Nuffnang

Pengikut

"BERANI KERANA BENAR!"

sumber :-
BERANI KERANA BENAR

"BERANI KERANA BENAR!"


Air

Posted: 22 Mar 2016 09:47 PM PDT

Oleh Ghozali PK

"Air yang mem­ben­tuk pulau-pulau?"
 Pertanyaan anak bongsuku meletus dengan tiba-tiba di mukaku. Ia agak mengejutkan. Ia juga mengejutkan kakaknya. Akibatnya, pertanyaan itu mendapat bantahan keras daripadanya. 
"Jangan ganggu ayah sedang bercakap."
Aku tahu anak lelaki bongsuku ini tidak akan mempedulikan bantahan kakaknya. Dia memang seorang anak yang keras hati dan tidak mahu mengalah. Dan dia juga seorang anak yang pintar. Apa saja yang dia tidak faham, dia akan terus tanya. Tanpa tangguh-tangguh. Berbeza dengan kakaknya yang lebih berhati-hati dan tidak beret mulutnya.


Aku bagai tercari-cari akan jawapan yang kuharap dapat memuaskan naluri ingin tahu Em.
"Bagaimana?" desaknya lagi.

Fikiranku menyelinap jauh ke dalam terowong ingatan - ke
jantung zaman kanak-kanak yang penuh dengan pertanyaan-pertanyaan tanpa jawapan - dunia yang penuh dengan pancaroba minda, mata dan telinga. Aku masih ingat dengan jelas kata-kata ayah. Dingin suasana malam itu - di mana air menjadi pokok persoalan ceramah bulanan ayah. Di luar, angin mendesah dedaunan. Ranting-ranting pauh menggesel atap zink rumah kami, menciptakan muzik alam yang misteri.

Hujan lebat yang turun pada sebelah petang membentuk lopak-lopak kecil di sekitar halaman rumah. Dari celahan timba layar kulihat langit yang bersih - tersimbah cahaya bulan penuh empat belas Safar.

"Airlah yang membentuk pulau-pulau..."

Mersik kata-kata ayah. Lembut dan jelas sebutannya. Hingga aku dapat membayangkan arus sungai yang berlenggang santun dari hulu yang berlata hingga ke lembangan dan muara yang landai dan berlumpur. Ayah dianugerahi Allah sebagai seorang orator. Puluhan kali ayah menjadi juara debat dan johan deklamasi puisi di zaman persekolahannya. Puluhan piala dan sijil tersimpan dengan rapi di dalam almari kayu jati yang dihiasi ukiran seni Melayu.

Ayah mengetuk-ngetuk hujung cerut cap tekonya di bibir tin biskut yang sudah bertukar peranan sebagai tempat abu
rokok. Aku seringkali ditugaskan ayah untuk membeli cerut di kedai runcit tidak jauh dari rumah. Ayah memang minat cerut cap teko. Kalau cap itu tidak ada, cap ayam menjadi pilihan keduanya. Dia tidak sukakan rokok moden. Banyak kimia dan lebih candu, katanya.
Aku teringat saat menanyakan soalan yang sama kepada ayah.
"Bagaimana?"

Dan aku teringat betapa peritnya pahaku dicubit oleh kakakku kerana mencelah percakapan ayah.
Aku mendengar ayah mengeluh seketika sebelum menjawab pertanyaanku. Bulan sebelumnya ayah juga mengeluh ketika bercerita tentang tanah air dengan topik "pengertian dan cabaran sebagai anak watan". Ayah juga mengaitkan konsep muafakat ketika menyampaikan ceramahnya. Kebiasaannya ayah menyampaikan ceramah kepadaku, kakak dan adik bongsuku pada malam Jumaat. Kami kehilangan ibu ketika arwah melahirkan adik bongsuku.

"Tepu atau tohor paras air sungai membentuk arus. Arus yang kuat akan memberikan tekanan di kiri kanan tebing lalu menimbulkan beting di tengah sungai. Lama kelamaan terjadilah pulau...tumbuhlah pohon-pohon..." Ayah menjawab penaka seorang guru geografi sekolah.

Ayah menghela nafas sekali lagi. Bagaikan telah melepasi satu ujian perperiksaan yang getir. Buat masa itu aku akur dengan penjelasan ayah. Selain sekolah, buku-buku dan surat khabar, ayahlah sumber rujukan kami. Namun, ketika aku melangkah ke alam remaja, mengenal alun dan gelombang kehidupan sebenar, jawapan ayah kelihatan terdapat kelompongan di sana sini. Atau ayah sengaja tidak mahu berterus terang kepada kami adik-beradik. Sengaja mahu berkias dan berteka-teki.
(Akhirnya setelah dewasa kuketahui melalui kamus budaya bahawa orang Melayu itu sifatnya lemah lembut dan sopan santun - suka akan kiasan, pantun serta bidalan. Tidak gemar ia berterus terang).

Apakah cerita pembentukan pulau yang disampaikan oleh ayah dibaca secara harfiah saja? Atau ia adalah sebuah kiasan? Dan ayah mahu menyembunyikan maksud sebenar cerita air sungai dan pembentukan pulau daripada kami?

Dan di hujung-hujung malam, ketika aku menelaah mata pelajaran fizik di kamsis, cerita air membentuk pulau-pulau yang disampaikan ayah selalu saja mengusik dan mencabar fikiranku. Aku mengaitkannya dengan apa saja - kekeluargaan, percintaan, alam dan agama. Sengaja kuputarkan lagu-lagu lama untuk menemaniku - Malaya Tanah Airku, Air Mata Kasih dan Sungai Pahang. Aku kagum dengan senikata lagu-lagu tersebut. Hebat kreativiti penulis-penulis liriknya.
Aku teringat sebaris senikata yang bercerita tentang sungai.

'Zaman tori, bergemilang sejarahnya

 Ramai gugur pahlawan di tebing sungainya...'

Lalu terbayang di mataku pahlawan-pahlawan seperti Tok Gajah, Mat Kilau serta rakan-rakan mereka bergalah di arus sungai yang garang, mengelakkan beting dan cegar, demi mempertahan watan negeri Pahang daripada serangan penjarah Inggeris. Agaknya di air sungailah mereka mengasah keris, golok dan lembing. Dan di pulau-pulau di tengah sungai jugalah mereka berehat atau bermalam untuk beristirehat dan memulihkan tenaga. Mereka punya muafakat yang erat.

Ah, cerita ayah memang ada dalam semua lagu-lagu itu!

Ayah memang mampu menjadi seorang penulis lirik yang hebat, jika dia mahu.

Fizik pula mengajarku bahawa pergerakan air di arus sungai sudah mempunyai pembentung yang alamiah. Ia bukan ciptaan manusia. Air bergerak dengan pantas dalam pusaran dari kiri ke kanan untuk mewujudkan tenaga kinetik dan potential. Jika tidak, masakan air boleh mengalir menuju muara!

Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat!

Betapa bijaksananya nenek moyangku menyaring fenomena alam untuk manfaat kehidupan manusiawi.

Tanpa pembentung sebegitu masakan ahli keluarga hatta masyarakat boleh menghasilkan muafakat? Aku cukup berterima kasih kepada arwah ayah yang telah mengajarkan kepadaku ilmu air mencipta pulau-pulau...

Dan saat ini aku pula harus berdepan dengan cabaran yang sama daripada Em. Berbanding dengan eraku dulu, sudah tentu dia terdedah kepada lebih banyak maklumat - dia ada Internet dan Google!
"Arus yang berpanjangan boleh menghasilkan rejuvinasi dasar sungai. Hasilnya apabila di kiri kanan sungai menjadi dalam, tanah di bahagian tengah akan menjadi pulau..."

Aku cuba mengutip maklumat daripada ceramah ayah puluhan tahun dulu dan memberikan sedikit olahan dalam penyampaiannya agar nampak segar, meski dengan maksud yang sama. Daripada kerut dahinya aku dapat membaca isyarat bahawa peneranganku tidak meyakinkan Em.

"Bagaimana pula jika banjir berpanjangan, akan hilangkah pulau-pulau?" tanyanya lagi.

"Er, abah rasa begitulah..." Aku langsung tidak bersedia dengan soalan tambahan Em.
Em hanya tersenyum.

"Jom tidur, esok ada ujian akhir tahun...." Celah Sara, kakaknya, yang berada di tingkatan lima.
Kedua-dua mereka memang pintar. Tidak pernah jatuh dari nombor tiga. Abang mereka sudah berada di kolej. Tidak seperti Em, abangnya berat mulut.

"Boleh dapat nombor satu lagi, Em?" usikku, ketika dia melangkah ke bilik tidur.
"Em rasa begitulah, abah..."

Aku tersenyum dalam hati - sudah pandai rupanya anak lelakiku ini berjenaka.
Pasti cerita tentang air dan pulau masih lagi berlegar dalam benaknya. Entahkan cerita itu akan mewarnakan mimpinya.

Ayahku juga pernah memetik sebuah perumpamaan lama dalam salah satu ceramahnya.
"Kalian tahu, benih yang baik menjadi pulau..."

Dan dalam hatiku terbetik taakulan – bukankah air yang mengasuh benih yang baik itu? Tanpa air akan sirnalah kehidupan.

Ayah dan aku bercerita tentang air. Barangkali Hir, Sara dan Em juga akan menceritakannya kepada anak-anak mereka nanti.

Dalam pada itu aku tidak pasti adakah cerita air yang kusampaikan kepada Em dan kakaknya akan mening­galkan kesan yang kuharap­kan. Aku hanya mampu berdoa. Cerita air ayah kepadaku ternyata tidak begitu menjadi. Pembentung yang ayah harapkan juga tidak menjadi. Kami sudah terpisah jauh di jagat raya ini. Hanya adik bongsuku yang kini menguruskan rumah pusaka di kampung. Aku merasa cukup beruntung bila dia membaik pulih rumah pusaka yang berusia hampir seratus tahun itu dan menetap di situ. Kalau tidak rumah tua itu sudah tentu menjadi habuan anai-anai. Sesekali dia ada menelefonku, menceritakan perihal pohon-pohon durian Musang Kingnya yang dikerjakan tupai kerawak atau anak-anak pohon pisang berangannya yang digali si kerbau pendek. Pada mulanya aku mencadangkan supaya rumah itu diserahkan saja kepada Baitulmal. Namun, apabila adikku ingin tinggal di situ, aku merelakannya.

Jika aku ke utara, sesekali aku juga singgah menjenguknya. Dia hidup cara kampung. Aku tidak tahu kenapa dia tiba-tiba meletakkan jawatannya sebagai jurutera kanan dan kembali ke kampung. Tetapi kulihat kehidu­pannya cukup aman. Air muka adikku menggam­barkan semuanya.

Apabila kutanya kenapa dia memilih untuk kembali ke kampung, dia hanya memberikan penjelasan ringkas kepadaku.

"Keenam-enam orang anakku memintaku dan emak mereka supaya usah lagi bekerja. Wang yang mereka berikan setiap bulan kepada kami sudah lebih daripada mencukupi. Setiap bulan semua mereka akan datang bermalam di kampung. Kami makan bersama - macam mereka kecil-kecil dulu."
"Kau menceritakan tentang air dan pulau kepada mereka?" tanyaku berseloroh.

"Sudah tentu. Airlah yang membentuk pulau-pulau..." jawabnya dengan senyum yang terkulum.
Kami ketawa bersama. Ya, kampung adalah sumber yang kaya dengan ilmu akhirat dan ilmu dunia.
Di sanalah kali pertama aku mendengar penjelasan tentang anasir-anasir tanah, air, api dan angin yang mewujudkan hakikat kehidupan dan hakikat insan. Dari satu sudut, adikku membuat pilihan yang tepat.

"Airlah yang memberi kesejukan berbanding anasir-anasir lain," jelas Lebai Kulup Rani, imam tua di surau kampung. "Kalau sedang marah, cepat-cepat pergi berwuduk, nanti dapatlah kesejukan," tambahnya lagi.

Kini surau itu sudah tidak lagi digunakan. Banyak tiangnya sudah reput. Ada perabung dan gegulung yang sudah patah. Hanya menunggu saat untuk menyembah bumi. Air di kolah juga sudah lama kering. Air yang sekian lama menyempurnakan wuduk bagi para jemaah. Menurut anak Lebai Kulup Rani ramai anak muda sudah berhijrah ke bandar. Orang tua pula sudah ramai yang pergi. Malahan kebun-kebun kelapa sawit di sekitar kampung dipenuhi oleh pekerja-pekerja asing. Mujurlah ada masjid baru di kampung berdekatan.

"Kadang-kadang hendak mendirikan solat Jumaat pun susah, Di kampung ni, bilangan babi sudah melebihi bilangan orang" katanya dengan sinis.

Aku tidak tahu bagaimana adikku menangani semua itu. Apatah lagi dia mengusahakan kebun pisang dan dusun buah-buahan. Tetapi aku tahu dia seorang yang cekal dan berkeyakinan tinggi terhadap apa saja kerja buatnya.

Ah kampungku, ke manakah hilangnya muafakat?

Aku dan adikku tidak tahu di mana rantaunya kakak sulung kami. Kami sudah terputus hubungan langsung. Sejak tamat belajar di luar negara dia terus tidak pulang ke tanah air. Lesap bagai hilangnya pesawat udara di skrin radar. Tanpa pesan, tanpa kesan. Hanya gambaran wajahnya saja yang bermain di mata saat rindu singgah di benakku. Hanya sekali dia pulang ke kampung. Itu pun kebetulan dia kembali untuk mengumpulkan bahan-bahan untuk tesis sarjananya. Sayang, ketika itu ayah sudah terlantar di hospital. Dia tidak lagi mampu bercerita kepada kami.

Entahkan dia sudah berkahwin ataupun tidak. Yang pasti dia bermastautin di luar negara. Barangkali dia sudah melupakan tanah air. Dan jika kakak sudah berkeluarga dan punya anak, apakah dia ada menceritakan tentang air sungai membentuk pulau-pulau kepada anak-anaknya? Atau pun dia sudah melupakan cerita ayah sama sekali? Tidak mengapalah. Aku mendoakan yang baik-baik buat kakak. Walaupun muafakat tidak berkekalan, kami adalah dari darah daging yang sama. Dari benih yang sama. Aduhai, ke mana hilangnya pembentung?

Aku tidak dapat mencari jawapannya.

Sekali, semasa singgah di rumah adik aku sempat meninjau-ninjau di tebing sungai. Ternyata pulau-pulau comel di tengah sungai di kampungku sudah lama ditelan arus. Hilang entah ke mana. Alangkah sayunya hatiku.

Fenomena Ekuinoks, 
perubahan iklim

Posted: 22 Mar 2016 09:42 PM PDT

BEBERAPA hari kebelaka­ngan ini selepas berlaku gerhana matahari pada 9 Mac lalu, rantau Asia Tenggara kembali dikejutkan dengan isu gelombang panas matahari. Fenomena panas ini dikaitkan dengan kehadiran aktiviti tahunan matahari iaitu Ekuinoks yang umumnya berlaku dua kali dalam setahun.

Pada tahun ini, Ekuinoks pertama berlaku pada 20 Mac dan enam bulan dari sekarang, Ekuinoks kedua dijangka berlaku pada 22 September. Dua musim astronomi ini masing-masing dikenali sebagai Ekuinoks Mac (vernal Equinox) dan Ekuinoks luruh (autumnal Equinox).

Secara asasnya, peristiwa Ekuinoks ini berlaku apabila matahari boleh diperhati tepat di atas garisan Khatulistiwa bumi dengan sudut keserongan 0 darjah. Kesan daripadanya menyebabkan jumlah panjang masa siang dan malam adalah sama. Jumlah ini adalah sama di hemisfera manapun di dunia.

Dengan sinaran matahari yang diterima penuh setiap hari, kita yang tinggal di sekitar Khatulistiwa mungkin tidak merasakan perbezaan panjang siang dan malam ini.

Kedua-dua Ekuinoks yang berlaku di atas adalah berubah-ubah setiap tahun. Ekuinoks Mac berlaku sekitar 20 hingga 21 Mac dan Ekuinoks musim luruh berlaku sekitar 22 hingga 23 September.
Perbezaan masa tersebut disebabkan bumi dalam orbitnya mengelilingi matahari dengan kecondongan 23.5 darjah.

Perbezaan ini pula menandakan berlakunya satu musim baharu di sesebuah kawasan. Dengan kata lain, di hemisfera Selatan mula musim luruh (autumnal Equinox) dan sebaliknya di hemisfera Utara mula berlaku musim bunga (spring Equinox).

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa Ekuinoks pertama tahun ini membawa spekulasi kenaikan suhu daripada aras normal. Di beberapa kawasan di Asia Tenggara (Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta), suhu dilaporkan mencecah lebih dari 36 darjah Celsius, terutamanya kawasan yang berada tepat dalam garisan Khatulistiwa dan kawasan pantai.

Ramai yang mengatakan bahawa aktiviti musim Ekuinoks kali ini berkait rapat dengan serangan panas matahari yang melampau di mana matahari menghasilkan panas lebih tinggi berbanding hari biasa.

Dilihat dari sejarah astronomi, Ekuinoks Mac ini hanya memindahkan pemerhatian kedudukan matahari yang sebelumnya berada di cakerawala langit Selatan bertukar ke cakerawala langit Utara.

Ertinya, selepas Ekuinoks Mac ini, hemisfera Utara akan menerima banyak sinaran matahari berbanding hemisfera Selatan. Perubahan kitaran kedudukan matahari ini pulalah yang menyebabkan adanya pertukaran musim yang kita rasakan di bumi.

Walaupun tiada kaitan langsung antara Ekuinoks dengan peningkatan suhu di bumi, Ekuinoks Mac ini membawa perubahan yang ketara dari musim hujan kepada musim panas. Semasa matahari melintas di hemisfera Selatan, musim hujan banyak berlaku di kawasan ini. Dengan kata lain, semasa matahari berkedudukan tepat di atas kepala (Ekuinoks), ini memberi makna bahawa peristiwa Ekuinoks adalah sempadan antara musim hujan dan musim kemarau.

Semasa kedudukan matahari hari bergerak ke arah utara, suhu di bumi akan meningkat dan tekanan udara menjadi rendah. Ramai juga yang mengaitkan kejadian Ekuinoks ini dengan pemanasan global. Pemanasan global adalah kesan daripada perubahan iklim.

Satu perkara yang perlu diingatkan dengan pertukaran musim ini adalah angin akan bertiup dari arah Selatan menuju ke Utara melewati Malaysia dan negara-negara yang berdekatan dengannya.

Angin dari arah Selatan ini bersifat kering dan akan membawa kesan jerebu ke Utara. Bergantung kepada pembentukan zarah-zarah di atmosfera, peredaran angin, dan cuaca panas dan hujan yang berkurangan boleh menyumbang kepada berlakunya jerebu.

Fenomena jerebu dari tahun ke tahun hampir sukar dielakkan selain atas sebab perubahan iklim itu sendiri dan juga aktiviti perlada­ngan yang tidak terkawal. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mencari jalan terbaik dan lebih berkesan untuk membendung kejadian ini.

Salah satu punca cuaca panas kali ini kemungkinan terdapat pertembungan antara Ekuinoks dan El Nino. Merujuk kepada data putaran selatan El Nino (ENSO) daripada NOAA, fasa panas El Nino tahun 2015 masih dikesan tinggi. Ini berikutan suhu permukaan laut tropika di Barat Pasifik (kawasan Nino 4.3) menunjukkan keadaan El Nino yang masih kuat dan akan melemah menjelang pertengahan 2016. Peningkatan suhu ini dikuatkan lagi oleh laporan Met Office British bahawa purata suhu global 2016 telah meningkat antara 0.72 dan 0.96 darjah Celsius.

Ini memperjelas cuaca panas yang berlaku pada sebelum hingga 20 Mac 2016 adalah anomali biasa.

Anomali ini sedikit dirasakan berbeza pada hari Ekuinoks di mana langit pada waktu tengah hari sedikit dilitupi awan panas dan dua ke tiga jam kemudian, hujan lebat telah berlaku di kawasan Putrajaya dan Kuala Lumpur berserta kawasan sekitarnya.

Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa maklumat cuaca yang diedarkan oleh bukan pihak berkuasa perlu diteliti dan diuji kesahihannya.

Perubahan musim ini adalah amat penting dalam pelbagai sektor kehidupan. Justeru, edukasi fenomena oleh pihak berkuasa kepada masyarakat perlu dipergiat untuk memberi kesedaran amaran awal yang berkesan. Akhirnya, fenomena Ekuinoks Mac ini memberi petanda yang semakin jelas bahawa musim kemarau akan berlaku di rantau ini.

PROF. MADYA DR. WAYAN SUPARTA ialah Felo Penyelidik Kanan, Pusat Sains Angkasa, Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT