Isnin, 7 Mac 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


APA PUNYA BEBALLAH....

Posted: 07 Mar 2016 07:02 AM PST

 shahbudindotcom

 

 
 
Cuba kita baca kenyataan Mohd Fuad Zarkashi yang kalah bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat dalam pilihanraya umum lalu, tetapi kemudian kerana kuat mengipas dan membodek, dilantik pula sebagai Ketua Pengarah Jasa sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah portal berita yang tiga perenggan awalnya adalah seperti berikut:-

Motif serangan Tun Mahathir menjatuhkan Najib Razak adalah kerana mahukan anaknya, Mukhriz Mahathir menjadi Perdana Menteri, dakwa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Fuad Zarkashi.

Beliau berkata, sebab itulah bekas Perdana Menteri berkenaan tidak menyebut siapa pengganti jika Najib meletakkan jawatan.

Beliau berkata, Tun Mahathir terlalu taksub dengan agenda Mukhriz menjadi Perdana Menteri sehingga sanggup melempar fitnah kepada Najib dan duduk semeja dengan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Siapa pun yang membaca kenyataan Mohd Fuad ini pasti menyedari bahawa ia dengan jelas bermaksud apabila Najib berjaya diturunkan dalam tempoh terdekat ini,  calon yang akan diangkat sebagai penggantinya tidak lain ialah anak Tun Mahathir sendiri iaitu Mukhriz.

Sebab itulah, kononnya Tun Mahathir dalam gerakannya mahu menurunkan Najib, tidak menyebut siapa penggantinya kerana seolah-olah Mukhrizlah yang akan menjadi pertimbangan utamanya untuk dijadikan pilihan.

Lebih dari itu, Mohd Fuad juga berkata, disebabkan ketaksuban terhadap anaknya itulah  Tun Mahathir sanggup duduk semeja dengan Lim Kit Siang dan melemparkan fitnah kepada Najib.

Alahai...memang kesian dengan tahap pemikiran dan pengetahuan am Ketua Pengarah Jasa ini kerana beliau nampaknya masih tidak memahami bahawa untuk membolehkan seseorang itu dilantik sebagai Perdana Menteri, ia mestilah berkedudukan sebagai Ahli Parlimen.

Dalam hal ini, bagaimana Tun Mahathir mahu mengangkat Mukhriz menjadi Perdana Menteri sedangkan kedudukannya sekarang hanyalah sebagai Adun saja?

Mungkinkah Mohd Fuad ada "silap mata" yang tidak diketahui oleh sesiapa, termasuk Tun Mahathir bagaimana untuk membolehkan bukan Ahli Parlimen dilantik sebagai Perdana Menteri?

Kalau pun kenyataan itu untuk "spin" berita dengan tujuan mengelirukan rakyat, takkanlah begitu rendah tahapnya sehingga logik dan faktanya berterabur di sana sini., bahkan langsung tidak sesuai dengan martabat sebagai Ketua Pengarah Jasa.

Dengan sewenang-wenangnya mengatakan Mukhriz yang sekadar Adun pun boleh dilantik mengambil alih tempat Najib,  "kebebalan" ini tentunya mengundang ketawa besar makcik dan pakcik Felda di seluruh negara.

Mungkin ada yang terpacul kata-kata, macam ni punya "bebal"  pun boleh jadi Ketua Pengarah Jasa!!

Tetapi  jika selepas pilihanraya atau masa-masa selepasnya, apakah salah Tun Mahathir mengimpikan anaknya untuk menjadi Perdana Menteri atau jika Mukhriz sendiri memang bercita-cita begitu?

Ia tentunya tidak salah, tetapi dalam konteks menyingkirkan Najib ini sudah disebut berulang kali bahawa penggantinya akan ditentukan kemudian berdasarkan kesepakatan pihak-pihak yang berkepentingan dalam bertungkus lumus ke arah itu.

Jika sebelum pilihanraya Najib berjaya dijatuhkan, Mukhriz tidak akan tersenarai kerana kedudukannya sebagai Adun tidak melayakkannya untuk dicalonkan.

Selepas pilihanraya pula, prosesnya  masih lagi jauh dan tidak diketahui pun sama ada Mukhriz berjaya menang sebagai Ahli Parlimen atau pun tidak ketika itu dan mampu atau tidak blok Tun Mahathir yang sudah ada persefahaman dengan parti-parti pembangkang memenangi lebih kerusi Parlimen?

Namun, untuk pengetahuan Mohd Fuad, jika benar ketaksuban Tun Mahathir hanyalah untuk menjadikan anaknya sebagai Perdana Menteri, adalah lebih baik bekas Perdana Menteri itu terus melobi, mengipas dan membodek Najib siang dan malam tanpa menghiraukan apa isu yang melanda sekali pun.

Sudah tentu dengan kedudukannya sebagai negarawan yang berpengaruh dan dihormati, Najib lebih terhutang budi dah sedia memenuhi apa jua permintaannya.

Kenapa Tun Mahathir tidak sanggup berbuat demikian sedangkan ia lebih mudah, bahkan mungkin menjadikan beliau turut diberikan "dedak kelas A" bertimbun-timbun sepanjang masa oleh Najib?

Tidakkah ini menunjukkan matlamat menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri bukanlah keutamaan Tun Mahathir, malah beliau lebih sanggup memilih jalan susah semata-mata untuk menyelamatkan negara?

Selain itu, dengan mendakwa kerana ketaksuban ingin melihat Mukhriz menjadi Perdana Menteri turut menyebabkan Tun Mahathir memfitnah Najib juga langsung tidak benar sama sekali.

Apakah 1MDB, wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib yang kini merupakan tajuk perbualan di seluruh dunia adalah suatu fitnah daripada Tun Mahathir?

Akhirnya kepada Mohd Fuad, dalam ghairah membodek, mengipas dan mengampu Perdana Menteri,  sorok-soroklah sikit jika ada lagi "kebebalan"  lain yang masih berbaki dalam kotak pemikirannnya


Tangani isu Muhyiddin, Muhkriz dengan kasih sayang - Shahidan

Posted: 07 Mar 2016 06:49 AM PST

MALAYSIAKINI




Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim berpendapat parti perlu menggunakan pendekatan 'kasih sayang' dalam menangani isu anggota dan kepimpinan parti yang menandatangani deklarasi bagi menyokong penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berpandangan tindakan menghukum atau mengetepikan mana-mana pihak tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu parti.

"Kalau kita ketepikan mana-mana pihak, pasti tidak selesai masalah, nak selesai kita kena ambil pendekatan 'kasih sayang'.

"Yang lain serahkan pada agensi yang bertanggungjawab mengadilinya. Kalau rakyat semua jadi hakim, (akan timbul) masalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama, Parlimen ke-13, di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan segelintir anggota dan pemimpin Umno yang mahu tindakan pecat diambil ke atas Ketua Umno Bahagian Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang menandatangani deklarasi itu yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu.

Tiada keperluan bubar Parlimen

Ditanya mengenai usaha menggulingkan Najib sebagai presiden Umno dan perdana menteri, Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata perkara tersebut hanya boleh dibuat melalui proses demokrasi di Parlimen.

"Kena ingat ini negara demokrasi berparlimen, jadi yang boleh jatuhkan PM (perdana menteri) itu di Parlimen. Dalam parti, parti boleh buat keputusan mengenai presiden," katanya.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tindakan terhadap anggota parti yang telah menandatangani deklarasi itu hanya boleh diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT).

"Saya secara peribadi telah menerima bermacam-macam desakan daripada akar umbi supaya tindakan diambil terhadap kumpulan ini, tetapi hakikatnya, MT yang perlu buat keputusan," kata Menteri Pertahanan dan anggota Parlimen Sembrong itu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan setakat ini tiada keperluan untuk membubarkan Parlimen.
Sokong 'Deklarasi Mahathir'

Ahli Parlimen Santubong itu berkata rakyat dan anggota Parlimen masih lagi mempercayai kepimpinan Najib selaku perdana menteri, dan pentadbiran serta ekonomi negara masih teratur berbanding negara-negara lain.

"Pada masa sekarang pun apa yang berlaku belum mengatakan negara ini dalam kucar kacir (yang) memerlukan dewan dibubarkan dan mengadakan pilihan raya," katanya.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shapie Apdal pula berkata MT perlu meneliti secara mendalam gesaan supaya tindakan daimbil terhadap pemimpin dan anggota parti yang menyertai 'deklarasi Mahathir' sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau yang mengakui menyokong deklarasi itu, namun belum menandatanganinya berkata walaupun MT mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan hukuman namun ia perlu melalui proses tertentu sebelum keputusan diambil.

"Umno ada jawatankuasa disiplin, serendah-rendah jawatan dalam Umno jika mahu diambil tindakan perlu diteliti, dipanggil dan disiasat terlebih dahulu.
"Bukan hanya MT mengemukakan pandangan kepada Setiausaha Agung da
n kemudian jatuh hukum begitu sahaja, harus mengikut peraturan sepatutnya," katanya.- Bernama


Cuepacs bantah pembekuan jawatan baru sektor awam

Posted: 07 Mar 2016 06:41 AM PST

MALAYSIAKINI




Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah tindakan kerajaan membekukan pengambilan penjawat awam dengan tidak membenarkan pewujudan jawatan baharu berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata keputusan kerajaan yang diambil oleh Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Pekeliling Perbendaharaan bertajuk "Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan" membawa implikasi sosial dan ekonomi yang negatif kepada negara.

"Cuepacs tidak bersetuju tindakan MOF dan akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meminta perkara ini dikaji semula," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Perkhidmatan Awam anjuran Cuepacs Sarawak oleh Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin di Miri hari ini.

Azih berkata Cuepacs kecewa tindakan MOF yang membuat keputusan itu tanpa sebarang perbincangan dilakukan memandangkan impak negatif arahan tersebut lebih kepada kebajikan kakitangan bawahan dan bukan kakitangan atasan.

Beliau berkata impak sosial yang bakal dialami oleh negara ialah masalah pengangguran bakal meningkat terutama individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lepasan sijil lain.

Azih berkata dari sudut ekonomi tindakan itu akan melambatkan lagi proses pemulihan ekonomi berikutan kekurangan kritikal kakitangan awam untuk melaksanakan sesuatu tugasan mengikut jadual terutama jika ia melibatkan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

"Cuepacs meminta pegawai MOF yang bertugas di Putrajaya turun padang melihat sendiri keadaan di kawasan-kawasan tertentu di seluruh negara sebelum mengeluarkan garis panduan berkenaan," katanya.

Beliau berkata ada sesetengah kawasan, terutama sekali di luar bandar dan pedalaman, memerlukan petugas yang ramai kerana keluasan dan kedudukan geografi kawasan tempat berkhidmat seperti Sarawak dan Sabah.

"Saya bagi contoh kalau pejabat hanya ada seorang pembantu tadbir iaitu seorang wanita yang sarat mengandung, selepas melahirkan anak cuti tiga bulan, siapa yang menggantikannya dalam tempoh tiga bulan kalau tiada jawatan yang sama dengannya,sebab itu dalam keadaan tertentu jawatan baharu tidak boleh dibekukan kerana faktor tersebut," katanya.

Pekeliling Perbendaharaan setebal 11 muka surat itu, menggariskan 14 garis panduan, antaranya pewujudan jawatan baharu tidak dibenarkan kecuali melalui kaedah tukar ganti dan pindah butiran serta tiada implikasi kewangan tambahan.

Pekeliling itu juga mengarahkan pewujudan jawatan baharu bagi jawatan kritikal yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara, dilaksanakan dengan kawalan ketat.

Bagi konsep pindah butiran, ia mesti diberi keutamaan bagi projek-projek baharu yang telah siap seperti sekolah, hospital/ klinik, balai polis dan sebagainya untuk memastikan agihan penempatan pegawai dibuat berdasarkan fungsi/ kepakaran dan permintaan pelanggan

Pekeliling itu mengarahkan jawatan kosong yang tidak diisikan melebihi dua tahun, dimansuhkan.

"Kami juga tidak setuju mengenai perkara Elaun Lebih Masa yang semakin diperketatkan prosedur dalam pekeliling ini, akan menyukarkan kelicinan perjalanan tugasan berikutan kerenah birokrasi," katanya.

Azih berkata Cuepacs baru mendapat tahu mengenai pekeliling itu semalam setelah ia dimuat naik dalam laman web MOF.- Bernama


'Ustaz Kasanova' dihukum 12 bulan penjara, 6 sebatan

Posted: 07 Mar 2016 06:38 AM PST

BERNAMA




Lelaki yang digelar 'Ustaz Kasanova' hari ini dihukum penjara 12 bulan dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur kerana melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang wanita di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Hakim Syarie Nassir Abd Ghani memerintahkan Mohd Razis Ismail, 34, menjalani hukuman bermula pada 29 Feb lalu iaitu tarikh kali pertama dia didakwa di mahkamah.

Dalam penghakimannya, Nassir berkata mahkamah telah mengambil kira rayuan tertuduh dan juga faktor dia mengetahui akibat perbuatannya itu.

Mahkamah juga mengambil kira Mohd Razis yang berkahwin sebanyak 13 kali dan mempunyai 11 isteri itu dilihat mengaibkan institusi agama Islam dan institusi kemasyarakatan selain kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius, katanya.

"Mahkamah juga mengambil kira faktor kepentingan awam kerana tertuduh sebelum ini menggunakan imej 'Ustaz' untuk mengaburi dan memperdaya ramai wanita.

"Perbuatan tertuduh menjadi viral sehingga diberi gelaran tidak sepatutnya oleh media massa sehingga memperlihatkan imej buruk terhadap agama," kata Nassir.

Mohd Razis didakwa melakukan kesalahan terhadap wanita itu sehingga melahirkan anak di sebuah hotel di Kuala Lumpur antara Mac dan Mei 2012 dan mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Di Mahkamah Rendah pula, Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah menangguhkan hukuman ke 17 Mac ini terhadap Mohd Razis yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan cuba berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita lain berumur 24, 35, dan 30 tahun dan dua pertuduhan lain.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kedah; Golok, Thailand, dan di sebuah flat di Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur antara 4 April 2010 dan 26 Ogos 2012 mengikut Seksyen 133 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagi dua pertuduhan lagi dia didakwa bernikah dengan wanita berumur 24 dan 40 tahun itu tanpa mendapat kebenaran pendaftar mahkamah mengikut Seksyen 40(2) akta yang sama, pada 4 April 2010 dan 26 Mei 2012.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie Kanan Zainor Rashid Hassin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Salah seorang daripada isteri tertuduh yang hadir di mahkamah memberitahu media bahawa beliau telah berkahwin dengan tertuduh pada 2012 dan dikurniakan sepasang kembar kini berumur empat tahun.

"Ketika berkenalan, suami saya memperkenalkan dirinya sebagai seorang Imam di sebuah masjid di Australia. Kami berkahwin dalam majlis yang lengkap, tetapi selepas berkahwin baru saya mengetahui dia mempunyai isteri-isteri lain," katanya.

Beliau kemudian bertindak membuka akaun Facebook menggunakan nama tertuduh dan memuat naik gambar perkahwinan mereka.

Katanya, selepas itu isteri-isteri tertuduh yang lain memberitahunya mereka juga adalah isteri kepada Mohd Razis.- Bernama


GERAMM lancar kempen bantah pindaan Akta SKMM

Posted: 07 Mar 2016 06:33 AM PST

MALAYSIAKINI





Gerakan Media Marah (GERAMM) akan menjalankan semula kempen media sosial mereka, kali ini bagi memberi tekanan terhadap cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam satu kenyataan media hari ini, GERAMM berkata pindaan itu antara lain akan memperkenal hukuman lebih keras dan dijangka akan dibentangkan di parlimen bulan ini.

"Geramm sekali lagi menegaskan pendirian kami bahawa pindaan ini hanyalah satu lagi usaha kerajaan untuk menyekat hak kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat," kata kumpulan itu.

Januari lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pindaan tersebut akan menyelaraskan penguatkuasaan dalam menyekat laman blog yang didakwa 'memfitnah institusi kepimpinan negara'.

Beliau berkata turut disekat ialah artikel dan catatan dalam laman sosial yang menggugat ketenteraman dan kestabilan negara serta melanggar Akta Hasutan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, GERAMM memandang serius isu penutupan The Rakyat Post pada 29 Februari lalu yang dianggap sebagai siri terbaru penstrukturan laman berita.

Kumpulan itu difahamkan, kakitangan portal berkenaan diberhentikan tanpa mendapat pampasan dan notis sewajarnya.

Mangsa penstrukturan media

Sehubungan itu seramai 30 kakitangannya memfailkan laporan di Jabatan Buruh bagi menuntut gaji tertunggak mereka bagi bulan Januari dan Februari.

"Geramm melihat langkah ini sebagai tidak adil, apatah lagi ramai kakitangan tiada sumber pendapatan lain sepanjang tempoh mencari kerja baru.

"The Rakyat Post hanyalah kes terbaru dalam siri penstrukturan semula laman berita, yang turut melibatkan beberapa lagi laman berita atas talian dalam tempoh dua tahun," ujarnya.

Meskipun akur bahawa pemilik media berhak menghentikan operasi mereka, GERAMM berpendapat proses tersebut tidak seharusnya mengorbankan kebajikan kakitangan tanpa memberi notis dan pampasan sewajarnya.

"Penubuhan dan penutupan laman berita secara sewenang-wenang demi agenda berkaitan politik adalah ancaman serius terhadap amalan kewartawanan yang sepatutnya, hak orang awam untuk mendapat maklumat serta kebajikan wartawan dan kakitangan lain yang hanya menjalankan tugas," katanya.

GERAMM merupakan perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuangkan kebebasan media.

Demo anti-Najib tiap negeri bermula bulan ini

Posted: 07 Mar 2016 06:28 AM PST

MALAYSIAKINI




Pakatan Harapan juga akan menganjurkan perhimpunan di setiap negeri bermula bulan ini bagi menggembleng sokongan umum bagi menuntut peletakan jawatan perdana menteri.

Dinamakan perhimpunan "Muafakat Selamat Malaysia", ia dirancang untuk memberi pentas kepada semua pihak, termasuk aktivis masyarakat untuk menyatakan perkara itu.

Perkara itu diumumkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan melalui kenyataan hari ini.

Pemimpin pembangkang, NGO dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu mencipta sejarah apabila tampil bersama-sama menuntut pengunduran Najib.

Timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung tugas turut serta dalam acara "Selamatkan Malaysia" di ibu negara Jumaat lalu.

Selain itu, Harapan juga berkata isu-isu ekonomi yang menekan rakyat tidak boleh ditenggelamkan oleh beberapa perkembangan politik mutakhir ini.

Ini, katanya, termasuk Isu-isu seperti penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pembiayaan pendidikan yang munasabah serta menghentikan kenaikan cukai, levi dan yuran yang dikenakan kerajaan.

"Oleh itu, Harapan menyeru semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan untuk turun menyertai Perhimpunan Mansuh GST yang akan diadakan pada 2 April 2016 di Kuala Lumpur bersempena dengan satu tahun rakyat Malaysia dibebankan dengan GST," katanya.

Presiden parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu mengetuai jawatankuasa penganjur Perhimpunan Mansuh GST dan perhimpunan "Muafakat Selamat Malaysia".

Mahathir tak kuat, dia perlukan bantuan - Harapan

Posted: 07 Mar 2016 06:23 AM PST

Kow Gah Chie 



Pakatan Harapan hari ini menjelaskan bahawa Deklarasi Rakyat yang diisytiharkan Jumaat lalu adalah bantuan sokongan daripada Pakatan Harapan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukan sebaliknya.

Katanya, deklarasi itu perlu dilihat berdasarkan persepsi yang betul iaitu Dr Mahathir memerlukan bantuan pembangkang dalam usahanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Dr Mahathir tidak kuat dan beliau pelukan bantuan kita," katanya di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mengulas soalan yang mendakawa pembangkang tidak berupaya untuk menggulingkan Najib dan memerlukan bantuan bekas perdana menteri itu untuk berbuat demikian.

Pada sidang media bersama pimpinan tertinggi DAP dan Parti Amanah Nasional (AMANAH), ahli parlimen Shah AlamKhalid Samad menyoal jumlah ahli parlimen BN yang bersama dengan Mahathir.

Rosmah beri angpau pada 14 rumah kebajikan

Posted: 07 Mar 2016 06:21 AM PST

Zulaikha Zulkifli

 


Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) bersama YTL Corp Bhd hari ini memberi angpau serta sumbangan kepada 14 buah rumah kebajikan.

Rosmah Mansor selaku yang dipertua BAKTI menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap rumah kebajikan dan memberi angpau kepada kira-kira 1,000 tetamu yang hadir.

Sumbangan itu diberi sempena majlis minum petang sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara hari ini.

Rosmah yang mengenakan baju batik rasmi BAKTI berwarna merah jambu itu turut menuju ke setiap meja untuk bersalaman dan menyerahkan angpau.




Malah terdapat juga beberapa tetamu yang hadir mengambil kesempatan bergambar serta berselfie bersama isteri perdana menteri itu.

Sebelum itu, Rosmah bersama wakil YTL Corp Bhd serta wakil daripada beberapa rumah kebajikan turut menyempurnakan acara menggaul yee sang.

Selain itu, acara lain bagi majlis sambutan pada petang ini juga diserikan lagi dengan nyanyian koir serta persembahan tarian daripada kanak-kanak Program Asuhan dan Didikan awal kanak kanak (PERMATA) Seni.

Antara rumah kebajikan yang hadir dan menerima sumbangan ialah Chempaka Buddhist Lodge, Rumah Orang-orang Tua Seri Setia, Rumah Charis dan Shelter Home.


 
 
 

Pas nafi tidak sertai Deklarasi Rakyat sebab hudud

Posted: 07 Mar 2016 06:16 AM PST

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan 
 
 
KUALA LUMPUR - Pas menafikan keengganan parti Islam itu menyertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan menandatangani Deklarasi Rakyat gara-gara bimbang laluannya membawa usul persendirian mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Pindaan 2015) ke Parlimen 'terganggu'.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Pas mempunyai satu pendirian dan hala tuju dan strategi yang tersendiri di mana kita tidak terikat dengan pihak yang lain.

"Bukan begitu maksudnya (enggan sertai Deklarasi Rakyat kerana RUU Persendirian).

"Memang pada dasar umumnya, kita akan memberi respons, sokongan kepada apa jua tindakan yang membawa kepada kebaikan. Tetapi kita kena kenal pasti dulu, apa tujuannya, objektifnya, matlamatnya.

Jadi, kita tidak mudah menyertai mana-mana yang dibuat oleh pihak lain," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-13, di Parlimen, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mustafa, Khairudin hadir deklarasi atas izin Hadi]

 Sebelum ini, Pas menolak jemputan Tun Mahathir untuk turut serta dalam majlis menandatangani deklarasi untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kenyataan Pas mendakwa parti Islam itu mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri melalui Blok Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara melalui saluran yang demokrasi dan berperlembagaan.

"Blok Politik Ketiga ini maksudnya ialah kita mempunyai satu rakan ganding yang tersendiri tanpa kita melibatkan diri dengan BN dan juga Pakatan Harapan.

"Jadi kita ada...parti politik dan NGO tapi (identiti) masih kita tak boleh umum lagi," katanya.

Tahun lalu, Pas melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba membawa RUU Persendirian itu untuk dibentangkan ke Parlimen meskipun menerima tentangan pelbagai pihak.

'Bukan kami yang burukkan nama negara'

Posted: 07 Mar 2016 06:14 AM PST

 Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail 
 
 
KUALA LUMPUR - "Bukan kami yang burukkan nama negara." Demikian reaksi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah ketika diminta mengulas soal titah ucapan perasmian Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga menyambut baik titah ucapan tersebut.

"Saya rasa kalau nak kata yang memalukan negara itu, bukan kami. Saya 'stop' di sini kerana saya bukan dalam dewan," katanya pada sidang media.

Tuanku Abdul Halim dalam ucapan perasmian pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-13 tadi bertitah, agar semua ahli Parlimen berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama yang melelahkan rakyat dan kerajaan.

Baginda juga bertitah agar semua pihak mengelakkan daripada memburuk-burukkan negara di mata masyarakat antarabangsa.

Mukhriz akur tindakan asal ikut perlembagaan

Posted: 07 Mar 2016 06:12 AM PST

Mukhriz sedia terima tindakan tapi ikut perlembagaan
Mukhriz ketika sidang media di Bunut Payong, hari ini.
 
 
KOTA BHARU - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersedia menerima sebarang keputusan di sebalik tindakannya yang dilihat bersekongkol dengan pembangkang ketika menandatangani Deklarasi Rakyat baru-baru ini.

Namun katanya, ia perlu mengikut dilakukan perlembagaan dan peraturan ditetapkan.

Mukhriz berkata, terpulang pada Majlis Tertinggi (MT) untuk mengambil tindakan terhadapnya berikutan pernyertaan beliau menyertai Deklarasi Rakyat tetapi perlu dilakukan secara adil.

"Terpulang, jika MT ingin usulkan demikian, tetapi biarlah mengikut peraturan.

"Kalau untuk sesetengah orang boleh ikut peraturan, kenapa tidak kepada orang lain, nampak sangat ketidakadilan yang berlaku dalam pengurusan parti," katanya kepada media kepada media di Bunut Payong di sini, hari ini.

Kelab S'pura hentikan set lagu deejay demi anak Najib?

Posted: 07 Mar 2016 06:09 AM PST

MALAYSIAKINI




Kelab popular Zouk Singapura didakwa menghentikan set (senarai) lagu pilihan deejay Mesir yang terkenal Aly & Fila supaya set lagu anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Norashman - dapat dimainkan.

Kejadian dikatakan berlaku Sabtu lalu dan sedang disebarkan di media sosial dengan video berkenaan disiarkan di Facebook dan You Tube.

Ia juga dilaporkan dalam portal hiburan Coconuts Singapura dan SAYS.com.

Dalam video itu, Fila (Fadi Wassef Naguib) yang berang memberitahu hadirin: "[...] Nampaknya Zouk mahu mainkan set orang lain."




Ini menyebabkan hadirin membantah dengan ejekan.

"Bukan sahaja itu - tetapi nampaknya dia anak seorang perdana menteri. Terima kasih banyak-banyak, nikmati trek (lagu) terakhir saya.

"Kita akan berjumpa di tempat lain pada masa akan datang. Tetapi, tidak di Zouk lagi! Kerana saya tidak akan main di Zouk lagi. Mereka telah hina saya, tetapi saya sayang anda semua," katanya.

Zouk masih belum mengesahkan sama ada dakwaan bahawa set lagu deejay antarabangsa itu dihentikan supaya anak Najib dapat bermain berkenaan adalah benar.

Walau bagaimanapun, dalam satu catatan di laman Facebook, Zouk Singapore berkata, kejadian itu adalah hanyalah salah faham.

"Kami menghormati semua artis dan memastikan bahawa semua artis dapat melengkapkan set lagu mereka tanpa gangguan.

"Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi. Zouk menghargai dan menghormati persembahan semua artis antarabangsa kami," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Zouk Singapura dan sedang menunggu jawapan mereka.

Cubaan juga dibuat untuk mendapatkan reaksi daripada jurucakap Norashman, Aly dan Fila serta kenyataan rasmi, pembantu Datin Seri Rosmah Mansor - Datuk Rizal Mansor mengenai kejadian itu.

Pada Oktober 2015, akhbar Straits Times Singapura melaporkan bahawa Zouk Singapura dijual pada harga yang tidak didedahkan kepada Genting Hong Kong (GHK) yang mengendalikan pelayaran kapal Star Cruises.

Najib bermuka badut - polis soal siasat Nurul Izzah

Posted: 07 Mar 2016 05:59 AM PST

MALAYSIAKINI




Polis hari ini menyoal siasat ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kerana didakwa memuat naik ke media sosial gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berwajah seorang badut.

Peguamnya Michelle Yesudas berkata polis membuat siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ini adalah akta sama, artis Fahmi Reza sedang disiasat kerana menghasilkan lukisan itu.

Nurul Izzah didakwa memuat naik imej itu ke akaun Instagram miliknya tetapi enggan melayan soalan polis hari ini, termasuk sama ada beliau sendiri yang memuat naikkan gambar itu.




Bercakap kepada media selepas disoal-siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Nurul Izzah meminta Najib sebaliknya memberi tumpuan kepada isu-isu lebih besar dan bukan menekan ahli parlimen.

"Adakah dia tidak ada kerja lain untuk dilakukan?

"Adakah dia tidak perlu beri tumpuan mentadbir negara ini memandangkan kita telah dibidas di seluruh dunia kerana skandal syarikat 1MDB yang menjadi kesayangannya itu?" soalnya.

Yesudas berkata tindakan polis menyiasat tentang imej berkenaan adalah satu pembaziran sumber polis.

"Tugas polis adalah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Jika sumber itu digunakan untuk tujuan seperti ini, bagaimana anggota polis boleh berfungsi?

"Kami gesa mereka (polis) untuk bekerja sama menjadikan masyarakat lebih progresif dan tidak bertindak terhadap pembangkang. Kami harap ini adalah yang terakhir daripadanya," katanya.




Nurul Izzah adalah orang kedua yang akan disoal-siasat mengenai imej Najib yang berwajah badut yang tertera tulisan 'Kita Semua Penghasut'.

Fahmi disoal minggu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Zani Che Din memberitahu media bahawa kes itu dikendalikan oleh Bukit Aman.

Deklarasi Rakyat beri kesan besar pada PRU-14, kata Zaid

Posted: 07 Mar 2016 05:57 AM PST

MALAYSIAKINI




Walaupun 'Deklarasi Rakyat' menimbulkan pelbagai reaksi, namun bagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim beliau yakin bahawa ia akan memberi "kesan besar" pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, Jumaat lalu, Zaid yang juga menadatangani deklarasi untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ia adalah "permulaan baik" untuk "perjalanan yang panjang dan sukar."

"Ini satu sejarah dan akan mempunyai kesan yang besar pada pilihan raya akan datang," katanya dalam tulisan terbaru dalam blog hari ini.

Bekas menteri Umno itu berkata, ini adalah masa untuk membuat persediaan bagi "revolusi mental" rakyat.

"Rakyat mesti sedar bahawa kepentingan mereka hanya akan terjamin oleh pemimpin yang bersih. Sudah tiba masanyua untuk saat kebenaran," katanya.

Menurut Zaid walaupun deklarasi itu dilihat sebagai "terlalu mudah dan tidak benar", Zaid berkata, ia menandakan "masa bersejarah".

"Ini satu deklarasi bagi rakyat untuk menolak pemimpin rasuah. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Kematian bagi PAS

Beliau berkata deklarasi itu juga menunjukkan kesediaan rakyat untuk bersatu, walaupun terdapat perbezaan politik di kalangan mereka.

"Kerjasama ini juga menjadi bersejarah kerana ia menandakan bermulanya kematian bagi PAS. Ahli-ahli PAS tidak akan memaafkan presiden mereka (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang selepas pilihan raya umum akan datang.

"Apabila Mohamad Sabu, Husam Musa dan pemimpin Amanah lain menjelajah ke bandar-bandar dan kampung-kampung dengan bantuan Muhyiddin (Yassin) dan pemimpin Umno lain, suasana di Johor, Kelantan, Perak dan Kedah akan bertukar," katanya.

Zaid berkata sokongan bekas Ketua Pembangkang Datuk seri Anwar Ibrahim untuk inisiatif Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan dikenang.

"Anwar telah buktikan kepada dunia bahawa penderitaan peribadi tidak mengaburkan pandangan dan kebimbangannya terhadap negara.

"Ini akan menimbulkan rasa sayang ramai pengundi, terutama golongan muda terhadapnya. Saya ingin ke (penjara) Sungai Buloh untuk bersalaman dengannya, tetapi saya tidak pasti mereka akan benarkannya," kata Zaid.

Mahathir: Idea AG bagi kukuhkan OSA dari minda primitif

Posted: 07 Mar 2016 05:53 AM PST

MALAYSIAKINI




Rancangan peguam negara untuk mengukuhkan Akta Rahsia Rasmi bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan untuk pendedah maklumat didakwa hanya mendedahkan 'minda primitif' beliau.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu juga tidak islamik kerana al-Quran berulang kali menggesa umatnya menghakimi sesuatu perkara dengan adil.

"Hukuman mesti sepadan dengan jenayah. Ia tidak sepatutnya berlebih-lebihan.

"Termasuk kepada musuh pun, kamu mesti berlaku adil, jika kamu menuruti ajaran al-Quran," katanya dalam blog hari ini.

Dalam wawancara di Sinchew Daily bulan lalu, peguam negara mendedahkan sedang merancang mengukuhkan OSA supaya pembocor maklumat kerajaan dihukum penjara seumur hidup dan disebat 10 kali.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini memberitahu Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) bahawa cadanganya itu bukan bertujuan menjadikan wartawan sebagai sasaran secara khusus.

Dalam tulisan di blog, Dr Mahathir berkata OSA tidak boleh digunakan untuk melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh penjawat awam.

"OSA ini bukan bertujuan menjadikan perbuatan jenayah oleh pegawai dan kakitangan kerajaan sebagai rahsia.

"Perbuatan jenayah seumpama itu tidak dilindungi oleh undang-undang. Mereka perlu disiasat oleh pihak berkuasa dan dihadapkan ke mahkamah," kata bekas perdana menteri itu.

Tambahnya melindungi dan menutup kes itu sendiri adalah satu jenayah.
Beliau merujuk kepada 'derma' RM2.6 bilion yang berada dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Apandi telah membebaskan Najib daripada sebarang salah laku jenayah dalam kes 'derma' RM2.6 bilion dan juga dana RM42 juta dari SRC International yang juga dijumpai dalam akaun bank Najib.

Rumah rosak dibadai puting beliung

Posted: 07 Mar 2016 05:49 AM PST


SINAR HARIAN


Rumah rosak dibadai puting beliung
Kejadian puting beliung yang dirakamkan dari TH Hotel & Convention Center Alor Setar kira-kira jam 3.19 petang hari ini. - Foto Bernama


ALOR SETAR - Empat rumah di Taman Wira Mergong rosak di bahagian bumbung selepas dibadai puting beliung kira-kira jam 3.30 petang tadi. Sebelum kejadian, pusaran puting beliung itu dilihat di kawasan Titi Gajah, di sini kira-kira jam 3.18 petang sebelum ia bergerak dan membadai rumah di kawasan perumahan tersebut.

Leow Hua Tai, 61, berkata ketika kejadian beliau sedang menonton televisyen bersama isterinya Chu Kooi Hua, 53, di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kuat di rumahnya.

"Kejadian dalam jam 3.30 petang dan masa itu saya ingat ada orang bermain mercun di hadapan rumah dan apabila saya keluar, saya nampak bumbung telah diterbangkan tetapi tidak nampak pusaran puting beliung tersebut.

"Nasib baik tiada siapa yang cedera dan beberapa keping atap bumbung juga tidak jatuh di atas kereta," katanya yang ditemui di rumahnya.

Sementara itu, Mohammad Najmi Mazelan, 20, yang merupakan pemilik gerai minuman yang terletak di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong berkata, gerai miliknya yang baharu diusahakan sebulan lepas turut terkena tempias pusaran puting beliung berkenaan.

"Masa kejadian kami sedang melayan seorang pelanggan sebelum secara tiba-tiba khemah terangkat dan kami memang tidak perasan kerana tiada bunyi angin kuat.

"Pusaran itu tinggi dan berwarna hitam dan ia lalu di kawasan kami berniaga dalam tempoh 10 saat sahaja.

Selepas melalui khemah kami, pusaran itu terus hilang. Saya bersyukur kerana kami dan pelanggan yang berada di kawasan berhampiran tidak cedera manakala peralatan membuat air hanya mengalami kerosakan kecil sahaja," katanya. -Bernama


TMJ tanya, mana duit hak penyiaran?

Posted: 07 Mar 2016 05:44 AM PST

SINAR HARIAN


TMJ
Tunku Ismail
 

PEMILIK skuad Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menyampaikan pesanan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

"Berkenaan wang hak penyiaran yang masih tertunggak kepada pasukan-pasukan yang bertanding di dalam Liga Super dan Liga Premier. Manakah wang RM 1 Juta atau 2 juta yang sepatutnya diagihkan ke setiap pasukan?" kata TMJ dalam perkongsian oleh Facebook Johor Southern Tigers.

"Sut-sut pegawai FAM dan FMLLP semakin mahal, tetapi tunggakan kepada pasukan tidak dilunaskan," katanya lagi.

Sebelum ini,  Tunku Ismail mendedahkan bagaimana FAM telah membolot hak pasukan-pasukan yang bertanding.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tak mengapalah, bola sepak bukan periuk nasi saya]

Selain dari pesanan berkenaan, Tunku Ismail juga ditanya mengenai perbezaannya dengan pesaing yang lain.

"Saya seorang yang gemar memandu kereta yang laju dan saya tahu destinasi saya. Mereka pula mahu memandu apa yang saya pandu, tetapi mereka tidak tahu hala tuju mereka," katanya.



Laporan 1MDB dokumen rahsia sehingga dibentang

Posted: 07 Mar 2016 05:41 AM PST

SINAR HARIAN


1MDB
1Malaysia Development Berhad


KUALA LUMPUR - Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak lagi menjadi dokumen rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB di Parlimen.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin berkata perkara itu dijelaskan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada mesyuarat PAC hari ini.

"Laporan Pengauditan 1MDB hanya diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi sehingga PAC
membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB di Parlimen," kata Hasan dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Penjelasan itu dibuat berikutan berlaku kekeliruan berhubung status Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas pembentangan oleh Ketua Audit Negara kepada PAC, pada Jumaat lalu.

Pada mesyuarat itu, PAC menyifatkan Ketua Audit Negara berhak dan mempunyai kuasa perundangan untuk mengklasifikasikan laporan akhir itu sebagai dokumen rahsia bagi mengelakkan ia dibocorkan kepada pihak tidak bertanggungjawab sehingga memberikan perspektif negatif terhadap Jabatan Audit Negara dan PAC.

Hasan turut menjelaskan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB oleh PAC adalah berbeza dengan Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan ke Parlimen setiap tahun sebelum ia menjadi dokumen awam.

Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dibentangkan kepada PAC selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 5 Mac tahun lalu yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan terhadap 1MDB. - Bernama


Kerjasama dengan Tun M, Azmin nafi ada agenda peribadi

Posted: 06 Mar 2016 04:18 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan kerjasamanya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini adalah bersifat peribadi, walaupun mengakui mereka pernah mempunyai hubungan rapat untuk beberapa tahun sebelum ini. 
 
Mohamed Azmin berkata, kerjasama yang terjalin dengan Dr Mahathir pada Jumaat lalu menerusi Deklarasi Rakyat, adalah berasaskan prinsip sama iaitu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan Perdana Menteri. 
 
Menegaskan beliau tidak melupakan apa yang berlaku pada 1998, Menteri Besar Selangor itu mengakui semua pihak yang terbabit dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri perlu 'meninggalkan' episod itu. 
 
"Saya bukan orang UMNO. Saya cuma bekerja dengan pemimpin kanan UMNO selama 13 tahun. 
 
"Sudah tentu saya mempunyai hubungan peribadi dan rapat dengan Dr Mahathir. Namun, ini bukan mengenai saya atau Dr Mahathir tetapi ini adalah untuk menyelamatkan negara ini," katanya selepas melepaskan peserta larian Maraton Wanita Malaysia (MWM) di sini, pagi tadi. 
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan terhadap Dr Mahathir yang bersekongkol dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan Najib.
 
 

Umno sifatkan Deklarasi Rakyat sebagai kudis kecil

Posted: 06 Mar 2016 04:14 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Umno tidak akan melayan atau mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan beberapa pemimpin Umno yang menyertai gerakan meminta Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
Sambil menyifatkan apa yang dilakukan kumpulan itu tidak akan memberi kesan serius kepada parti, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata fokus Umno kini adalah memperkukuh saf kepimpinan dan ahli parti. 
 
Malah beliau menganggap gerakan yang turut disertai pemimpin DAP, PKR serta Parti Amanah Negara (PAN) itu, sebagai 'kudis' kecil yang diyakini tidak akan mempengaruhi majoriti ahli Umno untuk menyertainya. 
 
"Saya pun tidak tahu mengapa Dr Mahathir boleh bersama pemimpin pembangkang termasuk DAP yang satu ketika dulu menjadi seteru kuat politiknya. 
 
"Kenapa perlu mesyuarat (tergempar), kepada Umno ini tidak akan menjadi kudis, kita akan buat cara kita, kita akan teruskan mandat yang diberi oleh rakyat kepada BN (Barisan Nasional)," katanya di sini hari ini. 
 
Tengku Adnan juga menjelaskan tindakan gerakan itu juga tidak akan menjejaskan persiapan Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat. 
 
Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyempurnakan perasmian Majlis Maulidur Rasul anjuran Persatuan Komuniti Masyarakat Aceh-Malaysia serta pecah tanah surau di Jalan Raja Bot, Kampung Bharu, di sini. 
 
Hadir sama, Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani. 
 
 

Keputusan tepat gugur Muhyiddin, kata pembantu Rosmah

Posted: 06 Mar 2016 04:13 PM PST

MALAYSIAKINI




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak melakukan perkara tepat apabila menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya, kata pembantu kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam tulisan di Facebook, Datuk Rizal Mansor berkata ini kerana tiada keperluan untuk Najib mengekalkan timbalan 'bebal' yang enggan menerima penjelasan mengenai pelbagai isu yang diutarakan.

"Mengapa perlu ada seorang timbalan yang bebal. Jika isu 1MDB yang telah diterangkan panjang lebar dalam kabinet pun beliau tak faham. Tetapi beliau faham apa yang ditulis dalam The Edge," kata Rizal merujuk kritikan Muhyiddin terhadap syarikat pelaburan negara itu.

Menurut Rizal beliau secara peribadi telah memberikan penjelasan terhadap semua isu utama melibatkan isteri Perdana Menteri sejak sebelum pilihan raya umum ke-13 sehingga hari ini .

Antaranya, isu besar mengenai cincin majlis perkahwinan anak kepada perdana menteri.

"Saya telah jelaskan dan jawab satu persatu fitnah-fitnah yang dilemparkan. Saya ada beri ceramah terbuka, buat kenyataan media dan juga penjelasan tertutup kepada beberapa tingkat pimpinan Umno dan Wanita. Rata-rata mereka menerima dan berpuas hati dengan jawapan saya," kata Rizal.

Selain itu, katanya beliau juga telah memberikan penerangan mengenai isu lain secara terperinci, namun tidak pasti sama ada Muhyiddin tidak berminat untuk mendengar atau tidak pernah ambil tahu mengenai jawapan yang diberikan.

"Maka Mahyuddin tidak boleh menyalahkan sesiapa apabila beliau gagal memberikan jawapan mengenai fitnah-fitnah tersebut disebabkan sikap beliau sendiri yang tidak mahu ambil peduli mengenai jawapan yang diberikan.


"Beliau lebih suka ambil pendekatan membiarkan sahaja presiden dilanda segala fitnah. Mungkin itu lebih baik untuk kepentingan politik beliau," katanya.
Sejak pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada Julai lalu, Muhyiddin terus mengkritik Najib dan menyokong penyingkirannya sebagai perdana menteri.
Muhyiddin kemudian digantung daripada jawatannya sebagai timbalan presiden Umno.
Jumaat lepas beliau menyertai Deklarasi Rakyat yang menyaksikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama gerakan pembangkang menggesa peletakan jawatan Najib.

Nazri nafi BN bincang deklarasi anti-Najib

Posted: 06 Mar 2016 04:08 PM PST

Alyaa Azhar

 


Ahli Parlimen Umno, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini menafikan 'suasana panik' dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil ahli parlimen BN di kediaman rasminya malam tadi seperti didakwa pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata kini terdapat suasana panik di Putrajaya berikutan Deklarasi Rakyat yang ditandatangani bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin pembangkang serta wakil NGO.

Beliau menambah ia menjadi sebab Najib memanggil ahli parlimen BN untuk menghadiri mesyuarat pra-majlis sempena sesi dewan rakyat, yang biasanya diadakan pada pagi sesi parlimen dan bukan dua hari lebih awal.

Nazri, bagaimanapun, memberitahu Malaysiakini bahawa itu amalan biasa bagi ahli-ahli parlimen BN untuk mengadakan mesyuarat pra-majlis sebelum bermulanya parlimen.

"Ia telah dilakukan dalam banyak tahun.

"Kalau kamu tak tahu apa-apa, jangan cakap. Ia hanya buat kamu kelihatan bodoh," kata Nazri kepada Lim.

Sambil menegaskan bahawa deklarasi itu belum dibincangkan sama sekali, Nazri berkata perkara itu tidak penting.

"Jangan perasan. Mesyuarat itu hanya berlangsung selama 20 minit, "katanya.

Mahathir bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lepas menyertai pemimpin pembangkang dan tokoh NGO bagi menandatangani Deklarasi Rakyat menggesa Najib meletakkan jawatan mengikut saluran undang-undang.

Sejak itu, terdapat spekulasi bahawa mesyuarat pra-majlis sesi parlimen malam tadi adalah reaksi kepada majlis menandatangani deklarasi berkenaan.


Deklarasi Rakyat: Biar MT tentukan nasib ahli Umno

Posted: 06 Mar 2016 04:01 PM PST

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak


JOHOR BAHRU - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Disiplin bagi mengambil tindakan ke atas pemimpin Umno yang menyertai pembangkang dalam Deklarasi Rakyat termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata, pihaknya enggan membuat keputusan secara bersendirian sejajar dengan dasar parti itu yang mengamalkan pendekatan kolektif dalam sebarang tindakan dan keputusan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika diminta mengulas mengenai pembabitan beberapa pemimpin Umno yang bersama pembangkang menandatangani Deklarasi Rakyat pada Jumaat lalu untuk menjatuhkan beliau kelmarin.


Wanita potong kemaluan lelaki di Kebun Pisang

Posted: 06 Mar 2016 03:58 PM PST

SINAR HARIAN


pdrm


GUA MUSANG - Seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja di sebuah ladang sawit Pos Pulat di sini, putus kemaluannya disyaki dipotong seorang wanita warga Thailand malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian berlaku jam 8.30 malam dalam kebun pisang di belakang surau Kampung Gua Air yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Pos Pulat.

"Sebelum kejadian mangsa, yang berumur 36 tahun tinggal di rumah kongsi pekerja ladang di Pos Pulat, telah ke Kampung Gua Air menaiki sebuah motosikal bersama seorang rakannya.

"Mangsa tiba di kampung itu untuk menunaikan solat Maghrib, manakala rakannya duduk di kedai berhampiran sambil berbual menerusi telefon bimbit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebaik selesai solat Maghrib, mangsa turun dari surau itu lalu seorang wanita yang dikenalinya mengheret tangannya masuk ke kebun pisang sebelum wanita itu membuka seluar mangsa dan tanpa disedari, wanita itu memotong kemaluannya.  

Katanya, mangsa menyedari kemaluannya dipotong selepas terasa sakit lalu meraung meminta tolong, manakala suspek terbabit sudah beredar dari tempat kejadian.

"Imam surau berkenaan yang terdengar jeritan mangsa meminta tolong, bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kemaluan mangsa berlumuran darah.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Gua Musang sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Baharu untuk rawatan lanjut. Polis sedang mengesan wanita berusia 19 tahun itu untuk membantu siasatan," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: