Selasa, 8 Mac 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Deklarasi Rakyat tidak ikut maqasid syariah, kata Mahmood Zuhdi

Posted: 08 Mar 2016 06:00 AM PST

Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia yang bertujuan untuk mendesak Perdana Menteri melepaskan jawatan adalah tidak menepati kepentingan maqasid syariah kata Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab. Majid.

 Beliau berkata, majoriti umat Islam di negara ini yang kini berpecah pada kumpulan kecil yang menyokong parti politik menjadikan kumpulan minoriti menjadi majoriti.

 "Apabila majoriti menjadi minoriti yang terpaksa tunduk kepada minoriti kerana kita telah merujuk kepada kelompok kecil ini bukan prinsip Islam dalam maqasid syariah," ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini.

 " Tetapi saya tidak setuju sebab kita jatuhkan kerajaan dengan cara itu (desak PM lepas jawataan) sekarang dan bukannya pilihanraya.

 "Saya tidak sokong pilihan raya dilakukan dalam waktu terdekat ini kerana akan menyusahkan rakyat." ujarnya.

 " Saya amat menyokong kenyataan Haji Hadi (Presiden Pas) yang menetapkan pendirian parti itu untuk bekerjasama dengan Umno walaupun Umno sudah menjadi musuh ketat Pas zaman berzaman... Baca sepenuhnya di sini

Komen al-Husseyn :

  Maqasid Syariah secara ringkasnya bermaksud tujuan, natijah, atau maksud yang dikehendaki oleh syarak melaluli sumber dalil Al-Quran dan As-Sunnah. Secara umumnya juga Maqasid boleh didefinasikan sebagai:

 جلب المصالح ودرؤ المفسدة وإزالة المضرة 
 Maksudnya: Mewujudkan kebaikan, menolak keburukan, dan menghilangkan kemudharatan.

  Deklarasi Rakyat' yang ditandatangani oleh 58 individu jangan sama sekali dianggap remeh dan diperlekehkan.

  Dr Mahmood Zuhdi menganggap  majoriti yang tunduk kepada kelompok kecil (58 individu) ini bukan prinsip Islam dalam maqasid syariah!

 Deklarasi Rakyat yang mengandungi 37 perkara itu jelas mendedahkan salahlaku Najib yang dikaitkan dengan skendal 1MBD.

  Najib telah menyebabkan kemerosotan yang teruk kepada negara kita dari pelbagai segi.

   Maka mendesak Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia adalah jalan yang terbaik supaya tidak lagi terus merosakkan negara ini.

  Bahawa deklarasi itu bersetuju dan menyokong untuk :

a) Penyingkiran Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.

b) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya

c) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang Jetas metanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih, dan

d) Pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC

   Jelas deklarasi tersebut mahu melakukan reform yang menyeluruh menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan. Bukan melalui kacau bilau atau sekadar mahukan Najib turun sebagai PM.

  Suatu perubahan yang hendak dibuat perlu ada permulaan. Seribu langkah takkan terhasil tanpa dimulakan dengan satu langkah. Tanpa langkah pertama tidak mungkin perjalanan beribu batu akan bermula.

  Oleh itu hentikanlah cakap-cakap tukang ampu dan tukang bodek macam Dr Mahmood Zuhdi ini.

 Marilah kita sama-sama menyokong deklarasi tersebut dengan menandatangani petishen yang ada saya link kan di penjuru kanan blog ini.

 Kita menyokong Deklarasi Rakyat ini bukan bermakna kita menyokong Dr M sebagai individu dan membabi buta. Apa yang kita sokong adalah Deklarasi Rakyat yang diinsiatifkan olehnya.

Muhyiddin Yassin : Tukang bodek, Tukang Ampu semakin bimbang kedudukan Najib

Posted: 08 Mar 2016 04:00 AM PST


  Penyertaan saya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa bekas pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dalam sidang akhbar upacara menandatangani Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengundang kritikan daripada segelintir pemimpin UMNO. Mereka nampaknya tidak senang dengan kejayaan Tun Dr Mahathir menghimpunkan tokoh-tokoh BN, Pakatan Harapan, PAS dan masyarakat sivil untuk duduk bersama mendesak Datuk Seri Najib supaya berundur.

 Agak malang apabila mereka menggunakan kehadiran Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam upacara tersebut untuk menggambarkan seolah-olah Deklarasi Rakyat adalah agenda DAP untuk menghancurkan UMNO dan seterusnya melabel Tun Mahathir sebagai pengkhianat perjuangan UMNO.

 Tuduhan ini sama sekali tidak benar. Deklarasi Rakyat bukan agenda mana-mana parti politik. Ia terbit daripada kesedaran individu daripada pelbagai latar belakang sosial dan politik yang sedar bahawa kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri sudah tidak wajar lagi memandangkan beliau terpalit dengan pelbagai skandal kewangan yang menjejaskan keyakinan rakyat kepada beliau untuk memimpin Malaysia. Malah imej negara kita juga terjejas teruk di peringkat antarabangsa. Hakikatnya, Deklarasi Rakyat adalah perjuangan rakyat yang merentasi ideologi politik, kaum dan agama untuk menentang kemungkaran, menyelamatkan Malaysia dan menebus kembali maruah negara.

 Turut hadir dalam majlis tersebut ialah tokoh-tokoh seperti Tun Ling Liong Sik, Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Aziz Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Mustafa Ali, Dato' Dr Khairuddin Al-Takiri, Datuk Kadir Jasin, Hj Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan ramai lagi. Jika Najib boleh duduk sepentas dengan Presiden PAS Datuk Seri Hj Hadi Awang atas nama kerjasama politik, mengapa pula Tun Mahathir, saya dan Mukhriz tidak boleh duduk semeja dengan tokoh-tokoh di atas untuk menyelamatkan Malaysia? Mengapa perlu digunakan standard yang berbeza untuk kami berbanding Najib?

 Pada hemat saya orang-orang di sekeliling Najib sebenarnya bimbang akan kesan inisiatif Tun Mahathir terhadap kedudukan ketua mereka sebagai Perdana Menteri. Deklarasi Ini bukan sahaja mendapat sokongan tokoh daripada pelbagai latarbelakang politik, malah turut disokong oleh pelbagai lapisan rakyat yang mula menandatangani dokumen ini secara atas talian. Saya percaya lebih ramai rakyat akan tampil menyatakan sokongan mereka terhadap Deklarasi Rakyat dalam masa terdekat. Sudah pasti perkembangan ini amat membimbangkan Najib dan orang-orang sekelilingnya.

Sebaliknya, yang tidak demokratik adalah mereka. Terbaharu, maklumat berkaitan 1MDB tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi. Kita tahu bahawa skandal 1MDB telah menjadi isu besar yang menarik perhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa. Malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga sepatutnya membentangkan hasil siasatan mereka ke atas 1MDB di Dewan Rakyat, iaitu institusi demokrasi tertinggi negara, untuk pengetahuan umum. Adakah kerajaan pimpinan Najib ingin menyorok lebih banyak penyelewengan berhubung skandal 1MDB daripada pengetahuan rakyat? Adakah ini satu tindakan yang demokratik?

 Mereka juga berkata seorang Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan kecuali menerusi pilihanraya. Di sinilah letaknya kesilapan besar mereka. Jika sebahagian besar rakyat menolak kepimpinan Najib, maka sewajarnyalah Najib berundur sekarang. Jangan tunggu sampai pilihanraya. Jika rakyat menolak Najib dalam pilihanraya bermakna mereka akan menolak BN secara total. Ini akan menyebabkan BN kalah dalam pilihanraya.

 Tujuan Deklarasi Rakyat ialah untuk mendesak Najib supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

 Peletakan jawatan Najib tidak akan menyebabkan kerajaan BN digulingkan. Sebaliknya, ia akan memberi laluan kepada proses tindakan undang-undang diambil terhadapnya dan beliau diadili dengan seadilnya di mahkamah. Seterusnya, reformasi institusi secara total perlu dilaksanakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan amanah.

Justeru, mereka menggunakan pelbagai alasan yang pelik untuk mencemuh deklarasi ini. Ada yang mengatakan kononnya deklarasi ini tidak demokratik. Saya ingin beritahu mereka bahawa dalam sebuah negara yang demokratik, hak rakyat untuk menyuarakan pandangan adalah dijamin oleh Perlembagaan. Ini termasuk untuk menyatakan sikap terhadap kerajaan dan kepimpinan negara. Meminta seorang Perdana Menteri berundur oleh kerana pembabitannya dalam skandal kewangan adalah sebahagian daripada hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi.

 Desakan supaya Perdana Menteri berundur tanpa menunggu pilihanraya dengan tidak mengubah kerajaan sedia ada bukan perkara baharu sebagaimana yang pernah berlaku di zaman pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan terakhir Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berundur untuk memberi laluan kepada Najib. Dalam semua keadaan kerajaan BN pada waktu itu tidak terjejas.

 Cuma yang berbeza ialah latar belakang tuntutan berundur adalah atas sebab politik bukan atas isu skandal yang berkait dengan persoalan moral dan integriti sebagaimana yang berlaku terhadap pimpinan Najib sekarang. Ia bukan lagi isu kepimpinan UMNO, tetapi sudah melimpah menjadi isu negara. Justeru pemimpin dari pelbagai latar belakang politik sanggup mengenepikan perbezaan dan bersatu azam semata-mata untuk menyelamatkan negara. Dengan langkah berani ini, amat tidak wajar kami dianggap menjual maruah dan harga diri, bangsa dan agama.

 Jika pemimpin UMNO dan BN masih terperangkap dalam sindrom penafian dan terus menerus mempertahankan seorang individu yang tidak dapat dipertahankan dari segi neraca undang-undang, moral dan agama, maka rakyat akan menolak UMNO dan BN secara total. Penolakan rakyat bukanlah disebabkan oleh Deklarasi Rakyat, tetapi kerana kegagalan pemimpin UMNO untuk mengemudi bahtera UMNO sehaluan dengan nilai-nilai yang dipegang oleh rakyat, iaitu kejujuran, kebertanggungjawaban, ketelusan dan keadilan dalam memikul amanah kepimpinan.

 Ada pihak yang sengaja menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menutup kelemahan mereka. Kononnya saya dan rakan-rakan yang lain telah menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara setelah menandatangani Deklarasi Rakyat. 

Ini adalah satu tuduhan yang amat tidak berasas.

 Selama 40 tahun saya di dalam politik, tidak pernah sedetikpun saya bertindak menggadai prinsip perjuangan saya. Tidak masuk akal tindakan saya menggesa Najib meletakkan jawatan kerana kemungkaran yang terpalit kepadanya, maka saya dikatakan menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Bukankah menentang kemungkaran itu satu kewajipan dalam Islam? Saya sebagai seorang Muslim, hanya menjalankan kewajipan saya di sisi agama. Saya yakin rakyat, terutamanya orang Melayu, cukup bijak untuk menilai mana yang hak dan mana yang batil.

 Di sisi Islam, perjuangan menentang kemungkaran menentukan tahap keimanan seorang Muslim. Saya tidak mahu disoal diakhirat kelak apa yang saya buat untuk menentang kemungkaran ketika saya masih berupaya untuk melakukannya. Saya tahu bahawa ia bukan sesuatu yang mudah dan amat menguji kesabaran. Tetapi saya yakin bahawa Allah s.w.t akan sentiasa bersama-sama orang yang sabar.

 MUHYIDDIN YASSIN
 8 Mac 2016 ~ sumber

Adakah rakyat akan mengundi Pas, parti yang tidak ada pendirian dan berserabut seperti ini?

Posted: 08 Mar 2016 01:17 AM PST

  
  Parti Pas walaupun satu organisasi parti yang sudah lama wujud di tanah air, namun ia terbukti adalah satu organisasi parti yang semakin bercelaru dan tidak terurus dengan rapi.

 Hari ini dia cakap lain, esok cakap lain. Presiden cakap ini, Naib presiden cakap itu, setiausaha pula cakap itu, ini....tak peningkah kita semua??

 Kenyataan setiausaha Pas diatas mendakwa hala tuju deklarasi itu tidak jelas ....?? Dan katanya lagi, Pas tidak boleh sertai sehingga kami jelas mengenai apa yang sedang berlaku ....??

  Hoit! Dua hari lalu dilaporkan di sini : Presiden Pas menganggap Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia bersama Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu boleh diterima. Hang tanyalah sendiri apasal presiden hang cakap deklarasi itu boleh diterima!
 

  Kalau Deklarasi Rakyat itu tidak boleh diterima apasal Mustafa Ali telah turut menandatangani deklarasi tersebut? Lihat gambar atas.

  Mohd Khairuddin tidak menandatanganinya bukan kerana hala tuju deklarasi itu tidak jelas seperti dakwaan kamu! tetapi alasannya:
"ana (saya) hanya hadir tetapi tidak sign declaration kerana mandat dari Presiden hanya untuk hadir mendengar dan menemani Cikgu Pa…" 
  Selain Mustafa dan Mohd Khairuddin, turut sertai dalam majlis deklarasi tersebut ialah bekas Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa (Adun Salor) dan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

 Takiyuddin berkata, PAS turut menolak tindakan menyingkirkan perdana menteri melalui kaedah itu yang menurutnya tidak pernah dilakukan dalam sistem pemerintahan negara ini.Tidak pula dijelaskan 'kaedah itu' yang dikatakan oleh Takiyuddin  itu.

 Untuk makluman Takiyuddin dan yang sewaktu dengannya, fokus utama deklarasi itu adalah untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri sebagai dinyatakan dalam perkara 36 Deklarasi Rakyat :
 0leh kerana sebab-sebab ini, kami rakyat Malaysia seperti yang tertera bersetuju dan menyokong:
a) penyingkiran Dato' Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.
b) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya
c) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang Jetas metanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih, dan
d) Pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC.
 Dan paling lucu bila Setiusaha Pas itu kata, "Kami akan minta mereka beri penjelasan kenapa mereka berada di sana. Saya sebagai setiausaha agung tak tahu kenapa mereka ada di situ..."

  Kita yang duduk kat kampung pun tahu, Husam dan Mahfuz hadir atas kapasiti individu warga negara dan bukan mewakili parti, sementara Mustafa Ali dan Khairuddin pula mendapat keizinan khas dari Hj Hadi....

  Ketinggalan sungguh setiausaha Pas ini....Dia tak baca ker status di laman facebook Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa kehadiran Mustafa dan Khairuddin dalam majlis itu telah mendapat 'kebenaran khas' presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

  Adakah rakyat akan mengundi Pas, parti yang tidak ada pendirian dan berserabut seperti ini?

Kenyataan  Datuk Takiyuddin Hassan :

  PAS tidak menyertai deklarasi pada 4 Mac kerana parti itu tidak jelas dengan hala tuju yang ingin digerakkan oleh kumpulan yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu, kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

 Beliau berkata deklarasi Mahathir itu tidak memaklumkan tentang tindakan seterusnya yang akan diambil oleh kumpulan yang menandatanganinya terutama tentang siapa pengganti sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri.

 "Kami tidak boleh sertai sehingga kami jelas mengenai apa yang sedang berlaku, mesti ada kesinambungan daripada itu tapi kita tidak dimaklumkan tentang apa seterusnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-13, di sini hari ini.

 Anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata PAS turut menolak tindakan menyingkirkan perdana menteri melalui kaedah itu yang menurutnya tidak pernah dilakukan dalam sistem pemerintahan negara ini.

 "Tidak pernah berlaku dalam sistem negara ini yang kita boleh tukar perdana menteri melalui cara itu, tidak pernah, malah melalui pungutan suara sekali pun...bukan itu caranya.

 "Kita boleh adakan usul untuk undi tidak percaya dalam Parlimen, cara itu boleh. (Tapi) PAS mahu tahu siapa calonnya," katanya.

 Takiyuddin berkata PAS akan memanggil semua anggotanya yang hadir pada majlis deklarasi Mahathir minggu lepas untuk mendengar penjelasan berhubung tindakan mereka.

 "Kami akan minta mereka beri penjelasan kenapa mereka berada di sana. Saya sebagai setiausaha agung tak tahu kenapa mereka ada di situ. Bukan saya kata kita akan ambil tindakan, tapi kita akan dapatkan penjelasan mereka," katanya.

 Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Dewan Ulama Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri (PAS-Kuala Nerus), anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa.

 Dalam pada itu Ketua Penerangan PAS Pusat Nasruddin Hassan (PAS-Temerloh) berkata Khairuddin dihantar menyertai majlis itu untuk mendapatkan maklumat secara dekat berkaitan motif dan matlamat penganjur.

 "Kami hantar wakil atas arahan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam masa sama PAS buat keputusan kami tidak terlibat. Mereka yang pergi mungkin diundang secara peribadi," katanya. ~sumber

Tiada ulasan: