Isnin, 7 Mac 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


PAKATAN HARAPAN ANJURKAN PERHIMPUNAN MANSUH GST 2 APRIL 2016 DAN PERHIMPUNAN MUAFAKAT SELAMAT MALAYSIA

Posted: 07 Mar 2016 12:01 AM PST


  Pakatan Harapan memandang positif beberapa perkembangan mutakhir yang menjadi bukti bahawa reformasi membawa perubahan institusi dan sistem yang diperjuangkan selama ini adalah satu-satunya cara menyelamatkan Malaysia. 

 Majlis Presiden Pakatan Harapan menyokong penglibatan ketiga kepimpinan tertinggi yang diketuai oleh YAB Mohamed Azmin Ali, YB Lim Kit Siang dan Y Bhg Hj Mohamed Sabu dalam Deklarasi Rakyat baru-baru ini.

 Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh tokoh-tokoh yang merentasi batasan politik termasuk Tun Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan dan pembangkang yang lain adalah pengakuan tokoh-tokoh pimpinan Umno/Barisan Nasional sendiri bahawa institusi-institusi kerajaan telah dirosakkan oleh pentadbiran Umno/Barisan Nasional.

 Pengakuan oleh Tun Mahathir Mohamad ini tidak mengubah hala tuju Pakatan Harapan terutamanya berhubung pendirian mengenai bentuk-bentuk reformasi undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan, pendidikan dan sosial yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan.

 Malah, pengakuan Tun Mahathir Mohamad itu adalah satu penerimaan secara tidak langsung bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas telah memangsakan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan kerana menjadi ancaman politik paling utama kepada pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak.

 Oleh yang demikian, Pakatan Harapan pada hari ini menetapkan bahawa agenda pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama-sama agenda reformasi yang lain dalam usaha menyelamatkan Malaysia. Strategi tiga serampang ini - menuntut reformasi institusi, membebaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan menuntut Dato' Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan - akan digerakkan secara bersepadu oleh Pakatan Harapan dalam kempen kami di seluruh negara.

 Pakatan Harapan juga percaya isu-isu ekonomi yang mendesak dan menekan rakyat tidak boleh ditenggelamkan oleh beberapa perkembangan politik mutakhir ini. Isu-isu seperti penghapusan GST, pembiayaan pendidikan yang munasabah, menghentikan kenaikan cukai, levi dan yuran yang dikenakan kerajaan dan kenaikan tarif perlu terus diperjuangkan.

 Oleh itu, Pakatan Harapan menyeru semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan untuk turun menyertai Perhimpunan Mansuh GST yang akan diadakan pada 2 April 2016 di Kuala Lumpur bersempena dengan satu tahun rakyat Malaysia dibebankan dengan GST.

 Pakatan Harapan juga akan menganjurkan perhimpunan-perhimpunan "Muafakat Selamat Malaysia" di setiap negeri bermula bulan ini untuk memberi pentas kepada semua pihak dan aktivis menggembleng sokongan rakyat menuntut Dato' Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

 Saudara Mohamad Sabu telah diberi amanah untuk mengetuai jawatankuasa penganjur Perhimpunan Mansuh GST pada 2 April 2016 dan perhimpunan- perhimpunan "Muafakat Selamat Malaysia".

 YB DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL 
 Presiden KEADILAN

 YB LIM KIT SIANG 
 Ketua Parlimen DAP

 TUAN HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

Tukar PM tidak perlu tunggu pilihan raya, bidas Mahfuz

Posted: 06 Mar 2016 05:00 PM PST

  Polimik Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia pada Jumaat lalu, untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak perlu tunggu pilihan raya sebagaimana kenyataan oleh pemimpin Umno, bidas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

 Beliau berasa terkejut dengan reaksi beberapa pimpinan Umno BN terhadap Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia yang menuntut pengunduran atau penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri.

"Apa yang paling melucukan ada pimpinan Umno termasuk Ketua Pemuda Umno kata nak tukar Perdana Menteri kena ikut saluran iaitu melalui pilihan raya.

 "Buat kenyataan macam orang tak tau apa. Nak tukar PM bukan perlu tunggu dan melalui pilihan raya. Cukup sama ada PM letak jawatan, hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen atau pun PM meninggal dunia. Maka, berlakulah pertukaran PM.

 "Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Najib menjadi PM bukan tunggu dan melalui pilihan raya. Tetapi bila PM letak jawatan.

 "MB Perak pada 2009 bertukar bukan melalui pilihan raya. MB Kedah baru sebulan bertukar bukan melalui pilihanraya. Tetapi melalui undi tidak percaya adun-adun Umno Bn kepada Mukhriz di luar dewan melalui pernyataan di hadapan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

 "Begitu juga nak ganti Najib dengan orang lain sebagai PM sama ada Najib letak jawatan atau MP Umno BN pakat tandatangan Akuan Bersumpah tarik balik sokongan sebagai tanda undi tidak percaya kepada Najib sebagai PM.

 "Selesai masaalah. Jadi pemimpin Umno BN jangan lupa apa yang mereka buat dengan menggulingkan Mukhriz sebagai MB Kedah tak melalui pilihanraya pun," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

 Mahfuz berkata, berbagai-bagai kenyataan daripada pimpinan Umno. Ada yang kata tidak ada apa-apa kesan terhadap deklarasi tersebut.

 Bagaimanapun beliau berkata, jika tiada apa-apa kesan mengapa pemimpin Umno kelihatan kalut.

 "Tapi kalut semacam saja. Kalau dah tidak menggugat, diam-diam saja tak payah bising," ujarnya.

 Dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dipetik berkata, hanya melalui pilihan raya satu-satunya cara demokratik dan berlandaskan undang-undang untuk menukar kerajaan.

 Sekiranya Dr Mahathir mahu menukar kerajaan, beliau perlu melalui proses demokrasi dan menantikan pilihan raya umum akan datang selari dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Deklarasi itu ditandatangani seramai 58 individu yang menyokong penyingkiran Najib termasuk isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. ~ sumber

Tiada ulasan: