Kelab Greenboc |
Desakan PAS Dibubarkan, IKATAN Tiada Apa-apa Kekuatan Posted: 19 Mar 2016 01:14 AM PDT Pakar: Blok ketiga tak beri impak KOTA BHARU - Pembentukan kerjasama politik antara Pas dan Ikatan dilihat bukan satu kerjasama kukuh yang mampu memberi impak besar dalam politik Malaysia. Malah, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, kandungan kenyataan bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan rakan baharunya itu, tidak mengandungi sebarang indikasi bahawa kerjasamanya akan dilanjutkan ke dalam PRU 14. Menurutnya, proses pembentukan kerjasama antara Pas dan Ikatan ini menunjukkan bahawa ia bukanlah satu bentuk kerjasama mantap yang boleh melonjakkan Pas ke hadapan dalam dunia politik. Pertama sekali katanya, Ikatan adalah sebuah parti sangat baharu yang hanya dilancarkan secara rasmi pada Mei 2015, jadi ia tiada sebarang trek rekod yang boleh dijadikan ukuran kekuatannya. "Ikatan juga tiada pemimpin berpengaruh. Presidennya terlalu tua untuk memulakan sebuah parti baharu di samping turut terbeban dengan perakuannya kepada corak pemerintahan yang diguna pakai sebelum ini, lebih-lebih lagi dia pernah menjawat jawatan menteri beberapa kali sebelum ini. "Selain presidennya, didapati bahawa tiada pemimpin berkaliber di dalam barisan kepimpinan Ikatan berbanding waktu pelancaran awal Ikatan pada Jun 2012 dulu," katanya. Menurutnya, dilihat bahawa Ikatan mempunyai masalah untuk menarik pemimpin berkaliber menyertainya dan ini terbukti apabila janji presidennya, pada Mei 2015 untuk memperkenalkan barisan pemimpinnya di seluruh negara pada September 2015 belum mampu dikotakan olehnya hingga sekarang. Beliau memberitahu, dari segi visi parti juga Ikatan didapati terlalu bersifat sentimental dan memandang ke belakang dengan mengikat identiti dirinya dengan bekas pemimpin terdahulu, khususnya Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra. Dengan mengambil kira latar belakang Ikatan seperti itu, maka Kamarul Zaman yang juga Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) memaklumkan, tidak hairanlah banyak pihak mempersoalkan kewajaran langkah Pas membentuk kerjasama dengannya. Telahnya, apa yang difikirkan sekarang ialah kerjasama ini akan lebih menguntungkan Ikatan berbanding Pas yang boleh tercalar identiti perjuangan Islamnya berbanding hanya secebis manfaat politik yang bakal diperoleh. Apatah lagi katanya, setelah Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan mendedahkan pembentukan kewujudan blok baharu pembangkang, Ikatan sendiri menafikannya. "Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan Ikatan sendiri sebelum ini bahawa mereka adalah parti berasaskan isu sahaja tetapi tidak bermatlamatkan pilihan raya yang menimbulkan persoalan mengenai ketahanan Ikatan," katanya. Jelasnya, sewaktu melancarkan Ikatan pada Mei 2015 dahulu jelas menyebut bahawa Ikatan tidak memikirkan tentang pilihan raya dan bahawa soal sama ada Ikatan akan menyertai PRU14 hanya akan ditentukan kemudian. Menarik katanya, kandungan kenyataan bersama Hadi dan rakan baharunya itu juga langsung tidak menyebut sebarang rujukan ke atas kemungkinan kerjasama antara Pas dan Ikatan untuk menghadapi PRU14. Paling tinggi sekali di dalam kenyataan bersama itu, bagi beliau hanyalah frasa bahawa 'pertemuan pada hari ini juga membuka ruang ke arah membina suatu kumpulan persefahaman kerjasama politik yang lebih tersusun yang sedang digagaskan oleh Pas'. "Tanpa elemen pilihan raya maka benarlah tanggapan bahawa kerjasama ini bukan satu kerjasama kukuh yang mampu memberi impak besar dalam politik Malaysia," katanya. -SH
ULASAN GB Wahai pemimpin PAS, baca dan renung dua ulasan dari intelektual universiti di atas. Anda akan dapati bahawa apa yang telah kamu lakukan tidak lain dari membawa PAS ke lembah kehancuran. Ini diakui sendiri oleh seorang YB PAS. Semalam GB sudah ulas. Petikan: Melenting setinggi siling pemimpin dan ahli PAS apabila FMT menyiarkan tajuk berita "PAS-IKATAN sepakat hudud tidak sesuai di Malaysia" dan keluar kenyataan dari Lajnah Penafian kononnya kenyataan Presiden IKATAN itu telah diputarbelitkan. |
"Balaci DAP", Wirid PAS Kepada AMANAH... PAS Perlu Mohon Maaf! Posted: 18 Mar 2016 07:10 PM PDT Isu hudud: AMANAH tuntut PAS minta maaf Tahniah blok ketiga PAS-IKATAN. Tergantung kepada usaha dan pendekatan blok baru ini, jangka usianya akan ditentukan. Sebagai ingatan, parti berdasarkan ideologi dan kuat pula doktrinnya bukan mudah untuk bergabung dengan pihak lain, tambahan kalau mereka mengakui "western-educated liberal". PAS wajar segera dewasa dengan realiti. Pun begitu, ramai yang terkejut dengan laporan sidang akhbar mereka semalam (FMT dan lain-lain). Kejutan tercetus kerana tajuk yang diberikan portal berita FMT "PAS-IKATAN sepakat hudud tidak sesuai di Malaysia". Pada awalnya saya jangka FMT silap lapor atau ada 'spin' tajuk oleh wartawan. Setelah mendengar dengan teliti sendiri video sidang akhbar itu, saya yakin laporan itu adalah benar dan tepat dengan maksud penerangan yang dibuat oleh kedua-dua presiden parti itu. Dengan ini maka jelas kepada semua bahawa pendirian dan sikap PAS terhadap kedudukan hudud telah berubah. PAS yang sebelum ini menganggap, bahkan menuduh pelbagai pihak yang menolak perlaksanaan hudud di Malaysia – dengan hujah memerlukan suasana kondusif, tidak bertepatan dengan keutamaan dan umat yang belum bersedia – sebagai golongan yang menolak hudud. Bahkan ada sesetengah pimpinan dan ulama PAS langsung menuduh pihak-pihak tersebut sebagai liberal, sekular serta menentang syariah. Lebih berat lagi, ada di kalangan ustaz-ustaz PAS ini yang mengajar di masjid-surau, telah menjatuhkan hukuman murtad dan kafir ke atas mereka yang didakwa perlu bertaubat. Ternyata mengikut video ini, PAS telah menggunakan hujah yang sama untuk memberi alasan mengapa hudud tidak boleh dilaksanakan ketika ini di Malaysia. Sikap melampau Justeru PAS wajar menjelaskan kedudukan sebenarnya serta segera menarik balik tuduhan dan memohon maaf kepada semua pihak yang telah mereka zalimi dengan sikap melampau (al-ghuluw). Antara yang tertuduh adalah Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainal Abidin yang telah pun mengeluarkan kenyataan beliau dalam Facebooknya semalam. Mengandaikan mereka sebenarnya faham prasyarat perlaksanaan hudud (termasuk keperluan pindaan perlembagaan), maka tidak dapat dielakkan tanggapan dan persepsi umum bahawa PAS telah secara sengaja, menekankan agenda perlaksanaan hudud sebelum ini, demi untuk mencetuskan pertelingkahan di kalangan pemimpin dan parti-parti Pakatan Rakyat, bagi akhirnya memecahkan gabungan pembangkang ini. Perkara ini telah pun menjadi rakaman sejarah. Pimpinan ulama PAS juga telah menggunakan isu pelaksaan hudud bagi berkempen untuk menyingkirkan golongan aktivis-profesional, yang kononnya menolak perlaksanaan hudud dalam muktamar Pas lalu. Berdepan dengan suasana kemelut kepimpinan politik yang hampir memusnahkan negara ini, saya secara peribadi dari pimpinan AMANAH menyeru seluruh kepimpinan politik daripada semua parti-parti politik pembangkang mahupun kerajaan supaya menumpu agenda besar reformasi dan penambahbaikkn (al-lslah) dalam rangka memenuhi gagasan #SelamatkanMalaysia. Wajar ditamatkan segera dan selama-lamanya mempolitikkan agama, khususnya persoalan hudud, bagi menjatuhkan lawan dan seteru politik dengan tuduhan dan hukuman mengkafirkn lawan. Sebaliknya kami menganjurkan supaya persaingan politik di pentas demokrasi dengan cara penganjuran (advokasi) dasar-dasar dan polisi serta program masing parti dan gabungan. Pemangsaan rakyat Ini bagi memacu dan menjamin pembinaan kembali maruah, kedaulatan dan daya saing negara ini yang amat terjejas dewasa ini. AMANAH menekankan perjuangan menggapai matlamat dan cita-cita yang terangkum dalam maqasid al-syariah, yang antara lainnya bermatlamatkan mengangkat 'kemuliaan insan' (karamah insaniyyah), sekali gus membanteras segala bentuk diskriminasi dan pemangsaan rakyat atas apa jua pemahaman agama dan perkauman yang sempit dan salah. Segala matlamat dan tujuan syariah yang untuk memelihara dan mengembangkan kesejahteraan, kemakmuran dan kedamaian individu rakyat dan masyarakat dengan prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan dan kebertanggungjawaban adalah kemestian yang harus diperjuangkan semua. Kami bercita-cita untuk mewujudkan satu konstruk politik yang sihat dan vibrant, di mana semua institusi kritikal negara dapat berperanan menjalani tugasan menyemak-imbangi serta mencegah pemusatan kuasa eksekutif. Hanya ketika penyalahgunaan kuasa oleh penguasa politik dapat dicegah serta pembanterasan amalan rasuah, ketirisan, pembolotan dan pembaziran dapat dijayakan, barulah negara mampu memacu pembangunan yang adil dan mapan serta rakyat seluruh mengecapi kekayaan dan pertumbuhan yang bermakna. Semua kebejatan rasuah, ketirisan dan salah-guna kuasa, sama ada yang berlaku di pihak kerajaan Persekutuan mahupun mana-mana kerajaan negeri, wajib dibanteras segera dan rakyat yang celik dan mempunyai maklumat serta informasi, tidak lagi boleh diperkotak-katikkan serta dibelenggui oleh pimpinan kerajaan pusat dan negeri. Semoga Allah merahmati rakyat dan negara tercinta ini! DR DZULKEFLY AHMAD pengarah strategi, Parti Amanah Negara (AMANAH).
ULASAN GB Melenting setinggi siling pemimpin dan ahli PAS apabila FMT menyiarkan tajuk berita "PAS-IKATAN sepakat hudud tidak sesuai di Malaysia" dan keluar kenyataan dari Lajnah Penafian kononnya kenyataan Presiden IKATAN itu telah diputarbelitkan. Lalu FMT memuat-naikkan video wawancara berkenaan. Jelas sekali laporan FMT itutidak diputarbelitkan. Ia membuktikan PAS sedia bekerjasama dengan IKATAN tanpa ada lansung perbincangan hudud dan Naib Presiden IKATAN, Datuk Tony Looi, menyatakan dengan tegas bahawa beliau akan meletakkan jawatannya jika PAS yang membentuk gagasan pembangkang yang baharu bersama IKATAN masih terus memperjuangkan hudud. Sebelum ini (malah hingga sekarang juga), golongan PAS telah memaki-hamun dan memfitnah ahli-ahli AMANAH sebagai "balaci DAP" dan ia dijadikan wirid para pascai di media sosial dan juga di ceramah-ceramah pemimpin PAS. Mereka menuduh AMANAH anti-hudud, anti Islam dan seumpamanya. Kini ludah itu terpaksa dijilat semula dan maki-makian mereka itu tertimpa kepada diri sendiri. PAS sebelum ini juga menyatakan kononnya "hudud nyawa kami", MB Kelantan menyatakan sanggup meletakkan jawatan jika hudud tidak dilaksanakan di Kelantan dan seumpamanya. Rupa-rupanya segalanya auta apabila Presiden PAS sendiri berdolak-dalik apabila menyatakan "RUU syariah tak dapat dibentang kerana kesuntukan masa". Takiyuddin pula menyatakan kononnya PASIK menggerunkan Pakatan Harapan. Ketawa kita membaca kenyataannya itu. Kita ingin nyatakan kepada beliau bahawa teruskan PASIK kamu, PH lansung tak terkesan dengan permuafakatan PAS-IKATAN, malah rakyat lebih lebar matanya membaca gerak politik sumbang PAS itu. Malah seorang professor di UUM mencadangkan lebih baik PAS dibubarkan saja. (baca laporan di atas). Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. PAS akan tetap terhukum kerana pengkhianatannya kepada rakyat yang telah menyokong dan mengundi mereka kerana mereka dahulu bersama Pakatan Rakyat. Suka atau tidak suka, PAS akan berkubur akhirnya. Tempatnya digantikan oleh AMANAH, sebuah paqrti Islam yang amanah, progresif dan peduli terhadap rakyat. InsyaAllah. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan