"Di Indonesia misalnya, memori dan semangat perjuangan pada masa lepas banyak membentuk pemikiran dan tekad rakyat mereka pada masa sekarang.

"Saya percaya Suharto pada 1998 tidak akan jatuh kalau rakyat Indonesia tidak menjatuhkan Sukarno pada 1965 kerana rakyat mereka ketika itu memang ada semangat untuk berubah dan semangat tersebut berterusan sehingga pemilu yang terkini.

"Kenalan saya di Indonesia berkata, antara sebab mengapa mereka menolak Probowo kerana penat-penat mereka menjatuhkan Suharto, kenapa mahu ambil menantunya pula," ujar Azzan.

Walau bagaimanapun, tambahnya, pengalaman menurunkan pemimpin melalui demonstrasi belum pernah berlaku di Malaysia.

"Itulah sebabnya penting himpunan hari ini (2 April) bahkan siri untuk rasa rakyat pada masa akan datang," katanya yang juga penuntut undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu lagi.

Pemimpin BN serang Tun Mahathir seperti masih Perdana Menteri

Posted: 04 Apr 2016 10:45 PM PDT

MAHFUZ OMAR


Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyidin YasinTun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyidin Yasin


Suatu yang sangat menghairankan saya ialah bila pemimpin yang tidak berkuasa seperti Tun Mahathir dikecam dan diserang oleh penjilat dan pencium tangannya satu ketika dahulu yang terdiri daripada pemimpin Umno BN. Tun bersalah, Tun pengkhinat, Tun hendak jatuhkan Kerajaan Melayu berpakat dengan Cina dan macam-macam lagi kesalahan Tun disebut Umno BN. Politik hari ini seolah-olahnya Umno BN Pembangkang dan Tun Masih Perdana Menteri.

Dedah kebodohan sendiri

Kini kenyataan terbaru Tan Seri Anuar Musa, Ketua Penerangan Umno dan Datuk Abdul Rahman Dahlan, pengarah komunikasi strategik BN yang menyalah Tun Mahathir atas kegagalan Proton adalah suatu yang sangat memalukan dan menyerlahkan sifat tolol diri sendiri, Umno/Bn dan Kerajaan.

Kenyataan mereka bila dibaca menjadikan pembaca termuntah. Apa tidaknya, kecaman terhadap Tun M hanya selepas beliau tidak berkuasa dan melepaskan semua jawatan lantikan termasuk dalam Proton.

Umno BN sedang berperang dengan Pemimpin pencen walhal dahulunya semasa Tun Berkuasa sebagai PM mereka inilah menjilat dan mencium tangan Tun Mahathir berulang-ulang.

Bersalah kerana mahu Najib undur

Persoalan saya, kalau pimpinan Umno BN hari ini menyatakan kesalahan lampau Tun M, di mana mereka pada waktu itu? Kenapa mereka mendiamkan diri? Kenapa hari ini baru mereka menghasut rakyat untuk menyalahkan Tun M? Mengaku sahajalah kamu semua bodoh dan bacul.

Keberanian kamu hanya pada orang yang sudah tidak lagi berkuasa. Keberanian menyerang Tun M hanya kerana hendak menyembunyikan jenayah PM Najib yang berkuasa.

Keberanian menyerang Tun M hanya kerana Tun M mahu Najib berundur dan reformasi negara mesti disegerakan. Kalau Tun M tak minta Najib undur pasti Tun tidak salah.

Proton bawah pimpinan Tun menyerlah. Proton idea Tun kebanggaan Malaysia. Proton lambang Malaysia Boleh. Macam-macam lagi ungkapan puji pada Tun.

Buat Najib dan pemimpin Umno BN, berhentilah memperbodoh dan menakutkan rakyat. Kepada seluruh rakyat jangan sembunyi dan lindungi jenayah pemimpin yang berkuasa.

*  DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR ialah Ahli Parlimen Pokok Sena

Rafizi cabar CEO dan Pengerusi LTAT samannya atas kapasiti peribadi

Posted: 04 Apr 2016 10:41 PM PDT

MALAYSIA DATELINE


Rafizi Ramli LTATRafizi Ramli LTATAhli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mencabar Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Pengerusinya, Tan Sri Anwar Mohd Nor menyamannya atas kapasiti peribadi.

Beliau juga bersedia menghadapi semua sama-saman oleh pihak berkuasa terhadap dakwaan yang pernah didedahkan sebelum ini termasuk LTAT.

"Saya telah dimaklumkan akan disaman oleh LTAT berikutan pendedahan yang saya buat mengenai bayaran caruman yang tertunggak.

"Padahal jawapan Pengerusi LTAT mengiyakan bahawa memang berlaku kelambatan pembayaran (saya akan mengeluarkan kenyataan akhbar esok mengenai perkara ini).

" Cuma saya cabar CEO LTAT, Lodin Wok Kamaruddin dan Pengerusi LTAT, Anwar Mohd Noor menyaman saya atas kapasiti peribadi dan tidak menggunakan satu sen pun duit caruman anggota tentera di dalam LTAT," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, termasuk saman LTAT beliau kini mempunyai lapan saman.

Beliau berkata, telah menerima tiga siasatan polis serentak kerana pendedahannya mengenai Lembaga Tabung Haji, kelewatan bayaran pencen dan siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Saya akan terus lalui saman-saman oleh sang penguasa sebegini.

"Hari ini juga saya dimaklum ada satu lagi laporan polis terhadap saya oleh Ali Tinju.

"Maknanya ada empat siasatan baru di samping lebih 10 siasatan sedia ada oleh pihak Polis Diraja Malaysia.

"Jika setiap satu siasatan menggunakan empat orang polis, maka ada 16 anggota polis yang tugasnya hanya utuk menyiasat saya.

"Kalaulah 16 orang anggota polis ini digunakan untuk memberkas pencuri, perompak, pembunuh dan lain-lain, bukankah lebih baik?," soalnya.

Mara akan terus wujud jika Pakatan Harapan berkuasa, kata Nik Nazmi

Posted: 04 Apr 2016 10:37 PM PDT

Nik Nazmi berkata Kami jamin Mara akan terus wujud sekiranya Pakatan Harapan berkuasa.Nik Nazmi berkata Kami jamin Mara akan terus wujud sekiranya Pakatan Harapan berkuasa.Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan berkubur sekiranya Pakatan Harapan berkuasa, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam berhubung Mara yang dikatakan akan terkubur sekiranya Umno tidak lagi memegang pemerintahan negara,
adalah tidak bertanggungjawab dan mencerminkan betapa terdesaknya parti itu mahu meraih sokongan setelah pemimpinnya terpalit dengan pelbagai skandal rasuah.

"Pelbagai isu dan skandal yang berbangkit baru-baru ini berkenaan Mara berpalit dengan Umno sendiri.

"Kami jamin Mara akan terus wujud sekiranya Pakatan Harapan berkuasa. Malah, kami akan memperbaiki agensi kerajaan itu agar ia mencapai matlamat sebenarnya dalam membela kebajikan masyarakat Bumiputera," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam apabila menyatakan Mara akan terkubur sekiranya Umno tidak lagi memegang pemerintahan negara.

Najib berkata, kekuasaan Umno selaku parti pemerintah amat penting bagi memastikan agensi itu terus hidup membantu orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia berkata, rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan kenyataan Najib itu.

"Sekiranya Umno dan negara ditadbir oleh pemimpin negara yang rakus, Mara tidak akan maju.

"Apa yang berlaku sekarang kepada MARA sudah menyimpang daripada matlamat ini. Kebajikan golongan yang memerlukan sudah tidak lagi dibela, malah, Mara digunakan untuk kepentingan beberapa individu sahaja.

"Kita juga dapat lihat sekarang ini dengan tadbir urus kewangan negara yang semakin teruk, Mara juga yang menjadi mangsa. Bukan sahaja biasiswa pelajaran dikurangkan, malah, UiTM juga merupakan antara IPTA yang paling banyak dikurangkan peruntukkannya," katanya.

Tiada ulasan: