Ahad, 13 Mac 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Buah Zaitun : Khasiat dan Keistimewaannya

Posted: 12 Mar 2016 07:30 PM PST

Oleh Norkumala binti Awang

"Demi buah tiin dan zaitun. Dan Gunung Tursina". (Surah at Tiin ayat 1 dan 2). Allah telah menyebut di dalam Al Quran berkenaan dengan buah zaitun. Ini menunjukkan buah zaitun juga memiliki banyak keistimewaan tersendiri yang jarang diketahui dan diselidiki. Di dalam Al Quran, buah zaitun disebut sebanyak 7 kali di mana sebanyak 2 kali, ia di sebut bersendirian dan 5 kali lagi ia digambarkan dalam Al Quran bersama dengan buah- buahan lain seperti tamar, delima, anggur dan buah tiin. Gambaran ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah zaitun sepertimana buah- buahan lain yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.

Buah zaitun atau nama botaninya dikenali sebagai olea europea ditanam di kawasan Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Di dalam surah an Nur ayat 35 juga Allah menyebut tentang buah zaitun yang mana ulama seperti Maulana Majid, Maulana Maudoodi, Maulana Usmani, Maulana Haqqani dan Abdullah Yusuf Ali memberi pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman buah zaitun.

Dunia moden pada hari ini, melalui kajian- kajian sains semasa mengiktiraf khasiat buah zaitun. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan. Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tarmizi dan Ibn Majah, Nabi Muhamad SAW bersabda, " Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati".

Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai "monounansaturated" yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang. Didapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur- sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati diet Meditranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan 'oleic acid' yang terdapat didalamnya. Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai 'laxative' dan menyingkirkan cacing di dalam badan.

Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang, penyakit jantung yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin meningkat. Namun begitu, pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan 'phenol'. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah seseorang daripada menghidapi penyakit jantung. Di samping itu, mutakhir ini, manfaat minyak zaitun untuk kecantikan seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik yang menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu, sememangnya kelebihan minyak zaitun tidak dapat dinafikan lagi.

Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.

Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang daripadanya boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang ada pada masa kini untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda " Ambillah minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta). Dengan ini, tidak hairanlah, ramai yang mengetahui akan kelebihan buah zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga dijadikan sebagai makanan tambahan. Justeru, khasiat yang terdapat pada buah zaitun merupakan anugerah Allah ke atas hamba- hambaNya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam Al Quran, malah pakar- pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.

Berdakwah Melalui Internet

Posted: 12 Mar 2016 07:25 PM PST

Oleh Dr Abu Bakar Abdul Majeed. 

Dakwah dan Media

Sejak zaman dahulu, mereka yang terlibat di dalam aktiviti dakwah sentiasa berusaha untuk menyampaikan seruan agama melalui pelbagai kaedah dan media. Penggunaan teknologi sejagat dan terkini adalah satu perkara lumrah bagi para pendakwah. Menurut sejarah, kitab suci Al-Quran pertama sekali didokumentasikan dalam bentuk penulisan ketika pemerintahan Saidina Usman ibn. 

Affan (r.a). Tujuan Al-Quran dibukukan ialah bagi mengekalkan isi kandungannya untuk dibaca dan dihayati oleh generasi akan datang. Salinan Kitab Suci ini yang ditulis dengan tangan seperti yang terdapat di Baitul Quran di Kuwait sekarang memerlukan masa yang sangat lama untuk disediakan. Hal ini pasti telah menghadkan keberkesanan dan kemampuan kerja-kerja dakwah.

Walaubagaimanapun di dalam tahun 1456 Masehi, Gutenberg telah berjaya mencipta mesin cetak. 

Kewujudan mesin cetak mempercepatkan usaha menyediakan teks-teks berkaitan keagamaan. Kos bahan-bahan tersebut juga menurun apabila salinan dapat disediakan dengan banyak. Media cetak terus menjadi saluran utama aktiviti pengembangan agama sehingga kurun ke-20. Kurun ke-20 merupakan kurun revolusi komunikasi. Satu media komunikasi baru, iaitu media elektronik, diperkenalkan di sekitar tahun 1910an. Alat pertama yang dihasilkan ialah radio. Siaran radio mampu dipancarkan dengan meluas ke seluruh pelusuk dunia. Seruan pendakwah dapat diamati lebih ramai pendengar. Pada hari ini, kita dapati banyak stesen radio tempatan dan kebangsaan menyediakan pelbagai rancangan bercorak keagamaan bagi menjalankan aktiviti dakwah. Kuliah pendakwah diselang-selikan dengan respons daripada pendengar yang menelefon untuk memberi pendapat atau menanyakan soalan.

Selepas radio, televisyen pula diperkenalkan sebagai media komunikasi elektronik. Perkara ini berlaku di sekitar pertengahan kurun ke-20. Kemunculan televisyen memberi satu wadah dan peluang baru untuk aktiviti dakwah. Selain suara, grafik dalam bentuk statik atau video dapat dipertontonkan di dalam program-program keagamaan. Maklumat dapat disampaikan dengan lebih realistik. 

Keberkesanan pendakwah juga semakin meningkat. Pada mulanya kelompok penonton televisyen agak terhad. Namun demikian, dengan kewujudan satelit, siaran televisyen dapat dipancarkan ke seluruh dunia. Di samping televisyen satelit, kemudahan televisyen interaktif atau saling tindakan juga dijangka boleh merevolusikan kaedah berdakwah menerusi media elektronik.

Internet

Ketika kita menghampiri milineum ketiga selepas Masehi ini, bidang media elektronik maju setapak lagi. Satu sistem komunikasi canggih, pantas dan berkesan yang berlandaskan teknologi maklumat diperkenalkan. Sistem ini lebih dikenali sebagai Internet. Berjuta-juta penduduk dunia kini dihubungkan antara satu dengan lain oleh satu rangkaian sistem maklumat padu. Internet mudah digunakan. Hanya dengan beberapa peranti asas dan sofwer sesuai, serta talian telefon biasa atau selular, seseorang boleh dihubungkan ke rangkai maklumat sedunia. Yang pasti, pendakwah juga tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk sama-sama menyalurkan maklumat serta menyampaikan seruan agama masing-masing melalui Internet.

Internet pada mulanya merupakan media bersandarkan teks bagi komunikasi surat elektronik atau `e-mail'. Internet dicipta semata-mata bagi tujuan ketenteraan oleh pihak Pentagon, iaitu Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Selepas sekian lama teknologi ini tertekan atas alasan kepentingan keselamatan, di awal tahun 1990an barulah ada pihak yang memasarkan penggunaannya secara meluas. Institusi pengajian tinggi serta makmal-makmal penyelidikan merupakan pelanggan terawal kemudahan Internet. Pihak awam lain hanya menyedari kekuatan pengaruh sistem ini apabila jaringan raya seluruh dunia atau `world wide web (www)' Internet diperkenalkan. Www membolehkan komunikasi multimedia dijalankan. Teks boleh digandingkan dengan bunyi, gambar dan video.

Jaringan raya Internet yang tidak mengenal sempadan ini menjadi info-struktur terunggul media komunikasi sejagat. Justeru itu, saluran Internet dapat digunakan bagi tujuan penyebaran ilmu dan maklumat secara optima, termasuklah usaha-usaha menyampaikan dakwah.

Internet amat mesra pengguna. Kandungan Internet boleh ditinjau melalui pelbagai enjin atau sofwer pencari yang sedia wujud di dalamnya. Hanya dengan berbekalkan beberapa kata kunci yang berkaitan dengan maklumat yang dicari, kita dapat melangkah masuk ke ratusan ribu fail yang mengandungi kata kunci tadi yang terdapat di server-server atau komputer penyimpan maklumat di seluruh dunia. Fail data biasa dikumpulkan ke dalam pakej tertentu yang didahului satu papan pengenalan yang bertindak sebagai `paparan induk' atau `homepage'. Setiap pakej fail juga diberi satu alamat. Kita boleh terus memasuki fail-fail tadi kalau kita tahu alamatnya di tapak jaringan.

Biasanya, `homepage' adalah saling berhubung. Kita mudah bergerak dari satu fail ke satu fail yang berkaitan. Keupayaan ini amat memukaukan sehingga kadang-kadang kita alpa tujuan atau maklumat asal yang dicari. Aktiviti seperti ini biasanya dikenali sebagai `net-surfing' atau `merayau di jaringan'.

Satu pencarian yang berdasarkan beberapa kata kunci telah dibuat melalui salah satu daripada enjin pencari Internet pada 8 April, 1997. Kata kunci `Islam' menunjukkan bahawa terdapat 21 kategori dan 460 tapak atau fail yang menyebut tentang `Islam'. Istilah `Christian' pula menghasilkan 103 kategori dan 4474 tapak; `Judaism' memberi 20 kategori dan 104 tapak; `Hinduism', 4 kategori dan 30 tapak; dan `Buddhism', 10 kategori dengan 127 tapak.

Kata kunci `religion' (agama) memberi 463 kategori dan 827 tapak, manakala `faith' (kepercayaan) pula terdapat di dalam 19 kategori dan 606 tapak. Pencarian dengan kata kunci `Allah' atau `God', masing-masing memberi 0 kategori dengan 8 tapak, dan 16 kategori dengan 1085 tapak. Angka-angka yang diberi di atas adalah melalui pencarian kasar, dan tidak membenarkan sebarang rumusan atau kesimpulan dibuat. Setiap fail perlu diteliti bagi menentukan tujuan tulisan yang mengandungi istilah tadi dibuat dan dimasukkan ke dalam Internet. Namun demikian, keputusan yang diperolehi ini menunjukkan bahawa aktiviti dakwah sudah meresap ke dalam Internet. Para pendakwah sekali lagi menunjukkan ciri kreatif dan peka terhadap kemajuan teknologi.

Islam di Jaring

Apabila diteliti `homepage' yang berciri keagamaan, nyata ianya disediakan oleh pelbagai pertubuhan, institusi pengajian tinggi dan orang perseorangan dari seluruh pelusuk dunia. Setiap `homepage' mempunyai gaya dan penekanan tersendiri. Contoh `homepage' maklumat multimedia tentang Islam serta alamat masing-masing di dalam Internet termasuklah Islamicity (www.Islamicity.org/), Kampung Net masyarakat Islam Singapura (www.pointpub.co/kampungnet/), Pemikiran Islam (wings.buffalo.edu/sa/muslim/isl/thought.html) dan Kesatuan Belia Muslim Sedunia (www.maxinet.com/yusuf/wamy).

Selain daripada maklumat multimedia, Internet juga berciri interaktif. Justeru itu pengguna dapat berinteraksi dengan pembekal maklumat. Keupayaan ini amat penting bagi forum dakwah kerana pelbagai persoalan mungkin timbul disebabkan salah faham atau salah tanggapan. Pengguna boleh mengajukan soalan atau komen yang kemudiannya akan dijawab oleh pembekal maklumat atau pihak pendakwah. Ciri interaktif bukan sahaja memantapkan keupayaan Internet sebagai media penyebaran dakwah, malah hal ini menjadikannya satu wadah percambahan pendapat ahli-ahli teologi dan cendiakiawan-cendiakiawan bidang keagamaan dan keilmuan, sesuai dengan maksud ayat 125 dari surah An-Nahl, "Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik dan berbantahlah (berdebatlah) dengan mereka dengan (jalan) yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalannya dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

Sebagai khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan agama Allah di muka bumi, pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat tidak lagi boleh kita abaikan. Setiap Muslim adalah pendakwah. Justeru itu kebolehan menggunakan Internet memberi satu peluang terbaik kepada umat Islam untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan. Golongan cendiakiawan Muslim terutamanya perlu memainkan peranan aktif di dalam memanfaatkan kemajuan teknologi maklumat.

Ajaran Songsang

Namun demikian, di sebalik kehebatan aktiviti dakwah melalui Internet, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab yang sama-sama menumpang jaringan raya sedunia ini untuk menyebarkan ajaran sesat, dakyah palsu dan kepercayaan karut. Oleh kerana Internet merupakan sebuah wadah terbuka dan terdedah, maka sebarang jenis maklumat boleh disebarkan melaluinya. Penapisan maklumat hampir mustahil dilakukan. Justeru itu, golongan anti-keagamaan dan anti-kemanusiaan juga bermaharajalela dengan `homepage' masing-masing. Internet kini dikatakan menjadi padang permainan pengikut ajaran-ajaran songsang atau `cult'. Satu contoh terkini ialah kumpulan ajaran songsang yang bergelar `Heaven's Gate' atau Pintu Syurga. Kumpulan ini mempunyai ahli yang pakar di dalam pembangunan `homepage' di Internet. Mereka telah menggunakan saluran komunikasi tersebut untuk menarik ahli-ahli baru.

Terdapat kes di mana suri rumah yang terbaca dakyah palsu kumpulan ini di Internet, telah terpukau dan terus meninggalkan rumah tangga dan anak pinak untuk bersama-sama kumpulan ini. Ramai juga ibu bapa yang kehilangan anak-anak muda yang terpengaruh dengan maklumat karut kumpulan ini di Internet. Akhirnya antara 23 - 25 March 1997, 39 orang ahli dari kumpulan ini telah membunuh diri secara beramai-ramai di dalam sebuah rumah mewah di Rancho Grande, California. Maka, tidak hairanlah mengapa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed menyatakan rasa bimbang apabila media maklumat yang kuat seperti Internet dicemari ajaran songsang. Jelas bahawa pengguna Internet bukan sahaja boleh tercabar intelektualnya, malah kerohaniannya juga.

Ummah Siber

Menyedari hakikat bahawa Internet mudah diserapi unsur-unsur negatif, maka Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) telah mengadakan satu seminar bertajuk "Cabaran Teknologi Maklumat dan Internet: Agenda Umat Islam" baru-baru ini. Tujuan seminar ialah bagi memahami keupayaan dan penggunaan teknologi Internet, meneliti peluang, cabaran dan aspek-aspek negatif Internet dan mempastikan orang Islam bersedia memperoleh dan meneraju era teknologi maklumat, khususnya Internet, agar mampu menampilkan diri dalam mengajukan idea-idea Islam dan mendapat faedah daripada pelbagai penggunaan teknologi tersebut.

Menurut pendapat pembentang-pembentang kertas kerja seminar tersebut, sudah sampai masanya masyarakat Islam seluruh dunia dihubungkan dan disatupadukan sebagai suatu `ummah siber'. Bagi mencapai tujuan ini badan-badan awam dan korporat perlu berganding bahu untuk membekalkan maklumat tentang Islam. Satu `homepage' baru perlu diwujudkan di dalam Internet bagi menerangkan pendirian Islam tentang isu-isu semasa, memperjelaskan konsep pandangan dunia Islam (Islamic world view) dan menonjolkan nilai-nilai murninya yang universal. `Homepage' ini mestilah unggul, menyeluruh dan interaktif yang membentangkan fakta-fakta mengapa Islam adalah satu pegangan cara hidup, budaya dan peradaban yang sejagat.

Sebagai penutup, jelas Internet bukan sahaja digunakan untuk berdakwah kepada kebenaran, malah ada pihak yang menyalahgunakannya untuk menyeru manusia kepada kebatilan. Justeru itu, homepage `ummah siber' yang bakal dibangunkan boleh bertindak sebagai salah satu wadah yang memberi gambaran sebenar tentang Islam sebagai sistem kehidupan yang unggul dan sekaligus menangkis maklumat palsu yang mendorong kepada kehancuran

Tiada ulasan: