Sabtu, 12 Mac 2016

.

.


Sebak di Genting terharu di Banda Dalam Jalan Gombak

Posted: 11 Mar 2016 07:41 PM PST

CAJALAN 

Setelah lama tidak menghadiri apa-apa upacara kesenian dan sastera, malam tadi saya terheret ke Madrasah Seni di Kampung Banda Dalam, Jalan Gombak oleh seorang kawan, ke majlis baca sajak. Kawan itu entah tiba-tiba teringatkan saya, mengajak untuk ke upacara itu. Majlis baca sajak itu anjuran Paksi sebuah kumpulan penyair pemberontak yang gigih?

Salah satu kawasan pembinaan di Genting.
Sebenarnya kawan itu mahu saya tunjukkan jalan ke tempat upacara itu. Tetapi dijadikan alasan untuk bertanya khabar tentang saya, itu hanya basa basi dan alasan saja.

Walaupun keletihan, kerana dari pagi seusai Subuh sudah turun dari rumah ke HUKM, meneruskan rutin hidup terkini, dan telah melakukan "macam-amcam" diheret kawan, saya layan juga kawan ini. Lagi pun agak lama kami tidak berjumpa. Sejak mendapat projek kurniaan Zahid Hamidi, beliau agak sibuk sikit, dan banyak berada di tapak projek dari di rumahnya di Damansara.


Saya senang dengannya kerana boleh maki hamun "caw-caw", dia tak marah dan tidak mengambil hati. Kami kenal lama dan memahami antara satu sama lain. Itulah juga rahsia kenapa persahabatan kami tidak putus, dan bersambung walaupun tidak selalu berjumpa seperti yang lain.

Dan dia pula akan mencari saya bila ada perlu, perlu baginya. Saya pernah menggelarkan dia ini sebagai pembawa karung guni. Dia akan masukkan kita dalam karung guni dan dijual murah untuk kepentingannya. Jangan marah sahabat...

Jadi bila bertemua malam tadi banyaklah basa basi dan ceritanya termasuk hal-hal agak personal mengenai Najib Razak dan Rosmah Mansor yang diketahuinya. Kawan saya ini suatu masa dulu pendokong Najib tetapi hari ini sudah bernada lain sedikit mungkin kerana mengkeramatkan Jawa Bagan Datuh untuk jadi PM.

Katanya dia minta maaf kerana tidak mengetahui keadaan saya sebenarnya. Dia ingat saya sakit biasa, bergeliwat dengan penyakit asas gaout. Pelik juga, dan di sinilah saya rasakan dia berbohong. Masakan tidak mengetahui hal diri saya kalau dia tidak pernah lekang dengan blog saya. Blog dan media sosial saya adalah cermin kehidupan saya, setiap saat. Dan saya tidak suka menjual penyakit untuk meraih simpati. Yang indah dikongsi ialah kegembiraan, keseronokan bukan penderitaan.

Masa kawan itu tiba di rumah, azan Isyak berkumandang. Dia ke bilik air dan mengerjakan solat Isyak. Sudah acap kawan ini kalau ke rumah saya dia akan solat, dan berlainan dengan sesetengah rakan lain yang nampak liat untuk solat dan sengaja mencari alasan untuk tidak bersolat di rumah saya atau pun mengakui solat jamak takhir dan sebagainya. Atau mungkin juga mereka solat "daim" solat sepanjang hayat.

Nadhilah dengan gaya tersendiri
sedang mendeklamasi sajak Dinsman.
Mereka yang melakukan solat daim tidak begitu gemar kepada solat jemaah kerana solat jemaah menunjukkan keriakan. Mereka yang sengaja solat untuk menunjuk-nunjuk yang ia solat adalah batal. Solat untuk tujuan menunjuk-nunjuk tidak mempunyai pahala?

Jika ikut rasa saya tidak perlu layan kawan ini kerana saya keletihan seperti saya sebut tadi dari lepas Subuh sampai tengahari tidak ada rileks. Sedang kalau ikut nasihat doktor saya memerlukan rileks yang banyak dan tidak berada di ruang terbuka bimbang dihinggapi penyakit bawaan. Dan bagi saya pula rileks adalah memanjakan diri yang boleh menyebabkan kita terdodoi dengan masalah diri. Rileks sebegitu merupakan satu penyakit. Huh....

Yassinsalleh turut mendeklamasi sajak gilanya.
Fikir sebelum Jumaat hendak rileks dan tidur sekejap. Namun ia tidak kesampaian apabila tiba-tiba pula dua orang rakan, telefon mengajak makan tengah hari. Mulut pula terliur untuk makan kepala ikan aya singgan, jadi tanpa "heh" saya menerima pelawaanya. Destinasi pertama ke sekitar kawasan rumah, kemudian merangkak ke Seri Gombak. Di Seri Gombak memang ada sebuah warung menyediakan ikan singgan.


Trio ini membaca sajak karya Saari Sungip.
Manusia merancang, Tuhan akan mentakdirkan. Niat dan haluan terubah bila sampai di Seri Gombak, si kawan itu sebut pula Genting Hightland. Kerana stereng ditangannya, minyak dan brek juga di kakinya, dipandu kereta menghala ke Genting. Untuk menantang apa, ini hari Jumaat? Fikir saya. Rupanya di pertengahan jalan ke Genting ada R n R private (yang kebanyakan pelanggan pemandu lori triler) menyediakan  nasi berlauk ikan aya, rasa dan citarasanya boleh tahan. Habis sebungkus. Dan rupanya di atas puncak Tititwangsa itu juga ada masjid.

Di Genting, pusat perjudian dan pelancongan? Sebenarnya inilah tempat yang tidak menjadi minat saya. Sepanjang hidup baru dua kali saya naik ke tanah tinggi ini yang kini sedang diolah menjadi pinggir syurga. Kali pertama ialah pada tahun 1986 itupun dibawa secara tidak sengaja oleh seorang kawan. Dan kali kedua atau ketiga semalam, dibawa secara tidak sengaja dan disengaja oleh dua orang kawan, yang suka mengheret.

Saya tidak berminat ke Genting bukan apa, suasannya tidak aman dan kondusif buat saya. Walhal jika hendak dikira tempat itu adalah baik untuk terapi diri dan menenangkan otak selepas kepenatan atau bila dituba keserabutan. Udara di sana sejuk,  pemandangan indah ceria boleh menyegarkan jiwa. Saya teringat seorang pengarah dan producer filem sebaik menerima bayaran membawa anak dan isterinya bermalam di Genting untuk beberapa malam, kemudian turun bila poket kering. Bukan apa kerana untuk menikmati keindahan panoramanya.

Tetapi tidak begitu dengan saya. Hati akan sakit apabila melihat pembangunan di sekitarnya. Perasaan diri menyebabkan demikian. Terasa sedih kerana apa yang berlaku ia tidak memberi apa-apa makna bagi kehidupan dan perjuangan saya. Hati saya dielus sebak sepanjang berada di atasnya dan melihat kepesatan pembangunan yang bagaikan hala litar sedang dilaksanakan. Pembangunan dan segala bunyi engin semacam mencabar dan mengejek saya.

Sepanjang berada di atas sana saya tidak habis-habis mengeluh dan menyebut; sebuah negara lain suku sakat. Genting bukan lagi berwajah Malaysia. Pembangunan yang sedang dilakarinya bakal membentuk ia satu wilayah baharu yang asing bagi waga negara ini. Wilayah yang tidak ada kena mengena dengan bangsa dan menjadi milik antarabangsa. Hari ini pun, semalam saya tengok, yang berada di puncak adalah orang-orang asing. Kalau ada orang tempatan hanya jaga, pengawal parking, pelayan cafe itu pun berebut dengan Bangda dan Myanmar.

Yang jelas orang Melayu ialah anak-anak muda yang naik ke puncak itu dengan bas atau motor kapcai membawa anak kecil atau pun pasangan untuk berselfie bagi dimuatkan dalam media sosial. Mengambil latar belakang puncak itu yang nyaman, indah sebagai kenangan-kenangan tanpa menyedari hakikat segala pembangunan dan tanah itu hak siapa?

Pembangunan pesat berjalan siang malam bagaikan hala lintar. Begitulah yang saya dapat sifatkan apa yang berlaku di sepanjang jalan menuju ke puncak Genting itu. Kiri kanan penuh dengan jentera pembinaan. Rupanya pada masa ini pusat peranginan Genting diperbesarkan dengan beberapa projek baharu, ini termasulah memperbesarkan taman tema Genting yang sudah berusia 30 tahun.

Taman tema lama akan diganti dengan taman teman baharu, apabila Resort World Genting telah berkerjasama dengan Twentieth Century Genting bagi mengembangkan pusat itu dengan menelan kos sebanyak RM3 billion.

Selaras perkembangan itu juga pembesaran dengan menambahkan bilik hotel dan penyediaan pelbagai ruang kegiatan lain.

Menurut pihak pemilik pusat berkenaan, dengan pengubahan atau perwujudan taman tema baharu serta terdapat pelbagai aktviti lain pusat itu dijangka akan menerima lebih 30 juta pelancung setahun. Kepesatan pengunjung ke Genting itu sudah tentu ia dirangsang oleh tindakan kerajaan mengadakan promosi pelancongan dan ini termasuklah memansuhkan visa kepada warga Cina.

Ternyata kepesatan pembangunan di Genting mengatasi pembangunan dibandar-bandar lain di negeri Pahang ini termasuk bandaran kediman Perdana Menteri sendiri di Pekan, Kuatan atau pun Pusat Bandar Jengka yang dihuni seratus peratus Melayu.

Sebahagian warga Madrasah Seni yang hadir.
Menginsaf pembangunan di Genting itu tidak banyak memberi manfaat dan keuntungan kepada anak negeri, khas Melayu ia menyesalkan. Inilah menyebabkan saya sebak dan terharu berada di puncak itu dan ia seolah-olah semuanya suatu kepalsuan.

Timbul juga pertanyaan di kepala saya untuk apa dan tujuan apa segala projek itu? Kerajaan Pahang khasnya apakah keperluan dalam konteks bangsa Melayu dan kelestarian alam dan agama, maka membenarkan puncak istimewa itu dibangunkan demikian rupa? Tidakkah ia kontras dengan laungan para pendokong dan pentaksub Umno yang bumi ini kita (Mlayu) yang punya tetapi hakikatnya ia dikuasai oleh orang lain?

Kita bersikap double standrad, satu masa kita memperjuangkan hak peribumi, satu masa kita memperdagangkan aset peribumi? Kita memperjuangkan kesucian agama Islam, tetapi satu masa membuka pintu seluas-luasnya untuk diterobosi kemungkaran.

Selepas menghirup secawan kopi di sebuah cafee saya dan kawan turun dari puncak indah yang bakal membawa celaka suatu hari itu. Sepanjang perjalanan pulang saya tidak habis menyebut dan mengucap, negara lain suku sakat sambil perasaan malu dan hina menimpa ke dalam diri. Dan di sudut hati saya bertanya dan menyoal apakah ertinya kita mengakui dan mendabit dada bumi ini kita yang punya tetapi segala pembangunannya hanya dapat dijamah mata sahaja. Pembangunan hebat dan pesat itu bukan untuk dimiliki tetapi hanya dijadikan back ground untuk berselfie sahaja.

Laman Madrasah Seni

Di laman Madrasah Seni Banda Dalam, ketika saya dan kawan itu sampai khalayaknya tidak berapa ramai. Jumlahnya sama dengan majlis-majlis sebelum ini, sekitar 50 hingga 70 orang. Tetapi warga madrasah itu, anak-anak seni gelandangan, (maaf) tidak mempedulikan. Mereka tidak memerlukan kepada keriuhan dan ribuan orang datang ke negara mereka, cukup semasa mereka sahaja. Mereka bukan egosi macam orang politik menanti khalayak ribuan baharu bersemangat bersyarah.

Saya tabik banyak kali kepada kegigihan warga madrasah ini kerana istiqamah dan komited dengan kegiatan mereka, khususnya kepada Dinsman, Kassim Muhamad dan Mohamed Nasser Mohamed. Mereka tidak peduli kepada dunia lain yang dianggap sudah bergerak maju, namun apa yang penting mereka dapat melempiasi perasaan dan rasa geram mereka menerusi sajak terhadap ketidak-adilan dan kebobrokan.

Malam tadi, tema baca sajak ialah Politik Gila. Rata-rata sajak yang dijeritkan, adalah sajak memperkatakan kebencian kepada politik yang semakin gila mabuk. Kemarahan warga madrasah ini kepada amalan politik Malaysia yang dianggap gila ini terserlah dalam beberapa buah sajak, antaranya sajak Dinsman berjudul "Gila Gila Apakah Ini" yang dideklamasikan oleh Nadhilah Suhaimi yang saya kira sangat berkesan.

Lain-lain yang hadir dan turut membaca sajak "gila" masing-masing ialah Yassin Salleh, Shukur Harun dan lain-lain. Turut sama kelihatan ialah "perajin sastera" Razali Endun, Misnon Jamil dan lain-lain.Hadir di majlis sebegitu selain merasai keluh kesah dan hiba penyair dapat juga berjumpa dengan kekawan lama.

Disamping angkat tabik kepada pengiat seni madrasah seni ini, ingin saya cadangkan kalau boleh pembacaan sajak perlu ditingkat dari apa yang ada kini kepada darjat deklmaasi. Sajak bukan saja setakat laungan, luahan kekecewaan menerusi laras bahasa, atau apreasi aksi bagai-bagai sesusuka kehendak, tetapi ia masih terikat dengan rukun keunikan dan keindahan tersendiri. Adalah molek kalau pembaca sajak itu juga diajar ataupun dibimbing dengan pendeklmasian yang mana persembahan akan lebih menarik dan terfana.

InsyaAllah kalau ada acara dan kesempatan saya akan hadir lagi kali ini dengan ikut sama membaca sajak. Saya kini sedang mengumpulkan sajak-sajak untuk diterbitkan dalam sebuah antologi sajak diri. [wm.kl.10:11 am 12/03/16]

Pas kuat laung dari gema

Posted: 11 Mar 2016 08:14 AM PST

ULAS ISU

Parti agama (Pas) mengumumkan ia akan membentuk blok baharu politik sebagai menghadapi pilihan raya akan datang. Pengumuman rasmi akan dibuat pada 16 Mac ini. Begitulah cerita Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan. Rancangan itu mewarnai suasana ketika oposisi bersama Dr Mahathir Mohamad melancarkan deklarasi anti Najib untuk selamatkan Malaysia.

Parti itu tidak sebut dengan siapa mereka akan berkolaborosi bagi mewujudkan blok baharu politik itu, hanya membayangkan dengan sebuah parti perbagai kaum. Pemerhati lalu menyebut beberapa nama parti yang mungkin "gila" untuk berpakat dengan Pas. Antaranya parti milik Abdul Kadir Sheikh Fadzil, tetapi Kadir telah menafikan yang ia akan bergabung dengan Pas. Jadi dengan parti mana?

Apakah dengan parti Dayak, Kadazan, Iban atau Dusun di Sabah dan Sarawak? Di Sabah dan Sarawak memang banyak parti-parti serpihan yang boleh dipinang oleh parti agama itu. Elok juga bagi parti agama itu menerima parti ethnik itu bagi menunjukkan mereka terbuka dan liberal untuk menutup sikap mereka dengan DAP dan Amanah. Cara itu juga membolehkan parti itu berfungsi sebagai parti dakwah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Dalam pada itu ada beberapa parti lain yang mungkin menjadi pasangan parti itu tetapi ia sangat daif memandang parti itu juga hidup segan mati tidak mahu. Parti-parti lain ialah Berjasa, Kita, Hamim atau PCM yang berpusat di Pulau Pinang. Pelik kalau parti itu sedia untuk bekerjasama dengan PCM sedangkan dengan DAP yang kuat dan telah memberi kelabaan kepadanya ditolak hidup-hidup.

Boleh dikatakan bodoh parti agama itu kalau mereka tiba-tiba sedia bekerjasama dengan parti berkenaan sebaliknya sanggup melupai DAP yang telah terbukti dapat membantu menaikan imejnya. Cara berpolitik begitu undur ke belakang bukan mara ke depan.

Jadi parti mana akan gila untuk bersama Pas? Sehingga kini saya tidak nampak ada parti yang gila untuk bersama Pas melainkan Umno. Parti yang rasional tidak akan sedia untuk bersama Pas. Dan apakah blok ketiga itu akan dibentuk dengan NGO berorentasikan Islam seperti Jati, Isma ataupun Perkasa (M). Atau pun ketika ini sedang diusahakan penubuhan sebuah parti baru dengan bantuan Umno? Atau pun parti itu sudah pun wujud?

Kerana tidak nampak parti mana yang bakal menjadi pasangan Pas maka sukar untuk melihat apa dilakukan Pas itu suatu aksi politik yang positif melain ia sebuah gimik. Mungkin parti pimpinan ulama berlatar belakang nelayan kampung itu terpaksa membuat gimik bodoh selepas menyedari ia kini semakin tersempit dan menyindiri.

Gimik itu tidak lebih dan tidak kurang untuk menampakkan parti itu masih relevan serta untuk mendapat perhatian atau pun pemimpinnya kini ada idea, sedangkan dari segi logikal politiknya ia sesuatu yang melucukan.

Jika hendak dikira pengumuman Takiyuddin itu juga kontras dengan sikap parti itu sebelum ini yang kononnya akan bersendirian tanpa bekerjasama dengan mana-mana pihak walaupun dengan Umno. Jadi apabila ia akan membentuk blok baharu ia bererti parti itu telah mengubah pendiriannya. Perubahan ini dilihat betapa tidak konsistennya fikiran parti berkenaan.

Semasa mengumumkan parti itu akan membentuk blok ketiga, sekali lagi pemimpinnya membuat penegasan yang ia tidak akan bersama Umno. Alasannya kerana Umno sudah ada BN. Bolehkah dipercayai akan penafian itu kerana sebelum ini walaupun dinafikan tetapi dalam masa lain ia mendekati Umno. Sikap dan perasaan lunak para pemimpinnya kepada Umno menyerlah apa yang terbuku dalam hati para pemimpin berkenaan.

Keletah itu juga menyebabkan ramai orang sangsi dan bingung dengan sikap parti agama ini kerana pendiriannya tidak tetap dan konsisten. Mulut kata tidak, tetapi hati hendak.

Kesimpulannya pembentukan blok ketiga yang akan diumumkan itu tidak lebih daripada gimik oleh parti berkenaan bagi menunjukkan pemimpinnya ada idea dan masih diyakini oleh pihak lain. Walahal hakikatnya ia makin menyendiri dan sudah berasa "kesit" dalam saat arus politik orang lain makin deras diperkatakan umum. Bagi saya rancangan Pas itu untuk menghibur hati sendiri sahaja.

Rancangan Pas untuk membentuk blok ketiga itu tidak ubah seperti ianya terlebih laung tetapi gemanya tiada.  Pihak Pakatan Harapan maupun Umno tidak perlu bimbang dan terkesima dengan pengumuman Pas itu kerana ianya hanya ilusi sahaja. [wm.kl.12:04 12/03/16]

Tiada ulasan: