Rabu, 30 Mac 2016

kalam Perantau

kalam Perantau


Tiada kerajaan campuran, mungkinkah Terengganu bertukar Menteri Besar lagi?

Posted: 30 Mar 2016 02:58 AM PDT

Oleh : Shuhaimi Al-maniri

Ramai juga yang bertanya tentang perkembangan politik Terengganu ekoran usul undi tidak percaya Adun Kijal, Dato' Seri Ahmad Said, mantan Menteri Besar Terengganu. Kata mereka, takkan habis begitu sahaja.

Tiba-tiba sahaja 'sportlight' politik dihalakan kepada Negeri Terengganu. Dato' Seri Abdul Razif Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu yang bersifat 'low profile' dalam politik nasional tiba-tiba menjadi perhatian semua pihak.

Ahmad Razif dalam wawancara ekslusif dengan A Jalil Hamid, Syed Umar Arif dan Koi Kye Lee ketika melawat The NSTP memberitahu tidak ada 'snap polls' untuk pilihanraya negeri Terengganu telah menjadi berita utama Berita Harian dan NST pada Isnin, 28hb Mac, 2016.

Menteri Besar juga beritahu tidak akan ada kerajaan campuran di Terengganu walaupun keadaan "api dalam sekam" politik UMNO di Terengganu sejak Ahmad Said digantikan oleh beliau dan begitu yakin pembangkang terutama PAS menyokong perancangan 'Transformasi Terengganu Baru' yang diilhamkan oleh beliau sebagai Menteri Besar sejak hampir 2 tahun lepas.

Semua boleh baca dan saya tidak bercadang untuk komen berhubung dengan pandangan Menteri Besar Terengganu. Cuma dalam satu laporan beliau ada menyebut, “Apa berlaku kepada saya sekarang tidak penting, jika ditakdirkan saya terpaksa berkorban, saya rela demi memastikan UMNO dan BN terus kekal berkuasa pada PRU-14 nanti,” katanya yang dipetik dari Bernama beberapa hari sebelum itu,

Terengganu dapat Menteri Besar baru lagi?

Sungguhpun begitu, cakap-cakap politik di kalangan orang-orang UMNO sedang rancak semula dengan kemungkinan Ahmad Razif akan dipaksakan berundur untuk memberikan seorang dikalangan exco yang ada sekarang ini untuk menjadi Menteri Besar yang baru dalam masa terdekat bagi meredakan kemarahan dari 'kem Ahmad Said' terutama selepas Ahmad Razif mengambil tindakan balas menarik peruntukan diuruskan Adun Kijal.

Nama ADUN Permaisuri, Dato' Mohd Jidin Shafee sekali lagi dikatakan sedang memanaskan suhu politik Terengganu dengan menjadi sebutan pelbagai pihak akan dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru dalam masa yang terdekat.

Perkara ini sukar untuk ditolak begitu sahaja. Dalam kolum Kalam Perantau pada Jumaat minggu lepas bertajuk, Selepas Kedah, giliran politik Terengganu bergolak? saya ada menulis, "setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Dato' Abdul Razif Abdul Rahman yang lebih terkenal dengan jolokan "Menteri Besar Seberang Takir" ini mampu atau tidak bertahan sehingga akhir penggal ini".

Ternyata UMNO bernasib baik kerana PAS sejak mengamalkan 'politik matang dan sejahtera' tidak mengambil kesempatan untuk mengangguk di air keruh kepada masalah dalaman yang dihadapi oleh UMNO Terengganu sekarang ini walaupun PAS didesak parti serpihannya, Parti Amanah Nasional (PAN) yang tidak mempunyai seberang kerusi dalam DUN Terengganu supaya tidak melepaskan peluang yang ada sekarang.

Malah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satipul Bahari Mamat dalam kenyataan media sebelum ini jelas tidak campurtangan dan terlibat dalam hal politiking dalaman UMNO ini kerana tidak bersetuju dengan cara menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara 'paksa' seperti yang dilakukan oleh UMNO keatas kerajaaan Daud Samad (PAS) di Teregganu pada tahun 1961 dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin (PR) di Perak pada tahun 2009.

Terpulanglah kepada UMNO untuk mempertimbangkan sama ada perlu untuk tukar Menteri Besar Terengganu sekali lagi ataupun tidak? Bagi Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu dalam kenyataan medianya, Razif-Ahmad Said berbalas dendam, rakyat dapat apa? menyebut, "…MB sepatutnya mencari kekuatan sendiri dengan menonjolkan kejayaannya sepanjang dua tahun pemerintahannya……".

Bagi pihak rakyat, jika Ahmad Razif supaya tidak berdendam dengan mana-mana Adun bila ingat melakukan Transformasi Terengganu Baru. Beliau bukan sahaja tidak sepatutnya mengambil alih pengurusan peruntukan Adun Kijal kepada Pejabat Menteri Besar tetapi memberikan kepada semua Adun yang dipilih secara demokrasi hak yang sama mengendalikan peruntukan dun masing-masing seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan bertemakan 'Membangun untuk Islam' pimpinan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1999-2004).

Rakyat Terengganu akan lebih menghargai seorang Menteri Besar yang mampu membangunkan negeri Terengganu secara bersepadu supaya rakyat Terengganu dapat melihat pembangunan 'Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air' yang boleh dibanggakan oleh rakyat negeri ini.termasuk juga yang berada di Besut atau pun Kemaman.

Sama ada UMNO untuk menukarkan Menteri Besar atau tidak, terpulang kepada mereka kerana mereka masih menguasai kerajaan. Siapa pun jadi MB Terengganu, tiada apa pun untuk dibanggakan rakyat.

Pada rakyat selagi Ahmad Razif mengekalkan style politik kuno UMNO yang diwarisinya secara turun termurun, selama itu tidak berlaku Transformasi Terengganu Baru.

Saya pada mulanya kagum juga bila Ahmad Razif memberikan tagline kerajaannya, Transformasi Terengganu Baru (TTB). Setelah hampir dua tahun menunggu untuk melihat perubahan yang drastik dalam style pengurusan kerajaan negeri dibawah kepimpinan beliau, ternyata ianya tidak berlaku.

Pada rakyat tidak ada makna tagline politik kerajaan Ahmad Razif, Transformasi Terengganu Baru (TTB) jika masih mengulangi apa yang dilakukan oleh Menteri Besar dari Umno yang tidak mengagihkan wang pembangunan bagi DUN yang diwakili pembangkang untuk menguruskannya secara saksama.

Apatah lagi sekiranya pembangunan yang dibawa oleh Menteri Besar Terengganu sekarang ini pun tidak merata dan hanya ditumpukan kepada DUN sendiri sahaja sehingga timbul jolokan 'Menteri Besar Seberang Takir'.


Tiada ulasan: