Isnin, 14 Mac 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


'Bersihkan' Najib: Pua mahu heret Azalina ke JK Parlimen

Posted: 14 Mar 2016 07:35 AM PDT

Shakira Buang

 


Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua mendakwa bahawa Menteri Umno Datuk Seri Azalina Othman gagal memberi maklumat dan fakta lengkap ketika 'membersihkan' Datuk Seri Najib Razak berhubung dana RM27 juta milik SRC International yang dimasukkan ke akaun bank perdana menteri.

Katanya, sekiranya Azalina gagal memberi penjelasan, beliau akan mengheret Azalina ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

"Saya bertanya kepada Parlimen pada minggu lepas sama ada Peguam Negara menyiasat wang RM26 bilion disalurkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan tambahan RM3.2 juta digunakan untuk membayar kad visa dan mastercard," katanya pada sidang media di lobi parlimen.

Azalina pada minggu lalu melalui jawapan bertulisanya berkata hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menunjukkan bahawa perdana menteri telah melakukan sebarang perbuatan rasuah (corrupt practice).

"Berdasarkan keseluruhan fakta dan keterangan, peguam negara beruashati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan YAB perdana menteri berkaitan kes-kes tersebut," katanya.

Bagaimanapun Pua mendakwa jawapan Azalina bercanggah dengan kenyataan bertarikh 24 Februari yang dibuat oleh Panel Penilaian Operasi (PPO) kerana ia menunjukkan siasatan masih belum selesai.

Dalam kenyataan itu, panel SPRM berkata mereka bersetuju supaya SPRM menghantar semula kertas siasatan kepada peguam negara.

"Kenyataan itu hanya boleh bermakna bahawa siasatan masih 'belum lengkap' dan SPRM telah meminta bantuan daripada peguam megara untuk mendapatkan Bantuan Guaman Bersama (MLA) untuk mengakses bukti tambahan itu," kata Pua.

Oleh itu, katanya, jawapan Azalina adalah mengejutkan kerana tiada maklumat dan fakta lengkap bagi menjawab persoalan tersebut.

"Dia mesti jelaskan mengapa kenyataannya bercanggah dengan SPRM.

"Adakah dia cuba memperdaya Parlimen dalam jawapannya untuk terus melindungi Najib?" soal Pua.

"Jika dia gagal beri penjelasan dan bukti bahawa SPRM memang 'membersihkan' perdana menteri, kita akan mempertimbangkan merujuk beliau kepada Jawatankuasa Dewan Hak dan Kebebasan kerana sengaja mengelirukan Parlimen," katanya.


RM606,250 bagi cetak buku ‘1MDB: Siapa Kata Tidak Dijawab’

Posted: 14 Mar 2016 07:32 AM PDT

MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong hari ini menyelar tindakan kerajaan yang membelanjakan
RM606,250 bagi mencetak buku "1MDB: Siapa Kata Tidak Dijawab" untuk memberi penjelasan dan penerangan mengenai skandal firma pelaburan negara itu.

Katanya, beliau terkejut ketika dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam jawapan bertulis di parlimen bahawa duit rakyat itu dibazirkan sedangkan banyak saluran atau platform yang percuma yang boleh digunakan.

"Sebelum ini, pihak kerajaan telah menyatakan hasrat mereka untuk mengurangkan kos atau perbelanjaan harian bagi setiap jabatan.

"Tetapi, dengan cuma menjawab satu isu 1MDB sudah belanja RM606 ribu memang tidak boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Isu hutang 1MDB sahaja telah menyebabkan kerugian besar kepada negara kita. Kini, kerajaan pula menggunakan duit rakyat untuk menjawab isu ini, Menteri perlu jawab!" katanya dalam satu kenyataan media.

Hari ini Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengesahkan bku berjudul '1MDB: Siapa Kata Tidak Dijawab' dicetak sebanyak 125,000 naskah dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu (100,000), Bahasa Inggeris (10,000) dan Bahasa Tamil (15,000).

Menurut jawapan bertulis itu, buku itu diedarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) memandangkan kedua-dua isu itu telah dipolitikkan sehingga memberi kesan ketara terutama daripada aspek keselamatan dan kesejahteraan dalam negara.

Selain itu, JASA juga mencetak dan mengedarkan 2,000 naskah buku 'Himpunan Baju Merah' dengan kos senaskhah RM6 berbanding RM4.85 bagi buku 1MDB.


Kit Siang: TMI jadi mangsa pemerintahan Najib

Posted: 14 Mar 2016 07:29 AM PDT

MALAYSIAKINI




The Malaysian Insider (TMI) adalah mangsa terbaru pemerintahan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, kata pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang.

"Najib dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak mungkin bangga dengan pencapaian mereka menyebabkan 'kematian' TMI, terutama dengan tindakan kerajaan menyekat portal berita itu bulan lalu.

"Tetapi bagi rakyat yang mampu berfikir, tiada apa yang patut digembirakan tetapi perasaan dukacita yang amat besar berhubung kematian TMI," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang menyekat TMI pada ulangtahun kelapan portal itu pada 25 Februari lau kerana menyiarkan rencana mengenai Najib.

Editor TMI, Jahabar Saddiq hari ini mengumumkan bahawa portal berita akan ditutup berkuat kuasa tengah malam ini.

Beliau berkata pemilik syarikat itu, Kumpulan The Edge Media membuat keputusan berkenaan atas sebab-sebab komersial.

Sementara itu, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Edge Media, Ho Kay Tat mengesahkan bahawa portal berkenaan tidak menerima sokongan komersial yang mencukupi bagi memastikan ia dapat berterusan.

Kumpulan The Edge Media, katanya, mengalami kerugian kira-kira RM10 juta dalam tempoh 20 bulan sejak ia mengambil alih portal itu pada Jun 2014.

Azmin tetap mahu satu lawan satu di Sarawak

Posted: 14 Mar 2016 07:26 AM PDT

Shakira Buang  




Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali menegaskan bahawa beliau mahu hanya ada pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Malah, timbalan presiden PKR itu berkata masih terdapat ruang perbincangan antara parti pembangkang itu dalam soal pembahagian kerusi di negeri bumi kenyalang itu.

"Saya rasa apa yang penting sekarang adalah semua parti terima hakikat bahawa perlu pertahan satu lawan satu.

"Maknanya kita masih ada ruang untuk berbincang. Biasanya kerusi ini kita bincang sampailah sebelum hari calon," kata ADUN Bukit Antarabangsa itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Azmin berkata demikian mengulas tindakan PAS mahu meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu bertanding untuk menyuburkan amalan demokrasi di Sarawak dengan memberi pilihan kepada rakyat negeri ini calon yang diyakini boleh mewakili mereka ke DUN.

Mengulas lanjut anggota Parlimen Gombak itu berkata perbincangan itu perlu bagi mengelak sebarang pertindahan kerusi dikalangan pakatan pembangkang sekali gus mengakibat kerugian besar.

"Itu sebaik-saiknya sebab kita nak lakukan perubahan dan ia kena buat secara kolektif, tak boleh buat bersendirian. Dan ini hanya boleh dlakukan kalau pakatan rakyat dan pakatan harapan boleh meletakkan hanya seorg calon melawan bagi melawan BN," tegas Azmin.

Hak PAS tubuh blok baru

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan PAS menubuhkan blok pembangkang Azmin berkata beliau tiada halangan yang penting niatnya tetap sama.

"Tak apa-lah itu demokrasi. Yang penting matlamat kita nak lakukan reformasi dalam sistem kenegaraan. Ia boleh dibuat secara individu, berkumpulan atau gabungan kerana Deklarasi Rakyat juga menjurus ke arah yang sama.

"Ia tak akan halang usaha melakukan perubahan. Cuma ia beri pilihan tambahan kepada rakyat," kata Azmin.


GERAMM gesa pampasan setimpal bagi kakitangan TMI

Posted: 14 Mar 2016 07:19 AM PDT

MALAYSIAKINI




Gerakan Media Marah (GERAMM) menggesa Edge Insider Sdn Bhd dan The Edge Media Group memastikan semua kakitangan portal berita The Malaysian Insider (TMI) mendapat pampasan yang sewajarnya mengikut undang-undang buruh.

Dalam kenyataan medianya, GERAMM mengalu-alukan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Edge Media Group, Ho Kay Tat bahawa semua kakitangan TMI akan menerima pampasan sepatutnya.

Bagaimanapun, GERAMM juga menyatakan kebimbangan memandangkan dua laman berita di bawah The Edge ditutup sebelum ini. Ini termasuk Laman FZ.com yang ditutup pada tahun 2014 menyebabkan sebahagian kakitangannya diserap ke dalam The Edge dan TMI.

"Turut menambah kebimbangan adalah ini hanya salah satu daripada senarai panjang laman berita yang ditutup; ABN News, mytourismtv, mobtv, theantdaily dan baru-baru ini The Rakyat Post, yang ditutup atas faktor kewangan, dan dalam kes TMI dan The Edge sebelumnya, kerana tekanan kerajaan.

Sementara itu GERAMM menyatakan penghargaan terhadap TMI kerana memberikan sumbangan kepada dunia kewartawanan, malah ada antara wartawan dan editornya kini bersama agensi berita antarabangsa.
"GERAMM ingin menyuarakan rasa simpati kepada semua kakitangan TMI yang hanya menerima berita mengejutkan ini awal hari ini.

"Pada masa sama, kami juga ingin menyatakan rasa terima kasih kepada semua kakitangan TMI - dulu dan kini - yang telah bersama-sama menegakkan kebebasan media dalam persekitaran Malaysia yang sentiasa bermasalah," kata kumpulan itu yang memperkenalkan diri mereka sebagai perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.

Terdahulu, editor TMI Jahabar Sadiq mengumumkan portal itu akan ditutup berkuat kuasa tengah malam ini selepas The Edge Media Group membuat keputusan berkenaan atas sebab-sebab komersial.
"Mungkin sesuai kita tidak lagi bersiaran pada permulaan Ides Mac (15 Mac)," kata Jahabar dalam satu artikel yang disiarkan di laman web portal berkenaan.


Melayu tetap jadi PM jika Najib disingkirkan, kata Zaid

Posted: 14 Mar 2016 07:16 AM PDT

MALAYSIAKINI




Pemimpin Melayu tetap akan menjadi perdana menteri sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Ini kerana penduduk Melayu membentuk majoriti di negara ini, katanya.

"Melayu tetap akan jadi Perdana Menteri. Melayu akan terus memegang lebih banyak kerusi dalam Kabinet, tetapi pemimpin Cina dan India akan menjadi wakil sebenar masyarakat mereka," tulis beliau dalam blog hari ini,

Zaid berkata jika DAP akan menggantikan MCA dalam kabinet, ini bukan kerana mereka adalah pembodek tetapi mereka akan berkhidmat untuk negara.

"Jika pemimpin DAP berada dalam Kabinet, bukan kerana mereka adalah pengampu. Mereka berada dalam Kabinet kerana berminat membangunkan negara dan bukannya menjalankan perniagaan.

"Mereka memegang portfolio masing-masing berdasarkan merit dan mempunyai dasar yang baik untuk ditawarkan. Jika Lim Kit Siang berada dalam Kabinet untuk menggantikan komponen MCA, ini adalah baik untuk negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam tulisan yang memuji kerjasama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim yang menurut Zaid adalah wira Melayu dan Cina masing-masing, dalam gerakan Selamatkan Malaysia.

Beliau juga memuji tindakan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di penjara tetapi menyokong pergerakan itu.

"Ini adalah masa yang bersejarah. Tiga pemimpin gergasi mengketepikan permusuhan lampau dan bersetuju bahawa mereka perlu bekerja lebih keras kerana masa depan negara dipertaruhkan," kata Zaid.

Beliau berkata, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memahami betapa penting dan signifikan kerjasama itu.

"Sebab itu dia melompat dan melaung tanpa henti," katanya.

Gerakan Selamatkan Malaysia dilancarkan pada 4 Mac lalu yang bertujuan untuk menggulingkan Najib dan melaksanakan pembaharuan institusi.

Kumpulan itu dianggotai oleh pemimpin Umno yang berpaling tadah, pembangkang dan masyarakat sivil.


'Mahathir masuk perangkap, jadi siapa bodoh?'

Posted: 14 Mar 2016 07:09 AM PDT

Shakira Buang  



Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai individu paling rugi kerana terlibat dengan pembangkang dan menganjurkan Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan perdana menteri.

Anggota majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata Mahathir sanggup meninggalkan perjuangannya selama ini semata-mata demi perasaan dendam serta mahu menghalalkan 'niat jahat' untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mahathir akan menjadi seorang pemimpin paling rugi (biggest losser) kerana telah meninggalkan banyak perkara yang selama ini dia perjuangkan, legasi dia, kredibiliti dia, dan semua perkara itu hanyalah bagi mendapatkan sokongan daripada pembangkang di mana mereka (pembangkang) tidak pun menolong dia, malah peroleh banyak benda daripada tindakan Tun Mahathir itu.

"Tun Mahathir dah jatuh ke dalam perangkap, apa yang saya katakan sebelum ini adalah betul. Dia fikir dia bersama pembangkang dapat tarik orang bersama dengan dia, tapi perkiraan dia salah, jadi siapa yang bodoh?" soal Tajuddin ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Tambah Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian, Mahathir boleh 'menyalak' sesuka hati, namun tiada perkara yang akan berubah akibat tindakannya itu.

"Dia boleh menyalak, tapi gunung itu akan kekal begitu sahaja kerana Datuk Seri Najib ibarat 'batu' yang kuat, dia mendapat sokongan 100 peratus daripada Umno," tambahnya.

Terdahulu, Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 individu yang terdiri daripada tokoh pembangkang, bekas pemimpin kerajaan dan NGO menandatangani Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan perdana menteri.

Deklarasi itu turut ditandatangi pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Datuk Mohamed Azmin Ali, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.


Siasat dakwaan BN guna RM1.5b untuk PRU13

Posted: 14 Mar 2016 06:51 AM PDT

Siasat dakwaan BN guna RM1.5b untuk PRU13
Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik (dua, kanan) dan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong (kanan) menyerahkan laporan yang menuntutkan siasatan dilakukan SPR kepada wakil SPR iaitu pegawai khas Pengerusi SPR, Mohd Syukor Khalid (dua, kiri).


PUTRAJAYA  - DAP menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perbelanjaan berjumlah RM1.5 bilion yang didakwa digunakan BN dalam PRU13 lalu.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik berkata, perbelanjaan BN itu telah melebihi 15 kali ganda jumlah yang dibenarkan untuk kerusi Parlimen dan Dun serta melanggar Seksyen 19 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. .

"BN telah bertanding 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun dalam pilihan raya yang lepas untuk 12 buah negeri kecuali Sarawak yang tiada pilihan raya negeri. Jadi perbelanjaan tidak boleh lebih daripada RM94.9 juta.

"Dengan jumlah RM 1.5 bilion yang dibelanjakan ini maka ia lebih 15 kali ganda daripada apa yang boleh digunakan. Jumlah ini memang tidak boleh dibenarkan," katanya pada sidang media selepas menyerahkan laporan yang menuntut siasatan dilakukan SPR kepada pegawai khas Pengerusi SPR, Mohd Syukor Khalid, di sini, hari ini.

Turut serta pada sidang akhbar berkenaan ialah Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong.

Katanya, SPR perlu membuka kertas siasatan segera dan dituntut melakukan siasatan dengan adil dan bebas.

"Jangan hanya terima laporan, tetapi tiada tindakan selanjutnya. Kita juga menuntut supaya satu siasatan yang adil lagi bebas dijalankan dengan serta merta ke atas BN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi BN," katanya.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, laporan yang dikemukakan kepada SPR ini berikutan kenyataan  oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

"SPR perlu menunjukkan pendirian kerana ini pendedahan yang cukup serius dan saya rasa satu tindakan perlu diambil terhadap mereka yang terbabit. RM 1.5 bilion ini bukan satu angka yang kecil.

"Saya dari Negeri Sembilan, bajet untuk kerajaan Negeri Sembilan cuma setahun lebih kurang RM400 juta sahaja. Kalau RM 1.5 bilion, boleh dibelanjakan lebih kurang lima tahun di Negeri Sembilan," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Pengerusi SPR yang baharu, Datuk Seri Mohd Hashim dapat membawa perubahan terhadap sebarang aduan yang dikemukakan kepada SPR.

"Saya amat berharap SPR dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap tuduhan ini serta mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat sama ada mereka akan mengambil tindakan atau sebaliknya," katanya.

Ujarnya, dalam soal perbelanjaan pilihan raya, pembangkang termasuk DAP tidak mempunyai dana yang sebegitu banyak.

"Kalau ada dana yang sebegitu banyak tak perlulah kami membuat kutipan derma ketika kempen mahupun ceramah. Paling pelik sekali, RM 1.5 bilion telah dibelanjakan tetapi masih tidak boleh menang.

"Pembangkang masih boleh mengekalkan kebanyakan kerusi yang dimenangi pada 2008. Saya rasa ini telah menunjukkan bahawa rakyat kini telah pun matang," katanya.


Kad kredit PM: Azalina nafi jawapan kelirukan Dewan

Posted: 14 Mar 2016 06:49 AM PDT

Najib
Najib Tun Razak. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Jawapan bertulis untuk pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengenai isu pembayaran bil kad kredit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan sebahagian dana RM27 juta daripada SRC International diberi berpandukan kenyataan rasmi Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Tony yang mahu merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas alasan cuba mengelirukan Dewan Rakyat dalam isu tersebut.

"Dalam kenyataan itu, Peguam Negara menjelaskan yang pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi yang boleh menunjukkan Najib telah melakukan sebarang perbuatan rasuah.

"SPRM dalam kenyataannya pada 27 Januari turut menegaskan tindakan merujuk kes Najib ke Panel Penilai Operasi (PPO) adalah satu proses biasa dan tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai menolak keputusan yang diputuskan oleh Peguam Negara," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tony pada sidang media di pekarangan Dewan Rakyat, di Parlimen hari ini mendakwa jawapan lisan Azalina bercanggah dengan kenyataan Peguam Negara mengenai isu tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tony mahu rujuk Azalina ke JK Hak dan Kebebasan]

"Di bawah Perkara 145(3), Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan. Kuasa budi bicara yang diberikan kepads Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana pihak termasuk mahkamah.

"Saya tidak faham maksud Tony yang menyatakan saya mungkin mengelirukan Dewan Rakyat melalui jawapan kepada pertanyaan lisan beliau," katanya lagi.

Tahan wartawan Australia, calar imej negara

Posted: 14 Mar 2016 06:44 AM PDT

Tahan wartawan Australia, calar imej negara
Guan Eng (kiri) pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN.


KUALA LUMPUR – Penahanan wartawan dan jurukamera dari saluran berita Australia ABC oleh polis di Kuching, Sarawak pada Ahad telah mencalarkan imej Malaysia kerana kebebasan media semakin terhakis di negara ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penahanan dua petugas media antarabangsa itu kerana mahu bertanya tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan ada sesuatu cuba diselindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada pengetahuan umum.

"Kami menggesa kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula tindakan ini untuk membuktikan tiada apa yang perlu ditakuti atau sesuatu diselindungi. Tiada penjelasan mengenainya, kerana wartawan Australia ini bukan ancaman Perdana Menteri, melainkan mereka ini mempunyai hubung kait dengan IS.

"Walaupun pihak berkuasa mendakwa mereka cuba menghalang Perdana Menteri, namun tiada keperluan untuk menahan mereka sehingga enam jam," katanya pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden dua petugas media dari Australia Broadcasting Corporation (ABC) yang ditahan selepas merempuh kawalan keselamatan kerana cuba menemubual Perdana Menteri di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, Padawan, Kuching, Sarawak pada semalam.

Bagaimanapun kedua-dua individu terbabit dibebaskan pagi Isnin lalu dengan jaminan polis dan perlu berada di negeri itu, sementara siasatan dilakukan.

Mengulas lanjut isu pelantikan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Guan Eng pula berkata menggesa kerajaan melantik pengganti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dengan seorang calon yang tidak mempunyai hubungan dan hubung kait dengan skandal 1MDB.

"Mana-mana lantikan itu, kalau ia bersangkutan dengan 1MDB, ia tidak boleh memulihkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan rakyat bahkan pelabur asing.

"Kami menggesa kerajaan, jika kamu mahu melantik gabenor baharu, pastikan dia mempunyai rekod bersih daripada 1MDB, tiada hubung kait, tiada hubungan dan pembabitan dalam skandal 1MDB atau dilihat sebagai boneka kepada kerajaan," katanya lagi.


Proses ekstradisi Sirul masih dalam rundingan

Posted: 14 Mar 2016 06:42 AM PDT

SINAR HARIAN


Sirul Azhar Umar
Sirul Azhar Umar


KUALA LUMPUR - Proses rundingan untuk membawa pulang Koperal Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia melalui proses ekstradisi masih di peringkat rundingan dengan semua pihak yang terlibat, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN dalam jawapan bertulis di Dewan rakyat memberitahu permintaan ekstradisi itu tidak dikendalikan oleh KDN secara bersendirian, sebaliknya melibatkan perbincangan dalaman dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar.

"Ia mesti dibuat melalui saluran diplomatik dan perlu dikemukakan bersama-sama dokumen-dokumen yang berkaitan dengan tertuduh seperti maklumat pengenalan tertuduh dan dokumen mengenai pertuduhan dan fakta kes," menurut KDN dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut) hari ini.

Lip Eng bertanya sama ada PDRM telah menyiasat dakwaan Sirul Azhar, yang juga bekas komando polis itu berkaitan lima individu yang cuba merasuah dan memujuk beliau mengaitkan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan status terkini ekstradisi Sirul Azhar ke Malaysia.

KDN dalam jawapan itu menyatakan permintaan ekstradisi hanya boleh dibuat bagi kes-kes yang boleh diekstradisi dan memenuhi kehendak 'dual criminality' iaitu kes mestilah dianggap sebagai kes jenayah di kedua-dua negara dan hukuman  bagi kesalahan tersebut di kedua-dua negara mestilah tidak kurang daripada satu tahun pemenjaraan. 

"Memandangkan kes Sirul Azhar telah mendapat liputan media antarabangsa yang luas termasuk hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya, adalah difahamkan bahawa pengusiran Sirul Azhar ke Malaysia bertentangan dengan dasar Australia yang tidak menyokong hukuman mati," menurut jawapan itu.

Dalam pada itu, KDN berkata siasatan terhadap laporan portal Malaysiakini pada 12 Februari lepas berhubung pendedahan Sirul Azhar berkaitan lima individu yang cuba merasuah atau memujuk beliau mengaitkan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya masih berlangsung.

"Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 120B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan. Siasatan kes ini masih diteruskan," menurut KDN. – Bernama

Harta Papagomo bakal disita, gagal bayar ganti rugi pada Anwar

Posted: 14 Mar 2016 01:37 AM PDT

MALAYSIA DATELINE


Wan Muhammad Azri Wan Deris PapagomoWan Muhammad Azri Wan Deris Papagomo


Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang menimpa blogger kontroversi Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai 'Papagomo'.

Setelah didapati bersalah memfitnah bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, harta milik beliau bakal disita dan dilelong kerana gagal menjelaskan ganti rugi berjumlah RM850,000 kepada Anwar.

Writ sita dan lelong dihantar kepada Papagomo oleh peguam Anwar, Latheefa Koya yang ditemani pegawai mahkamah di kediaman beliau di Villa Danau Apartment, Danau Kota.

Bagaimanapun, Wan Muhammad Azri dilapor tidak berada di kediamannya untuk menerima writ tersebut.


"Kami akan datang semula untuk menyerahkan notis ini dan akan mendapatkan tarikh baharu daripada mahkamah," kata Latheefa.

Pada 2014, Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan yuran peguam RM50,000 kepada Anwar setelah didapati bersalah menyiarkan perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog miliknya.

Pada Mac 2013, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog miliknya.

Anwar memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri kerana dengan salah dan berniat jahat menyiarkan perkataan lucah dan melampau mengaitkan dirinya.

Dalam penyataan tuntutan itu, defendan meletakkan beberapa pautan web yang memaparkan satu siri imej dengan mengatakan lelaki itu adalah Anwar.

Selain itu, menurut penyataan tuntutan itu juga defendan turut menulis perkataan memfitnah, lucah dan mencarut termasuk membabitkan isteri, anaknya, Nurul Izzah, dan menantunya yang kononnya terlibat dalam aktiviti homoseksual.

Najib dan Salleh bangga 'matikan' TMI, kata Kit Siang

Posted: 14 Mar 2016 01:33 AM PDT

MALAYSIA DATELINE


Lim Kit SiangLim Kit SiangPortal media The Malaysian Insider (TMI) mangsa terbaru pemerintahan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, kata pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang.

"Najib dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak mungkin bangga dengan pencapaian mereka menyebabkan 'kematian' TMI, terutama dengan tindakan kerajaan menyekat portal berita itu bulan lalu.

"Tetapi bagi rakyat yang mampu berfikir, tiada apa yang patut digembirakan tetapi perasaan dukacita yang amat besar berhubung kematian TMI," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang menyekat TMI pada ulangtahun kelapan portal itu pada 25 Februari lau kerana menyiarkan rencana mengenai Najib.

Editor TMI, Jahabar Saddiq hari ini mengumumkan bahawa portal berita akan ditutup berkuat kuasa tengah malam ini.

Beliau berkata pemilik syarikat itu, Kumpulan The Edge Media membuat keputusan berkenaan atas sebab-sebab komersial.

Sementara itu, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Edge Media, Ho Kay Tat mengesahkan bahawa portal berkenaan tidak menerima sokongan komersial yang mencukupi bagi memastikan ia dapat berterusan.

Kumpulan The Edge Media, katanya, mengalami kerugian kira-kira RM10 juta dalam tempoh 20 bulan sejak ia mengambil alih portal itu pada Jun 2014.

Australia 'Sangat Prihatin' Penahanan Dua Wartawan Di Malaysia

Posted: 14 Mar 2016 01:30 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
PETALING JAYA: Kerajaan Australia 'sangat prihatin' dan telah menghubungi rakan-rakan di Malaysia berhubung penahanan dua wartawannya.

"Kami amat prihatin tentang perkara ini. Kami menyediakan sokongan konsular kepada krew  Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan pasti membangkitkan isu ini dengan peringkat yang sesuai dalam kerajaan Malaysia," kata Menteri Luar Australia, Julie Bishop, lapor The Guardian.

"Saya sentiasa mengambil berat di mana terdapat beberapa contoh tindakan keras ke atas kebebasan bersuara khususnya dalam demokrasi dan saya juga mengambil berat tentang kebebasan bahawa wartawan perlu menjalankan kerja mereka di tempat-tempat di seluruh dunia, jadi ini adalah perkara-perkara yang kita bangkitkan dengan kerajaan dari masa ke semasa dan begitu juga dengan Malaysia.

"Kami akan melakukan apa yang boleh untuk mengetahui punca isu ini dan menghantar wakil di peringkat tertinggi dalam kerajaan Malaysia," beliau dipetik sebagai berkata.

Wartawan dari rangkaian berita Australia itu ditahan di Malaysia pada malam Sabtu sebelum dibebaskan keesokan harinya selepas keterangan mereka diambil.

Wartawan Linton Besser dan pengendali kamera Louis Eroglu ditahan di Kuching apabila mereka cuba untuk menemubual Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Dev Kumar berkata, dua warga Australia itu tidak mematuhi arahan polis untuk tidak melintasi garis keselamatan pada majlis itu.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka.

Menurut laman web ABC, Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia sedang berhubung dengan kedua-dua wartawan itu dan mereka mendapat sokongan konsular.

Kedua-dua mereka diberitahu bahawa mereka perlu berada di Malaysia sehingga Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan jika mereka perlu berdepan pertuduhan. Beliau dijangka membuat keputusan sebelum Rabu.

ABC melaporkan bahawa pengarah beritanya, Gaven Morris telah menafikan dakwaan bahawa wartawannya telah bertindak melanggar undang-undang apabila mereka cuba untuk menemubual Najib.

"Saya boleh memberitahu anda bahawa wartawan kami pada bila-bila masa tidak pernah menghalang atau berhasrat untuk menghalang mana-mana penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka.

"Mereka tidak melihat garis polis dan tidak percaya mereka melintasinya," kata Morris dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kedua-dua mereka telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sebelum dan selepas mereka ditangkap.

Besser dan Eroglu adalah sebahagian daripada kakitangan ABC Four Corners, sebuah program hal ehwal semasa Australia.

Kedua-dua mereka pada petang Sabtu menghadiri sidang akhbar di sini yang dianjurkan oleh Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia (Minda) sebelum terbang ke Kuching.

Dalam sidang akhbar yang penuh dramatik itu, balu kepada penyiasat persendirian mendiang P. Balasubramaniam memohon maaf kepada Perdana Menteri dan keluarganya kerana menuduh mereka membunuh suaminya tetapi kemudiannya menarik balik kenyataannya.

Balasubramaniam adalah penyiasat persendirian semasa pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Besser adalah seorang wartawan yang memenangi pelbagai anugerah dan pakar dalam kewartawanan penyiasatan. Beliau terkenal dengan laporan-laporan pendedahan skandal dan rasuah

Taktik Baharu Warga Asing Terdesak Masuk Malaysia Secara Haram

Posted: 14 Mar 2016 01:26 AM PDT

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 


EKSKLUSIF  PETALING JAYA: Warga asing dari negara sumber yang terdesak untuk bekerja di Malaysia kini menggunakan taktik baharu untuk memasuki negara ini secara haram susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara berkenaan.

Penangguhan tersebut turut membabitkan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Taktik baharu ini dikesan menerusi penahanan enam warga Bangladesh yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu (9 Mac 2016) kerana menggunakan visa pelawat palsu.

Tidak sampai 24 jam, tiga lagi merupakan wanita warga India ditahan pada pagi Khamis (10 Mac 2016) selepas dikesan menggunakan visa palsu sewaktu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Pengarah Imigresen KLIA, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, siasatan mendapati kesemua warga Bangladesh yang ditahan disyaki mahu bekerja di negara ini termasuk tiga wanita warga India yang berhasrat untuk menjadi pembantu rumah.

"Pasport yang mereka gunakan adalah sah tetapi visa dipalsukan. Mereka memalsukan visa kerana ia lebih mudah dilakukan berbanding pemalsuan pasport.

"Penggunaan pasport tulen itu kononnya mahu mengaburi pihak berkuasa, tetapi kita masih dapat kesan visa palsu yang terdapat di dalam pasport berkenaan," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah.

Enam warga Bangladesh dan tiga warga India ditahan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) kerana menggunakan dokumen perjalanan yang dipalsukan.

Mohd Zulfikar berkata, sebagai pintu masuk utama negara, kawalan keselamatan di di KLIA dan KLIA2 sentiasa dipertingkatkan selain kaedah biometrik.

Menurut Mohd Zulfikar, imigresen kini mula memasang 'kamera khas' yang merupakan sistem pembaca dokumen dan pengecaman wajah (facial recognition and advance document reader) di setiap kaunter imigresen KLIA dan KLIA2.

"Kamera ini merupakan ciri keselamatan tambahan bagi pemeriksaan setiap kemasukan warga asing ke negara ini. 'Kamera khas' ini dihubungkan dengan pangkalan data dan sistem biometrik sedia ada.

"Ia berfungsi untuk pemadanan wajah dan data pada dokumen perjalanan mereka. Ketepatan pemadanan ini boleh mencapai sehingga 80 peratus," katanya sambil menambah semakan kedua boleh dilakukan untuk pengesahan lanjut.

Pada Jumaat (11 Mac 2016), seorang lelaki warga Pakistan ditahan di KLIA2 kerana menggunakan pasport milik warga Sepanyol, dan ia merupakan kes pertama yang dikesan menerusi sistem pembaca dokumen dan pengecaman wajah (facial recognition and advance document reader).

"Lelaki itu ditahan pada pagi Jumaat selepas tiba di KLIA2 dari Lahore, Pakistan. Butiran pasport asal adalah seorang wanita. Kita turut menemui pasport asal milik warga Pakistan berkenaan.

"Kes ini dikesan menerusi sistem pengecaman wajah di KLIA2. Kes ini masih dalam siasatan," katanya sambil menambah warga Pakistan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 12a Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport individu lain.

Mengikut rekod, sebanyak 130 kes pemalsuan pasport dan dokumen perjalanan di KLIA dan KLIA2 dari Januari 2015 sehingga Februari 2016. Daripada jumlah itu, 109 adalah lelaki dan 21 wanita.

Mohd Zulfikar berkata, berdasarkan statistik itu, Bangladesh merupakan warganegara yang paling banyak dikesan melakukan pemalsuan pasport dan dokumen perjalanan.

Menurut Mohd Zulfikar, semua kaunter imigresen di KLIA2 telah dipasang dengan kamera berkenaan pada bulan lalu, dan ia kini dipasang secara berperingkat di KLIA yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini.

Tambahnya, KLIA dan KLIA2 menjadi projek perintis (pilot project) bagi ciri keselamatan tambahan ini sebelum ia diperluaskan ke lima lapangan terbang antarabangsa lain di Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Pulau Pinang dan Subang.

Terdapat 112 kaunter imigresen di KLIA manakala 70 kaunter imigresen di KLIA2.

Difahamkan, kos bagi mewujudkan keseluruhan sistem berjumlah kira-kira RM7 juta.

Pada peringkat awal, ciri tambahan keselamatan ini berfungsi untuk membantu mengesan sebarang pemalsuan pasport dan dokumen perjalanan.

Difahamkan, selain pangkatan data Jabatan Imigresen, sistem ini akan diperluaskan dengan pangkalan data pihak berkuasa lain termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) pada masa akan datang.

Mohd Zulfikar berkata, kepakaran pemeriksaan dokumen pegawai-pegawai imigresen juga sentiasa dipertingkatkan melalui latihan bersama antara negara-negara luar seperti Australia dan United Kingdom (UK).

"Selain itu, perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasa dalam dan luar negara sentiasa dilakukan bagi membanteras anasir luar dan dalam negara seperti penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia," katanya.

Belasungkawa demokrasi dalam Umno

Posted: 14 Mar 2016 01:19 AM PDT




Oleh Aizat Fikri Nasir Fikri


Popkin menyatakan kita hidup dalam era yang menyaksikan kesetiaan terhadap parti semakin menyusut.
Tumpuan beralih kepada individu dan bukan lagi kepada parti. Hal ini

menyebabkan wujudnya persaingan antara ahli parti untuk menonjol dan mencari ruang untuk melebarkan sayap politik masing-masing. Perlumbaan di dalam parti menjadi semakin sengit dan ternyata meletihkan.

Senario yang berbahaya inilah sedang berlaku dalam kalangan pucuk pimpinan dan akar umbi Umno.


Demokrasi yang gemilang suatu masa dahulu sedang meniti era kemerosotannya. Persaingan tidak sihat antara sesama ahli dan pucuk pimpinan menimbulkan ketegangan sekali gus meretakkan semangat setiakawan yang amat penting untuk melestarikan keperkasaan parti. Masing-masing mempunyai agenda dan muslihat tersendiri.

Apabila hal ini berlaku, ahli-ahli parti akan terbahagi pada puak-puak tertentu yang secara tidak langsung menyemarakkan semangat assabiyah. Semangat assabiyah melunturkan demokrasi. Kelompok yang baik dan rapat dengan orang-orang kanan parti tampil popular, mendapat habuan yang lumayan dan menjawat posisi elit. Manakala mereka yang kurang dikenali meskipun berkebolehan, berpotensi dan berwawasan akan dianaktirikan.

Silap hari bulan, mereka akan dikuis oleh golongan majoriti yang terbukti lebih berkuasa. Dalam situasi ini demokrasi bertukar menjadi diskriminasi.

Saya mengikuti rapat gelombang perubahan pasang surut yang melanda Umno. Dalam tempoh masa sekarang, tatkala rakyat semakin kritikal dan analitikal, Umno memberikan persembahan sangat corot dalam sejarah.

Bagaimana Umno mahu kekal relevan di mata rakyat jika pemimpin dalam parti sendiri berbalah dan bercakaran sesama sendiri?

Glu ukhuwah dan semangat perjuangan yang menjadi pelekat keutuhan Umno semakin hari semakin kering. Apakah yang diperjuangkan Umno sekarang? Tidak ada polisi, dasar dan agenda yang jelas dalam memacu perjalanan negara ini.

Saban hari melalui media massa, rakyat dihidangkan berita memualkan pemimpin A menempelak pemimpin B. Dengan konflik dalaman yang tidak dapat dimurnikan, rakyat akan dimangsai. Janji-janji yang ditabur sewaktu kempen pilihan raya tidak dapat dilunaskan justeru orang yang bertanggungjawab melaksanakan tugas itu dihimpit oleh desakan dan tuntutan dalaman parti yang meletakkan karier politiknya di hujung tanduk.

Perjuangan sebenar Umno adalah untuk menggagaskan kesejahteraan rakyat, mengangkat martabat bangsa dan memerangi dakyah-dakyah songsang pihak pembangkang. Namun, apabila pucuk pimpinan dan ahli parti Umno sendiri macam anjing dengan kucing, objektif perjuangan ke sasaran sekali gus membuka peluang kepada pembangkang untuk menunjukkan taring.

Umno sudah lari dari landasan asal. Kita yang dahulunya hero demokrasi, kini menjadi pembunuh demokrasi. Barisan kepimpinan yang dahulunya lantang menyuarakan pandangan akar umbi kini diam seribu bahasa menjadi boneka sang pemimpin utama.

Pemimpin-pemimpin Umno makin bongkak, sombong dan mementingkan diri sendiri. Presiden parti pula rela memekakkan telinga membutakan hati dan hidup di alam fantasi ciptaan sendiri walhal parti sedang derita. Umno rosak, ahli-ahli parti di akar umbi terluka hatinya. Sejarah membuktikan kedegilan pemimpin tidak mendatangkan kebaikan malah mengundang kekalahan.

Itulah yang berlaku di Terengganu pada tahun 1999. Kini kita sudah tidak bisa bersuara dalam Umno, hanya mereka yang bersependapat dengan presiden mempunyai imuniti untuk mencaci orang lain tidak sekapal.

Umno juga berada di takuk kritikal kekontangan pemimpin dan pelapis yang berwibawa. Pada masa lampau, kita bukan sahaja menghafal nama-nama menteri kabinet, malah kita dapat melihat hasil kerja serta sumbangan mereka.

Kita naik bangga dan teruja dengan idea-idea bernas yang dibentangkan mereka untuk kecemerlangan masa depan tanah air bertuah ini. Namun kini, kita sendiri hampir tidak kenal barisan menteri Kabinet. Sudahkan nama tidak dikenali, apatah lagi program pembangunan yang direncanakan oleh mereka tentunya ibarat jauh panggang dari api.

Lewat media sosial, mereka menjadi bahan lelucon masyarakat. Barangkali, rasa hormat terhadap pemimpin dalam kalangan rakyat yang semakin pudar berpunca daripada pucuk pimpinan Umno sendiri.

Mana tidaknya, sedangkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Nazri Aziz sendiri di barisan hadapan kepimpinan Umno lantang menghina Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Teladan buruk seumpama inilah yang dipamerkan kepada ahli parti lainnya dan juga kepada rakyat keseluruhannya. Mereka inilah yang bertindak seperti duri dalam daging yang secara perlahan-lahan melemahkan kepercayaan dan rasa hormat orang ramai terhadap Umno. Mereka kadang-kadang lupa di mana letak duduk mereka.

Umno sedang diserang penyakit biadab yang sangat kronik, bersikap biadab dibolehkan dalam Umno demi melindungi dan mempertahankan individu-individu yang berkuasa. Kemelut politik yang melanda Kedah dan Terengganu membuktikan yang penyakit ini meresap ke seluruh urat-urat dan organ dalaman parti.

Pimpinan dan ahli parti di peringkat negeri hebat mengkritik, menghina, mengeji dan langsung tidak menghormati bekas pemimpin mereka, seolah-olah kedua-dua menteri besar ini langsung tidak pernah berjasa.

Bagaimana golongan muda hendak tertarik pada Umno, sedangkan pemimpin-pemimpin senior yang banyak menabur budi pun boleh diperlakukan sebegitu inikan pula orang-orang muda yang baru mahu berjinak-jinak dalam politik, tidak hairan lah mengapa mereka sentiasa menjauhkan diri daripada Umno.

Harus diakui, golongan muda khususnya hilang semangat patriotisme terhadap negara dan juga Umno.
Menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu memerdekakan tanah air daripada penjajah tidak boleh lagi dijadikan modal untuk menarik minat dan kesetiaan mereka kepada parti kerana mereka pun membutakan mata dan menulikan telinga daripada fakta sejarah.

Mereka lebih berminat untuk mendengar idea dan pelan-pelan progresif. Perjuangan Umno seolah-olah tidak memberi apa-apa erti kepada mereka. Hal ini berbalik pada peranan yang dimainkan oleh sayap Pemuda dan Puteri yang mewakili generasi muda.

Mereka yang sewajarnya lebih dinamik, terkehadapan dan sarat dengan idea-idea baru yang segar tidak memancarkan keupayaan ke tahap optimum. Kini Pemuda dan Puteri tampak mudah dijinakkan dan dilembutkan oleh pucuk pimpinan parti. Mereka juga tidak ubah seperti lalang yang tiada pendirian – ke kiri dan ke kanan – selari dengan tiupan kata-kata pucuk pimpinan.

Sebagai golongan muda, Pemuda dan Puteri perlu lebih progresif dan pragmatik. Mereka perlu melihat sesuatu perkara dari sudut pandang beliawan dan beliawanis. Jika ada yang tidak kena, perkara itu mesti diperbetulkan.

Dengan cara itu, barulah demokrasi akan terbela dan menyubur. Bumi yang mana tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora, Pemuda dan Puteri perlu menjadi kumpulan pendesak dari dalam parti dan bukan hanya jadi hero di luar parti.

Saya melihat terlalu banyak racun perosak yang merencatkan pertumbuhan demokrasi di dalam Umno. Jika persaingan sesama ahli parti tidak dibendung, ia akan lebih kucar kacir sekali gus membawa kepada kemusnahan parti.

Tsunami perubahan dalam landskap politik Malaysia pasti berlaku dan sekiranya Umno tumpas dalam pilihan raya akan datang, adalah sukar untuk mendapatkan kembali tampuk pemerintahan negara. Pucuk pimpinan harus sedar akan perkara ini, dan mestilah bertindak dengan segera. Kita tidak boleh lagi melindungi pemimpin yang ternyata menjadi bebanan buat parti.

Kembalikanlah demokrasi dalam Umno, dengarlah rintihan dan pandangan akar umbi, mengalah bukan bererti kalah. Bantulah kami wahai presiden parti demi parti keramat ini. Berkorbanlah demi parti keramat ini. Jadilah pemimpin yang berjiwa besar untuk menyelamatkan parti keramat ini.

Ambilah masa berehat selepas jauh berjalan selama 40 tahun. Ingatlah rakyat tidak lagi menganggap Umno sebagai parti ideal atau "supreme" seperti mana dikecapi selama ini.

Sebelum rakyat "bersuara" menerusi kertas-kertas undi mereka...

* Penulis adalah bekas timbalan presiden Umno London.


DAP sambut ulang tahun ke-50 Jumaat ini dengan dialog awam, diskusi idea

Posted: 14 Mar 2016 01:15 AM PDT

pc forum

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Sempena menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya, DAP akan menganjurkan beberapa acara termasuk forum awam bertujuan untuk berkongsi pendapat dan meraikan idea dalam usaha membawa Malaysia ke arah masa depan lebih baik.

Pada Jumaat malam ini, forum awam bertajuk "Pendemokrasian ekonomi: Respons dari Muslim Demokrat dan Sosial Demokrat" akan menampilkan dialog di antara ahli ekonomi politik Jerman, Thomas Mayer, dan ahli akademik merangkap Ahli Parlimen Mesir dalam buangan, Dr. Abdul Mawgoud Dardery.

Forum itu akan diadakan di Plaza 1, Parkroyal Hotel, Kuala Lumpur apda 18 Mac jam 8 malam.

Walaupun masuk percuma, mereka yang berminat hadir perlu mendaftar dahulu (klik sini untuk mendaftar)
Pengerusi Jawatankuasa Kerja DAP@50 Kebangsaan, Liew Chin Tong, berkata program itu amat penting memandangkan negara memerlukan wacana lebih rasional bagi menangani "serangan" agenda ekstremis pada era ketidakstabilan ekonomi dan politik hari ini.

"DAP mempunyai visi untuk berada di barisan hadapan dalam mencambah budaya diskusi dan dialog di kalangan masyarakat, terutama berkenaan idea yang membincangkan ekonomi dan isu semasa.

"Malah, ia merupakan aspirasi DAP untuk menjadi sebuah parti dengan idea dan cita-cita pada waktu krisis sebegini," katanya pada sidang media Sambutan DAP@50 di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja DAP@50 Wilayah Persekutuan, Wan Hamidi Hamid, pula berpendapat, sambutan ulang tahun itu penting bukan saja untuk mengimbas sejarah penubuhan parti tetapi juga meningkatkan usaha DAP sebagai parti rakyat Malaysia untuk 50 tahun akan datang.

"Selain mengingati sejarah sepanjang 50 tahun lalu, DAP perlu bersiap sedia menghadapi tempoh 50 tahun yang akan datang.

"Namun, kami tidak akan membuat sambutan besar-besaran pada tarikh penubuhan parti 18 Mac atau sepanjang bulan ini kerana menumpu seluruh tenaga dan usaha bagi menghadapi pilihanraya negeri Sarawak yang bakal tiba. Mungkin selepas PRN Sarawak, lebih banyak acara akan diadakan," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja DAP@50 Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof, menyeru anak muda, terutama yang berminat dengan diskusi untuk hadir ke forum itu dan bersama-sama meraikan kepelbagaian idea.

"DAP bukan hanya sebuah parti yang terlibat dalam kerja lapangan, tetapi turut memandang idea sebagai aspek penting dalam membangunkan Malaysia dari sudut politik, ekonomi dan sosial," katanya.

Selain forum awam, DAP turut menyambut ulangtahun penubuhannya bersama pemimpin akar umbi dari seluruh negara di ibu pejabat DAP Pulau Pinang di Rangoon Road pada sabtu 19 MAc ini pada jam 11 pagi.

Parti itu berharap rakyat prihatin dapat hadir dan bersama-sama memeriahkan pelbagai program yang dianjurkan tersebut. – Roketkini.com


Finas, jangan bunuh pembikin filem dari 'Kelate' - Persatuan Anak Kelantan

Posted: 14 Mar 2016 01:12 AM PDT

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
 
Finas, jangan bunuh pembikin filem dari 'Kelate' - Persatuan Anak Kelantan
PERSATUAN ANAK KELANTAN: Finas, jangan bunuh pembikin filem dari 'Kelate' - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Pengumuman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk menggubal semula syarat Skim Wajib Tayang merisaukan semua pembikin filem tempatan terutama mereka yang masih baru dalam industri berkenaan.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan dan Aduan, Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, kerisauan itu turut menakutkan pembikin filem prolifik dan indie yang masih bertatih untuk menerbitkan filem sendiri.

"Kejayaan kebanyakan karya bukan forte pembikin filem di negara ini bergantung pada nasib dan peluang yang ada. Bagi mengelak rungutan terus dikitar semula, Finas perlu berfikir di luar kotak.

"Mereka perlu mengurangkan aktiviti yang menelan belanja besar seperti budaya melancong ke pasar filem dan pulang tanpa ole-ole. Penganjuran konferen atau forum yang tepu juga ibarat usaha yang semakin tawar.

"Bagi pembikin filem tempatan, sokongan yang paling penting ialah cara pemasaran dan promosi. Skim Wajib Tayang tidak sepenting Skim Wajib Promosi. Kepakaran ini yang pembikin tiada," katanya semasa menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Wan Syahrul Amry berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman yang berkata penggubalan syarat Skim Wajib Tayang itu bertujuan menjaga kualiti filem dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Skim Wajib Tayang diperkenalkan untuk mempertimbangkan mana-mana filem tempatan untuk ditayangkan secara wajib di pawagam oleh pempamer.

Dalam pada itu tegas Wan Syahrul Amry, pembuat filem memerlukan sebuah organisasi untuk membantu mereka memasarkan produk ke tahap tertinggi.

"Billboard, LED dan pemasaran atas talian mampu mengalih tugas Skim Wajib Tayang. Panggung juga kini tidak lagi rasa terpaksa. Jika dengan strategi pemasaran yang standard, produk masih lagi tidak boleh dijual, maka itu salah pembikin produk.

"Ini adalah peluang untuk industri menapis dalam mencari kualiti dan bukan kuantiti. Isu ini lebih terkesan buat pembikin filem terutama yang berasal dari Kelantan, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Mereka berhijrah dari negeri untuk mencari rezeki di peringkat persekutuan.

"Berdepan dengan penafian karya mereka di peringkat negeri, karya karya besar seperti Jogho, Wayang, Bunohan dan seumpanya seperti di anak tirikan di negeri kelahiran sendiri," jelasnya.

Katanya lagi, anak Kelantan yang berkarya dan meminati karya tempatan kini ibarat hilang arah untuk dituju.

"Era internet, busking dan gerai makan lebih menzahirkan gejala sosial jika itu menjadi alasan tiadanya panggung wayang di negeri Kelantan. Jangan salahkan pengusaha pawagam perusahaan sendirian berhad kerana mereka memiliki pemikiran mencari keuntungan dan etika syarikat mereka yang tersendiri.

"Tetapi kerajaan memiliki perbadanan untuk 'ditepuk' dan selera rakyat sudah lama terbuka secara tidak tentu hala. Kenapa tidak diwujudkan panggung wayang komuniti. Ikut sahaja peraturan kerajaan negeri jika ianya memberi kebaikan, sebagai contoh tempat duduk mengikut jantina atau sebagainya.
"Hendak seribu daya, apatah filem sering dikata alat yang mampu mendoktrinkan minda rakyat agar menjadi lebih kreatif dan baik. Kurangkan kontroversi atau analisa yang sia-sia," ujarnya.

Tegasnya lagi, Finas harus melakukan percubaan berbanding sesi perbincangan yang lebih bermotif viral berbanding penyelesaian.

"Sebagai badan yang bertanggungjawab dan didana dengan baik, apa salahnya terus lakukan percubaan berbanding sesi 'townhall' yang hanya mengharapkan hashtag lebih viral dari solusi. Bantu pembikin dengan ikhlas, jangan nafikan hak anak anak kelahiran Kelantan," jelasnya.

Kamil sebelum ini dilaporkan, pihaknya akan melantik dua jawatankuasa menapis filem membabitkan jawatankuasa pertama dianggotai pakar filem daripada Finas, Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM). 
 
 

54,000 Lepaskan Kerakyatan Sejak 2010 - Ahmad Zahid

Posted: 14 Mar 2016 01:08 AM PDT

 
 
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
 
 
KUALA LUMPUR: Seramai 54,000 warganegara Malaysia telah melepaskan status kerakyatan mereka sejak 2010, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada tahun ini sahaja, Ahmad Zahid berkata seramai 1,102 rakyat Malaysia telah memilih untuk keluar daripada kewarganegaraan mereka, dengan jumlah sehingga 367 orang sebulan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Mohamed Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) pada Isnin.

Menurut statistik kementerian, 8,076 rakyat Malaysia telah melepaskan kerakyatan mereka tahun lepas.

Pada tahun 2014, seramai 7,843 rakyat Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada negara ini, 6,678 pada tahun 2013, 11,080 pada 2011 dan 10, 644 pada 2010.

Tahun lalu, seramai 2,200 rakyat Malaysia juga telah mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka apabila mereka melepaskan kewarganegaraan dan meninggalkan negara ini, menyebabkan aliran wang keluar sejumlah RM154.6 juta.

Terdapat kira-kira satu juta orang yang lahir di Malaysia tetapi menetap di luar negara sebagai ekspatriat, penduduk tetap atau sebagai rakyat di negara-negara baharu merek

Azmin Nafi PKR Sedia Kerjasama Dengan Najib

Posted: 14 Mar 2016 01:06 AM PDT

Oleh: D. KANYAKUMARI
 
 
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah menyatakan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama dengan perdana menteri, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Bercakap kepada pemberita di Parlimen pada Isnin, timbalan presiden parti itu berkata beliau telah meminta penjelasan daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai isu itu.

"Saya minta penjelasan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah hari ini, apa yang dikatakan semalam ialah Keadilan bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa yang komited untuk melakukan perubahan.

"Tiada nama yang dinyatakan," katanya tegas.

Apabila wartawan cuba untuk menjelaskan kenyataan itu dengan Dr Wan Azizah, beliau enggan mengulas lanjut dan berlalu pergi.

Pada Ahad, Dr Wan Azizah berkata, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan perdana menteri untuk menyelamatkan Malaysia tetapi diengan syarat-syarat tertentu.

"Kami tidak boleh bekerjasama jika berbuat perkara yang akan membawa kerugian kepada negara dan rakyat malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu seminar mengenai pemerkasaan wanita.
 
 

Kerjasama Dengan Tun M Sukar, Tapi Perlu - Guan Eng

Posted: 14 Mar 2016 01:03 AM PDT

Oleh: D. KANYAKUMARI
 
 
Lim Guan Eng
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata adalah sesuatu yang sukar untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tindakan itu perlu dilakukan.

Bekas perdana menteri itu, bersama dengan kira-kira 50 ahli politik dan aktivis dari kedua-dua belah jurang politik telah menandatangani 'Deklarasi Rakyat' untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.

Bercakap pada sidang media di Parlimen di sini pada Isnin, Guan Eng berkata semua orang perlu mengenepikan masalah peribadi demi kepentingan negara.

"Saya fikir kita bersetuju mengenai deklarasi 'Selamatkan Malaysia'. Jika anda ingin bercakap tentang perasaan peribadi dan penderitaan peribadi kita, saya fikir kisah itu tidak akan bermula.

"Jadi adakah kita lebih besar daripada negara kita? Saya rasa itu adalah soalan yang kita mesti tanya. Jika kita rasa kita lebih besar daripada negara kita, maka tiada apa yang akan berlaku," kata Guang Eng.

Beliau berkata rakyat perlu membincangkan masa depan Malaysia dan bergerak ke hadapan.

"Jika anda berpegang kepada status quo, ringgit dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan terus menyebabkan penderitaan kepada ramai orang.

"Jadi 'Selamatkan Malaysia' perlu diberi perhatian serius," katanya.

Ditanya sama ada terdapat beberapa bentuk kepercayaan antara penandatangan deklarasi itu, Guan Eng berkata ia bukan tentang kepercayaan.

"Kita bercakap mengenai naratif cerita ini terlebih dahulu sebelum kita bercakap mengenai kepercayaan.

"Kami bermula atas dasar ini dulu. Kepercayaan mengambil masa untuk dibina. Kami tidak akan mengatakan bahawa tidak ada masalah timbul," katanya.
 
 

Sukarelawan festival SXSW suruh atlet Islam buka hijab, penganjur mohon maaf

Posted: 14 Mar 2016 12:58 AM PDT

Syafique Shuib, Astro Awan
 
Sukarelawan festival SXSW suruh atlet Islam buka hijab, penganjur mohon maaf
Atlet lawan pedang Ibtihaj Muhammad merupakan atlet pertama dari pasukan Olimpik AS yang memakai hijab. -AP PHOTO
 
 
KEMERIAHAN festival popular South by Southwest (SXSW) di Texas tercalar setelah seorang sukarelawan menyuruh seorang atlet Amerika Syarikat (AS) yang beragama Islam membuka hijab.

Lapor The Huffington Post, kejadian berlaku ketika seorang sukarelawan yang menjaga pendaftaran masuk menyuruh Ibtihaj Muhammad, seorang atlet lawan pedang, membuka hijab untuk merakam gambar bagi proses pendaftaran.

Ibtihaj merupakan atlet pertama dari pasukan Olimpik AS yang memakai hijab.

"Setelah menjelaskan saya tidak boleh buka hijab atas tuntutan agama, beliau mahu saya terus membuka hijab untuk menerima kad pendaftaran saya," jelas Ibtihaj di Twitter.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata beliau terima kad dengan nama dan organisasi yang salah.

Penganjur SXSW memohon maaf atas insiden berkenaan.

"Ia bukan dasar kami untuk menyuruh orang membuka hijab untuk mendapatkan lencana SXSW.
"Salah satu sukarelawan telah membuat permintaan yang tidak sensitif dan orang itu tidak dibenarkan untuk meneruskan tugasan beliau sepanjang tempoh acara itu," kata penganjur dalam satu kenyataan.

SXSW merupakan festival tahunan yang memberi fokus kepada muzik, filem dan teknologi dan sering dilihat sebagai acara yang progresif. 

Sarawak akan adakan penerbangan terus Hong Kong-Sibu - Adenan Satem

Posted: 14 Mar 2016 12:55 AM PDT

BERNAMA


Sarawak akan adakan penerbangan terus Hong Kong-Sibu - Adenan Satem
Penerbangan terus dua kali seminggu Hong Kong-Kuching-Hong Kong pula dijangka bermula April ini. - Gambar fail
 

SIBU: Kementerian Pelancongan Sarawak akan berusaha mengadakan penerbangan terus dari Hong Kong ke Sibu tidak lama lagi untuk meningkatkan jumlah pelancong ke bahagian tengah negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata usaha berkenaan dapat direalisasikan setelah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Hong Kong Airlines, awal tahun ini.

Katanya, penerbangan terus dua kali seminggu Hong Kong-Kuching-Hong Kong pula dijangka bermula April ini.

"Ini adalah sejajar dengan polisi langit terbuka Sarawak yang mempelawa mana-mana syarikat penerbangan mengadakan penerbangan terus ke negeri ini," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada pelancaran Tahun Melawat Sibu 2017 di Dataran Sibu di sini, malam tadi.

Menurutnya, Sibu merupakan pintu masuk utama ke kawasan tengah Sarawak yang mempunyai kawasan pedalaman luas dan pelbagai tarikan pelancongan.

"Sibu mempunyai kawasan pedalaman luas merangkumi bahagian Kapit, Sarikei dan Mukah yang merupakan sebahagian daripada potensi pelancongan yang belum diterokai dan dibangunkan sepenuhnya.
"Kawasan tengah Sarawak ini kaya dengan kebudayaan, alam semulajadi, pengembaraan, warisan dan sejarah," katanya.

Adenan turut mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada Jawatankuasa Tahun Melawat Sibu 2017.

Dalam pada itu, Adnan berkata sektor pelancongan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negeri dengan perolehan kira-kira RM9 bilion melalui kemasukan 4.5 juta pelancong pada 2015.

Katanya, jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 13 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar Sarawak tahun lepas.
"Selain menyumbang kepada KDNK negeri ini, sektor pelancongan juga menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak," katanya.

Hudud: Sebat penzina dan peminum arak di khalayak umum

Posted: 14 Mar 2016 12:51 AM PDT

Astro Awani
 
Hudud: Sebat penzina dan peminum arak di khalayak umum
HASSAN: Kerajaan negeri perlu buat cadangan jika tidak bercanggah dengan undang-undang Persekutuan dan Perlembagaan. - Gambar hiasan
 
 
KOTA BHARU: Untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan, usaha ke arah itu perlu dipraktikkan dengan hukuman sebat ke atas pesalah zina dan peminum arak.

Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mahmud, berpandangan hukuman tersebut sewajarnya dilaksanakan di khalayak umum termasuk di masjid atau tempat awam.

Sebelum ini mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan 2002, mengikut Seksyen 125 memperuntukan hukuman enam sebatan rotan ke atas kesalahan zina dan peminum arak di dalam penjara.

Menurut Hassan, pelaksanaan hukum hudud perlu diperkembangkan lagi sekiranya tidak bercanggah dengan perlembagaan negeri itu.

"Undang-undang (sebat) itu sudah ada kepada zina jika cukup syarat, cuma kita minta kerajaan negeri buat cadangan jika tidak bercanggah dengan undang-undang Persekutuan dan Perlembagaan.

"Bawa (pesalah) keluar, sekarang ini buat di penjara. Tujuannya adalah supaya orang yang tengok (pelaksanaaan hukum sebat) ini berasa ngeri dan takut. Setakat mampu kita minta buat di luar penjara," ujar Hassan.

Hassan menjelaskan, hukuman sebat yang dikenakan ke atas pesalah zina dan minum arak yang dilakukan di dalam penjara sewajarnya dilaksanakan di khalayak umum.
Tambahnya, pelaksanaan tersebut dilakukan di khalayak umum untuk memberi kesedaran menjalankan hukum Allah kepada orang Islam dan bukan terhadap orang bukan Islam.

Katanya, walaupun hudud belum lagi terlaksana, namum kerajaan negeri perlu berusaha untuk mempraktikkan hukuman seumpama itu mengikut bidang kuasa Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan yang turut memperuntukkan hukuman sebat ke atas kesalahan tersebut. 
 
 

'TMI tidak untung, kami rugi RM10 juta' - Kumpulan Media The Edge

Posted: 14 Mar 2016 12:50 AM PDT

Astro Awani
 
'TMI tidak untung, kami rugi RM10 juta' - Kumpulan Media The Edge
Ho berkata syarikat itu menanggung kerugian kira-kira RM10 juta sejak mengambil alih pemilikan TMI. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Walaupun tersenarai dalam tiga portal berita paling tinggi dilawati di Malaysia, The Malaysian Insider (TMI) sebenarnya sukar untuk melepasi garis keuntungan.

Kumpulan Media The Edge selama ini menanggung kerugian kira-kitra RM10 juta sejak ia membeli pemilikan TMI pada Jun 2014.

Di bawah ini merupakan kenyataan penuh pengarah kumpulan, Ho Kay Tat, yang menjelaskan mengenai pemberhentian operasi portal tersebut:

"Adalah dengan dukacita dimaklumkan, Kumpulan Media The Edge mengumumkan bahawa kami telah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi portal berita The Malaysian Insider (TMI) berkuatkuasa serta-merta.

Walaupun hakikatnya TMI merupakan salah satu daripada tiga portal berita yang paling tinggi menerima kunjungan trafik di Malaysia kerana laporan berita yang berani, ia tidak menerima sokongan komersial yang cukup untuk terus beroperasi.

Kumpulan Media The Edge telah mengalami kerugian kira-kira RM10 juta dalam tempoh 20 bulan sejak kami mengambil alih pemilikan TMI pada Jun 2014 dan kami tidak lagi dalam situasi yang membolehkan ia diteruskan.

Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, kami telah didatangi oleh tiga pihak luar (kesemuanya memiliki perniagaan media) yang berminat untuk mengambil alih TMI, setelah kami mengumumkan hasrat untuk melepaskannya sebagai usaha penstrukturan semula Kumpulan Media The Edge.

Terdapat juga tawaran pembelian pengurusan (management buy-out - MBO).

Namun malangnya, kami tidak menemui persetujuan dengan mana-mana pihak luar itu termasuk MBO. Kami percaya masalah terkini yang dihadapi TMI dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menambahkan kesulitan untuk memuktamadkan urusan penjualan yang telah berlangsung sebelum itu.

Kami akan melepaskan kesemua 59 pekerja TMI dan mereka akan menerima pakej pemisahan seperti yang ditetapkan dalam undang-undang.

Penutupan TMI harus menjadi peringatan indistri media dan khalayak umum amnya, bahawa kewartawanan yang baik tidak boleh diteruskan tanpa sokongan komersial.  Dan apabila kewartawanan baik terhenti, masyarakatlah yang rugi."
Ho Kay Tat


Terdahulu, berita mengenai TMI yang bakal menghentikan operasi bermula tengah malam ini telah dilaporkan.

Pengumuman itu telah dibuat oleh pengarangnya, Jahabar Sadiq, melalui kenyataan yang disiarkan di portal berita berkenaan. 
 
 

Tiada ulasan: