Ahad, 6 Mac 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Lim harap Agong panggil RCI isu 1MDB, RM2.6 bilion

Posted: 06 Mar 2016 06:00 AM PST

 Walaupun penggantungan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang daripada Parlimen masih berterusan, beliau berharap titah Yang di-Pertuan Agong esok akan memanggil sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk melihat isu 1MDB dan skandal RM2.6 bilion.

 "Saya hanya mempunyai satu hasrat terhadap titah diraja pada pembukaan rasmi parlimen pada hari Isnin: bahawa Agong akan mengumumkan penubuhan RCI terhadap skandal mega Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Abdul Razak," kata Lim dalam ucapan pada majlis kutipan sumbangan DAP Sarawak malam semalam.

 Esok, Agong seperti kebiasaan akan menyampaikan titah pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-139 Lim berkata RCI adalah perlu untuk menyelesaikan isu skandal derma RM2.6 bilion dan RM42 juta yang disalurkan daripada SRC International - yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib - dan juga dakwaan salah urus 1MDB.

 Ini kerana katanya, laporan akhir Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengenai 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

 Lim menegaskan bahawa PAC adalah jawatankuasa parlimen, dan keputusan ini adalah satu penghinaan kepada PAC, Parlimen, dan kesemua 222 ahli parlimen di dewan yang berada di bawah naungan Agong.

 Dalam perkembangan lain, Lim mengeluh bahawa masih tiada tanda-tanda bahawa PAC akan memanggil personaliti utama untuk siasatan ke dalam 1MDB - seperti Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, pengarah operasi khas SPRM Datuk Bahri Mohamed Zin, bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid Bador, Najib sendiri dan jutawan kelahiran Pulau Pinang Taek Jho Low.~ sumber

Pengganti Najib isu lain, kata pembangkang penandatangan Deklarasi Rakyat

Posted: 06 Mar 2016 03:34 AM PST

 OLEH JENNIFER GOMEZ

  Pembangkang yang menandatangani Deklarasi Rakyat menggesa Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya tidak pernah mencapai persetujuan siapa yang akan menggantikan beliau sebagai perdana menteri kerana perkara itu untuk dibincangkan pada waktu lain, kata mereka.

 Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tiada nama disebut mengenai siapa akan mengambil alih jawatan itu daripada Najib dalam langkah terbaru mereka pada Jumaat lalu, yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 "Dipersetujui pada pertemuan kami dengan Dr Mahathir, yang fokus utama adalah untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

 "Siapa yang bakal menggantikan beliau adalah perkara lain dan tertakluk kepada perbincangan. "Kami bersetuju pada dasarnya berhubung soal menurunkan Najib dan melakukan pembaharuan dalam institusi," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas kenyataan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 Mukhriz berkata, pembangkang bersedia menerima seorang perdana menteri baru daripada Barisan Nasional (BN) untuk menggantikan Najib.

 Ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun berkata, kenyataan Mukhriz adalah logik dan fakta memandangkan BN masih memegang majoriti kerusi di Parlimen.

 Deklarasi Rakyat yang ditandatangani tokoh politik yang saling bermusuhan selama ini dan pemimpin masyarakat sivil pada Jumaat lalu menimbulkan perdebatan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil dan sama ada pembaharuan institusi benar-benar akan berlaku.

 Dr Mahathir, dipersalahkan kerana hakisan institusi Malaysia sepanjang tempoh 22 tahun perkhidmatannya, tidak mengakui peranannya walaupun didesak masyarakat sivil untuk berbuat demikian. 

 Tetapi terdapat juga yang mengatakan keutamaan segera ketika ini ialah penyingkiran Najib agar Malaysia dapat bergerak ke depan.

 Ahli Parlimen kanan DAP Teresa Kok berkata, jelas yang Mukhriz berasa tertekan kerana beliau masih bersama Umno.

 "Beliau perlu mengatakan demikian bagi mengelak daripada dipecat," katanya.

 Mukhriz tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi Umno, dan baru-baru ini digugurkan sebagai menteri besar Kedah.

 Beliau juga turut hadir pada sidang akhbar Deklarasi Rakyat itu.

 Tetapi, Kok berkata, pembangkang, seperti Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, serta aktivis hak asasi manusia terkemuka Datuk Ambiga Sreenevasan, selama ini konsisten mengatakan lebih banyak yang diperlukan selain daripada sekadar menukar perdana menteri.

 "Tetapi, buat masa itu, memandangkan wujud tekanan yang kian memuncak untuk menukar perdana menteri, kami semua setuju menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. 

"Jangan kita lupa yang Deklarasi Rakyat juga termasuk usaha membawa pembaharuan institusi," kata Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh.

 Perenggan mengenai pembaharuan dalam deklarasi itu, yang sebahagian besarnya menumpukan kepada dakwaan salah laku Najib melibatkan 1Malaysia Development Bhd, turut menyebut mengenai "memulihkan integriti institusi yang terjejas, seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara".

 Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Mukhriz tersasar apabila mengatakan pembangkang akan setuju perdana menteri berikutnya adalah dari BN, kerana Najib mewakili satu sistem yang korup dan mereka yang melindunginya. 

 "(Kenyataan beliau) tidak tepat kerana tidak ada perbincangan terperinci. Najib mewakili satu sistem yang korup dan mereka yang melindunginya.

 "Kebimbangan kami adalah penyingkiran Najib dan pembaharuan demokrasi serta institusi. Adakah anda fikir Umno-BN berani melakukannya?" soal Mujahid.

 Tetapi, ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago, yang tidak menandatangani deklarasi itu berkata, walaupun beliau setuju Najib perlu meletak jawatan, deklarasi itu itu hanya membuat "rujukan sepintas lalu" mengenai pembaharuan dan tidak jelas mengenai permintaannya supaya ditubuhkan suruhanjaya pilihan raya, badan kehakiman dan media yang bebas.

 "Adakah menewaskan Najib sambil mengekalkan Umno dan institusi yang utuh benar-benar akan menyelesaikan masalah kewangan rakyat yang semakin meningkat dan masalah lain yang lebih mendesak?

 "Deklarasi ini adalah satu dokumen yang dibuat tergesa-gesa tanpa memikirkan mengenai isu yang berkaitan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. – 6 Mac, 2016. ~ sumber

Hadiri majlis Deklarasi Rakyat: Apa sebenar pendirian Pas?

Posted: 05 Mar 2016 08:52 PM PST

Oleh : ARIF ATAN 
Mustafa Ali Deklarasi Rakyat yang ditandatangani 56 pemimpin dan bekas pemimpin BN, Pakatan Harapan, NGO dan aktivis semalam turut menyaksikan dua pemimpin Pas seperti tidak mematuhi pendirian parti mereka.

 Mengejutkan apabila Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali turut hadir di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) petang semalam.

 Kehadiran mereka sekaligus bercanggah dengan ketetapan Pas sebelum ini yang menolak pelawaan Mahathir untuk hadir dalam majlis menandatangani deklarasi menuntut penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri itu.

 Hal ini dilihat berbeza dengan penyertaan Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa memandangkan kedua-duanya memang dianggap sebagai "harum manis" dalam Pas kerana kerap muncul dalam program melibatkan Pakatan Harapan.

 Bahkan, Husam sebelum ini pernah cuba diheret ke lembaga disiplin parti kerana banyak membangkitkan perkara yang bercanggah dengan dasar Pas dan Islam termasuk secara terbuka mengkritik kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan 3 Mac lalu mendakwa partinya mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengubah kepimpinan negara termasuk mengambil keputusan menghadap Majlis Raja-Raja.

 Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam status di laman facebook beliau yang dikemas kini semalam mendakwa kehadiran Mustafa dan Khairuddin dalam majlis itu telah mendapat 'kebenaran khas' presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 Tindakan Abdul Hadi ini sekaligus mengenepikan 'deklarasi khas' Takiyuddin bahawa Lajnah Politik PAS Pusat yang bermesyuarat 3 Mac lalu mengambil keputusan tidak terlibat dalam majlis semalam.

 Mustafa pula ketika ditanya pemberita menjelaskan beliau hadir atas kapasiti individu dan bukan mewakili parti.

 Namun Khairuddin dalam reaksinya yang kemudian tersebar di media sosial berkata, "ana (saya) hanya hadir tetapi tidak sign declaration kerana mandat dari Presiden hanya untuk hadir mendengar dan menemani Cikgu Pa…"

 Sementara itu Deklarasi Rakyat yang dibacakan Dr Mahathir menyifatkan Najib melakukan kerosakan kepada negara.

 Inti pati deklarasi banyak menyentuh tentang kontroversi syarikat pelaburan negara sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 Turut dituntut pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). ~ sumber

Tiada ulasan: