Rabu, 16 Mac 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PAS hanya bawa beban, tiada manfaat bersama IKATAN – MUBARAK

Posted: 16 Mar 2016 07:36 AM PDT

 
abdul aziz


KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) hanya akan memberi beban kepada PAS kerana ia merupakan sebuah parti baharu dengan jumlah keahlian yang sedikit.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berasa hairan dengan tindakan PAS kerana IKATAN bukanlah sebuah parti yang mampu memberi impak kepada politik negara.

"IKATAN juga baru hendak bermula, jadi mungkin satu bebanan kepada PAS, kerana tidak ramai yang sertai parti baru itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat MUBARAK, hari ini.

Jelasnya, tindakan PAS bekerjasama dengan parti yang diasaskan oleh Tan Sri Kadir Sheikh Kadir Fadzir hanya akan menipiskan peluang parti Islam itu untuk bekerjasama dengan parti atau badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Mengulas lanjut, orang lama UMNO itu juga menekankan bahawa kekuatan dan kemampuan IKATAN masih belum teruji memandangkan belum pernah bertanding dalam sebarang pilihan raya umum.

"Untuk kerjasama sosial itu okay, tetapi sebagai satu kerjasama politik, saya tidak nampak impak dia," kata beliau.

PAS TUNGGANG IKATAN ATAU IKATAN TUNGGANG PAS?

Posted: 16 Mar 2016 06:12 AM PDT

shahbudindotcom


Sebagaimana yang diramalkan dalam blog ini semalam, Pas akhirnya memetrai persefahaman dengan Ikatan, parti yang dipimpin oleh bekas menteri, Abdul Kadir Sheikh Fadzir untuk mewujudkan blok ketiga pembangkang di negara ini.

Bagaimanapun, tidak seperti yang disebut oleh Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan sebelum ini, tidak ada penyertaan mana-mana NGO dalam blog baharu itu.

Ini bermakna, blok baharu yang dikatakan kuasa ketiga ini hanya disertai oleh Pas dan Ikatan saja.

Dengan Pas bergabung bersama Ikatan yang tidak diketahui dengan jelas siapa barisan kepimpinan tertingginya serta berapa ramai ahlinya yang berdaftar,  persoalan kini ialah siapa tunggang siapa?
 
 
 
 
Pas tunggang Ikatan atau Ikatan akan tunggang Pas?

Adakah Pas akan bertambah kekuatannya dengan adanya Ikatan bersamanya atau Ikatan yang akan dapat menumpang kekuatan Pas?

Dalam konteks semasa, Ikatan boleh dianggap sebuah parti yang kosong berbanding dengan Pas. Selain siapa barisan kepimpinan dan berapa ramai jumlah ahlinya tidak diketahui umum, di kawasan atau negeri mana kekuatannya bertapak juga masih kabur.

Abdul Kadir sebelum ini adalah Timbalan Presiden Amanah yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau akhirnya keluar daripada Amanah dan menubuhkan Ikatan berikutan hasratnya untuk melobi Tengku Razaleigh untuk menukar Amanah menjadi parti politik tidak mendapat sambutan.

Di dalam Ikatan, tidak ada nama lain yang dikenali selain Abdul Kadir seorang. Ikatan adalah Kadir dan Kadir adalah Ikatan.

Di kalangan adik-beradiknya pula, ramai yang berada dalam UMNO dengan dua daripadanya menjadi Ketua UMNO Bahagian iaitu Musa Sheikh Fadzir dan Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Jika benar Kadir seorang yang berpengaruh, kenapa adik-beradiknya tidak bersamanya dalam Ikatan?

Tidak seperti Amanah yang berpecah dengan Pas, tetapi mendapat rakan yang lebih mantap iaitu PKR dan DAP serta kemudian menubuhkan Pakatan Harapan, apa yang berlaku kepada Pas ini agak sedikit memalukan terhadap imejnya sebagai parti yang sudah dikenali ramai.

Apa yang boleh diharapkan oleh Pas daripada Ikatan yang kosong itu?

Dalam masa yang sama, daripada Hadi Awang terus-terusan mengungkapkan madah berhelahnya seperti  "blok baharu ini memilih untuk membangkang secara nasihat serta menolak bangkangan melulu dan ekstrem seperti Pakatan Harapan"  dan  "waktu lawan kita lawan, tetapi waktu lain kita akan dekati kerajaan untuk nasihat supaya baiki kelemahan dan kesilapan,"  adalah lebih baik "menebalkan muka" dengan terus bergabung bersama UMNO dan menyertai BN.

Ke mana pun pusing dan kornernya blok baharu ini, percayalah matlamat akhirnya tetap kepada Najib dan UMNO juga.


MT Umno putuskan tindakan terhadap Muhyiddin, Mukhriz hujung Mac ini

Posted: 16 Mar 2016 05:59 AM PDT

Oleh Sharifah Azmawati Syed Aziz

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Keputusan desakan ahli parti yang mahu Umno memecat keahlian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya boleh diketahui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi hujung Mac ini.
 
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, setakat ini Umno masih belum memutuskan keputusan bersabit desakan tersebut walaupun banyak laporan diterima parti.
 
"Tidak, kami perlu tunggu sehingga ke mesyuarat (tersebut).
 
"Mereka tidak mewakili dalam Majlis Tertinggi," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Lobi Parlimen hari ini.
 
Beliau mengulas mengenai desakan pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz selepas didapati terbabit dalam pengisytiharan Deklarasi Rakyat baru-baru ini.
 
Usul pemecatan itu sebelum ini disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz.
 
Nazri berkata, Muhyiddin dan Mukhriz bertindak melampaui batas kerana menjadi sebahagian daripada komplot menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak.
 
Hishamuddin dalam pada itu berkata, Umno menerima desakan akar umbi untuk segera merujuk kepada tindakan Muhyiddin dan Mukhriz kepada Jawatankuasa Disiplin parti.
 
"Saya juga menerima desakan dan permintaan daripada bukan sahaja ahli-ahli MT, tetapi daripada ahli-ahli akar umbi, dan perkara penting ialah melihat kepada masalah ini ialah disiplin parti.
 
"Dan saya rasa itu adalah isu dan perbincangan dekat jawatankuasa disiplin, hanya MT sahaja ada kuasa untuk membuat keputusan, jadi orang boleh kata apa sahaja mereka suka sehingga MT yang buat keputusan dan masih tiada lagi keputusan untuk perkara itu," katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Hishamuddin yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, walaupun terdapat pelbagai demonstrasi jalanan dan perhimpunan yang akan dibuat pada hujung bulan ini, namun menegaskan ia dapat diuruskan dengan baik oleh pihak berkuasa.
 
"Ya memang ada banyak demo dan ada banyak semburan air dan ada juga banyak ramalan yang kononnya tahun lepas ada yang nak usul undi tidak percaya, bajet tidak diluluskan, pemimpin luar negara tidak mahu datang ke Malaysia, itu semua tidak menjadi.
 
"Kalau mereka mahu mengadakan demonstrasi itu, kita hanya perlu berurusan dengan mereka, sebab di akhirnya, orang awam yang membuat perubahan dan bukannya mereka yang menjerit di luar.
 
"Mereka mungkin menjerit kuat tetapi mungkin mereka tidak mewakili suara majoriti," tambahnya. 
 
Untuk rekod, perhimpunan Muafakat Selamatkan Malaysia akan diadakan pada 27 Mac ini anjuran Datuk Zaid Ibrahim itu mungkin disertai Tun M dan Muhyiddin, selain pemimpin PKR dan DAP.  


Mahathir jumpa rakyat sehari selepas kongres 27 Mac

Posted: 16 Mar 2016 05:56 AM PDT

MALAYSIA DATELINE


Tun Mahathir MohamadTun Mahathir MohamadTun Mahathir Mohamad mengesahkan akan hadir ke Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Pandan Indah pada 28 Mac Ini.

Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia yang diadakan sehari selepas majlis tertutup pada 27 Mac yang diselaraskan oleh Datuk Zaid Ibrahim akan memberi ruang kepada seberapa ramai rakyat Malaysia menyertainya memandangkan jemputan ke majlis pada 27 Mac 2016 adalah terhad.

Penyelaras Sekretariat Muafakat Selamatkan Malaysia, Rafizi Ramli berkata, pengesahan kehadiran Tun Mahathir telah diberikan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang menyelaraskan program bagi pihak bekas perdana menteri itu.

"Untuk menyesuaikan jadual Muafakat Selamatkan Malaysia dengan semua pimpinan Pakatan Harapan, Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tokoh-tokoh lain, tarikh yang dimuktamadkan adalah pada hari Isnin, 28 Mac 2016 bermula jam 8 malam.

"Himpunan ini adalah berbentuk rapat umum yang menyediakan pentas kepada pemidato, deklamasi sajak, persembahan dan pelbagai program lain. Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan saya menyeru seberapa ramai rakyat yang prihatin dengan masa depan negara untuk turun menyemarakkan gelombang reformasi," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Posted: 16 Mar 2016 05:54 AM PDT

Siti Nurhaliza turut diundang himpunan tertutup 27 Mac

Siti NurhalizaSiti Nurhaliza


Penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza Taharuddin turut dijemput dalam Himpunan Tertutup pada 27 Mac ini dan perkara ini disahkan penyelaras himpunan, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

"Ya betul, kita ada hantar surat jemputan kepada Datuk Siti," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Bagaimanapun beliau menafikan khabar angin penyanyi kelahiran Kuala Lipis isteri kepada usahawan terkenal Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa itu akan diundang sebagai speaker bersama tokoh yang lain.

"Oh tidak... bukan speaker. Kita hanya jemput beliau. Kita jemput ramai tokoh bukan Datuk Siti sahaja.
Sama ada beliau akan hadir atau tidak terpulang, tapi setakat ini belum ada sebarang jawapan lagi," terang Zaid tanpa mahu mendedahkan tokoh-tokoh lain yang sudah dijemput dan menyatakan persetujuan mereka.

Malaysia Dateline menghubungi pegawai media Siti Nurhaliza merangkap pembantu peribadinya Rozie Abdul Razak untuk mendapatkan kepastian.

Rozie memberitahu jika ada surat jemputan untuk menyertai himpunan itu, kemungkinan penyanyi tersohor nombor satu negara itu sedang sibuk dengan jadual kerjayanya pada tarikh tersebut.
"Kalau ada jemputan saya rasa Datuk Siti tidak hadir kerana pada 27 Mac kami ada rakaman tv pop star dan latihan konsert bersama pemuzik. So far rasanya Datuk Siti tidak akan hadir," ujarnya dalam jawapan melalui Whatsapps.
Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara tokoh yang telah mengesahkan kehadiran ke perhimpunan itu.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan turut menyatakan persetujuan untuk hadir ke himpunan itu tetapi bukan mewakili parti.

Zaid berkata majlis itu adalah pertemuan tertutup dan hanya untuk "jemputan sahaja" dengan melibatkan kira-kira 1,000 tetamu.

Menurutnya, majlis itu diadakan bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan.

Beliau juga menjelaskan bahawa majlis itu bukan berbentuk bantahan awam atau seperti himpunan 'Bersih' sebaliknya hanya perjumpaan tertutup.

Antara yang dijemput ialah wakil-wakil parti politik, pemimpin pelajar dan ahli-ahli masyarakat sivil yang mahu siasatan bebas ke atas skandal 1MDB dan duit derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi perdana menteri dilakukan.

Malaysia tetap mahu penembak jatuh MH17 dihadap ke mahkamah

Posted: 16 Mar 2016 05:52 AM PDT

BERNAMA


Penghormatan negara bagi mangsa pesawat MH17Penghormatan negara bagi mangsa pesawat MH17


Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata Malaysia tetap mahukan pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MAS MH17 dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tidak kira siapa mereka.

"Malaysia telah meminta penyertaan pakar dari badan-badan antarabangsa untuk menyiasat hal-hal yang menyebabkan berlakunya insiden itu.

"Insiden itu tidak saja melibatkan Malaysia tetapi juga beberapa negara lain.

"Jadi saya yakin masyarakat antarabangsa ingin tahu apa sebenarnya berlaku," kata beliau ketika mengulas pendirian Rusia yang mahukan laporan siasatan 'yang objektif, bebas dan tidak berat sebelah' atas insiden yang berlaku pada Julai 2014 itu.

Pengerusi Majlis Persekutuan Rusia, Valentina Ivanovna Matviyenko menyatakan pendirian itu pada sidang akhbar selepas mengunjungi Abu Zahar di bangunan Parlimen semalam.

Rusia menolak laporan Lembaga Keselamatan Belanda mengenai hasil siasatan terhadap kejadian itu, dikeluarkan pada Oktober tahun lepas.

Semasa lawatan itu, Matviyenko juga mengunjungi Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Blok politik ketiga: Ahli desak Pas bincang peranan parti dalam muktamar khas

Posted: 16 Mar 2016 05:44 AM PDT

MALAYSIA DATELINE Dr Rosli Allani Abdul KadirDr Rosli Allani Abdul Kadir

Pas perlu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan peranan Pas dalam blok ketiga supaya perpecahan seperti tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) hingga melemahkan Pas pada ketika ini, tidak berlaku lagi.

Pemangku Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, pengumuman yang dibuat mengenai kerjasama blok ketiga tersebut telah mengejutkan banyak pihak.

"Sejurus itu juga beberapa parti membuat penafian akan penglibatan mereka dengan blok ini. Malah pengumuman itu pastinya juga menyebabkan ahli di akar umbi terpinga-pinga.

"Selepas terkuburnya Pakatan Rakyat pada Muktamar Pas Pusat yang terakhir di Kuala Selangor, bila pula kita mahu bincangkan secara serius akan penubuhan blok pembangkang yang baharu ini?

"Bukankah menjadi kebiasaan kepada Pas untuk mengadakan muktamar khas bila mana satu keputusan besar ingin dibuat?" katanya.

Menurutnya, walaupun Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat kuasa dalam sebarang keputusan dan pertimbangan berdasarkan Fasal 26 (9) Perlembagaan Pas, perbincangan juga perlu diadakan.

"Fasal itu memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat pertimbangan untuk bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan Pas dan membuat keputusan mengenainya setelah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama.

"Namun begitu, perlulah diambil kira bahawa Muktamar Pas Pusat adalah kuasa tertinggi dalam parti Islam ini sejajar dengan perlembagaannya," katanya.

Katanya, Pas perlu mengambil iktibar pengalaman tahaluf sebelum ini dalam membuat sebarang keputusan.

"Mungkin banyak pertimbangan telah dibuat dan memerlukan keputusan yang cepat sejajar dengan cepatnya perkembangan politik tanah air sehari dua ini, namun pengalaman daripada tahaluf dan usaha sama lepas hingga berlaku perpecahan dalaman perlu dijadikan pedoman.

"Dan tentunya yang paling banyak menyimpan kenangan pahit manisnya adalah ahli-ahli di akar umbi," katanya.

Hari ini Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) secara rasmi mengumumkan mengadakan kerjasama politik dalam blok ketiga.

Presiden Pas Datuk Abdul Hadi Awang dalam kenyataan media bersama Abdul Kadir berkata, pertemuan hari ini membuka ruang ke arah membina suatu kumpulan persefahaman kerjasama politik lebih tersusun yang sedang digagaskan oleh Pas.

Kerjasama politik tersebut juga menurut Abdul hadi menunutut mereka bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit yang boleh menggugat keharmonian dan kamjuan negara ini.

Penduduk desak Azmin campur tangan selesai isu tanah tertangguh 27 tahun

Posted: 16 Mar 2016 05:39 AM PDT

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Peneroka Kampung Sri Tanjung, Dengkil mendesak kerajaan negeri Selangor menyelesaikan isu tanah dihadapi mereka yang sudah berlarutan sejak 27 tahun lalu.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arulchelvan berkata peneroka telah mengambil pelbagai inisiatif semenjak tahun 1988 dengan berjumpa pihak berwajib dan pelbagai janji yang ditawarkan kepada mereka.
 
"Mereka (peneroka) sangat bimbang kerana setiap kali nak dekat Pilihan Raya ada janji yang diberikan bahawa mereka akan mendapat tanah ini.
 
"Tanah ini semenjak 27 tahun mereka membuat kerja-kerja kebun di sana dan sekarang peneroka setuju untuk pindah keluar dari tanah asal memandangkan itu tanah rezab Melayu.
 
"Kini mereka (pejabat tanah) sudah kenal pasti satu tempat tanah (gantian) 12 ekar dan isu ini sekarang seperti tiada apa-apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
 
 
Seramai 68 keluarga hadir di hadapan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi menyerahkan memorandum kepada Menter Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Memorandum tersebuat telah diterima oleh Setiausaha Politiknya, Suhaimi Shafie.
 
Suhaimi ketika ditemui memberitahu isu ini memerlukan masa untuk diselesaikan kerana ia perlu kaji terlebih dahulu kerana melibatkan tanah rezab Melayu yang diduduki oleh masyarakat bukan Melayu. 
 
"Sebenarnya jika melibatkan soal tanah, 27 tahun itu adalah satu tempoh yang pada saya pendek kerana ada lagi tanah yang belum selesai yang saya teliti ada yang hampir 40 tahun masih belum selesai.
 
"Kes tanah yang tidak boleh diselesaikan ini ia adalah melibatkan kawasan sebagai contoh di Kampung ini (Sri Tanjung) ia adalah rezab Melayu tetapi ia duduki oleh bukan Melayu ini melibatkan soal-soal teknikal," ujarnya.
 
 
Di dalam memorandum yang diserahkan, peneroka menuntut kerajaan negeri melaksanakan janji sebelum ini yang mana peneroka diberi satu tapak lot tanah untuk perumahan.
 
Mereka juga meminta dihentikan sebarang pencerobahan dalam kawasan tanah Sri Tanjung dan juga meminta tanah 12 ekar yang dijanjikan dikhaskan untuk peneroka Kampung Sri Tanjung, Dengkil.
 
Sebelum ini, isu yang sama pernah diutarakan oleh penduduk melibatkan pelbagai masalah status tanah yang tidak jelas.
 
Antaranya, isu di Lot 334 dan 337 Kampung Pinang Tambahan di mukim Hulu Bernam, Daerah Hulu Selangor dan Kampung Sri Tanjung di Dengkil yang melibatkan 68 keluarga.
 
 

Blok baru pembangkang PAS-IKATAN berbeza dengan PH

Posted: 16 Mar 2016 05:38 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengumumkan pembentukan blok baru pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
 
Gabungan itu akan menjadi blok politik ketiga selepas Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang tempoh berbaki dua tahun lagi.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas blok baru pembangkang ini membawa agenda politik yang berbeza dengan Pakatan Harapan.
 
"Kita tidak mahu mengikut Pakatan Harapan yang menggunakan pendekatan ekstrim.
 
"Kita pilih pendekatan membangkang secara nasihat, kemuka cadangan yang baik. Apa yang kerajaan buat kita sokong. Yang tak baik kita nasihat," katanya di sidang media sebentar tadi.
 
Bukan itu sahaja, Hadi juga berkata PAS terbuka dengan mana-mana pihak lain, termasuk parti politik yang berminat dengan blok baru pembangkang ini.
 
Dalam masa yang sama beliau menolak dakwaan bahawa kerjasama PAS-IKATAN itu semata-mata memecah-belahkan undi kaum Melayu, sebaliknya ia memberi manfaat kepada parti lain.
 
"Selama ini Melayu sudha berpecah. Bukan kerana kita. Apa yang kita lakukan hari ini untuk menyatukan kaum Melayu dan kaum-kaum lain di Malaysia," jawabnya.
 
Dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Marang itu juga menjawab dakwaan parti itu mampu bergerak sendiri selepas tidak lagi menyertai Pakatan Harapan.
 
"Kita tidak sebut untuk bergerak sendiri. Kita menerima hakikat masyarakt majmuk di Malaysia. Tegas bahawa jika PAS hanya memperolehi majoriti mudah, sekaligus yang besar, PAS tidak akan menganiaya kaum-kaum lain yang mesti bersama di dalam kerajaan," ujarnya.
 
Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan gabungan itu sebagai pencetus menentang kemungkaran dan memperkukuhkan kebaikan sebenar untuk rakyat.
 
"Kita membuka ruang ke arah membina satu kumpulan persefahaman kerjasama politik yang tersusun yang sedang digagaskan oleh PAS dengan membawa model budaya politik matang, terbuka, bertanggungjawab, bersih dan sejahtera dengan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin turut serta.
 
"Ia menuntut kami untuk turut bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit yang boleh menggugat keharmonian dan kemajuan negara kita ini," katanya.
 
 
 

Cuaca panas beransur baik menjelang April

Posted: 16 Mar 2016 05:34 AM PDT

SINAR HARIAN


Cuaca panas tiada kaitan ekuinoks
Tanah sawah di Kampung Chuping, Perlis kering-kontang akibat fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca menjadi panas dan kering melanda seluruh negara kini. - Foto: Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Cuaca panas melampau dan kering akibat fenomena El Nino ketika ini diramal beransur baik menjelang April ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata,‎ musim peralihan monsun itu akan menyebabkan cuaca di negara ini akan kembali lembap dan mengurangkan suhu panas yang dialami ketika ini.

El Nino yang melanda negara sejak Disember dan Januari lepas merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan laut di timur dan tengah Lautan Pasifik kawasan Khatulistiwa yang berlaku setiap dua hingga tujuh tahun, katanya.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang pula berkata, fenomena El Nino itu kini berada dalam fasa menurun.

"Kita mengalami keadaan panas luar biasa dalam fasa penurunan fenomena ini terutamanya dalam bulan ini," katanya.

Dr Fredolin yang berpengalaman selama 20 tahun membuat kajian berkaitan fenomena itu berkata kawasan utara Semenanjung, utara Sarawak, Sabah dan Selatan Filipina akan mengalami kemarau serta cuaca panas melampau dalam fasa tersebut.

Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan suhu maksimum ketika cuaca panas melampau ketika ini boleh mencapai sehingga 40 darjah celcius.

Di daerah Chuping, Perlis pada Isnin misalnya, kawasan itu mencatat suhu tertinggi se­panjang tahun dengan bacaan 39 darjah Celsius.

Bagaimanapun bacaan tersebut belum mengatasi suhu paling panas yang pernah direkodkan dalam sejarah negara iaitu 40.1 darjah Celcius, juga di Chuping pada 1998.

Menurut kenyataan itu lagi, keadaan cuaca panas ini juga boleh mencetuskan fenomena gelombang haba, iaitu situasi yang boleh membawa risiko kesihatan seperti strok haba.

Sementara itu, bekalan air di semua empangan utama di negara ini masih dalam keadaan terkawal dan bertahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata pengeluaran dan penggunaan air ketika ini masih di tahap tidak membimbangkan.

"Sehingga kini, kita tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk membuat catuan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Di SHAH ALAM, kadar takungan air di semua tujuh empangan di Selangor semalam mencatatkan bacaan melebihi 70 peratus.

Menurut statistik di portal Lembaga Urus Air Selangor (Luas), empangan Langat mencatatkan kadar takungan air sebanyak 70.16 peratus manakala empangan Sungai Selangor pula pada tahap 86.51 peratus.

Empangan Semenyih pula mencatatkan paras air sebanyak 85.32 peratus; empangan Klang Gates (80.98 peratus); empangan Sungai Tinggi (88.21 peratus); dan empangan Tasik Subang (97.51 peratus).

Bagaimanapun, kolam takungan ORS Sungai Labu menunjukkan paras takungan air sebanyak 57.66 peratus dan empangan Batu pula setakat bacaan pada 11 Mac mencatatkan kadar 83.36 peratus.

Di JOHOR BAHRU, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ismail Mohamed berkata kerajaan negeri itu telah melaksanakan pelbagai kaedah menghadapi musim panas.

"Antaranya, kita telah dapatkan 'deep well' yang berharga RM1 juta daripada Kementerian Pertanian untuk kegunaan 66 orang petani di kawasan tanaman sayuran yang terbesar di Johor iaitu di Sengkang Batu 18, Bukit Gambir," katanya.

Selain itu, pihaknya turut menggalakkan pengusaha tanaman menggunakan fertigasi dan hidroponik yang dilihat mampu menampung keperluan sayuran musim kemarau secara minimum sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil tanaman. - Bernama

Kafa nafi Vida Beauty beli hak penyiaran

Posted: 16 Mar 2016 05:22 AM PDT

Datuk Vida
 

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menjelaskan penaja utama mereka, Vida Beauty Sdn Bhd tidak pernah membeli hak penyiaran siaran langsung melibatkan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor berkata, pihaknya tampil menjelaskan perkara tersebut setelah timbul salah tanggapan yang mengatakan pasukan bola Kelantan membolot hak siaran langsung perlawanan, pada musim ini.

"Kafa ingin menegaskan bahawa berita yang mengatakan Datuk Seri Vida (Datuk Seri Dr Hasmiza Othman) melalui syarikatnya (Vida Beauty) telah membeli hak penyiaran siaran langsung perlawanan melibatkan pasukan Kelantan adalah tidak benar.

"Hak milik penyiaran untuk semua perlawanan bola sepak pertandingan Liga Super, 100Plus Liga Premier, Superbest Power Piala FA dan TM Piala Malaysia musim 2016 adalah milik penuh Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP)," katanya menerusi kenyataan kepada media.

Menurutnya, pihak FMLLP kemudian telah melantik Media Prima Berhad (Media Prima) sebagai penyiar rasmi selepas proses penilaian pembidaan dibuat, pada awal tahun ini.

Walau bagaimanapun, Ismail memberitahu, syarikat milik jutawan kosmetik itu telah membeli slot iklan daripada Media Prima bagi membolehkan iklan produk-produk Vida Beauty disiarkan ketika siaran langsung perlawanan bola sepak diadakan.

"Saya ingin jelaskan sekali lagi, Vida Beauty tidak ada hak ke atas semua penyiaran perlawanan bola sepak tersebut. Sebarang kenyataan lanjut berkaitan perkara ini hendaklah dihentikan dengan segera.

"Kafa berharap dengan penjelasan ini, persepsi salah tentang penajaan dan hak siaran langsung ini terutama dalam kalangan peminat dan penyokong Kelantan dapat diperbetulkan," katanya.


K’jaan tersentak dengan Deklarasi Rakyat, kata Kit Siang

Posted: 16 Mar 2016 01:42 AM PDT

MALAYSIAKINI




Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang hari ini menafikan usaha parti-parti pembangkang atau masyarakat sivil yang bergabung tenaga dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menjayakan Deklarasi Rakyat telah memakan diri mereka.

"Kerajaan jelas tersentak dengan Deklarasi Rakyat.

"Najib (Razak) mesti beri perhatian serius (kepada gerakan itu) walaupun dia berpura-pura tidak ambil peduli," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

Lim berkata gerakan Deklarasi Rakyat itu juga telah memulakan perancangan mereka untuk menggulingkan Najib sebagai perdana menteri.

"Mereka tersentak dengan Deklarasi Rakyat yang sedang bergema di kalangan rakyat, walaupun mereka berbeza pandangan.

"Sama ada ia akan berjaya atau apa langkah terakhir, saya kata kita mesti ambil satu perkara pada satu masa ...," katanya.

Pada perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Najib mengambil peluang memperlekehkan Dr Mahathir kerana bekerjasama dengan pembangkang.

KM lantik bekas Mejar Zaidi sebagai pegawai penerangan

Posted: 16 Mar 2016 01:40 AM PDT

MALAYSIAKINI




Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Mejar Zaidi Ahmad yang dipecat kerana mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum 2013, hari ini mengangkat sumpah sebagai pegawai penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang menyaksikan upacara angkat sumpah di Komtar itu berkata, Zaidi ditugaskan untuk mengendalikan jalankan projek kerajaan negeri bagi membantu golongan miskin iaitu Agenda Ekonomi Saksama (AES).

Lim yakin Zaidi mampu memberi inspirasi kepada golongan belia untuk meningkatkan taraf hidup mereka kerana adalah impian kebanyakan kanak-kanak untuk menjadi seorang juruterbang.

"Bukan mudah untuk jadi seorang juruterbang," katanya pada sidang media bagi mengumumkan pelantikan Zaidi.

Lim berkata Zaidi, yang juga adalah Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, bahagian Kepala Batas dipilih berdasarkan prinsip perjuangan hidupnya.

"Beliau sedia berkorban kerana prinsip," katanya.

Zaidi dilucutkan keanggotaanya dari TUDM selepas mahkamah tentera mendapati beliau bersalah kerana membuat laporan polis pada pilihan raya umum 2013 berhubung dakwat kekal itu yang disifatkan sebagai melanggar etika kerja.

Blok ketiga? Kosong campur kosong tetap kosong, kata DAP

Posted: 16 Mar 2016 01:35 AM PDT

Alyaa Alhadjri  




Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menolak relevan 'blok ketiga pembangkang' yang ditubuhkan antara PAS dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

"Adakah itu kuasa ketiga? Dalam politik, kosong campur kosong adalah tetap bersamaan dengan kosong. Anda boleh petik saya mengenainya," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Lim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan PAS tengah hari tadi yang membentuk blok pembangkang baru selepas perpecahan Pakatan Rakyat tahun lalu.

Lim bagaimanpun enggan mengulas lanjut dan berkata beliau "tidak mahu mengeluarkan kata-kata yang tidak baik."

PAS menandatangani memorandum persefahaman dengan Presiden Ikatan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir pada sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Kadir, seorang bekas menteri Umno, menubuhkan partinya pada bulan Jun, 2012, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

IKATAN, bagaimanapun, gagal didaftarkan secara rasmi dan hanya dilancarkan sebagai sebuah parti berbilang kaum pada 15 Mei tahun lalu.

PAS bersama PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 lalu namun kerjasama politik berkenaan berkubur apabila hubungan antara parti mengalami masalah.

Antara lain ia berpunca daripada krisis dalaman PAS sendiri apabila kumpulan konservatif dilihat melakukan 'pembersihan' terhadap golongan progresif parti itu.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan pembentukan "blok ketiga politik" yang diharap setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

‘Blok pembangkang baru tak ekstrem seperti Pakatan’

Posted: 16 Mar 2016 01:32 AM PDT

Anne Muhammad




Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi mendakwa "blok kuasa ketiga pembangkang" yang ditubuhkan hari ini antara partinya dengan Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) tidak akan membangkang secara melulu dan ekstrem seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan.

Katanya, mereka turut memilih untuk membangkang secara nasihat dan pada masa yang sama menolak untuk menjadi pembangkang ekstrem sehingga menyusahkan rakyat.

"Memilih pendekatan bangkang tidak melulu, bangkang secara nasihat, bukan saja di parlimen, apa yang baik kerajaan buat kita sokong yang tak baik kita nasihat.

"Dalam masa yang sama kita tolak cara ekstrem yang menyusahkan rakyat," katanya kepada pemberita di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadi berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai perbezaan antara Pakatan Harapan dan "blok baru pembangkang" yang diterajuinya itu.

Beliau berkata PAS sedia menerima mana-mana parti yang boleh bersetuju dengan konsep blok baru pembangkang yang diterajuinya.

"Kita alu-alukan mana-mana pihak, parti politik lain yang boleh terima agenda kita," katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata agenda yang dibawa oleh blok baru pembangkang itu iaitu mengambil pendekatan matang.

"PAS dan seperti kenyataan itu memilih pendekatan matang masyarakat Malaysia dan tidak menerima langkah negatif yang wujud dalam kerajaan.

"Agenda kita untuk memperkasakan perlembagaan yang terima Islam sebagai agama persekutuan," katanya.


Cuaca panas: Budi bicara kementerian tutup sekolah - PM

Posted: 15 Mar 2016 05:32 PM PDT

MALAYSIAKINI




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Kementerian Pendidikan akan memutuskan sama ada sekolah perlu ditutup sekiranya cuaca panas melampau masih berterusan selepas tamat cuti pertengahan penggal pertama persekolahan minggu ini.

Beliau berkata pada masa ini, langkah sedia ada adalah memberi kuasa mengikut budi bicara pengetua dan guru besar untuk membatalkan aktiviti luar kelas jika keadaan memaksa.

"Kerajaan akan mengambil segala langkah berjaga-jaga yang perlu untuk menghadapi cuaca panas melampau ini," kata Najib menerusi catatan terbaharunya dalam blog beliau www.najibrazak.com hari ini.

Perdana menteri berkata beliau memandang berat kesan dan akibat daripada cuaca panas melampau yang melanda negara sejak kebelakangan ini.

"Gelombang haba atau heatwave yang berlaku juga boleh mendatangkan bahaya terutamanya kepada kanak-kanak dan golongan tua," kata Najib.

Sesi persekolahan di Kedah, Johor, Kelantan dan Terenganu dijadual bersambung pada 20 Mac ini manakala negeri-negeri lain pada 21 Mac, selepas tamatnya cuti pertengahan penggal pertama 2016.

Najib turut meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital kerajaan sekiranya terdapat gejala penyakit berkaitan cuaca panas dan gelombang haba seperti sakit kepala, ekzema pada kaki, denyutan jantung yang cepat, ruam panas, kekejangan otot atau sakit badan.

Beliau juga menyarankan rakyat untuk mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko kebakaran terutamanya di kawasan kering seperti padang permainan berdekatan kawasan perumahan, ladang, belukar dan hutan.

Berikutan fenomena El Nino, Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas daripada biasa dan jumlah hujan yang kurang.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata satu mensyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah yang perlu diambil untuk menangani isu cuaca panas dan kering yang melanda negara

Nancy: Pindaan akta kahwin-cerai diletak di bawah KDN

Posted: 15 Mar 2016 05:28 PM PDT

BERNAMA




Pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) akan diletakkan di bawah penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN), sekiranya diluluskan kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak mempunyai kuasa dalam undang-undang sekiranya pindaan akta itu diletakkan di bawah kementerian berkenaan.

"Undang-undang ini akan diletakkan di bawah KDN kerana lebih kepada penguatkuasaan, dan jika di bawah KPWKM, mereka pun tidak mempunyai undang-undang untuk menguatkuasakannya," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan al-Quran Tafsir kepada Saudara-saudara Baru anjuran Hidayah Centre Foundation di Putrajaya hari ini.

Nancy sebelum ini, dilaporkan berkata kerajaan masih menunggu maklum balas dari negeri-negeri sebelum meneruskan untuk meminda tiga akta berkaitan penukaran agama bagi menangani perbalahan terutama mengenai penukaran agama melibatkan kanak-kanak, hak penjagaan dan harta.

Tiga akta itu ialah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

Dalam pada itu, Pengerusi Hidayah Centre Foundation Nicholas Sylvester @ Muhammad Abdullah berkata yayasan itu kini merancang mengedarkan sebanyak 1,000 buah al-Quran Tafsir kepada saudara baru di seluruh Malaysia, tahun ini.

"Setakat tahun ini, kami telah mengedarkan 200 buah al-Quran dan pada tahun lepas, yayasan ini mengedarkan 500 buah dan bahan berkaitan keagamaan untuk kegunaan saudara-saudara baru," katanya.
-Bernama


Sungguh mahu selamatkan Malaysia?

Posted: 15 Mar 2016 05:25 PM PDT



Oleh Hasril Nasril


Filem Hunger Games merupakan satu filem yang menarik untuk dibincangkan apabila dikaitkan dengan realiti apa yang berlaku di negara kita sekarang.

Menarik diperhatikan masyarakat di dalam filem tu dilalaikan dengan rancangan realiti dimana penentang dari setiap district berbunuhan sama sendiri untuk menjadi juara gelanggang Hunger Games. Jikalau di dalam konteks negara kita, ada juga rancangan realiti seperti itu, Maharaja Lawak sebagai contoh, program melalai dan memperbodohkan rakyat.

Katniss, watak utama di dalam filem tersebut, sedar untuk melawan Presiden Snow, pemimpin diktator negara Panem, beliau perlu lawan sistem, bukan bergaduh sama sendiri dalam gelanggang Hunger Games.
Sebab itu beliau merosakkan terus gelanggang apabila beliau melepaskan anak panah berkuasakan kuasa elektrik ke atas bumbung gelanggang. Beliau juga tidak mengumpulkan rakan dan lawan dengan membacakan deklarasi bahawa Snow perlu berundur. Beliau melawan terus. Anak muda. Hatinya panas.

Mereka yang melawan dengan membaca teks dan menandatangani deklarasi cuma elok untuk mereka yang sudah berumur dan hampir tamat tempoh.

Ketokohan Katnis melawan Snow menarik minat Coin, pemimpin puak penentang yang mahu menggulingkan Snow. Maka, Katniss diangkat menjadi ikon untuk untuk melawan rejim, juga untuk tujuan propaganda.

Dipendekkan cerita, propaganda Katniss berjaya menyedarkan rakyat dari setiap district untuk bangkit melawan Snow. Beliau turun ke bawah. Revolusi bersenjata berlaku. Snow berjaya digulingkan dengan pertumpahan darah.

Apa yang menarik berlaku di hujung filem, apabila Katniss mendapat tahu bahawa Coin yang mengarahkan bom dijatuhkan kepada orang awam sewaktu puak penentang mara ke lapisan terakhir untuk menggulingkan Snow. Ini dilakukan Coin supaya kebencian terhadap Snow bertambah dan tiada siapa akan mempertahankan beliau lagi.

Menyedari bahawa Coin memperkudakan beliau untuk komplot tersebut, juga Coin cuma diktator baru mengganti diktator lama, Katnis akhirnya bertindak membunuh Coin dengan melepaskan anak panahnya tepat ke dada Coin, yang dirancang terlebih dahulu untuk menghukum bunuh Snow. Katniss kemudian membiarkan rakyat yang merusuh membunuh Snow dengan tangan mereka sendiri.

Sungguh mahu selamatkan Malaysia? Negara kita mewarisi satu sistem yang rosak. Untuk membetulkannya bukan dengan bergaduh sesama kita di dalam gelanggang ciptaan sistem itu sendiri.

Sistem itu seharusnya dipecahkan.Sungguh-sungguh. Selepas sistem dipecahkan, ia haruslah dipastikan tidak diganti oleh pengganti yang berkemungkinan menjadi diktator yang baru.

Kepada siapa kita harus harapkan? Bukan kepada politikus-politikus dan aktivis-aktivis yang sudah berumur, apatah lagi bekas diktator, tetapi anak-anak muda, mahasiswa, yang menganggur, yang bekerja cukup makan, yang sudah meluat dengan sistem. Kita perlukan seorang ikon anak muda yang berani seperti Katniss. Bukan ikon kaki selfie menjual muka, ikon yang cuma pandai berdebat, atau ikon yang mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.

Siapa ikon yang kita perlukan untuk menyalakan 'spark' itu? Tepuk dada tanya selera, bukan campak mic ke dinding!

Kerajaan tidak bercadang bubar 1MDB

Posted: 15 Mar 2016 05:22 PM PDT

BERNAMA




Kerajaan tidak bercadang membubarkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) buat masa ini, menurut Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata 1MDB merupakan projek jangka panjang untuk mengambil peluang ke atas pelaburan dan kepakaran antarabangsa bagi melabur dalam projek yang mempunyai nilai pengganda tinggi serta berinovasi.

"Antara pelaburan yang dijalankan 1MDB adalah Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia dan sektor tenaga," menurut Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis kepada Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) hari ini.

Dr Ko bertanya mengenai pencapaian 1MDB setakat ini untuk memacu Malaysia ke arah 2020 sejak ditubuhkan pada 2009.

Beliau juga ingin tahu adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan kesemua keputusan dan transaksi penting serta sama ada 1MDB akan dibubarkan sebelum 2020.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis itu menyatakan TRX telah dikenal pasti oleh kerajaan sebagai projek permulaan dalam Program Transformasi Ekonomi bagi mencapai lebih dua kali ganda pendapatan per kapita menjelang 2020.

"Projek yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM40 bilion dan mempunyai jangka masa pembinaan selama 15 tahun itu mempunyai visi membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab kewangan antarabangsa selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan TRX sebuah bandar raya global," menurut kenyataan itu.

Mengenai Bandar Malaysia pula, Kementerian Kewangan berkata projek itu merupakan projek pembangunan semula lapangan terbang lama Sungai Besi di atas tanah seluas 196.7 hektar yang akan dilaksanakan sebaik sahaja proses pemindahan fasiliti Pangkalan Udara Kuala Lumpur selesai dilaksanakan.

"Sebahagian besar daripada kawasan projek itu turut diperuntukkan untuk pembangunan Rumah Mampu Milik," menurut jawapan itu.

Menurut Kementerian Kewangan, sektor tenaga pula merupakan satu daripada sektor fokus 1MDB menerusi anak syarikatnya Edra Energy. 1MDB merupakan pengeluar tenaga bebas antarabangsa terkemuka di Asia Tenggara dengan portfolio loji janakuasa dan penyahgaraman di lima negara.

Menurut jawapan itu, walaupun 1MDB berhadapan dengan isu ketidakserasian antara aliran masuk daripada operasi perniagaan serta penjualan aset dengan aliran keluar pembayaran keluar faedah hutang dan prinsipal, namun kerajaan mengambil pelbagai langkah dengan menjalankan kajian strategik serta melaksanakan Pelan Rasionalisasi.

"Antara hasil pelaksanaan Pelan Rasionalisasi adalah pembayaran semula hutang sebanyak US$975 juta dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) di mana pelaksanaan kertas terma terikat dengan IPIC dijangka mengurangkan hutang syarikat sehingga RM16 bilion dan lebih RM1 bilion tanah di TRX telah dijual," menurut jawapan itu.-Bernama

Syed Hassan dakwa Umno hasut ahlinya keluar PERKASA

Posted: 15 Mar 2016 05:20 PM PDT

Anne Muhammad

 


Pertubuhan pendesak Melayu, PERKASA mendakwa pemimpin Umno menghasut ahlinya supaya keluar daripada NGO itu berikutan tindakan penaungnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terbabit dengan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil.

Katanya berikutan hasutan berkenaan minggu lalu, seramai sembilan ahli PERKASA dari Pengkalan Chepa dan 27 dari cawangan Kapar bertindak mematahkan kad keahlian mereka.

"Beberapa pengerusi parlimen PERKASA memaklumkan kepada Presiden Datuk Ibrahim Ali bahawa mereka di pujuk oleh pimpinan Umno untuk bubarkan PERKASA di parlimen masing-masing...

"Saya percaya masih ramai pengerusi-pengerusi PERKASA parlimen dipujuk supaya PERKASA di parlimen itu dibubarkan," katanya.

Justeru, Syed Hassan memberi amaran kepada pemimpin Umno yang cuba memecahbelahkan PERKASA supaya tidak berbuat demikian kerana ia ibarat menjolok sarang tebuan.

"PERKASA beri amaran kepada pemimpin Umno yang anti PERKASA, jangan cuba jolok sarang tebuan lagi. Jangan sampai ahli-ahli Umno dalam PERKASA hilang sabar.

"Jangan sampai pimpinan PERKASA tidak mampu nak halang mereka keluar Umno dan potong kad ahli Umno mereka. Kalau gerakan ahli Umno dalam PERKASA lakukannya, boleh penuh satu bonet kereta kad ahli Umno yang dipotong.

"Jangan cabar mereka, PERKASA tidak rugi apa-apa. Jangan sampai BN menanggung rugi kalau mereka hilang sabar," tegasnya.

Sementara itu, Syed Hassan menyeru supaya ahli PERKASA yang ingin keluar Umno supaya tidak mematahkan kad keahliannya sebaliknya jika benar-benar mahu keluar parti Melayu itu, mereka perlu mengikut saluran yang betul.

"Janganlah patahkan kad keahlian Umno melalui sidang media. Kalau nak keluar parti pergi sendiri ke Pejabat Umno dan serahkan borang itu.

"Umno pun ada sumbangan kepada kita, nak keluar parti biarlah dengan cara yang baik," katanya.

Pada majlis Deklarasi Rakyat bagi 'Selamatkan Malaysia' - Mahathir bersama sekutu Umno dan juga pemimpin pembangkang - memeterai deklarasi yang menuntut penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Antara yang menandatanganinya termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Hadir sama adalah bekas menteri Umno, Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.


Menunggu PAS Menyambut Tali Silaratulrahim

Posted: 15 Mar 2016 05:18 PM PDT

OLEH SHAHBUDIN EMBUN (Lawyer pokok cherry)


Sejak kebelakangan ini bukannya sesuatu yang memeranjatkan jika kita terdengar berita yang menyatakan kesudian PAS untuk bekerjasama dengan UMNO. Bahkan tidak berapa lama dahulu, ramai pemerhati politik sudah  meramalkan gabungan ini akan berlaku juga akhirnya.Pelbagai andaian telah dibuat, apatah lagi apabila adanya gambar yang memaparkan Presiden UMNO datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden  PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, dan para pemerhati politik menantikan satu pengumuman rasmi tentang kerjasama antara dua parti ini. Tetapi akhirnya PAS membuat kejutan dengan bakal mewujudkan pakatan politik "Kuasa Ketiga" yang akan diumumkan pada 16 Mac 2016.

Gabungan ini dikatakan merupakan strategi PAS untuk menarik para pengundi yang marah dan tidak puas hati dengan UMNO dan berasa sangsi dengan keupayaan Pakatan Harapan, yang dilihat tidak mempunyai harapan untuk membentuk satu pakatan yang mantap.


Namun persoalannya ialah adakah kuasa ketiga ini mampu menawarkan alternatif kepada para pengundi khasnya yang duduk di atas pagar.Penulis merasakan gabungan yang bakal wujud ini tidak mampu untuk melakukan perubahan politik yang drastik di negara kita.Apatah lagi parti-parti yang dikatakan akan menyertai gabungan ini bukanlah kuasa besar yang boleh mengubah suasana politik di Malaysia.


Bahkan ada rakan penulis yang merasakan penubuhan Kuasa Ketiga ini hanya sekadar untuk mengurangkan pengaruh dan menewaskan Parti Amanah Negara dalam Pilihanraya Umum akan datang. Apa yang dimaksudkan ialah, jika adanya pertarungan satu lawan satu dengan PAN, maka Kuasa Ketiga yang akan jadi faktor penentu kepada kemenangan PAS. Kemungkinan itu ada, tetapi penulis menganggap pastinya ada agenda lain apabila Kuasa Ketiga ini dibentuk.


Ada pihak yang menyatakan PAS sebenarnya mempunyai kekuatan sendiri dan tidak perlu membuat sebarang pakatan.Apatah lagi ada pihak yang sudah menganggap PAS adalah alternatif yang perlu diberikan perhatian yang serius. Realitinya, PAS harus berpijak di bumi nyata. Kekuatan yang menjadi kebanggaan parti ini mungkin hanya wujud di atas kertas sahaja.

Perlu diingatkan juga bahawa PAS juga sudah mula tergugat apabila bekas para pemimpin utama parti itu  menubuhkan Parti Amanah Negara.PAS juga pastinya tidak akan menyertai Pakatan Harapan selagi adanya DAP dalam gabungan tersebut.Dan melihatkan kepada perhubungan antara PAS dan DAP, rasanya agak mustahil untuk PAS dan DAP tiba-tiba menghulur semula tangan persahabatan.


Namun masih ramai juga pemerhati politik yang menganggap PAS sepatutnya menguatkan lagi hubungannya dengan UMNO.Alasan yang mereka berikan adalah mudah. Gabungan PAS dan UMNO bukan sahaja akan menghentikan persengketaan yang lama wujud antara dua parti ini, tetapi juga akan mengukuhkan lagi perpaduan Melayu dan Islam di negara kita.


UMNO dan PAS  adalah dua parti yang terbesar dan yang paling berpengaruh di negara kita. Walaupun sejak kebelakangan ini,kedua-dua parti ini dihimpit dengan pelbagai dugaan dan cabaran, namun UMNO dan PAS masih dilihat sebagai parti tunjang yang mampu mencorakkan scenario politik di negara kita.


Dan walaupun penulis telah menyatakan yang kekuatan PAS boleh diragui, tetapi dalam istilah permainan bolasepak, PAS boleh memainkan peranan sebagai "spoiler" ataupun penentu kejayaan sesuatu parti itu.


Dalam pengertian gabungan UMNO dan PAS,maka perlulah diambil istilah yang lebih meluas.Kerjasama di sini bukan bermaksud duduk di meja bulat , bersidang di hotel 5 bintang dan kemudiannya menandatangani perjanjian di atas sehelai kertas. Tidak semestinya sesuatu perikatan itu dibentuk secara formal.


Mungkin ada yang lupa bahawa pada bulan Disember 2015, ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, secara rasminya  telah menghulur 'tali silaturrahim kepada PAS bagi membina dan membangunkan Malaysia mengikut syariat Islam selepas parti Islam itu tidak lagi bersama pembangkang, khususnya DAP.Inilah kerjasama yang boleh memberikan impak yang positif kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.


Tangan persahabatan sudah dihulur dan kini terpulang kepada PAS untuk menyambutnya.~
* (telah disiarkan oleh Berita Minggu, 13 Mac lalu)

El-Nino: S'gor bertindak hadapi kemungkinan kekurangan air

Posted: 15 Mar 2016 05:12 PM PDT

MALAYSIAKINI





Kerajaan Selangor mengambil beberapa langkah proaktif bagi menghadapi kemungkinan berlaku kekurangan bekalan air akibat fenomena El-Nino.

Ini termasuk menyediakan kolam-kolam alternatif di Lembangan Sungai Selangor yang mampu membekalkan sehingga 800 juta liter (JLH) air mentah sehari, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Zaidy Abdul Talib.

Katanya, sebahagian daripada kolam berkenaan sedang dijalankan pembinaan projek Hybrid off River Augmentation System (HORAS) yang berperanan besar dalam mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber air mentah.

"Selain itu, projek pembenihan awan (cloud seeding) yang sentiasa dijalankan juga antara langkah kerajaan negeri memastikan bekalan air cukup bagi menampung keperluan air rakyat negeri ini.

"Projek ini dilakukan di beberapa kawasan tadahan dan lembangan sungai bagi meningkatkan kuantiti sumber air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun begitu, beliau berkata Selangor masih mempunyai bekalan air yang mencukupi bahkan paras air empangan berada pada tahap yang amat positif.

Sehingga hari ini, katanya, kapasiti takungan semua empangan di negeri ini berada dalam keadaan baik melebihi paras 70 peratus, iaitu Empangan Sungai Selangor (86.51 peratus); Empangan Sungai Tinggi (88.21 peratus); Empangan Sungai Semenyih (85.32 peratus); Empangan Sungai Langat (70.16 peratus); Empangan Batu (83.36 peratus); Empangan Klang Gates (80.98 peratus) dan Empangan Tasik Subang (97.51 peratus).

Menurut Zaidy, Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi merupakan empangan utama dalam pembekalan air di negeri ini iaitu meliputi 60 peratus daripada jumlah pembekalan air di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Berdasarkan rekod, penggunaan air per kapita bagi rakyat di Selangor adalah pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 235 liter sehari.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru semua pengguna supaya menjimatkan per kapita penggunaan air setiap isi rumah.

"Ini adalah juga salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan bekalan air di Selangor pada masa akan datang," katanya.- Bernama


'Sampai satu tahap kita tak boleh bertoleransi lagi'

Posted: 15 Mar 2016 05:03 PM PDT

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir


PUCHONG - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sampai satu tahap dirinya tidak boleh bertoleransi dengan pihak atasan lagi.

‎Oleh sebab itu katanya, beliau memberanikan diri untuk menandatangani Deklarasi Rakyat bertujuan untuk menyelamatkan negara.

"Skandal yang berlaku ke atas negara kini mempunyai kaitan yang cukup rapat dengan kita kerana yang terima bahananya bukan kita sahaja tetapi sampai ke anak cucu kita.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama Tun M, pembangkang kukuhkan Najib‎]

"Hutang skandal RM42 bilion  bukan satu angka yang kecil hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) RM30 bilion sebahagian terpaksa pergi ke arah beban hutang GLC kerajaan,  duit yang  sepatutnya dibelanjakan ke arah yang lebih penting iaitu bina sekolah, bina lebuh raya tanpa tol tapi...

"Oleh itu, sampai satu tahap saya tidak boleh berteloransi dengan penyelewengan yang berlaku di peringkat atas. Apa yang kita lakukan adalah mahu menyelamatkan keadaan daripada terus rosak," katanya dalam program Sepetang Bersama Mukhriz di sini, hari ini.

‎Deklarasi Rakyat yang ditandatangani awal bulan ini mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan kerosakan kepada negara di bawah pentadbirannya.

Najib didakwa telah menyebabkan negara jatuh tersenarai sebagai salah satu daripada 10 negara yang paling banyak mengamalkan rasuah mengikut laporan Ernst and Young Asia Pacific Fraud Survey Report Series 2013

Dua wartawan Australia boleh kembali ke Malaysia

Posted: 15 Mar 2016 04:57 PM PDT

SINAR HARIAN


Nur Jazlan Mohamed


KUALA LUMPUR - Dua wartawan Australia yang dihantar pulang selepas ditahan kerana didakwa melanggar garisan keselamatan semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sarawak Ahad lepas, bebas untuk kembali ke Malaysia sebagai pelancong.  

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kedua-dua mereka, yang mengaku sebagai wartawan dari Australia Broadcasting Corporation, mesti mematuhi undang-undang Malaysia dan tidak melanggar mana-mana peraturan.

"Jika mereka dihantar pulang bermakna mereka telah melakukan sesuatu kesalahan. Apabila mereka kembali, kita akan lihat nanti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan menahan dua wartawan Australia wajar]

"Sekiranya mereka kembali sebagai pelancong, tidak ada masalah, tetapi akan ada masalah sekiranya mereka kembali dan melanggar mana-mana undang-undang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata, penahanan dan pengusiran wartawan tersebut, dikenali sebagai Eroglu Levent dan Linto Joshua Besser, tidak bermakna negara ini tidak mengamalkan kebebasan akhbar.

"Kesemua kamu yang menemuramah saya sekarang bermakna ada kebebasan media. 

"Di sinilah wartawan asing tidak boleh sekadar masuk ke negara ini dan menganggap mereka boleh membuat kerja mereka tanpa melihat peraturan yang ditetapkan...khususnya dalam soal imigresen," katanya.

Wartawan Australia berkenaan dihantar pulang hari ini selepas pihak berkuasa memutuskan untuk tidak mendakwa mereka.

Mereka didakwa melanggar garisan keselamatan semasa lawatan Najib ke sebuah masjid di Sarawak pada Ahad. - Bernama


Pemuda maut rempuh belakang lori balak

Posted: 15 Mar 2016 04:54 PM PDT

Rempuh belakang lori, pemuda maut di tempat kejadian
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. 
 
JERTIH  -  Bekas pemain sepak takraw Sukma Terengganu maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori  balak di Kampung Padang Luas di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, Amir Zaidi, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, sebelum kejadian mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu telah merempuh bahagian belakang lori dengan muatan balak yang diletak di tepi jalan di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai menunggang di bahu jalan ketika itu dan tidak perasan adanya lori treler terbabit lalu melanggarnya.

"Akibat rempuhan kuat itu mangsa yang beralamat di Kampung Gerong, Apal meninggal dunia di tempat kejadian," katanya mengenai mangsa yang bekerja sebagai pekerja kontrak dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut.

Khaled berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, keadaan jalan di tempat kejadian lurus dua lorong dua hala dengan batu pembahagi hala lalu lintas sementara suasana gela kerana lampu jalan rosak .

Kata Khaled, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Tiada ulasan: