Khamis, 31 Mac 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO] Khairuddin Yakin Parti AMANAH Akan Ganti UMNO Pada PRU14 Nanti

Posted: 31 Mar 2016 12:30 AM PDT

Bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyatakan beliau amat yakin Parti AMANAH yang dipimpin oleh Mohamad Sabu akan mengambil-alih tugas UMNO (sebagai kerajaan) pada tahun 2018 nanti.

Beliau menyatakan demikian di dalam satu majlis Pidato Selamatkan Malaysia yang diadakan di Permatang Pasir, Melaka malam tadi. Kenyataan itu disebut sebanyak dua kali di hadapan lebih 2,000 orang rakyat Melaka yang memenuhi ruang perkarangan pidato berkenaan.


Khairuddin, yang telah bertindak keluar dari parti UMNO mengikut jejak Tun Dr Mahathir Mohamad itu mendakwa parti itu kini hanya melindungi Najib semata-mata.

Meskipun beliau mengakui bahawa beliau berasal dari keluarga UMNO, malah darah UMNO mengalir di dalam tubuh badannya adalah darah UMNO, tetapi pada hari ini, beliau merasa malu untuk mengaku bahawa beliau seorang ahli UMNO.

"Sebab itulah tuan-tuan, sudah kena pada masanya dan tepat pada waktunya, Mohamad Sabu menubuhkan parti AMANAH. Saya rasa tuan-tuan parti AMANAHlah yang akan mengambil alih tanggungjawab UMNO (sebagai kerajaan) pada tahun 2018, insyaAllah," tegasnya.

Beliau menyatakan beliau kesal dengan tindak-tanduk pihak berkuasa yang enggan menyiasat kes 1MDB, walaupun beliau sudah membuat laporan polis sebelum ini.

"Hingga ke hari ini, sudah hampir dua tahun pihak polis tidak mahu menyiasat tentang kes 1MDB dan tidak mahu menyiasat kesemua yang disyaki terlibat ke atas 1MDB," katanya.

"... saya mempunyai bukti penggubahan wang haram berlaku di luarnegara, mereka selewengkan duit 1MDB di luarnegara, dan minggu lepas, peguam negara Switzerland (telah) mengakui bahawa sejumlah RM16.8 bilion duit 1MDB telah diselewengkan dari syarikat tersebut,"


"Itulah sebabnya (sebelum ini) saya terbang ke Hong Kong, ke Singapura, ke Perancis, ke Switzerland, ke London untuk buat laporan kepada pihak berkuatkuasa undang-undang di sana. Tapi malangnya pada hari terakhir dimana saya sepatutnya ke New York, saya telah ditangkap oleh polis."

"Saya mahu pertahankan ekonomi tanahair kita, saya nak selamatkan duit kerajaan, duit rakyat, tetapi malangnya tuan-tuan, Ketua Polis Negara menuduh kononnya saya cuba sabotaj ekonomi negara. masuk akalkah itu tuan-tuan?" tanya beliau.

Beliau turut membidas pemimpin-pemimpin UMNO yang ada kini hanya mementingkan diri, kedudukan dan pangkat dan UMNO kini sudah tidak lagi berjuang untuk rakyat.

Beliau meminta rakyat untuk bersama-sama dengan Deklarasi Rakyat, dan membidas mereka yang menyerang tindakan Tun Dr Mahathir yang konon katanya sanggup duduk bersama-sama dengan Lim Kit Siang.

Beliau menyatakan tidak salah untuk Mahathir melakukan demikian kerana UMNO juga duduk bersama-sama dengan bukan Melayu seperti MCA, Gerakan dan MIC. Malah tatkala mengimbau sejarah pada 1969, beliau menyatakan parti yang betul-betul cauvinis lebih teruk dari DAP ialah Gerakan.

"Jadi tidak salah untuk kita duduk semeja dengan mana-mana pemimpin yang berpegang utuh untuk lawan rasuah, untuk selamatkan tanahair kita," katanya lagi.

Majlis pidato malam tadi membariskan beberapa orang pemidato lain seperti Mohamad Sabu, Presiden Parti Amanah Negara, YB Shamsul Iskandar, Ahli Parlimen Bukit Katil yang juga Naib Presiden KEADILAN, Dr.Afif bin Bahardin, Exco Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua AMK, Faiz Fadzil, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, YB Khoo Pay Tiong, Ketua Pembangkang DUN Melaka dan Hj. Adly Zahari, Pengerusi AMANAH Negeri Melaka.

Pidato berkenaan telah disiarkan secara lansung oleh radio pedulifm.com






























Tiada ulasan: